Monday 9 November 2015

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 6 - RABIAH MEMBESAR ]






RABIAH MEMBESAR




Hari dan waktu bersilih ganti, ramai pula yang sudah menjadi tanah dan debu. Ada yang baru disuakan dengan fana hidup dan ada yang membesar terus mengakar. Rabiah juga semakin membesar, ternyata Rabiah lain daripada yang lain dan keistimewaannya itu sudah terserlah sejak kecil lagi. Ketika kanak--kanak lain sibuk bermain-main selaras dengan fitrah kanak-kanak, Rabiah pula tekun dalam misi yang seakan jelas pada dirinya bagi menjadi orang yang tinggi darjatnya di sisi Allah dan rasul-Nya kelak.

     Mak Cik Syuaibah, salah seorang jiran keluarga sering memuji Rabiah, "Alangkah beruntungnya Ismail dan isterinya kerana anak-anak mereka semuanya baik. Walaupun mereka itu miskin dan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, namun tiada isu kekurangan kasih sayang dan masalah akhlak di kalangan anak-anak mereka. Sekiranya anak-anak kita seperti anak-anak mereka...."

     Mak Cik Habsah juga mengiakan, "Benar, sejuk hati saya memandang anak-anak Ismail itu. Bukan sahaja rupawan, namun akhlak dan santun mereka sangat bagus bahkan mereka juga alim dan rajin belajar agama. Tentu sejuk perut ibu mereka yang mengandungkan."

     Mak Cik Busra yang tidak mahu ketinggalan dalam perbincangan itu turut bersuara, "Apa yang mahu dihairankan, ibu dan bapa mereka soleh. Ismail seperti yang kita semua kenal, bersifat warak dan kuat beribadat. Isterinya juga baik kerana sentiasa sabar dan taat kepada Allah dan suaminya."

     "Benar sekali kata-katamu itu, bukankah anak-anak itu lahir dengan fitrah yang suci dan bersih, kita sebagai ibu bapa yang perlu mencoraknya. Sekiranya kita corakkan dengan akhlak dan ilmu-ilmu Islam, insya-Allah anak-anak kita juga menjadi orang yang baik-baik," kata Mak Cik Habsah.

     "Sekiranya begitu, sebagai ibu bapa, kita perlu menjadi hamba Allah yang baik dahulu, melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang, menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran. Saya yakin dengan cara ini sahaja akhirnya kita mampu membina keluarga yang bahagia berlandaskan ajaran Islam."

     Mak Cik Hanim yang sejak dari tadi hanya mendiamkan diri mula bersuara, "Dalam ramai-ramai anak Ismail itu, saya paling tertarik dengan anak bongsu mereka yang dinamakan Rabiah itu. Dia menunjukkan kecerdasan, akhlak yang baik dan kecenderungan mahu belajar ilmu agama yang luar biasa. Bahkan semasa umur dia baru mencecah sepuluh tahun, Rabiah sudah menghafal Quran sebanyak 30 juzuk. Sedangkan anak-anak yang sebaya dengannya masih lagi bermain."

     Mak Cik Syuaibah menambah pula, "Saya juga perasan hal itu. Sekiranya Rabiah bermain, dia menjadi guru kepada kawan-kawannya yang lain. Dia mengajar kawan-kawannya membaca Quran."

     "Saya dapat rasakan ada bakal mutiara yang bakal menyinar dari rumah Ismail," kata Mak Cik Habsah pula.

     "Saya juga dapat rasakannya."

     Wanita-wanita Basrah ini mengangguk tanda setuju dan mereka terus berbincang sesama mereka berkenaan anak-anak Ismail yang terpuji akhlaknya. Menjadi kebiasaan, mereka bertemu dan berbincang perihal sesama mereka.

     Kini Rabiah semakin membesar dan dilimpahi rahmat daripada Allah. Bermula dengan kemurahan rezeki daripada Allah kepada keluarga mereka, hingga kepada kecerdasannya dalam menuntut dan menghafal ilmu, kecantikan akhlak serta keanggunan paras rupanya juga menjadi sebutan sejak kecil lagi. Ternyata Rabiah adalah insan yang bakal mewarnai dunia ini dengan kecintaan agung kepada Tuhan dan sekalian alam.

     Pada suatu hari, ketika mereka sekeluarga sedang makan bersama, Rabiah yang ketika itu baru melepasi usia sepuluh tahun tiba-tiba bersuara, "Wahai ayah, saya teringat satu hadis daripada Rasulullah yang menerangkan berkenaan perkara halal dan haram itu jelas. Di sini jelas, yang perkara yang haram selamanya tidak berubah menjadi halal, sekalipun ayah rasakan ia perlu bagi menyara kami semua."

     Seisi keluarga Ismail tergamam seketika, selepas kata-kata Rabiah menjengah ke gegendang telinga masing-masing. Kunyahan makanan yang baru disuap ke mulut juga tidak jadi ditelan.

     Ismail kemudian bersuara, "Wahai anakku Rabiah, apakah keadaan haram itu kekal sekiranya, pada waktu itu hanya yang haram mampu diperoleh?" Ismail cuba menduga ketajaman sanubari Rabiah.

     "Apakah ujian kecil yang boleh diatasi dengan kesabaran di dunia ini, tidak berbaloi berbanding terlepasnya kita daripada azab di akhirat kelak. Saya lebih rela mati kelaparan di dunia ini daripada menanggung lapar dan seksa di dalam neraka."

     Ismail kagum dengan kecerdasan dan keluhuran akhlak anaknya yang hanya diberi nama Rabiah itu. "Anakku Rabiah, sungguh ayah rasa bersyukur dan bahagia kamu begitu memahami hakikat hidup di dunia yang sementara ini."

     Ibu Rabiah turut memuji dengan berkata, "Benar anakku Rabiah, ketika kanak-kanak seusiamu sedang asyik bermain, kamu pula asyik dengan kalam-kalam Allah hingga menjadi penghafal Quran. Ketika kanak-kanak lain masih belum mengerti halal dan haram itu sendiri. Malah ketika orang Islam keseluruhannya sedang lalai dan alpa dengan nikmat dunia yang sementara ini, kamu sudah berbicara berkenaan nasib dan azab di akhirat. Sungguh kamu ini adalah istimewa, anakku."

     Kakak sulung Rabiah berkata, "Ibu... ayah... kami juga perasan yang Rabiah kurang gemar bermain-main bersama mereka. Dia lebih senang menghadap kitab-kitab dan Quran serta menghadiri majlis-majlis ilmu."

     Kakak yang kedua juga mengiakan. "Benar sekali kata kakak, bahkan ketika kanak-kanak lain bersifat nakal dengan mengambil hasil kebun jiran-jiran tanpa kebenaran, Rabiah sama sekali tidak terlibat."

     Kakak ketiga Rabiah pula bersuara, "Seingat saya adik kita ini tidak pernah pula meminta apa-apa daripada ibu dan ayah, malah dia tidak kisah sekiranya baju yang dipakai itu adalah bekas baju-baju kita yang lama. Dia menerimanya dengan gembira tanpa membantah mahu dibelikan yang baru. Sesungguhnya kita perlu berasa malu dengan adik kita ini."

     "Sebab itu ayah katakan yang ayah dan ibu amat bertuah kerana ada kamu semua. Kamu semua adalah anugerah daripada Allah yang paling berharga. Walaupun kita tidak kaya harta, namun kasih sayang adalah lambang kekayaan sejati keluarga kita."

     Bagi memastikan Rabiah tidak terganggu dengan suasana kota Basrah yang hiruk-pikuk dan bergelumang dengan keduniaan, Ismail membina sebuah surau yang jauh dari kota Basrah bagi bermunajat dan mengasingkan diri kepada Allah. Ismail juga mengajak Rabiah turut serta bersamanya.

     "Anakku Rabiah, ayah kira sudah sampai waktunya kamu mengasingkan diri daripada segala ujian dunia yang berleluasa di kota Basrah ini," kata Ismail kepada Rabiah.

     "Saya setuju ayah, sejak akhir-akhir ini saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadat kerana gangguan sekeliling kita ini. Alangkah indah sekiranya saya dapat menyendiri bagi terus bermunajat dan mengasingkan diri kepada Allah."

     "Sekiranya begitu harapanmu, bermula esok ikut ayah ke luar kota. Ayah sudah binakan sebuah surau supaya dapat terus beribadah seperti sebelum ini. Di sana kita boleh sama-sama beribadah dengan tenang dan penuh penumpuan kepada Allah tanpa risau terjebak dengan perkara-perkara syubhah yang semakin berleluasa di kota Basrah ini."

     "Saya bersetuju ayah bahkan saya mengimpikannya. Cuma satu pinta saya."

     "Khabarkanlah anakku, Rabiah."

     "Izinkan saya terus menetap di sana. Saya lebih seronok sekiranya dapat tinggal terus sahaja di sana. Ayah jangan khuatirkan saya kerana ayah juga ke sana kerana mahu beribadah sekali gus menziarahi saya. Tambahan pula saya yakin Allah sentiasa bersama mereka yang bahu bersama Allah."

     "Baiklah, sekiranya begitu, katamu. Ayah hanya menurut, apa yang baik untukmu adalah untuk kebaikan ayah dan ibumu juga. Cukuplah Allah sebagai pelindungmu."

     Keesokannya mereka terus menuju ke tempat yang dimaksudkan, dan bermulalah secara rasmi Rabiah mengasingkan diri dari dunia luar. Kini dia berasa lebih tenang dan khusyuk dalam setiap ibadat yang dilakukan. Dia juga tidak pernah menyesal ditinggalkan sendirian di situ kerana dia sudah punya teman istimewanya yang tersendiri.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment