Tuesday 14 March 2017

PERANG BADAR [ BAB 7 - MIMPI ATIKAH ]






MIMPI ATIKAH








Tiga hari sebelum itu...

Atikah binti Abdul Mutalib berasa amat susah hati dengan apa yang terjadi. Pada mulanya dia menyangka selepas Muhammad dan pengikutnya berhijrah ke Madinah suasana di Mekah menjadi aman tenteram. Tetapi berlaku sebaliknya kerana keadaan semakin hari semakin tegang hingga orang ramai berasa takut dan cemas. Setiap hari mereka bercerita tentang Muhammad dan pengikutnya yang cuba menyekat kafilah dagang Quraisy. Mereka juga bercerita tentang penduduk Madinah sudah bersatu di bawah pemerintahan Islam. Nabi Muhammad dilantik menjadi pemimpin. Situasi itu membimbangkan pemimpin-pemimpin Quraisy di kota Mekah. Mereka mula merancang mahu berperang dengan Nabi Muhammad dan para pengikutnya. Atikah berdoa semoga ketegangan itu tidak membawa kepada peperangan. Dia bimbang sekiranya berlaku peperangan antara orang Quraisy Mekah dengan penduduk Madinah.

     "Saya hairan mengapa Abdul Hakam, Abdul Uzza dan Umaiyah memusuhi Muhammad. Sedangkan Muhammad tidak pernah memusuhi mereka." Atikah meluahkan rasa tidak puas hati kepada abangnya Abbas bin Abdul Mutalib.

     "Mereka marah kerana Muhammad mengaku menjadi pesuruh Allah dan menyebarkan agama baharu kepada penduduk Mekah," kata Abbas.

     "Mereka sendiri bukanlah orang yang kuat berpegang pada agama nenek moyang kita. Mengapa mereka marah dan memusuhi Muhammad?" tanya Atikah lagi.

     "Mereka itu sombong dan keras hati kerana banyak harta dan berpangkat. Mungkin mereka bimbang Muhammad menjadi lebih popular daripada mereka," jawab Abbas.


=================================================


"Aku antara keluarga Abdul Mutalib yang paling gembira ketika Muhamamd dilahirkan. Aku juga memanggilnya al-Amin kerana dia seorang yang jujur dan tidak pernah berdusta. Tetapi sejak Muhammad mengaku menjadi pesuruh Allah, aku mula membencinya. Kasih dan sayangku kepadanya bertukar menjadi benci." Kata-kata itu sering diucapkan Abdul Uzza yang digelar Abu Lahab apabila meluahkan rasa bencinya kepada Muhammad.

     "Muhammad itu keluarga kita daripada keturunan Abdul Mutalib. Sekiranya benar dia menjadi pesuruh Allah, alangkah bertuahnya kita. Keluarga kita lebih dihormati serta dipandang tinggi kerana ada antara keluarga kita menjadi nabi." Atikah pernah mengucapkan kata-kata itu kepada Abu Lahab.

     "Sekiranya Tuhan mahu melantik seorang nabi dalam kalangan keluarga Abdul Mutalib, aku orang yang paling layak. Aku kaya dan dipandang mulia oleh orang ramai. Muhammad yang sepatutnya menjadi pengikut aku. Bukan aku yang menjadi pengikutnya," balas Abu Lahab.

     Di kalangan keluarga Abdul Mutalib, Abu Lahab memang terkenal sebagai seorang pemimpin Quraisy yang dihormati. Tambahan pula dia seorang saudagar yang kaya dan mempunyai banyak harta. Kekayaan dan pangkat ini yang menjadikan dia berasa megah dan takbur.

     Tetapi berlainan dengan Muhammad. Sejak lahir Muhammad sudah menunjukkan tanda-tanda yang luar biasa. Pada malam Muhammad dilahirkan suasana di kampung al-Irash begitu tenang dan mendamaikan. Cuaca tidak panas dan tidak sejuk. Malam itu penduduk kampung al-Irash berasa tenang dan tenteram.

     Muhammad dilahirkan pada 12 Rabiul Awal tahun gajah bersamaan dengan 20 April 571 Masihi. Ibunya bernama Aminah binti Wahab dan ayahnya bernama Abdullah bin Abdul Mutalib. Ayahnya seorang peniaga dan selalu berulang alik antara Mekah dengan Syam. Suatu hari ketika dalam perjalanan pulang dari Syam beliau jatuh sakit ketika sampai di Madinah. Sakitnya semakin berat dan akhirnya meninggal dunia lalu dikebumikan di Madinah. Ketika itu Muhammad masih di dalam kandungan ibunya.

     Kelahiran Nabi Muhammad diketahui oleh Nabi Isa melalui wahyu daripada Allah. Kisah itu juga terdapat dalam kitab Injil dan Taurat. Kerana itu ramai yang menanti kelahiran nabi terakhir itu.

     "Muhammad itu seorang yang luar biasa," puji Atikah yang mengagumi anak saudaranya itu sejak kecil.

     "Luar biasa? Apa maksud Ummi?" tanya Zaharah, anak Atikah.

     "Ibu turut berada di rumah Aminah ketika Muhammad dilahirkan. Menurut ibunya Aminah, dia langsung tidak berasa sakit ketika melahirkan anaknya. Kelahiran Muhammad disaksikan oleh bidan. Bidan berasa hairan kerana dia melihat ada orang lain yang sedang menyambut kelahiran Muhammad. Dia cuma menyaksikannya sahaja. Selepas Muhammad selamat dilahirkan, orang itu hilang daripada pandangan," jawab Atikah.

     "Siapakah orang itu, wahai Ummi?" tanya Zaharah lagi.

     "Mungkin bidadari syurga ataupun makhluk ghaib yang baik. Dia dihantar oleh Tuhan bagi menyambut kelahiran Muhammad," jawab Atikah.

     "Ummi percaya adanya Tuhan selain al-Latta dan al-Uzza?"

     "Datuk kamu Abdul Mutalib pernah beritahu Ummi bahawa Kaabah itu dijaga oleh Tuhan yang paling berkuasa. Kerana itu apabila tentera bergajah Abrahah hendak meruntuhkan Kaabah, datuk kamu berkata, Kaabah itu kepunyaan Tuhan, Dia akan melindunginya," jawab Atikah.

     "Selain itu apa lagi kelebihan Muhammad?" tanya Zaharah lagi.

     "Biasanya bayi yang baru dilahirkan akan menangis tetapi Muhammad tidak begitu. Dia diam sahaja walaupun bidan menepuk-nepuk tubuhnya. Matanya terbuka dan kelihatan bersinar-sinar seperti sedang melihat sesuatu," jawab Atikah.

     Kemudian katanya lagi, "Biasanya bayi terlentang tetapi Muhammad lahir dalam keadaan meniarap. Selepas dilahirkan, kepalanya mendongak ke langit, matanya turut merenung ke langit dan jari telunjuknya terangkat. Mak Bidan berasa hairan kerana belum pernah dia melihat bayi dilahirkan berkeadaan begitu."

     Menurut Atikah lagi, bidan menceritakan keganjilan itu kepada jiran-jiran Aminah menyebabkan mereka tertarik hati bagi melihat bayi itu. Mereka terpegun melihat keelokan paras rupa Muhammad. Masing-masing berasa sayang akan bayi yang baru dilahirkan itu. Orang ramai tidak putus-putus datang hendak melihat Aminah serta melihat bayi yang baharu dilahirkannya. Keadaan rumah Aminah tiba-tiba berubah suasananya menjadi meriah.

     "Apabila hari malam, rumah Aminah terang benderang seperti diterangi cahaya bulan walaupun ketika itu bulan tidak mengambang. Kejadian yang pelik itu menyebabkan orang ramai datang ke rumah Aminah bagi menyaksikan kejadian yang luar biasa itu. Mereka juga suka melihat Muhammad seolah-olah ada tarikan pada tubuhnya membuat orang ramai mahu melihatnya setiap hari," kata Atikah sambil memuji-muji Muhammad.

     "Kelahiran Muhammad membawa tuah kepada penduduk Mekah. Tanaman semakin subur dan haiwan ternakan semakin membiak. Beliau juga dipandang mulia kerana berkelakuan baik dan tidak pernah bercakap bohong hingga digelar al-Amin. Tetapi semuanya berubah selepas Muhammad mengaku menjadi pesuruh Allah," kata Atikah lagi.

     "Ibu yakin Muhammad itu pesuruh Allah?" tanya Zaharah.

     "Ibu memang yakin tetapi ayah kamu terpengaruh dengan kawan-kawannya. Mereka sama-sama menentang Muhammad. Sebagai isteri ibu tidak dapat berbuat apa-apa," jawab Atikah.

     Selepas lama berbual, kedua-dua anak itu terlena. Pada malam itu Atikah bermimpi sesuatu yang menakutkannya. Keesokan harinya Atikah masih teringatkan mimpinya itu. Malah mimpi itu sangat berkesan di hatinya. Lalu Atikah menceritakan mimpi itu kepada Zaharah.

     "Seeloknya ibu pergi berjumpa dengan Pak Cik Abbas. Beritahu dia berkenaan mimpi ibu itu. Mungkin dia boleh mentafsirkannya," cadang Zaharah. Atikah bersetuju dengan cadangan itu lalu menemui Abbas bin Abdul Mutalib.

     "Wahai saudaraku Abbas, malam tadi saya bermimpi sesuatu yang paling menakutkan. Saya bimbang mimpi itu membawa alamat yang tidak baik bukan sahaja kepada saya malah kepada seluruh penduduk kota Mekah," kata Atikah dengan harapan Abbas tertarik hati mendengarnya.

     "Saya bukan ahli tafsir mimpi. Tetapi saya begitu tertarik hati mengetahuinya," kata Abbas pula.

     "Dalam mimpi itu saya melihat seorang lelaki datang ke kota Mekah menaiki seekor unta yang besar. Kemudian berhenti di kawasan lapang di tengah kota Mekah lalu berteriak dengan suara yang sangat kuat, wahai kaum Quraisy, kamu akan berangkat ke tempat kematian dalam masa tiga hari lagi."

     "Mendengar teriakkan itu, orang ramai pun keluar dari rumah masing-masing lalu berkumpul di keliling lelaki itu. Kemudian lelaki itu mengulang semula kata-katanya itu. Orang ramai ketakutan sambil menangis. Kemudian lelaki itu masuk ke dalam masjid lalu berdiri di hadapan Kaabah. Lelaki itu berteriak dengan suara yang nyaring. Wahai sekalian penduduk Mekah, tiga hari lagi kamu akan berangkat ke tempat kematian. Hendaklah kamu bersedia!"

     "Kemudian lelaki itu mendaki bukit Qubis lalu diangkatnya sebuah batu yang besar. Kemudian batu itu dihumbankannya ke bawah. Tiba-tiba batu itu berpecah menjadi berkeping-keping lalu mengenai rumah-rumah di kota Mekah. Tidak ada sebuah rumah pun yang terselamat daripada serpihan batu itu. Akhirnya semua rumah di kota Mekah ini hancur," kata Atikah menceritakan mimpinya.

     Abbas bin Abdul Mutalib termenung mendengar mimpi yang diceritakan adiknya itu. Dia percaya mimpi itu membawa alamat yang tidak baik. Tambahan pula ada kaitan dengan Kaabah dan kota Mekah.

     Selepas agak lama termenung, Abbas pun berkata, "Demi Tuhan Kaabah, mimpi itu membawa alamat yang tidak baik. Kerana itu rahsiakan dulu mimpimu itu dan jangan ceritakan kepada sesiapa," kata Abbas bin Abdul Mutalib.

     "Mengapa perlu dirahsiakan?" tanya Atikah pula.

     "Kamu seorang perempuan yang baik dan terkenal di kalangan penduduk Mekah. Sekiranya mereka mendapat tahu kamu bermimpi seperti itu sudah pasti menjadi gempar. Saya tidak mahu orang ramai menjadi kelam-kabut," jawab Abbas.

     "Baiklah saya akan merahsiakannya," janji Atikah.

     Selepas Atikah pergi, Abbas keluar dari rumah lalu menuju ke Masjidil Haram. Di pertengahan jalan dia bertemu dengan kawan baiknya al-Walid bin Uthbah bin Rabi'ah.

     "Kamu dari mana wahai al-Walid?" tanya Abbas.

     "Dari Masjidil Haram. Orang ramai sedang bercerita tentang Muhammad. Ramai yang meramalkan kita akan berperang dengannya tidak lama lagi," jawab al-Walid.

     "Oh itu sesuatu yang menakutkan. Saya harap ia tidak akan berlaku," kata Abbas.

     "Apakah kamu takut berperang dengan Muhammad?" tanya Al-Walid.

     "Sekiranya berlaku peperangan apakah kamu menyangka kita dapat menang dengan mudah?" tanya Abbas pula.

     "Saya yakin kita boleh menang dengan mudah. Tambahan pula kita sudah membuat persiapan bagi berperang. Bilangan kita lebih ramai daripada mereka. Senjata kita lebih banyak daripada mereka," jawab al-Walid dengan begitu yakin.

     "Orang Islam percaya Muhammad dikurniakan mukjizat. Orang Quraisy percaya dia memiliki ilmu sihir yang begitu kuat. Muhammad pasti menggunakan kelebihannya itu bagi menang dalam peperangan," kata Abbas.

     Al-Walid terdiam mendengar hujah Abbas. Melihat keadaan itu, Abbas pula berkata, "Apakah kamu percaya mimpi itu dapat memberi sesuatu petanda?"

     "Mimpi hanya mainan tidur. Saya tidak percaya dengan mimpi," kata al-Walid pula.

     "Apakah kamu tidak tahu ayahku Abdul Mutalib pernah bermimpi sesuatu yang menakutkan sebelum tentera gajah Abrahah menyerang Mekah?" tanya Abbas.

     "Saya tidak tahu dan tidak pernah mendengarnya," jawab al-Walid.

     "Ayah saya pernah bercerita beliau pernah bermimpi sesuatu yang menakutkan sebelum kedatangan tentera dari Habsyah itu. Kerana itu saya yakin sebelum sesuatu kejadian buruk menimpa kota Mekah salah seorang antara kita akan mengalami mimpi yang menakutkan itu," kata Abbas.

     "Apakah kamu pernah bermimpi?" tanya al-Walid.

     "Bukan saya yang bermimpi. Tetapi adik saya, Atikah," jawab Abbas.

     "Apakah yang dimimpikan Atikah? Beritahu saya," desak al-Walid.

     "Sebelum itu saya hendak bertanya. Pada pendapat kamu adakah mimpi Atikah dapat dipercayai?" tanya Abbas.

     "Dia seorang wanita yang baik dan jujur. Mimpinya dapat dipercayai. Tambahan pula dia anak Abdul Mutalib, penjaga Kaabah," jawab al-Walid.

     Abbas pun menceritakan mimpi Atikah itu. Dia lupa janjinya mahu merahsiakannya. Tambahan pula al-Walid kawan baik yang sangat dipercayainya.

     "Rahsiakan mimpi Atikah ini dan jangan beritahu sesiapa. Saya tidak mahu orang ramai menjadi panik," pesan Abbas.

     "Bagaimana sekiranya mimpi Atikah itu membawa petanda perkara buruk akan berlaku pada penduduk Mekah? Sekiranya kita menghebahkannya kepada orang ramai, mereka boleh bersiap sedia. Sekiranya merahsiakannya ibarat membiarkan orang ramai ditimpa kebinasaan," kata al-Walid pula.

     Kemudian al-Walid menceritakan mimpi Atikah itu kepada ayahnya Uthbah bin Rabi'ah dengan membuat penambahan.

     "Atikah bermimpi Muhammad datang ke Mekah lalu berseru bahawa kita akan ditimpa malapetaka tiga hari lagi. Kemudian Muhammad memusnahkan semua rumah yang terdapat di sekitar kota Mekah," beritahu al-Walid yang sengaja menukar cerita asal.

     "Itu membawa petanda Muhammad akan menyerang kota Mekah tidak lama lagi. Aku mesti maklumkan mimpi Atikah ini kepada orang ramai," kata Uthbah bin Rabi'ah.

     Dia segera pergi ke hadapan Kaabah lalu berseru, "Wahai kaum Quraisy sekalian. Malam tadi Atikah bermimpi Muhammad menyerang kota Mekah. Bersiap sedialah kamu dengan senjata masing-masing. Pastikan keluarga kamu berada di tempat selamat," teriak Uthbah bin Rabi'ah.

     Perkhabaran yang disampaikan Uthbah itu membuat orang ramai menjadi gempar. Malah ada yang seperti diserang histeria kerana berasa takut yang amat sangat. Namun Abu Jahal dan Abu Lahab tidak mempercayainya. Kedua-duanya berusaha meyakinkan orang ramai bahawa mimpi Atikah itu sengaja direka cipta dan tidak boleh dipercayai.

     Tidak lama kemudian Abbas pun datang lalu disambut oleh Abu Jahal. "Wahai Abbas, pergi tawaf dahulu. Selepas itu datang kepada kami."

     Selepas bertawaf Abbas datang kepada Abu Jahal, Abu Sufian, Abu Lahab dan beberapa orang lagi pemimpin Quraisy.

     "Abbas, sejak bila Bani Abdul Mutalib mendapat seorang nabi perempuan?" tanya Abu Jahal.

     "Nabi perempuan? Apa maksud kamu?" tanya Abbas hairan.

     "Bani Abdul Mutalib, apabila Muhammad mengaku menjadi nabi kamu seolah-olah tidak berasa apa-apa. Malah kamu lindungi dia. Apabila Atikah bermimpi Muhammad menyerang kota Mekah, kamu mempercayainya. Atikah itu kamu anggap seperti nabi yang mimpinya adalah benar. Aku akan tunggu dalam masa tiga hari ini benarkah Muhammad akan menyerang Mekah. Sekiranya tidak berlaku apa-apa, aku akan tulis surat yang digantung pada Kabaah yang mengatakan kalian adalah pelindung Kaabah yang paling pembohong dalma dunia," jawab Abu Jahal.

     "Demi Tuhan, tidak ada seorang pun tokoh Quraisy yang berani menentang engkau wahai Abdul Hakam melainkan aku. Sesungguhnya aku sendiri tidak percaya dengan mimpi Atikah itu. Mengapa kamu menuduh kami menganggapnya sebagai nabi?" balas Abbas bin Abdul Mutalib.

     "Orang Bani Abdul Mutalib memang bodoh. Apabila Muhammad mengaku menjadi pesuruh Allah kamu biarkan. Apabila Atikah mengaku bermimpi buruk kamu biarkan. Beginikah sikap keturunan penjaga Kaabah?" marah Abu Jahal.

     Abbas berasa marah lalu hendak memukul Abu Jahal tetapi dapat dihalang orang ramai yang berada di situ. Kemudian mereka bersurai dan pulang ke rumah masing-masing.

     Apabila Abbas pulang ke rumahnya dia dikunjungi beberapa orang perempuan daripada kalangan Bani Abdul Mutalib yang meluahkan kemarahan mereka.

     "Mengapa kamu biarkan orang jahat itu (Abu Jahal) menghina lelaki Bani Abdul Mutalib? (Muhammad). Kamu biarkan juga apabila dia menghina kaum wanita kita (Atikah). Kamu pernah mendengar ucapan Muhammad dan kamu juga sudah mendengar mimpi Atikah. Tetapi kamu tidak mempunyai keyakinan selepas mendengarnya," kata wanita-wanita Bani Abdul Mutalib itu.

     "Demi Tuhan, saya bukan pengecut seperti tuduhan kamu itu. Saya bersumpah demi Tuhan, sekiranya dia mengulangi kata-katanya itu saya berjanji akan melindungi kamu daripada cercaannya," kata Abbas bin Abdul Mutalib.

     Selepas genap tiga hari Atikah bermimpi, Abbas bin Abdul Mutalib mempersiapkan dirinya lalu pergi ke Masjidil Haram. Dia nekad sekiranya Abu Jahal berani mencerca Bani Abdul Mutalib akan dilawannya habis-habisan. Apabila masuk ke dalam Masjidil Haram dilihatnya Abu Jahal sedang berbual dengan Abu Lahab di hadapan Kaabah. Abbas sengaja menghampiri mereka dengan harapan supaya Abu Jahal mencerca Bani Abdul Mutalib. Tiba-tiba Abu Jahal berjalan pantas dalam keadaan tergesa-gesa keluar dari Masjidil Haram.

     "Mengapa dengan Abdul Hakam?" tanya Abbas.

     "Dhamdham bin Amr al-Ghifar berada di lembah. Dia datang menyampaikan berita kafilah dagang Quraisy disekat Muhammad. Barang-barang dagangan kita dirampas," jawab Abu Lahab.

     "Benarkah berita itu?" tanya Abbas mahukan kepastian.

     "Pergilah kamu ke sana. Aku demam," suruh Abu Lahab.

     Abbas segera pergi ke lembah yang dimaksudkan. Kelihat Dhamdham sedang berteriak kepada orang ramai.

     "Wahai orang Quraisy. Unta dan harta kekayaan kalian yang sedang dibawa oleh Abu Sufian sedang dihadang oleh Muhammad bersama pengikutnya. Aku yakin mereka tidak dapat lagi diselamatkan. Bala bencana menimpa kita!" teriak Dhamdham.

     "Benarkah apa yang kau katakan ataupun hanya dusta?" Abbas mahukan kepastian.

     "Masihkah kamu tidak percaya? Lihatlah hidung kuda aku dipotong oleh pengikut Muhammad. Pelana kudaku diterbalikkan. Lihatlah pakaianku koyak rabak ketika berusaha melepaskan diri daripada kepungan Muhammad dan para pengikutnya," kata Dhamdham.

     "Wahai orang Bani Abdul Mutalib, apabila orang gila mengaku menjadi nabi engkau percaya. Tetapi apabila orang cerdik menyampaikan berita engkau tidak percaya. Alangkah bodohnya orang Bani Abdul Mutalib!" teriak Abu Jahal yang berasa sangat marah.

     "Memang layak engkau digelar Abu Jahal oleh Nabi Muhammad kerana mata engkau tajam seperti burung helang kelaparan. Lidah kmau tajam seperti lidah ular berbisa, dan hati kamu lebih busuk daripada bangkai," balas Abbas pula.

     Abu Jahal menerkam ke arah Abbas dan hampir terjadi pergaduhan antara mereka, mujur dapat dileraikan orang ramai yang berada di situ.

     "Kafilah dagang kita dirampas Muhammad. Kamu sepatutnya bersatu menghadapi mereka. Bukan bergaduh sesama-sendiri," marah Umaiyah bin Khallaf.

     Kemudian dia mengajak orang ramai berkumpul di hadapan Kaabah bagi berbincang serta mencari kata sepakat. Selepas berbincang, akhirnya mereka mencapai kata sepakat supaya keluar beramai-ramai bagi menyelamatkan kafilah dagang Quraisy.

     "Sekiranya kafilah dagang itu sudah dirampas Muhammad, kita akan terus menyerang Madinah!" cadang Abu Jahal.

     Kemudian katanya lagi, "Aku mahu semua lelaki Quraisy keluar menyelamatkan kafilah dagang kita. Sesiapa yang tidak dapat pergi kerana sakit hendaklah diganti dengan wakilnya," katanya.

     "Aku sedang demam, kerana itu aku tidak dapat ikut kamu keluar berperang. Aku akan wakilkan diri aku kepada al-Ashi bin al-Mughirah," kata Abu Lahab.

     "Aku juga tidak dapat pergi berperang kerana umurku sudah tua. Badanku gemuk sukar berperang pantas. Aku akan mencari pengganti," kata Umaiyah bin Khalaf pula.

     Uqbah bin Abi Mu'aith berasa tidak senang hati kerana bimbang ramai yang menarik diri pergi berperang. Uqbah mengambil dupa lalu membakar kemenyan dan memberikannya kepada Umaiyah.

     "Engkau perasapkan diirmu dengan kemenyan ini kerana engkau termasuk golongan wanita yang takut pergi berperang," sindir Uqbah.

     Umaiyah berasa tercabar lalu berkata, "Semoga Tuhan mengejek-ejek kamu dan apa yang kamu bawa."

     "Mari kita pergi berperang. Apakah Muhammad dan para pengikutnya menyangka nasib kafilah dagang yang dipimpin Abu Sufian itu sama dengan kafilah dagang yang dipimpin Ibnu Al-Hadhrami? Tidak demi Tuhan, dia akan tahu bahawa kafilah dagang Abu Sufian itu tidak bernasib sama dengan kafilah Ibnu al-Hadhrami," kata Abu Jahal.

     Keesokan harinya angkatan perang Mekah berkumpul di hadapan Kaabah. Jumlah mereka 1300 orang, 600 orang antara mereka memakai baju besi dan 200 orang pasukan tentera berkuda. Segala perbelanjaan angkatan perang Quraisy itu ditanggung oleh para hartawan Mekah termasuk Abu Jahal dan Abu Lahab.

     "Dengan kekuatan yang kita miliki ini, kita bukan sahaja mampu melindungi kafilah dagang malah mampu menakluki Madinah," kata Abu Jahal yang dilantik memimpin pasukan itu.

     Bagi Abu Jahal matlamat utamanya adalah mahu menghapuskan Muhammad dan para pengikutnya yang berlindung di Madinah. Sudah lama dia menanti peluang bagi menyatukan penduduk kota Mekah bagi memerangi Muhammad. Peluang itu digunakan sebaik-baiknya bagi membakar semangat kaum Quraisy Mekah. Dia yakin dengan kemampuan pasukan tentera yang dipimpinnya itu dapat mengalahkan Muhammad dengan mudah.

     Pasukan tentera Quraisy keluar dari kota Mekah dengan semangat yang membara. Sepanjang perjalanan mereka menyanyikan lagu-lagu perang bagi menaikkan semangat mereka. Abu Jahal pula terus mengeluarkan kata-kata kesat pada Muhammad supaya menebalkan lagi kebencian mereka kepada Muhammad.

     Tetapi perjalanan mereka agak terganggu apabila melalui perkampungan Bani Bakr yang terletak di pinggir kota Mekah.

     "Antara kita dengan Bani Bakr masih wujud pemusuhan. Aku bimbang sekiranya mereka menyerang kita dari belakang ataupun semasa ketiadaan kita mereka menyerang kota Mekah," kata Umaiyah bin Khalaf.

     "Sekiranya begitu kita serang dahulu Bani Bakr. Kemudian baru menyerang Muhammad," cadang al-Ash pula.

      "Tentu akan lengahkan masa kita. Sedangkan kafilah dagang kita sudah dirampas oleh Muhammad," bantah Abu Jahal. Matlamatnya hanya satu iaitu mahu menumpaskan Muhammad.

     "Sekiranya begitu, lebih baik aku pulang semula ke Mekah. Aku bimbang sekiranya Bani Bark menyerang, siapa yang akan melindungi keluarga kita?" kata Labamah pula.

     Tiba-tiba muncul Suraqah bin Malik lalu berkata, "Aku adalah pelindung kaum Quraisy. Sekiranya Bani Bakr menyerang kota Mekah, aku akan melindungi keluarga kamu. Maka pergilah berperang melawan Muhammad."

     Mendengar kata-kata Suraqah itu barulah mereka berasa senang hati lalu membatalkan hasrat mahu pulang ke Mekah. Mereka nekad mahu berperang dengan Muhammad.




N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment