Sunday 12 July 2015

FATIMAH [ BAB 5 - KELAHIRAN YANG DINANTI ]






KELAHIRAN YANG DINANTI




Kehidupan diteruskan, perjalanan masih jauh. Cabaran nan mendatang tidak dikenali bentuk rupanya. Mungkin sahaja dapat dielakkan, namun, mungkin juga perlu dirempuh dengan segala kudrat yang ada dengan tanpa perlu dahulu memikirkan kesannya.

     Sebab dan akibat itu adalah fitrah, namun akibat yang hakiki adalah keputusan di dunia sana nanti.

     Khadijah kelihatan gembira, hal ini disedari oleh mereka yang berada di sekelilingnya.

     Lantas salah seorang terus sahaja memuji tanpa ragu, "Wahai ratu Quraisy, alangkah indah wajah kamu pada hari ini, berbeza berbanding dengan hari-hari sebelumnya."

     Segera kedua yang menambah, "Ya, lihat sahaja rona kemerahan di pipi itu, lentikan bulu mata dan lukisan parit pada keningmu. Hidung bak seludang, tulang pipi timbul dan bibir bak delima, sungguh indah."

     Khadijah hanya mendengar sahaja.

     Yang ketiga kelihatan lebih berumur daripada dua wanita yang sebelum itu menebak dengan lebih dalam.

     "Tidak, saya tidak fikir ini kecantikan biasa. Ini adalah disebabkan kedamaian dan kegirangan hati yang jitu. Ada beberapa sebab seorang perempuan menjadi sebegini bahagia dan menawan."

     "Maksud kamu, apa?" Hampir serentak dua orang bertanya.

     "Khadijah mengandung, sekiranya saya tidak silap."

     Terpancar sinar kegembiraan pada wajah masing-masing. Ucapan tahniah segera dihadiahkan kepada Khadijah.

     "Tahniah wahai Ratu Quraisy,berbahagia kamu dengan anak yang bakal dilahirkan itu."

     "Ini anak yang keempat, bukan? Semoga anak ini adalah lelaki yang menyambung zuriat warisan keluarga kamu."

     Kedua-dua mereka menuntut kalimah pujian kepada Khadijah. Namun, Khadijah tetap Khadijah yang tidak suka dipuji dan dipuja.

     Selepas Khadijah tidak ada lagi bersama mereka bertiga, sekali lagi mereka berbicara seputar kandungan Khadijah.

     Yang paling berumur antara mereka memulakan bicara, "Khadijah beruntung kerana suaminya adalah seorang lelaki yang mulia."

     "Apa maksud kamu?" tanya perempuan yang paling muda.

     "Sebenarnya anak itu adalah anak keempat Khadijah dan Muhammad. Namun tiga anak yang terdahulu adalah puteri juga."

     "Di mana anak-anak yang lain? Apakah mereka membela kesemua anak perempuan itu?"

     "Itulah yang hebat dan beruntungnya Khadijah ini. Suaminya, Muhammad sayang dan prihatin kepada mereka. Tiga anak perempuan sebelumnya dibela dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang tanpa merasakan mereka adalah beban kepada keluarga."

     Kedua-duanya menggeleng-geleng, "Baru minggu sudah, saya dengar beberapa orang bayi perempuan ditanam hidup-hidup oleh ayah mereka."

     "Zalim."

     "Ya, zalim. Apakah ibu mereka, kakak mereka, adik mereka, nenek mereka, ibu saudara mereka bukan wanita? Bagaimana mereka itu lahir ke dunia ini tanpa manusia yang bernama wanita?"

     "Pemikiran bangsa ini harus diubah, sekiranya tidak bangsa ini akan hancur."

     "Yang menjadi mangsa biasanya adalah anak-anak orang yang miskin dan berketurunan biasa-biasa terutamanya hamba. Dek kerana risau anak-anak mereka kelak menjadi mangsa kepada sesetengah lelaki-lelaki Quraisy yang jahat dan buas, mereka lebih rela anak mereka dibunuh."

     "Arak, judi, zina, bunuh adalah gejala yang menjadi amalan bangsa padang pasir ini. Apakah ada jaminan yang kita dan anak-anak kita dapat terlepas daripada itu semua?"

     Masing-masing terdiam, jawapan sudah ada pada diri masing-masing. Sekiranya mereka bersuara, tindakan itu bermaksud mereka membunuh impian mereka sendiri.

     "Sekiranya semua lelaki Quraisy persis Muhammad, maka bangsa Arab menjadi hebat di seluruh dunia. Dihormati kawan dan lawan, disayangi oleh sekalian alam. Tiada lain yang menyebabkan Khadijah terpikat dengannya melainkan selepas melihat dan mendengar akan kejujuran, kebaikan, ketaatan dan segala kesempurnaan sifat Muhammad itu."

     Khadijah hanya mampu terus tersenyum. Dia diajar supaya tidak alpa dengan puji-pujia, kerana yang selayaknya dipuji adalah Allah sahaja.

     Ada lagi yang cuba menambah, "Dek kerana itu, Khadijah ditertawakan oleh wanita-wanita Quraisy lain. Kata mereka, adalah pelik seorang perempuan bangsawan yang kaya-raya bekahwin dengan pekerjanya sendiri, yatim piatu dan tidak berharta walaupun daripada keturunan mulia di kota Mekah ini."

     Yang membela terus menegaskan, "Biarkan mereka, sekiranya dibandingkan dengan suami-suami mereka, Muhammad adalah ibarat langit dan bumi. Pernah kamu semua melihat dia marah? Pernah kamu semua melihat beliau bermuka masam? Pernahkah pula sesiapa dimarahinya tanpa sebab?"

     Masing-masing terdiam mengenangkan apa yang diperbincangkan tadi.

     Kini, Khadijah tidak kesunyian kerana mengandungkan anak keempat mereka. Apabila Khadijah tinggal seorang di rumah, kadangkala dia bercakap dengan bayi di dalam kandungannya itu.

     Hambanya yang menyedari akan hal itu lantas bertanya, "Dengan siapakah puan berbicara?"

     Khadijah menjawab tenang, "Bayi di dalam kandungan ini. Dia sentiasa berbual dan menggembirakan diri saya."

     Kemudian, Khadijah dikhabarkan oleh suaminya kelahiran Fatiman yang mendatangkan rasa keterujaan dan kegembiraan dalam dirinya.


====================


Bulan demi bulan berlalu, sembilan bulan lebih mengandungkan bayi terasa sangat lambat bagi mereka yang teruja mendapat anak.

     Kini waktunya benar-benar sudah tiba, Khadijah dapat merasakannya. Pengalamannya bersalin sebelum ini benar-benar menjadi guru yang terbaik kepada dirinya. 

     Pada saat genting itu, Khadijah kemudian menyuruh seorang daripada hambanya supaya segera mendapatkan bantuan jiran mereka.

     "Mohon kepada mereka dengan cara yang paling baik. Katakan bayi yang lahir ini adalah berbangsa Quraisy dan daripada leluhur Bani Hasyim. Dengan izin Tuhan mereka menolong kita."

     Tanpa berlengah lagi, si hamba terus berjumpa dengan para wanita Quraisy bagi menyatakan hasrat itu kepada wanita Quraisy itu.

     "Puan, cik puan saya bergelut maut bagi melahirkan anaknya. Apakah puan ada sebarang peralatan bagi mengurangkan bebanannya itu."

     Dengan bengis dan angkuh, si perempuan Quraisy itu menjawab, "Tidak ada! Mana mungkin aku memberi bantuan kepada perempuan yang tidak tahu diuntung itu. Daripada kaya-kaya menjadi miskin papa selepas berkahwin dengan pemuda yang papa itu."

     Si hamba pergi lagi ke rumahnya seterusnya, jawapan yang hampir sama juga dia terima.

     Sambil tersenyum sinis dan bercekak pinggang wanita Quraisy itu menjawab kembali, "Apakah keuntungan yang dapat aku peroleh? Khadijah itu sudah kami pesan dahulu, jangan berkahwin dengan Muhammad yang tidak ada harta. Sekarang dirinya sendiri sudah jatuh miskin. Dia bukan lagi daripada golongan kami."

     Ada juga yang mengherdik lebih keras. Kata mereka, "Tidak pernah kami jumpa wanita yang sebodoh Khadijah, beliau adalah tokoh wanita yang mulia kedudukan dan keturunannya. Namun, semua itu hancur berkecai selepas dia berkahwin dengan Muhammad. Pemuda yang miskin lagi fakir. Terimalah nasibnya sendiri. Tidak ada yang mahu ataupun dapat menolongnya sekarang."

     Si hamba pulang dengan hati yang resah dan hiba, dia malu mahu berhadapan dengan cik puannya. Dia juga kasihan kepada cik puannya itu. 

     Mahu tidak mahu dia terpaksa pulang dan melaporkan perkara yang berlaku tadi.

     "Saya tidak sangka, mereka yang selama ini mengelilingi saya, mengampu dan membodek saya, semuanya tidak dapat menolong saat saya memerlukan pertolongan mereka."

     Si hamba berkata, "Tidak mengapalah cik puan, sekiranya mereka semua tidak mahu bersama kita, biar saya sahaja yang menguruskan cik puan, dengan izin Tuhan cik puan dan bakal anak ini selamat."

     Tidak beberapa lama kemudian, berkat kesabaran dan keteguhan hati mereka. Bayi Khadijah selamat dilahirkan.

     Tiada cahaya yang dapat mengatasi cahaya kegembiraan ini, semuanya bergembira dengan kelahiran anak perempuan ini.

     Anak itu disayangi dan disambut dengan untaian kasih sayang yang tidak putus-putus. Begitu juga dengan kakak-kakak kepada si bayi yang teruja dengan kehadiran adik mereka.


====================


Maka dikatakan, Muhammad dan Khadijah adalah pejuang pembebasan perhambaan wanita yang pertama dalam dunia.

     Apabila ada cerdik pandai Arab Quraisy berkumpul dan berbincang perihal tamadun dan sejarah, antara topik yang hangat bagi diperbincangkan adalah kedudukan wanita dalam kedudukan sosial masyarakat dan peradaban dunia.

     Berwacanalah mereka.

     Orang pertama mendatangkan soal kepada beberapa rakannya yang lain, "Apakah kamu semua sedar kita sering menindas kaum wanita? Saya rasa ini adalah satu perkara yang tidak patut berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini?"

     "Maksud kamu, apa yang kita buat selama ini salah?" satu soalan diterjah kepada yang memberi kenyataan tadi.

     Lama terdiam, mencari kata-kata yang sesuai bagi dilepaskan.

     "Kita lihat sistem perkahwinan masyarakat kita, bebas. Antaranya wanita bebas bersama dengan seberapa banyak lelaki yang dia mahukan dan apabila mengandung, dia dapat memilih lelaki yang mana pernah bersamanya bagi menjadi bapa kepada bayinya, apakah ini maksud akal?"

     "Sudah lama ia diamalkan dalam kalangan masyarakat kita. Tidak menjadi isu, lagipun perempuan memang menyusahkan kita sebagai orang lelaki sahaja." Salah seorang lagi tidak bersetuju.

     "Ya, saya setuju. Ini kerana mereka yang menanam dan membunuh anak mereka hidup-hidup itu bukan daripada kalangan bangsawan seperti kita melainkan rakyat marhain yang tidak mahu anak gadis mereka itu dilacurkan apabila besar kelak."

     "Itulah masalahnya, kita hanya memandang kepada orang lain. Bayangkan sekiranya yang dilacurkan itu adalah ibu, adik perempuan, dan isteri kita sendiri? Apa perasaan kamu?"

     Kenyataan ini mendatangkan lentingan daripada hadirin, suasana menjadi tegang.

     "Jangan samakan keluarga kita dengan mereka, mereka itu tidak berdarjat dan berketurunan yang tidak mulia."

     "Jadi apa bezanya, mereka tetap manusia. Mereka juga adalah wanita yang menjadi kakak, adik, ibu, dan anak kepada ahli keluarga mereka?"

     Lantas seorang yang fasih perihal sejarah dan peradaban bersuara, "Sekiranya kita merujuk kepada tamadun hebat di sekeliling kita seperti tamadun Rom dan Parsi, perkara yang sama juga berlaku bahkan lebih teruk lagi."

     "Maksud tuan? Apakah mereka lebih kejam kepada wanita."

     "Ya, tamadun Babylon sebagai contoh. Sekiranya ada lelaki membunuh mangsanya dan dibuktikan bersalah, bukan si pembunuh itu yang dihukum bunuh namun isteri mereka yang dihukum bunuh."

     "Bagaimana dengan tamadun lain?"

     "Ya, sekiranya dalam tamadun Yunani, wanita itu hanya dianggap sebagai binatang dan sering disimbolkan sebagai penyebab kepada nasib malang. Ini berdasarkan kepada mitos mereka yang menyatakan ada wanita khayalan yang dipanggil Pandora yang menjadi penyebab nasib malang manusia. Selain itu, wanita hanya dianggap sebagai hamba seks sahaja. Pelacuran menjadi aktiviti biasa pada zaman agung itu."

     Seorang lagi cuba menambah, "Saya juga mendengar yang tamadun Rom juga memandang rendah kepada wanitanya. Bahkan seorang lelaki itu berhak mengambil nyawa isterinya pada bila-bila masa yang disukainya tanpa perlu rasa bersalah. Pelacuran dan aktiviti berbogel juga menjadi kebiasaan di sana."

     Dia menyambung lagi, "Hal yang sama juga berlaku dalam tamadun Mesir, mereka menganggap wanita itu sebagai ejen syaitan dan pembawa kejahatan."

     Mereka yang hadir takjub dengan perkongsian itu. Biasanya mereka hanya berkumpul dan mendengar syair-syair pujian dan celaan kepada pemimpin dan mush mereka.

     Lelaki pertama yang tidak bersetuju dengan perhambaan dan ketidakadilan kepada kaum wanita tadi sekadar mengulas dengan berkata keras, "Justeru, apakah bezanya tamadun kita ini dengan tamadun mereka?"

     Semua terdiam.




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment