Saturday 18 March 2017

PERANG BADAR [ BAB 9 - PEMBALASAN ]






PEMBALASAN








Lembah Badar yang subur tanahnya itu terus disirami darah para syuhada yang gugur syahid dan darah tentera Quraisy. Tempik sorak dan laungan takbir kedengaran silih berganti diiringi gemerencing mata pedang. Pertempuran yang berlaku antara pasukan tentera Quraisy dan tentera Islam yang bermula sejak pagi masih berterusan.

     Al-Mujadzar bin Dziyad al-Balawi seorang Muhajirin sedang berlegar-legar mencari lawannya. Tiba-tiba dia ternampak Abu al-Bakhtari atau nama sebenarnya al-Ash bin Hisyam dan Junadah bin Mulaihah. Al-Mujadzar segera mendapatkan kedua-dua tentera Quraisy itu.

     Melihat kedatangan al-Mujadzar, Abu al-Bukhtari dan Junadah bersiap sedia hendak bertarung.

     "Wahai Abu al-Bakhtari, aku tidak mahu berlawan dengan kamu. Aku cuma mahu membunuh Junadah," teriak al-Mujadzar.

     "Mengapa?" tanya Abu al-Bakhtari dengan rasa hairan. 

     "Nabi Muhammad berpesan supaya kami tidak membunuh kamu kerana kamu tidak pernah menyakiti Rasulullah dan tidak pernah mengucapkan kata-kata yang tidak elok padanya, kerana itu aku tidak mahu membunuh kamu," jawab kata al-Mujadzar.

     "Tetapi aku akan bunuh kamu, walaupun kamu tidak mahu membunuh aku," kata Abu al-Bakhtari pula sambil mara ke arah al-Mujadzar.

     "Aku patuh dengan pesan Nabi Muhammad. Kerana itu biarkan sahaja aku berlawan dengan kawanmu itu," kata al-Mujadzar pula.

     "Adakah kawanku ini tidak dilindungi nyawanya oleh nabi kamu?" tanya Abu al-Bakhtari.

     "Hanya nama kamu, al-Abbas dan Bani Hasyim sahaja yang dilindungi. Selain itu, halal darahnya kami bunuh," jawab al-Mujadzar.

     "Junadah adalah kawanku yang sama-sama keluar dari Mekah. Aku tidak mahu kaum wanita Quraisy mengatakan aku pengecut kerana menyelamatkan diri sendiri dan membiarkan temanku dibunuh," kata Abu al-Bakhtari pula.

     "Demi Allah, aku tidak akan biarkan Junadah hidup. Aku tetap akan membunuhnya ataupun aku yang syahid," tegas al-Mujadzar.

     "Tunggu dahulu al-Mujadzar," teriak Abu al-Bakhtari. Kemudian dia bersyair.

     Aku anak Hurrah
     Tidak akan menyerahkan temannya
     Aku akan mempertahankannya
     Hingga kami mati bersama
     Atau hidup bebas

Kemudian Abu al-Bakhtari dan Junadah menghunus senjata bagi bertempur dengan al-Mujadzar.

     "Abu al-Bakhtari, apakah kamu lupa mengenai nasabku? Aku mahir menikam dengan tombak. Kamu berdua tidak aku lepaskan," balas al-Mujadzar pula.

     Lalu berlaku perlawanan dua melawan satu. Bagi menghadapi dua orang lawannya, al-Mujadzar menggunakan tombak. Tambahan pula dia seorang yang mahir menikam dengan tombak. Dengan ketangkasan al-Mujadzar akhirnya dia berjaya mengalahkan Abu al-Bakhtari dan Junadah. Selepas berjaya menewaskan lawannya, timbul rasa kesal di hati al-Mujadzar kerana melanggar pesan Rasulullah supaya jangan membunuh Abu al-Bakhtari. Lantas dia menemui Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, demi Zat yang mengutusmu dengan membawa kebenaran, saya bertemu dengan Abu al-Bakhtari. Saya berusaha menjadikannya sebagai tawanan dan membawanya kepada kamu, tetapi dia enggan malah cuba membunuh saya. Maka berlaku pertempuran antara kami yang akhirnya saya terpaksa membunuhnya. Maafkan saya kerana melanggar pesan kamu," kata al-Mujadzar sambil melahirkan rasa kesalnya.

     Nabi Muhammad memahami situasi yang dilalui oleh al-Mujadzar. Kerana itu beliau tidak marah. Barulah senang rasa hati al-Mujadzar. Kemudian dia terjun semula ke medan perang lalu bertempur bermati-matian.

     Di kaki sebuah bukit di lembah Badar, Abdul Rahman bin Auf sedang mengumpulkan baju besi yang diambilnya daripada mayat-mayat tentera Quraisy. Kemudian baju-baju besi itu dibawanya ke pangkalan tentera Islam. Di pertengahan jalan dia terserempak dengan Umaiyah bin Khallaf dan anaknya Ali bin Umaiyah. Kedua-duanya berada dalam ketakutan selepas menyedari tentera Quraisy tidak mampu mengalahkan tentera Islam. Umaiyah dan anaknya cuba melarikan diri dari medan pertempuran.

     "Abdul Rahman, apakah kamu tidak mengenali sahabat baikmu ini?" tanya Umaiyah.

     "Aku tidak lupa kepada kamu wahai Umaiyah. Semasa di Mekah dahulu kita berkawan baik. Selepas aku berhijrah dan menjadi pengikut Muhammad kita bermusuhan. Sekarang kita berjumpa di medan perang," kata Abdul Rahman bin Auf lalu bersedia mahu berlawan.

     "Aku dan anakku lebih rela menyerah diri daripada dibunuh. Jadikanlah kami tawanan perang. Apakah baju besi itu lebih berharga daripada diri aku anak aku? Sekiranya kami berdua dijadikan tawanan, kamu akan dibayar dengan tebusan yang banyak," kata Umaiyah sambil merayu supaya jangan dibunuh.

     Abdul Rahman mencampakkan baju besi lalu menjadikan Umaiyah dan anaknya Ali sebagai tawanan perang. Pada masa yang sama Bilal bin Rabah sedang mencari Umaiyah bin Khallaf yang pernah menyeksanya separuh mati ketika berada di Mekah. Dia sudah nekad hendak membunuh bekas tuannya yang berhati kejam itu. Tiba-tiba dia terserempak dengan Abdul Rahman bin Auf yang sedang membawa Umaiyah dan anaknya sebagai tawanan. Kemarahan Bilal tiba-tiba meluap apabila ternampak muka Umaiyah.

     Bilal bin Rabah asalnya hamba kepada Umaiyah bin Khallaf yang begitu memusuhi Nabi Muhammad. Tetapi dalam diam-diam akhirnya Bilal masuk Islam lalu menjadi pengikut Muhammad. Apabila Umaiyah mendapat tahu dia berasa sangat marah lalu memaksa Bilal kembali murtad. Tetapi Bilal enggan walaupun disakiti.

     Bagi memaksa Bilal menukar semula agamanya, Umaiyah menyeksa Bilal. Selpas dipukul dan disakiti namun Bilal tidak mahu berubah pendirian lalu dijemur di tengah panas. Bilal dipakaikan baju besi, dijemur pada tengah panas dan diletakkan seketul batu di atas dadanya. Tetapi Bilal tetap tidak berubah imannya. Akhirnya Bilal dibeli oleh Abu Bakar as-Siddiq.

     "Umaiyah, aku tidak akan berasa tenteram selagi kamu belum aku bunuh!" teriak Bilal sambil menerpa ke arah Umaiyah tetapi berjaya ditahan oleh Abdul Rahman bin Auf.

     "Bilal, Umaiyah dan anaknya sudah menjadi tawanan saya. Kedua-duanya di bawah perlindungan saya hingga diserahkan kepada Nabi Muhammad," kata Abdul Rahman bin Auf.

     "Wahai pembela agama Allah, lepaskan Umaiyah kerana saya hendak membunuhnya. Saya tidak berasa aman selagi dia hidup," bentak Bilal lalu memaksa Abdul Rahman bin Auf tetap enggan melepaskan tawanannya.

     Bilal yang tidak dapat menahan rasa marahnya apabila melihat Umaiyah yang berhati kejam itu terus bertekad mahu membunuhnya. Abdul Rahman bin Auf pula bertekad mahu melindungi tawanan perangnya. Melihat situasi itu maka beberapa orang kawan-kawan Bilal datang membantu. Mereka mengepung Abdul Rahman bin Auf bersama Umaiyah dan anaknya Ali.

     "Mengapa kamu melindungi orang yang memusuhi Allah dan RasulNya?" tanya Bilal.

     "Mereka sudah menyerah diri dan menjadi tawanan saya. Kerana itu saya berhak melindunginya," jawab Abdul Rahman bin Auf.

     "Umaiyah tidak boleh dimaafkan kerana dia banyak menyakiti Rasulullah. Dia juga pernah menyeksa saya tanpa rasa belas kasihan," marah Bilal bin Rabah.

     "Kita serahkan dia kepada Rasulullah. Biar dia yang menjatuhkan hukuman," Abdul Rahman bin Auf tetap mempertahankan Umaiyah.

     "Saya tetap akan bunuh dia. Darahnya halal ditumpahkan dalam peperangan," bentak Bilal bin Rabah.

     "Rebahkan dirimu wahai Umaiyah," teriak Abdul Rahman bin Auf apabila melihat Bilal hendak menyerang.

     Umaiyah segera merebahkan dirinya di atas tanah. Kemudian Abdul Rahman bin Auf melindungi Umaiyah dengan berbaring di atas badan Umaiyah.

     "Saya tetap akan bunuh Umaiyah!" teriak Bilal.

     Ali anak Umaiyah bertindak cuba menghalang Bilal daripada membunuh ayahnya. Tetapi dia dipukul oleh Bilal hingga tersungkur. Melihat keadaan anaknya itu maka Umaiyah pun berseru.

     "Wahai Tuhanku al-Latta dan al-Uzza, selamatkanlah diriku dan anakku," teriak Umaiyah.

     "Umaiyah, ucapkan tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dan mengaku Muhammad itu pesuruh Allah. Pasti kamu tidak akan dibunuh oleh Bilal," kata Abdul Rahman bin Auf.

     "Lidah aku tidak akan mengucapkan apa yang diucapkan oleh Bilal hambaku yang hina itu," balas Umaiyah pula.

     "Demi Allah, aku tidak akan melindungi kamu lagi wahai Umaiyah," kata Abdul Rahman bin Auf.

     Umaiyah dapat merampas pedang kepunyaan Abdul Rahman bin Auf. Kemudian bersedia bagi bertarung dengan Bilal.

     "Umaiyah, inilah saat yang aku tunggu. Membunuh kamu adalah perkara yang paling menggembirakan hatiku. Kecuali sekiranya kamu mengucapkan kalimah laailaha illallah Muhammad Rasulullah," kata Bilal.

     Umaiyah menerpa ke arah Bilal lalu melibaskan pedang di tangannya. Namun berjaya dielak Bilal. Kemudian giliran Bilal pula melakukan serangan. Umaiyah yang sudah berusia itu ternyata tidak mampu menentang Bilal yang lebih muda dan gagah perkasa. Akhirnya Bilal berjaya menewaskan Umaiyah. Dia berasa puas dan gembira kerana orang yang pernah menyeksanya sudah menemui ajalnya.

     "Semoga Allah merahmati kamu wahai Bilal. Kamu gembira tetapi saya tidak kerana baju besi yang saya kumpulkan sudah hilang. Tawanan perang saya pula sudah kamu bunuh. Hati saya sedang berkecamuk," kata Abdul Rahman bin Auf.

     "Mari kita berjumpa Rasulullah," kata Bilal bin Rabah.

     Bilal dan Abdul Rahman bin Auf segera mendapatkan Rasulullah yang pada masa itu berlindung di dalam khemah. Beliau dikawal oleh Abu Bakar as-Siddiq dan Sa'ad bin Muazd. Bilal bin Rabah menceritakan apa yang berlaku antara dia dengan Abdul Rahman bin Auf. Diceritakan juga tentang kematian Umaiyah bin Khallaf di tangan Bilal. Rasulullah menyetujui tindakan Bilal kerana dalam peperangan boleh membunuh musuh.

     Sa'ad bin Muaz yang mendengar perbualan itu berwajah muram. Dia berasa sedih kerana ramai kaum kerabatnya terbunuh.

     "Wahai Sa'ad, nampaknya kamu tidak suka apa yang dilakukan oleh sahabat-sahabat kamu," kata Rasulullah sambil menoleh ke arah Sa'ad.

     "Benar wahai Rasulullah kerana mereka kaum kerabat saya," kata Sa'ad bin Muaz.

     "Ini adalah balasan pertama yang Allah timpakan kepada orang musyrik. Demi Allah, membunuh orang musyrik di medan perang itu saya sukai daripada membiarkan mereka hidup," kata Rasulullah. Barulah tenang perasaan Sa'ad bin Muaz.

     Pada masa yang sama Abu Jahal berasa cemas apabila melihat semakin ramai tentera Quraisy yang terbunuh. Ramai pula yang tercedera dan mereka tidak dapat diberikan rawatan kerana keadaan menjadi kelam-kabut. Abu Jahal berusaha menaikkan semangat pasukannya melalui pembacaan syairnya.

     Perang yang sengit seperti ini
     Memberi peluang aku membalas dendam
     Aku ibarat unta dua tahun
     Yang baru tumbuh gigi
     Untuk menghadapi saat ini dengan gagah
     Ibuku melahirkan aku sebagai pahlawan...

Namun kata-kata Abu Jahal tidak dapat menaikkan semangat pasukannya. Mereka di ambang kekalahan. Abdul Rahman bin Auf dan Bilal juga kembali semula ke medan perang selepas bertemu dengan Nabi Muhammad. Kedua-duanya berjuang bermati-matian bagi menewaskan lawan.

     Tiba-tiba Abdul Rahman bin Auf didatangi dua orang remaja daripada kaum Ansar iaitu Muaz bin Amr al-Jamuh, 14 tahun dan Muawwiz bin Afra berumur 13 tahun. Kedua-duanya bersenjatakan pedang. Tentera Quraisy seolah-olah tidak menghiraukan kehadiran dua remaja itu kerana menganggap kedua-duanya tidak berbahaya. Mereka juga mahu Abdul Rahman bin Auf ditawan hidup-hidup bagi dijadikan tebusan kerana dia terkenal sebagai saudagar yang kaya.

     "Wahai anak, kamu masih terlalu muda bagi terlibat dengan peperangan ini. Sebaiknya kamu jauhi tempat ini," kata Abdul Rahman bin Auf yang berasa bimbang berkenaan keselamat dua remaja itu.

     "Kami mendapat izin daripada ibu dan ayah kami bagi menyertai pasukan Muhammad," jelas Muaz.

     "Saya datang ke sini bagi membunuh Abu Jahal. Tunjukkan di mana dia?" kata Muawwiz dengan penuh semangat.

     Pada mulanya Abdul Rahman bin Auf tidak menghiraukan kata-kata dua remaja itu. Tetapi apabila Muaz dan Muawwiz terus mendesaknya supaya menunjukkan di mana Abu Jahal maka akhirnya Abdul Rahman bersetuju.

     "Pak Cik akan tunjukkan kepada kamu di mana Abu Jahal. Boleh tahu apakah yang kamu akan lakukan apabila berjumpa dengannya?" tanya Abdul Rahman bin Auf pula.

     "Ibu saya berpesan jangan pulang ke rumah selagi kepala Abu Jahal tidak diceraikan dari badannya," jawab Muaz bersungguh-sungguh.

     "Abu Jahal menghina serta menyakiti Rasulullah. Saya mahu membunuhnya," kata Muawwiz pula.

     Abdul Rahman bin Auf tersenyum mendengar kata-kata daripada dua orang remaja yang berani itu. Dia berjanji akan menunjukkan Abu Jahal apabila terjumpa. Tiba-tiba seorang tentera Quraisy menyerang Abdul Rahman bin Auf dari belakang. Muaz dan Muawwiz yang melihat kejadian itu segera bertindak melindunginya. Muaz dengan pantas menetak kaki tentera Quraisy menyebabkan dia tersungkur dan Muawwiz pula menikamnya hingga mati. Abdul Rahman bin Auf berasa kagum dengan kehebatan dua remaja itu.

     "Tunjukkan kepada kami di mana Abu Jahal," kata Muaz seolah-olah tidak sabar lagi hendak bertemu dengan ketua pasukan tentera Quraisy itu.
  
     Tiba-tiba Abdul Rahman bin Auf melihat Abu Jahal sedang berada di bawah sepohon kayu yang rendang. Dia menunggang kuda sambil berteriak memberi kata-kata semangat kepada tenteranya supaya terus berjuang.

     "Itulah lelaki yang kamu cari. Tetapi kamu mestilah berhati-hati kerana dia juga seorang pahlawan Quraisy," kata Abdul Rahman bin Auf.

     "Terima kasih pak cik. Saya akan dapatkan dia sekarang," kata Muaz sambil berlari ke arah Abu Jahal.

     "Saya akan membantunya membunuh lelaki yang memusuhi Allah dan RasulNya itu," kata Muawwiz pula.

     "Berhati-hati kerana dia dilindungi oleh tentera Quraisy," pesan Abdul Rahman bin Auf. Dia sendiri tidak dapat membantu kerana sedang berhadapan dengan tentera Quraisy yang menyerangnya.

     Muaz dan Muawwiz terus berlari pantas ke arah Abu Jahal tanpa menghiraukan keselamatan dirinya. Ketika itu Abu Jahal masih berada di atas kudanya. Dia tidak nampak kedatangan dua remaja itu. Muaz yang terlebih dahulu sampai daripada kawannya Muawwiz. Dia tidak dapat menetak Abu Jahal yang berada di atas kudanya. Muaz memancung kaki kanan kuda yang dinaiki Abu Jahal menyebabkan kuda itu tersungkur. Abu Jahal juga jatuh tersungkur. Dia bertempik marah sambil menahan kesakitan. Ketua pasukan Quraisy itu cuba bangun tetapi dengan pantas Muaz menetak kaki kanan Abu Jahal hingga terputus. Muawwiz pula menetak kepala Abu Jahal hingga dia menggelupur kesakitan.

     Ikramah anak Abu Jahal yang turut berada di situ segera bertindak bagi melindungi bapanya. Dia menyerang Muaz dan berjaya menetak tangan kiri remaja itu hingga terkulai hampir putus. Ikramah membiarkan Muaz lari apabila melihat Muawwiz hendak membunuh bapanya. Maka berlaku pula pertarungan antara Ikramah dengan Muawwiz. Akhirnya Muawwiz gugur syahid.

     Muaz pula selepas berjaya menetak Abu Jahal dengan pedangnya terus berlari bagi mendapatkan Rasulullah. Tetapi lariannya terganggu akibat tangan kirinya terkulai-kulai hampir putus. Muaz segera berhenti lalu mengambil keputusan memijak dan memutuskan tangannya yang terkulai itu lalu berkata, "Wahai tangan, kamu mengganggu perjalananku bagi bertemu Rasulullah."

     Tanpa menghiraukan kesakitannya Muaz terus berlari bertemu dengan Rasulullah. Kemudian Muaz memeluk Nabi Muhammad.

     "Wahai Rasulullah, saya dan Muawwiz berjaya mencederakan Abu Jahal. Tetapi dia masih hidup kerana kami diserang oleh anaknya Ikramah dan beberapa orang kawan-kawannya," beritahu Muaz lalu menunjukkan di mana Abu Jahal sedang berada.

     Nabi Muhammad memanggil Abdullah bin Masud yang berada di situ kerana gilirannya mengawal Nabi Muhammad lalu menyuruhnya mencari Abu Jahal.

     "Wahai ibnu Mas'ud, budak ini mengatakan dia mencederakan Abu Jahal. Pergi dapatkan dia di sana," kata Rasulullah.
   
     Abdullah bin Mas'ud segera pergi mencari Abu Jahal. Didapatinya ketua Quraisy itu luka parah tetapi masih hidup. Tanpa rasa belas kasihan Abdullah bin Mas'ud memijak leher Abu Jahal sambil berkata, "Wahai musuh Allah dan musuh RasulNya. Pada hari ini Allah menghina kamu!"

     "Dengan apa Allah menghina aku? Adakah kerana aku mati di tangan engkau?" tanya Abu Jahal yang masih menunjukkan kesombongannya.

     Abdullah bin Mas'ud mengangkat pedang hendak memenggal kepala Abu Jahal tetapi ketua pasukan Quraisy itu berkata, "Sebelum engkau membunuh aku, beritahu dahulu pihak mana yang memenangi peperangan ini. Miliki siapa kemenangan pada hari ini?"

     "Tentera Quraisy kalah. Kemenangan itu milik Allah dan RasulNya," jawab Abdullah bin Mas'ud.

     "Awak bohong wahai penggembala kambing!" kata Abu Jahal. Dia masih menunjukkan kesombongannya walau dalam keadaan luka parah.

     Abdullah bin Mas'ud menghayun pedang lalu memenggal leher Abu Jahal. Kemudian kepala Abu Jahal dibawanya lalu ditunjukkan kepada Nabi Muhammad.

     "Wahai Rasulullah, inilah kepada musuh Allah," kata Abdullah bin Mas'ud.

     "Demi Allah, tiada Tuhan selain Allah," kata Rasulullah sebanyak tiga kali.

     Kemudian dia menyambung lagi kata-katanya, "Allahu akbar, segala puji bagi Allah yang memenuhi janjinya dengan menolong hambaNya dan mengalahkan musuhNya."

     Berita terbunuhnya Abu Jahal itu dengan cepat disampaikan ke pengetahuan tentera Islam. Mereka menjadi semakin bersemangat bagi berjuang dengan bersungguh-sungguh. Tetapi berlainan pula dengan tentera Quraisy. Berita kematian ketuanya itu melemahkan semangat mereka. Namun pertempuran masih berterusan.

     Sejak mula tercetusnya pertempuran, Abdullah mencari anaknya Amir yang lebih dikenali nama Abu Ubaidah al-Jarrah. Tujuannya tidak lain tidak bukan hanya mahu membunuhnya. Dia bersumpah mahu membunuh anak kandungnya itu kerana masuk Islam serta menjadi pengikut Muhammad.

     Sebelum menjadi pengikut Muhammad, Abu Ubaidah al-Jarrah adalah anak kesayangan Abdullah. Dia seorang saudagar yang kaya. Dia juga memberi modal kepada Abu Ubaidah al-Jarrah bagi berniaga hingga menjadi kaya. Tetapi apabila masuk Islam, Abdullah membenci Abu Ubaidah al-Jarrah hingga sanggup menyeksa serta merampas segala harta kekayaan anaknya. Abu Ubaidah al-Jarrah mendapatkan Nabi Muhammad dengan cuma sehelai sepinggang.

     Abdullah bertambah marah apabila mendapat tahu Abu Ubaidah al-Jarrah turut berhijrah ke Madinah. Kerana itu apabila berlaku perang Badar, Abdullah bertekad membunuh anaknya.

     Sebelum berlakunya pertempuran, Abdullah cuba mendapatkan maklumat tentang anaknya Abu Ubaidah al-Jarrah. Selepas mendapat tahu anaknya itu ada dalam pasukan tentera Islam, dia pun bersumpah mahu membunuhnya. Tambahan pula Abu Jahal mencabarnya dengan mengatakan sekiranya Abdullah sanggup menunaikan sumpahnya, dia akan dilantik menjadi pembesar Quraisy.

     Abu Ubaidah al-Jarrah juga tahu bapanya berada dalam pasukan tentera Quraisy. Kerana masih ada rasa sayang dan hormat kepada seorang ayah, Abu Ubaidah berusaha mengelakkan diri daripada bertembung dengan ayahnya. Tambahan pula Nabi Muhammad berpesan kepadanya supaya mengelakkan bertembung dengan bapanya. Kerana itu sejak pada awal pertempuran Abu Ubaidah al-Jarrah memastikan dirinya tidak bertempur dengan ayahnya. Suatu ketika Abu Ubaidah al-Jarrah ternampak ayahnya sedang menuju ke arahnya dengan pedang terhunus. Maka Abu Ubaidah al-Jarrah segera menjauhkan diri.

     Ketika itu perang semakin berkecamuk. Semakin banyak darah yang tertumpah dan semakin ramai nyawa yang terkorban. Mereka yang cedera mengerang kesakitan. Jerit pekik terdengar di sana sini diselangi laungan Allahu Akbar. Pasukan tentera Quraisy semakin tertekan. Walaupun jumlah mereka ramai namun tidak mampu menahan asakan orang Islam. Mereka menyerang tanpa henti meskipun jumlah mereka lebih kecil tetapi jiwa dan semangat mereka kental.

     Di tengah medan perang, tentera Quraisy seakan-akan hilang haluan. Kematian Abu Jahal, Umaiyah, Utbah dan beberapa pemimpin membuatkan mereka seperti anak ayam kehilangan ibu.

     "Abu Ubaidah! Di mana kau?" teriak Abdullah sambil matanya melilau memerhatikan kelibat anaknya.

     Abu Ubaidah terdengar suara ayahnya namun dia sengaja tidak mahu menjawabnya. Sejak dari mula dia berusaha mengelakkan diri daripada bertembung dengan ayahnya, kerana dia tidak sanggup membunuh ayahnya sendiri. Dia lebih rela ayahnya mati di tangan sahabat-sahabatnya daripada tangannya sendiri. Tiba-tiba seorang tentera Quraisy ternampak Abu Ubaidah lalu memberitahu Abdullah.

     "Abdullah, anak kamu di sana. Pergi dapatkan dia cepat. Engkau sudah bersumpah hendak memenggal lehernya," teriak tentera Quraisy itu. Abdullah segera mengejar Abu Ubaidah al-Jarrah.

     "Aku akan terus mengejar kamu hingga kepala bercerai daripada badan kamu!" teriak Abdullah dengan rasa marah.

     Namun Abu Ubaidah al-Jarrah tidak menghiraukan kata-kata ayahnya. Dia terus melarikan diri kerana tidak sanggup bertarung dengan ayah kandung sendiri. Tetapi berlainan pula dengan Abdullah. Dia menyangka Abu Ubaidah al-Jarrah takut hendak berlawan dengannya. Maka Abdullah terus mengejar Abu Ubaidah al-Jarrah. Akhirnya Abu Ubaidah al-Jarrah sampai di satu tempat dan tidak dapat lagi melarikan diri.

     "Aku akan bunuh kamu wahai Abu Ubaidah," teriak Abdullah sambil menghunus pedangnya.

     "Wahai ayah, ucaplah tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Pasti ayah akan selamat," kata Abu Ubaidah al-Jarrah.

     "Aku tidak akan tunduk pada Tuhan Muhammad. Aku rela mati daripada menyembah Tuhan kamu itu!" balas Abdullah.

     Dengan pedang terhunus di tangan, Abdullah menerpa ke arah Abu Ubaidah al-Jarrah. Si anak terpaksa mengelak bagi mempertahankan diri. Tetapi si bapa terus menggila tanpa belas kasihan menyerang anak kandungnya sendiri. Akhirnya Abu Ubaidah al-Jarrah tidak ada pilihan. Dia terpaksa menentang ayah kandungnya sendiri.

     Abdullah melibas pedangnya bagi membunuh Abu Ubaidah tetapi tidak mengenai sasaran. Kemudian giliran Abu Ubaidah al-Jarrah pula menyerang ayahnya. Serangan yang bertubi-tubi itu tidak dapat ditangkis oleh Abdullah akhirnya dia tersungkur apabila terkena pedang anaknya.
    
     Melihat ayahnya rebah, Abu Ubaidah al-Jarrah terus mendapatkannya. Dia memangku kepala ayahnya. Tidak lama kemudian Abdullah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

     Abu Ubaidah al-Jarrah berasa sangat dukacita kerana ayahnya mati di tangannya sendiri. Dia terpaksa membunuh ayahnya demi menjaga iman serta menyelamatkan dirinya sendiri. Namun terlalu sukar baginya mahu melupakan peristiwa itu. Abu Ubaidah al-Jarrah menemui Nabi Muhammad bagi menceritakan masalahnya itu. Tidak lama kemudian turun ayat Quran surah Mujadalah ayat 22, "Engkau tidak memperoleh kaum yang beriman kepada Allah dan hari kemudian. Mereka mengasihi orang yang menentang Allah dan RasulNya. Meskipun mereka itu bapa, anak ataupun kaum keluarga mereka. Mereka ditetapkan keimanan dalam hati mereka. Dan dikuatkannya roh daripadanya. Lalu dimasukkannya mereka ke dalam syurga yang mengalir air sungai di bawahnya. Sedang mereka itu kekal di dalamnya. Allah suka kepada mereka dan mereka suka pula kepadaNya. Mereka itulah golongan Allah. Ingatlah sesungguhnya pengikut Allah itu adalah orang yang menang."

     Apabila mendengar ayat suci itu dibacakan oleh Nabi Muhammad, serta-merta wajah Abu Ubaidah al-Jarrah bertukar ceria. Dia tidak lagi berdukacita.

     Berita kekalahan pasukan Quraisy sampai ke Mekah. Penduduk kota Mekah berasa amat dukacita apabila mendengar khabar ramai pemimpin Quraisy terbunuh dalam peperangan di Badar. Mereka bertambah dukacita apabila mendapat tahu tentera Quraisy dikalahkan dengan teruk hingga ramai yang terkorban dan menjadi tawanan perang. Berita itu mengejutkan mereka. Masing-masing berasa cemas kerana memikirkan nasib orang yang mereka sayang.

     Abu Rafie seorang lelaki yang sudah tua tidak ikut sama pergi berperang. Malah sejak mula dia tidak bersetuju apabila Abu Jahal mengajak penduduk kota Mekah keluar memerangi Muhammad. Apabila mendapat berita kekalahan tentera Quraisy, Abu Rafie pun berkata, "Sejak dari mula saya sudah tahu tujuan Abdul Hakam membawa tentera Quraisy bagi memerangi Muhammad. Menyelamatkan kafilah dagang cuma alasan sahaja bagi membolehkannya membentuk angkatan perang."

     Abu Rafie bekerja sebagai pembuat gelas daripada batu. Setiap hari dia berada di telaga air Zam-Zam menekuni kerjanya. Dia memahat dan mengukir batu bagi dijadikan gelas minuman.

     "Saya pun tidak suka peperangan ini berlaku tetapi ia sudah pun berlaku," kata Ummu Fadl pula.

     Nama sebenarnya Lubabah binti al-Haris bin Huzn bin Bajir bin Hilaliyah. Ummu Fadl antara empat wanita yang mula beriman selepas Khadijah. Mereka adalah Maimunah, Ummu Fadl, Asma' dan Salma.

     Ummu Fadl isteri kepada Abbas bin Abdul Mutalib. Dia datang ke situ hendak berbual-bual dengan Abu Rafie yang juga bapa saudaranya. Mereka antara yang belum sempat berhijrah dan masih tinggal di Mekah ketika berlakunya perang Badar.

     "Khabarnya suami saya Abbas masih hidup tetapi menjadi tawanan orang Islam. Saya yakin dia akan dibebaskan," kata Ummu Fadl.

     "Anak lelaki, menantu dan adik-beradik lelaki saya terlibat dalam perang di Badar. Tentu ada antara mereka yang terbunuh dan cedera. Alangkah sia-sianya peperangan itu," kata Abu Rafie sambil meluahkan kekesalan dalam hatinya.

     "Kita sedih dan kecewa tetapi ada orang lain lebih sedih dan lebih kecewa daripada kita," kata Ummu Fadl pula.

     "Siapa yang awak maksudkan?" tanya Abu Rafie.

     "Zainab anak Rasulullah," jawab Ummu Fadl. "Suaminya Abul Ash bin Rabi berkata dia ke Badar hendak membunuh Muhammad. Sama ada Nabi Muhammad yang terbunuh ataupun suaminya pasti menyayat hati Zainab."

     "Kesian sungguh dengan Zainab. Hatinya berbelah bahagi antara kasih kepada seorang bapa yang paling baik dengan sayang kepada suami. Dia terpaksa bersama suami selagi belum diceraikan," kata Abu Rafie.

     Perbualan kedua-duanya terhenti apabila Abu Lahab datang. Dengan wajah yang berseri Abu Lahab pun berkata, "Hari ini semua orang cemas kecuali aku seorang. Aku gembira kerana Muhammad akan dibunuh oleh Ash bin Hashim yang mewakili aku dalam perang Badar. Aku rasa tidak sabar menunggu berita gembira yang akan dibawa pulang olehnya."

     "Berita gembira? Apakah maksud kamu?" tanya Abu Rafie.

     Walaupun dia tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Abu Lahab pada Muhammad tetapi dia masih berasa hormat kerana lelaki itu salah seorang pembesar Quraisy yang berpengaruh. Apa sahaja suruhannya akan dipatuhi orang ramai. Ash bin Hashim sanggup pergi berperang bagi menggantikan Abu Lahab. Dia diberi satu tugas yang penting iaitu membunuh Nabi Muhammad.

     "Khabar gembira yang aku maksudkan adalah kematian Muhammad kerana pada hari ini dia dan semua pengikutnya akan mati. Itulah berita gembira yang sedang aku tunggu," kata Abu Lahab lalu tertawa.

     "Bagaimana sekiranya berlaku sebaliknya? Maksud saya Muhammad hidup dan mereka yang kita sayangi mati?" tanya Abu Rafie pula.

     "Hai orang tua. Kata-katamu itu menyakitkan hati aku mendengarnya. Lebih baik engkau diam!" herdik Abu Lahab.

     "Mengapa engkau amat memusuhi Muhammad? Bukankah dia itu anak saudaramu sendiri?" Ummu Fadl pula menyampuk.

     "Memang benar Muhammad itu anak saudara aku kerana bapanya Abdullah itu adik-beradik dengan aku. Kerana itu sewaktu dia lahir, aku gembira hingga aku merdekakan seorang hamba. Semasa dia kecil hingga dewasa juga aku sayang kepadanya. Cuma sekarang aku membenci dia kerana dia menghina aku dan menghina Tuhan-Tuhan kita. Aku tetap dengan agama yang dianut oleh ayahku Abdul Muthalib," kata Abu Lahab pula.

     Kemudian katanya lagi, "Selepas abangku Abu Thalib meninggal dunia, aku cuba berbaik-baik dengan Muhammad. Aku menawarkan perlindunganku kepadanya hingga orang Quraisy tidak berani lagi menyakiti Muhammad. Tetapi kamu tahu apa balasan Muhammad kepada aku? Dia menghina aku dengan mengatakan aku akan masuk neraka sekiranya tidak menjadi pengikutnya. Dia juga mengatakan Abdul Muthalib dan Abu Thalib, juga akan masuk neraka."

     Abu Rafie dan Ummu Fadl tersenyum mendengar kata-kata Abu Lahab. Benar katanya, selepas 10 tahun Muhammad menjadi Rasul, Abu Thalib yang menjadi pelindungnya daripada gangguan orang Quraisy meninggal dunia. Kemudian diikuti pula oleh Khadijah. Kehilangan dua orang yang paling berjasa itu menyebabkan Nabi Muhammad teramat sedih. Kerana itulah Abu Lahab memujuk.

     "Wahai Muhammad, engkau jangan bimbang kerana aku masih hidup. Engkau meneruskan apa yang engkau lakukan ketika Abu Thalib masih hidup. Demi al-Latta dan al-Uzza aku akan menjadi pelindungmu hingga aku mati," kata Abu Lahab.

     Tetapi Abu Jahal dapat menukar pendirian Abu Lahab pada Muhammad dengan berkata, "Abdu Muthalib memelihara Muhammad sejak kecil selepas dia menjadi yatim piatu. Abu Thalib pula memelihara Muhammad hingga menjadi dewasa. Malah Abu Thalib menyayangi Muhammad melebihi kasih sayang dia kepada anaknya sendiri. Tetapi Muhammad itu seorang yang tidak tahu mengenang budi. Dia tetap membenci Abdul Muthalib dan Abu Thalib.

     "Aku tidak percaya," kata Abu Lahab.

     "Engkau cuba tanya Muhammad, Abdul Muthalib dan Abu Thalib itu tempatnya di syurga ataupun neraka. Engkau akan tahu jawapannya," kata Abu Jahal.

     Apabila Abu Lahab bertanyakan perkara itu, Nabi Muhammad pun berkata, sesiapa yang menganut agama Abdul Muthalib dia akan masuk neraka. Itulah yang menimbulkan kemarahan Abu Lahab kerana Abdul Muthalib itu ayahnya, lalu menarik semula perlindungannya pada Muhammad.

     Nama sebenar Abu Lahad adalah Abdul Uzza bin Abdul Muthalib atau dikenali juga dengan Abu Uthbah yang bermakna bapa Uthbah kerana dia mempunyai seorang anak lelaki bernama Uthbah yang dikahwinkan dengan Zainab anak Rasulullah sebelum kedatangan Islam.

     Dia dipanggil Abu Lahab kerana perangainya yang jahat. Bencinya Abu Lahab kepada Rasulullah tidak dapat ditahan lagi. Ke mana sahaja beliau pergi, Abu Lahab pasti mengikutinya. Apabila Rasulullah berkata kepada orang ramai, "Wahai manusia, katakanlah tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan kamu pasti berjaya!"

     Maka Abu Lahab pun berkata, "Sesungguhnya dia ini seorang yang murtad daripada agama kita dan seorang penipu. Jangan kamu terpedaya dengan sihirnya."

     Kerana begitu kuatnya penentangan Abu Lahab pada Rasulullah, Allah mencela Abu Lahab dan isterinya dalam Quran dengan turunnya surah al-Lahab.

     "Boleh saya tahu mengapa kamu begitu benci dan tidak mahu menjadi pengikut Muhammad?" tanya Abu Rafie pula.

     "Orang tua yang tidak sedar diri sudah tua. Adakah engkau juga menyokong Muhammad? Sekiranya benar mengapa engkau tidak ikut dia berpindah ke Madinah? Mengapa tidak ikut dia berperang?" marah Abu Lahab. 

     Abu Rafie diam tidak menjawab pertanyaan Abu Lahab itu. Dia tahu lelaki itu seorang yang panas baran. Pantang tersinggung hatinya dan dia sanggup membunuh. Kerana itu tidak hairan sekiranya Muhammad itu menjadi musuh nombor satunya.

     "Saya juga hendak tahu mengapa kamu tidak mahu menjadi pengikut Muhammad?" tanya Ummu Fadhl pula.

     "Itu adalah soalan yang paling bodoh," jawab Abu Lahab. "Ramai pembesar Quraisy tidak mahu menjadi pengikut Muhammad. Ayah aku Abdul Muthalib juga tidak menjadi pengikut Muhammad. Abang aku Abu Thalib juga menolak pelawaan Muhammatu."d supaya mengaku dia pesuruh Tuhan. Sebab itu aku juga tidak mahu menjadi pengikutnya. Aku musuhnya nombor satu."

     "Bukankah ketika Muhammad lahir kamu orang yang paling gembira sehingga memerdekakan seorang hamba? Kemudian kamu seruh wanita itu menyusukan Muhammad sebelum diserahkan kepada ibu susuannya?" tanya Abu Rafie.

     "Memang benar dan aku masih menyayangi Muhammad hingga dewasa. Aku juga memanggilnya al-Amin kerana dia sentiasa bercakap benar. Tetapi selepas dia mengaku menjadi seorang pesuruh Tuhan maka kasih sayang aku bertukar benci. Malah aku memusuhinya," jawab Abu Lahab.

     Perbualan mereka terhenti apabila terdengar bunyi bising. Orang ramai bersorak gembira kerana menyambut kepulangan kaum kerabat mereka yang masih selamat.

     "Pahlawan-pahlawan kita sudah pulang membawa kemenangan. Aku tidak sabar hendak bertemu Ash bin Hashim, hendak mendengar dari mulut dia sendiri bagaimana dia membunuh Muhammad. Aku berjanji memberinya hadiah tiga ratus ekor unta betina," kata Abu Lahab.

     Namun Ash bin Hashim tidak kelihatan. Abu Sufian bin Haris pula yang datang kepada Abu Lahab. Wajahnya kelihatan sedih dan muram. Rambutnya kusut masai dan pakaiannya koyak rabak.

     "Apa yang berlaku? Kamu nampak di mana Ash bin Hashim?" tanya Abu Lahab.

     "Dia pergi bersama 70 orang pahlawan Quraisy. Seramai 70 orang bagi menjadi tawanan," jawab Abu Sufian.

     Abu Lahab terkejut. Dia tidak dapat mempercayainya. Tangannya menepuk-nepuk dada seperti orang kehilangan akal.

     "Macam mana kita boleh kalah? Cuba beritahu aku!" jerit Abu Lahab seperti orang tidak siuman.

     Abu Sufian bin Haris segera menjawab, "Demi Tuhan apabila kami bertemu dengan Muhammad dan para pengikutnya, mereka menyerang kami tidak henti-henti. Mereka sungguh gagah seperti dirasuk jin. Akibatnya ramai antara kami yang terbunuh dan ditawan. Demi Tuhan, semasa pertempuran sedang berlaku, aku melihat sekumpulan lelaki yang menunggang kuda hitam dan kuda putih berada di kalangan mereka. Demi Tuhan aku melihat mereka seperti terbang kerana kaki mereka tidak mencecah tanah."

     "Demi Tuhan itu adalah malaikat yang datang membantu Muhammad. Kamu tidak akan dapat mengalah mereka." Abu Rafie menyampuk.

     Mendengar kata-kata itu Abu Lahab tidak dapat menahan kemarahannya pada Rafie. Dia menumbuk dada orang tua itu hingga jatuh tersungkur. Tidak cukup dengan itu, Abu Lahab memijak-mijak Rafie hingga orang tua itu menjerit-jerit kesakitan.

     Ummu Fadhl tidak sampai hati melihat Rafie dibelasah oleh Abu Lahab. Dia nekad bagi menyelamatkannya. Wanita pemberani itu mencapai sebatang kayu lalu memukul kepala Abu Lahab menyebabkan dia menjerit kesakitan lalu tersungkur.

     "Bukan orang tua lawan kau. Mari berlawan dengan aku!" jerit Ummu Fadl.

     Abu Lahab cuba bangun hendak melawan Ummu Fadhl. Sekali lagi kayu di tangan Ummu Fadhl menghentam kepala Abu Lahab. Kali ini Abu Lahab menjerit meminta pertolongan namun tidak ada siapa yang berani menolongnya kerana Ummu Fadhl seperti sedang dirasuk hantu. Dia bersedia memukul sesiapa sahaja yang cuba masuk campur.

     "Wahai saudaraku Abu Sufian, selamatkan aku daripada singa betina itu!" teriak Abu Lahab sambil memegang kepalanya yang berlumuran darah.

     "Aku tidak mahu menerima nasib seperti kamu," kata Abu Sufian sambil pergi jauh dari situ.

     "Tolong aku wahai Abu Hakam," jerit Abu Lahab.

     "Kawanmu sudah terbunuh dalam perang Badar," kata Asim yang turut berada di situ.

     Abu Lahab akhirnya berpaling kepada Ummu Fadhl lalu merayu, "Tolong jangan pukul aku lagi. Kepalaku bagaikan pecah."

     Ummu Fadhl tersenyum sinis lalu mencampakkan kayu di tangannya dan berlalu. Abu Lahab bangun dan pakaiannya berlumuran darah dari kepalanya. Dia berasa amat terhina. 

     Luka di kepala Abu Lahab semakin lama semakin merebak. Walaupun diubat namun lukanya tidak mahu sembuh. Selain itu dia juga menghidap sakit bisul. Dia semakin berasa sedih dan terhina apabila ramai yang menjauhkan diri daripadanya. Dia tidak lagi dipandang hebat. Ke mana pergi dia tidak lagi dipandang hormat. Malah mereka berasa jijik kerana luka di kepalanya bernanah dan berdarah. Di tambah pula dengan baunya yang busuk. Akhirnya selepas lama menderita, Abu Lahab meninggal dunia. Pada suatu malam seorang sahabat bermimpi berjumpa dengannya lalu bertanya, "Bagaimanakah keadaan kamu sekarang?"

     Jawab Abu Lahab, "Aku akan dimasukkan ke dalam neraka tetapi hukuman aku diringankan pada setiap malam Isnin. Dari celah jari kakiku akan mengalir sedikit air. Ini disebabkan aku berasa amat gembira semasa Muhammad dilahirkan, dan aku memerdekakan Thuwaibah lalu kuupah dia menyusukan Muhammad sebelum dia disusukan oleh Siti Halimah."

     Di medan Perang Badar, pertempuran antara tentera Quraisy dengan tentera Islam sudah tamat. Kemenangan berpihak kepada Islam. Rasulullah memerintahkan dikumpulkan semua mayat kemudian diasingkan antara Islam dan bukan Islam. Beliau juga menyuruh mereka mencari mayat Abu Jahal.

     "Wahai Rasulullah, bagaimana kami hendak mengenalinya kerana kepalanya sudah dipenggal?" tanya seorang sahabat.

     "Sekiranya kamu tidak kenal Abu Jahal maka lihatlah bahagian lututnya. Suatu hari saya dan dia bersama makan jamuan di rumah Jud'an. Ketika itu saya masih kanak-kanak. Selesai makan mereka bermain lumba lari. Abu Jahal berlari di hadapan saya dan saya cuba memberi laluan kepadanya. Tiba-tiba kakinya tersadung kaki saya menyebabkan dia terjatuh lalu kedua-dua lututnya mendapat luka yang agak dalam. Bekas luka itu sampai sekarang masih kelihatan," jawab Nabi Muhammad.

     Mereka pun pergi mencarinya dan akhirnya terjumpa. Apabila Rasulullah melihat mayat Abu Jahal maka beliau berkata, "Inilah firaun untuk umat ini."

     Selepas semua mayat dikumpulkan, didapati seramai 14 orang Islam gugur syahid manakala di pihak Quraisy seramai 70 orang terbunuh dan 70 orang ditawan. Antara yang terbunuh itu terdapat lima orang pemuda yang dahulunya pernah masuk Islam tetapi mereka tidak berhijrah ke Madinah dengan alasan dihalang keluarga masing-masing. Apabila Abu Jahal menyeru keluar memerangi Muhammad, lima pemuda itu turut serta dan kesemuanya terbunuh.

     Nama-nama mereka adalah al-Harits bin Zama'ah daripada suku Bani Asad, Abi Qais bin al-Fakih dan Abu Qais bin al-Walid dari Bani Makhzum, Ali bin Umaiyah daripada Bani Jumah dan al-Ash bin Munabbih daripada Bani Sahm.

     Kemudian timbul persoalan bagaimanakah layanan yang perlu diberikan kepada mereka sama ada dikuburkan dalam kalangan orang Islam ataupun sebaliknya. Maka turun ayat Quran surah an-Nisa' ayat 97 yang bererti, "Sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri, mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata, apakah yang kamu lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab, kami dahulu adalah orang yang tertindas di tempat kami, malaikat bertanya lagi. "Tidakkah bumi Allah ini luas yang memboleh kamu berhijrah? Tempat akhir mereka adalah di neraka jahanam dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."

     Kemudian mayat orang Islam yang gugur syahid dikebumikan sebagai syuhada. Manakala mayat orang Quraisy juga dikuburkan pada sebuah lubang yang besar. Kemudian mayat-mayat mereka dihumbankan ke dalam lubang itu satu demi satu. Antara mayat-mayat itu terdapat mereka yang pernah didoakan Rasulullah mendapat kebinasaan seperti Abu Jahal dan Uthbah bin Rabi'ah. 

     Kisah itu berlaku sebelum Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Pada suatu hari Nabi Muhammad sedang bersembahyang di hadapan Kaabah. Abu Jahal menyuruh kawan-kawannya meletakkan isi perut unta di atas kepala Rasulullah. Kemudian mereka mentertawakannya. Rasulullah terus sujud tidak mengangkat kepalanya hingga ada orang yang memberitahu kepada Siti Fatimah lalu datang membersihkan kotoran pada kepala ayahnya.

     Kemudian Nabi Muhammad pun berdoa, "Ya Allah binasakanlah Abu Jahal bin Hisyam, Uthbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, al-Walid bin Utbah, Umayyah bin Khalaf dan Uqbah bin Mu'aith.

     Apabila mereka mendengar Nabi Muhammad berdoa dan nama-nama mereka disebutkan seorang demi seorang, semuanya terdiam. Masing-masing mula berasa takut. Kini semuanya menemui ajal masing-masing dalam perang Badar.

     Mayat Umaiyah bin Khallaf tidak dapat dimasukkan ke dalam lubang kerana mayatnya membengkak hingga memenuhi baju besi yang dipakainya. Ketika mayatnya diangkat, dagingnya reput dan bercerai-berai. Mayat itu ditimbunkan dengan tanah dan batu-batu.

     Apabila mayat Uthbah bin Rabi'ah dimasukkan ke dalam lubang, kelihatan berubah muka Huzaifah bin Uthbah. Dia anak Uthbah yang masuk Islam dan turut berjuang menentang ayahnya.

     "Wahai Huzaifah, mungkin kamu kurang senang dengan apa yang berlaku pada ayah kamu," kata Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, demi Allah saya tidak marah pada mereka yang membunuh ayah saya. Cuma saya berasa sedih kerana ayah saya seorang yang bijak, lembut dan mempunyai banyak kelebihan. Kerana itu saya pernah berharap dia mendapat hidayah. Apabila saya melihat apa yang terjadi ke atasnya dan dia mati dalam keadaan kafir, saya berasa sedih," jawab Huzaifah. Rasulullah mendoakan kebaikan bagi Huzaifah hingga hatinya berasa tenang semula.

     Selepas semua mayat orang Quraisy itu dimasukkan ke dalam lubang. Rasulullah berdiri di tepi lubang lalu berkata, "Wahai para penghuni kubur ini, apakah kalian melihat apa yang dijanjikan Tuhan kepada kalian itu benar? Sesungguhnya saya melihat apa yang dijanjikan Tuhan itu memang benar."

     "Wahai Rasulullah, apakah mereka mendengar apa yang kamu perkatakan?" tanya seorang sahabat.

     "Sesungguhnya mereka mendengarnya," jawab Rasulullah.

     Kemudian beliau berkata lagi, "Wahai Uthbah bin Rabi'ah, wahai Syaibah bin Rabi'ah, wahai Umaiyah bin Khallaf, wahai Abu Jahal bin Hisyam, wahai al-Walid bin Utbah dan wahai Uqbah bin Mu'aith, apakah kamu melihat apa yang dijanjikan Allah itu benar? Sesungguhnya, saya melihat bahawa apa yang dijanjikan Allah itu memang benar."

     "Wahai Hassan bin Tsabit, kamu seorang penyair. Tuliskan sebuah puisi mengenai perang badar," kata sahabatnya Malik. Hassan bin Tsabit pun menulisnya.

     Aku ceritakan kisah yang tidak ada aib di dalamnya
     Dengan jujur dan tidak bohong
     Kisah tentang apa yang diperbuat Allah untuk kita
     Terhadap orang musyrikin di Badar pada pagi hari
     Kita hadapi mereka
     Seperti singa-singa belantara yang masih muda
     Di hadapan Nabi Muhammad
     Mereka mendukung beliau
     Dalam menghadapi musuh di medan perang
     Mereka memegang senjata yang tajam
     Bani Aus yang dermawan didikung Bani Najjar
     Yang kuat agamanya
     Kita tinggalkan Abu Jahal yang tewas
     Kita tinggalkan Uthbah di antara tanah dan batu
     Kita tinggalkan Syaibah bersama orang dungu
     Jika nasab mereka disebutkan ahli nasab
     Ketika kita lemparkan mereka ke dalam lubang
     Rasulullah berseru kepada mereka
     Bukankah kalian sekarang mengetahui
     bahawa perkataanku itu benar
     Dan perintah Allah itu masuk ke dalam hati
     Mereka tidak dapat bicara
     Seandainya mereka dapat bicara, mereka akan berkata
     Ya engkau benar dan engkau mempunyai pendapat yang benar...









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.


No comments:

Post a Comment