Monday 13 July 2015

FATIMAH [ BAB 6 - FATIMAH AZ-ZAHRA ]






FATIMAH AZ-ZAHRA




Harapan itu adalah satu cara bagi manusia keluar daripada wilayah hakikinya buat seketika. Hanya dengan harapan, orang miskin mendapat semangat bagi meneruskan sisa hidup mereka.

     Hanya juga kerana harapan, para ibu bapa memberikan yang terbaik dengan mengharapkan pulangan yang terbaik daripada anak-anak mereka.

     Paling kurang mereka mahu anak yang mampu membantu mereka pada waktu susah. Bukan anak-anak yang berjaya namun bersikap tidak ambil peduli akan orang tuanya. Nilai harta saat itu bagaikan pepasir gurun yang tidak ternilai kerana yang terpenting adalah kemarau kasih sayang yang mereka alami perlu disirami dengan air kasih yang sesuci zamzam.

     Saat genting sudah berlalu, ada wajah keceriaan di raut wajah semua orang.

     Bidan yang menyambut bayi mulia itu berkata, "Syukur kepada Tuhan semuanya sudah selamat. Bayi ini istimewa, sungguh dia indah persis ibunya."

     Khadijah hanya mampu tersenyum diragut keletihan, namun nampak jelas di wajahnya seribu kebahagiaan yang menjengah.

     Bidan lantas mengambil helaian kain yang bersih lantas membaluti sekujur tubuh yang kecil merah itu. Sebelum itu, bayi itu dimandikan dan dibersihkan terlebih dahulu.

     Bidan itu kemudian menghadap Khadijah sambil dihulurkan kepadanya bayi yang kecil mulus itu. Warnanya yang kemerah-merahan cukup mempersonakan pandangan mata.

     "Ambillah buah hati kamu ini, wahai Khadijah. Dia sudah suci lagi disucikan, semoga dia kelak tumbuh mekar bersama dengan kesucian keturunannya malah diberkati oleh Tuhan," kata bidan itu.

     Hati dan sanubari Khadijah berbunga. Lantas hanya satu lafaz yang mampu dituturkan....

     "Terima kasih."

     Khadijah mendapatkan darah dagingnya itu ke dalam dakapan dengan penuh kasih sayang. Tiada langsung kekesalan di wajahnya apabila mengetahui bayi yang dilahirkan juga seorang bayi perempuan.

     Dia dan suaminya Muhammad, tidak pernah termakan dengan dakyah tradisi kuno Arab Quraisy yang mengatakan bayi perempuan merupakan pembawa malang. Apatah lagi mereka mahu menanamnya hidup-hidup.

     Bidan lantas bertanya, "Kamu mahu menyusukannya sendiri, tanpa mennyerahkannya kepada ibu susuan?"

     Khadijah mengangguk, ada ketegasan dalam anggukan itu.

     "Sudah begitu keputusanmu, saya tidak dapat berkata apa-apa lagi."

     Khadijah bersuara perlahan, "Lihatlah kepadanya, betapa senang dan bahagianya dia dalam pangkuan saya. Air susu badan saya juga keluar dengan banyaknya dek menyusukannya. Saya kira tidak benar amalan kaum kita walaupun sudah lama diamalkan, ia bertentangan dengan norma dan fitrah ciptaan Tuhan."

     Khadijah sudah bertekad mahu menyusukan sendiri anak-anaknya dan bukan diserahkan kepada mana-mana ibu susuan yang menjadi kebiasaan orang Arab Quraisy zaman itu.

     Dia menyambung lagi, "Susu ibu adalah makanan yang terbaik untuk si bayi."

     Ini kerana si bayi sudah biasa dan sebati dengan ibunya semasa di dalam kandungan malah mereka juga berkongsi, udara, darah, dan makanan yang sama sepanjang proses mengandung.

     Sedikit sebanyak tindakan Khadijah itu mendatangkan cakap-cakap dalam kalangan wanita Quraisy yang terus-menerus tidak sebulu dengan dirinya.

     Ada yang berkata, "Lihat sahajalah si tidak sedar diri itu, sudahlah berkahwin dengan lelaki muda, miskin pula. Dia yang dahulunya sangat kaya dan berpengaruh sekarang hanya hidup secukup makan sahaja, bodoh."

     Mengilai sakan mereka.

     Yang kedua pula menambah, "Entah apa yang dia dapat daripada Muhammad itu. Sudahlah membawa agama baru ke dalam masyarakat kita yang sudah turun temurun meyembah berhala. Katanya Tuhan itu satu dan dirinya adalah pesuruh Tuhan. Apakah kamu semua percaya?"

     Semakin galak mereka mengutuk dan mengumpat pasangan bahagia itu.

     Salah seorang daripada mereka adalah jiran kepada Khadijah, dia segera melaporkan, "Tahukah kalian, Khadijah sudah menyusukan sendiri anaknya yang baru lahir. Anak itu juga adalah seorang perempuan, termasuk yang ini, sudah empat orang anak perempuannya."

     "Pelik, saat semua orang tidak mengharapkan anak mereka seorang perempuan, mereka berdua pula begitu gembira. Malah Khadijah menyusukan sendiri anaknya itu. Mereka memang sengaja tidak mahu mengikuti adat resam kaum kita."

     Mereka diserang persoalan, mengapakah pasangan Muhammad dan Khadijah tidak pernah berasa sesal atas kelahiran anak-anak perempuan mereka?

     Anak-anak itu adalah,

     Zainab.

     Umi Kalthum.

     Ruqayyah.

     Fatimah.

     Kemudian ada yang berkata, "Seingat saya, ada dalam kalangan pengikut Muhammad pernah berkata yang Muhammad mengajak kita kepada kebaikan, jangan menzalimi anak-anak kecil kerana mereka adalah amanah daripada Tuhan, tidak kira mereka itu lelaki mahupun perempuan, mereka tetap makhluk Tuhan."

     "Ya, itu adalah ajaran Muhammad. Mereka diakui ia penuh dengan kebaikan dan kebahagiaan, namun satu sahaja masalahnya, Muhammad menafikan tuhan-tuhan berhala kita. Sekiranya dia dapat menerima tuhan berhala, kita pasti mengikutnya."

     "Agama mereka agama tauhid, akidah mereka adalah Allah yang satu. Sekiranya ada Tuhan selain Allah, itu syirik. Oleh yang demikian, kita ini dikatakan syirik daripada pandangan agama Islam."

     Galau hati masing-masing memikirkan hal itu, jauh santak ke dalam lubuk sanubari mereka mengiakan ajaran yang dibawa Muhammad. Apatah lagi yang membawanya adalah Muhammad yang sememangnya terkenal sebagai Al-Amin.

     Di rumah, Khadijah memberikan yang terbaik kepada anak-anaknya terutama Fatimah yang masih merah. Disusui, dibelai, dimanja, diladeni dengan penuh kasih sayang kakak-kakaknya.

     "Apa yang mereka mahu kata, katalah. Yang penting pada Allah dan rasulnya, inilah yang terbaik," getus hatinya.

     Kadangkala hambanya memuji Khadijah dengan berkata, "Kami kagum dengan cik puan yang mahu menyusu dan membesarkan anak dengan sendiri tanpa perlu diberikan kepada orang lain."

     "Itulah yang sebaiknya," jawabnya ringkas.

     "Tetapi apakah perbezaan menyusu dan menjaga sendiri bayi yang dilahirkan berbanding dengan amalan orang Arab Quraisy selama ini."

     "Semesti banyak bezanya. Ia penting malah mempengaruhi tumbesaran anak-anak itu sendiri. Bukankah apabila kita sendiri yang menyusukan, kita dapat mencurahkan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak dalam dakapan kita, berdekatan dengan detak jantung ibunya yang menjadi irama kasih, amat mendamaikan dan cukup bagi membuat mereka berasa selamat dan disayangi."

     Dia menyambung kembali selepas menghela nafas. Pandangnnya dilontar jauh ke langit balam melalui tingkap sambil berkata, "Lagipun, saya mahu mengasuh anak ini dengan akhlak dan sifat yang mulia, menanamkan dalam dirinya sifat berani dan tabah, sabar dengan ujian dan memperolehi ilmu yang diberkati. Ini kerana ayahnya, Muhammad adalah sumber kepada semua sifat itu. Saya tidak mahu memisahkannya dengan ayahnya yang mulia itu."

     Fahamlah hamba itu penjelasan Khadijah.


====================


Suasana di kota Mekah saat itu hangat membara, bukan dek kerana bahang bara kepanasan hawa padang pasir yang disalai matahari, namun dengan ribut khabar yang melanda.

     Muhammad menyebarkan agama barunya di merata-rata.

     "Benarkah?" Abu Jahal membentak. Dia kelihatan berang dengan berita yang didengarinya itu. Salah seorang daripada orang suruhannya datang melaporkan.

     Ketika itu, seperti biasa para pembesar Arab Quraisy bersidang di satu sudut di tepian Kaabah, sambil memerhati aktiviti-aktiviti penduduk Mekah dan kafilah dari luar yang datang berniaga mahupun beribadah.

     "Ini tidak boleh dibiarkan!" getus salah seorang daripada mereka seakan mahu mencucuh api ke dalam bara yang hangat itu.

     Muka Abu Jahal, Abu Lahab, dan konco-konconya yang lain merah padam menahan kemarahan.

     Seorang lagi berkata, "Saat ini sudah ada berpuluh-puluh orang pengikutnya, kami khuatir dia terus berjaya mempengaruhi orang ramai. Habislah kita dikatakan menderhaka kepada agama nenek moyang kita selama."

     "Tidak! Tidak mungkin itu terjadi!" Abu Jahal semakin tersirap darahnya.

     Kemudian dia bertanya, "Siapa yang sudah berjaya dipengaruhi Muhammad?"

     "Setakat ini isterinya Khadijah, sahabat karibnya Abu Bakar, sepupunya Ali dan ada beberapa orang hamba yang disyaki turut menyertai kumpulan agama baru itu.

     Abu Jahal mengarah keras, "Sekarang pergi siasat, siapa mereka!"

     "Baik."

     "Bagaimana dengan Muhammad, patutkah kita membiarkannya?"

     Abu Jahal dan Abu Lahab termenung panjang.

     "Masalahnya Muhammad sentiasa dilindungi Abu Talib. Bapa saudaranya yang juga abang kepada kami serta pemimpin tertua dalam kalangan kita. Apakah ada yang lebih mulia daripada dirinya dalam kalangan kita semua?"

     Kata-kata itu mematikan akal mereka semua seketika.

     "Apapun, tidakan harus diambil bagi menyekat gerakan agama baharu ini. Jika tidak, dalam masa terdekat sahaja pasti ramai yang akan berpaling tadah dan mengikuti Muhammad. Kamu pun bukan tidak kenal anak saudara kamu yang cukup sempurna itu."

     "Bagaimana sekiranya kita minta bantuan Abu Talib? Maksudnya, kita minta Abu Talib berunding dengan Muhammad."

     "Ya, itu cadangan yang bernas. Dia semestinya akur kepada bapa saudara yang sudah dia anggap sebagai bapanya sendiri itu."

     "Belum pasti, namun inilah peluang yang paling besar harapannya."

     "Apa salahnya, kita cuba sahaja."

     Perbincangan semakin rancak apabila ilham bagi mendapatkan bantuan Abu Talib tercetus.

     "Apa yang mahu ditawarkan kepada Muhammad?"

     Terdiam mereka.

     "Kita semua pun maklum yang Muhammad bukan daripada yang jenis suka akan hiburan dan kemabukan dunia."

     "Belum cuba belum tahu. Lagipun Muhammad adalah seorang lelaki yang biasa. Selagi bendanya belum di depan mata lain cerita, apabila segalanya di depan mata, baru dia tahu."

     "Sekiranya begitu apa yang mahu kita ditawarkan kepadanya?"


====================


"Bagaimana, wahai Abu Talib? Adakah anak saudara kita itu menerima kesemua tawaran kita?"

     Abu Talib diam membisu seribu bahasa.

     Sekalian pembesar Arab sudah berasa kurang senang dengan situasi itu.

     Abu Jahal pula mendesak, "Katakanlah wahai Abu Talib, apakah jawapan daripada Muhammad. Adakah dia setuju dengan apa yang kita sediakan untuknya?"

     Abu Talib mengangkat wajahnya perlahan-lahan, satu persatu disoroti wajah bengis para pembesar Quraisy itu. Lantas dia bertutur dalam....

     "Ketahuilah oleh kamu semuanya. Wanita tercantik, harta yang menggunung dan menjadi raja bukan kemahuan anak saudara saya, Muhammad. Sekalipun kamu semua mampu meletakkan matahari di tangan kanannya dan rembulan di tangan kirinya, dia tetap meneruskan dakwahnya itu."

     Terhenti sejenak, Abu Talib mengumpul kudrat. Seakan selepas ini dirinya menuturkan sesuatu yang berat sekali.

     "Dan saya, saya sebagai bapa saudaranya memberi jaminan kepadanya, dia bebas berdakwah di bumi Mekah ini selagi nyawa saya ini dikandung badan. Sesiapa yang memusuhi Muhammad adalah musuh saya. Ini adalah keputusan saya dan ia adalah muktamad, ada sesiapa yang tidak berpuas hati?"

     Keras dan tegas nada pengumuman itu. Soalan yang ditujah kepada sekalian pembesar juga mengundang gentar di hati mereka. Dan mereka hanya mampu, berdiam diri. Sekalipun dalam hati masing-masing bagaikan ditusuk duri yang berbisa.

     Semenjak itu, Muhammad tidak lagi berani diganggu oleh para pembesar Quraisy dan konco-konconya. Namun pengikutnya yang lemah dan kebanyakannya daripada kalangan hamba ramai yang diseksa dan dicerca dengan hebat.

     Antaranya adalah Bilal bin Rabah, keluarga Yasir dan Sumayyah serta ramai lagi. Disebat, dijemur di tengah-tengah tanah gersang yang panas membakar, diletakka batu di atas badan. Tidak diberi makan dan minum, dan yang paling kejam dan ngeri, adalah wanita yang disula dengan tombak!


==================


Kala inilah puteri Rasulullah, Fatimah az-Zahra tumbuh mekar menjadi bunga padang pasir yang indah dan menawan. Pengubat duka dan fana ayahandanya yang berdakwah dan menerima tekanan dan ujian yang kuat daripada kaum kafir Quraisy.

     Dia tumbuh dengan kekuatan dan keimanan yang kental terbuku di sanubari. Kecintaan dan ketaatan kepada ayahandanya tidak berbelah bagi. Keberanian membela ayahandanya saat diperlakukan dengan tidak sewajarnya membuktikan beliau bukan sebarang gadis, walaupun detik itu dia hanya seorang anak gadis yang belum pun berusia lima tahun.

     Namun dirinya tahu, kasih akan ayahandanya bermakna kasih akan Allah. Kasih akan Allah pula adalah ajaran ayahandanya semenjak dirinya belum muncul di jihat dunia fana ini lagi.

     Itulah Fatimah... anakanda sang utusan Tuhan.

     Fatimah az-Zahra....




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment