Sunday 19 March 2017

PENAWAR 2: MELAKUKAN SOLAT MALAM ( TAHAJJUD )






MELAKUKAN SOLAT MALAM ( TAHAJJUD )








A. Pendahuluan

Satu hadis Rasulullah dari Abu Hurairah r.a. dan Abu Said r.a. meriwayatkan sabda Rasulullah: "Jika seorang suami mengejutkan isteri (keluarganya) pada waktu malam dan bersembahyang (walau dua rakaat) mereka ditulis dalam golongan 'zakirin dan zakirat'.

     Dalam Hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan: "Keutamaan sembahyang malam dari sembahyang tengah hari adalah seperti keutamaan bersedekah secara senyap-senyap dan bersedekah terang-terang."

     Berkata Samrah bin Jundub r.a., "Rasulullah menyuruh kita sembahyang malam baik sedikit atau banyak dan supaya ditamatkan sembahyang tersebut dengan witir."

     Iyas bin Mu'awiyah Al-Muzni meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Boleh dikerjakan sembahyang malam meskipun (masanya) sekadar memerah susu seekor kambing. Dan (waktu) selepas sembahyang Isya' itu dikira sebagai (waktu) malam."

     Menurut Ibnu Abbas r.a., Rasulullah menyuruh dan menggalakkan umatnya sembahyang malam hinggakan baginda pernah bersabda, "Hendaklah kamu (melazimkan) sembahyang malam walau pun sekadar satu rakaat."

     Dari Abu Umamah al Bahili r.a. dari Rasulullah, baginda bersabda, "Hendaklah kalian menjaga solat tahajjud, kerana itu adalah jalan hidup orang-orang soleh sebelum kamu, dan itu akan membawa kalian lebih dekat kepada Rabb kalian, menjadi penghapus amal-amal buruk, dan mencegah dari perbuatan dosa."

     Dari Abu Darda r.a. dari Rasulullah baginda bersabda, "Tiga jenis orang yang dicintai Allah, Allah tersenyum pada mereka, dan Allah bergembira melihat mereka: (1) orang yang terus berperang seorang diri semata-mata kerana Allah 'Azza wajalla walaupun semua kawannya telah lari (meninggalkan medan perang), sehingga ia terbunuh sebagai syahid atau mendapat pertolongan Allah Azza wa Jalla dan memperoleh ketenangan. Allah berfirman (kepada malaikat), 'Lihatlah hamba-Ku ini, betapa ia tetap bersabar (bertahan) kerana Aku, walaupun hanya seorang diri.' (2) Seseorang yang mempunyai isteri cantik dan katil yang empuk dan mewah, namun ia tetap bangun pada malam hari (untuk melakukan solat tahajjud). Allah berfirman (kepada malaikat), 'Ia rela meninggalkan kesenangan dan keinginan hanya nafsunya demi mengingat Aku, padahal jika mahu, ia boleh meneruskan tidurnya.' (3) Seseorang yang berada dalam perjalanan bersama rombongan, mereka berjalan terus hingga kemalaman di tengah perjalanan, kemudian (dalam keadaan letih) mereka beristirehat dan tidur, tetapi ia tetap bangun di tengah malam (mengerjakan solat tahajjud) sama ada dalam keadaan senang (suka) mahupun susah (tidak suka)."

     Dari Abu Malik al Asy'ari dari Rasulullah, baginda bersabda, "Sesungguhnya di syurga terdapat bilik-bilik yang bahagian luarnya dapat terlihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar (tembus pandang), Allah menyediakan semua itu bagi orang-orang yang suka memberi makan (kepada fakir miskin), orang yang selalu menyebarkan salam, dan orang yang selalu solat tahajjud di tengah malam di kala manusia sedang lelap tidur."

     Dari Sahal bin Sa'ad berkata, "Jibril datang kepada Rasulullah dan mengatakan, 'Wahai Muhammad! Hiduplah engkau selama yang engkau suka, tetapi sesungguhnya (pada suatu saat) engkau pasti mati. Perbuatlah apa saja yang ingin engkau perbuat kerana sesungguhnya engkau akan mendapatkan balasannya. Dan cintailah siapa saja yang ingin engkau cintai, tetapi sesungguhnya (pada suatu saat nanti) engkau pasti berpisah darinya. Ketahuilah, bahawa kemuliaan seorang mukmin terletak dalam qiyamul lail (solat tahajjud) dan kehormatannya terletak pada perasaan cukupnya (hingga tidak meminta-minta) pada manusia."


B. Tahajjud Dalam Kajian Moden


1. Mengandungi Tenaga Elektrik

Seorang profesor fizik di Amerika Syarikat (AS) membawa satu kajian kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Berdasarkan kajiannya, tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik, iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita, sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.

     Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan, menyebabkan kita berasa letih dan lesu selepas melakukan kegiatan seharian.

     Oleh itu, cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal. Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan dalam minda beliau, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan solat Islam mempunyai bilangan rakat yang tidak sama.


2. Kajian Sains

Hasil kajiannya mendapati, bilangan rakaat berbeza dalam solat bertindak menseimbangkan cas dalam badan kita. Ketika solat berjemaah, kita diluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan kaki. Tindakan yang dianjurkan ketika solat berjemaah itu mempunyai pelbagai kelebihan.

     Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan di kanan kita, akan menstabilkan kembali cas yang diperlukan oleh tubuh.

     Ia berlaku apabila cas yang berlebihan - sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam tubuh kita. Semakin lama pengeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

     Beliau berkata, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan berasa segar dan sihat selepas berehat beberapa jam.

     Ketika ini tubuh kita mengandungi cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas supaya keseimbangan tubuh badan yang penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan dua rakaat.

     Seterusnya, selepas sehari kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh badan yang sudah digunakan.


3. Menseimbangkan Cas

Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat berjemaah yang disyariatkan Islam berperanan memulihkan keseimbangan cas berkenaan. Sebab itu, solat Zuhur didirikan empat rakaat untuk memberi ruang lebih kepada proses pertukaran cas di dalam tubuh.

     Keadaan sama turut berlaku pada sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ia menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak.

     Seperti solat Zuhur, empat rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

     Lazimnya, selepas waktu asar, kita tidak lagi melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama.

     Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya. Timbul persoalan dalam fikiran profesor itu mengenai solat Isya' yang dikerjakan sebanyak empat rakaat.

     Secara logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan kegiatan dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak. Selepas kajian lanjut dilakukan, didapati ada keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan empat rakaat di dalam solat Isya'

     Kita sedia maklum, umat Islam digalakkan tidur awal supaya mampu bangun untuk menunaikan tahajjud (sembahyang malam) pada sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isya' sebanyak empat rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan kita tenaga untuk bangun pada waktu malam untuk beribadat (qiamullail).

     Dalam kajiannya, beliau mendapati bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri.

     Beliau berasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam semesta ini. Akhirnyam dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.


C. Mengenal Qiamullail

Qiamullail atau Sembahyang Tahajjud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari, biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajjud dikenali juga sebagai Qiamullail. Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah SAW dan para sahabatnya tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.

     Di samping itu solat tahajjud juga mampu menghalang daripada marabahaya dan segala bentuk bala bencana, selain itu akan menaikkan darjat dan kemuliaan bagi orang yang melakukannya dengan khusyuk.

     Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajjud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW berkenaan perkara ini.


1. Tidur dan Sembahyang Tahajjud

Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis, seorang profesor di Deparment of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.

     Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian - tidur ayam dan tidur lelap. Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja.

     Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah selama tiga jam. Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika tidur. Apabila seorang atlet hendak memasuki suatu pertadingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada harapan untuk memungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.


2. Tidur Dalam Kajian Sains

Mengikut kajian ahli perubatan Barat, sebelum kita merasa hendak tidur, mula-mula sekali kita akan berasa mengantuk (drowsiness) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktu tidur dan menggunakan jangka suhu kita boleh melatih diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.

     Rasulullah telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya. Bolehlah kita ringkaskan latihan untuk tidur malam seperti:

     1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya
         tidur lapar. Makan malam yang banyak hanya akan me-
         nyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun
         dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.

     2. Tunaikan solat Isya' sebelum tidur.

     3. Bersihkan tempat tidur seperti katil, bantal dan cadar
         dari habuk dan lain-lain kotoran.

     4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti
         yang diajarkan Rasulullah.

     5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tu-
         juh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bulan
         kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam
         sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam
         sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga jam sahaja.


3. Adab Tidur Cara Rasulullah

Tidur adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW. Tidur juga memegang peranan penting dalam hidup ini, sehingga para pakar kesihatan memperhitungkan bahawa setiap individu memerlukan waktu untuk tidur kurang lebih lapan jam setiap hari. Bererti waktu tidur kita menyita sepertiga dari umur kita setiap hari. Andaikan kita diberi umur 60 tahun, maka 20 tahun kita pergunakan untuk tidur. 20 tahun adalah waktu yang cukup panjang!

     Alangkah ruginya jika waktu yang cukup panjang ini setakat digunakan untuk mendapatkan nikmat tidur sahaja, sebab Allah SWT menciptakan manusia bukan setakat untuk sekadar istirehat, tetapi bagaimana tidur kita bernilai ibadah sesuai dengan perintah Allah SWT, "Tidak semata-mata Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku." Agar tidur kita bernilai ibadah, maka kita mesti mengikuti adab-adabnya sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah dan para sahabat, sebagaimana firman Allah ertinya: "Pada diri Rasulullah ada contoh suri teladan yang baik. Ada tiga macam tidur, iaitu;

     1. Tidur fitrah, tidur kerana keletihan selepas kerja.

     2. Tidur rabbaniyah, jika ia tertidur kerana melihat ke-
         maksiatan yang terjadi di sekitarnya.

     3. Tidur syaitaniyyah, tertidur dalam majlis yang membi-
         carakan kebesaran Allah dan alam akhirat.

         Adapun adab-adabnya adalah:

     1. Sebelum tidur berwudhu dan melaksanakan solat sunat
         taubat dua rakaat dan solat sunat hajat dua rakaat.

     2. Membaca Al-Quran sekurang-kurangnya 10 ayat dan
         membaca surat lain: Surah Al-Mulk, alif lam mim Saj-
         dah, Al-Waqi'ah, ayat Kursi atau Surah Yasiin.

     3. Menyiapkan alas tidur dengan mengibaskan tiga kali ke
         lantai sambil berselawat, agar makhluk-makhluk kecil
         tidak tertindih.

     4. Disunatkan memakai celak sebelum tidur.

     5. Sebelum tidur kita bermuhasabah, menilai amalan kita.
         Apakah hari ini lebih baik daripada hari kelmarin atau
         sebaliknya?

     6. Jangan menyimpan dendam dalam hati!

     7. Seandainya kita mempunyai hutang, hendaklah kita tu-
         lis lalu simpan di bawah bantal. Seandainya kita tidak
         bangun-bangun lagi, maka ahli waris kita akan tahu
         dan akan melunasinya.

     8. Disunatkan membaca Surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-
         Falaq dan An-Naas ditambah dengan tasbih Fatimah,
         iaitu: Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, dan
         Allahu Akbar 34 kali. Kemudian tiupkan pada kedua
         telapak tangan dan usapkan ke seluruh badan kecuali
         telapak kaki dan kemaluan. (Ulangi sampai tiga kali
         dan usahakan telapak tangan kiri jangan menyentuh
         wajah).

     9. Niat bangun untuk solat malam dan merebahkan diri,
         dengan doa, Ertinya: "Dengan namamu ya Allah, aku
         hidup dan mati."

     10. Ada dua cara tidur yang dicontohkan oleh Rasulullah
          dan para sahabatnya:
  • Mengiring ke sebelah kanan menghadap kiblat dengan tangan kanan di bawah pipi dan kaki kiri di atas kaki kanan.
  • Terlentang dengan kepala menghadap ke arah kiblat, kedua tangan dilipat di atas perut dan kaki kanan di atas kaki kiri.
     11. Ada dua cara tidur yang dilarang:

  • Kaki menghadap ke arah kiblat (su'ul adab).
  • Tidur terbalik (meniarap), sebab ini cara tidurnya syaitan.
     12. Apabila tidur di masjid, jangan tidur di saff pertama 
          dan jika tidak memakai seluar, hujung kainnya hendak-
          lah diiikat kerana ketika tidur aurat boleh terbuka.

      13. Jika bermimpi baik, maka ucapkan, alhamdulillah se-
            moga mimpi itu menjadi kenyataan dan boleh dicerita-
            kan kepada orang lain. Tetapi jika mimpi buruk buatlah
            dengan isyarat meludah ke kiri dan jangan diceritakan
            kepada orang lain.

     14. Apabila bermimpi indah (berhadas besar), segera ke-
           luar dari masjid untuk mandi junub. Usahakan telapak
           tangan dan kaki jangan menyentuh lantai masjid.

     15. Ketika bangun tidur, jangan terus meraba wajah kita,
           kerana kita tidak tahu di mana tangan ini bergerak ke-
           tika tidur.

     16. Baca Doa bangun dari tidur.


4. Manfaat Adab Tidur Secara Perubatan

Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang boleh membawa maut. Demikian menurut pendapat seorang doktor dari China - Dr Huang Guoxiang dari Kolej Perubatan Lioning.

     Dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang manusia masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam. Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ada dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini dia dunia ialah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.

     "Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada
     dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air,
     sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Ses-
     ungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-
     orang yang berbuat kebaikan. Di dunia mereka sedikit
     sekali tidur di waktu malam. Dan selalu memohonkan
     ampunan di waktu pagi sebelum fajar."

(Q.S Az-Zariat [51]: 15-18)


5. Ibadah Malam Dalam Agama Lain

Penulis pernah bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru dan ketua agama yang bukan Islam seperti Buddha, Kristian, Tao, Confucious dan Sikh. Dalam perhatian penulis, mereka juga mengadakan amalan pada tengah malam seperti "berzikir" dan membaca kitab suci agama mereka.

     Untuk mengelak dari rasa mengantuk, mereka berlatih tidur hanya lebih kurang tiga jam atau empat jam sehari malah ada yang kurang dari itu. Amalan agama yang dimaksudkan itu ialah agama Buddha, Kristian, Tao, Confucious dan Sikh.


6. Pendapat Pakar Sastera Barat

Terdapat juga ahli sastera Barat yang menceritakan mengenai kelebihan mengurangkan tidur untuk mencapai kerjaya yang cemerlang.

     Apabila ditanya apakah rahsia kejayaan mereka, mereka menjawab: Taman itu indah, gelap dan tebal tetapi saya mempunyai temujanji yang mesti ditunaikan dahulu sebelum saya tidur.

     Pencapaian kejayaan yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak didapati serta merta tetapi mereka bekerja keras sehingga larut malam pada waktu sahabat-sahabat mereka sedang nyenyak tidur." Ini jelas menunjukkan mereka meminimukan waktu tidur untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka.


D. Tahajjud Bagi Kesihatan

Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita perolehi dalam mengerjakan solat tahajjud sedangkan ketika itulah manusia sedang nyenyak tidur.

     Dari segi fikiran logik, kita tidak akan faham bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajjud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain lagi yang Allah Maha Mengetahui.


1. Kajian Sains Perubatan

Dari segi sains perubatan pula, kita akan menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari dan menggerakan otot-otot di dalam badan kita ke arah menyegarkan badan dan melicinkan pergerakan saluran darah. Kedua-dua oksigen dan gerak otot itu sangat penting dalam memastikan kesihatan tubuh badan manusia.

     Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit dan tidak datang lagi sehingga esok pagi. Hanya manusia yang bangun pada waktu ini dapat menikmati oksigen tersebut. Mereka yang bangun tidur lewat tidak merasa nikmat oksigen ini.


2. Rahsia Pergerakan Otot

Cuba kita kaji pergerakan otot-otot kita ketika solat. Secara kasar, pada mula kita berdiri tegak (qiyam) kemudian angkat kedua tangan bertakbir dan, letakkan tangan di atas pusat - kita telah membesarkan rongga dada kita manakala paru-paru akan terasa luas serta menggerakkan otot di kedua belah tangan.

     Ketika rukuk dengan badan membongkok ke depan dan kedua tangan di atas kepala lutut dan tulang belakang mendatar (parallel to the ground) sekaligus ia menggerakkan ruas-ruas tulang belakang, tulang leher, tulang pinggang dan tulang kongkeng.

     Waktu sujud pula, seluruh berat badan terpikul sepenuhnya di atas otot-otot kedua-dua tangan, kaki, dada, perut, punggung, leher dan otot-otot kaki. Lihat sahaja pada waktu sujud ini berapa banyak otot dan persendian yang kita gerakkan.

     Setelah itu kita bangkit dari sujud. Kita duduk, kemudian kita sujud lagi dan selepas itu kita berdiri kembali. Dalam gerak badan kali kita telah secara automatik menggerakkan sejumlah besar otot-otot di dada, bahu, lengan, perut, punggung, peha, kaki bahagian bawah dan lain-lain otot lagi.

     Selain dari itu kita juga melakukan dua macam duduk - pertama duduk antara dua sujud dan kedua duduk tahiyat. Kedua-dua jenis duduk ini menggerakkan tumit, pangkal peha, kelengkang, jari-jari kaki dan lain-lain. Dalam kita memberi salam juga kita gerakkan otot-otot leher tengkuk dan lain-lain.

     Kalau kita lihat dari dua perkara tersebut di atas iaitu mendapatkan oksigen yang istimewa dan gerak otot-otot yang semuanya itu sudah tentu akan memastikan kesihatan tubuh badan kita.

     Solat tahajjud juga akan menjauhkan penyakit buah pinggang yang selalu menyerang orang yang banyak tidur dan bangun lewat dari tidur malam.


3. Tahajjud Elakkan Kanser

Solat tahajjud ternyata tidak membuat seseorang yang melakukannya mendapatkan tempat (maqam) terpuji di sisi Alah, tetapi juga sangat penting bagi dunia kedoktoran. Menurut hasil kajian Dr. Mohammad Soleh, pensyarah di Institue Agama Islam Surabaya, salah satu solat sunah itu dapat membebaskan seseorang dari serangan jangkitan dan penyakit kanser. Tidak percaya? "Cubalah anda rajin-rajin solat tahajjud," katanya,

     "Jika anda melakukannya secara rutin, benar, khusyuk
     dan ikhlas, nescaya anda terbebas dari jangkitan dan
     kanser."

     Selama ini, menurut Soleh, tahajjud dinilai hanya merupakan ibadah solat tambahan atau solat sunat. Padahal jika dilakukan secara berterusan, tepat gerakannya, khusyuk dan ikhlas, secara perubatan solat itu menumbuhkan respons ketahanan tubuh (immunity) khususnya pada immunology M, G, A dan limfositnya yang berupa persepsi dan motivasi positif, serta dapat mengaktifkan semula kemampuan individu untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

     Sebenarnya perkara ini dapat dibuktikan dengan teknologi kedoktoran. Ikhlas yang selama ini dipandang misteri, dapat dibuktikan secara kuantitatif melalui sekresi hormon kortisol. Parameternya, lanjut Soleh, boleh diukur dengan keadaan tubuh. Pada keadaan normal, jumlah hormon kortisol pada pagi hari normalnya antara 38-690 nmol/liter. Sedang pada malam hari atau setelah pukul 12 malam - normalnya antara 69-345 nmol/liter. "Kalau jumlah hormon kortisolnya normal, diindikasikan orang itu tidak ikhlas kerana tertekan.

     Dengan solat tahajjud yang dilakukan secara istiqamah dan disertai perasaan ikhlas serta tidak terpaksa, seseorang akan memiliki respons iman yang baik, yang kemungkinan besar akan terhindar dari penyakit jangkitan dan kanser. Dan, berdasarkan hitungan teknik perubatan menunjukkan, solat tahajjud yang dilakukan seperti itu membuat orang mempunyai ketahanan tubuh yang baik.

     Sebuah bukti bahawa keterbatasan otak manusia tidak mampu mengetahui semua rahsia atas rahmat, nikmat, anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya.


E. Kehebatan Sembahyang Tahajjud

Solat tahajjud menghasilkan Nur di wajah dan Nur dalam hati, sehingga ia mudah membawa kesan kelembutan wajah dan kebersihan hati.

     Orang-orang yang selalu beristiqamah melaksanakan solat tahajjud akan mendapat keistimewaan dari Allah SWT berupa mendapat karamah. Dari orang-orang seperti inilah keluar kata-kata hikmah yang dapat menyejukkan hati setiap orang. Kalau ia berjalan akan membawa kesan kepada alam sekitar, kalau ia berbicara akan keluar mutiara-mutiara hikmah, berbudi bicara yang santun dan selalu bermanis muka.

     Orang yang selalu melazimkan sembahyang tahajjud hatinya akan menjadi bersih, sehingga dengan kebersihan hatinya, ia mendapat anugerah dari Allah SWT untuk merasakan dan memahami hati orang lain.

     Tidur hingga larut malam disaat semua makhluk tengah hari telah tertidur, bangun pada sepertiga akhir malam di saat semua makhluk belum bangun, maka orang-orang seperti inilah yang akan mendapat anugerah maqam para wali Allah. Dan mereka inilah kelak yang akan menundukkan dunia. Manakala kita masih belum dapat menundukkan nafsu maka pada masa itulah kita tidak akan dapat menundukkan dunia ini.

     Membangunkan diri sendiripun tiada kuasa, konon lagi akan membangunkan diri orang lain.


1. Tahajjud Rasulullah

Seseorang bertanya kepada Aisyah r.a., "Terangkan kepada saya sesuatu yang luar biasa mengenai solat Rasulullah."

     Aisyah r.a. menjawab, "Tidak ada sesuatu yang biasa tentang baginda, segala sesuatu yang dilakukannya adalah luar biasa. Pada suatu malam baginda berbaring bersamaku. Beberapa saat kemudian baginda bersabda, 'Biarkanlah saya beribadah kepada Allah.' Sambil berkata demikian baginda pun bangun untuk mendirikan solat. Baru sahaja baginda berdiri dalam solatnya, baginda menangis sehingga air matanya membasahi dada baginda yang mulia. Kemudian rukuk. Dalam rukuk juga baginda menangis seperti tadi. Demikian juga ketika baginda bersujud. Dan setelah bangun dari sujud, baginda masih dalam keadaan menangis. Demikian seterusnya hingga Bilal mengumandangkan azan menandakan waktu Subuh telah tiba. Saya pun berkata kepada baginda Rasulullah, mengapa kamu menangis padahal Allah telah mengampuni semua dosa kamu yang terdahulu dan yang kemudian, kerana memang Allah sendiri telah menjanjikan maghfirah untukmu." Selanjutnya baginda SAW menjawab, "Apakah tidak sepantasnya saya menjadi hamba Allah yang bersyukur?" Selanjutnya baginda bersabda, "Mengapa saya tidak berbuat begini padahal Allah telah menurunkan ayat: 

     "Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan
     silih-bergantinya malam dan siang terdapat, tanda-
     tanda bagi mereka yang berakal, (iaitu) orang-orang
     yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk, dan pada
     waktu berbaring dan mereka memikirkan tentang keja-
     dian langit dan bumi lalu berkata, Wahai Tuhan kami,
     tidaklah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia, Maha
     Suci Engkau maka lindungilah kami dari seksa api ner-
     aka."

(Q.S Ali Imran [3]: 190-191)

     Masih banyak lagi hadis serta riwayat lain yang menjelaskan tentang solat malam Rasulullah SAW yang amat panjang. Diterangkan dalam hadis bahawa disebabkan demikian lamanya Rasulullah berdiri dalam solat, maka kaki baginda menjadi bengkak-bengkak. 

     Sebahagian sahabat berkata kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, mengapa engkau begitu bersusah payah mendirikan solat, padahal Allah telah mengampuni segala dosamu?"

     Rasulullah bersabda, "Apakah tidak layak kalau saya berusaha menjadi hamba yang pandai bersyukur?"


2. Tahajjud Shahabat

Sepulangnya dari peperangan, Rasulullah SAW bermalam di suatu tempat, baginda bertanya, "Siapa yang akan menjaga khemahku malam ini?"

     Ammar bin Yasir dari kaum Muhajirin dan Abbad bin Basir dari golongan Ansar menawarkan diri untuk menjaga khemah Rasulullah. Kemudian kedua orang itu ditugaskan berjaga-jaga di puncak bukit yang kemungkinan dijadikan jalan oleh musuh.

     Abbad berkata kepada Ammar, "Sebaiknya kita berjaga secara bergilir-gilir, di bahagian malam yang awal, biarlah aku yang menjaga agar engkau dapat tidur sejenak. Kemudian setelah itu engkau yang menjaga dan aku yang tidur."

     Ammar setuju, dia pun merebahkan dirinya lalu tertidur dengan nyenyaknya. Sambil menjalankan tugasnya Abbad mengerjakan solat. Seorang pengintai dari pihak musuh telah melihatnya kemudian melepaskan anak panahnya sehigga menembus badan Abbad. Melihat keadaan Abbad yang masih berdiri tegak, musuh tadi melepaskan lagi dua anak panahnya. Abbad kemudian mencabut ketiga anak panah itu lalu membangunkan Ammar. Sementara itu askar musuh yang melihat Ammar bersama-sama Abbad, melarikan diri kerana menyangka masih banyak askar Islam di situ.

     Melihat badan Abbad berlumuran darah, Ammar berkata, "Subhanallah! Mengapa engkau tidak segera membangunkanku."

     Abbad menjawab, "Dalam solatku, saya membaca Surah Al-Kahfi dan saya tidak ingin rukuk sebelum menghabiskan satu surah itu. Tetapi ketika anak panah yang ketiga menembusi badan saya, saya berasa bimbang dengan keselamatan Rasulullah maka saya pun segera menyelesaikan solat saya lalu membangunkanmu. Kalau tidak, sudah tentu saya sudah menamatkan bacaan surah itu sebelum rukuk, walaupun saya akan mati terkena panah musuh."

     Inilah semangat solat sahabat meskipun badannya terkena panah dan berlumuran darah, tetapi tidak menggoyahkan ketenangannya dalam mengerjakan solat. Bagaimana dengan keadaan solat kita? Apabila seekor nyamuk sahaja menggigit maka ketawajuhan kita dalam solat akan hilang. Bagaimana pula apabila yang menggigit itu seekor lebah?

     Di bawah ini ada beberapa pendapat dari para ahli fiqih mengenai darah yang keluar dari badan. Menurut Imam Abu Hanifah, wudhu' akan batal apabila badan mengeluarkan darah. Tetapi menurut Imam Syafie, tidak batal. Jadi kemungkinan sahabat tersebut bermazhab seperti ini, atau pada waktu itu tidak ada ketentuan berkenaan masalah ini, atau kemungkinan juga Rasulullah tidak hadir dalam keadaan itu, atau pada waktu itu hukum ini belum ada.









N / F : DARIPADA "5 PENAWAR PENYAKIT HATI", OLEH MOHAMMAD ZAKI.

          

No comments:

Post a Comment