Tuesday 14 July 2015

FATIMAH [ BAB 8 - KETABAHAN FATIMAH ]






KETABAHAN FATIMAH




Yang hidup pasti mati, yang datang pasti berlalu. Hanya Allah yang kekal, tiada awal dan akhir. Tiada mula tiada tamat. Ingatlah Allah itu satu dan kepada-Nya dipohon pergantungan, tidak beranak dan diperanakkan, tiada siapa pun yang setara dengan-Nya.

     Saat Fatimah masih dahagakan kasih sayang seorang ibu, saat Rasulullah masih memerlukan tompang isterinya bagi mengadu resah pilu, takdir Allah datang kepada mereka.

     Kumpulan pembesar yang bermesyuarat sambil memerhati aktiviti-aktiviti penduduk kota Mekah yang sibuk rancak berborak. Kisahnya tiada lain, bagaimana mahu menghapuskan Muhammad.

     Tiba-tiba, kelibat seorang suruhan yang gesir berlari bagaikan lipas kudung menuju ke arah mereka. Lantaran itu, debu-debuan berterbangan di udara.

     Kelakuannya menimbulkan marah Abu Lahab, "Dasar kalut, apa yang terjadi kepada kamu sehingga kelam-kabut begini? Mahu sahaja aku tampar pipi kamu itu!"

     Orang suruhan itu berhenti dan masih tercungap-cungap, "Maafkan saya, tuan. Saya ada membawa berita penting kepada tuan-tuan sekalian."

     Wajah Abu Lahab kendur sedikit mendengar penjelasan orang suruhan itu.

     Ada pembesar lain segera memintas, "Ceritakanlah, kami semua mahu dengar. Sekiranya ia berita tidak penting, tahulah kamu kami kerjakan."

     "Begini, saya pun baru sahaja mendapat khabar ini dan terus saya meluru ke sini bagi disampaikan kepada kalian semua."

     Abu Lahab yang semakin tenang kelihatan tertarik bagi mengetahui cerita sebenar itu bertanya, "Berkaitan Muhammad?"

     "Ya, berkaitan Muhammad."

     Abu Lahab memalingkan tubuhnya dan duduk setentang dengan orang suruhan itu. Semua anak mata para pembesar tertumpu kepada orang suruhan itu.

     "Sampaikan kepada kami apa beritanya, wahai orang suruhan."

     "Ketahuilah oleh tuan-tuan, Khadijah iaitu isteri kepada Muhammad sudah meninggal dunia."

     Ada beberapa orang pembesar terloncat bangun dari tempat duduk masing-masing sambil bertanya keras, "Benarkah? Jangan kamu tipu kami kerana buruk padahnya!"

     Orang suruhan itu sedikit gugup, "Ya... ya, tuan. Saya mendengarnya sendiri semas melalui kawasan perumahan Khadijah dan Muhammad.

     Kemudian, para pembesar itu semuanya ketawa terbahak-bahak.

     Salah seorang daripada mereka berkata, "Nampaknya, tulang belakang Muhammad yang selama ini menjadi tempat pergantungannya sudah tiada."

     "Ya, kamu tahu apa yang aku fikirkan sekarang ini?" tukas Abu Jahal.

     "Sampaikanlah kepada kami, supaya lebih jelas hal itu."

     Abu Jahal yang tampak jelas kegirangan di wajahnya, bangun dari tempat duduk dan mundar-mandir di depan mereka semua, "Begini sahabatku pembesar Quraisy sekalian, kini sebelah kaki Muhammad sudah tiada. Kita dapat merangka semula gerakan bagi menghapuskan dia dan pengikutnya."

     "Ya, saya setuju. Namun, kita masih ada halangan yang besar."

     "Apa maksudmu sahabat?"

     "Abu Talib itu, walaupun bukan seorang muslim, namun dia tidak menyokong kita sekiranya mahu mengapa-apakan anak saudaranya. Kasih sayangnya kepada Muhammad lebih daripada anak sendiri."

     "Tidak mengapa, kita rancang daripada sekarang gerak kerja kita sedikit demi sedikit dan Abu Talib tidak perlu tahu akan hal ini."

     Kumpulan pendengki ini terus merancang gerak kerja mereka dan takdir Allah juga yang menentukan, tidak berapa selepas itu, Abu Talib, bapa saudara yang sudah banyak membela Rasulullah juga meninggalkan dunia.

     Sahabat Rasulullah juga turut merasai kesedihan itu.

     Ada yang bermadah, "Berat sungguh ujian Allah kepada Rasulullah...."

     Sahabatnya menyambung, "Sahabat, bukankah mereka yang dicintai Allah itu sentiasa diuji oleh-Nya. Ini kerana, mereka yang benar-benar mencintai Allah sahaja yang tahan dan reda dengan ujian yang berat."

     "Benar." Sahabat yang seorang lagi bersuara, "Sesungguhnya Allah tidak menguji hamba-Nya melainkan mereka mampu mengatasinya. Melainkan hamba itu kurang takwa dan sabarnya."

     "Rasulullah pun diuji sedemikian rupa, apakah kita wajar mengeluh sekiranya Allah datangkan ujian yang tidak seberapa kepada kita pula selepas ini?"

     Sejenak, para sahabat itu memuhasabahkan diri masing-masing.

     "Saya yakin penentangan kepada Rasulullah dan kita sebagai pengikutnya bertambah hebat selepas ini. Kaum kafir Quraisy dan pembesar pasti bergembira dengan berita kematian Abu Talib dan Khadijah, isteri baginda."

     Sahabat yang sedikit kurus, berjambang lebat itu berkata tegas bersemangat, "Nampaknya sudah sampai masanya kita menentang habis-habisan kaum kafir Quraisy itu, lagipun mereka sudah melampau. Kita dibuat selayak anjing kurap sahaja oleh mereka."

     Melihat kemarahan sahabat mereka itu meluap-meluap, kedua-dua sahabat segera menenangkan, "Sabar sahabat, sabar. Sesungguhnya sabar itu separuh daripada keimanan. Bukankah begitu pesan Rasulullah."

     Seorang lagi menokok, "Ya, tiada guna amarah menjadi landasan perjuangan kita. Lagipun dengan kekuatan kita yang lemah saat ini, amatlah mustahil bagi kita menentang mereka secara terbuka."

     Sebentar kemudian lelaki yang mula-mula tadi kembali bersuara, "Saya terkenangkan anak-anak baginda yang kini sudah menjadi yatim, baginda amat kasihkan mereka. Rasulullah yang mengajar kita supaya kasih akan isteri dan anak-anak serta kedua-dua ibu bapa tanpa belah bahagi sedangkan kita dahulu jahil dengan membeza-bezakan anak lelaki dan perempuan."

     "Berapa ramai anak perempuan sudah ditanam hidup-hidup oleh kaum kita? Kejam, wahai sahabat... kejam."

     "Cahaya itu, ya. Cahaya Muhammad, datang menerangi segenap alam dengan membawa kerahmatan ke seluruh alam. Bukan sahaja manusia, bintang, dan batu serta kayu dan seluruh makhluk yang ada di muka bumi menerima serpihan kerahmatannya."

     "Kita bertuah menjadi seorang Islam."

     "Ya, akan kita junjung walaupun terpaksa ditukar dengan nyawa."

     "Kita umat yang rindukan syahid, mati kerana Allah dan Rasulnya adalah cita-cita kita."

     Islam terus menjalar mekar seiring dengan tekanan dan seksaan yang semakin kejam oleh kaum kafir Quraisy.


===================


Seperti yang dijangka, kaum kafir Quraisy melalui pembesarnya semakin berani dan biadab kepada Rasulullah. Sekiranya dahulu ada pembela yang menghalang mereka daripada melakukan sebarang penganiayaan kepada Rasulullah, kini mereka lebih berani selepas kedua-dua mereka sudah pulang menghadap Ilahi.

     Tahun kesedihan sudah berlalu. Fasa dakwah yang menyeluruh perlu direntaskan. Ini bermakna penentang kepada Rasulullah dan kaum muslimin juga semakin hebat.

     Sesekali kaum ibu daripada kalangan muslimin berbicara memuji Fatimah.

     Kata salah seorang daripada mereka, "Beruntung sungguh Fatimah, punya ayah yang mulia dan penyayang seperti Rasulullah. Semenjak ibunya meninggal dunia. Rasulullahlah yang menjadi ayah dan ibu kepada anak-anaknya."

     Sambil tersenyum temannya itu membalas, "Saya lebih suka menyatakan yang Rasulullah yang bertuah kerana mempunyai anak gadis seperti Fatimah."

     "Mengapa kamu berkata begitu? Apa yang Fatimah lakukan kepada ayahandanya itu?"

     "Sekiranya kamu mahu tahu, semenjak Khadijah sakit lagi, Fatimah yang menguruskan segala keperluan Rasulullah. Daripada urusan makan, minum sehingga kepada keperluan dakwahnya."

     "Ya, saya pernah mendengar berita yang disampaikan oleh sahabat kita yang Fatimah menangis kesedihan apabila mendapati ayahandanya itu diganggu oleh kafir Quraisy. Bahkan dialah tempat Rasulullah berkongsi resah hati dan melepaskan beban selepas berdakwah."

     Pernah pada suatu hari, ketika Fatimah lewat di satu tempat yang menjadi tempat berkumpulnya pemuda Quraisy, dia terdengar sesuatu yang menggoncang hatinya.

     Kalangan pemuda itu kelihatan rancak berbincang mengenai satu komplot khianat.

     Salah seorang daripada mereka berkata, "Kita adalah pemuda Quraisy yang gagah berani, sedari kecil kita sudah dilatih bagi berperang. Mana ada lelaki Quraisy yang tidak mampu menghayun pedang, memacu tali kekang kuda dan membidik sasaran? Kita semua sememangnya dilahirkan sebagai seorang pahlawan, ya... pahlawan padang pasir yang hebat."

     Kelihatan yang lain begitu bersemangat mendengarnya, "Ya, justeru sesiapa sahaja lawan kita di padang pasir ini pasti berputih tulang. Tiada siapa yang lebih mahir perihal padang pasir ini melainkan kita."

     Kemudian, salah seorang yang diam dari tadi mula bersuara agak lunak, "Saudaraku sekalian, soalnya sekarang yang mahu kita tentang adalah darah daging kita sendiri. Siapa antara kita yang tidak kenal Muhammad?"

     Kawanan itu terdiam sejenak.

     Pemuda itu menyambung, "Kita pasti tidak bermasalah sekiranya yang mahu kita tentang itu adalah kaum, bangsa, dan suku lain. Namun, kali ini adalah darah daging kita sendiri. Saya berasa agak susah hati, sementelah pula Muhammad adalah kesayangan Abu Talib dan Khadijah. Orang yang banyak jasanya kepada kaum kita khususnya penduduk kota Makkah ini."

     Suara yang tidak bersetuju dengannya nampak lebih kuat dan ramai.

     "Masakan kita anggap dia sebagai saudara kita apabila dia sudah mengisytiharkan dirinya sebagai pembawa ajaran baru dan melaknat ajaran nenek moyangnya. Semenjak itu, dia bukan lagi daripada golongan kita."

     Yang lain semakin kuat menyatakan persetujuan mereka, "Ya, Muhammad tidak pernah pun menghormati dan beribadah kepada tuhan-tuhan berhala kita semenjak umurnya kecil lagi."

     "Sewajarnya kita bunuh sahaja dia. Lagipun benteng yang menghalang kita selama ini sudahpun roboh. Muhammad dapat dibunuh pada bila-bila masa sahaja sekiranya kita mahu."

     "Sekiranya begitu, kita lakukan satu rancangan rapi dan saya bincangkan dengan para pembesar Quraisy akan hasrat dan rancangan kita ini," kata pemuda yang kelihatan seperti ketua kumpulan itu.

     Desas-desus bertiupan berimbangan di udara yang tidak berwarna, lentuk liuknya menggambarkan ia hanya menurut apa yang angin lakukan.

     Deruan angin yang membadaikan berita perancangan mereka singgah ke cuping Fatimah lantas dia segera pulang ke rumah dan segera melaporkan berita itu kepada ayahandanya.

     Hati dan jiwa mana tidak remuk redam mengenangkan ada pakatan yang mahu membunuh ayahnya sendiri. Fatimah menitiskan air mata mengenangkan apa yang dirancang oleh pakatan itu.


====================


Pada suatu hari, Rasulullah didapati menuju ke Kaabah dan apabila sampai di sana, kebetulan kumpulan pembesar Quraisy juga ada di tempat biasa mereka berkumpul. Dalam kalngan mereka itu ada Abu Jahal.

     Mereka memerhatikan Rasulullah.

     "Lihat, apa yang mahu dilakukannya?" getus salah seorang daripada mereka.

     "Dia pasti mahu melakukan ibadahnya, ini sudah melampau. Berani dia melaksanakan ibadah agama anutannya di depan Kaabah!" getap seorang lagi geram.

     "Ini tidak boleh jadi, kita harus lakukan sesuatu. Cepat, fikirkan sesuatu!"

     Tiba-tiba Abu Jahal bersuara keras dan lantang. Dia seolah-olah membuat pengumuman kepada semua yang ada di situ.

     "Siapa yang berani pergi dekat dengan lelaki itu dan merosakkan ibadatnya?"

     Seorang lelaki Quraisy bernama Ibnu As-Zab'ari berdiri dengan angkuh dan yakinnya, "Saya akan melakukannya," ujarnya ringkas.

     Lantas diambil naji dan darah haiwan yang busuk dan hanyir dan diletakkan di atas badan Rasulullah yang sedang bersolat. Badan yang mulia dan dimuliakan oleh seluruh alam itu dipalit najis kehinaan oleh bangsannya sendiri yang gelap zulmat sanubarinya.

     Orang Islam yang menyaksikan kejadian itu segera melaporkannya kepada Fatimah yang berada di rumah.

     "Benarkah?"

     "Ya, sekarang ayahandamu masih di depan Kaabah."

     Lantas segera Fatimah berlari sekuat hati menuju ke arah Kaabah, hati dan jantungnya berdetak kencang bercampur baur perasaan. Ada marah, geram, meluat kepada pembesar Quraisy yang kejam itu dan timbul pula kesayuan, kesedihan, dan kepiluan apabila mengenangkan kejadian yang menimpa ayahandanya.

     Sesampainya dia di depan Kaabah, dilihat ayahandanya berlumurah najis dan darah yang dipalit kafir Quraisy itu. Segera dia mendapatkan ayahandanya dan membersihkan kesan najis dan darah itu.

     Para pembesar Quraisy pula ketawa berdekah-dekah menyaksikan keadaan yang berlaku. Kebahagiaan menjengah di sanubari mereka walaupun mereka tahu ia hanya sementara. Namun dapat menyeksa Muhammad dengan cara itu sudah cukup bagi mereka.

     Rasulullah terus tenggelam dalam keasyikan ibadatnya kerana Allah.

     Dek kerana tidak tertahan lagi melihat ayahandanya diperlakukan dengan sebegitu rupa, Fatimah yang masih hijau itu dengan berani menengking dan memarahi kumpulan besar kafir Quraisy itu.

     Kumpulan itu tersentak apabila diherdik oleh Fatimah yang datang kepada ayahandanya dan membelanya.

     Daripada kalangan yang memerhatikan, timbul cakap-cakap.

     "Sungguh berani puteri itu membela ayahandanya, tentu dia menjadi seorang tokoh yang hebat apabila dewasa kelak."

     Ada yang bersetuju, "Ya, lihatlah sahaja cara dia berdepan dengan pembesar Quraisy yang kejam itu. Tiada secubit pun wajah takut padanya, itu adalah kerana dia di pihak yang benar."

     "Saya fikir inilah sebabnya Fatimah digelar sebagai Ummi Abiha yang bermaksud emak kepada ayahnya. Oleh kerana bebanan dan tanggungjawabnya adalah seberat seorang ibu yang menjaga anaknya. Bahkan, ayahandanya pun banyak ditolongnya."

     "Mempunyai anak gadis persis dirinya adalah kebanggaan ibu bapanya. Lagipun, ayahandanya sememangnya menyayangi mereka adik-beradik walaupun mereka adalah perempuan."

     Begitulah ragam hidup Fatimah yang penuh dengan ujian dan cabaran, kendatipun ayahandanya adalah seorang utusan dan pesuruh Allah yang bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada kaumnya yang sangat keras kepala dan zalim itu.

     Fatimah tetap menjadi tangan dan kaki ayahandanya. Dialah gambaran seorang ibu dan dialah juga isteri apabila menguruskan ayahandanya.




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment