Friday 17 March 2017

PENAWAR 1: MEMBACA AL-QURAN SERTA MAKNANYA






MEMBACA AL-QURAN SERTA MAKNANYA








A. PENDAHULUAN

Penawar yang pertama bagi hati mukmin yang sedang sakit, mengikut rawatan Syeikh Maulana Maqdum ialah membaca Al-Quran serta maknanya.

     Oleh kerana itulah setiap muslim tentu menyedari, bahawa Al-Quran ialah Kitab Suci yang merupakan panduan hidup, dan dasar setiap langkah hidup. Al-Quran bukan hanya setakat mengatur hubungan manusia dengan Rabb-nya sahaja, tetapi juga mengatur hubungan manusia dengan manusia dan alam sekitarnya. Pendeknya, Al-Quran mengatur dan memimpin semua segi kehidupan manusia demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Perhatikan firman Allah SWT:

     "Tiadalah kami cuaikan sesuatu pun dalam Al-Kitab
     (Al-Quran)." 

(Q.S Al-An'aam [6]: 38)

     Al-Quran sebagai sumber ahkam tidak semua syariatnya mesti dijelaskan dengan terperinci. Hal ini kerana selain Al-Quran masih ada sumber ahkam yang kedua, iaitu Hadis yang merupakan penjelasan Al-Quran. Selain itu, manusia pula diberi kesempatan dan dituntut untuk berijtihad menggunakan akalnya dalam rangka mengatur hidupnya di dunia ini sesuai dengan perkembangan situasi zaman. Itulah kesesuaian ajaran Islam sebagai ajaran yang bersifat menyeluruh dan abadi. Namun demikian, perlu diingat bahawa setiap gerak langkah manusia sentiasa harus tetap memegang dua sumber ahkam utama tersebut agar selamat dan tak tersesat.


B. Sebagai Panduan Hidup

Rasulullah SAW bersabda: "Kutinggalkan untuk kamu dua perkara, tidaklah kamu akan tersesat selama-lamanya, selama kamu masih berpegang kepada keduanya, iaitu Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya." (Al-Hadis)

     Seseorang dikatakan berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah apabila dia mengimani dan mengamalkan apa yang menjadi ajaran keduanya. Inilah yang menunjukkan setiap muslim dituntut untuk tidak hanya setakat membaca Al-Quran dengan fasih. Lebih dari itu dia mesti memahami, menghayati, dan mengamalkan isinya dalam perilaku hidupnya. Pada langkah selanjutnya dia wajib menyebarluaskan kepada orang lain sebagai tugas kemanusiaan yang tinggi iaitu mendakwahkannya.

     Mulla Ali Qari telah mengisahkan tentang seorang Syeikh yang soleh pergi ke Makkah untuk menunaikan ibadah Haji. Ketika sampai di Jeddah, beberapa orang rakannya dalam perniagaan meminta agar dia memanjang msa tinggalnya di tempat mereka, kerana dengan kehadirannya, mereka mendapat lebih banyak keuntungan. Pada mulanya Syeikh berniat memanjang masa tinggalnya di situ, tetapi kemudian Syeikh bertanya kepada mereka, berapa keuntungan yang biasa diperoleh dari hasil penjualan barang dagangannya? Mereka menerangkan bahawa keuntungannya tidak tentu, tetapi kenaikannya boleh mencapai sangat tinggi. Syeikh itu berkata, "Kamu telah bersusah payah untuk memperolehi keuntungan yang sedikit, untuk keuntungan yang tidak seberapa ini saya tidak mahu melepaskan solat di Masjidil Haram yang ganjarannya akan digandakan seratus ribu kali."


C. Fadilat Al-Quran

Semua orang Islam hendaknya memperhatikan dan memikirkan hal ini, untuk memperolehi keuntungan dunia yang fana ini, kadang-kadang kita mengorbankan keuntungan akhirat yang lebih besar dan kekal.

     Rasulullah SAW bersabda:

     Dari Abdur Rahman bin Auf r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Pada hari Kiamat kelak tiga hal yang akan berada di bawah perlindungan Arasy:

1. Al-Quran yang mulia yang akan membela manusia, Al-Quran mempunyai jasmani dan rohani (zahir dan batin);

2. Amanah; dan

3. Silaturrahim yang akan berseru, "Ingatlah! Bagi sesiapa menyambungkan aku, maka Allah SWT menjalin hubungan dengannya, dan bagi sesiapa memutuskan aku, maka Allah SWT memutuskan hubungan dengannya."

     Ungkapan "Al-Quran memiliki zahir dan batin" adalah; zahir Al-Quran maksudnya bahawa ia memiliki makna yang dapat dimengerti oleh semua orang, sedangkan batin Al-Quran maksudnya bahawa Al-Quran memiliki makna yang sangat dalam yang tidak dapat difahami oleh setiap orang. Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda, "Bagi sesiapa yang mengemukakan pendapatnya sendiri bagi sesuatu yang ada dalam Al-Quran, maka ia telah melakukan kesalahan, walaupun pendapatnya itu benar."

     Sebahagian ulama berpendapat, bahawa maksud "zahir Al-Quran" (jasad Al-Quran) adalah merujuk kepada kalimat-kalimat dalam Al-Quran yang dapat dibaca dengan baik oleh setiap orang. Sedangkan "batin Al-Quran" (rohani Al-Quran) adalah merujuk kepada maksud-maksudnya baik yang tersurat mahupun yang tersirat yang pemahamannya berbeza sesuai dengan kemampuan pembacanya.

     Ibnu Masud berkata, "Jika kamu ingin memperoleh ilmu, maka hendaklah kamu memikirkan dan merenungkan makna-makna Al-Quran kerana di dalamnya mengandungi ilmu orang-orang terdahulu dan orang-orang sesudahnya." Oleh kerana itu, untuk dapat memahami isi kandungan Al-Quran, sangat penting bagi kita memerhati dan menunaikan adab-adab dan syarat-syarat pentafsiran Al-Quran.

     Yang menjadi kebimbangan sekarang, mereka yang hanya memiliki sedikit sahaja ilmu bahasa Arab, bahkan ada yang tidak memiliki sama sekali, dengan hanya merujuk kepada terjemahan Al-Quran sudah berani menyimpulkan sendiri dengan pendapatnya. Para Ulama menggariskan bahawa sesiapa pun yang mahu mencuba mentafsirkan Al-Quran, mestilah dia mempunyai kepakaran dalam lima belas ilmu. Hal ini menunjukkan bahawa tidak semua orang dapat memahami maksud yang tersirat dari Al-Quran yang mulia ini.

     Juga sebagaimana jawapan Ali karramallaahu wajhahu, ketika beliau ditanya oleh orang-orang, "Apakah engkau telah mendapatkan suatu ilmu atau penerangan yang khusus daripada Rasulullah SAW yang tidak pernah diterima oleh orang lain?" Ali berkata, "Demi Allah yang telah menciptakan syurga dan kehidupan, saya tidak mempunyai sesuatu yang khusus melainkan pemahaman Al-Quran yang telah dianugerahkan oleh Allah Yang Maha Kuasa kepadaku." Ibnu Abi Dunya berkata, "Ilmu Al-Quran yang didapatinya adalah sangat luas laksana lautan yang tidak bertepi."

     Seperti ditulis dalam kitab Kimiya Sa'adat, "Tiga golongan orang berikut ini tidak akan berjaya mentafsir Al-Quran, iaitu: Pertama, seorang yang tidak mahir dalam bahasa Arab. Kedua, orang yang selalu membuat dosa-dosa besar atau orang yang membuat bid'ah kerana perbuatan ini dapat menggelapkan hatinya dan menghalanginya dari memahami Al-Quran. Ketiga, seorang yang menggunakan alasan-alasan rasional (fikiran) semata walaupun dalam hal keimanan, ia merasa tidak suka apabila ia membaca satu ayat Al-Quran yang tidak sesuai dengan akal fikirannya. Orang-orang seperti ini tidak akan mampu memahami Al-Quran dengan benar. Rasulullah SAW bersabda:

     Daripada Abdullah bin Umar berkata, Rasulullah SAW bersabda, pada hari Kiamat kelak akan diseru kepada ahli Al-Quran, "Teruskanlah bacaan Quranmu dan teruskanlah menaiki Syurga tingkat demi tingkat dan bacalah dengan tartil seperti yang telah engkau baca di dunia, kerana sesungguhnya tempat terakhirmu adalah di mana engkau telah sampai pada ayat terakhir yang kamu baca."

     Yang dimaksudkan dengan "ahli Quran" iaitu orang yang hafiz Quran. Mulla Ali Qari telah menerangkan bahawa penghormatan itu dikhaskan kepada hafiz dan tidak ditujukan kepada orang yang membaca Al-Quran dengan cara melihat.

     Pertama, kerana perkataan "ahli Quran" itu ditujukan kepada hafiz; kedua, sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang berbunyi:

     "Sehingga ia membaca apa sahaja dari Al-Quran itu
     bersamanya."

     Perkara ini lebih jelas merujuk kepada hafiz, walaupun seorang pembaca yang sentiasa berdampingan dengan bacaan Al-Quran boleh juga termasuk di dalamnya. Dalam kitab Mirqat disebutkan, bahawa hadis ini tidak berlaku bagi orang yang membaca Al-Quran sedangkan Al-Quran mengutuknya.

     Berdasarkan hadis yang menyatakan, "Ramai orang yang membaca Al-Quran tetapi Al-Quran mengutuknya. "Dengan demikian orang yang membaca Al-Quran tetapi tidak lurus dalam aqidahnya, maka tidak termasuk ke dalam golongan orang yang disukai Allah SWT." Banyak hadis, berkenaan hal ini yang berhubungan dengan puak Khawarij (kelompok orang yang menentang kekhalifahan Ali).


D. Taalil Al-Quran

Dalam kitab Duratun Nasihin dinukilkan satu hadis Rasulullah SAW tentang 4 golongan yang dirindukan oleh Syurga, salah satu antaranya ialah Taalil Al-Quran. Maksudnya ialah bahawa orang yang dirindukan Syurga ialah orang-orang yang boleh diakui sebagai orang yang pakar Al-Quran. Taalil Al-Quran ialah orang yang mempunyai kriteria 4 perkara, iaitu; pertama dibaca dengan benar, kedua memahami maknanya, ketiga mengamalkannya, keempat mendakwahkannya.


1. Membaca Dengan Tartil

Syah Abdul Aziz menerangkan dalam tafsirnya, "tartil" makna dasarnya ialah membaca dengan baik dan jelas. Manakala menurut syar'i adalah membaca Al-Quran dengan mengikuti aturan-aturan tertentu, seperti di bawah ini:

1. Setiap huruf hendaknya diucapkan dengan makhraj yang benar untuk memastikan asal huruf yang tepat, dengan demikian sebuah (tha') tidak dibaca (ta'). (dha') tidak dibaca (zha'), dan seterusnya.

2. Berhenti pada tempat yang benar, sehingga sambungan atau kesudahan ayat-ayat itu tidak diletakkan pada tempat yang salah.

3. Membaca harakatnya dengan benar iaitu, menyebutkan fathah, kasrah, dan dhammah dengan perbezaan yang jelas.

4. Naikkan suara sedikit, dengan demikian ayat-ayat Al-Quran yang diucapkan oleh lidah terdengar oleh telinga dan boleh mempengaruhi hati.

5. Ucapkan dengan suara yang indah dan penuh perasaan sehingga menimbulkan simpati dan cepat memberi pengaruh dalam hati kerana suara yang bersimpati akan cepat mempengaruhi hati dan menguatkan rohani.

6. Menurut para pakar perubatan, jika suatu ubat ingin cepat memberikan kesan pada hati, hendaklah ubat itu dicampurkan wangi-wangian kerana hati sangat sensitif terhadap wangi-wangian. Cara lain agar ubat lebih cepat berpengaruh ke dalam hati, dicampur dengan rasa manis, kerana hati pun menyukai rasa manis. Kerana itu, seseorang yang memakai wangi-wangian ketika membaca Al-Quran akan memberi kesan yang lebih kuat pada hati si pembaca.

     Setiap tasydid dan mad, hendaklah diucapkan dengan jelas kerana, dapat menghasilkan keagungan Al-Quran dan menambah kesannya.

7. Melaksanakan hak ayat-ayat rahmat dan ayat-ayat azab, seperti telah disebutkan sebelumnya.

     Tujuh peraturan tersebut di atas merupakan cara yang benar untuk membaca Al-Quran, biasanya disebut dengan istilah 'tartil' yang tujuannya adalah untuk dapat memahami dan meresapi isi kandungan Al-Quran.

     Ummu Salamah (Ummul Mukminin) pernah ditanya oleh seseorang, bagaimana Rasulullah SAW membaca Al-Quran. Beliau menjawab, "Apabila Rasulullah SAW membaca Al-Quran, baginda selalu menunaikan setiap harakatnya, fathah, dhammah, dan kasratnya dengan jelas juga menyebutkan setiap hurufnya dengan jelas."

     Membaca Al-Quran dengan tartil adalah mustahab, walaupun tidak mengerti maknanya. Ibnu Abbas berkata bahawa ia lebih suka membaca surah-surah yang panjang seperti al-Baqarah atau Ali Imran tetapi tidak mengikuti peraturannya.

     Para ulama tafsir menerangkan maksud hadis di atas, bahawa apabila seseorang membaca Al-Quran, maka setiap ayat yang dibaca akan menaikkan martabatnya ke tingkat yang lebih tinggi dalam Syurga. Dalam sebuah hadis diterangkan bahawa tingkatan-tingkatan dalam Syurga itu sebanyak jumlah ayat dalam Al-Quran. Dengan demikian, seseorang yang mahir dalam seluruh Al-Quran akan mendapat martabat yang paling tinggi di dalam syurga.


2. Memahami Maknanya

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya; Dari Aisyah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Seorang yang pakar dalam Al-Quran akan berada di kalangan malaikat-malaikat pencatat yang mulia dan lurus, dan seorang yang tidak lancar (tersendat-sendat) dalam membaca Al-Quran sedangkan dia bersusah payah mempelajarinya, akan mendapat ganjaran dua kali ganda."

     "Orang yang pakar dalam Al-Quran" maksudnya ialah seseorang yang pandai membaca dan menghafalnya, lebih utama lagi jika ia memahami pula makna dan kandungannya.

     "Akan berada di kalangan para malaikat" maksudnya, seolah-olah ia bersama-sama malaikat tersebut memindahkan Al-Quran dari Lauh-Mahfuz (kitab yang terpelihara di sisi Allah SWT), ia juga menyampaikannya kepada orang lain melalui pembacaannya. Dengan demikian keduanya mempunyai pekerjaan yang sama. Boleh juga maksudnya bahawa ia akan berada bersama-sama para malaikat pada hari Kiamat.

     Seseorang yang tidak lancar membaca Al-Quran akan mendapat ganjaran dua kali ganda, satu untuk pembacaannya yang ragu-ragu dan satu lagi untuk kesusahannya dalam usaha mempelajari Al-Quran. Tetapi tidak bererti pahalanya melebihi orang yang ahli. Ganjaran untuk orang yang pakar dinyatakan sangat besar sekali sehingga ia berada di kalangan para malaikat. Maksud sebenarnya adalah, bahawa kerana usahanya itu ia akan mendapat pahala ganda. Oleh kerana itu tanpa alasan yang kuat, janganlah sekali-kali meninggalkan membaca Al-Quran.

     Mulla Ali Qari memetik sebuah hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi bahawa seseorang yang berusaha menghafal Al-Quran tetapi dia selalu lupa dan tidak hafal-hafal, maka dia akan mendapat pahala dua kali ganda. Begitu pula seseorang yang ingin menghafal Al-Quran tetapi ia tidak memiliki kemampuan untuk menghafalnya tetapi dia terus berusaha dan tidak meninggalkan membacanya, maka pada hari Kiamat dia akan digolongkan oleh Allah Yang Maha Kuasa di kalangan para hafiz.

     Amir bin Wastilah berkata, "Umar telah mengangkat Nafi bin Abdul Harith sebagai Gabenor di Makkah. Suatu ketika Umar bertanya siapakah yang telah dilantik oleh Nafi sebagai pengurus kawasan hutan? "Ibnu Abza," jawab Nafi. "Siapakah Ibnu Abza itu?" tanya Umar kembali. Nafi menjawab, "Dia ialah seorang dari hamba-hamba kami." Umar menegurnya, "Mengapa kamu melantik seorang ketua menjadi amir (ketua)?" Nafi r.a. menjawab, "Kerana ia suka membaca Al-Quran." Mendengar penjelasan ini Umar mengemukakan sabda Rasulullah SAW, "Dengan Al-Quran ini Allah meninggikan martabat banyak orang dan dengannya pula Dia merendahkan mereka."


3. Mengamalkannya

Satu hadis Rasulullah SAW dari Muadz Al-Juhani r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang membaca Al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya, maka kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari Kiamat, yang sinarnya lebih terang daripada cahaya matahari jika sekiranya matahari itu berada di rumah-rumah kamu di dunia ini. Bagaimana menurut perkiraan kamu mengenai orang yang mengamalkan sendiri?" (H.R Ahmad dan Abu Daud)

     Dengan keberkatan membaca Al-Quran dan mengamalkan isinya, maka kedua ibu bapa pembaca akan dipakaikan mahkota kemuliaan yang sinarnya melebihi sinar matahari jika matahari itu berada di dalam rumah. Matahari itu letaknya sangat jauh dari tempat kita tetapi cahayanya sangat terang, apalagi jika matahari itu berada dalam rumah kita, maka pasti luar biasa terangnya.

     Sedangkan cahaya mahkota yang dipakaikan kepada ibu bapa pembaca Al-Quran adalah lebih terang lagi. Jika ibu bapanya sahaja sudah diberi kemuliaan begitu banyak, maka mestilah pembacanya itu sendiri akan mendapat pahala yang berlipat-lipat lagi banyaknya. Orang yang menjadi perantaranya sahaja akan mendapatkan martabat begitu tinggi, apalagi orang yang menjadi penyebabnya. Kedua ibu bapa pembaca diberi kemuliaan ini kerana mereka telah melahirkan dan mendidiknya.

     Penekanan 'beradanya matahari di rumah kita' mempunyai makna dan perumpamaan yang sangat halus. Kecintaan dan kesenangan kepada sesuatu akan bertambah jika sesuatu itu selalu berada di samping kita. Walaupun matahari letaknya sangat jauh, tetapi mendatangkan rasa cinta kepadanya, apalagi jika ia berada dekat dengan kita.

     Sebagai tambahan dalam menerangkan sinar mahkota yang tersebut dalam hadis di atas, iaitu adanya kecintaan dan kepuasan terhadap mahkota itu. Setiap orang mendapat manfaat dari cahaya matahari, tetapi jika ia dapat memberikan manfaat itu kepada seseorang, tentunya hal ini merupakan kebanggaan bagi pemberinya.

     Hakim telah meriwayatkan sebuah hadis dari Buraidah bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Seseorang yang membaca Al-Quran dan beramal dengannya akan dipakaikan mahkota yang diperbuat dari nur dan kedua ibu bapanya akan diberi pakaian yang lebih berharga daripada dunia dan seisinya. Mereka akan berkata, "Wahai Allah! Mengapa kami diberi pakaian ini?" Allah SWT menjawab, "Kerana bacaan Al-Quran yang dibacakan oleh anakmu."

     Dari Ibnu Abbas r.a. ia meriwayatkan bahawa suatu ketika Jibril turun lalu memberitahu kepada Rasulullah SAW bahawa akan terjadi banyak fitnah. Rasulullah SAW bertanya, 'Apakah jalan keluar (agar selamat darinya, wahai Jibril?" Jibril menjawab, "Kitabullah (Al-Quran yang mulia)."

     Beramal dengan apa yang terkandung dalam kitab Allah akan menjaga kita dari fitnah dan berkat dari membacanya juga adalah satu cara untuk menghindari maksiat.

     Telah disebutkan dalam hadis, bahawa jika Al-Quran dibaca dalam rumah, ketenangan dan rahmat turun ke atas rumah itu dan syaitan-syaitan akan meninggalkan rumah itu. Para ulama mentafsirkan 'fitnah' di sini maksudnya ialah datangnya Dajjal, kebiadaban orang-orang Tartar dan peristiwa-peristiwa yang serupa.

     Ada sebuah riwayat yang panjang dari Saidina Ali yang intisarinya sama dengan hadis di atas bahawa Nabi Yahya berkata kepada Bani Israil, "Allah telah memerintahkan kamu membaca kitab-Nya dan jika kamu melakukannya, kamu adalah seumpama orang-orang yang dilindungi oleh benteng dalam bandar, dengan demikian dari arah manapun musuh menyerangmu, mereka akan mendapati kalimah Allah sebagai pelindung dan pengusir mereka.


4. Mendakwahkannya

Tabrani meriwayatkan dalam kitab Jam'ul Fawaid sebuah hadis dari Anas, Rasulullah SAW bersabda, "Bagi sesiapa yang mengajar anaknya membaca Al-Quran (tanpa menghafalnya), maka segala dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang akan dihapus, dan bagi sesiapa yang menjadikan anaknya seorang hafiz Al-Quran, dia akan dibangunkan pada hari Kiamat dengan wajah bercahaya seperti bulan purnama. Lalu ia berkata kepada anaknya, "Bacakanlah Al-Quran!" Maka setiap satu ayat yang dibaca oleh anaknya itu, kedua ibu bapanya dinaikkan satu darjat ke tingkat yang lebih tinggi dalam syurga, demikian seterusnya sehingga tamat bacannya." Inilah fadilat dan keuntungan bagi kedua ibu bapa yang mengajar Al-Quran kepada anaknya dan masih banyak keuntungan lainnya.

     Sebaliknya, jika kita tidak mengajarkan agama kepada anak kita kerana sibuk mencari beberapa ringgit, bukan sahaja kita menolak pahala yang kekal, bahkan kita akan diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT. Banyak ibu bapa yang enggan anaknya dididik untuk menjadi seorang Qari atau Hafiz Al-Quran, kerana bimbang kelak hanya akan menjadi ustaz atau penjaga masjid yang hidupnya bergantung kepada belas kasihan orang lain. Cubalah anda renungkan, bukan sahaja anda telah menjerumuskan anak anda ke dalam seksaan yang kekal tetapi anda juga harus menanggung hisab yang berat. Dalam hadis dikatakan:

     "Setiap kamu sekalian adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya." (Al-Hadis)

     Maksudnya, setiap orang akan ditanya tentang orang yang di bawah pimpinannya, sejauh mana ia telah mengajarkan agama kepada mereka. Setiap orang seharusnya menjaga dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya dari kesalahan besar ini. Sebuah pepetah mengatakan:

     "Apakah kita mesti membuang pakaian kita hanya kerana takut kepada kutu busuknya?"

     Tidak, tidak demikian! Kita tidak mesti membuang pakaian kita kerana takut pada kutu busuk, tetapi kita mesti menjaga kebersihan pakaian kita. Demikian juga jika anda memberi pelajaran agama kepada anak anda, maka anda akan bebas dari tuntutan tersebut. Apa sahaja amal kebaikan yang dilakukan anak anda ketika di dunia, seperti solatnya, istighfarnya kepada Allah SWT, dan yang lainnya akan meningkatkan darjat anda di Syurga.

     Tetapi kerana mengejar kekayaan dunia, anda telah mengorbankan pendidikan agama bagi anak-anak anda dan membiarkan mereka dalam kejahilan. Akibatnya, anda akan menanggung azab kerana keburukan akhlak dan perbuatan keji yang dilakukan oleh mereka, sedangkan hisab atas diri anda tidak akan dibebankan kepada mereka. Amal-amal kita tidak akan sia-sia begitu sahaja, seluruhnya akan disimpan sebagai bekal di akhirat kelak. Maka dengan nama Allah, kasihanilah diri anda! Kehidupan ini akan segera berlalu, maut adalah penderitaan yang sangat besar yang akan mengakhiri segala kesulitan dan penderitaan dunia, sedangkan kehidupan setelah maut adalah abadi dan selalu menanti kita. Sebuah hadis menerangkan:

     Dari Uqbah bin Amir r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, 'Jika Al-Quran dimasukkan ke dalam kulit kemudian dilemparkan ke dalam api, nescaya api tidak akan membakarnya.'

     Dalam memahami hadis ini, ulama hadis mentafsirkannya dengan dua pendapat. Sebahagian mentafsirkan perkataan "kulit" dan "api" sebagaimana umumnya, iaitu kulit binatang. Pendapat ini merujuk kepada mukjizat yang berlaku di zaman Rasulullah SAW, dan para nabi terdahulu. Sebahagian lagi menafsirkan perkataan "kulit" sebagai kulit manusia dan perkataan api maksudnya "api neraka". Dengan demikian makna hadis ini adalah umum tidak bergantung kepada zaman tertentu. Iaitu, jika seorang hafiz Al-Quran dimasukkan ke dalam neraka disebabkan dosa-dosa yang terlanjur dilakukannya, maka api neraka tidak akan dapat membakarnya. Dalam sebuah hadis dinyatakan api neraka bahkan tidak dapat menyentuhnya.

     Pendapat terakhir ini diperkuat oleh hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Umamah seperti yang ditulis dalam kitab Syarhus Sunnah oleh Mulla Ali Qari, "Hafalkanlah Al-Quran! Kerana Allah Yang Maha Kuasa tidak akan mengazab hati yang di dalamnya ada Al-Quran." Orang-orang yang beranggapan bahawa menghafal Al-Quran sebagai perbuatan sia-sia, hendaknya memikirkan hadis ini. Hadis tersebut seharusnya sudah dapat menyegerakan orang agar giat mempelajari Al-Quran dan menghafalnya, kerana tidak ada seorang pun yang tidak melakukan dosa dan tidak terlepas dari azab neraka.

     Dalam kitab Syarah Ihya disebutkan nama-nama orang yang dilindungi, di bawah rahmat Allah SWT pada hari kiamat yang penuh dengan huru-hara. Disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Dailami dari Ali bahawa penjaga-penjaga Al-Quran atau para hafiz Al-Quran akan berada di bawah lindungan Allah SWT bersama-sama dengan para nabi dan orang-orang soleh.

     Ali berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Bagi sesiapa membaca Al Quran dan menghafalnya, menganggap halal apa yang dihalalkan dalam Al-Quran, dan menganggap haram apa yang diharamkannya, maka Allah SWT akan memasukkannya ke dalam Syurga dan Allah SWT menjaminnya untuk memberi syafaat kepada sepuluh orang ahli keluarganya yang akan dicampakkan ke dalam neraka."

     Dengan rahmat Allah SWT, setiap mukmin dijamin oleh Allah SWT untuk memasuki syurga, meskipun akan diazab terlebih dahulu kerana dosa-dosanya.


E. Hafiz Al-Quran

Seorang hafiz diberi keutamaan dengan memasuki Syurga lebih awal dan dia dibenarkan memberi syafaat kepada sepuluh orang Islam dari keluarganya yang banyak berbuat dosa, bahkan orang fasik sekalipun. Tetapi bagi orang kafir, syafaat itu tidak ada. Allah SWT berfirman:

     "Sesungguhnya orang yang menyekutukan Allah, maka
     Allah mengharamkan syurga baginya dan tempatnya
     adalah neraka (Jahanam). Dan tidak ada bagi orang-
     orang zalim seorang penolong pun."

(Q.S al-Maidah [5]: 72)

     "Tidak patut bagi nabi dan orang-orang beriman
     memohonkan ampunan kepada Allah bagi orang-orang
     musyrikin, (walaupun mereka adalah kerabatnya)."

(Q.S at-Taubah [9]: 113)


1. Memberi Syafaat Keluarga

Ayat Al-Quran di atas, jelas sekali menyatakan, bahawa orang-orang musyrik tidak akan diampuni. Syafaat dari para hafiz hanya diperuntukkan bagi orang-orang Islam sahaja yang kerana dosa-dosanya mereka dicampakkan ke dalam neraka. Oleh kerana itu, barangsiapa yang ingin selamat dari api neraka, sedangkan dia bukan seorang hafiz dan tidak dapat menghafal Al-Quran, hendaknya menjadikan sekurang-kurang satu orang dari keluarganya sebagai hafiz, di samping dia harus memelihara dirinya dari perbuatan dosa. Dengan syafaat darinya dia akan diselamatkan dan azab neraka akibat dosa yang dilakukannya.

     Bersyukur kepada Allah SWT yang merahmati seorang ulama besar Syeikh Maulana Zakariya yang bapanya, pakciknya, juga nenek dan datuknya sama ada dari pihak ibu mahupun pihak bapa, semuanya adalah hafiz Al-Quran. Semoga Allah SWT merahmatinya dengan kenikmatan yang lebih banyak lagi.


2. Harum Kasturi

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Belajarlah Al-Quran dan bacalah ia, kerana orang yang belajar Al-Quran, membacanya dan menyebutnya dalam solat tahajjud adalah seumpama sebuah wadah (bekas) yang terbuka yang penuh dengan kasturi, harumnya semerbak merebak ke seluruh tempat, dan seseorang yang telah belajar Al-Quran tetapi tidur sementara Al-Quran berada dalam hatinya, adalah seumpama wadah yang penuh dengan kasturi tetapi tertutup."

     Seseorang yang belajar Al-Quran dan menjaganya kemudian terus menerus membacanya dalam solat tahajjud, bagaikan botol kasturi yang terbuka tutupnya, harumnya memenuhi rumah itu. Dalam keadaan yang sama, seluruh rumah juga dipenuhi dengan nur dan keberkatan disebabkan bacaan Al-Quran seorang hafiz. Apabila seorang hafiz tidur dan tidak membaca Al-Quran kerana cuai, sementara Al-Quran yang ada dalam hatinya masih tetap semerbak bagaikan kasturi, tetapi kerana kecuaiannya, nur dan keberkatan itu akan terhalang dan tidak menyebar kepada orang lain. Meskipun demikian, dalam hatinya masih terdapat kasturi dari Al-Quran.


3. Tidak Seperti Rumah Kosong

Sebuah hadis dari Abdullah bin Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Seseorang yang tidak ada sedikit pun Al-Quran dalam hatinya adalah seperti rumah kosong."

     Diumpamakan dengan rumah kosong mempunyai maksud yang halus, seperti dikatakan dalam peribahasa, "Otak manusia yang kosong adalah tempat syaitan bekerja" (maksudnya, syaitan dapat menguasai bilik yang kosong). Begitu juga dengan hati yang tidak ada Al-Quran, di dalamnya akan dikuasai dan digoda oleh syaitan. Hadis, ini menerangkan bahawa menghafal Al-Quran dapat mengisi hati sehingga tidak seperti rumah yang ditinggalkan dalam keadaan kosong.

     Abu Hurairah r.a. berkata, "Rumah yang di dalamnya dibacakan Al-Quran, maka akan dipenuhi kebaikan dan keberkatan bagi ahli rumah itu, para malaikat mengerumuninya, dan syaitan-syaitan akan meninggalkan rumah itu. Sedangkan rumah yang tidak dibacakan Al-Quran di dalamnya, maka keberkatan akan hilang, malaikat akan meninggalkan rumah itu, dan sebagai gantinya syaitan akan datang. Ibnu Mas'ud dan beberapa orang sahabat telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Rumah yang kosong adalah rumah yang di dalamnya tidak ada yang membaca Al-Quran yang mulia."


4. Keutamaan Al-Quran

Dari Aisyah r.a. berkata; Rasulullah SAW bersabda, "Membaca Al-Quran dalam solat lebih utama daripada di luar solat, membaca Al-Quran di luar solat lebih utama daripada tasbih dan takbir, tasbih lebih utama daripada sedekah, sedekah lebih utama daripada puasa dan puasa adalah penghalang dari api neraka."

     Kemuliaan membaca Al-Quran dibandingkan zikrullah adalah jelas kerana Al-Quran merupakan firman Allah SWT. Telah disebutkan sebelum ini, bahawa kemuliaan kalamullah di atas segala perkataan, bagaikan kemuliaan Allah SWT atas semua makhluk-Nya. Kemuliaan zikrullah daripada sedekah telah banyak diterangkan dalam beberapa hadis lain. Tetapi keutamaan sedekah daripada puasa yang disebutkan dalam hadis ini seolah-olah bertentangan dengan hadis lain yang menyatakan bahawa puasa adalah lebih utama daripada sedekah. Perbezaan ini bergantung keadaan manusia dan suasana kehidupan mereka. Menurut hadis ini puasa ditempatkan paling akhir. Apabila puasa sahaja dikatakan sebagai penghalang dari api neraka, maka bagaimanakah rahmat yang diberikan kepada orang yang membaca Al-Quran.

     Penulis kitab Ihya meriwayatkan dari Ali karramallahu wajhahu bahawa bagi orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan solat sambil berdiri, maka dari setiap huruf Al-Quran yang dibacanya akan memperoleh seratus kebaikan, lima puluh kebaikan diberikan kepada orang yang membacanya ketika solat sambil duduk, dua puluh kebaikan diberikan kepada orang yang membacanya dalam keadaan berwudhu di luar solat, sepuluh kebaikan diberikan kepada orang yang membacanya tanpa wudhu, dan satu kebaikan untuk mereka yang mereka yang mendengar dengan sungguh-sungguh walaupun tidak membacanya, kerana setiap huruf yang ia dengar diganti dengan satu kebaikan.

     Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bertanya kepada kami, "Sukakah salah seorang antara kamu apabila kembali ke rumahnya mendapati tiga ekor unta betina yang hamil dan gemuk.: Kami menjawab, "Tentu kami menyukainya." Kemudian Rasulullah SAW bersabda, "Tiga potong ayat yang kamu baca dalam solat adalah lebih utama daripada tiga ekor unta betina yang hamil dan gemuk."

     Sebagaimana dikemukakan dalam hadis yang telah lalu, hadis ini juga menerangkan bahawa membaca Al-Quran dalam solat pahalanya lebih utama daripada membacanya di luar solat. Mengapa dibandingkan dengan unta yang hamil? kerana mempunyai dua keuntungan ibadah, iaitu solat dan membaca Al-Quran. Dalam hadis ini telah menerangkan maksud hadis tersebut, bahawa hal ini hanyalah setakat membandingkan, sedangkan pahalanya yang kekal adalah jauh lebih bernilai daripada beribu-ribu unta yang hamil.

     Dari Aus ats Tsaqafz meriwayatkan dari bapa saudaranya bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Membaca Al-Quran dan hafalan mendapat seribu darjat pahala, sedangkan membaca Al-Quran dengan melihat mushaf mendapatkan dua ribu darjat."

     Berkenaan keutamaan-keutamaan seorang hafiz telah dikemukakan sebelumnya. Tetapi dalam hadis ini diterangkan bahawa membaca Al-Quran dengan melihat mushaf lebih utama? Kerana membaca Al-Quran dengan melihat mushaf kita dapat memikirkan maknanya, juga kita mendapat beberapa keutamaan dari segi ibadah lainnya, seperti melihat Al-Quran, memegangnya, dan lain-lain. Hal inilah yang menyebabkan membaca Al-Quran dengan melihat mushaf dikatakan lebih utama.

     Adanya perbezaan mengenai maksud-maksud hadis di atas telah menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan para ulama. Manakah yang lebih utama, apakah seorang yang membaca Al-Quran dengan hafalan, ataukah orang yang membaca Al-Quran dengan melihat mushaf. Akan tetapi dengan merujuk kepada hadis di atas, sebahagian ulama berpendapat bahawa membaca Al-Quran dengan melihat mushaf adalah lebih utama, kerana mata kita sentiasa melihat Al-Quran sehingga terhindar dari kesalahan dalam pembacaannya. Sebahagian ulama lagi berpendapat, bahawa membaca Al-Quran dengan hafalan adalah lebih utama, kerana kita akan lebih khusyu' dan terjauh dari sifat riya, dan ini adalah kebiasaan Rasulullah SAW.

     Imam Nawawi memutuskan, bahawa kedua-duanya adalah baik dan utama, bergantung kepada diri kita sendiri. Sebahagian orang dapat lebih bertawajuh jika membacanya dengan melihat mushaf, sementara yang lain berasa lebih dapat bertawajuh dengan membaca dari hafalannya. Al-Hafiz Ibnu Hajar menyokong pendapat ini seperti yang dituliskannya dalam kitab Fathul-Bari. Diceritakan bahawa Uthman kerana seringnya membaca Al-Quran sehingga dua kitab Al-Quran menjadi lusuh. Amar bin Maimun menyatakan dalam kitabnya Syarhul Ihya, bahawa jika seseorang membuka lembaran Al-Quran setelah solat Subuh dan membaca seratus ayat, maka akan mendapat pahala sebanyak isi dunia.

     Dikatakan juga bahawa melihat mushaf ketika membaca Al-Quran adalah bermanfaat bagi penglihatan. Abu Ubaidah meriwayatkan satu hadis yang panjang yang setiap perawinya mengatakan bahawa mereka mengalami gangguan penglihatan, lalu gurunya menasihati mereka supaya membaca Al-Quran dengan cara melihatnya. Imam Syafi'i selalu membuka Al-Quran setelah solat Isyak dan menutup ketika hampir menjelang waktu Subuh.


5. Mengubati Karat Hati

Satu hadits Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Abdullah Ibnu Umar meriwayatkan, "Sesungguhnya hati ini boleh berkarat sebagaimana berkaratnya besi bila terkena air." Baginda ditanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana cara membersihkannya?" Rasulullah SAW bersabda, "Memperbanyak mengingat maut dan membaca Al-Quran." (H.R Baihaqi)

     Banyak melakukan dosa dan cuai dari mengingat Allah SWT dapat menyebabkan hati menjadi berkarat sebagaimana besi berkarat bila terkena air. Membaca Al-Quran dan mengingat maut akan menjadikan hati ini bersinar kembali. Hati itu bagaikan cermin, semakin dibersihkan hati itu maka semakin terpancar darinya cahaya ma'rifat (mengenal) Allah SWT.

     Sebaliknya, lebih lama kita mengikuti hawa nafsu dan perbuatan-perbuatan syaitan, maka akan semakin jauh dari mengenal Allah SWT. Maka untuk membersihkan hati ini, banyak Syeikh (guru tasawuf) yang mengarahkan murid-muridnya untuk mempergunakan waktu mereka dengan upacara-upacara kerohanian, berzuhud, dan melatih diri dengan zikir-zikir tertentu untuk mengingat Allah SWT.

     Disebutkan dalam sebuah hadis bahawa jiwa seseorang melakukan satu dosa, maka satu titik hitam akan melekat di hatinya. Jika ia bertaubat dengan sebenar-benarnya, maka titik hitam itu akan hilang, tetapi jika dia melakukan dosa yang kedua, titik hitam yang kedua akan melekat, dan jika terus menerus melakukan dosa, maka titik hitam itu akan semakin banyak sehingga hati menjadi hitam keseluruhannya. Kalau sudah demikian, hati menjadi sangat sukar untuk condong kepada kebaikan bahkan akan selalu condong kepada kemaksiatan. Semoga Allah SWT memelihara kita dari hal yang demikian. Mengenai hal ini, Allah SWT berfirman:

     "Sekali-kali tidak, sebenarnya apa yang mereka lakukan
     itu telah menyebabkan kekaratan pada hati mereka."

(Q.S Al-Mutaffifin [83]: 14)


6. Kemuliaan Al-Quran Mulia

Rasulullah SAW bersabda, "Saya meninggalkan dua nasihat untuk kamu sekalian; satu yang berbicara dan satu lagi yang diam. Yang berbicara ialah Al-Quran yang mulia dan yang diam adalah mengingat maut." Bagi orang yang memahami betapa pentingnya nasihat-nasihat ini, maka ia akan menerimanya. Sebaliknya, orang yang beranggapan bahawa agama tidak berguna dan hanya menjadi penghalang bagi kemajuan duniawi, tentu ia tidak memiliki keinginan untuk mendapatkan nasihat rohani tersebut.

     Hasan Basri berkata, "Orang-orang zaman dahulu menyakini bahawa Al-Quran yang mulia itu adalah perintah Allah SWT, mereka memikirkannya sepanjang malam dan mengamalkannya pada waktu tengah hari. Sedangkan kita pada hari ini, walaupun bersungguh-sungguh mempelajari bacaan dan huruf-hurufnya, tetapi tidak menganggapnya sebagai perintah Allah SWT dan tidak pula memikirkannya."

     Dari Aisyah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya setiap sesuatu itu mempunyai kemuliaan yang mana mereka merasa bangga dengannya. Dan sesungguhnya yang menjadi kebanggaan dan kemuliaan umatku adalah Al-Quran."

     Banyak orang yang membangga-banggakan kebesaran dan kemuliaan datuk moyang serta keluarganya. Padahal punca kebanggaan bagi umat ini adalah Al-Quran, iaitu dengan membacanya, menghafalnya, mengajarkannya, dan beramal dengannya, bahkan apa sahaja yang berkaitan dengan Al-Quran maka patut menjadi kehormatan. Al-Quran adalah firman Allah Yang Maha Pengasih. Tidak ada kehormatan di dunia ini yang dapat menandingi kemuliaannya.

     Kehormatan di dunia bagaimanapun besarnya akan lenyap cepat atau lambat, sebaliknya kemegahan dan kemuliaan Al-Quran adalah kekal selamanya dan tidak akan habis. Bahkan bahagian-bahagian kecil dari Al-Quran patut kita banggakan, misalnya susunan kata yang sangat indah, paduan ayat yang mempesona, penyesuaian kata, hubungan antara ayat, kebenaran ramalan atas sesuatu pada masa yang akan datang, kisah-kisah manusia yang tidak dapat kita ingkari misalnya kisah tentang kaum Yahudi yang menyatakan cintanya kepada Allah SWT tetapi tidak mahu mati. Orang yang mendengarkannya pasti akan terpesona dengan bacaannya dan yang membacanya tidak akan berasa penat.

     Adalah kenyataan, bagaimana indahnya sepucuk surat dari orang yang kita cintai, tetapi jika dibaca berulang-ulang lama-lama pasti akan bosan juga. Kalau tidak pada kali yang kesepuluh, maka pada kali kedua puluh atau pada kali yang keempat puluh. Sebaliknya, jika kita menghafal satu ayat dari Al-Quran, kita akan membacanya hingga ratusan kali sepanjang umur kita, dan kita tidak akan berasa jemu dan letih. Jika ada sesuatu yang menghalangnya, hal itu hanya sementara sahaja. Pada kenyataannya, lebih banyak kita membaca Al-Quran maka akan lebih banyak ditemui keindahan dan kepuasan. Walaupun sebahagian kecil sahaja yang kita nilai, kita akan memujinya, apalagi jika seluruhnya pastilah akan mendapatkan kepuasan yang sempurna dan megah.

     Marilah kita lihat diri kita sendiri, berapa banyak orang yang berasa bangga dengan membaca Al-Quran? Adakah seorang hafiz mendapat penghormatan yang besar dari kita? Malangnya, penghormatan kita hanya berdasarkan ijazah dan sijil serta pangkat, pada kesombongan dan kecongkakan dunia dan pada harta kekayaan yang pasti akan kita tinggalkan di belakang hari jika maut menjemput. Kepada Allahlah kita mengadu.


F. Kehebatan Al-Quran

Allah SWT telah mengurniakan ke atas hamba-hambaNya dengan mengutuskan NabiNya (Muhammad) dan menurunkan kitabNya (Al-Quran) yang tiada didatangi kebatilan dari hadapan atau dari belakang, sehingga terbentang luas bagi para ahli fikir jalan mengambil ikhtibar atau contoh tauladan daripadanya; iaitu disebabkan ia mengandungi banyak cerita dan berita.

     Ibn Mas'ud r.a. telah berkata: "Sekiranya kamu inginkan ilmu pengetahuan, maka pelajarilah Al-Quran, kerana sesungguhnya Al-Quran itu mengandungi ilmu-ilmu para ahli yang terdahulu dan yang terkemudian."

     Allah SWT berfirman tentang kehebatan Al-Quran iaitu:

     "Kalau sekiranya kami turunkan Al-Quran ini kepada
     sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk
     terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah,
     dan perumpamaan-perumpamaan itu kami buat untuk
     manusia supaya mereka berfkir."

(Q.S Al-Hasyr [59]: 21)

     Al-Quran ialah Kalamullaah yang merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Rasulullah SAW sebagai salah satu rahmat Allah SWT bagi alam semesta; menjadi sumber yang utama dan pertama bagi ajaran Islam. Di dalamnya terkumpul wahyu Ilahi yang menjadi petunjuk, panduan dan pelajaran bagi kebahagiaan hidup manusia.

     Sebagai sebuah mukjizat Allah SWT yang memberikan banyak keutamaan bagi orang yang mempelajari dan membacanya, antaranya:


1. Pahala Yang Besar

Dari Ibnu Mas'ud, katanya: Rasulullah SAW bersabda, "Bagi sesiapa pembaca satu huruf dari kitab Allah SWT maka baginya satu kebaikan itu dibalas sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf; tetapi alif satu huruf; lam satu huruf dan mim satu huruf."

     Dari Aisyah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda, "Orang yang membaca Al-Quran, dengan mahir, kelak mendapat tempat dalam syurga bersama-sama dengan para Rasul yang mulia dan orang yang membaca Al-Quran, tetapi tidak mahir, membacanya tertegun-tegun dan tampak agak berat lidahnya (belum lancar) ia akan mendapat dua pahala."

     Ali bin Abi Talib mengatakan bahawa setiap orang yang membaca Al-Quran dalam solatnya akan mendapat pahala 50 kebajikan untuk setiap huruf yang dilafaznya, membaca Al-Quran di luar solat dengan berwudhu 25 kebajikan dan membaca Al-Quran di luar solat tanpa wudhu 10 kebajikan.


2. Memberikan cahaya

Allah SWT berfirman:

     "Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Al-
     lah, dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah
     Allah menunjuki orang-orang yang mengikut kered-
     haan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu
     pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap
     gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan
     seizin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus."

(Q.S Al-Ma'idah [5]: 15-16)

     Dari Anas, Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tanggamu dengan sembahyang dan dengan membaca Al-Quran."

     Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Daruqutni dari Anas, Rasulullah SAW memerintahkan: Perbanyaklah membaca Al-Quran di rumahmu, sesungguhnya di dalam rumah yang tidak ada orang membaca Al-Quran, akan sedikit sekali dijumpai kebaikan di rumah itu, dan akan banyak kejahatan, serta penghuninya selalu merasa sempit dan susah.


3. Mendapatkan Sakinah

Allah SWT berfirman:

     "Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu
     pengajaran dari Tuhanmu dan ubat bagi penyakit-pe-
     nyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta
     rahmat bagi orang-orang yang beriman."

(Q.S Yunus [10]: 57)

     Seterusnya, Allah SWT berfirman:

     "Dan kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menja-
     di penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman
     dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-
     orang yang zalim selain kerugian."

(Q.S Al-Israa' [17]: 82)

     Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah berkumpul satu kaum di salah satu rumah Allah SWT seraya membaca kitab Allah SWT dan mempelajarinya di antara mereka, kecuali turunlah ketenangan atas mereka, serta mereka diliputi rahmat, dikerumuni para malaikat dan disebut-sebut oleh Allah SWT kepada para malaikat dihadapan-Nya.

     Rasulullah SAW bersabda: "Kepada kaum yang sudah berjamaah di masjid, membaca Al-Qur'an secara bergiliran dan belajar mengajarkannya terhadap sesamanya, akan turunlah kepadanya ketenangan dan ketenteraman, akan berlimpah kepadanya rahmat dan mereka akan dijaga oleh malaikat, juga Allah SWT akan mengingati mereka.

     Pernah suatu ketika, datang seseorang kepada sahabat Rasulullah SAW yang bernama Ibnu Mas'ud untuk meminta nasihat. Dia berkata: "Wahai Ibnu Mas'ud! Berikanlah penawar yang dapat aku jadikan ubat bagi jiwaku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini aku berasa tidak tenteram, fikiranku kusut, makan tidak sedap, tidur pun tidak nyenyak. Maka Ibnu Mas'ud pun berkata: kalau itu penyakit yang kau alami, maka bawalah hatimu mengunjung tiga tempat iaitu pertama tempat orang membaca Al-Quran, engkau baca Al-Quran atau Engkau dengar orang membacanya. Kedua, Engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hati kepada Allah SWT. Ketiga, Engkau cari waktu dan tempat yang senyap, disana engkau berkhalwat (menyendiri) menyembah Allah SWT, umpamanya di tengah malam engkau bangun mengerjakan solat malam, dan memohon kepada Allah SWT ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurnian hati. Seandainya jiwamu belum juga tenang dengan cara ini, Engkau minta kepada Allah SWT agar diberi-Nya hati yang lain, sebab hati yang ada bukan lagi hatimu.

     Setelah orang itu kembali ke rumahnya, dia amalkan nasihat Ibnu Mas'ud itu. Dia berwudhu' kemudian dibacanya Al-Quran dengan hati yang khusyuk. Selesai membaca berubahlah kembali jiwanya menjadi tenang dan tenteram, fikirannya jernih, kegelisahannya hilang sama sekali.

     Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT,

     "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka
     menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah
     hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram."

(Q.S Ar-Ra'd [13]: 28)


4. Mendapatkan Keberkatan

Allah SWT berfirman,

     "Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepada-
     mu penuh dengan berkat supaya mereka memperhati-
     kan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang mem-
     punyai fikiran mendapat pelajaran."

(Q.S Saad [38]: 29)

     Kehebatan hidup para sahabat Rasulullah SAW setelah mereka mengenal Islam, salah satunya ditentukan oleh interaksi mereka yang sangat baik terhadap Al-Quran.


5. Mendapat petunjuk

Allah SWT berfirman:

     "... Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran)
     untuk menjelaskan segala sesuatu dengan ptunjuk serta
     rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang ber-
     serah diri."

(Q.S An-Nahl [16]: 89)

     Allah SWT berfirman:

     "Al-Quran adalah penerang bagi seluruh manusia dan
     petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertak-
     wa."

(Q.S Ali Imran [3]: 138)

     Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW mengatakan: Bagi sesiapa mempelajar Kitabullah, kemudian diamalkan isinya, Allah SWT akan mengeluarkannya dari kesesatan dan akan dipeliharanya pada hari kiamat dari seksa yan g berat.

     Kisah masuk Islamnya Umar bin al-Khattab setelah beliau mendengar beberapa ayat Al-Quran yang dibaca adiknya. Begitu juga dengan cerita Yusuf Islam, Irene Handoko, dan lainnya mendapatkan hidayah yang membawa mereka memeluk Islam setelah mempelajari Al-Quran.


6. Martabat Yang Tinggi Di Dunia

Dari Uthman bin Affan, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya."

     Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan seorang mukmin yang membaca Al-Quran seperti buah utrujah, baunya harum dan rasanya manis. Perumpamaan seorang mukmin yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah kurma, tidak mempunyai aroma namun rasanya manis. Perumpamaan seorang munafik yang membaca Al-Quran adalah bunga raihanah aromanya harum namun rasanya pahit dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran adalah buah hanzalah tidak mempunyai aroma dan rasanya pahit."

     Generasi sahabat adalah generasi terbaik sepanjang peradaban. Mereka menjadi orang-orang yang cemerlang dan unggul sama ada duniawi mahupun ukhrawi. Salah satu kunci dari kejayaan mereka adalah interaksi mereka terhadap Al-Quran yang sangat tinggi sama ada kuantiti mahupun kualiti.


7. Mendapatkan Syafa'at

Bacalah Al-Quran, kerana ia akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafa'at bagi pembacanya.

     Dari An-Nawwas bin Sam'an, beliau berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Didatangkan pada hari Kiamat Al-Quran dan para pembacanya yang mereka itu dahulu mengamalkannya di dunia, dengan didahului oleh Surah Al-Baqarah dan Ali Imran yang membela pembaca kedua surah ini."

     Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW mengatakan: Bagi sesiapa mempelajari Kitabullah, kemudian diamalkan isinya. Allah SWT akan mengeluarkannya dari kesesatan dan akan dipeliharanya pada hari kiamat dari seksa yang berat.


8. Kedudukan Tinggi di Akhirat

Dari Abdullah bin Amru bin Al-'As, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Dikatakan kepada pembaca Al-Quran: "Bacalah, naiklah dan bacalah dengan perlahan sebagaimana yang telah kamu lakukan di dunia, kerana kedudukanmu adalah pada akhir ayat yang kamu baca."

     Dari Aisyah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang membaca Al-Quran, dengan mahir, kelak mendapat tempat dalam syurga bersama-sama dengan para Rasul yang mulia dan orang yang membaca Al-Quran, tetapi tidak mahir, membacanya tertegun-tegun dan tampak agak berat lidahnya (belum lancar) ia akan mendapat dua pahala."

     Begitu banyak keutamaan yang Allah SWT berikan bagi orang yang membaca dan mempelajari Al-Quran sehingga wajar kalau dalam beberapa riwayat diceritakan bahawa para sahabat berlumba-lumba untuk mengkhatamkan Al-Quran.

     Ibnu Umar pernah bertanya kepada Rasulullah SAW berapa kali saya harus mengkhatamkan Al-Quran?" Rasulullah SAW menjawab, "Khatamkanlah dalam satu bulan." "Saya boleh lebih cepat dari itu" kata Ibnu Umar, "Kalau begitu, setiap dua puluh hari," jawab Rasulullah SAW. "Saya masih lebih cepat dari itu," tambah Ibnu Umar. "Kalau begitu dalam lima belas hari lalu sepuluh hari." "Saya masih lebih cepat dari itu," kata Ibnu Umar. "Kalau begitu lima hari," lalu Rasulullah SAW tidak melanjutkan lagi.

     Meskipun demikian, Rasulullah SAW menganjurkan dalam membaca Al-Quran diserta tadabbur dan tafakkur pada isi dan makna ayat-ayatnya. Dalam salah satu hadisnya Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa mereka yang membaca Al-Quran hingga khatam selama kurang dari tiga hari termasuk orang yang kurang faqih."

     
G. Sebagai Penolong

Sebuah hadis Rasulullah SAW Dari Atha bin Abi Rabah berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Bagi sesiapa membaca Surah Yasin pada permulaan hari, maka segala keperluannya pada hari itu akan dipenuhi."

     Kelebihan membaca Surah Yasin telah diterangkan dalam beberapa hadis. Antara lain dikatakan, "Segala sesuatu memiliki hati, dan hati Al-Quran ialah Surah Yasin. Sesiapa yang membaca surah Yasin, maka Allah SWT akan menuliskan pahala baginya seumpama dia membaca seluruh Al-Quran sebanyak sepuluh kali."

     Rasulullah SAW bersabda Dari Ibnu Masud berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Bagi sesiapa yang membaca Surah Al-Waqi'ah setiap malam, maka tidak akan ditimpakan kefakiran kepadanya selama-lamanya." Ibnu Masud pun menyuruh anak-anak perempuannya agar membaca surah ini setiap malam.

     Keutamaan membaca surah Al-Waqi'ah ini telah disebutkan pula dalam beberapa riwayat hadis lain. Sebuah riwayat menyebutkan, "Bagi sesiapa membaca surah Al-Hadid, Al-Waqi'ah dan Al-Rahman, maka akan digolongkan sebagai penghuni Jannatul Firdaus (tingkat syurga paling tinggi). Dalam hadis yang lain dikatakan, "Surah Al-Waqi'ah adalah surah al-Ghina (kekayaan). Bacalah ia dan ajarkanlah kepada anak-anakmu." Dalam riwayat yang lain dikatakan, "Ajarkanlah ia kepada isteri-isterimu. Aisyah r.a. sangat mementingkan membaca surah ini. Tetapi kita yang lemah ini hanya membacanya untuk keuntungan dunia yang tidak seberapa. Padahal jika dibaca untuk kepentingan rohani dan akhirat, dengan sendirinya keuntungan dunia akan datang.

     Banyak lagi keunggulan Al-Quran disebutkan dalam beberapa hadis, tetapi penulis hanya membincangkan beberapa hadis berkenaan kehebatan Al-Quran.


1. Sebagai Ubat

Imam Abul Qasim berkata: "Seorang antara anakku jatuh sakit sehingga dia hampir menemui maut. Ketika aku bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan aku memberitahu mengenai keadaan anakku. Baginda berkata:

     "Mengapakah kamu tidak ambil berat pada ayat-ayat Syifa'? Mengapa kamu tidak amalkan ayat-ayat itu dan memohon (kepada Allah SWT) disembuhkan?" Setelah terjaga aku mula memikirkan mimpi itu. Apabila meneliti, aku menemui ayat-ayat itu pada enam tempat, iaitu: Surah At-Taubah ayat 14, Surah Yunus ayat 57, Surah An-Nahl ayat 69, Surah Al-Israa' ayat 82, Surah Asy-Syu'ara' ayat 80 dan Surah Fusilat ayat 44.

     Aku menulis ayat-ayat ini dan melarutkan tulisannya dalam air bersih (minuman) dan memberi anakku minum. Alhamdulillah, anakku serta merta sihat seperti sediakala."

Dalam Kutubus Sittah (Enam buah kitab hadis yang sahih) diceritakan bahawa para sahabat pernah membaca Surah Al-Fatihah dan meniupkannya kepada orang yang digigit ular atau kala jengking, bahkan kepada orang yang lumpuh dan orang yang hilang ingatan, dan Rasulullah SAW sendiri membolehkannya. Ada satu riwayat yang menegaskan bahawa Rasulullah SAW pernah membaca surah ini lalu meniupkannya kepada Said bin Yazid dan menyapu dengan air liurnya di tempat yang sakit. Berdasarkan hadis ini, apabila seseorang membaca Surah Al-Fatihah ketika hendak tidur maka akan dijauhkan dari segala bahaya, kecuali maut.


2. Ubat Terkena Sihir

Rasulullah SAW memberi petunjuk kepada kita bagaimana untuk kita menghindari dari tipu helah, hasad dengki, adu domba, fitnah dan seumpamanya dari golongan yang sentiasa memusuhi orang-orang yang berusaha di atas jalan agama. Antaranya yang terkandung dalam risalah kecil ialah "Manzil" yang merupakan himpunan pilihan ayat-ayat Al-Quran yang telah diajar oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat.

     Manzil merupakan ayat penyembuhan beberapa jenis penyakit zahir dan batin serta pelindung dari serangan sihir atau ilmu syaitan. Manzil merupakan bekalan yang ampuh bagi menghadapi segala macam serangan mereka yang berpunca dari sifat mazmumah.

     Justeru itu manzil ini mengandungi khasiat serta kebaikan bagi mereka yang beristiqamah serta tekun mengamalkan. Disebut di dalam hadis sahih yang dicatatkan dalam sebuah kitab "Hayatus-sahabat" (Jilid ke 3, muka surat 334) hadis tersebut bermaksud seperti berikut: Ubai Ibn Kaab meriwayatkan: Sewaktu bersama Rasulullah SAW, seorang badwi, telah datang kepada baginda dan berkata, "Ya Rasulullah, saya mempunyai seorang saudara yang ditimpa penyakit."

     "Penyakit apa?" Rasulullah SAW bertanya, "Sejenis gila" orang itu menjawab.

     Rasulullah SAW menyuruh orang itu membawa saudaranya. Kemudian baginda membaca Surah Al-Fatihah, 4 ayat pertama Surah Al-Baqarah. Ayat yang bermula dengan Wailahukum ilahuw wahid... ayat Kursi dan dua ayat seterusnya, 3 ayat terakhir Al-Baqarah, ayat Syahidallah annahu... ayat 116 dari surah al-Mukminun (Fata'alallahuu malikul haq...), ayat dari Surah Al-Jin (Wa annahu ta'ala), sepuluh ayat pertama Surah As-Safat, tiga ayat terakhir dari Surah Al-Hasyr, Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Selepas itu orang yang sakit itu bangun dan pergi dari situ. Penyakit yang dideritainya hilang."

     Menyentuh mengenai fadilat Manzil ini, ia mempunyai banyak kebaikan dan terbukti pada mereka yang mengamalkannya. Dari pengalaman kebanyakan orang yang mengamalkannya, manzil ini sangat mustajab untuk menyembuh penyakit khususnya yang ada kaitan dengan sihir dan kerasukan jin.

     Kaifiat menggunakan Manzil ini dengan cara pesakit itu membaca sendiri ayat-ayat tersebut ataupun orang lain membacakannya dan menghembus ke atas segelas air atau sebaldi air kemudian air itu diminum atau dimandikan kepada pesakit.


3. Ubat Terkena Jin

Dikeluarkan oleh Ahmad dan Abu Ya'la daripada Abu At-Taiiyah katanya: "Aku telah berkata kepada Abdul Rahman Al-Khabasi At-Taimimi: "Adakah kamu sempat menemui Rasulullah?" Abdul Rahman berkata: "Ya", Aku berkata: Bagaimanakah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada malam ia dipermain-mainkan oleh Jin." Katanya: "Sesungguhnya syaitan telah turun pada malam itu ke atas Rasulullah SAW di wadi-wadi dan lembah-lembah. Dalam kalangan mereka terdapat syaitan yang memegang puntung api di tangannya untuk membakar wajah Rasulullah SAW. Maka Jibril telah turun kepada Rasulullah SAW dan berkata padanya: "Ya Muhammad katakanlah (apa yang aku katakan)

     "Aku berlindung dengsn kalimah-kalimah Allah yang
     sempurna dari keburukan yang telah diciptakan yang
     melata dan bebas. Dan dari keburukan apa yang turun
     dari langit dan keburukan yang menuju padanya. Dan
     dari keburukan fitnah-fitnah malam dan siang. Dan
     dari keburukan setiap yang datang pada waktu malam
     kecuali yang datang dengan kebaikan. Ya Rahman."

     Katanya: "Api yang berada di tangan syaitan tersebut terpadam. Allah SWT telah memecah belahkan syaitan-syaitan tersebut."

     Al-Mundziri berkata dalam At-Targhib: "Setiap riwayat mempunyai isnad yang jaiyyid yang boleh berhujah dengannya." Telah diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al-Muwatta' daripada Yahya bin Sa'id - mursal.

     Diriwayatkan oleh An-Nasa'i daripada hadis Ibnu Masud seumpamanya. Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah daripada Makwal dengan maknanya secara ringkas mengenai lafaz-lafaz Ta'awudz.

     Dikeluarkan oleh Ahmad, Al-Hakim dan At-Tirmidzi dalam Ad-Da'waat daripada Ubai bin Ka'ab katanya: "Aku berada di sisi Rasulullah apabila seorang Arab Badwi datang menemuinya dan berkata: "Ya Nabi Allah, aku mempunyai saudara lelaki yang menghidapi penyakit." Tanya Rasulullah SAW, "Apakah yang menyakitkannya?" Jawabnya: "Ia terkena gangguan jin." Sabda Rasulullah SAW: "Bawalah dia menemuiku." Lalu lelaki badwi itu membawa saudara lelakinya menemui Rasulullah SAW dan meletakkannya di hadapan baginda Rasulullah SAW, seterusnya Rasulullah SAW berta'awudz dan membaca Surah Al-Fatihah dan empat ayat pertama dalam Surah Al-Baqarah, ayat Kursi, tiga ayat terakhir Surah Al-Baqarah, ayat 18 Surah Ali Imran, ayat 54 Surah Al-A'raaf, ayat 116 Surah Al-Mukminun, ayat 3 Surah Al-Jin, Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Naas, lalu lelaki itu bangun seolah-olah tidak terkena apa-apa. (Kanz) inilah susunan ayat-ayat yang digunakan oleh Rasulullah SAW untuk menghalau jin.


4. Selamat daripada Perompak

Wahab bin Munabbih bercerita, "Di Kuffah ada seorang pemikul barang yang sangat dipercayai oleh orang-orang kerana sifat amanahnya, dia membawa barang dagangan para pedagang, wang, dan lain-lain sebagainya.

     Pada suatu hari, ketika berada dalam perjalanan, dia bertemu dengan seorang lelaki dan bertanya kepadanya, "Akan pergi ke mana anda?"

     "Ke suatu bandar," jawab pemikul itu.

     Lelaki itu berkata, "Saya juga akan pergi ke sana. Saya tidak sanggup berjalan kaki bersamamu. Apakah saya dibolehkan untuk menunggang keldaimu dengan bayaran satu dinar?"

     Pemikul itu bersetuju lalu lelaki itu menunggang keldai. Di tengah jalan, mereka mendapati dua persimpangan jalan. Orang itu bertanya, "Jalan mana yang akan engkau lalui?" Pemikul itu memberitahu bahawa dia akan menuju ke arah jalan awam.

     Tetapi lelaki itu berkata, "Jalan yang satu ini lebih dekat dan banyak kemudahan bagi keldai ini, sebab banyak sekali rumput tumbuh di sana."

     Pemikul itu berkata, "Tapi saya belum pernah melalui jalan ini." Lelaki itu berkata lagi, "Saya sering melaluinya."

     "Baiklah," Kata si pemikul setuju, "Kita ikut jalan ini sahaja."

     Beberapa saat kemudian, mereka berdua sampai di sebuah jalan buntu di sebuah hutan tebal yang menyeramkan. Di sana terdapat banyak sekali mayat berserakan. Orang itu turun dari keldai sambil mengeluarkan senjata tajam berniat hendak membunuh si pemikul. "Janganlah lakukan hal itu." Kata si pemikul, "Ambillah keldai dan barang-barang ini kalau itu keinginanmu, tapi jangan bunuh saya." Namun lelaki itu tidak mengendahkannya bahkan bersumpah akan membunuh si pemikul terlebih dahulu sebelum mengambil semua barangnya.

     Pemikul itu memohon belas kasihan, namun orang zalim itu sama sekali tidak menghiraukanny. "Baiklah," kata si pemikul, "Kalau begitu, izinkanlah saya  melaksanakan solat dua rakaat untuk yang terakhir kalinya."

     Lelaki itu berkata sambil tertawa mengejek, "Cepat lakukan solat, mayat-mayat ini juga mengajukan rayuan yang sama, namun solatnya sama sekali tidak memberi faedah apa pun."

     Pemikul itu mula melaksanakan solat, namun setelah membaca Surah Al-Fatihah, dia tidak dapat mengingat satu surah pun, sedangkan lelaki itu menyuruh si pemikul agar mempercepat solatnya. Tanpa disengaja mulut si pemikul mengucapkan sepotong ayat seperti di bawah ini:

     "Atau siapakah yang mengabulkan (doa) orang yang da-
     lam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang
     menghilangkan kesulitannya."

(Q.S. An-Naml [27]: 62)

     Dia membaca ayat tersebut sambil menangis. Tiba-tiba muncullah seorang penunggang kuda memakai topi besi yang gemerlapan. Dia menikam si zalim itu hingga mati. Dari tempat jatuhnya si zalim itu keluarlah nyala api. Tanpa sedar orang yang solat itu jatuh bersujud dan bersyukur ke hadrat Allah SWT. Setelah bersolat, dia berlari mengejar penunggang kuda tadi dan berkata, "Demi Allah! Beritahu saya, siapakah engkau dan dari manakah engkau datang?" Penunggang kuda itu menjawab, "Saya adalah penjaga ayat yang engkau baca tadi. Sekarang engkau selamat, silakan engkau pergi ke mana sahaja engkau suka." Setelah berkata demikian, dia pun pergi.


5. Sahabat Membaca Al-Quran

Ketika Zurarah bin Aufa sedang solat di dalam masjid, tatkala sampai pada ayat:

     "Apabila ditiup sangkakala, Maka waktu itu adalah waktu
     (datangnya) hari yang sulit."

(Q.S Al-Muddathir [74]: 8-9)

     Ia terjatuh dan lalu meninggal dunia, lalu orang-orang membawanya ke rumahnya.

     Begitu juga dengan Khulaid, ketika ia membaca ayat,

     "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemu-
     dian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan."

(Q.S Al-Ankabuut [29]: 57)

     Iapun mengulang-ulang ayat tersebut. Tiba-tiba terdengar suara dari tepi rumahnya, "berapa kali kamu hendak mengulang ayat itu? Bacaaanmu telah menyebabkan kematian empat jin."

     Kisah lainnya mengenai seseorang yang ketika sedang mengerjakan solat, sampailah ia pada ayat yang berbunyi;

     "Di tempat itu (Padang Mahsyar), tiap-tiap diri merasa-
     sakan pembalasan dari apa yang telah dikerjakannya
     dahulu dan mereka dikembalikan kepada Allah pelind-
     ung mereka yang sebenarnya dan lenyaplah dari mer-
     eka apa yang mereka ada-adakan."

(Q.S Yunus [10]: 30)

     Tiba-tiba sahaja ia menjerit dan menggelepar hingga meninggal dunia.









N / F : DARIPADA "5 PENAWAR PENYAKIT HATI", OLEH MOHAMMAD ZAKI.

No comments:

Post a Comment