Wednesday 22 March 2017

PENAWAR 4: ZIKIR MALAM YANG PANJANG






ZIKIR MALAM YANG PANJANG








Nasihat Syeikh Maulana Makdum yang keempat ialah berzikir pada malam hari dengan zikir yang panjang.

     Allah berfirman:

     "Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah kamu
     (dengan menyebut nama) Allah zikir yang sebanyak-
     banyaknya."

(Q.S Al-Ahzab [33]: 41)

     Pada ayat yang lain, Allah SWT berfirman: "(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata):

     "Ya Tuhan Kami, tiadalah Engkau menciptakan hari ini den-
     gan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami
     dari seksa neraka."

(Q.S Ali Imran [3]: 191)

     Dari Abi Sa'id dan Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda: 'Apabila seorang suami membangunkan isterinya pada malam hari, kemudian keduanya solat dua rakat, pasti keduanya dicatat termasuk lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah.'


A. Pendahuluan

Imam An Nawawi As Syafi'i berkata: "Ketahuilah bahawa keutamaan/pahala berzikir tidak setakat pada bertasbih, bertahlil, bertahmid, bertakbir, dan yang serupa. Akan tetapi setiap orang yang mengamalkan ketaatan kepada Allah, bererti ia telah berzikir kepada Allah, demikianlah dikatakan oleh Sa'id bin Jubair dan ulama' yang lainnya. Atha' (bin Abi Rabah) berkata: 'Majlis-majlis zikir ialah majlis-majlis yang membicarakan halal dan haram, bagaimana engkau membeli dan menjual, mendirikan solat, berpuasa, bernikah, menceraikan, berhaji dan yang serupa dengan ini."


B. Definisi Zikir

Dalam Fathul Bari, dikatakan bahawa;

"Dan yang dimaksud dengan Zikir di sini ialah:
mengucapkan bacaan-bacaan yang dianjurkan untuk
diucapkan dan diulang-ulang, misalnya bacaan yang
disebut dengan Al Baqiyaat As Shalihat, iaitu:
Subhanallah, wa alhamdulillah, wa laa ilaha illallah,
wa Allahu Akbar, dan bacaan-bacaan lain yang serupa
dengannya, iaitu: Al hauqalah (laa haula walaa quwwata
illa billah), Basmalah, hasbalah (hasbunaallah wa ni'ima
al wakil), dan istighfar, dan yang serupa, dan juga doa
memohon kebaikan di dunia dan akhirat. Kata Az Zikir
kepada Allah bila disebut juga boleh dimaksudkan:
kita terus-menerus mengamalkan amalan-amalan
yang diwajibkan atau disunnahkan oleh Allah, seperti
membaca Al-Quran, membaca hadis, mempelajari ilmu,
dan menunaikan solat sunat."


1. Zikir Jihri (Lisan)

Kemudian zikir kadang kala boleh dilakukan dengan lisan, dan orang yang mengucapkannya akan mendapatkan pahala, dan tidak disyarat untuk selalu mengingat kandungannya, tentunya dengan ketentuan selama ia tidak memaksudkan dengan bacaan itu selain dari kandugannya. Apabila bacaan lisannya disertai dengan zikir dalam hatinya, maka itu lebih sempurna, dan apabila zikir ini disertai dengan penghayatan dengan kandungan, Misalnya: ketika ia membaca zikir Subhanallah yang ertinya "Maha Suci Allah", akan tetapi ia memaksudkan dari bacaan ini: ia memohon perlindungan agar terhindar dari penyakit atau yang serupa.

     Apabila bacaan lisannya disertai dengan zikir dalam hatinya, maka itu lebih sempurna, dan apabila zikir ini disertai dengan penghayatan terhadap kandungan bacaan itu, yang berupa pengagungan terhadap Allah, dan mensucikan-Nya dari segala kekurangan, pasti itu akan lebih sempurna. Apabila zikir seperti ini terjadi di saat ia mengamalkan amal soleh yang diwajibkan, seperti solat fardhu, jihad dan lainnya, pastilah akan semakin sempurna. Dan apabila ia meluruskan tujuan dan ikhlas kerana Allah, maka itu adalah punca kesempurnaan.

     Al Fakhrurrazi berkata: Yang dimaksudkan dengan zikir dengan lisan ialah dengan mengucapkan bacaan-bacaan yang mengandungi makna tasbih (pensucian) tahmin (pujian) dan tamjid (pengagungan). Dan yang dimaksudkan dengan zikir dengan hati ialah: memikirkan dalil-dalil yang menunjukkan akan Zat dan Sifat-sifat Allah, juga memikirkan dalil-dalil taklif (syari'at), berupa perintah, dan larangan, sehingga ia dapat mengerti hukum ahkam taklifi (hukum ahkam syari'at yang lima, iaitu: wajib, sunat, mubah, makruh dan haram), dan juga merenungkan rahsia-rahsia yang tersimpan pada makhluk-makhluk Allah. Sedangkan yang dimaksudkan dengan zikir dengan anggota badan ialah: menjadikan anggota badan sibuk dengan amaliah ketaatan, oleh kerana itulah Allah menamakan solat dengan sebutan zikir, Allah berfirman:

     "Maka segeralah kamu menuju zikir kepada Allah
     (iaitu solat jumaat)."

(Q.S Al-Jum'ah [62]: 9)

     Pengertian tentang makna zikir yang disampaikan oleh seorang tabi'in murid para Sahabat Rasulullah SAW, dan Ibnu Hajar ini, selaras dengan hadis berikut:

     "Dari Abu Hurairah ia berkata: Rasulullah bersabda:
     Tidaklah suatu kaum (sekelompok orang) duduk di
     salah satu rumah Allah (iaitu masjid), mereka memba-
     ca kitabullah (Al-Quran) dan bersama-sama mengka-
     jinya (mempelajarinya), melainkan akan turun kepada
     mereka kedamaian, dan mereka dipenuhi oleh kerah-
     matan, dan dinaungi oleh para malaikat, dan Allah me-
     nyebut mereka di hadapan para malaikat yang ada di
     sisi-Nya."

     Allah berfirman kepada Nabinya Muhamad: Bersabarlah engkau wahai Muhammad, bersama sahabat-sahabatmu yang menyeru Tuhannya, pada waktu pagi dan senja, iaitu dengan mengingat-Nya dengan ucapan tasbih, tahmid, tahlil, doa, dan amal-amal soleh lainnya, seperti: solat-solat fardhu dan lainnya. Mereka mengharapkan dengan perbuatan itu Wajah-Nya (keredhaan-Nya) dan tidak mengharapkan kepentingan dunia apapun."

     Seorang sahabat datang ke Madinah dan menghadap Rasulullah, kemudian beliau tinggal di Suffah (satu tempat yang tidak jauh dari rumah Rasulullah) dan berzikir sebanyak-banyaknya dengan mengeraskan suara. Ketika itu Umar berkata, "Apakah orang ini termasuk ahli riak dengan berzikir seperti ini?" Rasulullah menjawab, "Tidak, bahkan dia adalah dari golongan awwaabiin (orang yang selalu kembali kepada Allah)."

     Beliau wafat di dalam perang Tabuk. Pada suatu malam para sahabat melihat lampu sedang bersinar di tanah perkuburan. Ketika mereka pergi melihatnya, mereka melihat Rasulullah sedang berada di kuburnya. Lalu Rasulullah menyuruh Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Faruq, "Angkatlah dan serahkanlah kepadaku mayat saudaramu ini." Kedua sahabat besar ini mengangkat mayat tersebut dan menyerahkannya kepada Rasulullah. Setelah Rasulullah mengebumikan mayat tadi, Rasulullah bersabda, "Ya Allah aku meredhai mayat ini, maka hendaklah Engkau pun meredhainya." Abdullah bin Mas'ud berkata, "Setelah aku menyaksikan ucapan pengebumian, hatiku berkata, 'Alangkah baiknya jika seandainya mayat ini adalah mayatku."

     Fudhail seorang ahli tasawuf yang terkenal berkata, "Meninggalkan suatu amal kerana takut riak, maka itulah riak. Sedangkan melakukan sesuatu agar dilihat orang adalah syirik yang nyata."

     Di dalam sebuah hadis dikatakan bahawa ada sebahagian ahli zikir yang boleh menyebabkan orang lain mengingat Allah. Yakni dengan memandang wajahnya saja, membuat mereka teringat untuk zikrullah. Hadis lain menyebutkan, "Sebaik-baik orang antara kamu ialah seseorang yang apabila orang lain memandang wajahnya, maka ia ingat kepada Allah, jika mendengar ucapannya maka bertambahlah ilmunya, dan jika melihat amal perbuatannya maka tertariklah kepada akhirat.

     Orang yang beruntung mendapatkan martabat demikian ialah orang yang sentiasa berzikir. Sebahagian orang mengatakan, zikir jihri (zikir dengan mengeraskan suara) adalah bid'ah yang tidak patut dilakukan. Pendapat ini adalah keliru dan menunjukkan bahawa pengetahuan mereka tentang hadis yang sahih sedikit.

     Maulana Abdul Hay menulis sebuah kitab yang diberi tajuk Sabahhatul fikri", beliau mengutip sebanyak lima puluh hadis yang menjelaskan bahawa zikir jihri ini adalah sunnah. Tetapi harus diingat, jangan melakukannya tanpa mengikuti syarat-syarat yang telah ditentukan, yakni jangan sampai menyusahkan atau mengganggu orang lain.


2. Zikir Khafii (Senyap)

Dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, 'Ada tujuh golongan manusia yang akan dilindungi oleh Allah di bawah rahmat-Nya pada hari di mana tidak ada perlindungan kecuali perlindungan Allah, iaitu:

     1. Imam (pemimpin) yang adil

     2. Pemuda yang menggunakan waktu mudanya untuk mengabdi kepada Allah

     3. Lelaki yang hatinya selalu terpaut kepada masjid
  
     4. Dua orang lelaki yang saling mencintai kerana Allah. Mereka berkumpul dan berpisah kerana Allah

     5. Lelaki yang dirayu oleh wanita bangsawan dan jelita, ia berkata, Aku takut kepada Allah
     
     6. Lelaki yang memberi sedekah dengan sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya; dan

     7. Lelaki yang mengingat Allah dalam keadaan bersunyi diri sehingga berlinangan air matanya.

     Salah seorang dari tujuh orang yang disebutkan dalam hadis di atas adalah orang yang mengingat Allah dalam keadaan bersunyi diri sehingga berlinangan air matanya. Pada orang itu didapati dua keuntungan dan keunggulan. Pertama, ikhlas iaitu dia menyibukkan diri dengan mengingat Allah kerana bersendirian. Kedua, kerana rasa takut dan harap kepada Allah sehingga berlinangan air matanya. Kedua hal ini merupakan keuntungan yang sempurna.

     Seorang penyair berkata: "Tugas kami ialah mengingat kekasih di malam hari sambil menangis teresak-esak, kerana sibuk mengingati sang kekasih sehingga hilanglah rasa mengantuk."
  
     Perkataan penyair itu sesuai dengan bunyi hadis di atas, iaitu: "Lelaki yang mengingat Allah dengan bersunyi diri."

     Para ulama tasawuf menulis bahawa bersunyi diri mempunyai dua pengertian. Pertama, bersunyi diri bererti seorang diri. Kedua, bersunyi hati yakni mengosongkan hati dan hening dari ingatan selain Allah, dan inilah pengertian yang sebenarnya.

     Jika kedua pengertian itu didapati pada diri seseorang, maka ia telah mencapai martabat yang sempurna. Ketika seseorang berada dalam suatu kumpulan manusia tetap hatinya kosong dari ingatan selain Allah dan dia selalu berzikir sambil menangis dan berlinangan air mata, maka dia termasuk dari golongan itu, kerana dalam keramaian atau sendirian sama sahaja baginya, suasana apa pun tidak dapat mengganggunya dari mengingati Allah.

     Mengingati Allah sambil menangis dan berlinangan air mata kerana takut kepada-Nya merupakan kurnia yang tak ternilai. Maka berbahagialah orang yang mendapatkan kurnia kurnia itu. Diriwayatkan dalam sebuah hadis, "Barangsiapa menangis kerana takut kepada Allah, dia tidak akan masuk neraka jahanam sebagai air susu tidak mungkin masuk kembali ke dalam puting susunya." Dalam hadis lain yang disebutkan, "Barangsiapa menangis kerana takut kepada Allah sehingga berlinangan air matanya dan air matanya membasahi tanah maka dia tidak akan diazab pada hari kiamat." Sebuah mafhum hadis mengatakan bahawa api neraka Jahanam diharamkan kepada dua jenis mata: pertama, mata yang menangis kerana takut kepada Allah; dan kedua, mata yang berjaga pada malam hari untuk memelihara Islam dan umatnya dari serangan orang-orang kafir. Hadis lain juga menyebutkan bahawa api neraka Jahanam diharamkan kepada mata yang pernah menangis kerana takut kepada Allah, kepada mata yang berjaga di malam hari pada jalan Allah, mata yang tidak memandang sesuatu yang haram, dan kepada mata orang yang gugur di jalan Allah.

     Di dalam kitab Musnad Abu Ya'la diriwayatkan, Aisyah berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda, "Zikir khafi (zikir dengan suara sangat rendah) sehingga malaikat pun tidak dapat mendengarnya, pahalanya adalah 70 kali ganda."

     Apabila Allah Rabbul 'alamin menghimpun semua makhluk pada hari kiamat untuk dihisab dan malaikat Kiraman Katibin membawa buku-buku catatan amal-amal makhluk, maka Allah akan berfirman kepadanya, "Periksalah catatan amal si fulan adakah yang tidak tertulis?" Malaikat menjawab, "Tidak ada satu pun yang tidak kami catat." Lalu Allah berfirman, "Ada amal kebajikan yang kamu tidak mengetahuinya, iaitu zikir khafi.

     Imam Baihaqi juga meriwayatkan hadis ini dari Aisyah bahawa zikir yang tidak terdengar oleh para malaikat itu 70 kali lebih utama daripada zikir yang terdengar oleh para malaikat.


3. Zikir dan Fikir

Dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, "Pada hari Kiamat akan ada penyeru yang akan memanggil, "Di manakah orang-orang yang berakal?" Orang banyak akan bertanya, "Siapakah yang dimaksudkan dengan orang-orang yang berakal itu?" Penyeru itu berkata, "Mereka itu ialah orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk atau dalam keadaan berbaring. Dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, Ya Allah, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa api neraka.' Sehelai bendera akan diikatkan kepada mereka, maka orang-orang pun berjalan mengikuti bendera mereka. Kemudian penyeru itu berkata kepada mereka, 'Masuklah kamu ke dalam syurga untuk selama-lamanya.'"

     Memikirkan akan penciptaan langit dan bumi ertinya memikirkan kekuasaan dan kebijaksaan Allah sehingga meneguhkan makrifat kepada-Nya dengan mengatakan, "Ya Tuhan kami, di bawah kekuasan dan pemerintahan-Mulah alam ini makmur dan hidup subur."

     Ibnu Abi Dunya meriwayatkan sebuah hadis bahawa suatu ketika Rasulullah mendatangi sekumpulan sahabat yang sedang duduk termenung, Rasulullah bertanya, "Apakah yang sedang kalian fikirkan?" Mereka menjawab, "Kami memikirkan tentang kejadian-kejadian dan makhluk-makhluk Allah." Rasulullah bersabda, "Ya, janganlah sekali-kali kalian memikirkan tentang Dzat Allah, tetapi berfikirlah tentang makhluk-makhluk Allah."

     Amir bin Abdul Qais berkata, "Saya mendengar dari sahabat Rasulullah bukan dari seorang, dua orang atau tiga orang, tetapi dari sejumlah besar para sahabat bahawa fikir itu cahaya iman."

     Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, "Seseorang yang terlentang di bumbung rumahnya sambil memandang ke langit dan bintang-bintang yang gemerlapan, lalu berkata, 'Demi Allah, aku telah yakin bahawa semua ini (langit dan bintang-bintang) pasti ada yang menciptakan. Wahai Allah, ampunilah aku maka dia akan diampuni Allah dengan rahmat-Nya.'"

     Ibnu Abbas berkata bahawa berfikir sesaat itu adalah lebih utama daripada ibadah yang afdhal semalam suntuk. Demikian pula yang diriwayatkan oleh Abu Darda dan Anas. Diriwayatkan dari Anas, ia berkata bahawa berfikir sesaat tentang kejadian-kejadian alam adalah lebih utama daripada ibadah 80 tahun. Seseorang bertanya kepada Ummu Darda tentang ibadah Abu Darda yang paling afdhal, jawabnya, "Berfikir (tentang kejadian-kejadian makhluk Allah)." Abu Hurairah berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Berfikir sesaat adalah lebih utama daripada ibadah selama 60 tahun."

     Akan tetapi hendaklah diingat, riwayat-riwayat tersebut di atas bukanlah bermaksud bahawa ibadah-ibadah yang lain tidak perlu lagi dikerjakan, kerana setiap ibadah sama ada yang fardhu mahupun yang sunat, har dilaksanakan sewajarnya.


C. Fadilat Zikir

Imam Ibnu Qayyim menjelaskan bahawa zikir mempunyai lebih dari seratus manfaat. Dan antaranya beliau jelaskan sekitar 79 faedah. Dan penulis mengambil 25 faedah antaranya agar diketahui kaum muslim, dan jika berkeinginan lebih dalam dipersilakan membaca kitab beliau itu.


1. 25 Faedah Zikir

1. Zikir menjauhkan diri daripada syaitan dan sekaligus menghancurkan kekuatannya

2. Zikir menyebabkan disukai Allah

3. Zikir menjauhkan kerisauan dan kesedihan hati

4. Zikir melapangkan dan menggembirakan hati

5. Zikir menguatkan rohani dan jasmani

6. Zikir menerangi wajah dan hati

7. Zikir menarik rezeki

8. Zikir dapat menimbulkan cinta kepada Allah, dan cinta adalah roh Islam, juga sumber kebahagiaan serta kejayaan

9. Zikir mampu mengheningkan fikiran (muraqabah) sehingga menyampaikan kita kepada darjat ihsan

10. Zikir adalah alat kembali kepada Allah. Yang membawa seseorang kepada penyerahan diri kepada Allah, sehingga secara perlahan-lahan Allah akan menjadi tempat perlindungan dan benteng baginya dari segala sesuatu.

11. Zikir dapat menjadikan seseorang dekat dengan Allah.

12. Zikir adalah pintu ma'rifatullah. Zikir dapat memasukkan ke dalam hati dan diri seseorang kehebatan dan kebesaran Allah. Dan sebagai alat untuk mengghairahkan kehadiran diri di hadapan Allah.

13. Zikir adalah penyebab seseorang diingat oleh Allah.

14. Zikir adalah untuk menghidupkan hati. Imam Ibnu Taimiyyah. menjelaskan bahawa pengaruh zikir terhadap hati, seperti pengaruh air terhadap ikan. Dapat dibayangkan, bagaimana ikan itu boleh hidup tanpa air

15. Zikir adalah rezeki untuk hati dan roh

16. Zikir dapat menjauhkan diri dari kesusahan dan kesalahan

17. Zikir dapat menjauhkan diri dari rasa takut dan ragu

18. Jika seseorang mengingat Allah ketika senang, maka Allah akan mengingatinya ketika susah.

19. Dengan zikir, seseorang akan menjadi baik dan bahagia, demikian juga dengan orang-orang yang bersamanya.

20. Seseorang yang berzikir kepada Allah dengan menyendiri sehingga menangis, maka pada hari kiamat, mereka akan mendapatkan naungan di bawah Arasy Ilahi.

21. Walaupun zikir adalah ibadah ringan, namun berfadilat dan memiliki kekuatan yang paling besar. Kerana menggerak lidah, lebih mudah daripada menggerakkan seluruh anggota badan lainnya

22. Zikir adalah tabir syurga.

23. Nur zikir dari orang yang selalu berzikir akan selalu menyertainya sama ada ketika di dunia, di kubur mahupun di siratal mustaqim.

24. Dengan berzikir, Allah akan selalu memberikan kemajuan dan keberhasilan, sama ada ketika istirehat, ketika di pasar, ketika sihat atau sakit, dalam keadaan senang atau sulit.

25. Zikir adalah ubat bagi penyakit-penyakit hati.

     Banyak sekali fadilat tentang zikir ini, dan kita kaum muslimin perlu mendapatkan hakikat dari zikir ini. Untuk lebih mengetahuinya, penulis mempersilakan kepada kaum muslimin untuk mempelajari kitab Imam Ibnul Qayyim itu atau pun juga Kitab Fadilat Zikir Syeikh Maulana Zakariya; yang kedua-duanya sudah terkenal dalam kalangan kaum muslimin dewasa ini.


2. Zikir Sahabat

Kerana ketika ini kita masih mendapatkan gambaran dari zikir itu saja, sedangkan hakikat zikir sendiri belum diperoleh oleh kita di dunia yang fana ini. Rasulullah telah mendidik para sahabat dan generasi ini telah mendapatkan keutamaan zikir itu, sehingga menjadi generasi yang patut diikuti dengan baik.

     Dan zikir ini sebenarnya merupakan salah satu kerangka utama dari manhaj para Sahabat, kerana mereka menyedari bahawa hubungan dengan Allah harus selalu ada dalam pelbagai macam kehidupan. Dan ini pula yang sangat berkurangan dalam kalangan kaum muslimin dewasa ini. Marilah kita semarakkan untuk mendorong kaum muslimin untuk mendapatkannya, tidak perlu kita menjadi seorang ulama atau ustaz tetapi tanggungjawab ini menjadi tanggungjawab kita semua. Mudah-mudahan dengan saling mengingatkan itu, kita sendiri akan terdorong untuk mengamalkannya, telinga dan hati kita lebih dekat kepada ucapan kita sendiri dibandingkan dengan telinga dan hati orang lain.

     Dari Abu Musa berkata, Rasulullah bersabda, "Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya, adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati."

     Setiap manusia mencintai kehidupan dan takut kepada kematian. Rasulullah bersabda, "Barangsiapa tidak mengingat Allah, walaupun ia hidup, maka keadaannya tidak berbeza dengan orang yang mati, kehidupannya adalah sia-sia." Seorang pujangga berbanga Persia berkata: "Kehidupanku kini bukanlah kehidupan yang hakiki. Kehidupan yang hakiki adalah jika seseorang dapat mencintai kekasihnya."


3. Mengikut Ulama

Sebahagian ulama mengatakan bahawa demikianlah hakikat hati, iaitu jika seseorang selalu berzikir, maka hatinya selalu hidup, dan barangsiapa yang tidak berzikir, maka sesungguhnya hatinya telah mati. Sebahagian ulama menjelaskan maksud hadis di atas, iaitu memandang dari segi untung dan ruginya. Barangsiapa menyakiti hati orang yang berzikir, maka seolah-olah ia menyakiti orang yang hidup yang akan membalas kepada orang yang menyakitinya. Namun barangsiapa yang menyakiti orang yang tidak berzikir, ia seolah-olah menyakiti orang yang mati yang tidak akan mampu untuk membalas.

     Para ulama tasawuf mengatakan, "Yang dimaksudkan dengan 'dianggap hidup' ialah seseorang yang berzikir sebanyak-banyaknya dengan ikhlas untuk mencari keredhaan Allah. Sesungguhnya ia tidak akan mati, tetapi hanya pindah alam saja. Sebagaimana ditegaskan dalam Al-Quran tentang orang yang mati syahid:

     "Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang
     gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup
     di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki."

(Q.S Ali Imran [3]: 169)

     Iaitu hidup dalam alam yang lain yang bukan alam kita ini, di mana mereka mendapat kenikmatan-kenikmatan di sisi Allah, dan hanya Allah sahajalah yang mengetahui bagaimana keadaan hidup itu.

     Hakim dan Tirmidzi itu berkata, "Zikrullah itu melembutkan hati. Hati yang kosong dari zikrullah akan menyebabkan hawa nafsu bergejolak, dan syahwat akan terbakar, sehingga hatinya menjadi keras, dan anggota anggota badan lainnya turut menjadi keras. Dia tidak akan lagi taat kepada Allah. Jika anggota-anggota badan itu ditarik (untuk diperbaiki), maka pasti akan patah, seperti kayu yang kering yang tidak bengkok, kecuali apabila dipotong atau dibakar."


D. Pelbagai Jenis Zikir

Rasulullah bersabda, "Orang yang paling utama di sisi Allah ialah orang yang ketika berzikir, dia selalu memperhatikan peredaran bulan, matahari, bintang dan bayang-bayang untuk menjaga waktu zikirnya." Walaupun zaman sekarang ini sudah banyak terdapat berbagai-bagai penunjuk waktu, namun kita tidak dapat menggunakannya untuk panduan berzikir. Jika jam waktunya tidak tepat, maka boleh digunakan takwim syamsi agar waktu yang sangat berharga itu tidak sia-sia. Dalam sebuah hadis disebutkan, jika seseorang berzikir kepada Allah di suatu tempat, maka permukaan bumi itu berasa bangga atas bumi-bumi lainnya, hingga ketujuh lapis di bawahnya.

     Oleh itulah Ulama membahagi zikir kepada 4 golongan besar, iaitu:


1) Solat

Solat ialah zikir yang paling tinggi nilainya berbanding dengan amalan lainnya, sebab dengan sesiapa yang mengerjakan solat bererti dia telah berhubungan langsung dengan Allah, seolah-olah dia bercakap-cakap dengan Allah. Solat ialah hubungan langsung antara hamba dengan Allah tanpa ada dinding perantaraan. Allah berfirman: "Dirikanlah solat untuk zikir kepadaKu."

     Munajat apa sahaja, yang paling cepat adalah dengan cara mengerjakan solat. Dua rakaat solat yang benar dapat menarik khazanah Allah.

     Tingkatan yang paling tinggi dalam solat sunat ialah Qiyamullail (Solat Tahajjud).

     Dua rakaat solat pada akhir malam adalah lebih utama daripada dunia dan seisinya. Seandainya tidak memberatkan umatku, nescaya aku akan mewajibkannya kepada mereka.

     Jagalah solat tahajjud, kerana Tahajjud adalah jalan orang-orang soleh dan jalan untuk mendekati Allah, penjaga dari perbuatan dosa, penyebab keampunan dosa, dan menyihatkan badan.


2) Membaca Al-Quran

Membaca Al-Quran merupakan zikir kepada Allah, sebab ia merupakan wahyu Allah kepada Umat Nabi. Dalam Al-Quran pula banyak menyebutkan nama-nama Allah dan cerita mengenai kehebatan dan keagungan Allah.

     Jika selesai dari membaca Al-Quran, orang yang membaca akan berasa tenang, begitu pula sesiapa yang mendengarkan bacaan tersebut akan menjadi tenang hatinya.

     Inilah yang membuktikan bahawa membaca Al-Quran ialah bahagian dari zikir, sebab ia membawa kesan menjadikan hati tenang. Bahkan ramai orang mendapat hidayah disebabkan bacaan Al-Quran.

     Dari Abu Said berkata bahawa Rasulullah bersabda, "Allah berfirman, 'Barangsiapa yang disibukkan oleh Al-Quran daripada berzikir kepada-Ku dan meminta kepada-Ku, maka Aku memberikan kepadanya sesuatu yang lebih utama daripada yang diberikan kepada orang-orang yang meminta kepada-Ku. Ketinggian kalam Allah (Al-Quran) atas semua perkataan yang lain adalah seumpama ketinggian Allah di atas seluruh makhlukNya."


3) Tasbihat

Tingkatan zikir yang ketiga ialah Tasbihat, Istighfar dan Selawat kepada Rasulullah.

     Zikir Tasbihat ialah zikir hanya dengan menyebut nama Allah, misalnya SubhanaAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, Laa ila ha Illallah, Laa Haula Wala Quwwata illa billa hil 'aliyil Azim, zikir dengan menggunakan Asmaul Husna dan lainnya.

     Dari Abu Sa'id al Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Perbanyaklah al Baaqiyaatus Saalihaat (amal-amal kebaikan yang kekal)!" Rasulullah SAW ditanya, "Apakah al-Baaqiyaatus Saalihat itu, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab, "iaitu al-Millah (ad Diin/agama)." Baginda ditanya lagi, "Apakah al-Millah itu?" Rasulullah SAW berkata, "Ucapan Takbiir (Allahu Akbar), Tahlil (Laa ilaaha illallaah), Tasbiih (Subhaanallaah), Tahmiid (Alhamdulillah), dan Laa haula walaa quwwata illaa billaah."

     Perkataan Arab al-Millah ertinya ad-din atau agama. Kalimah takbiir, tahliil, tasbiih, dan seterusnya disebut millah, kerana sesungguhnya ia merupakan kumpulan pokok agama iaitu: tauhid (pengEsaan) kepada Allah, ta'ziim (peng-Agungan) kepada Allah, dan tanziih (pen-Sucian) kepada Allah.

     Istighfar ialah zikir kepada Allah dengan memohon ampun atas semua kesalahan dan kekhilafan kita dengan banyaknya berbuat dosa.

     Dari Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW berkata, "Bagi sesiapa yang menjaga istighfar, maka Allah menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan (kesulitan), kelepasan dari setiap kesusahan, dan Allah memberinya rezeki dari arah yang tidak diduga-duga."

     Dari Zubair meriwayatkan bahawasanya Rasulullah bersabda, "Bagi sesiapa yang ingin agar buku catatan amalnya membuat ia bahagia (pada hari kiamat), maka hendaklah ia memperbanyak istighfar."

     Dari Abdullah bin Busri berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Beruntunglah bagi orang yang mendapati dalam buku catatan amalnya istighfar yang banyak."

     Dari Barr bin 'Azib berkata bahawa Rasulullah bersabda, "Apabila dua orang muslim bertemu lalu berjabat tangan sambil memuji Allah dan beristighfar (memohon ampun) kepada-Nya, maka Allah mengampuni dosa-dosa keduanya."

     Para sahabat apabila bertemu satu sama lain selalunya setelah mereka mengucapkan Assalaamu'alaikum, maka mereka berjabat tangan sambil memuji Allah, lalu mengucapkan, "Yaghfirullaahu lanaa walakum (segala puji bagi Allah, semoga Allah mengampuni dosa kami dan dosa kamu)."

     Selawat kepada Rasulullah adalah bahagian zikir kepada Allah. Allah berfirman: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Rasulullah. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Rasulullah dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.

     Berselawat ertinya: kalau dari Allah bererti memberi rahmat: dari malaikat bererti memintakan ampunan dan kalau dari orang-orang mukmin bererti berdoa supaya diberi rahmat seperti dengan perkataan: Allahuma shalli 'ala Muhammad. Dengan mengucapkan perkataan seperti: tercurah kepadamu Hai nabi.

     Bahkan Rasulullah bersabda: "Bagi sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali dan ditulis baginya sepuluh kebaikan."

     Sayyidul Ulama-il-Hijaz Syaikh Nawawi al-Bantani dalam "Ats-Tsimaarul Yaani'ah fir Riyaadhil Badii'ah" halaman 92 menyatakan bahawa antara masa dan tempat yang diharapkan kabulnya doa permohonan kita ialah pada perhimpunan-perhimpunan kebajikan (majaami-'ul-khair) seperti majlis-majlis pembacaan mawlid Junjungan Nabi. Oleh itu, selalulah menghadirkan diri dalam majlis-majlis mawlid dengan memperbanyakkan ucapan selawat dan salam serta mendoakan kebajikan diri dan umat sekaliannya.

     Imam Al-'Allaamah al-Hafiz Jamaluddin 'Abdur Rahman bin Abul Hasan 'Ali bin Muhammad bin 'Ali bin 'Ubaidillah al-Baghdadi al-Hanbali adalah seorang ulama besar bermazhab Hambali yang wafat tahun 597H. Belia dikenali sebagai "Ibnul Jawzi" menyebabkan beliau sering dikelirukan orang dengan "Ibnul Qayyim al-Jawzi" anak murid Ibnu Taimiyyah al-Harrani. Bersempena bulan mawlid ini, aku nukilkan tulisan-tulisan beliau mengenai Junjungan Nabi SAW dan amalan berselawat kepada baginda dari karangannya "Bustaanul Waa'idziin wa Riyaadhus Saami'iin". Halaman 298-299, beliau rahimahullah menulis: Telah diriwayatkan daripada Junjungan Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang banyak berselawat ke atasku, Allah akan memberi cahaya pada hatinya."


4) Mengamalkan Doa Masmunah

Doa ialah permohonan umat Rasulullah kepada Allah bukan baca doa. Doa dengan tawajjuh kepada Allah merupaka bahagian dari zikir kepada Allah, tetapi doa yang tidak tawajjuh kepada Allah ia merupakan kecuaian.

     Zikir dengan mengamalkan doa-doa sunnah harian adalah mustahak kerana ia merupakan zikir yang khas mengikut tempat dan keadaan yang berbeza, misalnya zikir dengan doa keluar rumah, masuk rumah, zikir sebelum makan sesudah makan, zikir sebelum tidur dan pelbagai lagi.

     Allah berfirman:

     "Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-
     orang yang menyeru (berdoa) kepada Tuhannya di
     waktu pagi dan petang, mengharapkan Wajah Allah
     (keredhaan-Nya)."

(Q.S Al-Kahfi [18]: 28)

     Maka untuk memahami maksud ayat ini dengan jelas, mari kita semak bersama keterangan Imamul mufassirin, iaitu Ibnu Jarir At-Tabari: "Allah berfirman kepada Nabinya Muhammad: Bersabarlah engkau wahai Muhammad, bersama sahabat-sahabatmu yang menyeru Tuhannya, di waktu pagi dan petang, iaitu dengan mengingat-Nya dengan ucapan tasbih, tahmid, tahlil, doa, dan amal-amal soleh lainnya, seperti: solat-solat fardhu dan lainnya. Mereka mengharapkan dengan perbuatan itu Wajah-Nya (keredhaan-Nya) dan tidak mengharapkan kepentingan dunia apapun."

     Dan pada kesempatan lain, beliau berkata: "Berdoa (menyeru) kepada Allah, boleh berupa mengagungkan dan memuji Allah dalam bentuk ucapan dan perkataan. Dan doa juga dapat berwujud ibadah yang diwajibkan atas mereka atau lainnya yang berupa amalan sunnah yang menjadikan-Nya redha, dan pelakunya dikatakan telah beribadah kepada-Nya dengan amalan itu. Dan sangat dimungkinkan bahawa mereka orang-orang yang dikatakan menyeru kepada Allah pada waktu pagi dan petang melakukan semua macam ibadah ini, sehingga Allah mensifati mereka dengan sebutan: orang-orang yang menyeru Allah pada waktu pagi dan petang, kerana Allah telah menyebut Al Ibadah dengan sebutan doa, Allah berfirman:

     "Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nis-
     caya Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-
     orang yang menyombongkan diri dan beribadah kepa-
     da-Ku, akan masuk neraka Jahnam dalam keadaan
     hina dina."

(Q.S Ghafir/Al-Mukmin [40]: 60)

     Rasulullah bersabda: "Doa adalah intisari dari ibadah."

     Dari Tsauban berkata, Rasulullah SAW bersabda, "tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali doa, tidak ada yang dapat menambah umur kecuali ketaatan umur, dan sesungguhnya seseorang terhalang dari mendapatkan rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya."

     "Tiada yang menolak takdir kecuali doa" maksud takdir dalam hadis ini adalah apa saja yang ditakuti oleh manusia iaitu hal-hal yang tidak disukai dan selalu dihindarinya. Apabila seseorang diberi taufik untuk berdoa, maka Allah akan mengelakkan takdir buruk itu darinya. Singkatnya, menolak takdir dengan doa maksudnya adalah menolak bala bencana dengan doa.


E. Hakikat Zikir Malam

Siapa saja yang menghadiri majlis zikir, maka ia akan memperoleh keuntungan. Majlis zikir itu sangat dihargai, sehingga di dunia saja dikatakan sebagai taman syurga. Nikmatilah kemewahannya, diisyaratkan seperti seekor haiwan yang sedang memakan rumput hijau di sebuah taman. Jika dihalau sedikit saja ia tidak akan pergi, bahkan walaupun dihalau oleh tongkat pemiliknya, ia tetap memakannya dan mulutnya tidak akan melepaskan rumput-rumput itu. Demikian juga orang yang berzikir, mereka tidak akan terganggu dengan fikiran-fikiran keduniaan ataupun yang lainnya, ia akan tetap bertawajuh kepada zikirnya.


1. Pengubat Hati

Dalam hadis di atas juga disebutkan bahawa majlis-majlis zikir itu seumpama taman-taman syurga yang di dalamnya tidak ada perasana gelisah, dukacita, atau suatu halangan yang boleh mengganggu ketenteraman.

     Dalam hadis lain disebutkan bahawa zikrullah juga merupakan pengubat dari penyakit-penyakit hati seperti takabbur, hasad, dengki, iri hati, buruk sangka, dan sebagainya. Oleh kerana itu, majlis zikir boleh dijadikan ubat bagi segala penyakit hati. Seorang ulama menulis dalam kitabnya Fawaid fis solat wal awaid, "Bagi sesiapa yang berzikir, pastilah ia akan terpelihara dari segala bala bencana."

     Diriwayatkan dalam sebuah hadis sahih bahawa Rasulullah bersabda, "Aku telah memerintahkan kepada kamu untuk memperbanyak zikir. Perbandingan orang yang berzikir itu adalah seperti seseorang yang dikejar oleh musuhnya lalu ia lari dan berjaya melindungi dirinya dalam benteng yang kuat. Orang yang berzikir adalah peserta majlis Allah. Tidak ada faedah sebesar ini, iaitu seseorang yang berzikir menjadi peserta Malikul Mulk (Pemilik segala kerajaan)."

     Selain itu, dengan zikrullah dada seseorang akan terbuka, hatinya akan bersinar, kekusutan hatinya akan lenyap dan ada beratus-ratus faedah lainnya sama ada zahir mahupun batin yang telah diterangkan oleh para ulama.


2. Mendapat Doa Dari Malaikat

Seseorang telah mengunjungi Abu Umamah lalu berkata kepada beliau, "Aku melihat dalam mimpi setiap kali tuan masuk atau keluar atau berdiri atau duduk, para malaikat berdoa untuk tuan." Abu Umamah berkata, "Jika kamu mahu, mereka pun boleh berdoa untukmu."

     Lalu Abu Umamah membaca ayat Al-Quran berikut ini:

     "Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (den-
     gan menyebut nama) Allah zikir yang sebanyak-ban-
     yaknya."

(Q.S Al-Ahzab [33]: 41)

     Ayat di atas menunjukkan bahawa rahmat Allah dan doa para malaikat bergantung kepada zikrullah yang kita kerjakan. Semakin banyak kita mengingati Allah, maka sebanyak itu pula kita akan diingat oleh Allah.


3. Menghalau Syaitan

Melihat pelbagai faedah di atas, maka zikrullah boleh dianggap sebagai ibadah yang paling afdhal, terutama kerana ia dapat memelihara manusia dari godaan syaitan.

     Di dalam sebuah hadis diterangkan bahawa syaitan sentiasa mendominasi hati manusia. Apabila manusia berzikir, maka syaitan berundur dengan perasaan hina dan tidak ada kuasa, sebaliknya jika manusia cuai dari berzikir, maka syaitan datang untuk menggodanya kembali. Ia menanamkan dalam hati manusia berbagai-bagai keraguan. Kerana itulah para ulama tasawuf menganjurkan zikrullah sebanyak-banyaknya agar hati menjadi kuat, sehingga dapat mengatasi segala keraguan dan godaan syaitan, juga agar hati jangan sampai menjadi tumpuan syaitan.

     Para sahabat telah mendapatkan kekuatan hati dengan mendampingi Rasulullah. Kekuatan hati mereka merupakan kekuatan yang luar biasa, kerananya mereka tidak perlu lagi mengamalkan zikir jihri (zikir dengan mengeraskan suara). Tetapi kerana kita telah jauh dari zaman Rasulullah maka hati kita menjadi lemah. Oleh kerana itu kita memerlukan rawatan untuk mendapat kekuatan hati. Kerana lemahnya hati ini, rawatan yang semujarab mana pun tidak dapat melahirkan kekuatan hati seperti yang didapati para sahabat, namun bagaimanapun usaha kita untuk mendapatkannya tetap akan memberi faedah.

     Walaupun penyakit hati itu tidak dapat dibasmi seluruhnya, tetapi jika dapat dibasmi atau membasmi sebahagian sahaja sudah merupakan rahmat yang sangat besar.

     Suatu ketika seorang Mullah pernah berdoa kepada Allah SWT agar diperlihatkan kepadanya celah-celah yang digunakan oleh syaitan untuk menanamkan perasaan was-was di dalam hati manusia. Permohonannya itu diperkenankan dan ia melihat syaitan berupa seekor nyamuk yang berbelalai panjang, sedang berada di sebelah kiri hatinya dan perlahan-lahan belalainya diarahkan ke hatinya. Jika didapati hati itu sedang berzikir, maka cepat-cepat ditarik belalainya, sebaliknya jika ia mendapati hati itu sedang lalai, maka ia menyuntikkan racun maksiat dan menanamkan benih keraguan dalam hati manusia dengan belalainya itu.

     Dalam hadis lain diriwayatkan bahawa syaitan sentiasa duduk sambil meletakkan hujung hidungnya di atas hati manusia. Jika hati itu berzikir maka ia terus berundur dengan perasaan hina, tetapi jika hati itu lalai maka ia terus menyerang dan menggodanya.


4. Mendapat Karamah

Diantara keyakinan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah adalah meyakini adanya Karamah dan ia datang dari sisi Allah. Tahukah, apa yang dimaksud dengan Karamah?

     Karamah adalah kejadian di luar kebiasaan (tabiat manusia) yang Allah anugerahkan kepada seorang hamba tanpa disertai pengakuan (pemiliknya) sebagai seorang nabi, tidak memiliki pendahuluan tertentu berupa doa, bacaan, ataupun zikir khusus, yang terjadi pada seorang hamba yang soleh, baik dia mengetahui terjadinya (karamah tersebut) ataupun tidak, dalam rangka mengukuhkan hamba tersebut dan agamanya.

     Ibnu Taimiyyah mengatakan: "Dan termasuk dari prinsip Ahlus Sunnah wal Jama'ah meyakini adanya Karamah para wali dan apa-apa yang Allah perbuat dari keluarbiasaan melalui tangan-tangan mereka baik yang berkaitan dengan ilmu, mukasyafat (mengetahui hal-hal yang tersembunyi), bermacam-macam keluarbiasaan (keampunan) atau pengaruh-pengaruh."

     Karamah ini tetap ada sampai akhir zaman dan terjadi pada umat ini lebih banyak daripada umat-umat sebelumnya, yang demikian itu menunjukkan keredhaan Allah terhadap hamba-Nya dan sebagai pertolongan baginya dalam urusan dunianya atau agamanya. Namun bukan berarti Allah benci terhadap orang-orang yang tidak nampak karamah padanya.
  
     Asid bin Hudair membaca surat Al-Kahfi lalu turunlah bayangan dari langit yang ada semacam lentera dan itu adalah para malaikat yang turun kerana bacaannya. Dan malaikat pernah menyalami Imran bin Husain, Salman dan Abu Darda makan di piring lalu piring mereka bertasbih atau makanan yang ada pada piring tersebut bertasbih. Ubbad bin Busyr dan Asid bin Hudair kembali dari Rasulullah pada malam yang gelap gelita. Maka Allah menjadikan cahaya bagi mereka berdua, dan tatkala mereka berpisah maka terpisah juga cahaya tersebut.

     Mutharrif bin Abdillah jika memasuki rumahnya maka tempayan-tempayannya bertasbih bersamanya. Dia bersama seorang sahabatnya berjalan di malam hari, lalu Allah menjadikan cahaya untuk mereka berdua.

     Walau demikian dalam beribadah hendaknya kita berniat kerana Allah bukan kerana untuk mencari karamah. Kita meminta kepada Allah agar boleh beristiqamah dalam hidup kita bukan mencari karamah. Berkata Abu Ali Al-Jauzaja'i: "Jadilah engkau orang yang mencari istiqamah, jangan menjadi pencari karamah. Sesungguhnya jiwamu bergerak (berusaha) dalam mencari karamah padahal Rob engkau mencari istiqamahmu."

     Berkata Syaikh As-Sahrwardi: "Ucapan ini adalah prinsip yang agung dalam perkara ini, kerana sesungguhnya banyak mujtahid dan ahli ibadah mendengar salaf yang soleh, telah diberi karamah-karamah dan hal-hal yang luar biasa sehingga jiwa-jiwa mereka (para ahli ibadah itu) sentiasa mencari sesuatu dari hal itu (karamah tersebut), dan mereka ingin diberikan sedikit dari hal itu, dan mungkin antara mereka ada yang hatinya kecewa dalam keadaan menuduh dirinya bahawa amal ibadahnya tidak sah kerana tidak mendapat karamah. Kalau mereka mengetahui rahsia hal itu (iaitu Allah tidak menuntut para hambanya untuk memperoleh karamah, tetapi yang Allah inginkan para hambanya beristiqamah) tentu perkara ini (mencari karamah) adalah perkara yang rendah bagi mereka."


3. Zikir Menghasilkan Nur

Abu Hurairah berkata, "Jika nama Allah disebutkan di suatu rumah, maka rumah itu bercahaya terang benderang menyilaukan para penghuni langit seperti bintang yang cahayanya menyilaukan para penduduk bumi."

     Rumah yang di dalamnya ada zikrullah merupakan sumber cahaya yang terang benderang seperti bintang. Jika Allah menganugerahkan mata batin kepada seseorang, maka sewaktu di dunia pun orang itu dapat merasakan cahaya itu. Beberapa hamba Allah pernah melihat dengan mata kasarnya, nur dan cahaya pada wajah-wajah para pencinta Allah dan di tempat-tempat tinggalnya.

     Fudhail bin Iyadh seorang wali yang terkenal, beliau berkata, "Para penghuni langit akan melihat cahaya rumah yang di dalamnya ada zikrullah seperti lampung yang terang benderang."

     Syeikh Abdul Aziz Dabbagh juga seorang yang soleh termahsyur pada zaman yang tidak terlalu jauh dari zaman sekarang. Beliau adalah seorang ummi (tidak pandai baca tulis), namun beliau dapat membezakan antara ayat suci Al-Quran, hadis qudsi, hadis Nabi, dan hadis palsu. Beliau berkata, "Apabila ada seseorang sedang berbincang, maka dari nur perkataannya itu dapat diketahui, berasal dari siapakah perkataan itu, apakah dari Kalamullah Yang Maha Suci atau dari hadis Rasulullah SAW, kerana nur kedua perkataan itu berbeza dengan nur perkataan-perkataan lainnya."

     Syeikh Maulana Zhafar Ahmad memetik dari kitab Tazkiratul Khalil, sebuah kitab yang menceritakan riwayat hidup Syeikh Khalil Ahmad, seorang ahlullah dan ulama hadis terkemuka pada awal abad kedua puluh ini. Bahawa ketika Syeikh Khalil Ahmad datang ke Makkah untuk mengerjakan tawaf qudum, aku sedang duduk di samping Syeikh Muhibbudin (beliau adalah khalifah Syeikh al Haj Imdadullah Muhajir dan seorang ahli kasyaf yang mahsyur). Pada ketika itu Syeikh Muhibudin sedang sibuk membaca selawat, tiba-tiba beliau berpaling kepadaku dan berkata, "Siapakah yang telah datang ke Masjidil Haram sehingga kerananya Masjidil Haram telah dipenuhi dengan nur?"

     Ketika itu aku terdiam. Setelah Syeikh Khalil Ahmad selesai mengerjakan tawafnya lalu beliau pulang melalui tempat duduk Syeikh Muhibuddin maka Syeikh ini bangun seraya berkata sambil tersenyum-senyum, "Aku baru mengetahui, siapakah yang dengan kedatangannya Masjidil Haram telah dipenuhi oleh cahaya."

     Fadilah dan keuntungan zikir telah diterangkan dalam beberapa hadis dengan pelbagai uslub. Ada sebuah hadis yang menerangkan ribat yang paling afdhal ialah solat dan zikir. Ribat iaitu menjaga sesebuah negeri Islam dari serangan orang-orang kafir.









N / F : DARIPADA "5 PENAWAR PENYAKIT HATI", OLEH MOHAMMAD ZAKI.

No comments:

Post a Comment