Wednesday 11 November 2015

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 8 - UJIAN KEDUA ]






UJIAN KEDUA




Kini kota Basrah dan kawasan sekelilingnya dilanda kemarau yang dasyat. Segala tanaman dan tumbuh-tumbuhan tidak menjadi, malah yang sudah tumbuh subur juga layu mati. Air yang menjadi sumber utama juga mengering dan sukar didapati. Kemarau ini juga menyebabkan perubahan akhlak yang drastik dalam masyarakat Basrah. Suasana yang dahulunya aman tenteram kini menjadi kacau bilau.

     Basrah yang menjadi tempat berkumpulnya ulama-ulama sufi dan orang soleh lagi warak itu bertukar wajar. Penduduk Basrah yang dahulunya mengamalkan sikap berkasih sayang dan hormat menghormati kini lebih mementing diri sendiri, lebih daripada segala-galanya. Bahkan ada antara mereka yang sanggup mengkhianati saudara sendiri hanya kerana sekeping roti.

     Seorang saudagar besar di Basrah berkata kepada pembantu-pembantunya sambil meninjau keadaan di dalam gudang simpanan miliknya. "Nampaknya bekalan yang kita ada mampu bertahan hingga beberapa tahun lagi. Inilah masanya kita mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan menaikkan harga jualan barangan kita."

     Pembantu saudagar itu pula berkata, "Tuan, apakah wajar kita bertindak demikian? Bukankah berdosa sekiranya kita mengambil kesempatan tatkala orang ramai memerlukan? Kita zalim sekiranya menindas orang yang dalam kesempitan."

     Saudagar itu naik berang mendengar kata-kata pembantunya itu lalu dia memandang pembantunya dengan mata merah menyala. "Kamu tahu apa? Bertahun-tahun aku bersusah payah mengumpulakan semua hasil ini, apakah sekarang aku tidak boleh mendapat sedikit untung? Lagipun seluruh penduduk Basrah memerlukan makanan ini. Sekiranya mereka tidak mahu membeli daripada kita, dapatkan sahaja daripada orang lain."

     Pembantu saudagar yang lainnnya kembali menyampuk sambil menepuk-nepuk bahu tuannya lalu berkata, "Betul kata tuan, saya juga berpendapat begitu. Kita naikkan sahaja harga barangan kita ini. Sudah menjadi adat berniaga sekiranya permintaan meningkat dan barang berkurangan, harga yang ditawarkan juga meningkat, dengan itu keuntungan kita juga meningkat berlipat kali ganda."

     "Bagus, kamu memang bijak."

     "Tuan lebih bijak kerana berfikiran begitu, malah mendahului kami semua."

     "Kita hanya menaikkan harga barang dagangan yang sememangnya hak kita. Kita bukan merompak ataupun menyamun, jauh lagi mencuri. Saya berpendapat tidak salah sekiranya kita naikkan harga bagi mendapatkan lebih keuntungan. Sekiranya dibandingkan dengan sindiket penjualan hamba yang berleluasa sekarang, kita ini tidak ada apa-apa keburukan berbanding mereka," kata saudagar itu cuba menegakkan kebatilannya kerana nafsu sudah menguasai dirinya.

     "Mereka lebih zalim kerana menculik anak-anak kecil lalu dilelong dengan sebarang harga. Mereka lebih dulu perlu dihukum, sedangkan kita hanya berniaga," tambah pembantu kedua-dua saudagar itu.

     "Sudah, dengar arahanku ini." Saudagar memanggil kesemua anak buahnya, lalu berdiri di atas tempat yang lebih tinggi dan berucap, "Mulai hari ini, harga barangan kita dinaikkan sebanyak dua ratus peratus. Jangan ada yang berani memberikan potongan harga ataupun melebihkan timbangan. Kita sekarang berada dalam musim kemarau yang panjang. Selain makanan dan minuman yang susah didapati, pekerjaan juga semakin kurang. Sekiranya kamu semua tetap mahu makan gaji dengan saya, patuhi arahan saya ini."

     Pembantu saudagar pertama tadi hanya mampu mendiamkan diri. Dia tidak lagi berani membantah kerana takut kehilangan kerjanya, namun hati kecilnya tetap rasa bersalah. "Ya Allah, ampunkan dosaku ini. Sekiranya ini bukan darurat, nescaya aku mencari pekerjaan lain yang halal, namun apa dayaku ya Allah." Lelaki itu terus berdoa dalam hati, mukanya kelihatan sangat sedih. Dia terperangkap dan tidak mampu pula menguraikan perangkap ujian itu.

     Di rumah Rabiah, kakak-kakaknya sedang bermesyuarat bagi mencari penyelesaian kepada masalah semasa itu. Bahang kemelaratan akibat kemarau itu amat dirasai. Tambahan pula mereka berempat memang tiada sumber pendapatan yang tetap.

     "Adik-adikku, kita perlu berikhtiar dan berusaha melakukan sesuatu ataupun kita akan mati kelaparan." Kakak sulung mereka memulakan bicara.

     "Semasa ayah hidup, kita semua hanya bergantung padanya. Kini ayah mahupun ibu sudah tiada, sudah sampai masanya kita semua berdiri di atas kaki sendiri." Kakak Rabiah yang kedua menyambung lagi, "Apakah cadangan kamu semua?"

     Sepi seketika, masing-masing memerah idea supaya dapat dikemukakan. Kakak ketiga Rabiah yang dari tadi asyik merenung jauh melalui jendela pondok tiba-tibanya bersuara. "Bagaimana sekiranya kita semua cuba keluar ke bandar dan bertanyakan sekiranya ada sesiapa yang bermurah hati sanggup mengupah kita bekerja. Lagipun kita semua sudah dewasa dan berupaya menjaga diri sendiri."

     "Nampaknya itu sahaja usaha bagi kita mendapatkan sesuap rezeki. Bagaimana pula adik kita Rabiah? Adakah dia juga perlu mengikut kita?" tanya kakak kedua Rabiah.

     "Kita bawa sahaja, sekiranya ditinggalkan di rumah ini, kita tidak dapat menjaganya nanti. Risau sekiranya ada perkara yang tidak diingini berlaku," jawab kakak sulung Rabiah pula.

     "Bagaimana pendapatmu, adikku?" tanya kakak ketiga Rabiah.

     "Saya hanya mengikut kakak sekalian. Yang penting kita tidak meminta-minta tanpa berusaha terlebih dahulu kerana kita bukan peminta sedekah. Ayah kita sekalipun terdesak bagi mendapatkan sesuapa rezeki untuk kita semua, tidak pernah meminta-minta. Hanya ketika ayah diminta sendiri oleh Rasulullah melalui mimpinya, barulah ayah pergi menghadap Raja Basrah." Jawapan Rabiah itu menggembirakan kakak-kakaknya.

     Mereka berempat keluar menuju ke bandar sambil singgah di rumah-rumah yang ditemui di sepanjang jalan dengan harapan sekiranya ada insan yang bermurah hati sudi mengupah mereka. Namun jangkaan mereka tersasar. Kemarau yang panjang itu menyebabkan semua orang berjimat cermat ataupun lebih tepat menjadi bakhil dan kedekut.

     "Maafkan pak cik, di sini tiada kerja yang boleh kamu lakukan kerana kami sendiri pun susah sekarang. Tanaman dan hasil kebun ini habis mati. Ambillah sedikit buah ini bagi mengalas perut kamu semua. Ini sahaja yang mampu saya bantu," kata seorang pemilik ladang yang masih punya belas ihsan itu.

     Pak cik itu lantas berpesan, "Janganlah kamu merayau hingga ke malam kerana keadaan di Basrah sekarang ini amat ternoda dengan kezaliman dan dosa manusia. Pak cik khuatir kamu semua menjadi mangsa kepada binatang-binatang yang bertopengkan manusia itu."

     Dia sebenarnya amat kasihan kepada empat beradik itu, namun apakan daya keadaan darurat yang melanda waktu itu menyebabkan dia sendiri tidak mampu membantu mereka.

     Di sebuah ladang kurma yang mereka singgah, mereka ditengking dengan kasar. "Pergi kamu semua dari sini! Apakah kamu sudah buta? Tanaman di ladang ini sudah hampir semuanya mati, apakah kamu masih beranggapan saya memerlukan pekerja?"

     Diherdik demikian rupa pun tidak mematahkan semangat kakak-kakak Rabiah. Mereka terus mencari pekerjaan hingga lewat petang. Namun semuanya hampa.

     "Mari kita pulang, cukuplah untuk hari ini. Lagipun Allah sudah kurniakan sedikit rezeki daripada pak cik tadi. Kita sudah menjamah rezeki walaupun sedikit, mungkin ada ramai lagi yang hanya mengisi perut mereka dengan angin sahaja pada hari ini." Rabiah cuba memujuk kakak-kakaknya.

     "Benar sekali kata Rabiah. Bukankah pak cik tadi ada berpesan kepada kita supaya pulang sebelum malam menjengah." Kakak ketiga Rabiah mengingatkan. Dia risau mengingatkan kejadian rogol, samun dan rompak yang kian berleluasa pada musim kemarau ini.

     "Sesungguhnya manusia ini amat nipis sabarnya. Kita bukan sahaja dilanda kemarau panas tetapi juga dibantai kemarau iman." Rabiah mengeluh. "Apakah mereka tidak tahu yang ganjaran sabar pada ujian Allah adalah kecintaan daripada Allah. Apakah ada perkara yang lebih penting dan indah selain rasa cinta dan kasih daripada Allah."

     Mereka berempat segera pulang ke pondok usang pusaka ayah mereka, sambil mulut masing-masing terus-menerus berzikir kepada Allah.

     "Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar." Rabiah teringat pada maksud ayat Quran yang menuntut manusia supaya bersabar dengan setiap ujian dan dugaan daripada Allah.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.





No comments:

Post a Comment