Wednesday 1 March 2017

PERANG BADAR [ BAB 5 - PERISTIWA DI NAKLAH ]






PERISTIWA DI NAKLAH








Rumah kediaman orang Yahudi Bani Qainuqa terletak di lereng bukit. Rumah-rumah mereka besar dan cantik kerana ramai antara mereka terdiri daripada peniaga orang kaya. Di Madinah terdapat tiga kabilah Yahudi yang paling besar dan berpengaruh iaitu Bani Qainuqa, Bani Nadhir dan Bani Quraizah. Antara ketiga-tiga kabilah itu, orang Yahudi Bani Qainuqa yang paling kaya. Mereka menguasai pasar Qainuqa.

     Pasar Qainuqa terletak di kaki bukit dan sejak berkurun lamanya pasar itu dikuasai Yahudi Bani Qainuqa. Tetapi selepas orang Islam dari Mekah berhijrah ke Madinah dan selepas Nabi Muhammad memegang tampuk kuasa, kehidupan mereka mula tergugat. Perniagaan mereka terjejas teruk kerana semua orang Islam hanya berurusan dengan peniaga Islam. Hubungan mereka mula renggang malah akhirnya menjadi pemusuhan.

     Pada mulanya orang Yahudi di Madinah menyambut baik kedatangan Nabi Muhammad kerana yakin beliau dapat mendamaikan pertelingkahan antara kabilah Aus dan Khazraj. Mereka tidak mahu berlakunya peperangan kerana ia menjejaskan perniagaan mereka. Apabila wujud keamanan di Madinah mereka berhadap mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda dalam bidang perniagaan. Tambahan pula mereka yang menguasai ekonomi Madinah. Mereka berharap kedatangan Nabi Muhammad ke Madinah memberi keuntungan kepada orang Yahudi.

     Tetapi tidak lama kemudian mereka mula berasa tidak senang hati apabila mendapati orang Islam semakin maju dan berkuasa. Perniagaan mereka mula terjejas kerana mendapat saingan daripada peniaga Mekah yang pandai berniaga seperti Abdul Rahman bin Auf, Uthman bin Affan, Zubair bin Awwam dan ramai lagi. Mereka lebih tidak senang hati apabila agama Islam tersebar dengan cepat di Madinah. Ramai yang masuk Islam termasuk orang Yahudi. Malah pendeta mereka juga ada yang menjadi pengikut Nabi Muhammad.

     "Agama yang dianut oleh orang Quraisy Mekah lebih baik daripada agama yang dianut oleh Muhammad dan pengikutnya," kata Judan dalam usahanya menghasut orang ramai supaya jangan masuk Islam.

     "Orang Quraisy Mekah menyembah berhala. Muhammad dan pengikutnya menyembah Tuhan yang Esa," kata seorang penduduk Madinah yang hatinya mula berjinak dengan Islam.

     "Menyembah berhala itu lebih baik daripada menyembah Tuhan yang tidak nampak di mata," kata Judan pula. Dia mula mempersendakan agama Islam."

     "Apakah orang Yahudi juga menyembah berhala?" tanya Naser yang turut berada di situ.

     "Kami tidak menyembah berhala. Kami menyembah Tuhan kami," jawab Judan.

     "Adakah Tuhan yang kamu sembah itu nampak di mata?" tanya Naser lagi.

     "Tidak," jawab Judan.

     "Sekiranya begitu agama orang Quraisy di Mekah lebih baik daripada agama awak," tempelak Naser.

     Maka terjadi pertengkaran antara Judan dengan Naser hingga hampir terjadi pergaduhan tetapi mujur dapat dileraikan. Namun pertengkaran itu tetap melukakan hati kedua-dua belah pihak. Apatah lagi orang Yahudi sering menunjukkan permusuhan kepada orang Islam.

     Hamzah dan beberapa orang sahabat Nabi Muhammad pernah mencadangkan supaya mengambil tindakan pada orang Yahudi tetapi beliau tidak setuju kerana mereka terikat dengan perjanjian. Rasulullah menyuruh mereka bersabar hingga datang perintah Allah.

     Tidak lama kemudian muncul pula isu arah kiblat. Orang Yahudi mempersendakan orang Islam kerana bersembahyang menghadap ke arah Baitulmuqaddis.

     "Baitulmuqaddis adalah tempat suci kami. Mengapa awak bersembahyang menghadap ke sana?" pertanyaan seperti itu sering dikemukakan orang Yahudi kepada orang Islam.

     Maka turun ayat Quran surah Al-Baqarah ayat 143, "Dan demikian pula kami menjadi kamu (umat Islam) sebagai umat yang adil dan pilihan supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan supaya Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kami. Kami tidak menjadikan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan supaya kamu mengetahui (upaya nyata) siapa yang mengikuti rasul dan siapa yang pembelot. Sesungguhnya perpindahan kiblat itu terasa amat berat, kecuali bagi mereka yang diberi petunjuk oleh Allah."

     Selepas turun ayat itu, Nabi Muhammad menyuruh para pengikutnya bersembahyang menghadap ke arah Baitullah atau Kaabah di Masjidil Haram. Perpindahan kiblat umat Islam itu menimbulkan kegelisahan di kalangan orang Quraisy di Mekah.

     "Mula-mula Muhammad menyuruh pengikutnya bersembahyang menghadap ke arah Baitulmuqaddis. Tetapi sekarang berpindah pula ke arah Kaabah. Awak tahu apa tujuannya?" tanya Abu Lahab kepada orang ramai yang berkumpul di hadapan Kaabah.

     "Muhammad bercita-cita menakluk Mekah. Dia mengajak pengikutnya menghadap ke arah Kaabah. Kita mesti bertindak bagi menghalangnya," jawab Abu Lahab.

     "Menurut Muhammad, perintah bersembahyang menghadap ke arah Kaabah itu adalah perintah Allah. Bukan kehendaknya sendiri," teriak Abbas yang turut berada di situ.

     "Muhammad bohong. Tuhan kita adalah al-Latta, al-Uzza dan yang terdapat di keliling Kabaah ini," marah Umaiyah bin Khallaf pula.

     "Wahai Abbas, nyatakan pendirian awak sekarang. Menyebelahi Muhammad ataupun kami?" tanya Abu Jahal sambil bercekak pinggang kerana marah.

     "Saya bercakap perkara yang benar. Muhammad mengatakan mereka bersembahyang menghadap ke arah Kaabah itu adalah perintah Allah. Salahkah saya bercakap begitu?" tanya Abbas pula.

     "Jangan awak marah kepada Abbas kerana dia masih bersama kita. Sekiranya dia sudah terkena sihir Muhammad sudah tentu dia berhijrah ke Madinah. Selagi dia berada di Mekah, selagi itu dia setia kepada agama nenek moyang kita," kata Abu Lahab pula.

     "Jangan kita bertengkar. Lebih baik kita fikirkan apa yang patut kita lakukan bagi menghapuskan Muhammad dan pengikutnya," kata Umaiyah bin Khallaf pula.

     "Saya cadangkan kita serang Madinah. Itu sahaja caranya bagi menghapuskan Muhammad dan para pengikutnya," kata Abu Jahal mencadangkan.

     "Bukan semua penduduk Madinah menjadi pengikut Muhammad. Sekiranya kita menyerang Madinah bermakna kita berperang dengan semua orang termasuk orang Yahudi," bantah Abu Sufian bin Harith pula.

     "Saya setuju dengan kata-kata Abu Sufian itu," kata Umaiyah. "Sekiranya semua penduduk Madinah bersatu menentang kita, tindakan itu menjadi sia-sia. Mereka pasti bersatu menyekat laluan kita ke Syam."

     "Sekiranya begitu apa yang perlu kita lakukan?" tanya Abu Jahal pula.

     "Kita pujuk orang Yahudi dan mereka yang bukan Islam menyokong kita. Apabila berlaku peperangan mereka menyebelahi kita, bukan menyebelahi Muhammad. Sekiranya itu dapat dilakukan maka kita pasti beroleh kejayaan," jawab Umaiyah.

     "Saya setuju," sokong Abu Lahab.

     Sejak itu orang Quraisy berusaha memujuk orang Yahudi dan masyarakat Madinah menyebelahi mereka. Pada masa yang sama mereka menghantar orangnya bagi membuat huru-hara di Madinah. Sasaran mereka adalah orang Islam.


=================================================


Bulan Rejab tahun ke 2 hijrah / Januari 624 Masihi

Allah berkata dalam surah al-Baqarah ayat 190 hingga 193, "Dan berperanglah kerana (menegak dan mempertahankan) agama Allah dan mereka yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan) kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh. Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu jumpai mereka. Dan usirlah mereka dari tempat yang mereka sudah mengusir kamu. Dan (ingatlah bahawa) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh. Dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar Masjidil Haram kecuali mereka memerangi kamu di situ maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang yang kafir. Kemudian sekiranya mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu memeranginya) kerana sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha mengasihani. Dan perangilah mereka hingga tidak ada lagi fitnah dan menjadikan agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian sekiranya mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan pada orang yang zalim."

     Dengan turunnya ayat Quran itu umat Islam dibenarkan berperang dengan tujuan mempertahankan diri serta menegakkan agama Allah. Rasulullah pun membentuk pasukan bersenjata yang ditugaskan menjaga kesematan negara dan orang ramai. Nabi Muhammad juga mrmbentuk pasukan peninjau bagi mengintip pergerakan musuh.

     Pada awal bulan Rejab Nabi Muhammad membentuk pasukan peninjau yang terdiri daripada 12 orang peninjau keluar dari Madinah. Tetapi ke mana pasukan itu akan pergi dirahsiakan sebagai satu strategi supaya tidak diketahui musuh. Orang ramai cuma dapat meneka mereka ditugaskan bagi memantau pergerakan kafilah dagang Quraisy yang menceroboh ke dalam wilayah Madinah.

     Malam itu juga Abdullah bin Jahsy al-Asadi mengadakan perbincangan dengan semua mereka yang terpilih bagi menyertai pasukan itu. Mereka mengadakan perbincangan secara tertutup di rumah Abdullah bin Jahsy al-Asadi.

     "Kita akan bertolak selepas sembahyang subuh pagi esok. Kerana itu malam ini buatlah persediaan. Jangan lupa membawa senjata dan makanan untuk perjalanan seminggu," pesan Abdullah bin Jahsy al-Asadi.

     Menjelang tengah malam baru mereka bersurai selepas mengadakan perbincangan yang panjang lebar. Masing-masing begitu bersemangat menjalankan tanggungjawab yang diberikan itu. Kerana jumlahnya hanya 12 orang maka ramai yang menyangka tugas pasukan itu tidak penting kerana itu bilangannya tidak ramai. Namun Abdullah bin Jahsy al-Asadi dan kawan-kawannya tetap berasa gembira kerana mereka terpilih bagi menyertainya.

     Keesokan harinya selepas senbahyang subuh. Rasulullah memberi amanat kepada Abdullah bin Jahsy al-Asadi dan pasukannya. Kemudian Nabi Muhammad memberikan sepucuk surat kepada Abdullah bin Jahsy al-Asadi dengan pesanan surat itu hanya dapat d[-0ppppppppppppppppppppprrjalanan keluar dari Madinah.

     Orang Yahudi yang diupah menjadi pengintip bagi pihak Quraisy Mekah berusaha mendapatkan maklumat. Mereka menemui sahabat-sahabat Nabi Muhammad bagi mendapatkan rahsia.

     "Abu Bakar as-Siddiq, kamu seorang yang tidak pernah bercakap bohong. Saya mahu bertanya, ke manakah Abdullah bin Jahsy al-Asadi dan pasukannya diperintahkan pergi oleh Rasulullah?" tanya Abdullah bin Ubai yang menjadi pengintip bagi pihak Quraisy Mekah.

     "Tidak siapa yang tahu kerana Nabi Muhammad merahsiakannya," jawab Abu Bakar as-Siddiq.

     "Kamu orang yang paling rapat dengan Nabi Muhammad. Bolehkah kamu tanyakan kepada Muhammad ke mana pasukan itu pergi? Apa tugas yang diperintahkan kepada mereka?" pinta Abdullah bin Ubai.

     "Saya memberi amaran kepada kamu jangan mengkhianati Nabi Muhammad," marah Abu Bakar as-Siddiq.

     Abdullah bin Ubai berasa sangat kecewa. Dia menyuruh orang mengikuti pasukan Abdullah bin Jahsyi al-Asadi tetapi tidak berjaya.

     Abdullah bin Jahsyi al-Asadi dan pasukannya pula terus berjalan meninggalkan kota Madinah. Selepas dua hari berjalan, Abdullah pun membuka surat yang diberikan Rasulullah. Kandungan surat itu seperti berikut:

     "Selepas membaca surat ini maka segeralah kamu menuju ke Naklah yang terletak di antara Mekah dengan Taif. Intiplah pergerakan kaum Quraisy. Kemudian segera laporkan kepada saya."

     Kemudian Abdullah bin Jahsyi al-Asadi membacakan surat itu supaya diketahui oleh semua anggota pasukannya. Kemudian dia bertanyakan pendapat mereka.

     "Sesiapa antara kamu yang hendak menarik diri boleh meninggalkan kami. Sesiapa yang sanggup syahid maka teruslah bersama kami," kata Abdullah bin Jahsyi. Dia tidak mahu ada yang berasa dipaksa bagi menjalankan misi itu.

     "Ini adalah perintah Allah melalui Rasulullah. Saya tidak mahu menarik diri walau disuruh menyerang kota Mekah seorang diri," kata Saad bin Abi Waqas.

     "Saya berpendapat dengan Saad. Saya tidak mahu menarik diri walau apapun yang terjadi," kata Uthbah bin Ghazwan pula.

     "Sesiapa yang menarik diri bermakna ingkar pada perintah Rasulullah. Mari kita teruskan perjalanan kita hingga sampai ke Naklah. Selepas itu terserah kepada Allah bagi menentukan nasib kita," kata Umar al-Khattab pula.

     "Nama-nama kita dipilih oleh Rasulullah bagi menjalankan tugas ini. Saya yakin tidak seorang pun yang mahu menarik diri," kata Saad bin Abi Waqas.

     Mereka sebulat suara meneruskan misi itu. Masing-masing sanggup sekiranya ditakdirkan syahid. Kebetulan pada masa yang sama satu kafilah dagang Quraisy yang dipimpin Amru bin Hadhrami sedang dalam perjalanan pulang dari Syam ke Mekah. Mereka berjumlah 70 orang membawa banyak barang dagangan. Apabila sampai di Naklah mereka berhenti rehat. Amru menyuruh Ukhasyah bin Miksan memeriksa kawasan sekitar bagi memastikan keselamatan mereka. Kedatangan pasukan Madinah itu diintip oleh Ukhasyah lalu dilaporkan kepada Amru.

     "Seramai 12 orang pengikut Muhammad sedang dalam perjalanan ke sini. Apa yang perlu kita lakukan?" tanya Ukasyah bin Miksan.

     "Kita serang mereka," jawab Uthman bin Naufal.

     "Sekarang masih dalam bulan haram. Kita dilarang berperang," bantah Amru.

     "Kita tangkap mereka dan jadikan tawanan," cadang al-Hakam bin Kaisan pula.

     Amru bin Hadhrami bersetuju dengan cadangan itu. Dia menyuruh Ukasyah, Uthman, al-Hakam dan Abdullah al-Mughirah menangkap salah seorang pengikut Muhammad bagi dijadikan tawanan.

     Kebetulan ketika itu masuk waktu sembahyang zuhur. Abdullah bin Jahsyi al-Asadi dan pasukannya berhenti bagi sembahyang. Sedang mereka bersembahyang, Ukasyah dan kawan-kawannya mencuri salah seekor unta kepunyaan pasukan Madinah itu.

     "Unta kita sudah hilang. Mari kita mencarinya," kata Uthbah.

     "Bagaimana pula dengan yang lain?" tanya Saad bin Abi Waqas.

     "Biarkan mereka meneruskan perjalanan ke Naklah. Kita cari unta kita dahulu. Saya tidak mahu perkara itu menghalang mereka sampai ke Naklah," jawab Uthbah.

     Saad bin Abi Waqqas dan Uthbah terpaksa berpisah dengan pasukannya bagi mencari untanya yang hilang. Sedang mereka mencarinya tiba-tiba dia dikepung oleh Ukasyah dan kawan-kawannya. Akhirnya Saad dan Uthbah berjaya ditawan lalu dibawa kepada Amru.

     "Beritahu aku mengapa kamu datang ke sini?" tanya Amru.

     "Aku tidak akan memberitahunya," jawab Uthbah.

     "Gunakan kekerasan," kata Ukasyah.

     Amru memukul Uthbah bagi mendapatkan rahsia daripadanya. Namun Uthbah tidak mahu memberikan kerjasama walaupun dipaksa.

     "Bukankah kita dilarang beperang dalam bulan haram?" tanya Saad bin Abi Waqas.

     "Kita dilarang berperang tetapi tidak dilarang menyeksa tawanan," kata Amru terus memukul Uthbah.

     "Pengikut Muhammad sedang mengintip kita. Apa yang perlu kita lakukan?" tanya Uthman bin Naufal.

     "Lakukan sesuatu bagi menakutkan mereka. Biar mereka segera pulang ke Madinah," jawab Amru.

     Ukasyah mencukur kepalanya sebagai tanda mahu berperang. Abdullah bin Jahsyi al-Asadi berbincang dengan kawan-kawannya.

     "Anggota kafilah itu mencukur kepalanya sebagai tanda bersedia bagi berperang," kata Naser dengan wajah yang agak cemas.

     "Jangan takut kepada mereka kerana Allah pasti menolong kita," kata Ammar bin Yasir.

     "Saya tidak takut. Cuma saya berasa serba salah. Sekiranya kita biarkan, kafilah itu akan sampai ke Mekah dengan selamat. Sekiranya kita menyerang sekarang masih bulan haram yang dilarang berperang," kata Abdullah bin Jahsyi.

     Tiba-tiba Waqid bin Abdullah Tamimi nampak Amru sedang menyeksa Uthbah. Dia segera melaporkannya kepada Abdullah.

     "Selamatkan Uthbah dan Saad bin Abi Waqas," kata Abdullah.

     Waqid bin Abdullah Tamimi seorang yang mahir memanah. Dia segera melepaskan anak panah tepat mengenai Amru. Maka terjadi pertempuran antara mereka. Tetapi pertempuran tidak berlangsung lama. Apabila mendapat tahu Amru terbunuh, anggota kafilah Quraisy itu segera melarikan diri dan pulang ke Mekah dengan meninggalkan banyak barang dagangan.

     Uthman dan al-Hakam tidak sempat melarikan diri kerana berjaya dipintas oleh Hamzah dan Umar al-Khattab. Kedua-duanya berjaya ditangkap lalu dijadikan tawanan. Pasukan peninjau itu bukan sahaja berjaya menakutkan kafilah dagang Quraisy Mekah malah berjaya merampas banyak barang dagangan dan dua orang tawanan perang, lalu dibawa pulang ke Madinah.

     Rasulullah yang menyambut kedatangan mereka kelihatan tidak gembira kerana beliau tidak menyuruh mereka berperang pada bulan haram.

     Nabi Muhammad juga enggan menerima harta rampasan itu. Dua orang tawanan itu disuruh beri layanan yang baik. Umar al-Khattab berasa amat sedih dan menyesal lalu mengajak Abdullah menghadap Rasulullah bagi memohon maaf.

     "Wahai Rasulullah, sekiranya kami bersalah maka hukumlah kami," kata Abdullah bin Jahsyi.

     Namun Rasulullah tidak mahu bertindak terburu-buru. Beliau menyuruh mereka pulang ke rumah masing-masing dan menunggu apa perintah seterusnya.

     Orang Quraisy di Mekah berasa amat marah apabila mendapat tahu kafilah dagang mereka diserang oleh pengikut Nabi Muhammad. Mereka menghasut kabilah-kabilah Arab dengan mengatakan Muhammad menghalalkan pertumpahan darah pada bulan haram. Keadaan itu menimbulkan keresahan di kalangan penduduk Madinah terutama kaum Yahudi dan mereka yang bukan Islam. Orang Islam diejek kerana melanggar adat yang melarang mereka berperang dalam bulan haram.

     Allah menurunkan ayat Quran daripada surah al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud, "Mereka bertanya kepada kamu berkenaan berperang dalam bulan haram. Katakanlah, berperang di bulan haram itu adalah dosa besar. Tetapi menghalang manusia daripada jalan Allah, ingkar kepada Allah dan mengusir penduduknya dari tanah air mereka lebih besar dosanya di sisi Allah dan membuat fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh."

     Dengan turunnya ayat itu umat Islam di Madinah kembali bersatu. Mereka tidak kesal dengan peristiwa yang berlaku di Naklah. Malah mereka memuji tindakan Abdullah bin Jahsyi al-Asadi. Tetapi berlainan pula dengan orang Quraisy di Mekah. Mereka semakin berang.

     "Muhammad melanggar adat nenek moyang kita dengan membenarkan berperang dalam bulan haram. Aku hairan mengapa pengikutnya bersetuju?" tanya Abu Jahal.

     "Tuhan mereka membenarkan berperang walaupun pada bulan haram. Jadi tidak ada siapa membantahnya," kata Abbas pula.

     "Aku tetap membantah. Aku akan kumpulkan semua kabilah Arab bagi bersatu memerangi Muhammad," tekad Abu Jahal.

     "Sebelum kamu melakukannya maka selamatkan dulu Uthman dan al-Hakam yang menjadi tawanan Muhammad. Sekiranya kamu berjaya membebaskan kedua-duanya, kamu akan disanjung dan semua kabilah Arab akan bersatu di bawah kamu," kata Abu Sufian bin Harith pula.

     Abu Jahal segera menghantar wakilnya menemui Nabi Muhammad bagi merundingkan pembebasan tawanan mereka. Nabi Muhammad bersetuju dengan permintaan mereka dengan syarat dibebaskan dahulu Saad bin Abi Waqqas dan Uthbah yang menjadi tawana orang Quraisy. Abu Jahal bersetuju dengan permintaan itu. Ukasyah diberi tanggungjawab membawa kedua-dua tawanan mereka ke Madinah bagi ditukarkan dengan al-Hakam dan Uthman.

     "Wahai Rasulullah, saya tidak mahu kembali ke Mekah. Saya mahu masuk Islam dan terus menetap di sini," kata al-Hakam dengan bersungguh-sungguh.

     Selama menjadi tawanan dia sempat berdialog dengan para sahabat Rasulullah dan akhirnya dia mengucap kalimah tauhid, mengaku tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dan mengaku Muhammad itu pesuruh Allah.

     "Kamu mungkir janji kerana tidak membebaskan al-Hakam," marah Ukasyah apabila mendapati hanya Uthman yang dibebaskan oleh Rasulullah.

     Al-Hakam memeluk Islam kerana itu dia bukan lagi orang tawanan. Dia bebas membuat pilihan. Ukasyah tidak berpuas hati dan mahu berjumpa sendiri dengan al-Hakam.

     "Aku datang mahu membebaskan kamu daripada menjadi tawanan Muhammad," kata Ukasyah apabila al-Hakam enggan mengikutnya pulang ke Mekah.

     "Sejak dibawa ke Madinah saya tidak merasakan diri sebagai orang tawanan. Saya dilayan dengan baik seperti keluarga sendiri. Jadi saya memutuskan mahu menjadi pengikut Muhammad," kata al-Hakam pula.

     "Aku akan paksa kamu pulang ke Mekah," marah Ukasyah.

     "Dahulu kamu kawan saya. Tetapi sekarang kamu musuh saya. Tuhan kami membenarkan kami berperang. Sekiranya kamu memaksa saya akan melawan," kata al-Hakam pula.

     Akhirnya Ukasyah terpaksa tunduk dengan kehendak al-Hakam. Perkara itu menambahkan lagi kebencian orang Quraisy Mekah kepada Nabi Muhammad. Mereka bertekad mahu memeranginya.

     "Wahai kaum Muslimin sekalian, dengarkanlah pengumuman ini bahawa Allah mengizinkan kita berperang," kata Abu Bakar as-Siddiq lalu membaca surah al-Hajj ayat 39 bermaksud, "Diizinkan berperang bagi mereka yang diperangi. Kerana sesungguhnya mereka dianiaya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa menolong mereka."

     "Wahai Abu Bakar as-Siddiq, inilah ayat yang saya nantikan sekian lama. Sudah lama kita disakiti musuh. Selepas berhijrah ke Madinah mereka masih menyakiti kita. Dengan turunnya ayat ini kita boleh melawan mereka. Malah kita boleh berperang dengan kita," kata Umar al-Khattab dengan gembira.

     "Allah dan RasulNya memberi jaminan sesiapa yang syahid kerana membela agama Allah maka balasannya syurga. Mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya," kata Abu Bakar as-Siddiq pula.

     Umat Islam berasa gembira dengan turunnya ayat itu. Mereka tidak sabar hendak pergi berjihad ke jalan Allah. Sebelum itu sudah beberapa kali mereka meminta izin daripada Rasulullah bagi menentang orang Quraisy yang sering mengganggu namun tidak dibenarkan. Menurut Rasulullah mereka tidak boleh berperang selagi belum mendapat perintah daripada Allah.

     "Mereka menyakiti kita hingga terpaksa berhijrah ke Madinah. Mereka kemudiannya merampas semua harta yang kita tinggalkan. Kemudian mereka masih belum berpuas hati terus menyakiti kita. Sudah sampai masanya kita melawan serta berperang dengan mereka," kata Amir dengan bersungguh-sungguh.

     "Kita tidak boleh membalas dendam. Sekiranya berlaku peperangan, kita berperang kerana membela agama dan diri kita bukan kerana membalas dendam," kata Abu Bakar as-Siddiq.




N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment