Wednesday 8 July 2015

FATIMAH [ BAB 4 - INSAN TERPILIH ]






INSAN TERPILIH




Perkahwinan yang pertama berlaku dalam sejarah manusia adalah perkahwinan antara Adam dan Hawa. Berlangsungnya perkahwinan itu pula di dalam syurga dengan penuh kebahagiaan.

     Menjadi tuntutan fitrah azali manusia memerlukan teman pada waktu sunyi. Perasaan itu juga Allah sengaja ciptakan dalam diri Adam tatkala keseorangan di dalam syurga. Lantas, dia memohon kepada Tuhan supaya diberi teman bagi melengkapkan fitrah azalinya itu.

    Selepas beberapa lama berkahwin, pasangan Muhammad dan Khadijah begitu aman berlayar dalam lautan kesederhanaan dan kebahagiaan perkahwinan, ini jelas dapat dilihat daripada kehidupan mereka.

     Kadangkala, apabila Khadijah duduk bersama dengan orang suruhannya, maka berceritalah sesama mereka. Memuji, mengusik, meluahkan rasa dan sebagainya. Apatah lagi Khadijah adalah tuan yang baik hati dan pemurah.

     Usik salah seorang daripada mereka, "Beruntung benar cik puan kerana bersuamikan Tuhan Muhammad, bukan sahaja baik hati dan elok paras rupanya. Dia juga orang yang berwibawa dan disenangi masyarakat."

     Khadijah sekadar tersenyum.

     Seorang lagi menambah rencah, katanya, "Benar, sekiranya diperhatikan kepada masyarakat Arab pada mutakhir ini, tiada yang dapat menandingi kebaikan tuan. Sewaktu masyarakat masih menganggap wanita adalah makhluk yang membawa sial dan tidak layak bersuara, tuan bertindak sebaliknya. Beliau memuliakan cik puan dan menyayangi anak-anak perempuannya. Bukan kita tidak tahu, masyarakat Arab sanggup membunuh malah menanam anak sendiri sekiranya yang dilahirkan itu perempuan. Aib kata mereka, bimbang sekiranya besar menjadi lacuran di sana sini."

     Yang paling tua antara mereka bersuara perlahan, "Muhammad insan yang sempurna. Bermula dari saat kelahirannya sehingga ke saat ini, kerahmatan sentiasa mengiringinya. Sungguh takdir Tuhan sudah lama termaktub, cik puan yang menjadi surinya."


====================


Lima belas tahun berlalu, segala lukisan bahagia tersisip rapi dalam ingatan dan sanubari. Setiap jeda kisah dipalit kemas dalam sejarah hidup manusiawi.

     Sudah beberapa lama dirinya berasa tidak aman. Ada yang mendatangi dirinya sama ada dalam jaga mahupun lena. Ada yang menyeru, ada yang membisik dan ada yang berlalu bagaikan puput angin yang halus.

     Akhirnya dia membuat keputusan, ke Gua Hira'!

     Hasrat dinyatakan kepada isteri tercinta, Sang isteri yang memahami pencarian si suami tidak membantah malah menyediakan apa yang perlu. Berangkat dia ke Gua Hira' iaitu gua pemula segala, gua yang menjadikan tarikh Islam menjadi agam.

     Saat dia bermunajat, tiba-tiba dirinya dipeluk dari belakang. Keadaan yang gelap gelita di dalam gua mampu meningkatkan ketakutan seseorang. 

     Kemas.

     Kuat.

     Kejap.

     Melalui pelukan itu, dia dapat rasakan pemeluknya adalah seorang lelaki yang sasa dan kuat.

     Tiba-tiba lelaki itu bersuara jelas dan dalam bunyinya, dakapannya tidak dilepaskan malah dikemaskan lagi.

     "Bacalah!"

     Usai sahaja menyebut perkataan itu dakapan dilonggarkan.

     Keliru dengan maksud bacalah, adakah sebagai arahan atau permintaan menyebabkan dirinya sekadar menjawab telus, "Tidak, saya tidak tahu membaca."

     Dakapan dikemaskan kembali.

     Seperti tidak menghiraukan penjelasan itu, sekali lagi dia ditanya. Perkataan yang sama juga.

     "Bacalah!"

     Dilonggarkan dakapan.

     Sekali lagi dirinya dihimpit kesusahan, lantas yang hanya mampu dijawab adalah ulangan aksara yang sebelumnya.

     "Tidak, saya tidak tahu membaca."

     Bagi kali ketiganya, soalan yang sama juga ditujah dan dakapan kembali dipautkan supaya bertemu antara dua tangan dan seraya lembaga itu berkata buat kali ketiganya.

     "Bacalah."

     Buat kesekian kalinya, jawapannya adalah, "Tidak, saya tidak tahu membaca."

     Nafasnya sudah mula turun naik tidak berentak. Badannya sudah mulai berasa kadangkala panas dan kadangkala sejuk. Badan terasa lemah dan fikiran juga menjadi lalau.

     Lembaga itu melepaskan dakapan.

     Katanya, "Ikut saya."

     Beliau kemudian membacakan satu rangkap ayat yang sungguh indah.

     "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk;
     Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku;
     Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah;
     Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan;
      Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."

     Sejurus sahaja mengulang rangkap yang diajar itu, selepas mendapati lembaga itu sudah tiada bersamanya, tiba-tiba gigil badannya semakin menjadi-jadi. Segera dia mengangkat kaki.

     Ke mana dia pergi?

     Sesampainya di rumah Khadijah, dia dengan tergesa-gesa menuju ke bilik dan tetap di atas katil.

     Si isteri yang setia itu sempat bertanya kepadanya, "Apakah yang berlaku?"

     Tidak dijawab, tidak mahu menjawab.

     Sekujur tubuhnya bergetar kuat, ada kegalauan dalam hatinya. Mungkin dadanya sesak dengan soalan yang ditimbulkannya sendirinya.

     "Siapakah lembaga itu?"

     "Apakah tujuannya?"

     "Mengapa beliau meminta saya membaca ayat-ayat yang indah itu tadi?"

     Itu untuk dirinya, kepada isterinya dia berkata, "Selimutilah saya, selimutilah saya, selimutilah saya...."

     Isteri yang taat dan prihatin itu menurut permintaan suaminya. Dia turut berasa kasihan kepada suaminya. Lantas isterinya pun memohon supaya dikongsikan kejadian yang menyebabkan dia menjadi sedemikian rupa.

     Khadijah lantas pergi menemui bapa saudaranya yang alim dan mahir kitab-kitab lama. Lantas diceritakan segalanya yang menimpa suaminya, Muhammad.

     Waraqah bin Naufal tertegun seketika, kemudian dia menuturkan kata-kata yang mengikut makrifat keilmuan yang dirinya miliki, "Sesungguhnya perkara yang berlaku kepada Muhammad sudah terjadi kepada nabi-nabi terdahulu. Ibrahim, Musa, Isa juga menempuh kejadian yang sama. Ketahui oleh kamu wahai Khadijah, suami kamu adalah utusan Allah yang ditugaskan menyampaikan agama dan kebenaran Allah. Lembaga yang datang kepada kamu itu adalah Jibril, beliau adalah malaikat yang ditugaskan bagi menyampaikan wahyu kepada para nabi dan rasul, dan suamimu adalah salah satu daripadanya. Bersiap siagalah kamu."

     Akhirnya fahamlah Khadijah akan hakikat keistimewaan suaminya itu, tidak lain tidak bukan kerana suaminya adalah insan yang terpilih. Oleh kerana itu, beliau juga adalah kekasih Allah.

     Wahyu kedua menyusul tatkala suami Khadijah itu di dalam selimutnya. Jibril datang kali keduanya dengan membawa kalimah yang menyeru nabi dan rasul yang baru dilantik itu.

     Kini secara rasminya beliau adalah rasul dan utusan Allah yang bakal memikul amanah sebagai pendakwah, pembela dan pejuang agama yang benar bertauhidkan Allah semata-mata.

     Beberapa lama selepas kejadian itu, Muhammad terus-menerus didatangi oleh malaikat Jibril yang menyampaikan wahyu dan memberikan tunjuk ajar serta menyampaikan pesanan-pesanan daripada Allah.

     Inti patinya, dakwah mengajak kembali kepada Allah yang satu mesti bermula. Itulah inti pati wahyu kedua yang meminta beliau keluar dari selimutnya.

     Namun, dakwah peringkat awalnya dijalankan secara bersembunyi.

     Dalam kalangan keluarga, sahabat dan taulan beliau sahaja.

     "Khadijah sudah mengikuti Muhammad, beliau adalah wanita pertama yang masuk Islam,"jelas seorang daripada mereka yang mendapat khabar dakwah ini.

     "Benarkah? Sudah berapa ramai pengikut Muhammad sekarang?" Sahabatnya bertanya.

     Lantas dijawab dengan berhati-hati, khuatir didengar oleh konco-konco pembesar Quraisy yang zalim itu.

     "Sepengetahuan saya, hanya ahli keluarga terdekat dan sahabat-sahabat karibnya. Namun, gerakan penyebaran dakwah agama baru ini semakin rancak berlangsung, lagipun Muhammad dikasihi oleh mereka semua. Bukankah beliau Al-Amin?"

     "Ya, saya setuju. Rasanya setakat ini, selain Khadijah, Ali, Zaid, Abu Bakar, Usman sudah pun bersama Muhammad."

     "Kadangkala mereka mengadakan perjumpaan sulit di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Sambutannya semakin hari semakin baik."

     "Sekiranya begitu, bagaimana dengan kita? Apakah kita mengikuti mereka?"

     Dialog sirna sebentar, masing-masing tenggelam dalam galau fikir diri mereka sendiri.

     Tiba-tiba terlintas satu ilham kurnia.

     "Apa kata, kita pergi berjumpa dengan Muhammad sendiri. Kita dengar dan tanya apa yang kita mahu tahu perihal agama baru yang dibawanya itu. Kemudian, baharu kita buat keputusan."

     Sambil mengangguk-angguk, si kawan tidak mampu lagi menyelindungkan keinginan yang membuak-buak itu, "Sekiranya begitu saya bersetuju. Ayuh, kita mencari Muhammad. Semoga lebih jelas perihal agama yang dibawanya apabila kita merujuk kepada orang yang sepatutnya itu."

     Begitulah dakwah itu berkembang, sehinggalah Muhammad mendapat arahan daripada Allah supaya berdakwah secara terang-terangan.

     Daripada situ, bermula satu episod dakwah yang menjadi titik tolak dalam sejarah peradaban dunia keseluruhannya.


====================


Pada suatu hari....

     Suasana menjadi kalut dan geger sekali. Penduduk kota Mekah keseluruhannya menuju ke satu dengan tergesa-gesa.

     Bagi mereka yang ketinggalan maklumat, segera mendapatkan orang yang berbondong-bondong ke lapangan panas berpasir di tepian kota bagi bertanya.

     "Apa yang berlaku? Ke manakah mereka semuanya ini mahu pergi?"

     "Apakah kamu tidak tahu, Muhammad yang meminta dan mengarahkan kita semua ke sana berkumpul."

     "Mengapa? Apa yang berlaku?"

     "Kami juga tidak tahu, namun sekiranya Muhammad al-Amin yang meminta, sewajarnya kita ikut sahaja. Bukan kamu tidak kenal siapa Muhammad itu. Semenjak lidahnya diciptakan Tuhan, tidak pernah sesaat pun diungkapkan kata dusta."

     "Benar katamu, baiklah. Ayuh kita semua ke sana."

     "Ya, semua pembesar Mekah juga pergi. Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufyan, Hamzah, Umar dan yang lain-lain."

     Apabila sampai di sana, kelihatan sudah ramai penduduk kota Mekah yang berkumpul. Daripada sekecil-kecil anak sehingga kepada setua-tua Arab Quraisy, semuanya hadir kerana satu sebab.

     Muhammad yang meminta mereka datang.

     Suasana menjadi semakin hangat, semua yang hadir tertanya-tanya sesama sendiri. Namun tiada jawapan mahupun alasan yang kukuh mampu diberikan. Hanya Muhammad yang mengetahui tujuan mengumpulkan mereka di situ.

     Suasana hangat, panas. Udara bercampur antara debu kering dan bunyian suara manusia yang tidak berbutir laras percakapannya. Masing-masing mempersoal dan mahukan jawapan.

     Seketika kemudian Muhammad naik ke atas tanah yang sedikit tinggi supaya suara dan dirinya dapat dilihat oleh semua yang hadir.

     Selepas memulakan ucapan dengan puji-pujian dan terima kasih atas kehadiran ahli masyarakat, Muhammad lantas melontar satu soalan dengan lantangnya kepada seluruh penduduk Mekah yang berkumpul di hadapannya itu.

     Laungnya keras, "Wahai penduduk Mekah, sekiranya saya khabarkan kepada kamu semua ada sepasukan perompak berkuda di sebalik bukit ini yang akan menyerang kamu semua, apakah kamu mempercayai kata-kata saya ini?"

     Tanpa ragu, hampir semua penduduk Mekah itu menyebut, "Ya!"

     Ada yang menambah, "Sekiranya kamu mengkhabarkan lebih daripada itu pun kami percaya, wahai al-Amin."

     "Kamu terselamat daripada berbuat dusta, masakan kami tidak mempercayaimu," tambah seorang lagi.

     "Dirimu adalah al-Amin, tidak pernah ada dalam sejarah kaum kita yang menerima pengiktirafan itu melainkan diri kamu. Katakan sahaja dan kami percaya."

     "Jika demikian kata kamu, dengarkan apa yang mahu saya sampaikan ini. Ini adalah kebenaran yang nyata."

     Suasana menjadi hening seketika, tiada satu bunyi pun kedengaran. Hanya kadangkala bunyi angin menyapa marah kerana terhalang oleh manusia yang ramai itu lantas ditampar-tampar wajah mereka dengan haba kehangatan jelapang pasir.

     "Ketahuilah oleh kamu semua tiada Tuhan melainkan Allah, dan saya adalah utusan Allah. Kembalilah kamu semua kepada Islam nescaya kamu semua selamat dunia dan akhirat."

     Penduduk Mekah terpetir dengan kata-kata Muhammad itu, kekalutan mula berlaku. Ada yang naik berang sehingga mahu bertindak dengan lebih lagi. Ada yang mencaci maki. Ada yang membuat perhitungan sendiri. Dan langit menjadi saksi Muhammad mengisytiharkan dirinya adalah utusan dan pesuruh Allah yang ditugaskan menyampaikan agama suci Islam serta membawa mereka semua kembali ke jalan yang benar.

     "Apa?"

     "Muhammad!"

     "Cis!"




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment