Thursday 16 March 2017

PERANG BADAR [ BAB 8 - PERANG BADAR ]






PERANG BADAR








17 Ramadhan tahun 2 Hijrah / 17 Mac 624 Masihi

Suasana petang amat mendamaikan. Cahaya matahari yang kemerahan menyinari kawasan Badar yang subur dengan tanaman. Pohon kurma meliuk-liuk dipuput angin petang. Para petani pulang ke rumah masing-masing selepas penat bekerja di ladang. Tiba-tiba suasana yang damai itu bertukar menjadi riuh-rendah dengan kehadiran pasukan tentera Quraisy yang dipimpin Abu Jahal dan pasukan tentera Islam yang dipimpin Nabi Muhammad. 

     Rasulullah menempatkan pasukannya di kawasan berbukit kerana merasakan kawasan itu paling sesuai bagi menghadapi musuh yang lebih ramai jumlahnya. Pada malam itu hujan turun dengan lebat, mencurah-curah hingga menenggelamkan banyak kawasan lembah yang dijadikan pangkalan kawasan tentera Quraisy. Pasukan tentera Islam pula mengucapkan syukur kerana dapat memenuhi bekas air minuman. Namun al-Hubab bin al-Mundzir merasakan tempat itu tidak sesuai. Dia segera menghadap Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, mengapa tuan memilih tempat ini bagi dijadikan pangkalan kita? Apakah pemilihan tempat ini wahyu daripada Allah ataupun hanya pandangan tuan?" tanya al-Hubab.

     "Daripada pandangan saya sahaja," jawab Nabi Muhammad.

     "Wahai Rasulullah, saya tidak bermaksud hendak menentang pendapat tuan. Tetapi saya berpendapat tempat ini tidak sesuai. Kita mesti pergi ke kawasan lain yang lebih selamat," kata al-Hubab.

     Kemudian katanya lagi, "Pada pendapat saya, lebih baik kita pergi ke kawasan yang dekat dengan punca air. Kemudian kita kuasai kawasan itu supaya musuh tidak mendahului kita. Di sana kita bina takungan air bersih bagi membolehkan pasukan kita menggunakannya. Apabila berlaku pertempuran, pihak musuh akan kehausan tetapi mereka tidak mempunyai air kerana kita sudah menguasainya."

     "Benar pendapatmu itu," kata Rasulullah.

     Pada malam itu juga Rasulullah menyuruh pasukannya berpindah ke tempat yang dicadangkan oleh al-Hubab. Menjelang pagi pasukan tentera Islam sudah menguasai semua kawasan punca air. Kemudian mereka membuat takungan air bersih bagi kegunaan tentera Islam.

     "Wahai Rasulullah, biarkan kami membuat sebuah tempat perlindungan untuk tuan. Biarkan sahaja kami berperang dan tuan terus berada di situ. Sekiranya kita menang, itulah yang menggembirakan kami. Andai berlaku sebaliknya, tuan boleh berangkat pulang kerana di Madinah masih ramai lagi umat Islam menjadi pengikutmu. Mereka lebih menyayangi tuan berbanding kami. Tuan teruskan perjuangan ini bersama mereka. Allah pasti membela tuan bersama mereka," kata-kata Sa'ad bin Muaz.

     Rasulullah bersetuju dengan cadangan Sa'ad itu lalu mendoakan kebaikan buatnya. Kemudian mereka membuat sebuah tempat perlindungan seakan-akan sebuah kenderaan yang dapat digerakkan bagi memudahkan Rasulullah berlindung serta mudah bergerak pantas sekiranya berlaku sebarang kemungkinan. Tempat perlindungan Rasulullah itu diletakkan di tempat yang agak tinggi supaya memudahkan beliau memantau medan pertempuran.

     Kemudian Rasulullah dengan diiringi beberapa orang sahabat memantau kawasan yang dijangka berlakunya medan pertempuran antara orang Islam dengan tentera Quraisy. Di situ Rasulullah menunjukkan tempat di mana akan terbunuhnya Abu Jahal, Umaiyah dan beberapa orang lagi. Selepas itu Rasulullah pulang ke pangkalan pasukan Islam lalu menyuruh mereka berehat kerana tidak lama lagi akan berlaku peperangan.

     Sebelum itu Abu Jahal dan beberapa orang pembantunya sedang membuat rancangan bagi menyerang Nabi Muhammad dan para pengikutnya. Tetapi mereka belum mendapatkan maklumat mengenai Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya.

     "Wahai Umair bin al-Jumahi, pergilah mengintip musuh kita. Hitung berapa ramai jumlah mereka dan laporkan segera kepada kami," perintah Abu Jahal itu segera dipatuhi Umair.

     Beliau menunggang kuda lalu menghampiri kawasan pasukan tentera Islam kemudian mengelilinginya beberapa kali. Beberapa orang sahabat meminta izin daripada Rasulullah bagi menangkap Umair tetapi tidak diizinkan. Beliau mahu dibiarkan sahaja Umair melakukan tugasnya.

     Selepas mengira jumlah pasukan tentera Islam, Umair segera kembali ke pangkalan pasukan Quraisy lalu melaporkannya kepada Abu Jahal.

     "Aku sudah berjaya mendekati pasukan Muhammad tanpa disedari mereka. Jumlah pengikut Muhammad seramai 305 orang sahaja. Mereka tidak membawa kaum wanita dan binatang ternakan. Aku yakin mereka cuma memakan buah kurma sahaja," kata Umair melaporkan.

     "Jumlah mereka terlalu sedikit bagi berhadapan dengan kita. Haiwan tunggangan mereka juga sedikit berbanding pasukan kita. Tetapi aku hairan mengapa mereka masih berani mahu berperang dengan kita? Mungkinkah mereka memiliki kekuatan yang tersembunyi yang tidak kita ketahui?" kata Hakim bin Hizam.

     "Berilah aku peluang pergi mengintip mereka lagi. Kali ini aku akan selidik dengan teliti sekiranya mereka mempunyai kekuatan yang tersembunyi," kata Umair. Kemudian dia pergi sekali lagi kepada pasukan tentera Islam. Tidak lama kemudian dia kembali membuat laporan.

     "Aku sudah membuat siasatan yang teliti. Aku tidak menemui apa-apa selain bilangan mereka 305 orang, unta 70 ekor dan kuda hanya dua ekor. Aku dapati mereka tidak membuat sebarang kubu perlindungan. Mereka juga tidak membuat apa-apa persiapan bagi melarikan diri. Jelas sekali mereka datang mahu berperang hingga mati," kata Umair.

     Hakim bin Hizam berasa gementar hatinya apabila mendengar kata-kata Umair. Dia menemui Uthbah bin Rabi'ah.

     "Kamu seorang pemimpin Quraisy yang dihormati dan ditaati. Apakah kamu tidak mahu nama kamu dikenang sepanjang zaman?" tanya Hakim bin Hizam kepada Uthbah.

     "Apa maksud kamu Hakim?" tanya Uthbah pula.

     "Anak kamu Huzaifah sudah menjadi pengikut Muhammad. Dia sekarang sedang berada dalam pasukan Islam. Sekiranya kamu memerangi Muhammad, terpaksa juga kamu memerangi anakmu sendiri. Sekiranya anak kamu terbunuh, kamu akan dipersalahkan. Sekiranya kamu pula terbunuh dalam peperangan ini, kamu tidak akan dikenang sebagai orang yang berjasa kepada kaum Quraisy. Kerana itu lebih baik kamu pulang sahaja ke Mekah," jawab Hakim.

     Kata-kata itu menyedarkan Uthbah. Tambahan pula Huzaifah adalah anak kesayangannya. Dia sudah berusaha memujuk Huzaifah supaya kembali kepada agama nenek moyang mereka tetapi tidak berjaya. Kini anaknya berada dalam pasukan Madinah yang akan diperanginya.

     "Benar katamu itu wahai Hakim. Aku akan kembali ke Mekah dan kamu pasti bersama aku dalam perkara ini," kata Uthbah bin Rabi'ah.

     "Aku akan bersama kamu wahai Abi al-Walid," kata Hakim.

     Kemudian Uthbah bin Rabi'ah pun berseru, "Wahai orang Quraisy, sekiranya berlaku peperangan, kamu tidak mampu melakukan apa-apa apabila berhadapan dengan Muhammad dan para pengikutnya. Demi Tuhan, sekiranya kamu dapat mengalahkan mereka, mereka tetap membenci dan tidak akan tunduk kepada kamu. Demi keyakinan mereka sanggup membunuh keluarga sebelah ayahnya dan sanggup membunuh keluarga sebelah keluarganya ataupun keluarga ibunya sendiri. Pulanglah kalian dan biarkan Muhammad dengan para pengikutnya. Sekiranya kamu berdegil pasti terjadi peperangan antara kalian dengan mereka. Sekiranya kalian berjaya mengalahkan mereka, itu yang kalian harapkan. Tetapi sekiranya itu tidak menjadi kenyataan, bererti mereka mengalahkan kalian. Bahkan kalian menanggung kerugian dan keaiban yang tidak berjaya mencapai apa yang kalian mahukan terhadap mereka."

     Ramai yang terpengaruh dengan kata-kata Uthbah bin Rabi'ah itu. Tetapi lebih ramai yang masih setia dengan Abu Jahal. Uthbah bin Rabi'ah menyuruh Hakim pergi memujuk Abu Jahal pula. Ketika itu Abu Jahal berada dalam khemahnya sedang menyapu baju besinya dengan minyak sapi. Kemudian dia mengasah pedangnya supaya tajam petanda dia sudah bersedia bagi berperang.

     "Wahai Abi al-Hakam, sesunggguhnya Uthbah bin Rabi'ah menyuruh aku menemui kamu bagi menyampaikan pesanannya," kata Hakim.

     Tetapi Abu Jahal seolah-olah tidak menghiraukan kata-kata Hakim itu. Dia terus menyiapkan kerjanya menyapu baju besinya dengan minyak sapi dan mengasah pedangnya. Melihat keadaan itu Hakim terus menyambung percakapannya.

     "Uthbah bin Rabi'ah berpesan supaya kita pulang ke Mekah dan jangan berperang dengan Muhammad. Menurut firasatnya, sekiranya terjadi peperangan, Muhammad dan pengikutnya berjaya mengalahkan kita. Sudah lupakah kamu pada mimpi Atikah binti Abdul Mutalib?"

     Barulah kata-kata Hakim itu menarik perhatian Abu Jahal lalu berkata, "Aku tidak percaya kepada mimpi Atikah. Aku yakin kita dapat mengalahkan Muhammad. Kita mempunyai 200 orang tentera berkuda dan 600 orang tentera memakai baju besi. Mereka akan aku letakkan di barisan hadapan bagi menghancurkan Muhammad dan pengikutnya."

     "Jangan terlalu yakin sangat. Sekiranya kita ada Tuhan maka Muhammad juga ada Tuhannya. Bagaimana sekiranya Tuhan Muhammad menolong mereka sedangkan Tuhan kita tidak?" tanya Hakim.

     "Aku yakin Tuhan kita menolong kita kerana kita berperang kerananya. Kerana itu aku tidak akan pulang ke Mekah sebelum bertemu dengan Muhammad," kata Abu Jahal.

     "Sekiranya kamu enggan pulang ke Mekah maka Uthbah bin Rabi'ah dan pengikutnya akan menarik diri meninggalkan kamu. Sekiranya itu berlaku maka kekuatan kamu pasti berkurangan. Pasukan kita juga tidak bersatu dan sering berbalah sesama sendiri," kata Hakim pula.

     "Demi Tuhan, paru-paru Uthbah sudah mengembang kerana takut mati. Tidak sangka dia seorang yang penakut sebelum melihat Muhammad dan para pengikutnya. Kita tidak akan pulang ke Mekah sehingga Tuhan memutuskan perbalahan kita dengan Muhammad. Uthbah tidak sepatutnya bercakap seperti itu kerana dia sudah tahu Muhammad dan pengikutnya cukup makan hanya dengan menyembelih seekor anak unta kerana jumlah mereka terlalu sedikit," kata Abu Jahal.

     Kemudian katanya lagi, "Aku tahu Uthbah tidak mahu berperang kerana anak kesayangannya ada dalam pasukan Muhammad. Dia jadi penakut kerana tidak sanggup bertempur dengan anaknya sendiri. Aku juga ada anak bernama Ikramah. Sekiranya dia menjadi pengikut Muhammad aku akan perangi dia habis-habisan."

     "Bagaimana sekiranya Uthbah tetap juga menarik diri dan pulang ke Mekah?" tanya Hakim.

     "Aku tidak akan benarkan perkara itu terjadi. Uthbah mesti bersama kita memerangi Muhammad. Aku tahu di mana kelemahan Uthbah," kata Abu Jahal. 

     Kemudian Abu Jahal menemui Amir bin al-Hadhrami lalu berkata, "Wahai pahlawan Quraisy yang gagah perkasa. Ketika keluar dari Mekah, kita bersumpah supaya bersama. Tetapi sekutu kita Uthbah bin Rabi'ah mahu pulang bersama orang Quraisy. Tetapi aku yakin kamu tetap bersama aku kerana dendam kamu pada Muhammad masih terpancar di kedua-dua matamu. Berdirilah kamu dan suruh orang Quraisy memenuhi janji mereka supaya bersama kita memerangi Muhammad."

     Amir bin al-Hadhrami berdiri di atas untanya lalu berteriak dengan suara yang lantang, "Wahai orang Quraisy. Perang sudah berkobar. Perbalahan antara kita dengan Muhammad sudah sampai kemuncaknya. Kita sepakat mahu bersatu bagi menghadapinya. Tetapi kesatuan kita dirosakkan oleh Uthbah bin Rabi'ah. Abi al-Hakam mengatakan paru-paru Uthbah sudah mengembang kerana takut."

     Orang ramai mentertawakan Uthbah bin Rabi'ah. Dia berasa marah dan tercabar lalu berkata, "Orang itu melumurkan buntutnya dengan tahi unta. Kamu akan tahu nanti paru-paru siapa yang mengembang, paru-paru aku ataupun dia."

     Kerana berasa malu dan tercabar dituduh pengecut, Uthbah membatalkan hasratnya hendak pulang ke Mekah. Dia bersedia berperang hanya kerana mahu menunjukkan dirinya seorang yang tidak pengecut seperti yang dituduh Abu Jahal. Dia memakai pakaian perang dengan menggunakan baju besi dan menyandang dua bilah pedang.

     "Berikan aku topi besi! Berikan aku topi besi. Aku akan berada di barisan paling hadapan," kata Uthbah bin Rabi'ah.

     Tentera Quraisy cuba memakaikan topi besi di kepada Uthbah tetapi tidak ada yang sesuai kerana kepalanya besar. Akhirnya Uthbah hanya memakai kain yang dililitkan di kepalanya sahaja.

     "Aku akan terjun ke medan perang walaupun tanpa memakai topi besi. Sekiranya orang itu memakai topi besi bererti paru-paru dia yang mengembang," kata Uthbah menyindir Abu Jahal.

     "Aku tidak akan memakai baju besi dan topi besi. Tidak siapa yang dapat membunuh aku kerana dilindungi al-Latta dan al-Uzza," kata Abu Jahal dengan begitu yakin.

     Tiba-tiba perbualan mereka terganggu apabila seorang tentera Quraisy yang ditugaskan mencuri air datang membuat laporan kepada Abu Jahal.

     "Kita sudah dikalahkan oleh Muhammad sebelum berperang!" kata lelaki itu sambil menangis.

     "Apa yang kamu cakapkan ini? Kita belum berperang dengan marah lagi!" marah Abu Jahal.

     "Muhammad menguasai semua punca air. Semua perigi dan kolam dikambus dengan pasir supaya kita tidak dapat meminum airnya. Mereka membuat satu takungan air yang besar bagi kegunaan mereka. Semasa bertempur nanti, kita akan kehausan tetapi kita tidak mempunyai air bagi diminum," jawab lelaki itu.

     "Rupa-rupanya Muhammad itu lebih bijak daripada kamu, wahai lelaki yang punggungnya disapu dengan najis unta," sindir Uthbah bin Rabi'ah.

     Abu Jahal berasa marah lalu berkata, "Uthbah, paru-paru kembang! Tidakkah ada rasa hormat kamu kepada aku sebagai ketua?"

     "Aku tidak hormat kepada lelaki yang menuduh aku penakut," jawab Uthbah.

     "Pada saat yang genting ini sepatutnya kita bersatu. Kamu berdua adalah pemimpin kami. Sepatutnya menunjukkan contoh yang baik," marah Hakim. Barulah Abu Jahal dan Uthbah tidak bertengkar lagi.

     "Siapakah antara kamu yang sanggup memusnahkan tempat takungan air musuh kita?" tanya Abu Jahal.

     "Aku sanggup. Sekiranya Muhammad memusnahkan punca air kita, aku juga akan memusnahkan kolam takungan air mereka," teriak al-Aswad bin Abdul Asad al-Makhzumi.

     Kemudian katanya lagi, "Aku bersumpah dengan nama Tuhanku al-Latta dan al-Uzza, aku akan minum air dari kolam mereka, kemudian aku akan memusnahkannya. Aku sanggup mati kerananya."

     Abu Jahal berasa senang hati mendengarnya lalu memuji keberanian al-Aswad. Di kalangan orang Quraisy dia terkenal sebagai seorang lelaki yang berani, berhati kejam dan akhlaknya buruk.

     "Sekiranya Aswad dapat memusnahkan kolam takungan musuh, kita akan sanggup memberinya hadiah seratus ekor unta," kata Uthbah pula.

     "Aku sanggup memberi dua kali ganda daripada jumlah itu," kata Abu Jahal pula tidak mahu mengalah.

     "Aku lakukan ini dengan kerelaan hatiku sendiri. Kerana itu aku tidak akan meminta apa-apa hadiah daripada kamu," kata al-Aswad pula.

     "Mengapa kita hendak memusnahkan takungan air mereka? Bukankah lebih baik kita biarkan supaya selesai peperangan ini nanti dapat kita gunakan," tanya Hakim yang tidak setuju dengan cadangan itu.

     "Muhammad menyuruh pengikutnya memusnahkan semua perigi dan kolam air yang ada supaya kita kehausan. Kerana itu sewajarnya kita membalas dengan memusnahkan tempat takungan air mereka. Biar sama-sama kehausan," jawab Abu Jahal.

     Kemudian katanya lagi, "Dengan musnahnya semua punca air, mereka dan kita sama-sama kehausan dan peperangan dapat ditamatkan dengan segera. Aku mahu Muhammad dan semua pengikutnya dihancurkan sebelum matahari tegak di atas kepala."

     Kemudian Abu Jahal menyusun pasukan tenteranya. Di hadapan sekali diletakkan pasukan berkuda yang terdiri daripada 200 orang anggota. Di belakang mereka pasukan yang menunggang unta berjumlah 200 orang dan diikuti tentera berjalan kaki yang memakai baju besi seramai 600 orang.

     Abu Jahal memberi taklimat dan kata-kata semangat kepada pasukan tenteranya. Kemudian dia pun berdoa, "Wahai Tuhan, kami datang ke sini bagi memerangi musuh-musuh kami yang di kalangan mereka terdapat kaum kerabat kami sendiri. Kami sanggup memutuskan tali kekeluargaan kami dan sanggup menanggung akibatnya. Kerana itu wahai Tuhan kami, bantulah kami hancurkan Muhammad dan pengikutnya pada pagi ini. Wahai Tuhan, kami yang engkau cintai dan redai di sisimu, maka berikan kemenangan kepada kami," doa Abu Jahal.

     Pada masa yang sama Nabi Muhammad juga sedang menyusun pasukan tenteranya. Mereka cuma berjumlah 305 orang, mereka bersenjatakan panah, pedang malah ada yang cuma menjadikan pelepah tamar sebagai senjatanya.

     Mereka yang mahir memanah diletakkan di barisan hadapan dalam tiga barisan. Mereka yang bersenjatakan pedang dan lain-lain di barisan pasukan pemanah. Unta-unta mereka letakkan di belakang kerana mereka lebih suka berperang dengan berjalan kaki.

     Selepas menyusun pasukannya, Nabi Muhammad memeriksa barisan. Semua mereka diminta berdiri dalam barisan masing-masing. Semasa membuat pemeriksaan beliau melihat ada seorang sahabat berdiri tidak lurus lalu dipukulnya dengan busar panah pada bahagian perutnya sambil berkata, "Luruskan barisan kamu, wahai Sawad!"

     Sawad pura-pura mengaduh kesakitan walaupun pukulan itu tidak kuat. Kemudian dia menghadap Rasulullah lalu berkata, "Wahai Rasulullah, kamu menyakiti saya. Saya mahu membalas perbuatan kamu seperti mana yang kamu lakukan pada saya sebentar tadi."

     Beberapa orang sahabat marah dengan Sawad kerana mahu menuntut qisas pada saat yang genting itu. Tetapi Rasulullah tidak pula menunjukkan rasa marah. Beliau menyelak jubahnya lalu memperlihatkan perutnya kerana ketika itu Sawad tidak berbaju. Tujuannya supaya Sawad memukul pula bahagian perutnya. Sebaik sahaja melihat perut Rasulullah maka Sawad segera memeluk dan menciumnya.

     "Mengapa dengan kamu ini wahai Sawad?" tanya Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, saya tidak mahu menyakitimu. Saya mahu kulit saya bersentuhan dengan kulitmu pada saat-saat akhir kehidupan saya," jawab Sawad sambil menangis kerana terharu. Barulah masing-masing mengerti apa muslihat Sawad yang sebenarnya.

     Kemudian Rasulullah meneruskan pemeriksaan pasukan tentera Islam. Selepas selesai membuat pemeriksaan maka beliau pun berdoa, "Ya Allah, sesungguhnya kaum Quraisy datang dengan kesombongan dan kebanggaan mereka. Mereka memusuhi serta mendustakan aku. Ya Allah, aku harapkan pertolonganmu seperti yang engkau janjikan kepada aku. Ya Allah, aku berdoa kepada-Mu, binasakan mereka pagi ini."

     Kemudian Nabi Muhammad menyampaikan amanat kepada pasukannya. Beliau berpesan supaya mengikut arahan yang diberikan dan jangan bertindak bersendirian.

     "Saya berpesan kepada pasukan pemanah. Selepas kamu dapati jumlah mereka sudah ramai menyerbu ke arah kamu, lepaskan anak-anak panah kepada mereka. Jangan terburu-buru melepaskan anak panah kecuali benar-benar diyakini mengenai sasarannya. Saya berpesan kepada mereka yang bersenjatakan pedang. Jangan terburu-buru menghunus pedang kecuali musuh benar-benar hampiri dengan kamu," pesan Nabi Muhammad.

     Kemudian baginda meneruskan ucapannya, "Saya mendapat tahu ada kalangan Bani Hasyim dan yang lain berperang dalam keadaan terpaksa. Mereka dipaksa oleh Abu Jahal. Kerana itu sesiapa yang bertemu dengan orang Bani Hasyim janganlah membunuhnya. Sekiranya kamu menjumpai Abu al-Bakhtari bin Hisyam dan al-Abbas bin Abdul Mutalib jangan membunuhnya kerana mereka dipaksa ikut berperang."

     Huzaifah bin Uthbah yang baru masuk Islam menyampuk, "Wahai Rasulullah, mengapa kami boleh membunuh saudara-mara kami sedangkan saudara tuan, al-Abbas tidak dibenarkan? Demi Allah, sekiranya saya bertemu dengan al-Abbas pasti saya akan membunuhnya."

     Rasulullah kurang senang mendengar kata-kata Huzaifah itu lalu bertanya kepada Umar al-Khattab, "Wahai Umar al-Khattab, patutkah bapa saudara Rasulullah dilibas dengan pedang?"

     Umar al-Khattab segera menjawab, "Wahai Rasulullah, izinkan saya memenggal leher Huzaifah dengan pedang saya ini. Demi Allah, dia ingkar pesanan Rasulullah serta mahu bersikap munafik."

     Tetapi Rasulullah tidak membenarkan Umar al-Khattab melakukannya. Huzaifah menjadi insaf atas kesilapannya lalu berkata, "Wahai Rasulullah, saya sudah melakukan kesilapan. Saya akan sentiasa diburu perasaan bersalah kecuali saya mendapat syahid. Saya mahu syahid, wahai Rasulullah."

     Tiba-tiba kedengaran seorang tentera Quraisy berteriak, "Aku bersumpah dengan nama tuhanku al-Latta dan al-Uzza, aku akan minum air dari kolam kamu, kemudian aku akan merobohkannya dan aku rela mati kerananya!"

     Lelaki itu adalah al-Aswad bin Abdul Asad al-Makhzumi yang sudah bersumpah di hadapan Abu Jahal dan tentera Quraisy mahu memusnahkan takungan air pasukan tentera Islam. Kemudian sumpah yang sama diucapkannya semasa berlari menuju ke takungan air pasukan tentera Islam.

     Hamzah bin Abdul Mutalib bertindak pantas keluar dari barisan tentera Islam lalu menghadang al-Aswad. Maka berlaku pertarungan antara kedua-duanya yang dapat disaksikan oleh kedua-dua belah pihak. Al-Aswad ketika itu memakai baju besi dan topi besi. Dengan begitu angkuh dia mencabar Hamzah bagi menikam badannya yang dilindungi baju besi. Hamzah seorang pahlawan yang bukan sahaja gagah berani tetapi bijak. Dia menetak kaki kanan al-Aswad dan menyebabkannya tersungkur. Namun al-Aswad masih tidak mahu menyerah, dia merangkak menuju ke arah kolam air bagi menunaikan sumpahnya. Namun Hamzah tidak memberi peluang kepada al-Aswad mendekati takungan air itu. Hamzah menetak leher al-Aswad menyebabkan dia mati serta-merta. Melihat keadaan itu pasukan tentera Islam bertakbir serta menyebut nama Allah.

     Abu Jahal pula berasa sangat marah lalu memerintahkan pasukan tentera Quraisy mara ke medan perang. Mereka berjalan megah kerana diiringi paluan gendang dan nyanyian oleh wanita-wanita Quraisy yang mengiringi perjalanan mereka.

     "Lihatlah mereka yang menentang Allah dan RasulNya datang berbondong-bondong bagi memerangi kita. Kita tidak takut kerana Allah bersama kita," teriak Umar al-Khattab.

     Nabi Muhammad pun berdoa, "Ya Allah, kurniakan kepada aku apa yang engkau janjikan. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pertolonganmu. Ya Allah, sekiranya pasukan ini hancur tentu engkau tidak akan disembah lagi."

     "Teruslah berdoa wahai Rasulullah kerana doamu pasti dimakbulkan," kata Abu Bakar as-Siddiq.

     Ketika itu Allah mewahyukan kepada Nabi Muhammad, "(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu (dengan menghantar) seribu Malaikat yang datang berterusan." (surah al-Anfal ayat 9)

     Kemudian Allah mewahyukan kepada Malaikat, "TuhanMu mewahyukan kepda Malaikat, sesungguhnya aku menyertai kamu, maka tetapkanlah (hati) orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang kafir dengan rasa gerun, oleh itu pancunglah leher mereka dan potonglah tiap-tiap anggota mereka (ketika bertempur)." (Surah al-Anfal ayat 12)

     Selepas itu Nabi Muhammad memerintahkan pasukan tenteranya mara bagi berhadapan dengan musuh. Sudah menjadi tradisi Arab sebelum berperang mereka mengadakan perlawanan tanding satu lawan satu terlebih dahulu.

     "Siapakah antara kamu yang sanggup bertanding satu lawan satu dengan pengikut Muhammad?" tanya Abu Jahal yang dilantik menjadi pemimpin pasukan tentera Quraisy.

     "Aku!" teriak Uthbah bin Rabi'ah.

     Kemudian katanya lagi, "Aku akan buktikan kepada kamu, wahai Abi al-Hakam bahawa aku bukan penakut seperti yang kamu tuduh. Aku sanggup mencabar pengikut Muhammad walaupun aku sudah tua dan tidak memakai baju dan topi besi."

     "Kamu memang seorang yang berani sekiranya dapat mengalahkan lawan kamu," kata Abu Jahal pula.

     "Aku tidak akan biarkan ayah aku pergi seorang diri. Aku akan bersamanya," kata al-Walid anak Uthbah pula.

     Kemudian al-Walid menyertai ayahnya ke hadapan. Melihat keadaan itu maka Syaibah bin Rabi'ah pula berkata, "Aku tidak akan biarkan saudaraku dan anaknya. Kami bertiga akan berganding bahu."

     Tiga orang pahlawan Quraisy itu mencabar orang Islam keluar bagi bertanding satu lawan satu dengan mereka. Maka cabaran itu segera disambut tiga pemuda Ansar iaitu Auf bin Al Harith, Mu'awwids bin al-Harits dan Abdullah bin Rawahah.

     "Kami datang mahu menyahut cabaran kamu. Mari kita bertanding satu lawan satu," kata Abdullah bin Rawahah.

     "Siapa kamu wahai anak-anak muda? Kami tidak kenal kalian," teriak Uthbah bin Rabi'ah.

     "Kami kaum Ansar yang bersaudara dengan Muhammad dan para sahabatnya," jawab Abdullah bin Rawaha. 
  
     "Kami bukan mencabar kamu. Kami mencabar Muhammad dan orang Quraisy yang menjadi pengikutnya," kata Uthbah bin Rabi'ah.

     Kemudian Uthbah berteriak, "Wahai Muhammad, mereka bertiga ini tidak setanding dengan kami. Keluarkan daripada kalangan kaum kami sendiri baru sepadan dengan kami. Ataupun kamu sendiri yang keluar bagi berhadapan dengan aku."

     Rasulullah pun berkata, "Majulah ke hadapan wahai Ubaidah al-Harith, berdirilah wahai Hamzah bin Abdul Mutalib dan sambutlah cabaran mereka wahai Ali bin Abi Talib."

     Tiga orang yang disebutkan namanya itu segera keluar lalu berhadapan dengan tiga orang Quraisy bagi bertanding satu lawan satu. Manakala tiga orang Ansar masuk semula ke dalam barisan.

     "Siapa kamu?" tanya Uthbah bin Rabi'ah.

     "Aku Ubaidah al-Harith," jawab Ubaidah yang berhadapan dengan Uthbah bin Rabi'ah.

     "Kamu baru setanding dengan aku," kata Uthbah.

     "Siapa kamu?" tanya Syaibah pula kepada lawannya.

     "Aku Hamzah bin Abdul Mutalib," jawab Hamzah yang berhadapan dengan Syaibah.

     "Siapa kamu?" tanya al-Walid pula.

     "Aku Ali bin Abi Talib," jawab Ali.

     "Kita berdua memang setanding," kata al-Walid.

     "Kamu bertiga orang yang mulia daripada kaum Quraisy. Tetapi apabila kamu menjadi pengikut Muhammad maka kamu menjadi musuh kami. Sebab itu kami mahu bertarung dengan kaum kami sendiri," kata Uthbah bin Rabiah.

     "Syaibah, ucapkan tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Maka engkau tidak akan aku bunuh," kata Hamzah dengan suara yang lantang.

     "Hamzah, kembalilah ke agama nenek moyang kita maka engkau aku lepaskan dari pancungan pedang aku ini," kata Syaibah lalu menghunus pedangnya.

     Hamzah yang terkenal gagah dan berani itu pantang dicabar lalu turut menghunus senjatanya. Syaibah memulakan serangan dengan melibas pedangnya bagi membunuh Hamzah. Namun serangan Syaibah itu berjaya ditangkis oleh Hamzah yang memang mahir bermain senjata itu. Kemudian giliran Hamzah pula menyerang dan dalam masa yang singkat dia berjaya menetak leher Syaibah menyebabkan lawannya yang memakai baju besi itu tersungkur ke bumi. Kemenangan Hamzah terhadap lawannya dalam masa yang singkat itu menggembirakan pasukan Muslimin lalu terdengar ucapan takbir dan tahmid yang bergema ke angkasa.

     Ali bin Abi Talib juga sedang bertarung dengan al-Walid anak Uthbah bin Rabi'ah. Al-Walid memang terkenal sebagai anak muda yang kuat dan tangkas menggunakan senjata. Dia menggunakan segala kemahirannya bagi menewaskan lawannya. Tetapi Ali bin Abi Talib ternyata lebih hebat daripada lawannya. Pemuda yang diasuh serta dididik oleh Rasulullah sejak kecil itu ternyata mempunyai kekuatan yang luar biasa. Al-Walid akhirnya tewas di tangan Ali bin Abi Talib. Sekali lagi pasukan Islam bertakbir dan bertahmid menyambut kemenangan Ali bin Abi Talib itu.

     Kini semua perhatian tertumpu kepada pertarungan antara Uthbah bin Rabi'ah dengan Ubaidah bin al-Harith. Kedua-duanya sama sebaya umurnya tetapi Uthbah lebih besar badannya berbanding lawannya Ubaidah. Sejak pada mula Uthbah memang rasa berat hati menyertai pasukan tentera Quraisy. Malah dia bercadang mahu mencari seseorang bagi mewakili dirinya. Tetapi dia dicabar oleh kawan-kawannya dengan menuduhnya pengecut seperti perempuan. Kerana itu terpaksalah dia menyertainya.

     Apabila mendapat tahu kafilah dagang Quraisy selamat sampai ke Mekah, sekali lagi Uthbah menyatakan hasrat hatinya mahu menarik diri daripada pasukan Quraisy tetapi dia dicabar oleh Abu Jahal dengan mengatakan paru-parunya sudah kembang yang bermaksud dia takut mati. Kerana itu dia berasa tercabar lalu mahu menunjukkan keberaniannya.

     Uthbah bin Rabi'ah berusaha bersungguh-sungguh bagi menewaskan lawannya. Rasa marahnya memuncak dan semangatnya semakin berkobar apabila melihat anaknya al-Walid sudah tersungkur di tangan Ali bin Abi Talib. Adiknya Syaibah juga sudah ditewaskan oleh Hamzah. Kini orang Quraisy mengharapkan kemenangannya.

     Dengan semangat yang berkobar itu Uthbah akhirnya dapat menetak kaki Ubaidah. Tetapi Ubaidah juga sempat mencederakan tubuh Uthbah. Kini kedua-duanya cedera parah. Tiba-tiba Uthbah kelihatan cuba melarikan diri ke arah pasukan Quraisy. Hamzah memintasnya lalu menetak pedangnya ke tubuh Uthbah. Kemudian Hamzah mengheret Uthbah yang tinggal nyawa-nyawa ikan kepada Rasulullah.

     Apabila sampai kepada Nabi Muhammad, Uthbah sempat melekapkan pipinya kepada kaki Rasulullah lalu berkata, "Wahai Muhammad, sekiranya Abu Talib berada di sini dan sempat melihat keadaanku tentu dia akan berkata, rasakanlah kamu wahai Uthbah kerana memusuhi Muhammad. Aku sanggup tersungkur bagi membelanya dan sanggup berpisah dengan kaum keluarga."

     Selesai mengucapkan kata-katanya maka Uthbah bin Rabi'ah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

     "Wahai Rasulullah, tentera Quraisy menghampiri kita. Pergilah ke tempat perlindungan biar kami sahaja yang menghadapi mereka," kata Hamzah bin Abdul Mutalib.

     "Biarkan mereka menghampiri kamu dahulu. Kemudian serang dengan anak-anak panah," pesan Rasulullah sebelum pergi ke tempat perlindungan. Beliau diiringi Abu Bakar as-Siddiq.

     Di tempat perlindungan itu, Nabi Muhammad bermunajat serta berdoa kepada Allah. Beliau mengulangi doanya, "Ya Allah, sekiranya kami kalah dan binasa maka tidak ada siapa lagi yang menyembahMu."

     "Wahai Rasulullah, teruslah berdoa kerana Allah pasti memenuhi janjiNya kepadamu," kata Abu Bakar as-Siddiq.

     Nabi Muhamamd terus bermunajat dan berdoa dengan hati yang penuh dengan pengharapan. Tidak lama kemudian beliau mendapatkan Abu Bakar dengan wajah yang berseri.

     "Bergembiralah wahai Abu Bakar as-Siddiq, sesungguhnya pertolongan Allah sudah datang..." kata Rasulullah. Kemudian beliau keluar dari tempat itu lalu ikut sama terjun ke medan perang.

     Di medan perang Abu Jahal memerintahkan pasukan berkuda melakukan serangan. Mereka menyerbu ke arah pasukan tentera Islam. Seperti yang dipesan Rasulullah, pasukan pemanah bersedia dengan senjata masing-masing. Mereka membentuk tiga barisan. Apabila musuh hampir, barisan pertama melepaskan anak panah. Beberapa ekor kuda yang cedera juga berpatah ke belakang menyebabkan berlaku perlanggaran sesama mereka.

     Selepas pasukan pemanah barisan pertama melepaskan anak panah mereka segera berundur di belakang barisan ke tiga bagi membolehkan mereka yang berada di barisan kedua melepaskan anak panah. Kemudian barisan kedua pergi ke belakang bagi membolehkan pasukan pemanah barisan ketiga melepaskan anak panah. Begitu yang mereka lakukan hingga serangan pasukan tentera berkuda itu dapat dipatahkan.

     Apabila melihat serangan tentera berkuda dapat dipatahkan oleh pasukan pemanah Islam, Abu Jahal menukar taktik dengan memerintahkan pasukan tentera berjalan kaki yang memakai baju besi berjumlah 600 orang melakukan serangan. Kedatangan mereka ditentang barisan tentera yang dianggotai Hamzah bin Abdul Mutalib, Umar bin al-Khattab, Saad bin Abi Waqas, Abu Ubaidah al-Jarrah, Ali bin Abi Talib dan beberapa orang lagi.

     Maka berlaku pertempuran hebat antara kedua-dua belah pihak. Tentera Islam semakin bersemangat apabila melihat Rasulullah turut berjuang bersama mereka.

