Monday 6 July 2015

FATIMAH [ BAB 2 - WANITA HEBAT ]




WANITA HEBAT


Adat dan adab perlu seiring, tidak terpisah sekiranya mahu keindahan dan kefalsafahannya kekal. Namun Arab memandang rendah kepada wanita. Wanita dipandang sebagai penyusah, penyebab celaka, dan membebankan.

     Namun, dalam keadaan masyarakat Arab yang tiada arah dalam hidup, muncul sebutir mutiara. Semua orang Arab Quraisy mengakui beliau adalah orang Arab yang berbeza. Beliau memberikan kesedaran kepada dogma karut yang mengakari minda dan sentimen kaumnya iaitu orang Arab Quraisy.

     Kadangkala kedengaran cakap-cakap para pedagang kota Mekah.

     "Sungguh, saya hairan mengenangkan nasib kita," kata seorang pemuda membuka bicara senjakala itu. "Kamu semua tidak rasa malukah?"

     Kawannya yang lebih kurus itu menebak kembali, "Maksud kamu apa? Setahu saya, kehidupan kita bagus dan baik-baik sahaja. Perniagaan kita pun semakin hari semakin laba."

     Dia segera memintas bicara, garau keras dengusnya, "Itulah halnya, syukur kita dapat laba yang banyak sekarang. Tuhan memang menyebelahi kita."

     "Namun, pasti ada sebabnya Tuhan mengurniakan dengan kekayaan yang melimpah ruah ini."

     Masing-masing mengerutkan mengerutkan muka, mereka mula berkira-kira.

     Tiba-tiba, salah seorang daripada mereka pula bersuara, "Apakah ini ada kaitannya dengan Khadijah, wanita yang dermawan dan hartawan itu."

     "Ya, semestinya."

     Kawannya segera  mencelah, "Saya pun berpendapat sedemikian. Sejak beliau terlibat dalam perniagaan, dia mengamalkan perniagaan secara telus, adil, dan amanah, tidak mengamalkan riba dan tidak menipu pelanggannya. Ini adalah antara sebab semua pedagang luar juga menyenanginya."

     Pemuda itu sedikit lantang melantunkan bicaranya, "Itulah maksud saya, sedar tidak sedar Khadijah sudah menjadi pembekal terbesar kepada kita semua."

     "Hebat, wanita yang hebat!"

     Tiba-tiba ada yang mendengus keras, seakan tidak puas hati.

     "Wanita... beliau adalah wanita! Bilakah pula masanya kita bangsa Arab yang hebat dan gagah ini mengiktiraf wanita? Di manakah maruah kamu semua sebagai seorang lelaki?"

     "Apa daya kita, nampaknya kemuliaan wanita seperti Khadijah tidak dapat kita sangkal lagi. Dia mempunyai harta, pengaruh serta penyokong-penyokong yang kuat. Para pekerjanya adalah orang yang hebat-hebat, termasuklah... Muhammad, ya putera al-Amin kita."

     Kemudian, datang orang tua berjanggut putih melebat paras dada. Apabila nama Khadijah disebut dia mula tertarik kepada perbualan itu.

     Dia datang hampir dan bertanya, "Maaf, nampaknya kamu semua berbincang perihal Khadijah, benar begitu?"

     "Ya, ada beberapa perkara yang menyebabkan kami tidak senang kepadanya."

     Lelaki tua itu bertanya lagi, "Apakah kamu semua maklum siapakah sebenarnya Khadijah itu? Bagaimana leluhurnya?"

     Tiada seorang pun menjawab.

     Dengan suara yang dalam dan tegas orang tua itu menjelaskan, "Khadijah bin Khuwailid adalah keturunan bangsawan yang dimuliakan oleh Arab Quraisy. Keluarganya dikenali dengan keilmuannya, ketokohannya, dan pengorbanannya kepada bangsa Arab Quraisy. Keluarganya juga antara mereka yang bertanggungjawab semasa pemerintahan Tubba', raja negeri Yaman yang mahu mengambil Hajaratul Aswad bagi dibawa pulang ke negeri mereka."

     Orang tua itu disoroti oleh semua pedagang itu, semuanya terpaku dan terdiam seribu bahasa.

     Dia lantas menyambung, "Tahukah kamu semua, Khadijah mempunyai abang yang bernama Asad bin Abdul Uzza? Dia terkenal dengan lafaz janji dan ikrar yang dipanggil ikrar fudhal, ikrar ini menjadi kebanggaan kaum Arab Quraisy."

     Kali ini ada yang mahu bertanya, "Maka, apakah maksudnya ikrar fudhal itu, tuan?"

     Sambil tersenyum, dia menjelaskan, "Ikrar fudhal adalah satu ikrar janji jaminan keselamatan kepada seluruh rakyat dan mereka yang datang ke kota Mekah. Selain itu, janji jaminan keselamatan itu juga tertakluk kepada mereka yang dizalimi dalam semua keadaan."

     Satu soalan lagi menjengah kepada orang tua itu.

     "Bagaimana pula dengan Waraqah bin Naufal. Kami mendapat tahu beliau juga mempunyai kaitan dengan Khadijah?"

     "Ya, beliau adalah bapa saudara kepada Khadijah binti Khuwailid. Orang yang alim dan tinggi keilmuannya terutama dalam urusan keagamaan nenek moyang kita. Sayangnya, agama nenek moyang sudah lama ditinggalkan."

     Nampaknya persoalan perihal Waraqah bin Naufal menarik minat semua pedagang, masing-masing mahu mengutarakan persoalan.

     "Saya mendapat tahu Waraqah bin Naufal tidak termasuk dalam golongan yang menyembah berhala?"

     "Ya, benar. Beliau adalah antara yang tidak ikut menyembah berhala dan terus mencari kebenarand dengan mengkaji agama-agama terdahulu. Pernah berlaku pada hari kebesaran kaum Arab Quraisy, mereka berkumpul di hadapan tuhan-tuhan itu dan mula memuja dan berkorban untuknya. Waraqah bin Naufal pada ketika itu pula menyembunyikan dirinya."

     Para pedagang yang mendengar semakin berasa pelik mendengar penerangan si tua itu.

     Dengan nada yang berbuat tegas, orang tua itu menyambung bicara.

     "Apakah kamu tahu apa yang kamu dan kaummu lakukan adalah perkara sia-sia?"

     "Apa maksud kamu, wahai orang tua?"

     "Lihatlah, kamu menyembah berhala yang tidak bernyawa dan tidak juga berilmu. Malah tidak mampu memberi dan juga tidak mampu menerima. Sedarkah kamu kita jauh terpesong daripada agama hanif yang benar. Agama yang dibawa oleh moyang kita, Ibrahim? Apa gunanya menyembah batu ukiran tangan kamu sendiri. Seharusnya mereka yang menyembah kamu kerana menciptakan mereka."

     Para pedagang itu mula panas punggung dan tidak keruan semasa orang tua itu menjelaskan perihal isu ketuhanan itu. Oleh kerana tidak mahu perkara itu berlarutan, mereka segera bubar dari situ.

     Perbincangan itu tergantung begitu sahaja. Sama ada puas hati ataupun tidak, Khadijah tetap pedagang penting dalam ekonomi penduduk kota Mekah. Ini menyebabkan mereka yang tidak suka kerana beliau adalah pedagang wanita, hanya mampu mendiamkan diri.


====================


Belasan tahun kemudian, masyarakat Arab masih lagi dalam keadaan yang sama, tidak banyak berubah. Semilir yang menghembus tidak mampu mengikis kerak zulmat dalam sanubari orang Arab Quraisy. Kerapuhan akhlak masih menjadi tabiat.

     Mereka terus mengagungkan bongkah-bongkah batu yang diukir sendiri, malah ada yang ditempah dari luar negeri. Kadangkala mereka beralasan, "Kami jua menyembah Tuhan yang esa, namun tuhan-tuhan berhala ini hanyalah sebagai perantara sahaja."

     Ada pula yang berkata, "Ya, paling kurang kami tidak seperti Yahudi dan Nasrani. Mereka menyembah dan mengangkat manusia sebagai tuhan mereka."

    Malah ada dalam kalangan mereka segera mengiakan, "Ya, Yahudi mengangkat Uzair sebagai anak tuhan lantas menyembahnya. Begitu juga Nasrani yang mengangkat Isa sebagai tuhan mereka."

     "Ternyata mereka lebih teruk daripada kami. Paling tidak, kami hanya menjadikan berhala-berhala sebagai perantara kepada Tuhan yang esa. Ternyata mereka itu lebih sesat daripada kami."

     Itulah pegangan pagan-pagan itu. Terus sesat lagi menyesatkan. Arak, judi, zina, penindasan, dan kezaliman adalah bantal dan tilam mereka yang paling empuk.

     Namun, Khadijah sentiasa menjadi topik perbualan harian mereka. Daripada mereka yang suka mengeji sehingga kepada mereka yang kagum dan memuji. Walaupun pada waktu itu umurnya sudah menginjak senja.

     Sudah menjadi kebiasaan tatkala kumpulan wanita Arab Quraisy berjumpa sesama mereka, maka susur galur leluhur Khadijah diumpat dan dipuji.

     "Sungguh saya kagum kepada Khadijah yang cekal dan tekal itu. Beliau seharusnya menjadi keturunan kita semua. Lihat sahaja akhlak, kejelitaannya, dan keayuannya. Sempurna walaupun kini umurnya sudah lewat senja." Tanpa berselindung wanita berumur tiga puluhan itu memuji Khadijah.

     Topik itu mendapat sambutan, sambung-menyambung mmulut antara mereka berlaku.

     "Saya kenal Khadijah sejak mudanya lagi. Kita sama-sama membesar dan mengharungi hidup di bumi Mekah ini lama sebelum kamu lahir," jelas wanita yang paling tua antara mereka. Rekah kedut pada wajahnya sudah cukup menggambarkan kepada yang lain, yang beliau terlebih dahulu makan garam.

     Yang lain menadah telinga. Ada yang mencebik kerana sudah banyak kali mendengar kisah itu. Ada yang baru mendengar dan ada yang sudah dengar namun masih mahu mendengarnya.

     Wanita tua itu mula menyusun bicara bagaikan sang pelipur lara lagaknya, "Tahukah kamu, Khadijah itu bukan wanita seperti kebiasaan kita?"

     Ada yang menyampuk bertanya, "Maksud puan, berbeza yang bagaimana?"

     "Sekiranya saya dapat dikatakan dunia ini didiami bidadari, bidadari itu adalah Khadijah puteri Khuwailid. Insan yang mendapat kemuliaan daripada Tuhan dan orang Arab keseluruhannya."

     Kagum dengan gambaran wanita tua itu, seorang lagi bertanya, "Puan, ceritakan kepada kami sejarah Khadijah, kami teruja mahu mendengarnya. Mana tahu, kisahnya mampu menopang hidup kami yang tidak sempurna ini."

     Wanita tua itu tersenyum, faham maksud wanita-wanita yang berada di hadapannya itu. Sejenak dia mengumpul tenaga, kedut mula jelas terukir pada wajahnya, mungkin mindanya kalut mencari catatan lama.

     Seketika dia tersenyum, seakan bersedia berkongsi cerita, "Khadijah itu bersuami sebanyak dua kali sebelum bersuamikan Muhammad. Suami pertamanya adalah Atiq bin Aidz. Namun suratan sentiasa wajib dipatuhi, suaminya itu berangkat awal ke alam baqa dan takdir juga menyatakan beliau bernikah bagi kali kedua."

     "Walaupun umurnya layak dipanggil renta lagi pikun tetapi beliau tegap, anggun dan menawan. Siapa yang mampu menandinginya?"

     Soalan itu dibiarkan tanpa jawapan, kerana semua yang ada arif dan maklum akan jawapannya. Mereka terus tertumpu kepada wanita tua yang menunggu bagi menyambung ceritanya.

     "Kali ini Khadijah berjodoh dengan pedagang yang kaya. Hartawan itu berasal daripada Bani Tamim. Namanya, Hindun bin Banas," terdiam sejenak meneguk liur, dia menyambung, "Namun sekali lagi takdir Tuhan mendahului. Suaminya keduanya juga meninggal dunia."

     "Oleh yang demikian...," belum sempat dihabiskan ayat itu segera wanita tua itu memotong kata salah seorang wanita yang mendengar.

     "Ya, oleh sebab itu beliau menjadi hartawan dalam sekelip mata. Semua harta suami keduanya itu menjadi miliknya. Sebenarnya, suami pertamanya juga tidak kurang hebat. Beliau juga meninggalkan sejumlah harta yang banyak kepada Khadijah."

     Rupa-rupanya dalam kalangan wanita itu ada anak-anak dara yang turut serta mengikuti perbualan itu. Khayalan mula menjejak dan meracun minda dan sanubari mereka.

     Raut wajah mereka jelas menggambarkan apa yang mereka khayalkan.

     "Sekiranya saya adalah Khadijah... alangkah bahagianya."

     "Sekiranya saya adalah Khadijah... semua keindahan menjadi milik diri!"

     "Sekiranya saya adalah Khadijah... selain daripada bulan, bintang dan matahari, saya memiliki semuanya."

     Angan-angan rasukan syaitan yang bersalut nafsu. Namun Khadijah bukan begitu, sama sekali bukan. 

     Wanita tua itu semakin mendapat rentak, semangatnya semakin membara apabila perasan wanita-wanita di hadapannya itu semakin khusyuk mendengar.

     "Khadijah memecah tradisi lama orang Arab Quraisy."

     "Maksud puan, suaminya ramai?"

     Tebakan itu mengundang bahan canda kepada mereka semua, berderai tawa seketika.

     "Bukan yang itu tetapi dalam hal pengurusan harta peninggalan suaminya. Ternyata Khadijah, wanita yang berani menyalahi adat selagi perasaannya menyatakan perkara itu tidak salah."

     Tiada yang mahu bertanya, takut terganggu jalan cerita.

     Wanita tua itu meneruskan ceritanya selepas berhenti seketika mengesat mata pikunnya itu. "Tidak pernah ada dalam sejarah orang Arab Quraisy, wanita menjadi pedagang dan berjaya menguruskan hartanya seorang diri, sehingga menjadi pembekal dan pemborong terbesar di kota ini."

     Sekalian wanita itu terkedu mengenang ketokohan Khadijah.

     "Beliau membuktikan wanita dapat melakukan apa sahaja yang lelaki lakukan. Dia sudah buktikan, apa sahaja dapat dilakukan asalkan tidak hilang nilai kewanitaan."

     Tiba-tiba, dari satu sudut terdengar satu sampukan yang keras bersemangat, "Ya, kita hanya perlu sedikit bijak dan berani mencuba."

     Masing-masing mengangguk, tidak mampu menafikan kenyataan itu.

     "Ya, dia menjangkaui batas norma bangsa Arab yang meremeh, memandang hina, tidak menghargai bahkan membunuh anak perempuan kerana kepercayaan anak perempuan pembawa sial. Namun, tidak kepada Khadijah, tidak sama sekali. Semua urusan perniagaannya diuruskan dengan jaya. Beliau dibantu oleh pembantu yang baik termasuk suaminya, Muhammad."

     Ada beberapa bisikan tercetus dalam kalangan wanita itu tatkala nama Muhammad kedengaran.

     Tanpa menghiraukan bisikan itu, wanita tua itu meneruskan ceritanya, "Bayangkan, untanya sahaja sudah cecah jumlah lapan puluh ribu ekor."

     Takjub. Mereka takjub kepada Khadijah. Jelas terpampang di wajah mereka lakaran ketakjuban itu. Kelipan mata tidak berjeda, benak menghentak bertanya, jiwa bergelora lara.

     Akhirnya mereka akur, hanya Khadijah yang layak kerana beliau adalah Khadijah. Takdirnya jelas kerana usahanya jelas.

     "Alangkah... ya, alangkah... andai diri ini adalah Khadijah!"




P/S: DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.



No comments:

Post a Comment