Monday 6 March 2017

KELEBIHAN ANAK SOLEH






KELEBIHAN ANAK SOLEH








Anak soleh adalah manusia unik yang berbeza daripada kebanyakan manusia lain. Bukan bermakna mereka berbeza daripada segi fizikal ataupun akal. Perkara yang membezakan mereka daripada manusia lain adalah kelebihan mereka dalam pelbagai hal kerana berjaya membentuk diri mereka menjadi orang yang istimewa di hadapan Allah SWT. Antara kelebihan yang mereka peroleh adalah:


Doanya Dikabulkan

Seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan anak yang soleh tidak akan khuatir dan tidak akan takut dengan kematiannya. Ini kerana, anak yang soleh akan sentiasa memerhatikannya dengan mengalirkan pahala dan doanya. Walaupun ibu bapanya sudah tidak dapat melakukan amal lagi. Doanya pasti dikabulkan kerana sudah dijamin oleh Rasulullah SAW yang menjelaskan:

     "Apabila manusia mati, terputuslah amalannya kecuali tiga
     perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak
     soleh yang mendoakannya."

(Hadith ini direkodkan oleh Muslim)


Menjadi Wasilah Dipanjangkan Umur Ibu Bapanya

Sebuah nama yang tercata dengan dakwat emas sebagai orang yang layak dicontohi seharusnya menjadi cita-cita setiap orang. Ini kerana, walaupun sudah meninggal dunia, namanya menjadi sebutan sampai bila-bila. Nama tokoh-tokoh umat yang namanya dihiasi dengan amal soleh masih disebut-sebut oleh masyarakat. Contohnya, Imam Syafie, Bilal bin Rabah, Umar bin Abdul 'Aziz, Shalahuddin Al-Ayyubi, dan ramai lagi tokoh lainnya yang umurnya panjang. Walaupun sudah meninggal dunia, mereka masih dapat memberi inspirasi, ilmu, dan contoh teladan kepada orang yang masih hidup seolah-olah mereka masih hidup di tengah-tengah kita.

     Begitu juga bagi seseorang yang mempunyai anak-anak soleh. Umurnya akan dipanjangkan oleh Allah SWT kerana namanya akan sentiasa dikenang dan didoakan. Menjadi satu keuntungan yang luar biasa kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang soleh. Menurut Abu Darda' r.a., Rasulullah SAW berkata:

     "Sesungguhnya Allah tidak akan menangguhkan umur
     seseorang apabila sampai ajalnya. Penambahan umur itu hanya
     apabila Dia menganugerahkan keturunan yang soleh kepada 
     seorang hamba. Ibu bapanya didoakan, maka sampailah
     doanya ke alam kuburnya."

(Hadith ini direkodkan oleh Hakim)


Mengangkat Darjat Ibu Bapa di Sisi Allah SWT

Allah SWT mengangkat darjat seseorang disebabkan oleh amalan baiknya sendiri dan juga kerana amalan orang lain. Hak itu ada pada Allah SWT dan dianugerahkan-Nya kepada hamba-hamba yang dipilih-Nya. Antara mereka yang dipilih oleh Allah SWT untuk diangkat darjatnya adalah orang yang mempunyai anak-anak soleh walaupun dia tidak memiliki amal kebaikan seperti yang dimiliki oleh anaknya. Anaknya menjadi anak soleh kerana asuhan dan didikan ibu bapanya. Jadi, memang wajar orang yang mempunyai anak soleh diangkat darjatnya di sisi Allah SWT.

     Hal itu berdasarkan hadith yang direkodkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW juga menjelaskan:

     "Selepas meninggal dunia, darjat seseorang masih dapat
     diangkat. Orang yang sudah meninggal dunia yang menyedari
     darjatnya diangkat akan berkata, "Ya Allah, apa ini?" Maka 
     akan dijawab, "Itu adalah kerana anakmu selalu meminta
     keampunan untukmu."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)


Menjaga Keluarga daripada Neraka

Anak soleh akan berusaha menjaga keluarganya, termasuk ibu bapanya daripada masuk ke dalam neraka. Dia tidak akan membiarkan orang terdekat sesat dalam perbuatan yang tidak diredhai Allah SWT. Dia akan mengajak mereka beribadah kepada Allah SWT dan meninggalkan kekufuran dan kemusyrikan. Dia sentiasa mengharapkan ibu bapanya selalu bersamanya, baik di dunia mahupun di akhirat nanti. Para sahabat Baginda selalu mengutamakan orang terdekat dengan mereka seperti ibu bapa, saudara, dan keluarga untuk diajak memeluk agama Islam. Tujuannya adalah supaya keluarga mereka terhindar daripada neraka.

     Mereka sangat memerhatikan perintah Allah SWT:

     "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan
     keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah
     manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar,
     garang, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang
     diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa
     yang diperintahkan."

(Surah At-Tahrim, ayat 6)

Membentuk Anak Soleh

Anak soleh tidak akan tumbuh dengan sendirinya. Anak soleh perlu dipersiapkan dan dibentuk dengan teliti dan betul. Seorang anak yang lahir dan diharapkan menjadi soleh memerlukan proses yang baik daripada pelbagai sudut. Bermula dari rumah, keadaan sekeliling, pergaulan, sekolah, dan juga negaranya. Ibarat sebatang pokok, lurus ataupun bengkoknya dipengaruhi oleh pohon-pohon lain dan suasana alam di sekitarnya. Rasulullah SAW berkata:

     "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci), ibu
     bapanyalah yang menjadikannya beragama Yahudi, Nasrani,
     ataupun Majusi. Seperti binatang kuda yang hanya
     melahirkan kuda. Apakah kalian melihatnya melahirkan
     unta?"

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)

Dalam hadith di atas, Rasulullah SAW mengatakan seorang anak akan menganut apa sahaja yang dianuti oleh ibu bapanya. Maknanya seorang anak menjadi soleh ataupun 'salah' bergantung pada acuannya, iaitu ibu bapanya. Jadi, acuan yang baik perlu disediakan terlebih dahulu supaya semua yang dibentuk menjadi baik. Kuih yang bagus dan enak hanya keluar dari acuan yang juga bagus dan elok. Sebaliknya, seandainya acuannya buruk dan rosak, pasti kuih yang dihasilkan juga tidak elok mutunya.

     Ibu bapa perlu menjadi orang pertama melakukan segala kebaikan yang kelak akan diajarkan kepada anaknya kerana anak akan mencontohi apa yang dilakukan oleh ibu bapa. Contohnya, jikalau ibu bapa mahu anaknya rajin beribadah, ibu bapa perlu terlebih dahulu menjadi orang yang rajin beribadah. Sekiranya ibu bapa mahu anaknya hormat dan patuh kepadanya, mereka juga perlu memberi contoh dengan menunjukkan sikap hormat, patuh, dan berbuat baik kepada ibu bapa mereka sendiri. Sekiranya ibu bapa mahu anaknya menutup aurat dengan sempurna, mereka perlu memberi contoh dengan memakai pakaian yang menutup aurat. Walau bagaimanapun, agak sukar membentuk anak yang soleh sekiranya ibu bapa menampakkan perilaku yang salah di hadapan anak-anak mereka.

     Sebagai manusia, kita perlu tahu bahawa tidak ada ibu bapa yang mampu menjadi orang yang sempurna. Namun kekurangan dan kelemahan itu hendaklah tidak menjadikan ibu bapa putus asa dan kecewa bagi mendidik anak menjadi anak yang soleh. Anak-anak perlu faham, sebagai manusia, ibu bapa mereka mempunyai kekurangan dan kelemahan masing-masing. Itu sebabnya Allah SWT mengampuni orang yang berbuat salah kerana terlupa ataupun terpaksa. Rasulullah SAW berkata:

     "Sesungguhnya, Allah memaafkan umatku yang melakukan
     kesalahan dan lupa, serta melakukan sesuatu kerana terpaksa."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Baihaqi)

Namun, kekurangan dan kelemahan ibu bapa tidak dapat dijadikan alasan oleh anak-anak bagi melakukan kesalahan yang sama. Sekiranya ibu bapa melakukan kesalahan ataupun kekeliruan dalam berbuat sesuatu, segeralah bertaubat, meminta ampun atas kesalahannya itu, serta menunjukkan penyesalan dan memperbaiknya. Dengan cara itu, anak tidak akan mengikut langkah ibu bapanya yang keliru kerana dia faham ibu bapanya melakukan kesalahan bukan kerana sengaja, tetapi kerana lupa ataupun terpaksa.


Ciri-Ciri Anak Soleh

Ada dua ciri utama anak soleh. Pertama, memiliki keperibadian Islam ataupun syakshiyah Islamiyah. Kedua, melakukan birrul waaladain ataupun berbuat baik kepada ibu bapa.

     Seseorang belum dapat dikatakan anak soleh sekiranya melakukan hanya satu daripada dua perkara di atas. Sekiranya hanya berbuat baik kepada ibu bapa, tetapi tidak memiliki keperibadian Islam, itu belum dapat disebut soleh. Contohnya, ada seorang anak yang rajin dan tekun mengurus ibu bapanya, dan juga sangat menghormati ibu bapanya tetapi dia suka meninggalkan solat ataupun sering melakukan maksiat. Jadi, dia belum dapat dipanggil anak soleh. Begitu juga sebaliknya. Seandainya seorang anak itu rajin bersolat, mengaji setiap hari, puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, dan lain-lain, tetapi tidak berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa, malah sering menyakiti dan mengabaikan mereka, dia juga tidak dapat dipanggil anak soleh.

     Jadi, anak soleh perlu memiliki dua ciri penting ini, iaitu keperibadian Islam dan juga berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa. Keutamaan dan cara-cara berbakti kepada ibu bapa sudah dijelaskan dalam bab sebelum ini. Bab ini perlu menjelaskan cara-cara membentuk keperibadian Islam yang menjadi satu daripada ciri anak soleh.


Membentuk Keperibadian Islam

Keperibadian yang bercirikan Islam tidak tumbuh begitu sahaja dalam diri seorang anak. Keperibadian itu perlu ditanam dan dipupuk supaya tumbuh dan berkembang. Keperibadian Islam pada diri anak adalah ibarat tanaman padi yang perlu dijaga dengan baik supaya menghasilkan padi yang bermutu. Keperibadian Islam yang ditanam, dijaga, dan dipupuk akan menghasilkan perilaku yang baik. Manakalah keperibadian buruk akan tumbuh dengan sendirinya seperti lalang di tengah-tengah ladang. Lalang akan tumbuh subur walaupun tidak ditanam dan tidak dijaga. Tabiat buruk yang ada pada diri anak seperti menyalahgunakan dadah, bergaul bebas, dan lain-lain akan muncul dengan sendiri walaupun tidak diajar. Anak-anak akan mencari sendiri tabiat-tabiat buruk ini daripada lingkungan dan pergaulan mereka.

     Perilaku buruk mudah terbentuk pada diri anak tanpa perlu diajar. Apatah lagi sekiranya unsur-unsur kurang sihat itu ada di persekitaran mereka. Seperti yang kita saksikan dan alami hari ini, ramai anak berkelakuan buruk dan menjadi sampah masyarakat walaupun mereka tidak diajar melakukan hal-hal demikian. Perkelahian antara pelajar, pergaulan bebas, dan bersosial tidak pernah diajar di mana-mana sekolah. Tetapi, kenyataannya hampir setiap saat kita menyaksikan perkelahian sesama pelajar. Ramai remaja perempuan yang hamil luar nikah dan ramai juga remaja yang terjebak dalam pergaulan bebas, bersosial, dan penyalahgunaan dadah.

     Oleh itu, setiap ibu bapa perlu berusaha sedaya upaya supaya anak mereka menjadi anak soleh dengan memastikan anak-anak memiliki keperibadian Islam. Hanya keperibadian Islam yang dapat memelihara diri seseorang daripada perbuatan yang dilarang Allah SWT. Ini kerana, keperibadian Islam bersumberkan daripada akidah Islam yang meyakini kewujudan dirinya di dunia ini kerana diciptakan oleh Allah SWT. Selain itu, dia juga meyakini Allah SWT adalah sang pengatur kehidupan ini.

     Seseorang tidak boleh bebas melakukan sesuatu mengikut hawa nafsu. Akidah Islam juga menanamkan keyakinan bahawa selepas kehidupan dunia ini, ada kehidupan lain, iaitu kehidupan akhirat. Dalam kehidupan akhirat itu, manusia akan diminta bertanggungjawab atas segala perkara yang dilakukan semasa di dunia, sama ada perkara baik ataupun perkara buruk. Allah SWT menjelaskan:

     "Pahala daripada Allah itu bukanlah menurut angan-anganmu
     yang kosong dan tidak pula menurut angan-angan ahli Kitab.
     Sesiapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi
     pembalasan kejahatan dan tidak mendapat pelindung dan
     tidak pula penolong baginya selain daripada Allah. Sesiapa
     yang mengerjakan amal-amal soleh, sama ada lelaki ataupun
     perempuan sedang mereka orang yang beriman, maka mereka
     akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau
     sedikit pun."

(Surah An-Nisaak, ayat 123 hingga ayat 124)

Dengan memiliki cara hidup yang berlandaskan akidah Islam yang meyakini kewujudan hari pembalasan, seorang anak akan menjalani kehidupan dengan hati-hati. Dia takut perbuatannya bertentangan dengan perintah Allah SWT ataupun melanggar larangan-Nya. Dia juga takut melakukan kejahatan kerana tahu di akhirat nanti dia akan mendapat balasan atas apa yang dilakukannya semasa di dunia.

     Ibu bapa juga perlu sedar dan tahu mengapa ramai anak yang terpesong jauh daripada keperibadian Islam, sedangkan mereka beragama Islam. Ini kerana banyaknya kemasukan pengaruh budaya yang datang daripada luar Islam. Orang kafir berusaha keras mempengaruhi anak-anak muda hari ini dengan pelbagai jenis pemahaman dan pemikiran yang menjauhkan mereka daripada ajaran agama Islam. Serangan ini dilancarkan melalui budaya, muzik, filem, buku, media massa, bahkan perayaan-perayaan yang tidak pernah diajar oleh agama Islam seperti Hari Valentine, sambutan tahun baru, dan lain-lain.

     Semasa perayaaan Hari Valentine, anak-anak muda digalakkan supaya menyayangi pasangan kekasihnya yang selalunya bukan pasangan suami isteri ataupun keluarganya. Mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan budaya Islam, di mana Islam menyuruh umatnya menjaga pergaulan dengan lawan sejenis dan menjauhi hubungan seksual sebelum nikah. Tetapi, perkara sebaliknya dianjurkan oleh orang-orang kafir kepada para remaja Islam sehingga sukar membezakan antara orang Muslim dan bukan orang Muslim kerana pakaian, makanan, dan hobi mereka semuanya sama.

     Melalui lagu, filem, dan bahan bacaan bertemakan remaja anak-anak kita diajar untuk bercinta ala Romeo dan Juliet ataupun Rama dan Shinta, sehingga mereka tidak rasa bersalah untuk bergaul seperti suami isteri walaupun belum ada ikatan pernikahan yang sah. Malah yang lebih parah, ada istilah TTM iaitu Teman Tetapi Mesra iaitu hubungan tanpa status. Tidak ada apa-apa ikatan sah, tetapi sudah berani bermesra, Na'udzu billah.


Tiga Langkah Membentu Keperibadian Islam pada Anak

Ada tiga langkah penting yang perlu dilakukan oleh ibu bapa sejak anaknya lahir supaya menjadi anak soleh dan memiliki keperibadian Islam.


Menanam Akidah Islam dalam Diri

Hal paling awal yang perlu ditanam dalam diri anak adalah akidah Islam. Akidah Islam adalah asas bagi kehidupan seorang Muslim. Dengan berasaskan akidah Islam, seorang anak mampu membina pola kehidupan yang kukuh dan teratur. Anak juga akan mampu menimbang dan mengukur segala sesuatu dengan timbangan dan ukuran yang jelas kerana dengan akidah Islam, semua perkara dapat diselesaikan dengan tuntas. Ini adalah hal pertama yang dilakukan oleh Luqman Al-Hakim semasa mendidik anaknya. Perkara pertama yang dilakukannya adalah akidah Islam seperti yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran:

     "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya
     pada waktu dia memberi pelajaran kepadanya, "Hai anakku,
     janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya,
     mempersekutukan Allah adalah kezaliman yang besar."

(Surah Luqman, ayat 13)

Luqman mengajar anaknya asas awal yang kuat, iaitu mentauhidkan Allah SWT. Dengan asas tauhid ini, seseorang mampu melahirkan keperibadian yang kukuh, bukan keperibadian yang rapuh dan tidak jelas. Seseorang juga dapat menyelesaikan segala masalah hidup dengan mudah dan lancar. Apabila seseorang meyakini Allah SWT sebagai Tuhan dan bumi serta segala yang ada di atasnya adalah ciptaan Allah SWT, lahirlah kesedaran bahawa hanya Allah SWT yang berhak mengatur hidupnya. Segala perbuatannya sama ada baik ataupun buruk, hanya atas penilaian Allah SWT. Dia juga sedar hanya Allah SWT yang berhak mengatur kehidupannya kerana Allah SWT maha mengetahui berbanding dengan makhluk-makhluk-Nya dan Allah SWT tahu apa yang terbaik untuknya.

     Anak yang berakidah Islam faham dan sedar bahawa manusia tidak layak mengatur kehidupannya sendiri kerana manusia sama sekali tidak mempunyai kemampuan. Manusia punya keterbasan dan kelemahan, sedangkan Allah SWT memiliki segala-galanya kerana Dia adalah sang pencipta.

     Apabila keyakinan ini sudah tertanam dalam diri seorang anak, kehidupannya menjadi lebih teratur. Manakala orang yang tidak yakin dengan akidah Islam pula menjalani kehidupan berdasarkan kemahuan dan nafsunya sendiri. Apabila anak meyakini bahawa Allah SWT memiliki sifat maha melihat dan maha mendengar, dia tidak berani melakukan hal-hal yang dilarang walaupun bersendirian di tempat sunyi. Dia sedar Allah SWT sentiasa mendengar dan melihat perkara yang yang dia lakukan. Anak yang memiliki asas akidah Islam yang kuat tidak akan berani berbohong dengan orang lain walaupun orang yang dibohonginya itu tidak tahu dia berbohong kerana dia yakin Allah SWT maha mengetahui apa yang nyata dan apa yang tersembunyi. Dia yakin dengan apa yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran:

     "Dan jikalau kamu menguatkan suara dengan doa
     permohonanmu, maka yang demikian tidaklah perlu
     kerana sesungguhnya Dia tahu segala rahsia dan yang lebih 
     tersembunyi."

(Surah Ta Ha, ayat 7)

Dalam surah lain, Allah SWT menjelaskan:

     "Kecuali jikalau Allah mengkehendaki. Sesungguhnya Dia
     mengetahui yang terang dan yang tersembunyi."

(Surah Al-A'la, ayat 7)

Memiliki keyakinan atas dasar seperti inilah yang akan membuatkan anak menjadi seorang Muslim yang baik dan soleh. Sekiranya anak memiliki karakter seperti ini, ibu bapa tidak perlu bimbang anaknya akan melakukan hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT kerana hatinya sudah kuat menahan pelbagai bentuk serangan luar, sama ada serangan syaitan berbentuk manusia ataupun syaitan daripada golongan jin. Dia sudah memasang alat anti syaitan, iaitu ikhlas kerana Allah SWT berada dalam setiap langkah kehidupannya.


Mempraktikkan Akidah Islam dalam Kehidupan

Selepas anak kita memiliki akidah yang kukuh, dia akan menjadikan akidah Islam sebagai landas berfikirnya. Maksudnya, ketika dia berfikir tentang perjalanan kehidupan ini, dia akan menggunakan akidah Islam sebagai asasnya. Pengertian akidah Islam di sini secara khususnya adalah keyakinan bahawa Allah SWT adalah pencipta dan mengatur kehidupan manusia sehingga mereka tidak akan melakukan ataupun meninggalkan sesuatu kecuali berdasarkan aturan Allah SWT. Jadi, mereka akan menjalani kehidupan ini sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT, bermakna dia berada di jalan yang benar dalam hidupnya. Jalan hidup yang diajar oleh Allah SWT sahaja yang benar. Allah SWT menjelaskan:

     "Dan bahawa sesungguhnya, inilah jalan-Ku (agama
     Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu
     menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan
     yang lain daripada Islam, kerana jalan-jalan yang lain itu
     mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah, dengan
     yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya
     kamu bertakwa."

(Surah Al-An'am, ayat 153)

Imam Al-Mawardi mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan jalan yang lurus itu adalah Islam. Anak yang soleh perlu mengikuti jalan Islam dalam hidupnya. Yang dimaksudkan dengan jalan Islam pasti bukan dalam hal ibadah sahaja, tetapi juga merangkumi segala aktiviti hidupnya. Makan dan minumnya perlu bersesuaian dengan ajaran Islam. Tidak boleh makan ataupun minum yang tidak halal. Pakaiannya juga perlu sesuai dengan aluran Islam. Anak soleh tidak boleh memakai pakaian yang mengikut trend dan fesyen orang Barat yang banyak menunjukkan aurat. Pakaian Islam perlu mengutamakan penutupan aurat, bukan mengutamakan fesyen. Semasa mencari pekerjaan, anak yang soleh perlu memilih kerja yang halal. Bukan memilih kerja yang bergaji besar. Bekerja di bank, contohnya adalah haram dan harus dijauhi walaupun apabila dilihat sekali pandang bekerja di bank lebih bagus berbanding dengan bekerja di kilang. Mengapa kita perlu menghindari bekerja di bank? Kerana itu adalah pekerjaan haram. Rasulullah SAW berkata:

     "Sesungguhnya, Nabi Muhammad SAW melaknat sepuluh
     orang. Orang yang makan riba, yang mewakilinya, yang
     mencatatnya, dan yang menyaksikannya..."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bazzaar)

Seseorang anak soleh yang selalu menjadikan akidah Islam sebagai landasan ketika melakukan sesuatu, tidak akan tertarik ataupun terliur apabila mendapat gaji besar, tetapi diharamkan oleh Allah SWT. Dia akan berusaha melakukan kerja dengan cara yang halal. Akidah menuntunnya menjadi manusia yang berhati-hati dalam setiap langkah. Dia takut Allah SWT membencinya kerana hanya redha Allah SWT yang diharapkannya dalam segala sesuatu yang dilakukannya.


Mempelajari dan Memahami Syariah Islam

Ibu bapa perlu mengajar anak supaya sentiasa menjadikan syariah Islam sebagai panduan hidup. Anak perlu dibimbing supaya tidak mengikut cara hidup yang bertentangan dengan Islam kerana cara hidup itu tidak akan membawa kebahagiaan pada dirinya, malah membawa kesengsaraan. Anak yang soleh yakin bahawa syariah Islam mewujudkan kebahagiaan yang hakiki. Seberat mana pun yang diperintahkan syariat, pasti dilakukannya. Sebaliknya, semudah ataupun sebagus mana pun hal-hal yang bertentangan dengan Islam pasti dijauhinya. Dia yakin dengan penjelasan Allah SWT:

     "Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa,
     tentulah Kami akan membuka kepada mereka pintu
     pengurniaan yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit
     dan bumi. Tetapi, mereka mendustakan ayat-ayat Kami, lalu
     Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa
     yang mereka usahakan."

(Surah Al-A'raf, ayat 96)

Dalam ayat di atas, Allah SWT menjadikan iman dan takwa sebagai syarat utama diturunkan keberkatan dalam kehidupan sesuatu kaum. Maknanya, jikalau seseorang itu beriman dan bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya, iaitu dengan meyakini hanya Allah SWT yang perlu ditaati perintah-Nya dan dijauhi larangan-Nya. Sekiranya manusia menjalani kehidupan ini dengan menjadikan iman dan takwa sebagai asas, dia pasti memperoleh kejayaan.

     Dia tidak akan terpengaruh dengan pujuk rayu orang yang mengatakan, "Hidup pada zaman sekarang, jangankan cari yang halal, hendak cari yang haram pun susah." Ini adalah pemikiran orang yang lemah imannya. Anak soleh akan lebih mempercayai apa yang disampaikan oleh Allah SWT daripada kata-kata orang yang tidak punya apa-apa kerana yang memiliki rezeki itu adalah Allah SWT sahaja. Jikalau Dia berkehendak mengambilnya daripada seseorang, maka akan diambil-Nya rezeki itu.

     Sekiranya seseorang anak memiliki fahaman seperti di atasnya, insya Allah dia menjadi orang yang berhati-hati dalam menjalani kehidupan, ketika mencari rezeki ataupun dalam menjalani kehidupan, ketika mencari rezeki ataupun dalam apa juga keadaan sekali pun. Dia akan sentiasa mengikat dirinya dengan syariah Islam yang menjadi pegangannya dan keyakinannya kepada Allah SWT sebagai sang pencipta dan pengatur hidup manusia. Tetapi, seandainya dia tidak memahami hakikat sebenar kehidupan di dunia ini ataupun tidak menjadikan syariah Islam sebagai pedoman hidup, pasti dia akan menjalani kehidupan ini seseuka hatinya, ibarat sehelai bulu yang diterbangkan angin. Dia akan menjalani kehidupan tanpa arah sehingga ajal datang menjemputnya.

     Allah SWT menyebut orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan tidak menjadikan aturannya sebgaai aturan hidupnya seperti haiwan, bahkan lebih sesat daripada haiwan. Haiwan melakukan segala perbuatan sesuka hatinya kerana haiwan tidak berakal. Sedangkan manusia mempunyai akal fikiran yang dapat digunakan bagi memilih perbuatan yang baik dan yang buruk. Allah SWT menjelaskan:

     "Dan sesungguhnya, Kami jadikan neraka Jahanam banyak
     daripada jin dan manusia yang mempunyai hati, tetapi tidak
     mahu memahami dengannya ayat-ayat Allah, dan yang
     mempunyai mata, tetapi tidak mahu melihat dengannya bukti
     keesaan Allah dan yang mempunyai telinga, tetapi tidak mahu
     mendengar dengannya ajaran dan nasihat; mereka itu seperti
     binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah
     orang-orang yang lalai."

(Surah Al-A'raf, ayat 179)

Dalam kitab tafsirnya, Ibnu 'Ajibah menerangkan tentang maksud ayat di atas, "Orang-orang yang celaka dan akan dimasukkan ke dalam neraka memiliki ciri-ciri yang antaranya adalah mempunyai hati, tetapi tidak digunakan bagi memahami nasihat dan ayat-ayat Allah SWT. Mereka memiliki mata, tetapi tidak digunakan bagi melihat tanda-tanda keesaan Allah SWT dan kekuasaan-Nya sebagai sebuah i'tibar bahawa hanya perintah Allah yang perlu dipatuhi di dunia ini.

     Orang yang akan menjadi penghuni neraka juga memiliki telinga, tetapi tidak digunakan bagi mendengar ayat-ayat Allah SWT dan petunjuk-Nya dengan penuh kesungguhan. Mereka ini seperti haiwan kerana tidak mahu memahami erti kehidupan yang sebenar. Impian mereka hanya kesenangan hidup, mengenyangkan perut, dan memuaskan hawa nafsu semata-mata. Malah, mereka lebih sesat daripada binatang kerana binatang sendiri berusaha mencari hal-hal yang bermafaat baginya seperti mencari dan memakan rumput-rumput yang membuatnya sihat dan gemuk, serta menjauhi hal-hal yang membahayakannya seperti binatang buas. Sementara manusia yang berakal memilih menghantar dirinya ke pintu neraka dengan bermaksiat kepada Allah SWT yang menciptanya."

     Apabila sudah mempelajari dan memahami ayat-ayat Allah SWT, anak yang soleh akan menyedari bahawa dia perlu menjalani kehidupan ini sesuai dengan syariat Allah SWT iaitu syariat Islam. Dia tidak dapat mengikut ajaran lain kerana ajaran lain selain daripada ajaran Allah SWT hanya akan menyesatkan.


Menguatkan Cara Berfikir yang Berlandaskan Islam

Berfikir berlandaskan Islam adalah cara berfikir anak yang soleh. Namun, kualiti pemikiran setiap orang Islam itu berbeza antara satu sama lain. Hal ini bergantung kepada pemahaman keislaman yang dimiliki oleh setiap orang. Oleh sebab itu, anak-anak perlu digalakkan supaya meningkatkan pemahaman Islam dengan mempelajari ilmu-ilmu keislaman ataupun tsaqafah islamiah. Hal ini sesuai dengan perintah dalam Islam itu sendiri yang mewajibkan setiap orang Muslim menuntut ilmu:

     "Menuntut ilmu wajib bagi setiap Muslim."

(Hadith ini direkodkan oleh Ibnu Majah)

Kebodohan menjadikan seseorang berfikir pendek dalam menghadapi setiap persoalan. Ini membuatkan seseorang menyelesaikan setiap masalah yang menimpanya dengan cara yang perlu dilakukan. Contohnya, ketika dia memerlukan sesuatu tetapi tidak mempunyai duit yang cukup. Ada kemungkinan dia akan berfikir cara bagi mendapatkan duit itu dengan cepat dan mudah. Mungkin dia sanggup mencuri ataupun berhutang dengan cara yang tidak halal seperti meminjam daripada 'ah long'. Yang ada dalam fikirannya hanyalah bagaimana cara bagi mendapatkan duit dengan cepat. Padahal perbuatan seperti itu dilarang oleh agama. Apabila ditanya, "Mengapa awak melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah?" Dia menjawab dengan pendek, "Fikiran saya buntu."

     Inilah yang terjadi pada orang yang tidak memiliki ilmu ataupun kurang pengetahuan, sehingga tidak mampu menyelesaikan masalah dengan betul dan sesuai dengan ajaran Islam. Tetapi, sekiranya mempunyai ilmu yang cukup, dia akan menemui penyelesaian yang tepat dan benar untuk setiap masalah yang dihadapinya. Sekiranya dia mengalami masalah kewangan, dia akan menyelesaikannya dengan cara yang betul. Contohnya, dengan cara meminjam, tetapi dengan cara yang halal dan tanpa bunga. Sekiranya belum ataupun sukar mendapat jalan penyelesaian, dia bersabar kerana yakin setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Dia menyerahkan semua urusannya kepada Allah SWT dan yakin Allah SWT tidak membiarkan hamba-Nya berhadapan dengan masalah tanpa memberikan penyelesaian. Rasulullah SAW berkata:

     "Sesiapa yang mencari sesuatu yang ada di sisi Allah, maka
     langit menjadi payungnya dan bumi menjadi lantainya. Dia
     tidak mementingkan sesuatu daripada perkara dunia. Dia tidak
     menyemai tanaman, tetapi dia dapat makan roti. Dia tidak
     menanam pohon-pohon, tetapi dapat makan buahnya kerana
     dia bertawakal kepada Allah dan hanya mencari redha-Nya.
     Maka, Allah menjamin apa yang ada di langit dan di bumi
     menjadi rezekinya. Orang-orang yang berupaya memenuhi 
     keperluan dan datang kepada mereka dengan membawa rezeki
     yang halal. Allah memenuhi rezekinya tanpa perhitungan
     sehingga datang kepada mereka sesuatu yang pasti, iaitu
     kematian."

(Hadith ini direkodkan oleh Hakim)

Hadith di atas memberikan gambaran kepada kita bahawa Allah SWT pasti menjamin rezeki setiap manusia sehingga ajal datang menjemputnya. Maknanya, jikalau belum sampai ajalnya, seseorang itu tidak akan mati. Jadi, seseorang itu tidak boleh berharap kepada usahanya semata-mata ketika mahu menyelesaikan masalah. Usaha yang dilakukan perlu disertai dengan penyerahan sepenuhnya kepada Allah SWT. Jadi, dia tidak akan mudah terpengaruh bagi melakukan sesuatu yang mudah dan cepat, tetapi terlarang. Dia hanya akan menyelesaikan masalahnya dengan benar dan dengan redha Allah SWT.

     Hanya orang yang memiliki ilmu yang cukup yang mampu menyelesaikan masalah dengan bijak. Anak yang soleh perlu mempunyai kemampuan itu kerana ia adalah satu daripada keperibadian Islam dan ciri-ciri anak yang soleh. Namun, walaupun seseorang itu sudah memiliki ilmu keislaman yang mencukupi, belum tentu dia dapat menyelesaikan setiap masalah mengikut aturan Islam. Latihan dan kerja keras perlu bagi membiasakan diri menyelesaikan masalah dengan jalan yang benar sebagaimana yang diketahui dan difahami. Di sinilah perlunya kesinambungan bimbingan dan didikan ibu bapa, guru, persekitaran, dan juga negara supaya anak-anak dapat mengamalkan ilmu-ilmu itu dengan mudah dan lancar.


Sifat-Sifat Istimewa Anak Soleh

Anak soleh yang berkeperibadian Islam memiliki sifat istimewa berbanding yang lain. Sifat istimewa ini kekal dan menjadi perwatakan dirinya. Sekurang-kurangnya, ada 16 sifat Islam yang dianggap istimewa dalam diri anak soleh.


Berkeperibadian dan Mengamalkan Cara Hidup Islam

Anak soleh berkeperibadian Islam memahami erti sebenar hidup. Dia yakin bahawa kehidupan abadi adalah di akhirat sedangkan dunia hanyalah ladang bagi menanam sebanyak-banyak amalan yang hasilnya akan dituai di akhirat nanti. Dia mengejar akhirat tanpa meninggalkan dunia dan sentiasa mengingati penjelasan Allah SWT:

     "Dan tuntulah dengan harta kekayaan yang dikurniakan 
     Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan
     janganlah engkau melupakan bahagianmu, iaitu keperluan
     dan bekalanmu dari dunia dan berbuat baiklah kepada
     hamba-hamba Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu
     dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah
     dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi.
     Sesungguhnya, Allah tidak suka kepada orang-orang yang
     berbuat kerosakan."

(Surah Al-Qasas, ayat 77)

Pesan Rasulullah SAW tentang kehidupan dunia tidak pernah dilupakannya dan sentiasa dijadikan pedoman. Rasulullah SAW memberikan gambaran kehidupan dunia yang sementara supaya sekalian manusia tidak alpa dengannya. Baginda menegaskan:

     Menurut Ibnu Umar r.a., Rasulullah SAW memegang bahu
     saya seraya berkata, "Jadilah engkau di dunia seakan-akan
     orang asing ataupun pengembara." Ibnu Umar berkata, "Jikalau
     kamu berada pada waktu petang hari, jangan tunggu pagi hari,
     dan jikalau kamu berada pada waktu pagi hari, jangan tunggu
     petang hari, gunakanlah kesihatanmu untuk persiapan saat
     sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari dalam syarahan Ibnu Bathal)

Pesan Rasulullah SAW di atas sangat penting untuk direnungkan supaya kita tidak terjebak dan terlena dalam kehidupan dunia yang sementara dan penuh dengan fatarmogana kerana itulah yang akan membuatkan hidup kita celaka.


Berusaha Mencapai Kejayaan di Dunia dan Akhirat

Anak soleh berkeperibadian Islam mampu mencapai kejayaan dunia dengan cara yang hak dan sentiasa berusaha menuju akhirat. Dia berusaha mencapai kejayaan dengan menegakkan kebenaran supaya tidak melupakan dunia. Oleh kerana kebenaran sentiasa mengalahkan kebatilan, dia akan mencapai kemenangan dengan kebenaran yang diperjuangkannya. Jikalau kebenaran berkuasa di dunia, hanya kesejahteraan dan keadilan yang akan dinikmati oleh masyarakat. Masyarakat pula akan merasakan perlunya menyokong pemegang kebenaran lantas menyerahkan kuasa kepada para pejuang ini. Pemerintah panji kebenaran juga tidak akan tertipu oleh dunia. Walaupun dunia berada di bawah tapak kakinya dan di dalam genggamannya, dia tidak akan menyalah guna kuasa yang dimiliki bagi mengaut harta dan memenuhi hawa nafsu.

     Dia tidak akan menjadi angkuh, sombong, dan bertindak melulu kerana di sebalik kuasanya, dia sentiasa berusaha mengejar akhirat kerana dia yakin akhirat lebih utama daripada dunia. Dia memahami sepenuhnya penjelasan Allah SWT:

     "Sedangkan kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal."

(Surah Al-A'la, ayat 17)

Allah SWT juga menjelaskan:

     "Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik
     bagimu daripada permulaannya."

(Surah Adh-Dhuha, ayat 4)

Disebabkan itu, anak yang soleh lebih mementingkan kehidupan akhirat daripada dunia. Pandangannya tidak akan silau dek cahaya dunia yang bergemelapan kerana yakin di akhirat nanti, akan ditemui kehidupan yang lebih baik daripada yang dinikmatinya di dunia. Inilah yang ditampilkan oleh para pemimpin Muslimin pada masalah lalu seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Umar bin Abdul Aziz, dan ramai lagi.


Bersifat Zuhud terhadap Harta

Anak yang soleh memiliki sifat zuhud daripada harta yang haram ataupun syubhah, namun tidak menolak nikmat rezeki Allah SWT yang baik-baik dan sentiasa mengingati yang dunia bukanlah segalanya. Harta yang ada di bumi ini memang diciptakan untuk manusia. Seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT:

     "Dialah Allah yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di
     bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendak-Nya dengan arah
     bahan-bahan langit. Lalu, dijadikannya tujuh langit dengan
     sempurna; dan Dia maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

(Surah Al-Baqarah, ayat 29)

Segala yang ada di bumi adalah untuk manusia bagi dimanfaatkan dalam usaha ibadah demi Allah SWT. Makanlah semua yang halal mengikut keperluan untuk kesihatan badan demi tujuan beribadah kepada-Nya dan jauhilah segala yang haram. Kemuliaan seseorang itu bukan pada miskin ataupun kayanya, tetapi pada sikap istiqamah dalam keadaan miskin ataupun kaya.

     Oleh sebab itu, apabila anak yang soleh diberi kekayaan, dia tidak akan lupa daratan sehingga tamakkan harta sekalipun yang haram baginya, nauzubillahi min zalik! Sebaliknya, seorang Islam yang diuji dengan kemiskinan tidak perlu berpura-pura zuhud dan membenci dunia. Dia sedar bahawa semua perhiasan dunia adalah nikmat dan ujian. Allah SWT menjelaskan:

     "Dihias dan dijadikan indah kepada manusia,
     kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu
     perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang
     banyak berpikul-pikul, daripada emas dan perak, kuda
     peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang
     ternak, serta kebun-kebun tanaman. Semua itu adalah
     kesenangan hidup di dunia. Dan ingatlah pada sisi Allah, ada
     tempat kembali yang sebaik-baiknya, iaitu syurga. Katakanlah
     wahai Muhammad, 'Mahukah supaya aku khabarkan kepada
     kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi
     orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka
     beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,
     mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan
     isteri-isteri yang suci bersih, serta beroleh pula keredhaan
     daripada Allah.' Dan ingatlah, Allah sentiasa melihat akan
     hamba-hamba-Nya."

(Surah Ali-'Imran, ayat 14 hingga ayat 15)


Mesra kepada Sesama Islam

Mesra kepada sesama Islam, namun tegas terhadap segala kekafiran. Bagi seorang Islam, seluruh kaum Muslimin tanpa mengira suku, bangsa, warna rambut, warna kulit mahupun bahasa, adalah saudaranya yang perlu dilayan dengan ramah dan rendah hati kerana persaudaraan sebenar dalam Islam adalah dengan mereka yang seiman. Allah SWT menjelaskan:

     "Sebenarnya, orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara,
     maka damaikanlah antara dua saudara kamu yang bertelingkah
     itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh
     rahmat."

(Surah Al-Hujurat, ayat 10)

Sifat ini ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Mereka begitu tegas terhadap orang kafir, sebaliknya berlemah-lembut dan berkasih sayang sesama saudara seagama. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT:

     "Nabi Muhammad SAW adalah Rasul Allah dan orang-orang
     yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap
     orang-orang kafir yang memusuhi Islam, dan sebaliknya
     bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri
     ataupun umat Islam."

(Surah Al-Fath, ayat 29)

Ibnu 'Ajibah berkata, "Sikap tegas para sahabat terhadap orang kafir antaranya kelihatan apabila mereka tidak suka sekiranya pakaian mereka terkena pakaian orang kafir. Mereka juga tidak suka sekiranya tubuh mereka bersentuhan dengan tubuh orang kafir. Sedangkan sikap kasih sayang mereka terhadap sesama Islam ditunjukakan dengan amalan bersalam dan berpelukan apabila bertemu."

     Rasulullah SAW berkata:

     "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang
     sesama mereka seperti satu tubuh. Jikalau salah satu anggota
     tubuh sakit, maka seluruh tubuh akan berasa sakit."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)


Berjuang di Jalan Allah

Setiap anak soleh berkeperibadian Islam pasti menginginkan masyarakat yang soleh. Dia mampu berjuang sepenuhnya bagi mewujudkan masyarakat Islam kerana dengan adanya masyarakat Islam, akan wujud susunan kehidupan yang adil dan sejahtera. Perkara ini dilakukan dengan niat semata-mata bagi mendapat keredhaan Allah SWT, bukan atas tujuan lain. Dia berurusan dengan Allah SWT, syurga adalah ganjaran baginya. Dia benar-benar yakin dengan penjelasan Allah SWT:

     "Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang yang
     beriman akan jiwa mereka dan harta-benda mereka dengan
     balasan, bahawa mereka akan beroleh syurga disebabkan
     mereka berjuang pada jalan Allah, maka antara mereka ada
     yang membunuh dan terbunuh. Balasan syurga yang demikian
     adalah sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah
     dalam kitab-kitab Taurat dan Injil, serta Al-Quran dan siapakah
     lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah?
     Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan
     jual belinya itu dan ketahuilah bahawa jual beli yang seperti itu
     adalah kemenangan yang besar."

(Surah At-Taubah, ayat 111)


Arif dalam Urusan Agama

Anak soleh adalah orang Islam yang selalu bersikap istiqamah dan mematuhi ketentuan Allah SWT dalam kehidupannya sama ada daripada segi individu mahupun sosial. Oleh itu, dia akan sentiasa belajar tentang hukum-hukum Allah SWT dalam semua aspek kehidupan, dalam hubungannya dengan Penciptanya, hubungannya dengan dirinya sendiri, dan dengan orang lain. Kesungguhannya memahami hukum Allah SWT meletakkannya dalam kedudukan faqih fiddin, kedudukan yang sangat mulia di mata Allah SWT dan manusia. Rasulullah SAW berkata:

     "Sesiapa yang dikehendaki Allah dalam kebaikan, akan dijadikannya
     faham agama."

(Hadith ini direkodkan oleh Muttafaqun a'laih)


Khusyuk dalam Solat

Anak yang soleh adalah hamba yang khusyuk solatnya. Selain menguasai hukum Allah SWT dan bijak menerapkannya dalam kehidupan masyarakat dan negara, dia juga adalah hamba Allah SWT yang secara peribadi sentiasa mengabdikan diri kepada-Nya sepenuh dan setulus hati. Ilmu dan keikhlasan membuatkannya khusyuk dalam setiap solat. Dia juga sedar bahawa solat yang khusyuk sahaja yang membuahkan hikmah dan mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Dia benar-benar memahami penjelasan Allah SWT:

     "Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang
     diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran, dan dirikanlah
     sembahyang dengan tekun. Sesungguhnya, sembahyang itu
     mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar dan 
     sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar faedahnya 
     dan kesannya. Ingatlah, Allah mengetahui akan apa yang kamu
     kerjakan."

(Surah Al-Ankabut, ayat 45)


Menjauhi Perbualan yang Sia-sia

Kesedarannya pada setiap ketika sebagai hamba Allah SWT yang berjalan di muka bumi menuju kehidupan akhirat yang mempunyai dimensi waktu dan ruang yang jauh lebih luas dan tidak terukur. Seorang anak soleh yang berkeperibadian Islam tidak akan ada masa untuk bercakap perkara yang sia-sia. Dia juga sedar bahawa setiap butir perkataannya akan dicatatkan oleh malaikat. Allah SWT menjelaskan:

     "Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya ataupun
     perbuatan yang dilakukannya melainkan ada di sisinya malaikat
     pengawas yang sentiasa sedia menerima dan menulisnya."

(Surah Qaf, ayat 18)


Berdisiplin dalam Membayar Zakat

Anak soleh adalah orang Islam yang zuhud dalam menikmati rezeki yang halal. Dia sentiasa sedar bahawa dirinya akan ditanya di padang mahsyar nanti, "Dari mana hartamu diperoleh dan ke mana harta itu dibelanjakan?" Dia juga tahu bahawa mungkin ada antara harta yang diusahakannya tersentuh debu-debu noda yang perlu dibersihkan melalu zakat. Dia juga sedar bahawa dalam hartanya ada hak orang lain, iaitu fakir miskin dan sebagainya yang perlu dikembalikan sebagaimana perintah Allah SWT:

     "Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah 
     ataupun zakat, supaya dengannya engkau membersihkan
     mereka daripada dosa dan menyucikan mereka daripada
     akhlak yang buruk dan doakanlah untuk mereka, kerana 
     sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka.
     Dan ingatlah Allah maha mendengar, lagi maha mengetahui."

(Surah At-Taubah, ayat 103)

Dengan zakat, dia membersihkan dirinya daripada kebakhilan dan cinta yang melampau kepada harta benda. Dia tahu bahawa zakat menyuburkan sifat kebaikan dalam hati san memperluas kekayaan. Semua ini dilakukan hanya kerana mengharapkan redha Allah semata-mata.


Menjaga Pandangan

Sentiasa menjaga pandangan daripada segala yang diharamkan. Pada ketika terlihat aurat wanita, dia akan menundukkan pandangan. Sebagai orang Islam, dia sedar bahawa wanita adalah perhiasan dunia yang diciptakan oleh Allah SWT untuk dirinya. Namun, tidak semua wanita halal baginya. Hanya wanita yang sudah menjadi isterinya yang halal untuk dia nikmati seperti mana wanita itu mendapat kenikmatan daripadanya. Walau bagaimanapun, wanita-wanita yang bukan isterinya adalah haram untuk dia nikmati. Oleh sebab itu, dia akan sentiasa menundukkan pandangan apabila terlihat aurat wanita yang bukan isterinya dan bukan mahramnya, lantaran takut terjebak dalam zina yang sangat ditegah oleh Allah SWT:

     "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina
     itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat
     yang membawa kerosakan."

(Surah Al-Isra', ayat 32)

Anak yang soleh akan teringat tindakan Rasulullah SAW pada seorang sahabat bernama Fadhl pada ketika dia memandang seorang wanita Khats'am. Abdullah bin Abbas menceritakan:

     "Adalah Al-Fadl bin Abbas r.a. menunggang di belakang
     Rasulullah SAW, maka datang seorang wanita dari Khasa'm
     dan Al-Fadl melihat kepada wanita itu dan wanita itu melihat
     kepadanya, maka Rasulullah SAW memalingkan wajah
     Al-Fadl ke arah lain."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)


Menjaga Amanah

Anak yang soleh sentiasa menjaga amanah yang diberikan kepadanya. Dia tidak akan mengkhianati amanah itu. Dia menghormati perjanjian dan menunaikannya sekalipun perjanjian itu dibuat dengan orang kafir asalkan tidak melanggar syariat Islam. Anak soleh berkeperibadian Islam akan selalu menepati janji yang dilafazkannya. Dia tidak mengingkari janji bukan hanya kerana menjaga orang yang menerima janji daripada dizalimi, tetapi kerana Allah SWT menyuruh manusia supaya menepati janji. Allah SWT menjelaskan:

     "Dan sempurnakanlah perjanjian dengan Allah dan dengan
     manusia. Sesungguhnya, perjanjian itu akan ditanya."

(Surah Al-Isra', ayat 34)

Antara ciri orang munafik adalah mengkhianati amanah ke atasnya. Rasulullah SAW berkata:

     "Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu jikalau berbicara
     dia berbohong, jikakalau amanah dia khianat, dan jikalau diberi
     berjanji dia mengingkari."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)


Bersedia Menjadi Orang Bawahan dan Tidak Takut Menjadi Pemimpin

Anak soleh mampu menjadi pekerja dan juga ahli dalam kepimpinan. Anak yang soleh sangat merindui syurga dan keredhaan Allah SWT. Dia akan sentiasa mengambil setiap kesempatan bagi membela kebenaran dan menegakkan keadilan dalam kehidupan. Dia bersedia untuk berjihad di jalan Allah SWT demi meninggikan kalimah Allah SWT. Di mendengar dan mentaati seruan Allah SWT:

     "Pergilah kamu beramai-ramai untuk berperang pada
     jalan Allah, sama ada dengan keadaan ringan dan mudah
     bergerak ataupun dengan keadaan berat disebabkan pelbagai
     tanggungjawab dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa
     kamu pada jalan Allah bagi membela Islam. Yang demikian
     amatlah baik bagi kamu, jikalau kamu mengetahui."

(Surah At-Taubah, ayat 41)


Menjadi Pemimpin Masyarakat

Anak yang soleh juga adalah pemimpin masyarakatnya, sama ada dalam politik mahupun ketenteraan, kerana kayu ukur kepimpinan dalam pandangan Islam adalah kemampuan seseorang bagi mengurai persoalan hidup. Oleh kerana Al-Quran dan As-Sunnah adalah jawapan kepada setiap persoalan, setiap orang Islam yang menguasai Al-Quran dan As-Sunnah pasti mampu menjadi pemimpin dan pelaksana yang baik.

     Anak yang soleh tidak akan menjadi sampah masyarakat. Sebaliknya, dia menjadi orang yang berguna dan memberi manfaat kepada orang lain seperti kata Rasulullah SAW:

     "Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat
     bagi manusia."

(Hadith ini direkodkan oleh Thabrani)


Bersederhana

Anak yang soleh hidupnya sentiasa seimbang, tidak melampaui batas dalam beragama, dan tidak menyeksa ataupun menjauhkan diri daripada kehidupan dunia kerana dia sedar bahawa setiap sesuatu itu ada haknya. Jasadnya memiliki hak seperti mana keluarganya. Oleh sebab itu, dia membahagikan waktu dalam hidup untuk beribadah, mancari nafkah, berdakwah, berjihad, dan berehat bersama keluarga. Kehidupan ini ditunjukkan melalui contoh hidup Rasulullah SAW dan para sahabat. Baginda adalah manusia yang paling banyak menunaikan solat sunat, tetapi Baginda juga tidur dan beristirahat. Baginda rajin berpuasa sunat, tetapi Baginda juga berbuka.

     Dalam satu rekod daripada Al-Bazaar, diceritakan bahawa Rasulullah SAW menjalinkan persaudaraan antara Salman dan Abu Darda. Pada suatu hari, Salman mengunjungi Abu Darda. Salman melihat isteri Abu Darda, iaitu Ummu Darda berpakaian selekeh.

     Salman bertanya, "Apa yang terjadi kepadamu?"

     Ummu menjawab, "Sesungguhnya, saudaramu itu tidak lagi memerlukan wanita." Pada ketika Abu Darda muncul, dia menyambut Salman penuh gembira, lalu segera menghulurkan makanan kepada Salman.

     "Makanlah," ujar Salman.

     "Aku sedang berpuasa," kata Abu Darda.

     Salman berkata, "Aku bersumpah tidak akan menyentuh makanan ini sehingga kamu turut sama menjamah."

     Akhirnya, Abu Darda makan bersama Salman dan Salman kemudian berkata, "Wahai Abu Darda, sesungguhnya tubuh itu mempunyai hak yang perlu kamu penuhi. Begitu juga isterimu yang mempunyai hak ke atas kamu. Berikanlah setiap sesuatu itu hak yang ada padanya."

     Selepas itu, mereka berdua tidur. Pada tengah malam, Abu Darda bangun, tetapi ditegah oleh Salman. Apabila hampir subuh, barulah Salman menyuruh Abu Darda bangun. Mereka melakukan solat tahajud, lalu keluar untuk solat subuh. Selepas Rasulullah SAW selesai solat, Abu Darda menemui Baginda dan menceritakan apa yang disampaikan oleh Salman kepadanya. Nabi kemudiannya membenarkan kata-kata Salman.


Berani Menentang Musuh Agama

Seorang anak soleh mempunyai keberanian yang tinggi terhadap orang yang memusuhi agama. Dia mampu menunjukkan taringnya di hadapan musuh di medan pertempuran, tetapi dilihat tawaduk di hadapan sesiapa sahaja yang berbuat kebaikan. Setiap orang Islam tidak akan mengundang musuh, tetapi apabila ada yang datang, dia tidak akan berundur walau setapak. Sebaliknya, dia memperlihatkan kebengisannya bagi menakutkan musuh kerana apabila musuh takut, permusuhan akan berakhir. Apabila permusuhan berakhir, perdamaian akan tercipta. Perkara ini dilakukan seiring dengan perintah Allah SWT dalam Al-Quran:

     "Dan sediakanlah bagi menentang mereka musuh yang
     menceroboh segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan
     dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia
     bagi menggerunkan. Dengan persediaan itu, musuh Allah dan
     musuh kamu serta musuh-musuh yang lain daripada mereka
     yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya.
     Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah, akan
     disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak
     akan dianiaya." 

(Surah Al-Anfal, ayat 60)


Melibatkan Diri dalam Masyarakat

Anak yang soleh bukanlah orang yang setiap saat hanya bersujud dan berzikir di masjid. Dia berada dalam lapangan kehidupan, mahir dalam perdagangan, dan lincah dalam politik. Dia mampu memakmurkan bumi dan berupaya mencari rezeki yang halal kerana dia tahu dirinya tidak dapat mengabaikan bahagiannya dalam kehidupan dan nikmat dunia. Dia memahami perintah Allah SWT dalam Al-Quran:

     "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan
     Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan
     janganlah engkau melupakan bahagianmu, iaitu keperluan
     dan bekalanmu dari dunia dan berbuat baiklah kepada
     hamba-hamba Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu
     dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah
     dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi.
     Sesungguhnya, Allah tidak suka kepada orang-orang yang 
     berbuat kerosakan."

(Surah Al-Qasas, ayat 77)

Walaupun dalam usaha mencari rezeki, anak yang soleh sentiasa menjaga kebajikan orang ramai. Dia tidak akan membuat kerosakan demi mendapatkan keuntungan peribadi sedangkan perbuatannya merugikan orang lain. Dia berusaha memanfaatkan setiap sumber rezeki yang Allah SWT berikan di bumi ini dengan penuh tanggungjawab kerana dia sedar Allah SWT menciptakan bumi dan seluruh isinya untuk manusia sebagai bekalan hidup untuk beribadah kepada-Nya.


Belajar daripada Luqman Al-Hakim

Salah seorang yang patut diteladani dalam membentuk anak menjadi anak soleh adalah Luqman. Menurut Imam Ibnu Katsir, Luqman yang dimaksudkan dalam Al-Quran, surah ke-31 ini adalah Luqman bin Anqa' bin Sadun. Beliau mempunyai anak bernama Tsaaran. Luqman adalah seorang hamba Habasyah yang berkulit hitam dan tidak mempunyai kedudukan sosial yang tinggi dalam masyarakat. Ibnu Abbas menyatakan Luqman adalah seorang tukang kayu dari Habasyah ataupun Ethiopia. Namun demikian, Allah SWT menganugerahkan hikmah sehingga menjadikan ucapannya dalam bentuk pesan dan nasihat layak untuk diikuti oleh semua ibu bapa yang menginginkan anak-anaknya menjadi anak yang soleh.

     Tentang rupanya, Ibnu Jarir menyatakan bahawa seseorang yang berkulit hitam pernah mengadu kepada Sa'id bin Musayyib. Maka, Sa'id menenangkan dengan mengatakan, "Janganlah engkau bersedih ataupun berkecil hati kerana warna kulitmu hitam. Sesungguhnya, ada tiga orang pilihan yang kesemuanya berkulit hitam, iaitu Bilal, Mahja' maula Umar bin Khattab, dan Luqman Al-Hakim."

     Kisah Luqman dalam mendidik anaknya patut dijadikan contoh oleh sesiapa jua yang menginginkan anak-anak soleh yang berbakti kepada kedua-dua ibu bapa. Nasihatnya mengandungi konsep kehidupan yang komprehensif untuk anak-anak, merangkumi persoalan akidah, ibadah, dan akhlak sebagai landasan dalam membentuk seorang manusia berkeperibadian Islam.

     Enam perkara penting yang disampaikan oleh Luqman kepada anaknya:


Larangan merpersekutukan Allah SWT.

     "Dan ingatlah, pada ketika Luqman berkata kepada anaknya,
     semasa dia memberi nasihat kepadanya, "Wahai anak
     kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah
     dengan sesuatu yang lain. Sesungguhnya, perbuatan syirik itu
     adalah satu kezaliman yang besar."

(Surah Luqman, ayat 13)

Larangan mempersekutukan Allah SWT menjadi wasiat pertama yang disampaikan Luqman kepada anaknya kerana syirik (mempersekutukan Allah) adalah kezaliman yang besar. Sekiranya seseorang mempersekutukan Allah, bererti dia sudah terjebak ke lembah kehinaan. Orang yang musyrik tidak akan pernah diampuni dosanya oleh Allah SWT. Malah, dia akan kekal di dalam neraka yang juga tempat yang sangat mengerikan.

     Luqman menjadikan wasiat mentauhidkan ataupun mengesakan Allah SWT sebagai keutamaan dalam mendidik anaknya. Kekukuhan tauhid adalah asas yang perlu dimiliki seorang anak dalam membentuk manusia berkeperibadian mulia supaya dia dapat menjalani kehidupan yang benar.


Berbuat baik kepada ibu bapa

     "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua
     ibu bapanya; ibunya mengandungkannya dengan menanggung
     kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga
     akhir menyusunya, dan tempoh menceraikan susunya adalah
     dalam masa dua tahun. Dengan yang demikian, bersyukurlah
     kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah),
     kepada Akulah juga tempat kembali bagi menerima balasan."

(Surah Luqman, ayat 14)

Luqman menyambung nasihatnya dengan menggesa anaknya supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Ibu bapa adalah orang yang paling berjasa dalam hidup seorang anak. Mereka mengorbankan kehidupan mereka dengan bersusah payah demi anak-anak. Maka alangkah baiknya sekiranya seorang anak mendahulukan berbuat baik kepada ibu bapanya sebelum orang lain. Berbuat baik (ihsan) terhadap kedua ibu bapa menzahirkan rasa syukur seorang anak. Sufyan bin Uyainah pernah berkata, "Sesiapa yang mendirikan solat lima waktu bererti dia mensyukuri Allah. Dan sesiapa yang sentiasa berdoa untuk kedua-dua ibu bapanya setiap kali selesai solat bererti dia mensyukuri kedua ibu bapanya."

     Terlalu banyak ayat dan hadith yang menggesa seorang anak supaya berbakti dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Bahkan Allah SWT menyebut perintah baik kepada kedua ibu bapa selepas Dia memerintahkan supaya beribadah kepada-Nya. Ini adalah bukti yang menunjukkan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa adalah perkara yang penting bagi setiap manusia.

     Allah SWT menjelaskan:

     "Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah 
     melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau
     berbuat baik kepada ibu bapa. Jikalau salah seorang daripada
     mereka ataupun kedua-dua sekali, sampai kepada umur
     tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau
     berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun
     perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah
     mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia
     yang bersopan satun. Dan hendaklah engkau merendah diri
     kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan
     doakanlah untuk mereka, dengan berkata, "Wahai Tuhanku!
     Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka
     mencurahkan kasih sayang memeliharaku dan mendidikku
     semasa kecil."

(Surah Al-Isra', ayat 23 hingga ayat 24)

Imam Ibnu Katsir dalam Tafsir Al-Qur'an Al-'Azhim menerangkan bahawa ayat itu bermaksud, "Allah SWT mewajibkan semua manusia untuk beribadah hanya kepada Allah dan tidak mempersekutukan-Nya dengan yang lain." Perkataan qadha pada ayat di atas adalah perintah sebagaimana dikatakan Imam Mujahid, wa qadha adalah washsha iaitu Allah berwasiat. Kemudian, disambung dengan wabil waalidaini ihsana hendaklah berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dengan sebaik-baiknya.

     Rasulullah SAW memberi ancaman bahawa tidak akan masuk ke syurga bagi orang yang mengabaikan ataupun menyakiti kedua-dua ibu bapanya. Dalam hadith yang direkodkan daripada Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah SAW berkata:

     "Ada tiga golongan yang tidak akan masuk syurga dan Allah
     tidak akan melihat mereka pada hari kiamat, iaitu anak yang
     derhaka kepada kedua-dua ibu bapanya, perempuan yang
     menyerupai lelaki, dan lelaki yang membiarkan dosa di dalam
     rumah (dayus)."

(Hadith ini direkodkan oleh Hakim, Al-Baihaqi, dan Ahmad)

Berbuat baik dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa wajib dilakukan oleh seorang anak walaupun ibu bapanya tidak beriman serta mengajak anaknya kepada kekufuran. Allah SWT menjelaskan:

     "Dan jikalau mereka berdua mendesakmu supaya engkau
     mempersekutukan dengan-Ku dengan sesuatu yang engkau tidak
     mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat
     pada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan 
     cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk
     kembali kepada-Ku dengan tauhid dan amal-amal yang soleh.
     Kemudian, kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya,
     maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu
     telah kerjakan."

(Surah Luqman, ayat 15)

     Berkaitan dengan perintah ini, Sa'ad bin Malik adalah satu
     contoh yang baik. Beliau tetap berbakti menghadapi ibunya
     yang menentang keras dengan keislamannya dengan melakukan
     mogok makan selama beberapa hari sehingga terlihat kelesuan
     menimpa ibunya. Namun, dengan tegas dan yakin beliau
     menunjukkan baktinya. Sa'ad berkata dengan bijak kepada
     ibunya, "Wahai ibu, sekiranya engkau memiliki seratus nyawa,
     lalu satu per satu nyawa itu keluar dari jasadmu supaya aku
     meninggalkan agama (Islam) ini, aku tidak akan pernah
     menuruti keinginanmu. Jikalau engkau sudi silakan makan
     makanan yang aku sediakan. Namun jikalau engkau tidak
     berkenan, itu bukanlah satu masalah." Akhirnya, ibu Sa'ad pun
     memakan makanan yang dihidangkan kerana berasa usahanya
     yang cukup melampau itu tidak akan meruntuhkan keteguhan
     hati Sa'ad terhadap agamanya.

(Demikian seperti yang ditulis oleh Ibnul Atsir dalam kitab Usudul Ghabah, memetik riwayat Thabrani)


Menyedari pengawasan Allah

     "Luqman menasihati anaknya dengan berkata, "Wahai anak
     kesayanganku, sesungguhnya jikalau ada sesuatu perkara yang
     baik ataupun yang buruk sekalipun seberat biji sawi, serta
     tersembunyi di dalam batu besar ataupun di langit ataupun
     di bumi, tetap akan dibawa oleh Allah untuk dihakimi
     dan dibalas-Nya; kerana sesungguhnya, Allah maha halus
     pengetahuan-Nya; lagi maha mengetahui akan segala yang
     tersembunyi."

(Surah Luqman, ayat 16)


Ini adalah akhlak baik yang penting bagi dimiliki oleh setiap anak. Setiap perasaan akan diketahui oleh Allah SWT yang tidak pernah mengantuk mahupun tidur. Dengan memiliki akhlak-akhlak ini, anak-anak akan sentiasa bersikap jujur dan menegakkan kebenaran. Dia akan istiqamah dalam berlaku jujur semasa bersendirian dan di khalayak ramai. Ibu bapa tidak perlu khuatir sekiranya anak jauh dari pengawasannya kerana yakin dia tidak akan melakukan perkara buruk yang dilarang oleh Allah SWT.

     Keresahan dan kekhuatiran para ibu bapa masa kini terhadap anaknya pada ketika dia jauh dari mereka adalah kerana anak itu tidak memiliki kesedaran pengawasan Allah SWT dalam dirinya. Akibatnya, terjadilah kesalahan tingkah laku seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, jenayah, pergaduhan, dan sebagainya. Ironinya, anak akan bersikap baik di hadapan kedua-dua ibu bapanya, tetapi sebaliknya pada ketika jauh dari mereka. Di sinilah penting peranan ibu bapa dalam menanamkan keimanan yang kukuh supaya anak memiliki rasa takut kepada Tuhan tidak kira semasa dia bersama ibu bapanya mahupun semasa dia tidak bersama mereka. Anak akan tetap berpegang teguh pada kebenaran ajaran agama meskipun banyak godaan yang berusaha menyesatkannya.


Mendirikan solat, 'amar makruf nahi mungkar', dan sabar dalam menghadapi dugaan

     "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan
     suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan
     perbuatan mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana
     yang menimpamu. Sesungguhnya, yang demikian itu adalah
     daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat
     melakukannya."

(Surah Luqman, ayat 17)

Mendirikan solat akan menjadi kebiasaan seseorang jikalau dia sudah diajar dan ditunjuk oleh ibu bapanya sejak kecil. Dia akan berasa bersalah sekiranya meninggalkan solat bukan kerana khuatir ditanya oleh ibu bapanya, tetapi kerana dia sudah merasakan pentingnya beribadah kepada Allah SWT. Dia berasa dengan solat, dia menjadi orang yang bersyukur kepada nikmat yang diberikan oleh Tuhan. Solat bukan lagi beban baginya, malah menjadi suatu kebiasaan yang dia lakukan dan mencerminkan keimanan yang kuat kepada Allah SWT.

     Seorang anak yang soleh tidak akan berasa cukup dengan memperbaiki dirinya semata-mata, tetapi mempedulikan orang lain. Dia mampu menjadikan orang dan masyarakat tempat dia berada memiliki keimanan seperti dirinya dengan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu mengajak kepada kebaikan dan melarang kejahatan ataupun maksiat. Dia berusaha mengajak semua orang supaya menjadi soleh. Perasaannya tidak akan tenang sekiranya masih ada kemungkaran di sekelilingnya. Dia juga bersedih sekiranya orang lain jauh daripada ajaran agamanya. Sikap seperti ini hanya dimiliki oleh seorang anak soleh yang mendapat didikan akidah, ibadah, dan akhlak yang baik daripada kedua-dua ibu bapanya. Pada dirinya terpancar keperibadian Islam yang mampu menyinari seluruh manusia.

     Bukan itu sahaja, seorang anak soleh sabar dalam menghadapi setiap cubaan yang datang padanya. Dia tidak mudah mengeluh dan berputus asa saat berhadapan dengan realiti hidup yang berat. Dia sabar menjalankan perintah Allah SWT pada saat orang di sekeliling mengendahkannya. Seorang anak yang soleh teguh pendiriannya seteguh batu karang di lautan, meskipun dia dicemuh dan disisih daripada masyarakat kerana dia berpegang pada kebenaran. Kesabaran itu terbentuk dan sebati dalam dirinya kerana dia memiliki akidah yang kuat yang ditanamkan oleh kedua-dua ibu bapanya sejak kecil.


Tidak sombong dan membangga diri

     "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu kerana
     memandang rendah kepada manusia, dan janganlah engkau
     berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya,
     Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur
     lagi membangga diri."

(Surah Luqman, ayat 18)

Luqman mewasiatkan kepada anaknya supaya tidak menjadi orang yang sombong dan berbangga diri. Inilah yang perlu ditanamkan setiap ibu bapa dalam diri anak-anak. Prestasi yang cemerlang, rupa yang tampan, dan kekayaan ibu bapa yang melimpah tidak akan membuat anak soleh sombong dan membangga diri. Anak perlu diingatkan bahawa segala sesuatu yang ada dalam dunia ini tidak ada yang abadi. Segala yang dimiliki oleh manusia di dunia ini hanya pinjaman daripada Allah SWT dan perlu digunakan bagi mendekatkan diri serta beribadah kepada-Nya. Jikalau semua yang dimiliki manusia itu tidak kira harta, rupa, takhta, dan cinta ditarik, tiada lagi yang dapat dibanggakan. Kesombongannya tidak akan meninggalkan apa-apa pun, kecuali penyesalan yang tidak terhingga.

     Itulah yang dialami oleh Fir'aun yang sombong dengan kekuasaannya. Allah SWT menggelamkan dia bersama bala tenteranya ke dasar laut dalam keadaan hina. Begitu juga yang dialami Qarun, manusia yang mengagungkan harta kekayaannya. Allah SWT menelan dia ke dalam bumi bersama harta yang diagungkannya.

     Berbeza dengan kedua-dua contoh bongkak di atas, Nabi Yusuf a.s. memiliki sikap rendah hati. Meskipun beliau dianugerahi ketampanan, kekayaan yang melimpah, jawatan yang tinggi, tetapi beliau tidak sombong. Bahkan saudara-saudara beliau yang sebelum itu menyakitinya, dimaafkan. Beliau membantu mereka dan ibu bapanya saat kesulitan menimpa mereka. Kerendahan hati itu membuatkan Nabi Yusuf a.s. semakin diangkat darjahtnya oleh Allah SWT.

     Oleh sebab itu, ibu bapa perlu mengingatkan setiap anak bahawa sikap sombong tidak akan mengangkat kemuliaan seseorang itu, bahkan menenggelamkannya ke dasar kehinaan. Sikap rendah hati tidak akan membuat seseorang hilang kewibawaan dan rendah di mata orang lain, malah dapat mengangkat darjat.


Bersikap sederhana dan merendahkan suara

     "Dan sederhanakanlah langkahmu sesama berjalan, juga
     rendahkanlah suaramu semasa berkata-kata, sesungguhnya
     seburuk-buruk suara adalah suara keldai."

(Surah Luqman, ayat 19)

Luqman mengingatkan supaya anaknya bersederhana dalam berjalan. Hal ini mungkin dianggap remeh oleh segelintir manusia. Mengapa begitu penting mengingatkan seorang anak supaya dia berjalan dengan sederhana? Ternyata perkara itu sungguh penting dalam memperlihatkan identiti seseorang. Apatah lagi orang mukmin yang sepatutnya memiliki karakter tertentu dalam setiap langkah dan percakapannya.

     Rasulullah SAW berkata:

     "Sesungguhnya, langkah kaki yang cepat ketika berjalan
     menghilangkan kewibawaan seorang mukmin."

(Hadith ini direkodkan oleh Ibnu 'Ajibah)

Berjalan laju adalah tabiat orang Yahudi dan berjalan perlahan adalah tabiah orang Nasrani. Maka, cara berjalan seorang mukmin perlu berbeza daripada mereka, iaitu sederhana. Ibnu Mas'ud r.a. berkata, "Para sahabat r.a. dilarang berjalan laju seperti Yahudi dan perlahan seperti Nasrani. Mereka disuruh berjalan antara cepat dan lambat, iaitu sederhana."

     Fokus perintah ini adalah supaya seorang anak terbiasa melakukan semua pekerjaan, daripada yang kecil sehinggalah yang besar, dengan berpandukan Islam. Seorang Muslim seharusnya memiliki keperibadian Islam yang berbeza daripada keperibadian orang kafir. Cara berpakaian seorang Muslim sepatutnya berbeza daripada cara berpakaian orang kafir. Begitu juga bicaranya, pakaiannya, ibadahnya, pemakanannya, minumnya, dan segala perkara sepatutnya memiliki ciri tersendiri, iaitu ciri khas seorang Muslim.

     Luqman menasihatkan supaya anaknya merendahkan suara ketika berbicara dan tidak berbicara dengan suara yang terlalu keras seperti berbicara kepada orang tuli kerana tabiat ini mencerminkan kebodohan dan kerendahan orangnya. Berteriak-teriak dengan mengeluarkan suara nyaring yang memekakkan telinga adalah sifat keldai, binatang yang memiliki suara yang amat buruk. Orang berwibawa dan cerdas akan berbicara sesuai dengan kebolehannya dan dengan bersuara lembut. Apatah lagi kepada kedua-dua ibu bapanya. Seorang anak perlu berbicara dengan sopan dan bersuara rendah penuh hormat. Begitulah cara Luqman mendidik anaknya sehingga beliau berjaya menjadikan anaknya sebagai anak yang soleh. Maka, tidak hairan jikalau Allah SWT mencatatnya dalam Al-Quran untuk dijadikan contoh bagi hamba-hamba-Nya yang menginginkan anak yang soleh.


Memelihara Keutuhan Keperibadian Islam

Allah SWT memerintahkan manusia supaya sentiasa taat kepada-Nya, serta menjadikan perintah dan larangan-Nya sebagai panduan dalam segala perilaku hidup. Oleh itu, peribadi seorang Muslim itu akan terjaga dan utuh. Statusnya sebagai seorang Muslim tergambar dalam tingkah lakunya pada setiap waktu dan keadaan.

     Allah SWT menjelaskan:

     "Hai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada
     Allah dengan sebenar-benar takwa, dan janganlah sekali-kali
     kamu mati melainkan dalam keadaan Islam."

(Surah Ali 'Imran, ayat 102)

Rasulullah SAW menjelaskan makna haqqa tuqatihi dalam ayat di atas. Baginda berkata:

     "Sebenar-benar takwa adalah taat kepada Allah dan tidak
     melakukan maksiat walau sekejap pun, sentiasa ingat dan tidak
     pernah melupakan-Nya dan sentiasa bersyukur tanpa pernah
     ingkar."

(Hadith ini direkodkan oleh Hakim)

Ibnu 'Ajibah dalam kitab tafsir Al-Bahrul Madiid, mengatakan, maksud perintah Allah waala tamuutunna illa wa antu muslimuun adalah dalam apa jua keadaan sekali pun, seorang Muslim tidak boleh hidup dengan cara di luar Islam sehingga kematian datang menjemput.

     Oleh hal yang demikian, keutuhan peribadi seorang Muslim penting untuk dijaga dan dipelihara sehingga akhir hayat. Keperibadian itu akan menjadi identiti selama dia hidup di dunia dan pada ketika dia pulang ke akhirat. Setiap penganut agama dan kepercayaan memiliki identiti masing-masing dan tidak dapat bertukar antara satu sama lain apatah lagi memiliki banyak kepercayaan dalam satu masa. Tempat kembali seorang manusia itu hanya dua iaitu syurga ataupun neraka. Setiap tempat memiliki penghuninya masing-masing. Ahli syurga adalah orang yang taat kepada Allah SWT, sementara ahli neraka adalah orang yang mengingkari-Nya.

     Keperibadian yang kukuh seperti inilah yang perlu dimiliki seorang anak yang soleh. Dia perlu memiliki keperibadian Islam yang kukuh dan utuh selama hidupnya. Dalam menjaga keutuhan itu, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan. Pertama, sentiasa menghidupkan iman ataupun akidah Islam dalam hati dan fikiran. Allah SWT menjelaskan:

     "Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu
     kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab Al-Quran
     yang diturunkan kepada Rasul-Nya Muhammad SAW,
     dan juga kepada kitab-kitab suci yang diturunkan dahulu
     daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan
     malaikat-malaikatNya, kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, dan
     juga hari akhirat, maka sesungguhnya mereka sesat yang amat
     jauh."

(Surah An-Nisaak, ayat 136)

Doktor Abdullah bin Abdul Muhsin At-Turkiy dalam Tafsir Al-Muyassar menjelaskan tentang maksud ayat di atas, "Wahai orang-orang yang membenarkan Allah dan Rasul-Nya, dan beramal dengan syariat-Nya. Kalian perlu sentiasa melestarikan keimanan kepada Allah yang sudah kalian yakini secara pasti dan juga kepada Rasulullah, Muhammad SAW, taat kepada kedua-duanya serta mengimani Al-Quran dan kitab-kitab yang diturunkan sebagai petunjuk bagi makhluk-Nya, para Rasul-Nya yang dipilih bagi menyampaikan risalah-Nya, dan hari akhirat yang akan menjadi tempat ditimbang tanggungjawab atas semua amal yang dilakukan manusia, maka dia sudah keluar daripada agama Islam dan sudah menyimpang jauh sejauh-jauh dari jalan kebenaran."

     Ibnu Katsir pula dalam kitab tafsirnya menjelaskan tentang ayat ini, "Allah memerintahkan orang beriman untuk beriman. Supaya mereka tetap dalam keimanan, konsisten, dan terus beramal bagi membuktikan keimanannya itu."

     Oleh itu, seorang anak soleh tidak boleh berlengah dan lelah dalam menjaga dan mencambahkan keimanannya supaya semakin kukuh dan kuat. Terlalu banyak godaan dan tentangan yang akan melemahkan akidah seseorang sehingga seorang anak yang soleh sekalipun tiada jaminan imannya tidak akan luntur ataupu hilang, na'udzu billah. Di sinilah pentingnya supaya iman terus dihidupkan dalam hatinya.

     Kedua, seorang anak soleh perlu sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah SWT dengan mengikuti peraturan Allah SWT dengan konsisten. Anak soleh akan selalu menjadikan syariah Allah SWT sebagai panduan dalam setiap perbuatannya. Setiap kali dia melakukan sesuatu, dia akan sentiasa bertanya, "Apakah Allah menyuruh aku melakukan perkara ini?" Begitu juga saat hendak meninggalkan sesuatu perkara dia akan bertanya, "Apakah Allah redha jikalau aku meninggalkan hal ini?" Hubungannya dengan Allah SWT sebagai Tuhannya akan sentiasa terjaga dengan sikap seperti ini. Hubungan ini akan berterusan bukan sahaja ketika beribadah madholah seperti solat, puasa, haji, dan lainnya, tetapi di mana sahaja dia berada dan dalam apa juga aktiviti yang dia lakukan. Amalan seperti inilah yang diharapkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang disebutnya:

     "Bertakwalah kamu kepada Allah di mana pun kamu berada."

(Hadith ini direkodkan oleh At-Tirmizi)

Menurut Ibnu Rajab Al-Hambali dalam kitabnya Jami'ul Ulun Wal Hikam, maksud hadith ini adalah kita disuruh untuk bertakwa, menjalankan perintah Allah SWT, dan menjauhi larangan-Nya ketika bersendirian mahupun di tengah orang ramai. Tidak kira kita dilihat oleh manusia ataupun tidak. Dalam erta kata Syaikh Taqyuddin An-Nabhani disebut al-idraak shillah billa, iaitu adanya kesedaran hubungan yang berterusan dengan Allah SWT tidak kira di mana dan pada setiap masa.

     Ketiga, anak soleh berkeperibadian Islam sentiasa menyedari tiada tempat yang terlepas daripada hukum Allah SWT. Baik ketika solat di masjid mahupun semasa berjual beli di pasar. Hukum Allah SWT berlangsung semasa mengaji di majlis taklim dan ketika bekerja di pejabat. Setiap aktiviti manusia di setiap tempat dan masa tiada yang terlepas daripada ketentuan hukuman Allah SWT termasuk semasa makan, minum, berjalan, tidur, menuntut ilmu, berpolitik, dan berniaga.

     Orang yang berkeperibadian Islam menyedari perbuatannya menggambarkan keimannya kepada Allah SWT. Iman menuntut seseorang supaya selalu mengingatkan dirinya dengan perintah dan larangan Allah SWT. Iman bukan sekadar percaya kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang menciptanya, tetapi juga keyakinan terhadap semua hukum-hukum-Nya yang tidak boleh dilanggar tidak kira di mana jua. Oleh sebab itu, Al-Quran diturunkan sebagai panduan dalam hidup. Allah SWT menjelaskan:

     "Sesungguhnya, Kami menurunkan kepadamu wahai
     Muhammad kitab Al-Quran dengan membawa kebenaran,
     supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa
     yang Allah tunjukkan kepadamu melalui wahyu-Nya; dan
     janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang
     khianat."

(Surah An-Nisaak, ayat 105)

Ayat ini dan beberapa ayat berikutnya diturunkan berkaitan dengan kecurian yang dilakukan Thu'mah yang kemudiannya menyembunyikan barangan curi itu di dalam rumah seorang Yahudi. Thu'mah tidak mengakui perbuatannya itu, malah menuduh Yahudi itu. Kejadian itu diajukan kepada Nabi Muhammad SAW oleh keluarga Thu'mah. Mereka meminta supaya Nabi Muhammad SAW membela Thu'mah dan menghukum orang-orang Yahudi walaupun mereka mengetahui yang Thu'mah adalah pencuri sebenar. Nabi Muhammad SAW hampir-hampir membenarkan Thu'mah dan keluarganya terhadap Yahudi itu.

     Keempat, anak soleh sentiasa menyedari kelemahan dan kekurangan dirinya. Oleh sebab keperibadian anak soleh sudah sebati dengan akidah Islam, dia menyedari hanya Allah SWT yang memiliki sifat serba maha. Dia maha kuat, maha hebat, maha perkasa, maha kuasa, maha bijaksana yang menggambarkan tiada makhluk yang mampu menandingi-Nya. Kesedaran yang terbit daripada akidah tentang adanya kelemahan dan kekurangan akan membuatnya selalu rendah diri, tidak sombong, dan tidak suka merendahkan orang lain. Dia menyedari apa yang dimilikinya hanyalah pinjaman daripada Allah SWT yang akan dikembalikan kepada-Nya.

     Kesedaran akan kelemahan diri bukan sahaja terbiat saat ditimpa musibah, tetapi pada setiap masa. Sikap berputus asa ketika ditimpa musibah sangat dikutuk oleh Allah SWT kerana sikap seperti itu bukan ciri orang yang beriman. Allah SWT menjelaskan:

     "Dan apabila setiap manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka
     segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk
     kembali bertaubat kepada-Nya. Kemudian, apabila Allah
     memberikannya sesuatu nikmat sebagai kurnia daripada-Nya,
     lupalah mereka akan segala bahaya yang menyebabkannya
     merayu kepada Allah sebelum itu dan menjadikan sekutu-kutu
     bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya dan orang lain dari jalan
     Allah. Katakanlah kepadanya, "Bersenang-senanglah engkau
     dengan kekufurannya itu bagi sementara, sesungguhnya
     engkau dari penduduk neraka."

(Surah Az-Zumar, ayat 8)

Ibnu 'Athiyah dalam Al-Muharrar Al-Wajiz mengatakan, perkataan al-insaan, iaitu manusia dalam ayat di atas bermaksud orang kafir. Petunjuknya, selepas perkataan itu, salah satu sifat mereka yang disebut oleh Allah SWT adalah mempersekutukan Allah SWT. Manakala At-Thabrani mengatakan yang manusia akan berdoa kepada Allah SWT ketika ditimpa musibah seperti sakit, kesulitan hidup, dan dalam kesempitan. Sama ada manusia sedar ataupun tidak, perbuatannya itu adalah satu bentuk pengakuan akan kelemahan diri.

     Namun begitu, kesedaran atas kelemahan diri seperti orang kafir yang disebut tadi tidak harus diikuti oleh orang mukmin. Orang beriman perlu sentiasa menyedari kelemahan dirinya tidak kira ketika ditimpa kesulitan ataupun kemudahan, saat gembira ataupun sedih, semasa sempit mahupun luas, perlu sentiasa berasa yang dirinya lemah dan yang maha kuat dan hebat itu adalah Allah SWT sahaja.
  
     Kelima, anak soleh harus berusaha mengendali hawa nafsu yang selalu menyebabkannya lupa diri. Seseorang yang soleh sekalipun tetap memiliki hawa nafsu yang mengajaknya melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Ada kalanya, nafsu itu hampir membawanya kepada maksiat. Namun, dengan akidah yang kukuh, dirinya sentiasa mampu terikat dengan syariah Allah SWT. Ilmu yang cukup memudahkannya mengendalikan diri, insya Allah. Iman akan menjadi pemimpin hawa nafsunya. Rasulullah SAW berkata:

     "Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina
     itu semasa berkeadaan sempurna imannya dan seseorang
     yang hendak meminum arak, tidak akan meminum arak itu
     semasa berkeadaan sempurna imannya dan seseorang yang
     hendak mencuri, tidak akan melakukan perbuatan itu semasa
     berkeadaan sempurna imannya."

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Bukhari)

Maksud hadith di atas adalah orang beriman mungkin melakukan maksiat seperti berzina, meminum arak, ataupun mencuri, tetapi perkara itu hanya mungkin terjadi ketika imannya sedang lemah. Apabila imannya kembali sempurna, dia akan tersedar dan segera bertaubat. Ertinya, orang soleh sekalipun mungkin terjerumus pada kemaksiatan. Hal itu demikian kerana, iman manusia terkadang naik dan terkadang turun, kadangkala kuat dan kadangkala lemah. Oleh sebab itu, pengendalian nafsu amat penting. Sekiranya nafsu tidak dikendali dan ditambah dengan keadaan iman yang sedang lemah, seseorang akan mudah menurut kata nafsunya. Perkara ini dijelaskan oleh Ibnu Qutaibah dalam Ta'wil Mukhtalif Al-Hadiths, halaman 171.

     Keenam, anak soleh perlu sentiasa menyedari yang syaitan selalu berusaha menipu dan menyesatkan manusia. Syaitan adalah musuh dari luar yang berusaha mengarah manusia sesuai dengan kehendaknya. Hawa nafsu adalah sasaran yang berpontensi dikuasai oleh syaitan. Apabila nafsu sudah berjaya dikuasai, dengan mudah manusia itu sendiri dikendali syaitan dan kerana itulah manusia perlu sentiasa berwaspada terhadapnya. Kecekalan syaitan dalam menipu manusia mampu menyesatkan sesiapa pun tanpa disedari. Manusia merasakan yang dia sedang melakukan kebaikan serta berniat baik dalam melakukannya. Pada masa yang sama, syaitan sebenarnya sedang berusaha memesongkannya. Jadi, diselitkan rasa takabbur ataupun sombong, riyak ataupun rasa ingin dilihat, sum'ah ataupun ingin terkenal, dan sebagainya supaya kebaikan yang diinginkan manusia itu terbatal.

     Sikap berwaspada dan sentiasa menjadikan syaitan sebagai musuh membuatkan seseorang itu tahu antara kebaikan sebenar dan kebaikan yang sebaliknya. Di samping itu, dengan mengakui syaitan sebagai musuh akan membuat seseorang lebih berwaspada terhadap segala pujuk rayunya. Dia tidak akan mudah terbuai dengan tawaran untuk berbuat kebaikan yang berisi keburukan dan penipuan. Kekuatan ini hanya mampu diperoleh seseorang yang memiliki istiqamah dan memegang erat hukum-hukum Allah SWT. Syaitan tidak mampu menggoda orang-orang yang ikhlas dalam beribadah kepada Allah SWT, sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT:

     "Iblis berkata, "Wahai Tuhanku! Kerana Engkau menjadikan
     aku sesat, demi sesungguhnya aku akan memperelok segala
     jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan
     aku akan menyesatkan manusia semuanya, kecuali antara
     zuriat-zuriat Adam itu hamba-hamba-Mu yang dibersihkan
     daripada sebarang syirik."

(Surah Al Hijr, ayat 39 hingga ayat 40)

Begitulah janji iblis sejak diusir dari syurga. Iblis berusaha menyesatkan semua manusia. Namun begitu, iblis mengakui bahawa mereka tidak mampu menyesatkan orang yang ikhlas. Oleh itu, jagalah keikhlasan dalam setiap langkah hidup kita supaya tidak goyah digoda oleh syaitan.

     Ketujuh, anak soleh juga perlu sentiasa menyedari hanya dengan pertolongan dan kuasa Allah SWT sahaja seorang Muslim akan memiliki kekuatan keperibadian Islam yang luar biasa. Manusia adalah makhluk yang lemah dan tidak berdaya. Kemampuan dan kekuatan yang dimilikinya adalah pemberian Allah SWT. Sekiranya Dia hendak mencabutnya, hilanglah kekuatan dan kemampuan itu.

     Apabila keperibadian Islam yang kuat terus berakar dalam diri seseorang, dia akan berupaya mengukuhkan akidahnya, memperkuat dirinya dengan ilmu-ilmu Islam tsaqafah islamiah, serta sentiasa berlandaskan syariah Islam. Seterusnya, keperibadian itu akan semakin kukuh dan menjadi darah dan dagingnya. Dia tidak akan mudah goyah walaupun pelbagai dugaan dan rintangan menghadapinya. Malah, keperibadian Islamnya akan bertambah kuat ditempa dalam jiwanya.




N / F : DARIPADA "DAHSYATNYA DOA ANAK", OLEH USTAZ ADAM CHOLIL.



No comments:

Post a Comment