Friday 27 November 2015

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 10 - JUWAIRIAH ]






JUWAIRIAH




Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia Allah yang tahu. Untung sambut timbul, untung batu tenggelam. Namun Rabiah tidak kisah itu semua, apa yang penting pada dirinya adalah cinta pada Allah yang menapak di sanubari halusnya tidak dicabut pergi daripada dirinya. Dia tidak mahu sedar daripada kemabukan, kerinduan dan kecintaannya kepada Allah.

     Nasib dirinya yang baik mahupun buruk diserahkan semata-mata kepada Allah.

     Selepas membeli Rabiah dengan harga enamd dirham, lelaki gemuk itu membawa Rabiah pulang, dia lantas bersuara dengan lantang sekali, "Isteriku, saya belikan juwairiah sebagai hadiah kepadamu. Mulai hari ini kamu tidak perlu membuat kerja-kerja rumah lagi. Semua kerja rumah, serahkan sahaja kepada juwairiah."

     Seorang wanita keluar mendapatkan lelaki gemuk itu lalu menyinggahkan kepalanya pada bahu suaminya lalu berkata, "Terima kasih suamiku kerana menyayangi saya."

     Mendengarkan pujian isterinya, lelaki gemuk itu tersenyum puas.

     "Siapa namamu?" Si isteri mula bertanya.

     "Rabiah," jawab Rabiah dengan air muka yang sentiasa tenang.

     Mereka terkejut dan kehairanan lalu terus bertanya, "Apakah namamu hanya Rabiah?"

     "Benar puan," jawab Rabiah.

     Mereka kemudian berpandang sesama mereka sambil membuntangkan mata dengan mulut yang terlopong luas, kemudian berderailah hilai tawa mereka bersama hingga terkekek-kekek di hujungnya.

     Entah apa yang dilucukan, Rabiah tidak mengendahkan mereka. Hatinya hanya tertumpu kepada Allah walaupun jasadnya terpacak di rumah itu.

     Selepas melepaskan hilai tawa, si isteri itu pun bersuara dengan muka yang berlagak bengis, "Baiklah, mulai hari kamu adalah hamba kami. Semua kerja di dalam rumah ini menjadi tugas kamu dan perlu diselesaikan. Jangan buat sesuatu sekiranya tidak diarah dan sekiranya kamu mahu membuat sesuatu, kamu perlu mendapatkan keizinan daripada kami terlebih dahulu."

     Selepas beberapa lama bekerja di rumah lelaki gemuk itu dan isterinya, ternyata Allah sudah menetapkan Rabiah menerima ujian yang hebat. Kedua-dua tuannya itu tidak lain hanya berhias dengan sifat-sifat buruk yang keji lagi tercela. Rabiah menjadi mangsa kepada manusia yang fakir iman dan akhlak itu.

     "Saya kasihakan juwairiah di rumah itu kerana dia dilayan bagaikan binatang oleh tuannya. Entah makan dan minumnya diberi ataupun tidak," kata seorang juwairiah kepada jiran tuan Rabiah, ketika bertemu sesama mereka.

     "Saya juga perasan. Badannya amat kurus seakan sebulan tidak menjamah makanan, malah kadang-kadang terdapat kesan lebam pada mukanya." Jiran yang lain pula menambah.

     "Saya kerap juga bertemu dengannya di pasar. Orangnya manis, malah wajahnya sangat bersih dan terpancar nur yang mendamaikan. Selayaknya dia itu menjadi anak dan bukannya hamba," tambah seorang lagi.

     "Tetapi tuan kepada juwairiah itu bagaikan binatang, isteri dan suami sama sahaja kejamnya."

     "Bagaimana kamu tahu? Jangan sembarangan berkata kerana boleh membawa fitnah."

     "Pernah saya terlihat dia menendang dan menampar juwairiah itu meskipun kerana hal yang kecil. Ia berlaku di hadapan mata saya sendiri. Apabila ada yang hendak menolong, mereka suami isteri pasti menghalang."

     "Ikutkan hati, mahu juga membantu, namun apakan daya kerana kita juga juwairiah. Semoga Allah melindungi dirinya."

     "Semoga Allah memberi hidayah kepada tuan juwairiah itu supaya bersikap lebih baik kepadanya."

     Di rumah itu, Rabiah membuat kerja-kerjanya tanpa rasa menyesal mahupun merungut. Dia tahu yang ujian ini hanya sementara. Ujian Allah kepada nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu lebih hebat berbanding apa yang dialaminya sekarang.

     Kisah-kisah daripada Quran dan hadis menjadi motivasi kepada dirinya. Mulutnya sentiasa berkumat-kamit mengucapkan untaian zikir kepada Tuhan. Hatinya sentiasa dibulatkan kepada Sang Pencipta. Seluruh darah dan detik nadi hanya mengalir juga berdenyut pada rasa ingat, rindu dan cinta kepada Allah.

     Rabiah selalu bersyair dalam munajatnya yang berbunyi,

     "Tuhan, aku adalah si miskin yang terdampar,
     Diseksa dan dihina malah dipukul,
     Diriku dibelenggu oleh perhambaan,
     Nilai kemerdekaan yang Engkau kurniakan sudah diragut,
     Aku juga menampung segala derita,
     Aku tetap sabar menerima dan menahannya,
     Namun, sekiranya singgah lagi ujian derita,
     Yang menodai jiwa dan menipiskan kesabaranku,
     Yang lebih perit deritanya daripada apa yang mampu ditanggung,
     Ia merobek dan menghancur luhurkan batinku,
     Ikhlas dan sabarku senipis salju.
     Tuhanku, gerangan apakah kebimbangan ini?
     Akan berubahkah pandanganMu kepada diriku?"

     Itulah kemabukan cinta yang paling agung, dan orang yang layak merasainya adalah Rabiah al-Adawiyah.

     Di pondok usang tinggalan Ismail al-Adawiy, saban hari kedengaran suara wanita-wanita menangis. Jiran-jiran juga sedia maklum yang mereka menghadapi ujian dan cabaran hidup yang bertimpa-timpa tanpa putus.

     Jiran-jiran sering datang menziarahi mereka, namun tidak ada apa yang boleh dibantu, melainkan meminta terus bersabar dan reda di atas kehilangan adik kesayangan mereka itu.

     "Sabarlah anak-anakku, janganlah kalian bersedih lagi. Sesungguhnya kesedihan itu tidak sekalipun boleh mengubah kenyataan yang berlaku," nasihat Mak Cik Humaia.

     "Sabar dan berdoalah kepada Allah dan yakinlah ada hikmah yang besar untuk diri kamu dan adikmu di atas kejadian ini." Suami Mak Cik Humaira, Hassan cuba memujuk anak-anak gadis yang kehilangan adik bongsu mereka, Rabiah.

     "Kami rasa sungguh menyesal kerana mengkhianati amanah ibu dan ayah kami. Mereka mengamanahkan kami menjaga Rabiah dengan baik. Namun kami...." Kata-kata kakak sulung Rabiah terhenti di situ, ada getar di hujungnya beriringan dengan tangis hiba.

     Dia berasa sangat bersalah kepada kedua-dua orang tuanya.

     "Entah apakah nasib adik kami itu. Mati ataupun hidupkah dia? Makan dan minumnya bagaimana? Sekiranya dirogol dan dibunuh pula bagaimana? Sekiranya diculik dan dijadikan hamba pula bagaimana?" Dalam tangis, kakak Rabiah berbicara.

     Kakak kedua Rabiah sedikit tenang. "Memang benar kita sedih, tetapi amat tidak wajar kita salahkan diri mahupun takdir. Ia seolah-olah kita menyalahkan Allah. Rabiah, ibu dan ayah pasti tidak bersetuju dengan cara kita."

     Dia kemudian menyambung, "Rabiah itu istimewa orangnya, saya yakin Allah sentiasa menjaganya. Bukankah Rabiah itu cintanya hanya kepada Allah, nescaya Allah menjaganya daripada segala kecelakaan, insya-Allah."

     Pak Cik Hassan yang berada di situ turut mengangguk setuju. "Pak cik juga beranggapan begitu. Beginilah, nanti pakcik tanyakan kawan-kawan di kota supaya tengok-tengokkan adik kamu itu."

     Kelihatan ada sedikit senyum harapan daripada ketiga-tiga kakak Rabiah selepas mendengar kata-kata Pak Cik Hassan.

     "Kami mohon, cukuplah sekiranya kami dapat tahu bagaimana keadaan dirinya," kata kakak yang sulung.

     Rabiah juga sebenarnya amat risau keadaan kakak-kakaknya. Apabila gundah melanda, dia menitiskan air mata duka. Walau sehebat mana dia mabuk dalam cintanya kepada Allah, dia tetap seorang manusia yang punya rasa sedih. Apatah lagi apabila dipisahkan dengan adik-beradiknya yang lain.

     Cuma yang membezakan Rabiah, adalah kecintaannya kepada Allah yang mengatasi segala-galanya. Bahkan rasa sedih dan pilu di atas perpisahan dengan kakak-kakaknya dapat diatasi dengan bermunajat dan berzikir kepada Allah.

     Rabiah juga sangat bermotivasi apabila dia mengaitkan dirinya dengan perisitwa Rasulullah ke Thaif demi misi dakwah. Beliau direjam dengan batu-batu sehingga luka-luka pada seluruh badan.

     Saat tumit Rasulullah berdarah, beliau berdoa yang bermaksud, "Wahai Tuhanku, selagi mana murkamu tiada pada diriku, maka tidak kupeduli segala ujian dan derita ini kerana kelak aku tahu pertolongan lebih luas lagi untukku. Aku bernaung di bawah nur daripada-Mu yang bersinar terang menyinari tujuh petala langit dan sisi yang gelap. Aku memohon perlindungan daripada murka dan benci-Mu kepada diriku, namun engkaulah yang selayaknya murka, dan padaku tiada daya serta upaya bahkan tiada jua kekuatan melainkan ihsan daripada-Mu."

     Lalu Rabiah pun bermunajat kepada Kekasihnya, "Ya Allah, aku tidak kisah sekiranya seumur hidupku ini digelar hamba sahaya kerana tetap jua aku ini hamba kepada-Mu. Aku juga tidak kisah sekiranya tidak lagi bertemu dengan adik-beradikku kerana tetap jua nanti kami berpisah dalam rela ataupun paksa. Namun aku tidak reda sepanjang hidupku diabdikan untuk makhluk-Mu, aku tidak sanggup waktuku dihabiskan untuk hal dunia yang tentunya tidak kekal. Aku mohon peruntukan waktu hidupku demi keabdian diriku kepada-Mu."

     Rabiah menyambung lagi butiran doa munajatnya itu. Sambil berteleku di hamparan sujud, dia terus mengangkat lalu menadah kedua-dua tangan sambil air mata laju menelusuri pipinya yang cengkungnya itu. "Aku hanya hampa kerana kesibukan melayan keperluan dan arahan makhluk yang sama sahaja sepertiku, aku hampir bazirkan lebih daripada separuh hariku. Alangkah indah dan manis sekiranya waktu-waktuku dihabiskan bersama dengan-Mu, ya Allah. Harinya akan tiba, akanku peruntukkan waktu hanya untuk-Mu."

     Tanpa disedari, munajat Rabiah sebenarnya sangat dekat dengan Allah. Maka tidak hairanlah banyak peristiwa aneh yang berlaku kepada selepas itu. Kehidupan Rabiah juga mula berubah.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment