Monday 13 July 2015

FATIMAH [ BAB 7 - TAHUN UJIAN ]






TAHUN UJIAN




Penindasan ke atas umat Islam kini di puncaknya. Tekanan demi tekanan, seksaan demi penyeksaan dikenakan kepada mereka yang melafazkan kalimah La ilahaillallh Muhammadur rasulullah. Sudah ramai yang terkorban, namun semangat jitu yang bertunjangkan akidah itu tidak luluh malah lebih utuh.

     "Tahniah sahabat, kamu syahid dahulu." Begitu suara hati mereka apabila melihat sahabat, keluarga mahupun sesiapa sahaja daripada kalangan kaum muslimin yang diseksa sehingga syahid menjemput.

     Tiada gentar, tiada resah.

     "Ahad... ahad... ahad..." Itulah kalimah yang meniti di bibir Bilal bin Rabah saat bongkah batu yang besar dan panas ditekap pada dadanya. Kalimah yang bermaksud satu akidah, satu Tuhan, satu rasul, dan satu tujuan hidup.

     Rasulullah tidak dapat diapa-apakan para pembesar kerana jaminan daripada Abu Talib. Ini dikotakan lagi dengan hadirnya cahaya Islam kepada salah seorang bapa saudaranya yang bernama Hamzah.

     "Apa? Hamzah juga sudah bersama Muhammad!" Abu Jahal menyinga.

     "Ya, tidak syak lagi," jawab konco-konconya itu.

     "Apa yang menyebabkan lelaki gagah lagi perwira kaum Quraisy itu tewas kepada Muhammad?"

     "Selepas dia mendengar sendiri daripada Muhammad perihal ajaran Islam, terus dia terpikat dan mengisytiharkan dirinya sebagai Islam."

     Muka Abu Jahal merah padam bak udang dipanggang menahan marah. Tidak dia sangka Hamzah menyertai Muhammad.

     "Seperkara lagi, tuan," bicara si konco itu dalam getar.

     Abu Jahal tidak memandang, cukup sekadar memasang telinga.

     "Hamzah juga memberi jaminan akan keselamatan Muhammad dan pengikutnya. Lantas dia memberi amaran kepada sesiapa yang mahu mengganggu mereka samalah bermusuhan dengannya."

     "Kita mesti mencari jalan bagi menyekat Muhammad dengan segera."

     "Nampaknya keadaan menjadi lebih payah sekarang kerana Muhammad didokong oleh orang yang berpengaruh. Isterinya Khadijah, saudagar besar di Mekah, bapa saudaranya Abu Talib dan Hamzah adalah darah daging kita sendiri. Selain itu, ada Abu Bakar, Usman, Umar, dan Ali."

     Mereka terus tenggelam dalam perbincangan bagi menyekat dan memusnahkan usaha dakwah Rasulullah. Namun, sejauh mana perancangan mereka, nescaya perancangan Allah adalah yang lebih baik.

     Perjumpaan demi perjumpaan, mesyuarat demi mesyuarat dijalankan bagi mencari jalan menyekat dakwah Muhammad. Pelbagai idea dan cara namun semuanya hampa.

     Apabila tekanan semakin hebat, umat Islam juga sudah semakin lemah. Strategi segera dirangka oleh Rasulullah. Dengan bantuan sahabat-sahabat baginda, Raja Habsyah yang beragama Nasrani sudi memberikan perlindungan kepada mereka yang berhijrah. Nama raja itu Najashi, seorang yang sangat taat kepada agamanya dan memerintah dengan adil dan saksama.

     Perintah hijrah dikeluarkan oleh Rasulullah selepas Allah merelakan mereka.

     Sekali lagi pihak kafir Quraisy gempar. Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufyan dan yang lainnya bagai cacing kepanasan mengenangkan kejadian itu.

     Mesyuarat berlangsung seperti biasa, di satu sudut dalam tanah haram menghadap Kaabah.

     Terdengar suara menengking-nengking dengan kuat, sehingga ada beberapa pelawat yang sedang bertawaf berpaling ke mesyuarat itu.

     Abu Jahal bercekak pinggang dengan muka mencebik, kedua-dua telinganya merah menyala, "Mana mungkin mereka lolos, kita sudah menjaga kawasan Mekah ini sepenuhnya. Apa sebabnya?"

     "Mereka juga sudah membuat perancangan yang rapi sehinggakan pihak kita tidak sedar sedikit pun kegiatan mereka."

     Abu Jahal tidak dapat menerima alasan itu, konco itu ditampar di situ juga.

     "Bodoh! Itu bukan alasannya, kamu semua memang tidak boleh diharap. Asyik mabuk sahaja kerja kamu."

     Marah Abu Jahal belum reda, konco tadi hanya berdiam diri tidak bersuara. Hanya menanti suruhan seterusnya.

     "Sekiranya begitu kita hantarkan sahaja wakil kita ke sana bagi memujuk Raja Habsyah itu menyerahkan kembali mereka yang lari." Satu cadangan diutarakan oleh seorang daripada mereka.

     "Ya, itu satu cadangan yang baik. Tambahan pula jika raja itu dihadapkan dengan harta berupa emas perak serta intan berlian, pasti dia akan menyerahkan pengikut Muhammad tanpa syarat sekalipun."

     Abu Jahal dan sekalian pembesar yang bongkak itu pun ketawa terbahak.

     "Mereka pasti akan diseksa dengan kejam. Kita harus pastikan mereka menyesal kerana masuk Islam dan mengikuti ajaran Muhammad."

     Pada ketika itu juga penentangan terhadap golongan Islam semakin menggila. Sehinggakan berlakunya satu keputusan bagi memulaukan semua kerabat Bani Hasyim yang bersekongkol dengan Muhammad.

     "Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar." Kalimah itu benar-benar menjadi nadi gerak semangat mereka yang dipulau. Bukan sahaja aktiviti kehidupan mereka terjejas, perniagaan, ekonomi, kesihatan bahkan makanan mereka juga dizalimi.

     Namun, kerana yakin dengan janji-janji Rasulullah dan Allah, mereka tetap teguh walaupun ditekan dengan sebegitu hebat.

     Komplot antara kafir Quraisy dirancang, pedagang sesama pedagang.

     "Apakah kamu sudah mendapatkan arahan daripada pembesar kita?" soal saudagar unta.

     Rakannya saudagar tamar terpinga-pinga, "Arahan apa yang kamu maksudkan?"

     "Rupanya kamu masih belum mengetahuinya. Sekarang para pembesar Quraisy sedang melancarkan perang saraf kepada Muhammad dan pengikutnya."

     "Kalau yang itu sudah saya maklum, mereka juga akan dipulau bukan?"

     "Itulah maksud saya, adakah kamu sudah melakukannya?"

     "Sehingga saat ini, oleh kerana belum ada pelanggan saya daripada pengikut Muhammad mahupun Bani Hasyim."

     "Sekiranya begitu, selepas ini lakukan seperti yang dirancang oleh para pembesar kita."

     "Maknanya, kita tidak dapat berurusan dengan mereka walaupun menjual barang-barang keperluan asas?"

     "Tepat sekali."

     Kesan daripada pemulauan itu semakin terasa, keadaan melarat di perkampungan Bani Hasyim semakin teruk. Sehinggakan ada yang terpaksa memakan kasut mereka sendiri yang diperbuat daripada darah mereka sendiri.

     "Ibu, kami lapar!" tukas si anak, dalam tangisan sedu-sedan.

     Dan ibu itu hampir kehabisan akal mahu mencipta alasan baru.

     Terdengarlah jeritan, laungan, tempikan kesengsaraan daripada sana.

     Arab Quraisy yang masih kufur terus tenggelam dalam dunia keseronokan mereka. Arah dan judi menjadi teman akrab mereka saban malam.

     Saat itulah, sebagaimana yang dirancang Allah, seorang anak gadis tumbuh mekar bak mawar gurun yang segar. Walaupun dirinya ditakdirkan membesar dalam waktu yang mencabar, penuh dengan fitnah dan mehnah kepada ayahandanya, dia tetap membesar tanpa kurang sedikitpun kasih sayang daripada kedua-dua orang tuanya itu.

     Tiga tahun menahan derita, tiga tahun memendam rasa. Tiga tahun juga Fatimah membesar dalam keadaan serba kekurangan. Inilah yang menambahkan kecekalan hatinya sebagai anak kepada bakal pemimpin agung umat manusia.

     Dan saat itu dirinya mula belajar menjadi seorang yang tabah, kuat semangat dan berperibadi mulia persis ayahandanya.

     Kata-kata pujian sering menjengah ke telinga ibunya, Khadijah.

     "Beruntung amat cik puan kerana mempunyai anak sebaik Fatimah itu."

     Ada pula yang berkata, "Setiap ibu pasti mahukan anak mereka menjadi seperti Fatimah."

     Sekiranya ada yang bertanya, "Siapakah kanak-kanak yang paling besar jiwanya dalam kalangan kamu? Nescaya tanpa ragu kami menjawab, dia adalah Fatimah, anak Muhammad utusan Allah dan Khadijah saudagar wanita terkaya kota Mekah."

     Tiga tahun berlalu... penuh dengan seribu duka dan luka. Walaupun sudah berparut, namun kesannya masih jelas terasa. Jauh dalam sanubari, umat Islam kini bertambah gagah dan tabah selepas ujian tahun sudah.

     Kini bermulalah fasa baru bagi dunia Islam....




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment