Wednesday 4 November 2015

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 3 - NAMANYA RABIAH ]






NAMANYA RABIAH




Suasana hening menjengah, masing-masing hanyut dalam perkiraan diri sendiri. Namun lidah mereka sentiasa dibasahi dengan zikir kepada Allah. Hanya itulah perkara yang tidak memerlukan modal malah diberikan ganjaran sama ada di dunia ataupun di akhirat.

     Tiba-tiba isteri Ismail berkata, "Sudah difikirkan nama anak kita? Biarpun dia lahir dalam kemiskinan, namun namanya mesti indah dan mempunyai makna yang baik. Semoga dengan berkat namanya, dia menjadi insan bertuah di dunia dan akhirat.

     Ismail hanya membatu, lama kemudian barulah dia bersuara, "Berehatlah dahulu isteriku, soal nama itu kita kemudiankan. Apa yang penting sekarang adalah kesihatanmu dan anak kita ini."

     "Tetapi, namakanlah dia. Kita tunaikan hak anak kita ini," kata isteri Ismail lembut.

     "Baiklah sekiranya begitu." Ismail kelihatan berfikir, lama dia memejamkan mata. Isterinya menanti dengan penuh harapan, selepas beberapa ketika dia bersuara, "Bagaimana sekiranya kita namakan anak kita ini Rabiah?"

     Isterinya kelihatan terkejut. "Rabiah? Bukankah maksudnya hanya yang keempat?"

     "Ya, itulah maksudnya."

     Isteri Ismail sedikit gusar dan hampa, namun dengan nada memujuk dia berkata, "Mungkinkah ada nama yang lebih manis untuk anak kita ini?"

     "Pada fikiranku, sesuai sekali anak kita ini dinamakan Rabiah kerana maksudnya yang keempat. Lagipun dia anak keempat yang lahir dalam keluarga kita."

     "Saya cuma khuatir, kelak dia diketawa dan diejek oleh teman-temannya apabila dewasa nanti. Apakah tiada nama yang lebih indah?"

     Ismail hanya membisu, sukar dibaca fikirannya. Seketika kemudian, isteri Ismail bersuara.

     "Sekiranya begitu, saya hanya menurut," kata isteri Ismail. Ada nada sebak di hujung lafaz. Namun sebagai isteri yang taat kepada suaminya, dia tetap menurut kehendak Ismail dengan reda walaupun kurang bersetuju dengan nama anak baru mereka itu.

     Sedang asyik mereka melayan lamunan di samping berzikir kepada Allah, mereka tersentak dengan suara tangan Rabiah, puteri yang baru lahir itu. Adik-beradik Rabiah yang masih tidur turut terjaga.

     "Alhamdulillah, adik kita sudah dilahirkan. Selamat datang ke dunia ini," ucap kakak sulung Rabiah.

     "Comelnya adik kita ini. Insya-Allah, kita sama-sama jaga dia nanti." Kakak Rabiah yang kedua teruja.

     "Adik ini sangat comel, saya pun sayang dan mahu jaga dia. Mengapa saya tidak boleh jaga adik?" Yang ketiga berkata seakan merajuk.

     "Bukan begitu, nanti kita sama-sama jaga adik. Kamu juga masih kecil, jadi kakak perlu jaga kamu juga." Kakak sulung mereka cuba memujuk.

     Mereka terus mengagah, melayan dan bermain-main dengan adik baru mereka itu. Mereka sangat bahagia hingga terlupa kemiskinan dan kesusahan yang mereka hadapi.

     "Ibu bangga dengan anak-anak ibu, semuanya baik-baik. Ibu doakan kamu semua menjadi insan yang solehah dan dirahmati oleh Allah," kata ibu mereka yang sangat bahagia melihat telatah anak-anaknya.

     "Walaupun kita miskin, Allah tetap kayakan kita dengan nikmat dan kasih sayang keluarga. Kami ada ayah yang menyayangi dan sentiasa berusaha untuk kebaikan kami. Kami ada ibu yang sentiasa memahami dan sayang kepada kami tanpa syarat. Tiada lagi kebahagiaan yang setara dengan ini semua." Anak sulung mereka petah berkata.

     "Benar ibu, kami reda. Kami tahu ini bukan pilihan kita melainkan ketentuan daripada Allah. Insya-Allah sedikit kesulitan di dunia ini akan membuahkan hasil yang besar di akhirat kelak."

     Adik mereka yang ketiga terpinga-pinga kerana kurang faham kata-kata kakak mereka. Dia hanya menatap wajah adik baru mereka dan menciumnya bertalu-talu. "Kakak sayangkan kamu. Kini saya sudah jadi kakak dan bukan lagi adik seperti dahulu. Kamu perlu panggil saya kakak." Mereka semua tergelak mendengar kata-kata adik mereka yang ketiga itu.

     "Apakah nama adik?" tanya kakak Rabiah yang ketiga. Lama dia menunggu, kelihatan Ismail berat mahu menjawab persoalan anak-anaknya itu. Namun apabila didesak dan dipujuk, dia akhirnya bersuara.

     "Wahai anak-anakku yang baik, nama adikmu ini Rabiah."

     "Rabiah?" Hampir serentak, mereka berpandangan sesama sendiri.

     "Mengapa hanya Rabiah?"

     "Bukankah ia satu nama yang agak ganjil?" kata yang kedua pula.

     "Tidak mengapa, walaupun namamu Rabiah, kami tetap menyayangimu," kata adik ketiga mereka sambil terus bermain-main dengan adik baru mereka.

     Kakak kedua Rabiah masih kurang berpuas hati, "Kelak, pasti dia jadi bahan ejekan orang. Saya tidak sanggup melihat dia dibuat begitu."

     "Menjadi tugas kita bagi melindungi adik kita ini. Kita jaga adik kita ini sebaik-baiknya."

     Ismail kemudiannya bersuara, "Nama itu hanya sandaran yang sementara. Ayah pun tidak tahu mengapa nama Rabiah yang menjadi pilihan ayah. Namun ayah yakin itu adalah ilham daripada Allah yang mengatakan Rabiah kelak menjadi hamba-Nya yang luar biasa."

     Mereka semua terdiam sejenak. Adik baru mereka yang comel ini hanya bernama Rabiah. Satu nama yang aneh lagi ganjil, bahkan mereka dapat merasakan adik mereka ini menjadi bahan ketawa masyarakat sekeliling kelak.

     Kakak sulung mereka merenung adiknya Rabiah. "Wahai adikku, apapun jua namamu, kami tetapi menyayangi dan mengasihimu. Kakak yakin ayah mendapat ilham daripada Allah, kerana itu kamu dinamakan Rabiah."

     Ismail kemudian mencuri perhatian anak-anaknya dengan berkata, "Anak-anakku, bolehkah kamu semua berjanji kepada ayah?"

     "Katakanlah ayah, insya-Allah selagi mampu kami pikul, kami tunaikannya." Anak keduanya menjawab sambil dipersetujui oleh adik dan kakaknya. Masing-masing menumpukan perhatian kepada ayah mereka, bersedia mendengar amanat yang bakal disampaikan.

     Ismail memulakan bicara, "Sekiranya nanti ayah dan ibu kamu pergi menghadap Allah lebih awal, ayat mewasiatkan adikmu ini kepada kamu bertiga. Jaga dan lindungilah dia, jadilah ayah dan ibu kepadanya. Dia masih kecil dan amat perlukan kasih sayang daripada kita semua."

     Ismail al-Adawiy seakan-akan mendapat bayangan yang dia dan isterinya akan terlebih dahulu menyambut seruan Ilahi, bertemu ajal yang sememangnya dijanjikan Allah kepada setiap yang hidup, tidak kira manusia mahupun binatang, malaikat mahupun iblis, syaitan dan jin.

     "Mengapa ayah berbicara begitu? Janganlah dibicarakan berkenaan mati dengan kehadiran dan kegembiraan menyambut adik kita ini." Anak sulung Ismail nampak kurang selesa dengan kata-katanya.

     Anak keduanya turut berkata, "Ya ayah, mengapa dibicarakan soal mati? Bukankah mati dan hidup kita itu di tangan Allah. Ayah juga pernah mengajar kami untuk reda dengan apa jua qadak dan qadar daripada Allah. Insya-Allah, sekiranya sesuatu terjadi kepada ayah dan ibu, kami tetap menjaga dan melindungi adik-adik saya."

     Ismail tersenyum. "Alhamdulillah, anak-anak ayah semuanya solehah. Bakal srikandi Islam, bahkan umat Islam bakal mendapat manfaat daripada kamu semua kelak. Itulah doa dan harapan ayah untuk kamu semua."

     Ibu mereka terus menadah tangan diikuti oleh semua yang lain, "Semoga Allah memperkenankan."




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.






No comments:

Post a Comment