Sunday 19 March 2017

PERANG BADAR [ BAB 10 - BERAKHIRNYA PERANG BADAR ]






BERAKHIRNYA PERANG BADAR








Malam itu bulan mengambang penuh cahayanya menyinari lembah Badar dan kawasan sekitarnya. Suasana tenang kerana pertempuran antara pasukan Quraisy dengan pasukan Islam sudah berakhir. Namun gema takbir dan tahmid masih kedengaran diucapkan tentera Islam sebagai tanda kesyukuran atas kemenangan. Malam itu ramai yang mengambil kesempatan bagi berehat. Namun langkah berjaga-jaga tetap diberi perhatian bimbang musuh datang menyerang. Keesokan harinya selepas sembahyang subuh Nabi Muhammad menyuruh semua pengikutnya berkumpul kerana ada perkara penting yang hendak dbincangkan.

     Menurut Nabi Muhammad beliau mendapat tahu timbul perbalahan di kalangan mereka berkenaan harta rampasan perang yang ditinggalkan pasukan Quraisy. Selain kuda, unta, ada juga emas, duit dan barang-barang perhiasan kepunyaan kaum wanita Quraisy.

     "Wahai Rasulullah, saya mewakili rakan-rakan yang berjuang di barisan hadapan. Kami bukan mahu menimbulkan masalah tetapi sekadar mahu meluahkan perasaan kami selepas kita mencapai kemenangan yang gilang gemilang ini. Sesungguhnya Tuhan mengurniakan kemenangan buat kita. Selain itu kita juga mendapat harta rampasan perang yang ditinggalkan musuh."

     "Demi Allah, tanpa kami yang berjuang di barisan hadapan dan bertempur mati-matian, mustahil kalian dapat mengambil harta rampasan perang itu. Sesungguhnya kamu tentu tahu kerana kami sibuk bertempur dengan musuh maka kami tidak sempat mengumpulkan harta-harta yang ditinggalkan mereka. Sedangkan kamu tidak ikut bertempur dan berada di barisan belakang, kerana itu kamu dapat mengumpulkan harta itu. Kerana itu kami juga berhak ke atas harta rampasan perang itu," kata Ka'ab bin Zaid seorang sahabat yang berjuang di barisan hadapan, meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana tidak mendapat harta rampasan perang.

     "Demi Allah, walaupun kami berada di barisan belakang tetapi kami juga ikut bertempur. Apabila kami dapat menewaskan musuh kami rampas senjata dan barang-barang berharga kepunyaan mereka. Itu dibenarkan oleh agama kita. Kerana itu harta itu kepunyaan kami dan kamu tidak berhak mengambilnya," kata seorang sahabat yang berada di barisan belakang.

     "Demi Allah, sepanjang berlakunya peperangan, kami berada di sisi Rasulullah bagi mengawal keselamatan beliau. Sesungguhnya kami juga mahu membunuh musuh tetapi kami mempunyai tanggungjawab yang lebih penting iaitu menjaga keselamatan Rasulullah. Apabila kamu mengumpulkan harta rampasan perang maka kami juga mahu mengumpulkannya. Tetapi kami sedar mengawal keselamatan Rasulullah itu lebih penting lagi. Kerana itu kami juga berhak mendapatkan harta rampasan perang itu," kata mereka yang mengawal keselamatan Rasulullah.

     Maka berlaku perbalahan antara mereka. Sebagai jalan penyelesaian Nabi Muhammad memerintahkan supaya semua harta rampasan perang itu dikumpulkan dalam sebuah khemah hingga Allah memberi ilham kepada beliau cara penyelesaiannya.

     Perintah Rasulullah itu segera dipatuhi. Mereka menyerahkan harta rampasan masing-masing kepada Rasulullah bagi disimpan dalam khemahnya. Kemudian sampai pula giliran Sa'a bin Abi Waqas. Dia menyerahkan semua harta rampasan perang yang disimpannya kecuali sebilah pedang. Beliau memeluk pedang itu lalu berkata, "Wahai Rasulullah, semasa berperang dengan kaum Quraisy saya bertemu dengan Sa'id bin al-Ash. Dia terkenal sebagai seorang pahlawan yang hebat daripada keluarga al-Ash. Lelaki itu hampir dapat membunuh saya dengan pedang ini. Tetapi Allah mengkehendaki saya syahid. Saya dapat membunuh Sa'id bin al-Ash kemudian saya ambil pedang miliknya. Pedang ini bernama katifah. Saya bermohon supaya pedang itu diberikan kepada saya," kata Sa'ad bin Abi Waqas.

     "Letakkan pedang itu di dalam khemah bersama harta rampasan yang lain," perintah Rasulullah.

     Sa'ad bin Abi Waqas terpaksa patuh dengan perintah itu. Tetapi dalam hatinya memprotes. "Adikku Umar bin Abi Waqas terbunuh dalam perang Badar. Aku dapat membunuh musuhku Sa'id bin al-Ash dan aku dapat merampas pedangnya. Tetapi aku tidak dibenarkan menyimpannya. Oh Tuhan, semoga Rasulullah mendengar rintihan hatiku ini."

     Selepas meletakkan pedang itu ke dalam khemah, Sa'ad bin Abi Waqas pun segera beredar dari situ. Tetapi baru sahaja beberapa langkah dia meninggalkan khemah tiba-tiba Nabi Muhammad memanggilnya.

     "Ambillah semula pedang kamu itu," kata Rasulullah.

     Maka Sa'ad bin Abi Waqqas pun mengambil semula pedang itu dengan rasa gembira. Dia mengucapkan rasa syukur kerana hatinya diketahui oleh Rasulullah.

     Kemudian datang pula seorang sahabat yang membawa sebilah pedang yang bernama al-Mazruban kepunyaan Bani Aidz al-Makhzumi.

     "Wahai Rasulullah, berikanlah pedang itu kepada saya," pinta al-Arqam bin al-Arqam.

     Rasulullah yang sifatnya tidak pernah menghampakan permintaan sesiapa sahaja itu memberikan pedang itu kepada al-Arqam bin al-Arqam.

     "Wahai Rasulullah, pedang itu saya dapat daripada musuh. Sepatutnya saya yang diberikan pedang itu," protes lelaki itu.

     Nabi Muhammad terdiam. Ketika itu baru turun wahyu Allah mengenai harta rampasan perang melalui surah al-Anfal ayat 1. Selepas diwahyukan maka Rasulullah pun membacanya, "Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai harta rampasan peramg. Katakanlah, harta rampasan perang itu (terserah) kepada Allah dan RasulNya (bagi menentukan pemberiannya). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan RasulNya sekiranya benar kamu orang yang beriman."

     Dengan turunnya ayat Quran itu, perselisihan berkenaan harta rampasan perang dapat diselesaikan. Nabi Muhammad membuat ketetapan akan mengambil 1/5 daripada harta itu bagi dibahagikan kepada fakir miskin dan mereka yang tidak ikut serta dalam peperangan. Bakinya dibahagikan sama rata kepada semua anggota pasukan tanpa mengira kedudukannya. Nabi Muhammad menyuruh Abdullah bin Rawahah dan Zaid bin Harithah pulang ke Madinah bagi menyampaikan khabar gembira berkenaan kemenangan itu kepada penduduk Madinah.

     Ketika itu di Madinah tersebar berita angin yang mengatakan orang Islam dikalahkan dalam perang Badar. Kaum Yahudi mengambil kesempatan menggamatkan lagi keadaan dengan mengatakan Nabi Muhammad terbunuh. Penduduk Madinah berasa sangat dukacita terutama Uthman bin Affan.

     Uthman Affan tidak dapat menyertai perang Badar kerana ketika itu isteri dan anaknya sedang sakit. Dia menemui Rasulullah lalu menceritakan masalahnya. Beliau bersimpati dengan keadaan Uthman Affan lalu menyuruhnya tetap berada di Madinah menjaga isteri dan anak kecilnya.

     Pada hari angkatan perang itu berangkat, Uthman Affan sempat menyertai orang ramai mengiringi pemergian mereka hingga sampai ke pinggir kota Madinah. Dia turut mendoakan kejayaan mereka.

     Semasa dalam perjalanan pulang, Abdullah bin Ubai menyindir dengan berkata Uthman Affan penakut. Dia lebih pentingkan isteri dan anaknya daripada perintah Rasulullah. Namun Uthman Affan tidak ambil peduli kerana dia sudah mendapat kebenaran daripada Rasulullah.

     Walaupun berada di Madinah dan sibuk menjaga isteri dan anak kecilnya, namun Uthman Affan sentiasa teringatkan Rasulullah. Dia berdoa semoga beliau selamat pulang ke Madinah dengan membawa kejayaan.

     Ketika berlakunya perang Badar, Ruqiyah meninggal dunia. Uthman Affan reda dengan pemergian isterinya yang tercinta. Selepas dimandi dan dikafankan, Uthman Affan sendiri yang menjadi imam sembahyang jenazah isterinya. Sebagai manusia biasa dia tetap berasa sedih dengan pemergian isterinya. Tambahan pula anaknya masih kecil. Namun Uthman Affan tetap bersabar dengan ujian itu.

     Kerana itu apabila tersebar berita pasukan Islam mengalami kekalahan dan Nabi Muhammad terbunuh, Uthman berasa sangat susah hati. Tambahan pula apabila Abdullah bin Ubai dan Judan mendesak penduduk Madinah melantik ketua yang baharu.

     "Muhammad sudah terbunuh di Badar. Kita mesti melantik ketua yang baharu. Aku rela menawarkan diriku menjadi ketua kamu," kata Abdullah bin Ubai tanpa segan silu.

     "Aku tidak yakin Nabi Muhammad terbunuh. Kita tunggu mereka kembali ke Madinah baru dapat tahu cerita yang sebenar," bantah Uthman bin Affan. Dia paling tidak setuju sekiranya Abdullah bin Ubai menjadi pemimpin Madinah.

     "Muhammad dan semua pengikutnya sudah ditewaskan dalam perang Badar. Mereka semua sudah terbunuh dan menjadi tawanan perang. Kerana itu mereka tidak akan kembali lagi ke Madinah. Sia-sia sahaja menunggu kepulangan mereka. Aku mencadangkan dilantik ketua yang baharu. Aku dengan rela hati menawarkan diri menjadi ketua kamu," kata Abdullah bin Ubai.

     Beberapa hari kemudian Abdullah bin Rawahah dan Zaid bin Harithha sampai di Madinah. Apabila melihat kepulangan keduanya, Abdullah bin Ubai pun berkata, "Wahai penduduk Madinah, saksikanlah sekarang daripada 305 orang yang pergi cuma dua orang sahaja yang selamat pulang ke Madinah. Yang lain sudah dibaham tanah," kata Abdullah bin Ubai.

     "Muhammad sudah terbunuh. Lihat itu untanya yang bernama al-Qashwa yang dinaiki Abdullah dan Zaid," kata Judan pula.

     Orang Islam keluar beramai-ramai bagi mendapatkan kepastian. Mereka mengerumuni Abdullah dan Zaid. Namun kedua-duanya tidak mahu menjawab secara terburu-buru. Orang ramai disuruhnya berkumpul di Masjid Nabi. Kemudian Abdullah bin Rawahah pun berucap.

     Selepas mengucapkan rasa syukur kepada Allah dan selawat kepada junjungan mulia Nabi Muhammad maka Abdullah pun berkata, "Kamu tentu tidak sabar hendak mengetahui berita yang ingin kami sampaikan. Kami sengaja meminta kamu berkumpul di masjid ini kerana tidak mahu menyampaikan berita ini di tempat lain. Tambahan pula kami sudah mendengar kata-kata Abdullah bin Ubai dan Judan serta mereka yang munafik. Maka dengan itu saya meminta Zaid sendiri yang menyampaikan berita itu."

     Zaid bin Harithah segera bangun lalu membuat pengumuman, "Wahai saudaraku sekalian. Demi Allah apa yang mahu saya sampaikan ini adalah benar. Tambahan pula kita berada di rumah Allah ini. Demi Allah, apa yang kamu dengar itu adalah berita palsu yang sengaja direka oleh mereka yang mahu melihat kita musnah. Sesungguhnya Rasulullah masih hidup dan kami mendapat kemenangan dalam perang Badar.

     "Uthbah bin Rabi'ah sudah tewas, Zama'ah bin al-Aswad tewas, Syaibah bin Rabi'ah tewas, Abu Jahal tewas, Abi al-Bahtari tewas, Umaiyah bin Khalaf tewas, Nubaih bin al-Hajjaj tewas dan Munabbih bin al-Hajjaj juga tewas. Jumlah orang Quraisy yang tewas 70 orang dan 70 orang lagi menjadi tawanan," kata Zaid bin Harithah.

     "Ayah, adakah semua itu benar?" tanya Usamah, anak Zaid.

     "Demi Allah, ia benar wahai anakku," jawab Zaid.

     Semua yang hadir itu berasa bersyukur dan gembira. Mereka bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran dan kegembiraan. Abdullah bin Ubai dan beberapa orang kawan-kawannya yang turut berada di situ berasa sangat malu dan kecewa lantas segera beredar dari situ. Mereka pulang ke perkampungan Bani Qainuqa lalu mengajak orang Yahudi berkumpul.

     "Kita mengharapkan Muhammad terbunuh dan pasukannya mengalami kekalahan yang teruk tetapi berlaku sebaliknya. Muhammad masih hidup dan pasukannya akan mendapat kemenangan. Mereka akan pulang ke Madinah tidak lama lagi. Apa yang perlu kita lakukan?" tanya Judan kepada semua yang hadir.

     "Walaupun Muhammad dan pasukannya dapat mengalahkan orang Quraisy Mekah, tidak bermakna mereka lebih kuat daripada kita. Kita bangsa Yahudi lebih gagah daripada mereka. Kita jangan gentar apatah lagi tunduk kepada mereka. Muhammad tetap menjadi musuh kita," kata Jayasyi pula.

     "Aku setuju dengan kata-kata Jayasyi. Kita lebih kuat dan lebih gagah daripada orang Islam, kerana itu bersiap sedialah bagi berperang dengan mereka," kata Abdullah bin Ubai pula.

     Warqah seorang pendeta Yahudi yang paling tua di kalangan mereka tidak setuju dengan kata-kata itu. Dia bangun lalu berkata, "Muhammad dan para pengikutnya dapat mengalahkan angkatan perang Quraisy dalam perang Badar. Kerana itu kamu jangan memandang ringan kehebatan mereka. Dalam kitab Taurat ada menyebutkan antara tanda-tanda kebenaran nabi akhir zaman adalah dia tidak dapat dibunuh oleh mereka yang memusuhinya kerana dilindungi Tuhan yang maha berkuasa. Mereka yang sedikit dapat mengalahkan musuh yang ramai. Sekiranya benar Muhammad itu seorang pesuruh Allah maka kamu tidak akan dapat mengalahkannya."

     "Apa yang perlu kita lakukan? Tunduk kepada Muhammad lalu menjadi pengikutnya?" tanya Judan pula.

     "Aku tidak setuju kita tunduk kepada Muhammad. Dia tetap menjadi musuh aku," kata Jayasyi pula. Orang ramai bersetuju dengan kata-kata Jayasyi.

     "Mulai hari ini kita mesti perkuatkan benteng pertahanan kita. Cukupkan bekalan makanan, senjata dan air sekiranya berlaku saat-saat kecemasan. Kita tidak mahu berperang dengan Muhammad tetapi kita mesti bersiap sedia sekiranya mereka menyerang kita," kata Judan pula.


================================================


Di Kota Mekah lain pula keadannya. Pada mulanya mereka mendapat berita mengatakan pasukan Quraisy dapat mengalahkan pasukan Muhammad dalam pertempuran di Badar. Lebih menggembirakan mereka apabila berita itu mengatakan Muhammad sudah dapat dibunuh. Mereka berkumpul beramai-ramai bagi menyambut kepulangan pahlawan mereka.

     Tentera Quraisy pula berasa malu hendak pulang ke Mekah kerana mereka pulang membawa kekalahan. Ramai antara mereka yang cedera. Seramai 70 orang terkorban dan 70 orang lain menjadi tawanan. Mereka sengaja melambatkan perjalanan supaya tidak segera sampai ke Mekah. Mereka berasa malu.

     "Bagaimana kita hendak berhadapan dengan penduduk Mekah nanti? Aku berasa malu yang teramat sangat. Lebih baik aku mati bersama pemimpin-pemimpin kita," kata Umair sambil menangis kerana sedih dan malu.

     "Kita terpaksa pulang juga ke Mekah kerana di sana keluarga kita sedang menunggu. Kita masih hidup bagi meneruskan perjuangan. Kali ini kita kalah tetapi esok kita tebus semula kekalahan ini," kata al-Qamal pula.

     "Aku ada satu cadangan," kata Sumaiyah pula. "Salah seorang daripada kita pulang dahulu ke Mekah bagi menceritakan perkara ini kepada mereka. Dengan itu kepulangan kita nanti tidak menimbulkan keributan sebab mereka sudah tahu."

     "Aku bersetuju dan aku menawarkan diri pulang ke Mekah seorang diri," kata al-Haisduman bin Abdullah al-Khuzai.

     "Kita tidak dapat sembunyikan apa yang berlaku, kerana itu beritahu mereka secara berterus terang. Katakan juga kita akan menuntut bela atas kekalahan ini," kata Sumaiyah.

     Selepas mendapat persetujuan daripada kawan-kawannya, al-Haisduman pun pulang seorang diri ke kota Mekah. Penduduk kota Mekah pula ketika itu berada dalam keadaan gembira. Sejak mula tersebar berita kemenangan pasukan Quraisy, penduduk kota Mekah berkumpul beramai-ramai di gerbang Salim bagi menunggu kepulangan pahlawan-pahlawan mereka. Persiapan bagi menyambut kepulangan mereka secara meriah dan besar-besaran. Kerana itu mereka hairan dan tercengang apabila melihat hanya al-Haisduman yang pulang bersendirian, bukan bersama pasukannya.

     "Wahai al-Haisduman, mengapa kamu pulang seorang diri? Di mana pasukan kamu? Apa yang terjadi?"

     "Di mana Abdul Hakam? Di mana Umaiyah? Di mana Uthbah?"

     "Benarkah Muhammad sudah terbunuh?"

     Bertubi-tubi pertanyaan itu dikemukakan kepada al-Haisduman. Mereka seolah-olah tidak sabar lagi hendak mengetahuinya.
  
     "Mari kita berkumpul di hadapan Kaabah. Aku akan menceritakannya di tempat yang dapat didengar oleh Tuhan-Tuhan kita," kata al-Haisduman lalu mengajak orang ramai berkumpul di hadapan Kaabah.

     Orang ramai menurut arahan itu dengan seribu persoalan. Selepas semuanya berkumpul, al-Haisduman pun berkata, "Wahai kaum Quraisy sekalian. Dalam setiap peperangan memang ada yang kalah dan ada yang menang. Tetapi yang kalah tidak akan kalah selamanya. Manakala yang menang pula tidak akan menang selamanya. Kalah dan menang silih berganti. Kerana itu sekiranya kita mengalami kekalahan jangan pula kamu bersusah hati kerana esok kita masih berpeluang menebus kekalahn kita pada hari ini," kata al-Haisduman memulakan percakapannya.

     "Al-Haisduman, kami hendak tahu kita berada di pihak yang kalah ataupun menang. Berterus terang sahajalah," desak Abu Sufian Harb.

     "Kita kalah dan kita mengalami kekalahan yang memalukan. Kita kalah bukan disebabkan Muhammad dan pengikutnya kuat tetapi kita kalah kerana kita tidak bersatu. Ada antara orang kita yang pulang ke Mekah kerana takut berperang dengan Muhammad." Akhirnya al-Haisduman berterus terang.

     Mendengar kata-kata itu orang ramai seperti di serang histeria. Ada yang terpekik terlolong kerana sedih bercampur marah. Kegembiraan yang mereka harapkan bertukar menjadi kesedihan.

     "Kami mendapat berita kita beroleh kemenangan. Kami berasa teramat gembira apabila mendapat tahu Muhammad sudah terbunuh. Tetapi itu semuanya berbohong. Ataupun ada yang sengaja hendak menyakitkan hati kita," teriak Hindun.

     Dia antara wanita Quraisy yang paling gembira apabila mendapat tahu pasukan Quraisy menang. Tetapi sekarang dia yang paling berdukacita.

     "Kami kalah kerana tidak bersatu, kerana itu kamu hendaklah menerima kekalahan ini. Kita akan bersatu bagi berperang semula dengan Muhammad. Kami bersumpah mahu berperang sekali lagi dengan Muhammad bagi menebus kekalahan ini," kata al-Haisduman.

     "Aku sudah hantar utusan menyuruh kamu pulang dan jangan teruskan perjalanan ke Badar. Tetapi kamu degil, inilah padahnya," kata Abu Sufian pula sambil meluahkan rasa kecewanya.

     Sejak dari mula dia tidak mahu berlaku pertempuran antara pasukan Mekah dengan pasukan Muhammad. Kerana itu dia membawa kafilahnya mengikut jalan tepi pantai supaya tidak bertembung dengan Muhammad dan pengikutnya. Walaupun dia mengupah ramai orang Syam bagi mengawal kafilah itu dan walaupun semua anggota kafilahnya dibekalkan senjata namun dia masih bimbang bagi bertempur dengan Muhammad dan pengikutnya.

     "Selepas membaca surat itu, ada antara kami yang hendak pulang ke Mekah. Tetapi dipaksa oleh Abi al-Hakam mengikutnya ke Badar bagi bersuka ria. Kami pergi ke Badar pada mulanya bukan hendak berperang tetapi bagi menikmati keseronokkan yang dijanjikannya. Tanpa disedari kami akhirnya terpaksa berperang dengan Muhammad," kata al-Haisduman sambil meluahkan rasa kekesalan hatinya.

     "Jangan kita kesalkan perkara yang sudah berlaku. Ibarat pokok sudah tumbang yang tidak dapat ditegakkan kembali. Aku bersetuju dengan kata-kata kamu tadi. Kita tebus semula kekalahan kita nanti," kata Abu Sufian.

     "Kami sudah dapat menerima kekalahan pasukan kita. Sekarang kami mahu tahu siapa yang terkorban?" tanya Hindun. Sejak dari tadi dia mahu mengetahuinya namun dia bimbang tidak dapat menahan perasaan apabila diberitahu nama-nama mereka.

     "Uthbah bin Rabi'ah sudah tewas, Syaibah bin Rabi'ah sudah tewas, Abdul Hakam bin Hisyam (Abu Jahal) sudah tewas, Umaiyah bin Khallaf sudah tewas..." Al-Haisduman tidak sanggup lagi menyebut nama-nama yang lain kerana dia berasa tersangat sedih. Dia menangis teresak-esak.

     Orang ramai juga turut menangis. Hindun meraung dan menangis teresak-esak apabila mendapat tahu ayahnya Uthbah bin Rabi'ah antara mereka yang terbunuh. Dia menarik-narik rambutnya kerana berasa marah yang teramat sangat.

     "Siapa yang bunuh ayah aku? Aku akan bunuh dia. Aku bersumpah akan menuntut bela," kata Hindun seperti orang gila.

     "Hamzah bin Abdul Mutalib. Mereka berlawan dalam perang tanding satu lawan satu. Hamzah dapat mengalahkannya," jawab al-Haisduman.

     "Demi Tuhan, aku akan menuntut bela ke atas Hamzah. Hidupku tidak akan tenang selagi orang yang membunuh ayahku masih hidup," jerit Hindun sekuat hatinya.

     "Hamzah bin Abdul Mutalib itu seorang pahlawan yang gagah perkasa. Kamu tidak akan dapat membunuhnya," marah suaminya Abu Sufian.

     "Aku sanggup memberi hadiah kepada sesiapa yang dapat membunuh Hamzah bin Abdul Mutalib," kata Hindun pula.

     "Kita akan menuntut bela apabila tiba masanya," kata Abu Sufian.

     Di lembah Badar, Nabi Muhammad dan pasukannya berada di sana selama tiga hari. Selepas selesai menguruskan pengebumian para syuhada yang syahid dan menanam orang Quraisy dalam sebuah lubang yang besar barulah mereka pulang ke Madinah. Mereka pulang membawa kemenangan yang gemilang.

     "Wahai Rasulullah, tawanan perang ini hanya menyusahkan perjalanan kita. Saya mencadangkan mereka dibunuh," kata seorang lelaki.

     Namun Rasulullah tidak bersetuju dengan cadangan itu. Beliau memerintahkan supaya tawanan perang seramai 70 orang itu dibawa pulang ke Madinah. Beliau berpesan supaya semua tawanan perang diberikan layanan yang baik. Mereka diberikan makanan dan air minuman. Diberikan rawatan kepada mereka yang cedera. Selain itu dibawa juga semua harta rampasan perang. Nabi Muhamamd memerintahkan Abdullah bin Ka'ab supaya menjaganya sepanjang perjalanan.

     Apabila sampai di suatu tempat bernama Sayar yang terletak di antara Madziq dengan an-Naziyah. Rasulullah berhenti di sebuah bukit pasir yang ada sebatang pokok. Di situ Nabi Muhammad membahagikan harta rampasan perang itu secara sama rata kepada semua anggota pasukannya. Masing-masing berpuas hati menerimanya. Tambahan pula sudah turun ayat Quran berkenaan harta rampasan perang.

     "Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan para tawanan perang kita?" tanya Umar al-Khattab.

     Rasulullah menyuruh mereka terus memberi layanan yang baik kepada para tawanan. Mereka diberikan makanan dan minuman yang secukupnya. Malah ada yang sanggup memberikan roti kepada tawanan perang sedangkan mereka sendiri memakan kurma sahaja.

     "Walaupun aku dilayan dengan baik namun dendam aku kepada Muhammad tidak padam. Aku akan membunuhnya apabila ada peluang," kata an-Nadhr bin al-Harits.

     Dia antara orang Quraisy yang paling kuat memusuhi Rasulullah. Sebelum berhijrah ke Madinah an-Nadhr turut menyakiti Rasulullah. Dia pernah bersumpah di hadapan Kaabah akan membunuh Nabi Muhammad.

     Kata-kata an-Nadhr itu disampaikan kepada Rasulullah. Apabila tiba di ash-Shafra', Nabi Muhammad berbincang dengan beberapa orang sahabatnya tentang an-Nadhr. Ali bin Abi Talib mencadangkan supaya an-Nadhr dihukum bunuh kerana permusuhannya yang terlalu ketat pada Rasulullah. Cadangan itu disokong sebulat suara dan Nabi Muhammad memerintahkan Ali bin Abi Talib menjalankan hukum itu terhadap an-Nadhr.

     Sebelum menjatuhkan hukuman, Ali bin Abi Talib memberi peluang kepada an-Nadhr bagi mengucapkan kalimah syahadah iaitu mengaku tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dan mengaku Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Tetapi an-Nadhr menolaknya dengan berkata dia sudah bersumpah di hadapan Kaabah mahu membunuh Nabi Muhammad. Dia tidak akan menarik balik sumpahnya dan sanggup mati. Maka hukuman bunuh itu dijatuhkan ke atasnya.

     "Muhammad pengecut kerana membunuh an-Nadhr yang menjadi tawanan perang," marah Uqbah bin Abi Mu'aith kerana sahabat baiknya an-Nadhr sudah dihukum bunuh.

     "Selama ini pernahkan tawanan perang dilayan dengan baik?" tanya Ashim bin Tsabit.

     "Muhammad pengecut kerana membunuh an-Nadhr." Uqbah mengulang lagi tuduhannya.

     "Nabi Muhammad menyuruh kami melayan tawanan perang dengan baik. Tetapi kanu memang dasar keras hati dan tidak tahu berterima kasih," kata Ashim bin Tsabit dengan rasa marah lalu mengadukan kepada Rasulullah.

     Apabila sampai di Iraqi adz-Dzabyah, sekali lagi mereka berhenti bagi membincangkan hukuman yang akan dijatukan pada Uqbah bin Mu'aith.

     Ashim bin Tsabit mencadangkan supaya dijatuhkan hukuman mati, disokong sebulat suara. Rasulullah menyuruh Ashim bin Tsabit sendiri yang menjatuhkan hukuman pada Uqbah.

     "Wahai Uqbah, bukankah kamu pernah meletakkan najis unta di kepala Nabi Muhammad ketika dia sedang sujud di hadapan Kaabah?" tanya Ashim sebelum membunuh Uqbah.

     "Memang benar dan itu adalah perlakuan aku yang terbaik sepanjang permusuhan aku dengan Muhammad," jawab Uqbah tanpa sedikit pun rasa bersalah ataupun kesal.

     "Ucapkanlah tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah," kata Ashim.

     "Adakah kamu fikir aku takut mati? Demi Tuhanku, aku tidak akan mengaku Muhammad itu pesuruh Allah," kata Uqbah. Ashim menghunus pedang lalu membunuh Uqbah.

     "Bagaimana pula dengan tawanan perang yang lain?" tanya Hamzah bin Abdul Mutalib.

     Nabi Muhammad menjawab dengan mengatakan para tawanan perang yang lain diberi layanan yang baik. Akhirnya mereka sampai di Madinah. Kepulangan mereka disambut dengan gembira.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment