Friday 13 November 2015

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 9 - RABIAH DICULIK ]






RABIAH DICULIK




Gejala penculikan semakin berleluasa di Basrah. Kegiatan itu didalangi oleh sindiket culik yang profesional. Mereka yang diculik dijual sebagai hamba di luar kota Basrah. Pada saat bencana kemarau yang belum surai, perniagaan hamba menjadi sumber ekonomi yang menguntungkan kerana permintaan hamba yang tinggi dari luar Basrah.

     "Kita mesti mengubah cara kita," kata ketua sindiket culik itu kepada anak-amak buahnya sambil mengusap-usap perut buncitnya. "Permintaan dari luar kota semakin meningkat dan amat rugi sekiranya kita tidak mampu bekalkan hamba-hamba itu. Kebanyakan mereka pula amat berminat membeli hamba kanak-kanak."

     "Sekiranya begitu kita beli sahaja anak-anak penduduk Basrah yang miskin. Saya pasti mereka menjualnya dengan harga yang murah kerana tidak mampu lagi menyara anak mereka. Sejak kemarau melanda, mereka sudah menjadi semakin terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja." Orang kanan ketua sindiket memberi cadangan kepada ketua mereka.

     "Bagus cadangan kamu, tetapi bukankah rugi sekiranya kita membeli? Ia masih memerlukan modal dan risikonya juga tinggi. Kita bawa hamba-hamba itu jauh merentasi padang pasir sebelum dijual. Sekiranya ada yang mati ataupun sakit, kita yang rugi," kata ketua mereka pula.

     Dengan pantas seorang anak buah ketua sindiket itu bangun lalu berkata dengan nyaring, "Saya faham maksud ketua, buat apa kita susah-susah membeli mereka. Kita hanya perlu menculik mereka sahaja. Tiada sebarang modal dan risiko rugi juga rendah. Walaupun penduduk Basrah sekarang terdesak, saya fikir hanya segelintir sahaja yang sanggup menjual anak mereka."

     Ketua sindiket penculikan merangkap saudagar hamba itu tersenyum sinis mendengar kata-kata anak buahnya. "Tidakku sangka kamu begitu pintar. Alang-alang sudah jahat, biar jadi betul-betul kelat."

     Mereka kemudiannya ketawa berdekah-dekah sambil di tangan masing-masing memegang botol arak. Mereka terus tenggelam dalam lautan kemabukan ciptaan mereka sendiri.

     Suatu petang yang panas terik, Rabiah sedang berjalan seorang diri menelusuri lorong-lorong di kota Basrah. Namun hatinya berdebar-debar, seakan-akan mendapat petanda ada perkara buruk bakal berlaku.

     Rabiah hanya mampu berdoa dalam hati, sambil kakinya melangkah laju. "Ya Allah, musibah apakah yang bakal diuji kepadaku kali ini? Sekiranya ujian ini adalah bagi menunjukkan kasih-Mu kepadaku, aku reda."

     Tiba-tiba penglihatan Rabiah gelap. Dia merasakan satu hentakan kuat pada kepalanya. Tiada apa yang mampu dilakukan melainkan reda dengan kehendak Allah.

     Penglihatan Rabiah masih kabur dan sakit akibat hentakan masih terasa. Dia terdengar perbualan beberapa lelaki.

     "Berapa orang yang kita dapat pada hari ini?" tanya satu suara garau ketua sindiket culik itu.

     "Termasuk budak perempuan yang kurus kering ini ada sembilan orang," ujar anak buahnya. Dia merasakan dirinya sudah menjalankan tugas dengan cemerlang pada hari itu.

     Tanpa diduga, ketua sindiket penculikan itu tiba-tiba menampar kedua-dua orang anak buahnya. "Nampaknya kamu berdua memang bodoh! Apakah kamu tidak tahu budak perempuan ini tidak menguntungkan kita?"

     Mereka berdua hanya membatukan diri.

     "Sekarang bawa semua hamba ini dan jual. Dapatkan bidaan yang tertinggi," kata ketua mereka sambil berlalu pergi.

     Mereka kemudian menyalahkan diri masing-masing. Penculik pertama menyalahkan rakannya. Sambil menenyehkan kepala rakannya dia berkata, "Disebabkan kau, tuan marahkan kita. Bukan sudah kukatakan tadi, budak ini tidak bernilai. Lihat sahaja keadaan dirinya yang kurus melidi ini, tentu tidak laku dijual."

     Penculik yang kedua menepis tangan rakannya lalu menengking, "Lebih baik ada daripada tiada langsung. Mustahil tuan kita benarkan kita hidup lagi sekiranya pulang tanpa hasil."

     Penculik pertama baru teringat rakan mereka yang terus sahaja dibunuh semalam oleh ketua mereka, sejurus menyatakan dia tidak sanggup menculik kanak-kanak bagi dijadikan hamba. "Sekiranya begitu, mari kita ke pasar bagi melelong budak-budak ini."

     "Mengapa kamu tersenyum, wahai budak?" Sergah penculik tadi apabila melihat Rabiah tersenyum sendirian ketika sesi lelongan berlaku. Dia tidak senang melihat Rabiah begitu. Disebabkan Rabiah juga, dia dihadiahkan penampar oleh ketuanya.

     "Saya bahagia sekali," jawab Rabiah ringkas.

     "Apakah menjadi hamba abdi membuatmu bahagia?" Lembut sedikit suara lelaki itu.

     "Ini adalah ujian daripada Allah dan saya reda. Saya yakin ini adalah caranya Allah menunjukkan kasih sayangnya kepada saya." Rabiah menerangkan. Wajahnya sentiasa tenang walaupun kemerdekaannya baru sahaja diragut.

     Lelaki penculik itu mula tersedar, budak perempuan yang kurus kering di hadapannya bukan sebarang budak lantas dia memohon maaf, "Maafkan saya, bukan maksud saya mahu melakukan segala kejahatan ini. Namun apakan daya, ini sahaja caranya yang saya tahu bagi mencari sesuap makanan."

     "Bukankah rahmat Allah itu meliputi sekalian alam. Apakah hanya melakukan kerja ini kamu beroleh rezekinya? Sedarkah kamu ulat di dalam batu juga mampu hidup hanya kerana izin Allah. Inikan pula kamu yang diberi akal oleh Allah bagi berusaha dan boleh membuat pilihan. Sesungguhnya pilihan itu di tangan kita. Kita yang memilih bagi mendapatkan keredaan Allah ataupun sebaliknya." Panjang huraian Rabiah kepada lelaki itu.

     "Apakah masih punya ruang untuk orang sepertiku bertaubat? Layakkah kasih dan sayang Allah kepada diriku?"

     Rabiah memandang lelaki itu lalu bertanya, "Pernahkah kamu melihat seluruh tanah daratan dan isinya?"

     "Tidak," jawab lelaki itu.

     "Bagaimana dengan seluruh lautan dan isinya?" soal Rabiah.

     "Juga tidak," jawab lelaki itu lagi.

     "Sekiranya kamu mahu, apakah kamu mampu menghitung jumlahnya?"

     "Mana mungkin." Lelaki itu menjawab.

     "Maka ketahuilah olehmu, keampunan Allah kepada hambanya melebihi segala yang ada di muka bumi dan isinya, malah segala yang di laut dan isinya."

     Sang pemancar sinar sudah tidak menyuluhkan cahayanya, namun Rabiah masih belum terjual. Sedangkan hamba-hamba yang lainnya sudah lama dibeli orang. Namun dia tetap sabar dan reda. Mulutnya tanpa lenguh mengucapkan zikir kepada Allah.

     Dia mahu setiap detik dan saat menyebut dan mengingati nama Allah. Kemabukan cintanya kepada Allah hanya dapat dibuktikan dengan untaian-untaian zikir munajat yang tiada hentinya itu.

     Padahal Rabiah juga berasa risau dan runsing mengingatkan kakak-kakaknya yang tidak tahu ke mana dia menghilang dan mereka pastinya susah hati, "Kasihan kakak-kakakku, mereka tentu sangat risaukan aku. Maafkan aku... bukan aku pinta jadi begini. Ini adalah takdir Allah dan semestinya ia terbaik untuk kita."

     Sebenarnya Rabiah lebih risau sekiranya kakak-kakaknya mengalami nasib yang sama dengannya. Dia lantas berdoa kepada Allah supaya kakak-kakaknya tidak ditimpa ujian sebagaimana yang sedang menimpa dirinya.

     Tiba-tiba datang seorang lelaki gemuk bercakap-cakap dengan lelaki sindiket penculikan itu. Mereka seakan-akan berbincang sambil matanya merenung ke arah Rabiah.

     Selepas proses tawar-menawar berlaku, lelaki sindiket itu kemudiannya menghampiri Rabiah lalu berkata, "Maafkan saya, kamu sudah saya jual dengan harga enam dirham kepada lelaki gemuk yang hodoh itu. Saya rasa serba salah kerana lelaki itu kelihatannya bukan seperti orang yang baik, dia kelihatan bengis. Saya khuatir kamu...."

     "Tidak mengapa, Allah tidak selamanya menguji tanpa sebab. Saya yakin ada hikmah yang besar di sebalik apa yang berlaku. Serahkan sahaja saya kepada tuan saya itu."

     "Saya ada satu permintaan sebelum kita berpisah. Sudilah kamu doakan saya supaya berubah. Sekiranya benar saya ada peluang, saya pasti bersungguh-sungguh bertaubat dan kembali kepada Allah."

     "Allah tidak mengubah nasib seseorang itu melainkan mereka sendiri yang memulakan perubahan itu. Kamu lakukan perubahan itu, nescaya Allah lorongkan kepadamu jalan menuju cinta-Nya."

     Semasa melangkah pergi mengikuti tuan barunya, Rabiah berpaling kepada lelaki itu dan berkata, "Insya-Allah, saya doakan kamu."




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment