Tuesday 3 November 2015

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 1 - REDA DERITA ]






REDA DERITA




Dihinari itu hening, seiring dengan udara yang sangat dingin, sayup-sayup terdengar suara azan dari tengah kota, menandakan waktu subuh sudah menjengah. Di sebuah pondok kecil di hujung kampung, sepasang suami isteri sedang berbicara halus supaya tidak mengejutkan anak-anak mereka yang lain.

     Ismail al-Adawiy, suami kepada isteri yang bakal melahirkan itu bersuara, "Isteriku, bersabar dan tabahlah. Tuhan sentiasa bersama orang yang sabar."

     Ismail menyedari keperitan hidup yang mereka lalui itu.

     "Saya faham, tetapi semakin hari kita semakin susah. Tidakkah ada ikhtiar bagi kita mengatasinya? Saya sangat kasihankan anak-anak kita. Lagipun tidak lama lagi kita bakal menyambut kelahiran anak keempat. Isterinya yang setia tidak mengeluh tetapi sekadar berkongsi dengan suami tersayang.

     "Kita sudah berusaha sedaya yang mampu, namun Tuhan sudah tetapkan rezeki kita sebanyak ini. Alhamdulillah." Ismail cuba menenangkan isterinya.

     "Marilah kita solat subuh, kejutkan anak-anak kita. Sama-sama kita berdoa kepada Tuhan. Semoga Tuhan kasihankan kita."

     Sambil merenung ke langit kelam yang berbintang, Ismail memanjat doa kepada Tuhan seusai solat subuh berjemaah, bersama ketiga-tiga anaknya. Walaupun miskin, Ismail menekankan tarbiah Islam dalam keluarganya.

     "Bilakah adik kita lahir?" tanya anak sulung Ismail.

     "Insya-Allah, tidak lama lagi," jawab Ismail.

     Ibu mereka hanya tersenyum.

     Anak kedua mereka pula bertanya, "Adik ini lelaki ataupun perempuan?"

     Ibu mereka sambil senyum berkata, "Kita serahkan semuanya kepada Tuhan. Ibu dan ayah tidak tahu kerana adik kamu masih di dalam perut."

     Yang ketiga pula menyampuk seraya memeluk dan menekap telinga ke perut ibunya, "Ibu, nanti ibu tidak sayang saya lagi. Ibu akan sayang adik ini sahaja."

     Isteri Ismail memeluk kesemua anak mereka dengan air mata mengalir di pipi. Melihat gelagat anak-anak gadisnya yang polos itu, hatinya begitu terusik, kasihan kepada anak-anaknya yang terpaksa membesar dalam kedaifan.

     "Ibu menangis? Mengapa ibu menangis? Ibu menangis, kami pun rasa mahu menangis." Masing-masing bergenang air mata.

     "Ibu menangis kerana sayangkan kamu semua. Sebab itu kamu perlu jadi anak yang solehah, jadi muslimah sejati yang taat kepada Allah dan rasul, yang kelak berbakti kepada ibu dan ayah."

     Mereka sekadar mengangguk. "Maknanya, sekiranya kami menangis, tandanya kami sayang kepada ibu dan ayah?"

     Anak-anak kecil itu masih kurang mengerti apakah makna air mata ibu mereka itu. Ayah mereka juga kesayuan mengenangkan nasib keluarga mereka. Dia hanya mampu bersandar di dinding tanah liat pondok usang mereka, mulutnya dibasahi dengan zikir kepada Allah.

     Katanya kepada anak-anak itu, "Yakinlah anak-anakku, Allah hanya tetapkan yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Yakinlah, sekiranya bukan di dunia kita senang, kita masih punya peluang di akhirat. Asalkan kita menjadi hamba Allah yang baik, melaksanakan yang disuruh-Nya dan meninggalkan yang dilarang-Nya."

     "Kami faham ayah," jawab anak-anak gadis itu serentak.

     Saat Ismail dan isterinya mendapat tahu yang mereka bakal mendapat anak yang keempat, kedua-duanya menerima perkhabaran itu dengan perasaan yang bercampur baur.

     "Abang, semakin bertambahlah beban kita kelak. Bahkan anak kita yang bertiga ini pun belum sempurna makan dan minumnya."

     "Isteriku, anak itu adalah amanah dan rezeki daripada Allah. Pasti ada hikmahnya kelahiran anak kita yang keempat ini. Semoga dia menjadi anak yang soleh dan patuh pada kedua ibu bapa."

     "Saya juga berharap anak kita ini dapat membantu meringankan beban kita kelak."

     "Semoga dia dapat menjaga dan bertanggungjawab pada kakak-kakaknya apabila saya sudah tiada, insya-Allah." Begitulah bicara mereka berdua. Sangat berharap dan sentiasa berdoa bagi mendapatkan seorang anak lelaki.

     Isteri Ismail tiba-tiba bertanya, "Bagaimana sekiranya anak ini seorang bayi perempuan?"

     Ismail terdiam seketika, kemudian berkata, "Lelaki ataupun perempuan, dia tetap anak kita. Kedua-duanya adalah rezeki daripada Allah kepada kita, apakah mampu kita menolak qadak dan qadar Allah ini?"

     Ismail menyambung, "Salah satu rukun iman adalah beriman dengan qadak dan qadar Allah. Dalam erti kata lain, kita perlu sentiasa menerima nasib baik ataupun buruk daripada Allah dengan reda dan yakin, segala apa yang terjadi adalah yang terbaik daripada Allah."

     Isteri Ismail kagum dengan sifat reda suaminya. "Baiklah, saya juga reda pada qadak dan qadar Allah. Akhlak yang abang tunjukkan menjadi tunjang kekuatan saya. Saya tidak kisah kita miskin, asalkan kita sekeluarga bahagia."

     Hari kelahiran bayi keempat mereka sudah hampir, namun persediaan bagi menyambut bayi itu belum diuruskan. Bahkan sehelai kain baharu pun tiada, kain yang ada cuma di badan mereka.

     "Bagaimana persediaan kita bagi menyambut kelahiran anak kita nanti?" tanya isteri Ismail sebaik sahaja dia pulang daripada bekerja.

     "Nampaknya tidak ada apa yang mampu kita sediakan," jawab Ismail lemah.

     "Saya cuma khuatir kesihatan anak kita kelak."

     Ismail mendiamkan diri, sekadar menarik nafas dalam-dalam. "Insya-Allah, akan ada pertolongan daripada Allah untuk hamba-Nya."

     "Janganlah memaksa diri sekiranya itu semua di luar kemampuan kita."

     "Tetapi, paling kurang kita perlu buat persediaan walaupun sedikit."

     "Sekiranya begitu, nanti saya tanyakan kepada jiran-jiran. Insya-Allah ada antara mereka yang sudi memberikan sumbang ikhlas kepada kita." Isteri Ismail memberi cadangan kepada suaminya.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment