Thursday 5 November 2015

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 4 - MIMPI ISMAIL AL-ADAWIY ]






MIMPI ISMAIL AL-ADAWIY




Sejak kelahiran Rabiah sudah beberapa hari Ismail tidak keluar mencari rezeki. Sememangnya Ismail amat dikenali kerana dia seorang pekerja yang rajin dan dipercayai oleh masyarakat di Basrah. Selain itu Ismail juga adalah seorang yang alim lagi abid di kalangan mereka. Ismail sanggup mengambil upah bekerja apa sahaja asalkan pekerjaan itu tidak terlibat dengan perkara haram.

     "Nampaknya bekalan di rumah kita sudah berkurangan. Saya akan ke bandar sambil mencari orang yang sudi mengupah saya membuat sebarang kerja. Dengan izin Allah, semoga dipermudahkan urusan kita pada hari ini," kata Ismail kepada isterinya yang sedang menyusukan anak bongsu mereka, Rabiah.

     "Baiklah, semoga Allah permudahkan urusan kita. Janganlah terlalu memaksa diri membuat kerja-kerja yang berat. Saya juga risau abang ditimpa sakit sekiranya terlalu kuat bekerja. Lagipun kami semua hanya ada abang sebagai pelindung selain Allah."

     Ismail hanya mampu menghadiahkan senyuman tanda terima kasih kepada isterinya.

     Ismail kemudian memanggil anak-anaknya dan berpesan, "Anak-anak ayah yang baik, ayah ke bandar bagi mencari rezeki yang halal. Kamu bantu ibu serta jaga adikmu Rabiah. Ayah hanya boleh mengharapkan kamu semua. Semoga Allah juga menolong kamu."

     "Baiklah ayah. Insya-Allah kami laksanakan amanah ayah dengan baik. Semoga Allah merahmati kita semua."

     Ismail tersenyum melihat gelagat anak-anaknya. Mereka lantas bersalaman dan berpelukan mesra. 

     Di bandar, Ismail cuba bertanyakan para peniaga sekiranya ada kerja yang boleh dilakukannya. Namun selepas beberapa kali bertanya, ternyata tiada kekosongan. Ismail resah dan terus menerus berdoa dalam hatinya, "Ya Allah permudahkan urusanku ini."

     Tiba-tiba Ismail terdengar suara memberikan salam dari belakang. Dia menjawab sambil menoleh dan mendapati seorang hamba lelaki sedang memandangnya.

     Hamba itu kemudiannya bertanya, "Adakah tuan bernama Ismail al-Adawiy dan sedang mencari kerja?"

     Jawab Ismail kehairanan, "Benar, apakah kamu sudi mengupah saya dengan rezeki yang halal?"

     "Alhamdulillah, sekiranya begitu senanglah saya. Tuan saya seorang saudagar kain, mahu mengajikan tuan bagi mengajarkan anak-anaknya belajar Quran. Apakah tuan dapat memenuhinya?"

     "Insya-Allah, akan saya usahakan."

     "Selain itu, mungkin juga anak-anak sahabat tuan saya mahu turut serta dan mereka mungkin memberi sumbangan khusus kepada tuan. Mungkin juga para pegawai mereka pun mahu belajar daripada tuan."

     "Alhamdulillah." Hanya sepatah lafaz syukur yang mampu diucapkan oleh Ismail bagi menggambarkan kesyukurannya kepada Allah.

     "Sebenarnya saya sudah bertanyakan kepada orang di bandar Basrah, semua orang mengesyorkan kepada saya bagi mencari tuan. Tentu tuan saya gembira kerana tuan sudi berkhidmat dengannya."

     "Saya hanya berkhidmat kerana Allah. Adapun ganjaran yang diberikan hanya bagi meneruskan hidup yang fana ini. Ia bukan mutlak daripada tuan kamu sebenarnya, kerana dia juga memerlukan rezeki dan ihsan daripada Allah."

     "Benar kata tuan, saya kagum dan berbesar hati sekiranya saya juga boleh berguru dengan tuan kelak," kata hamba itu.

     "Bilakah pengajian bermula?" Ismail bertanya.

     "Sekiranya tuan setuju, sekarang juga kita pergi menemui tuan saya. Rasanya tuan saya juga berharap pengajian boleh bermula dengan segera," jawab hamba itu.

     "Sekiranya begitu, mari kita ke sana." Ismail mengajak hamba itu.

     Mereka berdua kemudian terus sahaja menuju ke rumah saudagar itu.

     "Mungkin ini rezeki Allah sempena atas kelahiran anakku, Rabiah. Syukur kepada-Mu ya Allah." Ismail berkata dalam hati.

     Bermula hari itu, Ismail sudah mempunyai kerja tetap dengan mengajar dan mendidik anak-anak orang kaya di Basrah, malah sesiapa sahaja dengan ilmu Quran dan ilmu-ilmu Islam yang lainnya.

     Walaupun jadual harian Ismail semakin sibuk, dia tidak pernah mengabaikan rutin hariannya bagi menatap dan membaca Quran setiap malam sebelum tidur. Dia mendisplikan dirinya bagi menghabiskan paling kurang lima juzuk sehari. Bukan sahaja membaca Quran, bahkan dia bangkit semula pada sepertiga malam bagi bermunajat dan bertahajud kepada Allah. Ismail terus berzikir hingga ke Subuh.

     Pada suatu malam, selesai bertadarus, Ismail terus terlena. Namun malam itu adalah lain daripada malam-malam sebelumnya. Ismail bermimpi sesuatu yang membuatkan dia sangat bahagia. Hal ini disedari oleh isteri Ismail pada keesokan harinya.

     Namun isterinya tidak bertanyakan soalan walaupun hatinya teringin sangat mengetahui apa yang sedang berlaku kepada suaminya. Dia hanya boleh berharap suaminya mahu berkongsi dan menceritakan perkara itu kepadanya.

     Ismail yang menyedari tingkah laku isterinya itu, kemudian merapati isterinya dan berkata, "Isteriku, abang sangat senang hati hari ini."

     Isteri Ismail tersenyum lantas membalas, "Saya boleh melihatnya daripada seri wajah abang. Saya turut gembira melihat abang senang hati. Bolehkah saya tahu sebabnya?"

     Ismail merenung tepat ke wajah isterinya, kemudian dia menjatuhkan pandangannya ke lantai rumah dan berkata, "Abang didatangi oleh seorang tetamu yang sangat istimewa dan dia juga membawa khabar yang sangat menggembirakan kita."

     Isteri Ismail teruja, namun dia hairan dengan kenyataan suaminya itu lalu mempersoalkan, "Bilakah masanya tetamu itu hadir di rumah kita sedangkan saya lihat abang terus tertidur sejurus selesai bertilawah semalam."

     "Tetamu itu hadir dalam mimpiku."

     "Siapakah gerangan orang yang istimewa itu?"

     "Beliau ialah Nabi Muhammad."

     Isteri Ismail terkejut lantas menumpukan sepenuh perhatian pada perbicaraan suaminya. Anak bongsu mereka pula sedang dijaga oleh kakak-kakaknya.

     "Apakah benar bicara abang?"

     "Benar isteriku, Rasulullah datang dengan rupa yang sangat indah bak rembulan purnama. Pakaiannya sangat bersih, abang berasa sangat bahagia di saat kami bertentang mata. Seakan tidak mahu berpisah dengannya. Rasulullah juga menyampaikan beberapa pesanan kepada abang."

     "Subhanallah, saya turut bergembira mendengarnya. Khabarkanlah pesanan Rasulullah itu, saya tidak sabar mendengarnya."

     "Pertamanya rasulullah berpesan berkenaan anak bongsu kita, Rabiah."

     Isteri Ismail tercengang. "Mengapa dengan anak kita, Rabiah?"

     "Rasulullah berpesan kepada kita supaya jangan bersedih dengan kesusahan yang kita sangka bertambah dengan kelahiran Rabiah. Ini kerana Rabiah kelak menjadi seorang wanita yang terhormat dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan Rasul-Nya. Malah Rasulullah juga mengkhabarkan yang umat beliau dengan jumlah 70 puluh ribu orang memerlukan syafaat daripada Rabiah di akhirat kelak."

     "Alhamdulillah, maha suci Allah yang mengaturkan segalanya. Dalam sedikit ujian, ternyata terhurai sejuta rahmat. Sepatutnya kita bersyukur kepada Allah."

     Ismail mengangguk setuju. "Benar isteriku, namun yang agak merunsingkan saya adalah pesanan Rasulullah yang kedua itu."

     "Apakah pesanan itu? Luahkanlah, nescaya abang tidak keseorangan sekiranya memerlukan khidmat saya."

     "Saya diarahkan bagi menghadap penguasa Basrah, Sultan Isa Bajan."

     Isteri Ismail mengetap bibir dan mukanya berkerut. Dia lantas melanjutkan persoalannya, "Apakah tujuannya?"

     Ismail menjelaskan lagi, "Namun sebelum itu, Rasulullah meminta saya menulis sepucuk surat bagi menceritakan apa yang berlaku kepada diriku semalam."

     "Ayuh, kita laksanakan. Sekiranya ini adalah amanat daripada Rasulullah sendiri, ia pastinya kebaikan daripada Allah. Jangan khuatir suamiku, yakinlah yang anak kita itu sememangnya insan yang terpilih. Saya sudah merasainya dari dahulu lagi kerana Rabiah amat senang dikandungkan dan tidak mendatangkan sebarang sakit semasa saya melahirkannya."

     "Baiklah, sekiranya begitu katamu. Saya segera ke kedai membeli kertas dan pena. Alhamdulillah, duit upah saya mengajar Quran masih berbaki. Makanan untuk kita dan anak-anak juga masih boleh bertahan hingga ke minggu seterusnya."

     "Seeloknya kita rahsiakan dahulu perkara ini daripada sesiapa pun."

     "Saya juga berpendapat demikian."




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.


No comments:

Post a Comment