Tuesday 21 July 2015

FATIMAH [ BAB 10 - ALI BIN ABI TALIB ]






ALI BIN ABI TALIB




Anak adalah anugerah Allah yang wajib dijaga dan diberikan haknya. Islam adalah agama yang adil lantas memberikan hak yang sewajarnya kepada insan yang bernama anak. Bermula daripada kasih sayang sehinggalah kepada nafkah zahirnya, semuanya dipertanggungjawabkan kepada ibu dan ayahnya.

     Kasih sayang Rasulullah kepada Fatimah tiada tolak bandingannya. Kini, Fatimah sudah menginjak usia yang dikira wajar oleh bangsa Arab ketika itu untuk disunting menjadi isteri.

     Pesona paras Fatimah, menerima pujian daripada hampir kesemua lelaki yang mengenalinya. Mereka memuji bahkan memasang angan-angan mahu menjadi menantu Rasulullah, betapa bahagianya... fikir mereka.

     "Sungguh bertuah siapa yang menjadi menantu Rasulullah. Bukan sahaja beliau adalah insan yang dipilih Allah, malah ahli keluarganya juga dijanjikan selamat daripada api neraka," getus seorang anak muda yang sudah lama memeluk Islam.

     Ada empat orang sahabat lain yang bersamanya di pekarangan Masjid Nabawi.

     Kawannya yang paling kurus, sedikit cengkung matanya segera membalas, "Ya, bertuah badan ini sekiranya yang dikahwini adalah Fatimah, puteri kesayangan Rasulullah itu." Dia sedikit tersenyum di hujung bicara.

     Yang lain hanya mencebik mendengar kenyataan sahabat mereka. Ini kerana mereka tahu adalah sukar bagi Rasulullah melepaskan Fatimah kepada mereka. Apatah lagi, Fatimah adalah puteri Rasulullah yang paling dikasihinya.

     "Bayangkan, anak gadis yang dipagari kemuliaan daripada jalur keturunannya. Pewaris kemuliaan ayahandanya apakah mungkin layak untuk kita?"

     Terpana sejenak kawan pemuda itu. Mencongak kira, adakah diri mereka layak disandingkan dengan puteri nabi junjungan mulia itu.

     "Rasulullah mencintai puterinya ini, bahkan dirinya adalah nyalaan obor semangat baginda saat berada dalam tekanan yang maha dasyat oleh kafir Quraisy. Beliau juga berani menyinga dengan pemimpin kafir Quraisy, saat menyelamatkan ayahandanya daripada terus diperolok-olokkan oleh mereka."

     "Fatimah, kamu adalah sebaik-baik contoh muslimah, anak kepada ibu bapa dan kebanggaan orang Islam keseluruhannya."

     Semakin ramai yang menumpahkan perhatian kepada anak gadis Rasulullah. Namun, tidak ramai yang berani menyatakan hasrat mereka mahu menyunting kuntuman kasih Rasulullah.

     Pernah para pembesar Quraisy yang sudah masuk Islam mencuba, namun seakan tidak diendahkan oleh Rasulullah.

     Tatkala mereka berbicara sesama mereka, si pembesar Quraisy pun bercerita, "Kalian juga berkeinginan mengambil Fatimah sebagai isteri?"

     Salah seorang daripada mereka menjawab, tiada tanda dirinya bercanda, "Ya, siapa yang tidak ingin menjadi suami kepada anak utusan Allah?"

     "Ada jaminan dia dan ayahandanya menerima lamaran kamu?"

     "Tiada jaminan, namun saya masih belum mencuba. Apa salahnya, mungkin ada rezeki saya." Dia tersenyum.

     Pembesar yang mula-mula bersuara tadi kemudian menyoroti wajah kesemua pembesar kaum Quraisy yang sudah Islam itu.

     Dia kemudian berkata, "Beginilah sahabat sekalian, saya mahu kongsikan pengalaman yang saya dengar daripada mereka yang pernah cuba mendapatkan kebenaran Rasulullah bagi menjadikan Fatimah sebagai isterinya."

     Hadirin kelihatan teruja, tidak kurang juga ada yang terkejut kerana tidak menyangka ada orang yang pernah mencuba masuk meminang Fatimah.

     "Ceritakanlah, sahabat." Semua kelihatan teruja.

     "Ya, seperti yang kamu semua maklum. Sememangnya Fatimah adalah anak gadis yang penuh dengan ciri-ciri wanita syurga, apatah lagi ayahandanya adalah kekasih Allah dan pemimpin kita semua."

     Khali. Semua menumpukan perhatian kepadanya.

     "Sebenarnya sudah beberapa kali si fulan cuba menyampaikan hasrat kepada Rasulullah berkenaan Fatimah apabila dia berpeluang bersamanya. Namun, beliau hanya bersikap bersahaja apabila hal itu dibangkitkan, seolah-olah mahu menggambarkan beliau belum bersedia berbincang perihal hidup anak gadisnya itu."

     Lantas salah seorang mencelah, "Bukankah kita daripada golongan terhormat, mulia dan berharta? Adakah itu semua tidak menjadi penguat bagi menyatakan kelayakan kita bagi memiliki Fatimah?"

     "Kawan, adakah kita sudah lupa pesanan Rasulullah? Manusia itu sama sahaja di sisi Allah, yang membezakan darjat kita di sisi Allah hanyalah takwa kepada-Nya. Jadi segala kemuliaan, harta dan kebanggaan kita ini tiada nilai sedikit pun di sisi Allah bahkan tidak dapat dibawa apabila mati kelak."

     Tingkah seorang lagi, "Tetapi saya mendengar Rasulullah sudah pun mempunyai calon untuk anaknya itu. Namun masih belum diketahui siapa. Agaknya Rasulullah masih menunnggu amanat daripada langit bagi menentukan siapakah jodoh Fatimah Az-Zahra itu."

     Cahaya wajar disandingkan dengan cahaya. Emas wajar disandingkan dengan emas.

     Kata seorang pula, sambil mengelus-ngelus janggut sejemput di dagunya, "Saya pernah mendengar sahabat besar Rasulullah, beberapa orang daripada sepuluh sahabat yang diberi jaminan syurga juga pernah memohon kepada Rasulullah bagi memperisterikan Fatimah. Namund ditolak dengan baik dan menyatakan Fatimah az-Zahra masih kanak-kanak saat itu."

     "Tahukah kamu semua mengapa semuanya ditolak?"

     "Tentu sahaja kami tidak tahu."

     "Ini adalah kerana Rasulullah menerima amanah daripada Allah bagi mengahwinkan Fatimah dengan seorang pemuda terpilih. Rasulullah sebenarnya menunggu beliau masuk meminang sahaja."

     "Maha suci Allah dan rasulnya, siapakah yang kamu maksudkan?"

     "Hanya Allah dan rasul-Nya yang lebih mengetahui...."

     Walaupun banyak lamaran yang ditolak oleh Rasulullah, tiada satu pun dalam kalangan mereka mendendami Rasulullah. Ini keana mereka tahu, setiap tindakan Rasulullah sebenarnya tidak bertunjangkan keinginan dan nafsu manusiawinya melainkan semuanya adalah wahyu daripada Allah.

     Sama ada secara rasmi ataupun tidak.

     Penantian terus berlangsung, masing-masing membuat telahan sendiri siapakah pemuda yang dimaksudkan Rasulullah sehinggakan Allah sendiri menentukan jodohnya dengan Fatimah. Betapa bertuahnya pemuda itu, fikir mereka.

     Hari demi hari berlalu dan kini tekaan sudah terang lagi bersuluh. Siapakah yang dimaksudkan oleh Rasulullah bagi dikahwinkan dengan Fatimah, puteri kesayangannya?

     Beliau adalah Ali bin Abi Talib, sepupu baginda sendiri.

     Ada yang terkejut, tidak kurang juga yang sudah dapat menjangkakan Ali adalah pemuda yang dimaksudkan oleh Rasulullah.

     Hanya perkara yang menghairankan para sahabat adalah, mengapa sehingga ke saat ini Ali masih lagi tidak masuk meminang Fatimah. Sedangkan semua orang sudah maklum hal ketetapan Allah terhadapnya kepada Fatimah.


====================


Suatu waktu, tatkala para sahabat besar duduk dan berbincang di dalam Masjid Nabawi, perkara seputar Fatimah dan Ali juga dibangkitkan. Antara sahabat yang hadir adalah Abu Bakar, Umar dan Saad bin Muadz.

     Sememangnya menjadi kebiasaan para sahabat ini menghabiskan masa di masjid kerana masjid mempunyai fungsi sosial yang utama pada zaman itu.

     Masjid Nabawi tatkala itu hanya beratap dan bertiangkan pohon tamar, bahkan mimbar yang menjadi tempat Rasulullah berkhutbah juga hanyalah daripada batang tamar.

     Suasana tenang.

     Abu Bakar memulakan bicaranya, "Saya dapati ramai pembesar datang bagi menyunting puteri Rasulullah. Namun beliau sekadar menjawab, 'Urusan itu saya serahkan kepada Allah, sekiranya dikehendaki-Nya, saya nikahkan puteri saya itu.' Dalam masa yang sama, Ali tidak pernah datang memohon melamar Fatimah untuk dirinya, malah bercakap perihal Fatimah juga tidak pernah apabila bersama Rasulullah. Pada pendapat saya, tidak ada sebarang halangan bagi Ali melamar Fatimah melainkan kerana satu perkara, iaitu kemiskinannya. Sekiranya didapati benar kerana kemiskinannya yang menjadi penghalang, kita harus membantunya."

     Saad bin Muadz yang berada tidak jauh dari situ, berdoa, "Semoga Allah kurniakan taufik kepada kamu."

     Mereka kemudian pergi mencari Ali bagi meleraikan kemusykilan yang timbul itu.

     Salman al-Farisi kemudian melaporkan Ali bekerja di sebuah kebun seorang hartawan Ansar.

     Ali yang terkejut apabila mendapati para sahabat besar itu muncul di hadapannya berkata, "Apakah tujuan tuan-tuan datang ke sini?"

     Abu Bakar menjelaskan kepada Ali tujuan kedatangan mereka secara mengejut itu.

     "Wahai saudaraku Ali, tidak ada pada dirimu satu pun sifat yang tidak baik, bahkan sifat dan akhlak yang baik itu adalah dirimu. Kamu memiliki kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Rasulullah dek kerana keakraban kamu bersahabat dan bersaudara dengan beliau. Kamu juga adalah mereka yang terdahulu memeluk Islam selepas penurunan wahyu oleh Allah kepada beliau. Tahukah kamu, ramai pembesar Quraisy sudah datang melamar puteri Rasulullah, Fatimah? Tetapi kesemuanya ditolak dengan katanya, 'Urusan ini saya serahkan kepada Allah, sekiranya Allah mengkehendaki, saya kahwinkan dia.' Justeru, apakah lagi yang menghalang diri kamu daripada melamar Fatimah? Hanya Allah dan rasul-Nya sahaja yang berhak menghalang dirimu daripada melamar Fatimah."

     Sejurus mendengar kata-kata Abu Bakar, tetesan hangat mula mencecah pipi Ali.

     Dia berkata, "Wahai Abu Bakar, dirimu mengingatkan dan menyedarkan saya perihal perkara yang saya tidak endahkan. Demi Allah, sungguh saya mahukan Fatimah. Mustahil saya tidak berkehendakkan dirinya, namun kemiskinanlah yang menjadi penghalang saya meneruskan hasrat ini."

     Suasana hiba sejenak, para sahabat yang hadir memahami apa yang dihadapi oleh pemuda yang menjadi kanak-kanak pertama yang memeluk Islam.

     Abu Bakar lantas berkata kepada Ali, "Wahai Ali, janganlah kamu mengungkapkan perkataan itu. Segala yang wujud di atas muka bumi ini hanyalah debuan bagi Allah dan rasul-Nya. Oleh itu, bersegeralah kamu melamar Fatimah.


====================


Ali adalah contoh pemuda muslim yang terbaik pada zamannya. Selain rapat dengan Rasulullah, beliau juga adalah seorang yang sangat bijaksana dalam ilmu dan dakwah. Bahkan beliau sentiasa menjadi rujukan dalam permasalahan umat pada zamannya.

     Sekumpulan pemuda yang kagum kepada Ali berbincang seputar ketokohan dan kebaikan Ali di satu sisi di kota Madinah.

     Yang paling sasa antara mereka berkata, "Tahukah kamu semua, mengapa Saidina Ali lewat masuk meminang Fatimah, sekalipun sudah jelas Fatimah adalah jodohnya yang ditetapkan Allah?"

     Sahabat-sahabatnya tercengang seketika, tidak dapat menebak apakah jawapan yang tuntas untuk diberikan.

     "Mungkin kerana beliau sibuk?"

     "Mungkin juga kerana beliau belum mahu dibebani tanggungjawab?"

     "Mungkin juga beliau mahu tetap pada jalan dakwah terlebih dahulu."

     Si pemuda yang sasa itu tersenyum, "Tebakan kamu semua ada benarnya, namun ada yang lebih benar daripada itu semua."

     "Khabarkanlah, wahai sahabat," seru kawan-kawannya.

     "Sebab yang paling utama adalah, Saidina Ali sentiasa memikirkan dan bimbang kehidupan dirinya dan umat Islam yang miskin, sehinggakan bagi memikirkan perkahwinan dan kebajikan beliau sendiri pun sudah tidak ada masa."

     Terhenti sejenak, dia menyambung kembali, "Hanya apabila usianya santak ke umur 21, barulah terlintas di benak fikirannya perihal perlunya beliau bernikah."

     "Apakah pada masa itu beliau sudah maklum jodohnya dengan Fatimah?"

     "Ya, sedari awal lagi dia dan para sahabat lain sudah maklum Fatimah adalah bakal isteri Ali memandangkan Rasulullah mendapat sendiri makluman itu daripada Allah."

     "Sungguh beruntung kedua-dua mereka. Selain ada pertalian darah dengan insan yang mulia, mereka juga adalah penyambung kepada legasi zuriat Rasulullah kelak."

     "Ali dan Fatimah adalah antara insan yang mendapat didikan langsung daripada Rasulullah. Mereka juga sempat mendapat lembayung kasih sayang wanita yang hebat, dan banyak jasanya kepada Islam iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid."


====================


Ali masih berfikir hitung, mencongak pesanan Abu Bakar kepadanya tempoh hari. Apakah yang wajar dilakukannya?

     Apakah dirinya sebenarnya layak bersama dengan Fatimah ataupun tidak. Fatimah yang mulia serta molek paras rupanya itu sudah menjadi rebutan dalam kalangan pembesar pada masa itu. Siapalah dirinya sekiranya mahu dibandingkan dengan mereka semua.

     Rakan-rakan yang lain pula bertali arus datang menasihatinya supaya segera masuk melamar Fatimah, puteri mulia daripada leluhur agung, Muhammad Rasulullah. 

     "Segerakanlah, wahai Ali."

     "Janganlah kamu ragu-ragu, Fatimah sememangnya dilahirkan untuk dirimu."

     "Seluruh umat Islam di Mekah dan Madinah pasti bergembira dengan berita ini."

     "Rasulullah pasti menyambutmu sebagai menantu."

     "Jangan dikhuatiri kekurangan hartamu itu, bukankah Allah maha pemurah lagi maha penyayang?"

     Ya, akhirnya Ali bertekad.

     Dirinya membuat keputusan, satu keputusan besar yang bakal mengubah aturan kehidupannya.




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.



No comments:

Post a Comment