     Nabi Muhammad berkata, "Demi jiwa Muhammad yang berada dalam genggaman TuhanNya, pada hari ini tidak ada seorang pun yang berperang dengan sabar, mengharapkan keredaan Allah dan terus maju tanpa mundur, melainkan Allah memasukkannya ke dalam syurga."
  
     Mendengar kata-kata Rasulullah itu maka Umair bin al-Humam pun berkata, "Wahai Rasulullah, tidak ada halangan bagi saya masuk syurga selepas dibunuh oleh mereka."

     Kemudian Umair menghunus senjata lalu menggempur tentera Quraisy seorang diri dan dia berjaya membunuh dan mencederakan beberapa orang lawannya sebelum mendapat syahid. Keberanian Umair itu menaikkan semangat tentera Islam bagi bertempur mati-matian.

     "Wahai Rasulullah, apa yang membuat Tuhan bergembira melihat hambaNya pada saat ini?" tanya Auf bin al-Harits.

     "Seseorang yang sanggup menggempur musuh dengan tangannya walaupun tanpa memakai baju besi," jawab Rasulullah.

     Mendengar jawapan itu, Auf bin al-Harits menyerbu tentera Quraisy lalu menggempurnya habis-habis hingga akhirnya dia gugur syahid. Pertempuran bertambah sengit. Beberapa orang tentera Quraisy terbunuh tetapi masih ramai lagi yang datang membuat serbuan. Ketika itulah para Malaikat datang membantu tentera Islam. Mereka menjelma dengan menyerupai manusia.

     Dengan adanya bantuan daripada Malaikat, banyak perkara ghaib yang berlaku. Tentera Quraisy yang memakai baju dan topi besi tiba-tiba terputus kepalanya tanpa ternampak siapa yang memenggalnya. Ada pula yang terputus tangan ketika hendak menyerang.

     Mus'ab bin Amer seorang Ansar melihat al-Abbas tersungkur ke tanah lalu menangkapnya. Dia tidak membunuh al-Abbas kerana patuh pada pesanan Nabi Muhammad supaya jangan membunuh al-Abbas. Kemudian al-Abbas dibawa kepada Rasulullah.

     "Wahai Muhammad, bukan lelaki ini yang mengalahkan saya tetapi seorang lelaki yang berkepala botak tetapi berwajah tampan menunggang kuda putih. Saya tidak pernah melihat lelaki seperti itu," beritahu al-Abbas.

     "Wahai Rasulullah, saya melihat al-Abbas tersungkur lalu saya menawannya," kata lelaki Ansar itu.

     "Allah menghantar malaikat bagi membantu kamu menawannya," kata Nabi Muhammad.

     Kemudian datang pulang Abu Daud al-Mazani mengadu kepada Rasulullah. "Tadi saya mengejar seorang tentera Quraisy. Saya hendak memancung lehernya tetapi dengan tiba-tiba sebelum sempat saya melakukannya kepala musuh itu terputus. Saya tidak nampak siapa yang melakukannya."

     "Para malaikat yang membantu kita," kata Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, ketika saya sedang bertempur dengan seorang tentera musuh tiba-tiba lawan saya itu terpaku dan mulutnya terlopong seolah-olah terperanjat sambil matanya melihat sesuatu di langit. Ketika saya mendongak kelihatan seorang lelaki memakai jubah putih sedang menunggang kuda sambil menghayun pedangnya," kata seorang lagi.

     "Itulah pertolongan Allah dari langit," kata Rasulullah.

     Semasa berlakunya perang Badar itu iblis datang menyerupai Suraqah bin Malik. Ketika pertempuran sedang berlaku tiba-tiba Suraqah melarikan diri dari medan perang. Al-Harith bin al-Hisyam mengejar Suraqah lalu memegang tangannya sambil bertanya.

     "Mengapa kamu hendak meninggalkan kami, wahai Suraqah? Bukankah kamu sudah berjanji hendak bersama kami memerangi Muhammad?" tanya al-Harith kerana tidak tahu itu iblis yang sedang menyamar sebagai Suraqah.

     "Sesungguhnya pada saat ini aku melihat apa yang kamu tidak nampak. Aku berasa sangat takut," jawab iblis yang menyerupai Saraqah itu. Kemudian dia terus melarikan diri dari medan perang.

     "Itu Muhammad. Bunuh dia," teriak seorang tentera Quraisy apabila melihat Nabi Muhammad berada di medan perang.

     Serentak itu berpuluh orang tentera Quraisy menyerbu ke arah Nabi Muhammad hendak membunuhnya. Nabi Muhammad tunduk lalu menggambil segenggam pasir lalu melemparkan ke arah musuh yang cuba membunuhnya. Dengan izin Allah mata tentera Quraisy yang terkena pasir dan batu kerikil itu menjadi buta. Rasulullah terselamat daripada percubaan membunuhnya.

     Tidak lama kemudian datang Ukashah bin Mihshan al-Asadi lalu menghadapi Nabi Muhammad. "Wahai Rasulullah, pedang saya sudah patah dan tidak boleh digunakan lagi," beritahu Ukashah.

     Rasulullah mengambil sepotong akak pokok kurma lalu memberikannya kepada Ukashah. "Bertempurlah dengan ini, wahai Ukashah."

     Ukashah patuh pada perintah Nabi Muhammad tanpa banyak soalan dia mengambil akar kayu yang diberikan itu lalu menyerbu ke arah tentera Quraisy. Tiba-tiba akar itu bertukar menjadi sebilah pedang yang tajam. Ukashah menggunakan senjata itu bagi menggempur lawannya. Pedang itu dinamakan al-Aun.




N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment