Tuesday 3 November 2015

FATIMAH [ BAB 16 - KE DUNIA ABADI ]






KE DUNIA ABADI




Segala-galanya bermula daripada sebuah keluarga. Sekiranya sebuah keluarga itu sempurna daripada aspek kasih sayang, perhatian dan pendidikannya maka tiada mustahil ahli keluarga itu menjadi insan-insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

     Kebanyakan kes kebobrokan sosial apabila diselidik, berpunca daripada keluarga yang tidak stabil dan porak peranda. Keluarga yang tidak mencambahkan ketenangan sukar memperolehi kebahagiaan. Sebuah keluarga yang tidak bahagia melahirkan individu-individu yang tidak mampu melaksanakan yang maaruf dan mencegah yang mungkar.

     Sebuah keluarga juga penting sebagai sebuah pusat keilmuan. Ibu bapa adalah guru pertama dan utama dalam kehidupan anak-anak. Daripada itu terbinanya sebuah keluarga yang cintakan ilmu yang menjadi kunci kebahagiaan dan ketenangan di dunia dan akhirat.


===================


Dalam suatu majlis, berlangsung satu perbincangan seputar keutamaan Fatimah. Masing-masing mendatangkan butiran dan pujian kepada puteri Rasulullah itu.

     Kepala majlis terlebih dahulu memulakan bicara, "Adapun Fatimah adalah ikutan dan panduan dalam mendidik anak-anak kita."

     "Mengapa Fatimah, puan? Apakah tidak ada wanita lain yang dapat kita jadikan sebagai contoh teladan?" tanya seseorang.

     Beliau mengalihkan pandangan ke arah si penanya kemudian menjawab tenang, "Beliau seorang yang dijamin syurga Allah. Beliau juga banyak berkorban demi sebuah rumah tangga yang dirahmati Allah. Pada masa yang sama suaminya, Ali adalah panglima perang yang nyawanya sudah diserahkan kepada agama dan mungkin sahaja boleh syahid pada bila-bila masa. Namun Fatimah tidak pernah mengeluh, mengomel dan membangkitkan kekurangan yang ada dalam rumah tangga mereka."

     Kemudian si kepala majlis kemudian menyeru kepada jemaah yang lain, "Saudara sekalian, ayuh kongsikan kata-kata pujian kepada Fatimah, puteri tercinta Rasulullah ini. Semoga mereka dan kita sentiasa diberkati Allah."

     Kemudian seorang demi seorang melafazkan kalimah pujian kepada Fatimah yang sudah diangkat menjadikan ikon mereka. Lafaz-lafaz itu sama ada lafaz daripada Rasulullah ataupun lafaz ciptaan mereka sendiri.

     Berebut-rebut mereka kemudiannya bagi melafazkan kata-kata pujian kepada Fatimah.

     "Cukup sudah bagi sekalian wanita yang ada di atas muka bumi ini dengan adanya Mariam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad dan Aisyah binti Muzahim."

     "Fatimah adalah sebaik-baik wanita yang menjadi sebagai ahli syurga."

     Pujian seterusnya diberikan kepada Fatimah.

     "Apabila tiba hari akhirat, ada seruan dari Arasy yang menyuruh manusian memejamkan mata sehinggalah Fatimah binti Muhammad selesai melalui titian Sirat."

     Ada pula yang berkata, "Wahai Fatimah, sungguh Allah murka kerana kemarahanmu dan Allah reda kerana keredaanmu."

     Si kepala majlis kemudian menyambung bicaranya, "Fatimah az-Zahra... ketahuilah oleh kamu semua yang beliau adalah seorang gadis yang sangat ceria dan tabah. Beliau sentiasa dilihat tersenyum manis bak mawar mekar di lautan pasir gersang. Namun semuanya sirna tatkala ayahanda tercinta, Rasulullah pergi menghadap Tuhan yang esa. Tahukah kalian... bibirnya mengungkapkan hanya kata-kata kebenaran dan kejujuran. Beliau tidak pernah pula menuturkan keburukan orang lain apatah lagi mengejek dan mengadu domba, serta menimbulkan fitnah."

     Sidang hadirin pada hari itu sedar akan siapa yang sedang mereka bicarakan. Masing-masing cuba mengungkapkan kata-kata yang selayaknya kepada beliau. Fatimah sangat dipersetujui langit dan bumi akan kemuliaannya. Antara sifat mulianya lagi, beliau tidak suka mengumpat, mengadu domba apatah lagi bergosip. Candanya sangat santun dan tidak keterlaluan, sangat kukuh menjaga rahsia, menunaikan setiap janji dan sentiasa memenuhi permintaan tatkala diminta.

     Suasana khali. Hanya yang terasa, apabila angin-angin padang pasir membawa haba bahang yang panas.

     Semua wajah pun hanya mampu tertunduk tanda sedang menilai diri sendiri. Sama ada mereka ada secebis daripada sifat dan akhlak wanita itu, Fatimah puteri Rasulullah.

     Beberapa ketika, dengan lambat-lambat seorang ahli jemaah mengangkat wajah dan memberikan diri melantunkan persoalan.

     Ahli jemaah yang lain kemudian menumpukan pandangan kepada beliau.

     Beliau bertanya dengan jelas sehingga semua yang hadir dapat mendengar soalan tersebut. Tanya beliau, "Wahai guru kami, apakah kesempurnaan Fatimah itu kemudian diakhirkan oleh Allah dengan pengakhiran yang sempurna juga? Sedangkan kita tahu yang kenyataan sebuah kehidupan sebagai hamba Allah, adalah saat kita menghembuskan nafas terakhir."

     Selesai sahaja soalan diapungkan kepada sang guru, ahli jemaah yang lain segera berpaling kepada sang guru, ahli jemaah yang lain segera berpaling kepada guru mereka, menatapnya bak menunggu bulan jatuh ke riba.

     "Apabila menjelang saat Fatimah menyambut jemputan Allah, bagi menuju ke alam kekal abadi. Beliau sempat berpesan kepada suaminya dengan tiga wasiat yang penting. Ia berlaku sejurus sebelum kematian beliau, dan beliau berpesan kepada Ali perihal wasiatnya itu namun tidak membebankannya. Dalam esak tangis kepiluan...."

     Tiba-tiba ada yang mengangkat tangan.

     "Apakah dibenarkan menangisi kematian, wahai guru? Kata guru, Ali dan Fatimah menangis saat ajalnya semakin hampir?"

     Si guru segera menjawab, "Ya, dibenarkan menangis bagi meluahkan rasa sedih, sedangkan Rasulullah jua menangis tatkala Khadijah dan Abu Talib berhijrah ke alam sana. Namun yang tidak boleh dan haram adalah meratap, dan mencederakan diri sendiri seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang Arab. Malah Rasulullah sendiri pernah berpesan, bukan daripada orang Islam mereka yang meratap secara melampau dalam menangis sebuah kematian."

     "Baik, kita berbalik kepada tiga wasiat Saidatina Fatimah kepada Saidina Ali saat dia berada di hujung usianya.

     "Pertama, Fatimah memohon Saidina Ali supaya menikahi anak saudaranya, yakni anak kepada Zainab yang bernama Umamah Binti Abi al-Ash ibni al-Rabi. Fatimah menjelaskan ini kerana Zainab sangat menyayangi anak mereka. Begitu juga Umamah adalah cucunda yang disayangi Rasulullah dan pernah dikendong oleh Rasulullah tatkala bersolat selain daripada Hasan dan Husin."

     "Kedua, Fatimah meminta kepada Ali supaya membuatkan kerandanya daripada kayu. Bentuk keranda itu pula boleh ditanyakan daripada Asma binti Umais. Selain itu, beliau juga meminta supaya jenazahnya kelak ditutup rapat, dikafani, kemudian dibungkuskan lagi dengan kain yang tebal."

     "Ketiga, Fatimah juga memohon kepada Ali supaya mayatnya ditanam pada waktu malam di perkuburan al-Baqi."

     "Saidina Ali yang sangat menyayangi dan mencintai isterinya itu, melaksanakan kesemua wasiat yang ditinggalkan oleh Fatimah."

     Semua yang sedang mendengar kekaguman dengan kesetiaan dan kehalusan Ali sebagai suami. Hingga masing-masing menyimpan angan dengan segera, yang mereka mendambakan seorang suami persis Saidina Ali.

     Kemudian soalan lain segera menerjah.

     "Bagaimana pula sebab kematian Saidatina Fatimah, wahai guru? Apakah beliau mati kerana sakit tua ataupun penyakit-penyakit khusus yang tertentu?"

     Si guru segera menjawab, "Saidatina Fatimah jatuh sakit dalam masa yang tidak panjang. Begitu juga jarak antara kematiannya, dengan kematian ayahandanya. Namun para ulama ada berselisih pendapat perihal tarikh sebenar kematiannya.

     Ada yang berpendapat beliau meninggal pada 3 Jamadil Akhir bulan ke-11 Hijrah. Ada yang berpendapat beliau meninggal pada tanggal 10 Jamadil Akhir, namun sebahagian pula mengatakan Saidatina Fatimah meninggal pada malam Ahad, 13 Rabiul Akhir. Sementara Ibnu Abbas pula menyebut yang Saidatina Fatimah meninggal pada 21 Rejab, namun ada juga yang berpendapat beliau meninggal pada malam Selasa bulan Ramadhan tahun ke-11 Hijrah.

     Fatimah meninggal dalam usia 29 tahun. Dikatakan sebelum wafat, beliau sangat gembira. Rasulullah sudah berpesan saat beliau kegeringan sebelum wafat, ahli keluarganya yang akan menyusul paling rapat adalah Fatimah. Hal ini membuatkan Fatimah sangat gembira kerana dia tahu dia dapat berjumpa dengan ayahanda yang saat dicintainya itu.

     Tatkala Fatimah menghembuskan nafasnya yang terakhir, berita perihalnya pun segera merebak ke seluruh kota Madinah. Hampir semua penduduk Madinah berkumpul di rumah Saidina Ali yang sedang duduk bermenung dalam keadaan sugul. Hasan dan Husin yang berada di pangkuan beliau juga menangis. Tampak titisan air mata pada wajah Saidina Ali apabila mendengar kedua-dua puteranya itu menangis.

     Orang ramai menunggu mayat yang sedang disiapkan bagi disolat. Namun kemudian Abu Dzar al-Ghifari keluar daripada rumah dan berkata kepada orang ramai, 'Pergilah kamu semua kerana puteri Rasulullah hanya dibawa keluar dari rumah ini selepas waktu isyak.'

     Tindakan itu bertepatan dengan wasiat Saidatina Fatimah. Jasad beliau kemudian ditanam di perkuburan al-Baqi pada waktu malam selepas isyak. Beliau juga dibawa dengan keranda kayu yang dibuat berdasarkan petunjuk daripada Asma binti Umais. Dikatakan itulah kali pertama seseorang yang dibawa menggunakan keranda yang tertutup begitu. Saidatina Fatimah juga mendapat kemuliaan sebagai orang yang pertama dapat berjumpa Rasulullah di alam kekal abadi.

     Kesedihan menyelubungi kota Madinah, begitu juga apabila berita perihal kepulangan puteri tercinta Rasulullah itu sampai ke kota Makkah. Kaum muslimin keseluruhannya berasa sangat kehilangan dengan kematian Saidatina Fatimah.

     Tangisan mengiringi jenazahnya ke alam baqa, namun semua tahu yang Saidatina Fatimah sangat gembira dan teruja mahu mendatangi kematiannya. Beliau tahu, ayahandanya yang tercinta sedang menunggu dan mereka akan bersatu di alam syurga nan kekal abadi.

     Solat jenazah disempurnakan sendiri oleh suami yang tercinta, Saidina Ali. Malah beliau sendiri yang turun ke liang lahad bagi menghantarkan kekasihnya yang tercinta itu ke dunia abadi. Dibaringkan jasad kesayangannya itu sebagaimana pernah beliau baringkan semasa hayatnya, dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. Masih kekal dan utuh, sekalipun jasad itu kaku kerana nyawa sudah tiada dikandung badan.

     Sepulangnya Saidina Ali ke rumah, dia tetap bersedih untuk beberapa ketika. Namun sebagai seorang hamba Allah dan manusia terawal memeluk agama Islam, beliau sangat sedar kesedihan yang terlampau akan membawa kepada kekufuran kepada qada dan qadar Allah. Justeru, dia perlu pulih sekalipun kehilangan itu ibarat sudah menyebabkan dirinya juga sudah hilang separuh nyawa.

     Amanah hidup yang berbaki harus dilunaskan, dakwah Islam harus diteruskan. Dan Saidina Ali tahu yang dirinya juga akan menyusul kemudian, hanya Allah yang tahu bila dan di mana.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment