Wednesday 8 July 2015

FATIMAH [ BAB 3 - PASANGAN DUNIA AKHIRAT ]






PASANGAN DUNIA AKHIRAT




Kota itu semakin sibuk dan riput gelagat penduduknya. Semuanya tenggelam dalam fatamorgana dunia. Mereka bekerja kerja bagi mencari hasil dunia tidak kira sama ada halal ataupun haram, baik ataupun buruk dan sebagainya. Debu-debuan dosa berhamburan terbang di ruang udara lantas melekat pula pada pakaian mereka.

     Yang lemah menjadi santapan kepada yang gagah, yang malas terus ketinggalan berbanding yang rajin.

     Di suatu sudut, di celah lorong-lorong kota Mekah, beberapa orang rancak mengatur bicara.

     Angin berpuput membahang suam-suam suku, lantas mereka dihidangkan berita yang hangat.

     "Apa! Muhammad mengahwini Siti Khadijah? Apakah benar berita yang saya dengar ini?" kata pemuda Mekah yang berbual dengan kawan-kawannya sehinggalah hal berkaitan dengan perkahwinan Muhammad dan Khadijah juga termasuk dalam perbincangan.

     Kawannya yang melaporkan menjengilkan kedua-dua matanya sambil kening diangkat-angkat, "Mengapa, kamu tidak percaya?"

     Dia terdiam sejenak. Memikirkan kemungkinan perkahwinan Muhammad dan Khadijah.

     Kawannya menambah lagi, "Apa yang mahu dihairankan. Khadijah adalah hartawan terkemuka di sini, selain itu beliau juga masih menawan bak anak dara. Muhammad pula adalah suaminya sekarang, segala urusan berjalan dengan telus."

     "Tetapi, bukankah perbezaan umur mereka begitu jauh?"

     "Ya, namun itu bukan persoalan yang besar apabila dua hati dan jiwa bertaut dan bersedia bersama serta memahami diri masing-masing. Lagipun, apakah sesalan yang dipikul apabila yang dikahwini Khadijah itu adalah putera terbaik kaum Arab Quraisy?"

     Sejurus kemudian, seorang rakan mereka membuka mulut. Dia yang sejak awal hanya diam memasang telinga mula bersuara, "Bagaimana mereka boleh bernikah?"

     Sambil mengisar-ngisar punggung yang berlabuh di atas bongkah batu besar itu dia menjawab, "Pada mulanya, Muhammad itu adalah pekerja Khadijah. Beberapa lama kemudian kerana kebaikan dan kejujuran yang ditampilkan Muhammad, beliau diamanahkan menjadi ketua dagangan sehingga ke luar negeri. Menariknya, setiap kali keluar berniaga, hanya keuntungan yang dibawa pulang oleh Muhammad."

     Terhenti sejenak, sebelum menyambung kembali, "Oleh kerana pekertinya yang mulia dan kebaikan yang ditonjolkan, Khadijah semakin memberi perhatian kepada Muhammad. Memandangkan Khadijah sukar menguruskan rangkaian perniagaannya seorang sendiri, wajar sekiranya beliau mempunyai teman yang bernama suami bagi menguruskannya."

     "Bukankah ada orang yang lebih baik mahukan dirinya, maksud saya mereka yang mempunyai kedudukan seperti para pemuda daripada golongan bangsawan dan raja?"

     "Ya, namun kebanyakannya hanya berminat selepas mengetahui kuantiti harta, kemuliaan keturunan dan ketinggian darjat Khadijah sahaja. Walaupun mereka sanggup membayar mahar yang tinggi, namun itu dilihat sebagai pelaburan dengan mengharap kesenangan melimpah kepada mereka apabila sudah berkahwin dengan Khadijah."

     "Dan akhirnya?"

     "Sebagaimana yang kita maklum, Khadijah selesa memilih Muhammad yang hidup dihimpit kemiskinan semenjak kecil."

     "Begitu sekali, apabila tautan cinta bersemi dan menjalar di akar sanubari. Apatah lagi yang menjadi pengukur cinta itu pula bukan nafsu berahi namun akhlak dan perwatakan yang ditonjolkan. Ketokohan dalam pengurusan, amanah, jujur dan segala macam sifat mahmudah yang ada dalam diri Muhammad itu."

     Perbincangan mereka diteruskan dan terus sahaja berpanjangan.


====================


Mungkin kata-kata ini yang Khadijah ucapkan saat umpatan dan kejian wanita-wanita Quraisy kepada dirinya muncul.

     "Tidak mengapa sekiranya kamu semua mahu mengeji dan mengata saya, saya tidak punya masalah. Saya tahu perkara yang terbaik untuk diri saya. Saya tidak perlukan lelaki yang hebat dan berharta, saya juga tidak perlu lelaki yang bernafsu buas membuta. Saya perlukan lelaki yang bakal menemani dan menuntun diri saya pada saat saya senang mahupun susah."

     "Maksud puan, Muhammad mempunyai semua kualiti itu?"

     "Ya, saya yakin. Beliau mempunyai keagungan jiwa, beperibadi tinggi, bersih jiwa dan yang penting membimbing saya keluar daripada zulmat ini. Zulmat kejahilan yang mencengkam leluhur bangsa ini buat sekian lamanya."

     Sekian masa diambil oleh Khadijah bagi membulatkan tekadnya meminang Muhammad. Berlawanan adat, perempuan meminang lelaki.

     Beberapa orang yang penting dan berpengaruh dalam hidupnya dibawa berbincang mengenai hajatnya kepada Muhammad.

     Ada yang bertanya, "Benar kamu mahu meminang Muhammad?"

     "Ya, saya fikir tiada salahnya. Tambahan pula, beliau adalah orang yang mulia semenjak dilahirkan sehingga sekarang."

     "Apa yang menyebabkan kamu yakin, wahai Khadijah?"

     "Akhlaknya sepanjang bekerja di bawah saya membuktikan, saya tidak tersalah membuat pilihan," tegas Khadijah.

     "Ya, kami juga arif akan susur galur keluarganya. Kisah Abdullah dan Aminah, ibu bapanya juga adalah kisah yang dituturkan oleh kaum kita sehingga sekarang. Bagaimana ayahnya, Abdulah terselamat daripada disembelih dek kerana nazar datuknya, Abdul Mutalib. Oleh yang demikian dia digelar anak kepada dua orang yang tidak jadi disembelih."

     Khadijah menerangkan, "Saya pernah meminta orang suruhan saya yang bernama Maisara pergi berdagang bersama Muhammad ke Syam bagi memerhatikan gerak-gerinya dan melaporkan kembali kepada saya."

     "Apakah hasilnya?"

     "Menakjubkan. Maisara pulang dengan melaporkan segalanya. Muhammad adalah calon yang tepat bagi menjadi suami saya."

     Lantas persetujuan diambil, Khadijah juga membulat tekad.

     Saat itu Muhammad baru menginjak umur dua puluh lima tahun. Namun, asam garam hidup berdikari dan yatim semenjak hari kecil lagi banyak mengajarnya supaya menjadi tabah dan tidak mudah berputus asa.

     Pernikahan diuruskan oleh wakil pihak masing-masing. Bagi pihak Muhammad, diwakili oleh bapa saudaranya iaitu Abu Talib. Manakala pihak Khadijah pula, turut diwakili oleh bapa saudaranya iaitu Waraqah bin Naufal. Waraqah terlebih dahulu datang kepada keluarga Muhammad.

     Sekembalinya Waraqah daripada bertemu keluarga Muhammad, dia disambut oleh Khadijah dengan penuh pengharapan.

     Lantas Khadijah bertanya, "Selamat kembali. Apa mungkin segalanya sudah selesai dengan izin Tuhan?"

     Dengan wajah yang bertatah manikam seri, Waraqah mennyeru kepada anak saudaranya itu. "Berbahagialah wahai Khadijah, Muhammad mengutuskan salam kepada kamu. Maka serahkan segala urusan ini kepada saya kerana saya ini adalah wakil kamu. Sejenak subuh berlalu esok, kamu berdua sah menjadi suami isteri dengan izin Tuhan."

     Terukir jelas lagu kebahagiaan pada wajah Khadijah, senyumannya secemerlang ratna baiduri. Menora kemerah-merahan menanggung sukacita dan bahagia.

     "Esok?" Dia terpana seketika, kemudian dia menanggalkan jubah yang dipakainya lantas dihadiahkan kepada bapa saudaranya itu, "Wahai bapa saudara yang saya kasihi, tiada apa-apa yang dapat saya hadiahkan bagi membalas jasamu ini. Ambillah jubah yang dibeli dari Syam ini sebagai buah tangan saya kepada kamu."

     Waraqah bin Naufal berbesar hati menerimanya, "Terima kasih, Khadijah. Baiklah, semoga kamu bersedia bagi menghadapi hari esok, hari yang bersejarah untuk kamu dan Muhammad."

     Khadijah tetap tersenyum bahagia, dalam hatinya hanya Tuhan yang layak menilainya.

     Waraqah memohon diri lalu kembali pulang ke rumahnya. Mereka kembali bertemu esok pagi di majlis perkahwinan ringkas yang bakal berlangsung.

     Esoknya, satu majlis ringkas dilangsungkan, hanya keluarga terdekat sahaja yang hadir. Usai sahaja majlis nikah itu, Muhammad mengekori bapa saudaranya yang bangun meminta diri.

     Khadijah yang perasan akan kelakuan Muhammad itu segera mendapatkannya dan berkata, "Ke manakah tuan mahu pergi? Sekiranya mahu pulang, bukankah rumah saya ini juga adalah rumah tuan?"

     Bertitik tolak dari pernikahan kedua-dua orang yang hebat dalam sejarah bangsa Arab itu, pelbagai perubahan terus berlaku. Kini masing-masing mempunyai diri masing-masing bagi bermusyawarah, berkongsi kesedihan dan kegembiraan bersama.




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.



No comments:

Post a Comment