Friday 6 November 2015

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 5 - MENGHADAP RAJA BASRAH ]






MENGHADAP RAJA BASRAH




Rasa debar menguasai diri Ismail. Bukan kebiasaannya masuk ke dalam istana raja. Namun kerana itu adalah amanah yang disampaikan daripada rasulullah sendiri walaupun melalui mimpi, Ismail gagahkan jua menghadap Raja Basrah ketika itu.

     Ismail juga membawa bersama coretan surat yang menceritakan perihal mimpinya semalam untuk dihadapkan kepada Sultan Isa Bazan, pemerintah yang bersemayam di atas takhta Basrah ketika itu.

     Apabila Ismail tiba di hadapan istana sultan, dia lantas menemui pegawai istana yang bertugas.

     "Bolehkah sekiranya tuan sampaikan surat ini kepada tuanku? Sesungguhnya surat ini amat penting."

     Pegawai itu lantas menyoal Ismail, "Apakah yang sangat penting sehingga ia perlu segera sampai kepada Sultan Isa Bazan? Tahukah kamu tuanku amat sibuk dengan urusan negara?"

     Ismail cuba menerangkan, "Ia adalah rahsia yang sangat perlu tuanku ketahui. Saya yakin tuanku tidak marah di atas gangguan menyampaikan surat saya ini. Lagipun saya datang bukan sebagai peminta sedekah, cuma mahu sampaikan beban yang menjadi amanah daripada seorang yang teramat mulia kepada tuanku."

     "Saya hanya khuatir tuanku murka kepadamu kerana beliau sedang bermesyuarat dengan para menterinya."

     Ismail berkata sambil memujuk lagi, "Khalifah Umar al-Khattab turun menjengah apabila mendengar rintihan rakyatnya, begitu juga Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Apakah kini apabila seorang rakyat sahaya yang datang menghadap, tuanku tidak sudi mendengarnya? Sultan Isa Bazan seorang pemerintah yang baik dan kuat beribadah. Kamu pasti mengerti selepas surat ini sampai kepada tuanku."

     Selepas berkali-kali memujuk pegawai istana itu, akhirnya pegawai istana itu bersetuju walaupun dengan hati yang berat bagi menghadap dan mempersembahkan surat Ismail itu.

     Sultan Isa Bazan yang sedang bermesyuarat dengan para menterinya berhenti seketika apabila surat itu sampai kepadanya melalui pegawai istana tadi. Tiba-tiba tangan tuanku menggeletar. Semua yang hadir terpegun melihat tingkahnya, namun tiada seorang pun yang berani bertanya.

     Sultan kemudian bertitah kepada pegawai istana itu, "Daripada siapakah kamu mendapat surat ini?"

     Pegawai istana itu kecut perut melihat reaksi Sultan Isa Bajan, "Saya mendapatnya daripada seorang lelaki yang bernama Ismail. Dia sekarang berada di pintu masuk istana tuanku."

     "Jemput Ismail masuk menghadap. Mesyuarat ini kita tangguh dulu. Beta ada hal yang lebih mustahak mahu diselesaikan."

     Baru sahaja pegawai istana itu mahu melangkah keluar dari balai utama, sultan tiba-tiba berubah fikiran dan bertitah lagi, "Janganlah kamu memanggilnya, adalah lebih cepat sekiranya beta pergi kepadanya dan menjemputnya sendiri. Sediakan wang sebanyak empat ratus dinar."

     "Menurut perintah tuanku."

     Sekali lagi mereka yang hadir tercengang apabila mendapat tahu yang sultan sendiri sanggup menemui orang yang bernama Ismail itu.

     Para menteri mengangkat punggung masing-masing mahu beredar, namun terdengar sayup-sayup perbualan mereka yang kehairanan dengan kelakuan tuanku tadi.

     "Saya fikir tuanku menerima surat ugutan bunuh." Si Panglima mengagak.

     "Mustahil ia ugutan bunuh. Sekiranya benar itu adalah ugutan bunuh, mengapa orang yang menghantarnya masih di luar menunggu mahu berjumpa tuanku? Bahkan sultan sendiri meminta disediakan wang sebanyak empat ratus dinar. Mungkin sahaja untuk habuan orang itu," jawab Bendahara.

     "Saya juga berfikir begitu. Tetapi apakah mungkin surat itu adalah surat laporan daripada rakyat tentang pegawai kerajaan yang menerima rasuah, pecah amanah, dan salah laku maksiat di kalangan pegawai-pegawai kerajaan kita?" Perdana Menteri pula menelaah.

     "Kita tunggu dan lihat dahulu bagaimana kesudahannya," jawab Panglima.

     Mereka lantas mendiamkan diri tanpa bicara. Masing-masing khuatir sekiranya benar telahan perdana menteri tadi.

     Di luar istana, Ismail masih menunggu dalam resah. Hatinya menari tanpa rentak, peluh dingin hampir sahaja membasahi keseluruhan tubuhnya. Dia juga terbayangkan isteri dan anak-anaknya, terutama Rabiah yang masih kecil itu. Sangat menggusarkannya kerana dia sendiri tidak tahu sama ada baik ataupun buruk untung nasibnya kelak.

     "Saya perlu yakin, bukankah Rasulullah sendiri yang mengisyaratkan hal ini? Mana mungkin ia perkara yang memudaratkan." Hati kecilnya cuba berbicara memujuk sanubari. "Meskipun natijahnya kelak tidak sebaik yang dibayangkan, saya juga perlu reda dengan ketentuan Ilahi itu. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang terbaik untuk diri hamba-Nya."

     Tiba-tiba Ismail berasa pelik melihat segerombolan manusia menuju ke arahnya, dia amat terkejut apabila mendapati Sultan Isa Bazan sendiri muncul di hadapannya, di tangannya ada surat yang diberikan kepada pegawai istana tadi.

     Sultan memandang Ismail lantas bertitah, "Adakah kamu Ismail?"

     "Benar tuanku," jawab Ismail ringkas, ada getar di hujung suaranya.

     "Mari ke sini, ini adalah pemberian saya untuk kamu," titah beliau seraya menyerahkan uncang berisi empat ratus dinar kepada Ismail selepas mereka bersalaman.

     Dalam kebingungan Ismail berkata, "Terima kasih di atas pemberian tuanku, hanya Allah yang mampu menilai dan membalasnya dengan setimpal kelak."

     "Tidak mengapa wahai Ismail, cuma beta ada beberapa persoalan dan beta harap kamu menjawabnya dengan jujur."

     "Insya-Allah tuanku, saya cuba menjawabnya dengan jujur."

     "Mengapa surat kamu berbunyi begini?"

     "Tuanku sudah melakukan solat sunat setiap malam seratus rakaat dan pada setiap malam Jumaat empat ratus rakaat. Namun pada malam Jumaat sudah, tuanku sudah meninggalkan empat ratus rakaat yang sepatutnya dilakukan. Oleh yang demikian, tuanku dikifarahkan sebanyak empat ratus dinar di atas kelalaian pihak tuanku dan duit itu perlu diserahkan kepada pembawa surat ini."

     Sultan Isa Bazan menyambung, "Bagaimana mungkin kamu mengetahui beta sudah terlalai daripada mengerjakan solat sunat empat ratus rakaat pada malam Jumaat sudah sedangkan tiada siapa yang tahu berkenaan amalan beta itu melainkan Allah sahaja?"

     "Sebenarnya saya juga tidak tahu perihal amalan tuanku itu, hanya Allah yang lebih mengetahuinya. Namun semalam, seusai saya bertadarus Quran, saya tertidur dan dalam tidur itu saya didatangi sesusuk makhluk Allah yang paling mulia."

     Terbeliak mata Sultan Isa Bazan mendengar penjelasan Ismail. Mereka yang mengiringi beliau ketika itu juga khusyuk memberi perhatian pada perbualan itu. Beliau lantas menyoal Ismail, "Siapakah orang yang dimaksudkan kamu, wahai Ismail?"

     "Orang mulia itu ialah Nabi Muhammad."

     "Benarkah kata-kata kamu ini, wahai Ismail?"

     "Tidak syak lagi tuanku. Rasulullah yang meminta hamba datang menghadap tuanku dengan menulis surat berkenaan perkhabaran itu."

     Sultan Isa Bazan kelihatan sungguh kagum dan terharu, hampir sahaja beliau menitiskan air mata. "Kamu seorang yang istimewa dan bertuah. Saban hari beta beribadat dan berharap supaya berjumpa Rasulullah tetapi tidak kesampaian. Namun akhirnya Rasulullah menyampaikan pesan melalui kamu."

     "Sungguh, kamu tidak berbohong. Saya yakin kamu juga bukan orang biasa-biasa melainkan darjat dan makam kamu sungguh mulia di sisi Allah dan rasul-Nya. Maha suci Allah dan maha benar utusan-Nya Nabi Muhammad, saya amat terharu Rasulullah menegur sendiri kelalaian saya. Saya berjanji tidak akan meninggalkan ibadat-ibadat itu lagi."




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment