Sunday 19 July 2015

FATIMAH [ BAB 9 - HIJRAH ]






HIJRAH





Islam datang membawa rahmat, Islam datang menjanjikan kerdamaian dan kerukunan yang selaras dengan fitrah manusia. Yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas, namun ada yang wujud antara keduanya, membawa keraguan kepada mereka yang lemah imannya yang dinamakan syubhah.

     Selepas beberapa lama menduda, akhirnya Rasulullah bertemu jodoh dengan Saudah dan beberapa wanita lain.

     Perkahwinan Rasulullah menjadi isu dan perbualan yang membawa kepada perbincangan bersifat ilmiah dan hukum kepada sahabat sekalian.

     Kata yang paling tua antara mereka, "Alhamdulillah, nampaknya Rasulullah sudah jumpa pengganti suri hidupnya. Semoga anak-anaknya lebih mendapat perhatian dan kasih sayang."

     Sahabat lain mengangguk-angguk, "Syukur kepada Allah. Namun, tidak akan sama dengan kekasih hatinya yang terdahulu. Khadijah terlalu banyak jasanya kepada Rasulullah dan Islam itu sendiri."

     "Yang ini namanya Saudah dan selepasnya adalah Ummu Salamah binti Abu Umayyun."

     "Ya, kedua-duanya bertuah. Begitu juga anak-anak Rasulullah. Bahkan ada sahabat yang pernah mendengar Ummu Salamah berkata, 'Rasulullah menikahi saya dan mennyerahkan satu amanah iaitu menjaga, membesar, dan mendidik puterinya. Dan saya pun melaksanakan perintah beliau kerana Allah sehinggakan puterinya itu lebih terdidik dan berilmu lebih daripada diriku sendiri.'"

     "Anak adalah amanah, walaupun mereka adalah anak tiri. Rasulullah dan para isterinya memberikan contoh yang paling baik dalam perkongsian hidup berkeluarga."

     "Yang pastinya, Rasulullah tidak berkahwin kerana nafsu semata-mata, sedangkan percakapan baginda adalah wahyu daripada Allah."

     "Lagipun, saya dapati isteri-isteri Rasulullah tidak pernah membeza-bezakan kasih sayang antara anak kandung dan anak tiri mereka Kesemua dilayan dan mendapat kasih sayang seorang ibu tanpa kurang sedikit pun. Ini keberkatan sikap dan akhlak Rasulullah yang sentiasa berlaku adil kepada sahabatnya."

     "Setiap hal yang terjadi itu pasti ada sebabnya. Lihat, tidak berapa lama selepas Rasulullah kehilangan dua insan yang paling disayanginya, baginda lantas dihiburkan oleh Allah dengan mengisrakkan dan memikrajkan."

     Segera disambung oleh sahabatnya tadi, "Benar, sehinggakan Rasulullah dapat berjumpa dengan Allah Rabbuljalil dalam keadaan berdepan, masyaAllah. Satu nikmat yang tidak kesampaian sekiranya otak kita mahu fikirkan."

     "Bukan itu sahaja, Rasulullah bahkan diperlihatkan dengan syurga, neraka, azab dan nikmat di dalamnya. Bahkan masa depan umat sehingga hari kiamat."

     "Jangan lupa yang paling penting, antara hadiah yang paling besar Rasulullah bawa pulang kepada kita sebagai umatnya adalah ibadah solat yang diterimanya sendiri daripada Allah."

     Yang lain mengangguk-angguk tanda setuju. Mereka kemudian terus mengingati kembali peristiwa yang berlaku pada hari itu.

     Yang paling tua antara mereka, perwatakan sederhana dengan raut wajah berwibawa berjambang kemas mula berbicara, "Ingatkah kamu semua saat Rasulullah menceritakan peristiwa israk mikraj di hadapan semua orang?"

     Semua mengangguk.

     "Apa yang terjadi? Bukankah baginda diketawakan dan diejek oleh kafir Quraisy? Bahkan ada orang Islam sendiri meragui kesahihannya dan murtad kembali. Saat inilah, apabila diajukan berita ini kepada Abu Bakar dengan niat ingin melaga-lagakan Abu Bakar, lantas Abu Bakar tanpa ragu berkata sekiranya berita itu disampaikan oleh Muhammad, lebih daripada itupun dia percaya!"

     "Ya, kami ingat. Bermula dari hari itulah beliau digelar as-Siddiq yang membenarkan."

     "Membenarkan segala kata-kata dan perbuatan Rasulullah walaupun ia tidak bersifat tidak logik pada akal. Kesetiaan dan ketaatan sahabat agung itu tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah."

     "Sungguh, dia satu dalam ribuan. Tiada tolak ganti dan bandingannya."

     "Memang padanlah dirinya disahkan oleh Rasulullah sebagai sepuluh orang yang dijamin masuk syurga?"

     "Bagaimana dengan kita? Apakah ada peluang bagi merasai syurga Allah itu?"

     "Ya, tidak mustahil. Dengan rahmat dan rahim Allah Taala, serta ketaatan kita kepada apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang maka syurga menjadi milik kita."

     Terlukis bahagia pada wajah para sahabat yang berbual itu. Meskipun mereka hanya bercakap-cakap, namun percakapan mereka tidak pernah lari daripada seputar perbincangan perihal agama dan suruhannya.

     Mereka meneladani Rasulullah sebagai contoh ikutan terbaik. Malah mereka sentiasa menjadikan Allah dan akhirat sebagai rujukan atas segala tindakan kerana mereka adalah golongan yang sentiasa mengingati Allah dengan banyaknya.


====================


Saatnya sudah tiba, sudah tiga belas tahun umat Islam di Mekah menanggung derita. Dalam keripuhan umat Islam dek kezaliman kafir Quraisy, semangat dan kekuatan dibina tanpa henti, sedikit demi sedikit.

     Jaringan dan kerjasama dakwah sudah merentas sempadan jauh ke Yathrib. Dan sambutannya sangat baik. Selepas Allah mewahyukan perintah bagi berhijrah, umat Islam mula bertindak.

     Umat Islam gembira apabila mendapat berita perihal perintah Allah bagi berhijrah itu.

     "Alhamdulillah, maha suci Allah tuhan sekalian alam. Akhirnya, kita mendapat jalan keluar daripada segala kesengsaraan ini."

     Segera disambul oleh yang lainnya, "Ya, kita bertuah kerana masih bernafas bagi menyaksikan peristiwa yang hebat ini. Penghijrahan ini pasti memberikan banyak perubahan kepada umat Islam khususnya."

     "Khabarnya, kumpulan hijrah ini bertolak dahulu dan kemudian barulah diikuti Rasulullah. Ali pula menyusul kemudian. Beliau diamanahkan bagi menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan orang Islam yang masih tinggal di kota Mekah."

     "Maknanya Ali tidak bersama dengan rombongan yang pertama mahupun Rasulullah sendiri?"

     "Tidak, pasti perancangan ini mendapat bantuan dan lindungan daripada Allah. Lagipun hijrah ini adalah perintah daripada-Nya, dan hanya mereka yang yakin dengan keimanan yang utuh kepada Allah dan rasulnya sahaja, yang tidak goyah dan ikut serta berhijrah."

     "Ya, bagaimana mungkin seseorang itu tidak keberatan. Yang mahu ditinggalkan mereka adalah kampung halaman mereka sendiri. Tanah tumpah darah, tempat bermain dan membesar malah mengenal kehidupan. Bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai harta dan saudara-mara yang masih belum Islam. Tentu sahaja mereka mengharapkan keluarga mereka itu dikurniakan hidayah Allah dan ikut serta. Ataupun mungkin sahaja mereka berharap, kota Mekah menjadi sebuah kota yang dilimpahi hidayah Islam itu sendiri."

     "Apapun ini adalah rancangan Allah, ujian ini adalah ujian Allah. Siapa yang mahukan syurga-Nya, seharusnya tekal menyahut semuanya dengan reda."


====================


Sekumpulan kaum muslimin terlebih dahulu keluar berhijrah, diikuti Rasulullah secara senyap saat rumahnya dikepung oleh para pemuda Quraisy yang mahu membunuhnya.

     Ali diamanahkan bagi tidur di pembaringan Rasulullah bagi mengaburi para pemuda Quraisy itu. Rasulullah terlebih dahulu berangkat bersama Abu Bakar. Ali menyusul kemudian.

     Geger sekali lagi kafir Quraisy apabila mereka mendapat tahu Ali juga sudah berhijrah.

     "Ya, Ali juga sudah berangkat ke Yathrib bersama beberapa orang perempuan." Lapor orang suruhan pembesar Quraisy.

     "Siapakah perempuan-perempuan yang bersamanya?"

     "Antaranya adalah Fatimah binti Muhammad, Fatimah binti Asad iaitu ibu kepada Ali sendiri dan Fatimah binti Hamzah. Ada juga beberapa orang perempuan lagi."

     "Tunggu apa lagi? Kumpulkan orang kita dan kejar mereka. Jangan sampai mereka menginjak kaki di Yahtrib."

     Segera orang suruhan itu mengendarai kuda dan pergi mengumpulkan kawannya bagi mengejar rombongan.

     Rombongan hijrah yang disertai Ali diketuai oleh Abu Waqid. Dek kerana takut dikejar dan dikejar oleh orang kafir Quraisy, Abu Waqid sedikit berkasar dengan ahli rombongan.

     "Ayuh! Cepat! Sekiranya lambat maka kita celaka, orang kafir Quraisy pasti dapat mengejar kita andai perjalanan ini lambat."

     Dia kelihatan mundar-mandir. Kadangkala berada di depan kemudian dia pergi ke belakang, begitulah seterusnya sehinggakan menimbulkan rasa tidak enak pada Ali dan ahli rombongan lain, yang kebanyakannya adalah wanita-wanita yang lemah.

     Ali kemudian mendatanginya dan menegur, "Berlemah lembutlah kepada kaum ibu ini, wahai Abu Waqid. Sungguh mereka ini adalah golongan memerlukan perlindungan daripada kita."

     Dengan lembut Abu Waqid menjawab, "Tuan, saya hanya risau dan takut sekiranya rombongan kita ini dikejar dan dikesan oleh pihak musuh."

     Ali diam sejenak bagi mencari penyelesaian. Dia kemudian menawarkan, "Biar saya sahaja yang menggantikan kamu, wahai Abu Waqid. Selepas ini, mereka tidak lagi mengikuti kamu dan melakukan perkara yang kamu tidak suka."

     Dengan itu, Abu Waqid bersetuju menyerahkan tugas memandu arah dan menjadi ketua rombongan kepada Ali bin Abi Talib.

     Dengan hati-hati dan penuh berhemah, Ali membawa rombongan itu membelah lautan padang pasir itu.

     Tiba-tiba apabila rombongan orang Islam yang berhijrah itu sampai di Dhajnan, lapan penunggang kuda menuju ke arah mereka.

     Rombongan menjadi sedikit kaget.

     Dengan cemas dan takut, ada suara yang bertanya, "Siapakah itu, adakah orang kafir Quraisy?"

     Kawannya menjawab, "Ya, kelihatan seperti tentera upahan daripada Mekah sahaja. Apakah mereka mengejar kita?"

     "Apakah kita perlu menghadapi mereka? Sekiranya begitu sediakan senjata."

     "Baiklah." Beberapa orang lelaki yang berada dalam rombongan itu pun bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang terjadi.

     Di pihak Quraisy pula, mereka sungguh girang apabila mendapati rombongan yang berhijrah itu masih di hadapan mereka. Kuda dipacu sekuat mungkin.

     "Ayuh kawan-kawan, rombongan orang Islam masih ada di hadapan. Mungkin dalam jarak sepuluh batu sahaja. Sekiranya kita tidak berhenti, sekejap lagi kita sampai kepada mereka," kata yang tinggi, antara mereka berlapan. Kudanya dipacu lebih laju.

     Rakannya membalas, "Ya, kami juga nampak kelibat mereka, pasti mereka tidak terlepas kali ini. Tuhan mahu menolong kita nampaknya."

     Lantas salah seorang daripada mereka mengambil tindakan yang drastik dengan memaju kudanya dengan lebih laju menuju kepada kumpulan umat Islam. "Ayuh! Apa yang kalian tunggu lagi? Cepat kita selesaikan hal ini maka cepatlah kita pulang ke Mekah."

     Dalam masa yang sama, Ali dan beberapa orang lelaki yang berada dalam rombongan berbincang bagi menghadapi lapan orang musuh terbabit. Keputusan dicapai, masing-masing mengambil posisi bagi menghadapi musuh. Pedang hanya bercakap dengan pedang juga.

     Para wanita dan kanak-kanak diarahkan pergi terlebih dahulu sementara Ali dan beberapa orang lelaki bagi menghadapi musuh yang berlapan. Mereka semakin hampir.

     Tanpa banyak bicara, pertarungan meletus. Seperti biasa, Ali yang lebih muda dan cerdas mengatur strategi.

     Pertarungan berlaku tidak lama dan menyaksikan keperkasaan dan kebijaksanaan Ali sebagai seorang penempur. Melihat kekalahan rakan-rakan mereka, baki orang kafir Quraisy itu lari bercemperaan dek kerana ketakutan. Sekiranya mereka terus bertempur tentu mereka juga menjadi korban di hujung mata pedang Ali yang gagah perkasa.

     Selepas kejadian itu, rombongan hijrah ke Madinah itu meneruskan perjalanan dengan damai tanpa sebarang ancaman daripada pihak musuh Islam.

12 hari berlalu....

"Apakah itu pekan Quba?" jerit salah seorang rombongan menarik perhatian ahli rombongan yang lainnya.

     Dari kesayupan wap padang pasir kelihatan satu pekan jauh dari tempat mereka.

     Kemudian, salah seorang daripada mereka berkata, "Syukur, nampaknya sekejap lagi kita sampai di Quba." Dia menyambung, "Apakah kamu tidak melihat cahaya damai mempersona menunggu kita di sana sekarang."

     Sahabat-sahabatnya kehairanan dan tidak faham madah itu. Selepas sampai, mereka mendapati Rasulullah menunggu mereka di sana.




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment