Tuesday 3 November 2015

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 2 - KELAHIRAN ]






KELAHIRAN




Hari yang dinanti-nanti pun tiba, kini genaplah sembilan bulan kandungan isteri Ismail al-Adawiy. Saat-saat menyambut kelahiran pun tiba. Namun pasangan ini masih dalam keadaan gundah memikirkan nasib bayi yang bakal lahir itu.

     Kelahiran yang sepatutnya disambut dengan kegembiraan itu, dilenyapkan oleh perasaan resah dek kemiskinan mereka.

     "Nampaknya, anak ini akan lahir pada bila-bila masa sahaja," kata isteri Ismail.

     "Sekiranya begitu, elok kita bersedia dan jangan buat kerja-kerja berat lagi. Urusan anak-anak serahkan kepada saya. Insya-Allah semuanya berjalan lancar."

     "Terima kasih, saya sangat bahagia di sisi abang. Alhamdulillah, walaupun miskin namun kaya dengan kasih sayang dan perhatian abang. Saya tidak menyesal bersuamikan abang."

     Ismail al-Adawiy hanya tersenyum mendengar kata-kata isterinya. Dalam hati dia terus berdoa supaya dilimpahkan rahmat daripada-Nya.

     Dinihari keesokan harinya isteri Ismail tiba-tiba mengerang kesakitan, kandungannnya itu akan keluar pada bila-bila masa. Dengan menggunakan apa yang ada, Ismail sendiri yang menjadi bidan kepada bayi itu.

     Bukan dia tidak biasa, ketiga-tiga anaknya yang lain pun, dia adalah bidannya.

     "Sabar isteriku, insya-Allah semuanya selamat," kata Ismail cuba menenangkan isterinya.

     Dia kemudian memberikan arahan kepada anak-anaknya yang lain supaya membantu. "Anak-anakku, ibu kamu akan melahirkan adik pada bila-bila masa sahaja, ayah minta kamu buat apa yang sepatutnya. Banyakkan berdoa kepada Allah."

     "Baiklah ayah," kata kakak yang sulung. Adiknya yang berdua itu, sekarang mengangguk faham.

     "Sediakan air panas untuk ibu, sekarang kamu ke luar dulu."

     Selepas beberapa ketika bergelumang dengan kesakitan, anak keempat mereka dilahirkan dengan selamat. Ismail dan isterinya menatap anak itu dengan kesayuan, Ismail segera melafazkan iqamat di telinga anaknya itu.

     "Anak kita lelaki ataupun perempuan?"

     Ismail menjawab sambil memandang tepat ke wajah isterinya, "Seperti yang saya katakan dahulu, biar lelaki ataupun perempuan. Kita reda menerimanya."

     Fahamlah isterinya bahawa anak yang baru dilahirkan itu adalah bayi perempuan. "Tidak mengapa, ada hikmah di sebalik ketentuan Allah ini. Tidak semestinya perkara yang kita suka itu baik untuk kita, bahkan tidak semestinya perkara yang buruk itu tidak baik untuk kita."

     "Benar isteriku, kita mesti reda dan yakin yang Allah itu maha pengasih dan penyayang."

     Mereka terdiam sejenak, masing-masing menatap bayi perempuan yang baru lahir itu. Pilu menyelubungi hati. "Apakah tidak ada walaupun sehelai kain bagi kita membalut tubuh kecil anak kita?"

     "Tidak ada isteriku, melainkan apa yang kita pakai ini." Lemah sahaja bunyi suara Ismail.

     "Sekiranya begitu, apakah mungkin sekiranya kita minta tolong dengan jiran-jiran kita? Mungkin mereka sudi menolong?" Isteri Ismail bertanya sambil memberi cadangan.

     "Insya-Allah, saya cuba."

     Ismail lantas bingkas menuju ke luar rumah, dia berpaling dan berkata, "Insya-allah, saya usahakan. Namun janganlah mengharap selain daripada Allah. Sekiranya ada rezeki, mesti jiran kita sudi membantu. Sekiranya Allah tidak membenarkan, maka tiadalah jiran kita yang sudi membantu."

     "Saya tahu, walaupun kita miskin tetapi kita tidak pernah meminta-minta. Mungkin untuk kali ini sahaja, demi anak ini."

     "Berdoalah kepada Allah."

     Ismail menuju ke rumah jiran-jirannya, pintu diketuk satu persatu namun tiada yang mahu membuka malah salam yang disampaikan pun tidak dijawab.

     Di dalam rumah, Lahab suami kepada Maimun berkata, "Diam, jangan kamu buka pintu itu."

     Maimun menjawab, "Tetapi bunyinya jiran kita itu dalam kesusahan. Adalah tidak wajar kita tidak membantunya."

     Lahab menjengilkan matanya, marah kepada isterinya, "Baik sangatkah kamu, kita ini pun makan pagi kais pagi, makan petang kais petang."

     "Saya tahu isteri Ismail tentu sudah melahirkan anaknya yang keempat, mungkin kerana itu dia ke sini. Bantulah mereka walaupun sedikit. Amat besar pahalanya orang yang memberi di kala mereka memerlukan."

     "Sudah, saya tidak mahu dengar." Lahab menamatkan perbualan dengan isterinya. Isterinya pula tidak boleh berbuat apa-apa kerana tahu suaminya tidak suka sekiranya dia menolong Ismail.

     Dalam keadaan lemah longlai, Ismail meneruskan langkah ke rumah jirannya yang yang berada. Selepas memberi salam, juwairiah atau orang suruhan rumah itu keluar.

     "Apakah tuanmu ada di rumah?" tanya Ismail.

     "Apakah hajat tuan ingin berjumpa dengan tuan saya?" Juwairiah itu membalas.

     "Katakan kepadanya, Ismail al-Adawiy yang tinggal di hujung sana meminta ihsan sekiranya ada kain yang sudah mahu dibuang dan sedikit minyak untuk isteri saya yang baru bersalin." Ismail menyusun kata.

     "Baiklah, saya akan khabarkan kepadanya."

     Seketika kemudian, juwairiah itu muncul kembali dengan muka yang serba salah. "Tuan, maafkan saya. Tuan saya berkata dia tidak akan memberi kepada orang yang meminta tanpa berusaha. Katanya hanya orang yang malas meminta-minta, sedangkan dia pun bekerja keras, barulah dapat memiliki harta-harta ini. Dia minta tuan pergi dari sini."

     "Tidak mengapa, hanya Allah yang lebih mengetahui perihal hamba-Nya." Bertimpa-timpa malang Ismail, jirannya juga tidak mahu menghulurkan bantuan. Bahkan untuk rumah-rumah yang seterusnya pun keadaan yang sama berlaku. Akhirnya dia pulang dengan tangan kosong. Terus dia berfikir bagaimana mahu berdepan dengan isterinya nanti.

     Dengan lembut Ismail al-Adawiy menghampiri isterinya yang sedang lena di samping bayi mereka yang baru lahir itu. Seketika kemudian isterinya terjaga sambil tersenyum, lantas Ismail berkata kepada isterinya, "Isteriku, milik siapakah hidup ini dan segala isinya?"

     "Tentunya milik Allah."

     "Sekiranya kita minta kepada-Nya, adakah Dia makbulkan?"

     "Sudah tentu, bukankah Allah pernah berkata yang maksudnya, mintalah kepadaKu, nescaya akanKu perkenankan."

     "Sekiranya tidak diperkenankan?"

     "Maksudnya Allah tidak kurniakan sekarang. Mungkin pada masa hadapan, mungkin juga doa itu kelak dibalas di akhirat kelak."

     Ismail tersenyum dan hatinya berasa sangat tenang. Isterinya bukan sahaja sanggup bersamanya malah dia juga sanggup berkorban untuk mereka sekeluarga. "Sekiranya begitu, janganlah bersedih sekiranya kita meminta kepada sesama makhluk dan mereka tidak memberi, kerana ini adalah ketentuan Allah."

     Fahamlah isteri Ismail, tiada jiran sudi menghulurkan bantuan kepada mereka. "Tidak mengapalah, mereka juga manusia biasa, semoga Allah merahmati mereka."

     "Kita selimutkan sahaja anak kita ini dengan kain yang ada. Walaupun usang dan kotor, ia lebih baik daripada pemberian yang syubhah. Insya-Allah, kita yakin yang Allah itu maha bijaksana. Mungkin Allah mahu memelihara kita dan anak kita ini daripada perkara syubhah, yang tidak jelas halal dan haramnya."

     Bayi yang baru lahir itu seakan-akan mengerti kata-kata dan penderitaan yang dihadapi oleh kedua-dua orang tuanya, lantas dia segera mendiamkan diri dan tidak menangis lagi.

     "Semoga dirimu menjadi hamba Allah yang bertakwa, anakku." Ismail dan isterinya berdoa.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment