Saturday 14 April 2018

NABI SALEH A.S. [ BAHAGIAN 2 ]






NABI SALEH A.S. [ BAHAGIAN 2 ]








D. Unta Nabi Saleh Dibunuh


     Satu pakatan sulit telah diadakan oleh orang-orang dari kaum Thamud untuk mengatur rancangan membunuh unta Nabi Saleh. Dan masih ada yang dibayangi oleh rasa takut oleh azab yang diancam oleh Nabi Saleh bila untanya diganggu, di samping adanya dorongan keinginan yang kuat untuk melenyapkan binatang itu dari atas bumi mereka, tiba-tiba muncullah seorang janda bangsawa yang kaya-raya menawarkan akan menyerahkan dirinya kepada siapa yang dapat membunuh unta Saleh. Di samping janda itu, ada seorang wanita lain yang mempunyai beberapa puteri yang cantik-cantik dan menawarkan akan menghadiahkan salah seorang dari puteri-puterinya kepada orang yang berjaya membunuh unta itu.

     Dua jenis hadiah yang menggiurkan dari kedua wanita itu di samping hasutan para pemuka Thamud, mendorong dua orang lelaki bernama Mushadda' bin Muharrij dan Ghudar bin Salif merancang akan melakukan pembunuhan, bagi meraih hadiah yang dijanjikan di samping sanjungan dan pujian yang akan diterimanya dari para kafir suku Thamud, sekiranya unta Nabi Saleh telah mati dibunuhnya.

     Dengan bantuan tujuh orang lelaki lain bersembunyilah kumpulan itu di suatu tempat di mana biasanya dilalui oleh unta dalam perjalanannya ke perigi tempat ia minum. Dan sebaik sahaja binatang yang tidak berdosa itu segeralah dipanah betisnya oleh Mushadda' yang disusul oleh Ghudar dengan menikamkan pedangnya di perutnya.

     Dengan perasaan megah dan bangga pergilah para pembunuh unta itu ke ibu kota untuk menyampaikan berita matinya unta Nabi Saleh, yang mendapat sambutan sorakan dan teriakan gembira dari pihak Musyrikin seakan-akan mereka kembali dari medan perang dengan membawa kemenangan yang gilang-gemilang.

     Berkata mereka kepada Nabi Saleh: "Wahai Saleh! Untamu telah mati terbunuh, cubalah datangkan apa yang engkau telah ancamkan kepada kami, jika engkau betul-betul termasuk orang-orang yang terlalu benar dalam kata-katamu."

     Nabi Saleh menjawab: "Aku telah peringatkan kamu, bahawa Allah SWT akan menurunkan azab-Nya atas kamu jika mengganggu unta itu. Maka dengan terbunuhnya unta itu, tunggulah kamu masa tibanya azab yang Allah SWT telah janjikan dan telah aku sampaikan kepadamu. Kamu telah menentang Allah SWT dan terimalah kelak akibat tentanganmu kepada-Nya. Janji Allah SWT tidak akan dimungkiri. Kamu boleh bersuka-ria dan bersenang-senang selama tiga hari ini, kemudian terimalah ganjaranmu yang setimpal pada hari keempat. Demikianlah kehendak Allah SWT dan takdir-Nya yang tidak dapat ditangguhkan atau dihalang lagi."

     Ada kemungkinan menurut sebahagian ahli tafsir, bahawa Allah SWT melalui Rasul-Nya, Nabi Saleh memberi waktu tiga hari itu untuk memberi kesempatan, agar mereka sedar akan dosanya dan bertaubat minta ampun serta beriman kepada Nabi Saleh dan kepada risalah-Nya.

     Akan tetapi dalam kenyataannya, tempoh tiga hari itu, bahkan menjadi bahan ejekan kepada Nabi Saleh yang ditentangnya untuk mempercepat datangnya azab itu dan tidak usah ditangguhkan tiga hari lagi.


E. Turunnya Azab Allah SWT Yang Dijanjikan


     Nabi Saleh memberitahu kaumnya bahawa azab Allah SWT yang akan menimpa di atas mereka akan didahului dengan tanda-tanda, iaitu pada pagi hari pertama, bila mereka terbangun dari tidurnya akan menemui wajah mereka menjadi kuning dan berubah menjadi merah pada hari kedua dan hitam pada hari ketiga dan pada hari keempat turunlah azab Allah SWT yang pedih.

     Mendengar ancaman azab yang diberitahu oleh Nabi Saleh kepada kaumnya, maka kelompok sembilan orang iaitu kelompok membunuh unta membuat rancangan untuk membunuh Nabi Saleh sebelum tibanya azab yang diancamkan itu. Mereka mengadakan pertemuan rahsia dan bersumpah bersama, akan melaksanakan rancangan pembunuhan itu di waktu malam, di saat orang masih tidur nyenyak, untuk menghindari tuntutan balas darah oleh keluarga Nabi Saleh, jika diketahui identiti mereka sebagai pembunuhnya. Rancangan mereka ini dirahsiakan sehingga tidak diketahui dan didengar oleh sesiapa pun kecuali sembilan orang itu sendiri.

     Sewaktu mereka datang ke tempat Nabi Saleh bagi melaksanakan rancangan jahatnya di malam yang gelap-gelita dan senyap-sunyi berjatuhanlah di atas kepada mereka batu-batu besar yang tidak diketahui dari arah mana datangnya dan yang seketika itu juga merebahkan mereka di atas tanah dalam keadaan tidak bernyawa lagi. Demikianlah Allah SWT telah melindungi Rasul-Nya dari perbuatan jahat hamba-hamba-Nya yang kafir.

     Satu hari sebelum hari turunnya azab yang telah ditentukan, dengan izin Allah SWT berangkatlah Nabi Saleh bersama para mukminin pengikutnya menuju Ramalah, sebuah tempat di Palestin, meninggalkan Hijir dan penghuninya, kaum Thamud habis binasa, ditimpa halilintar yang dahsyat beriringan dengan gempa bumi yang mengerikan.


F. Kisah Nabi Saleh A.S. Dalm Al-Quran


     Kisah Nabi Saleh dalam Al-Quran diceritakan oleh 72 ayat dalam 11 surah, antaranya surah Al-A'raaf ayat 73 sehingga ayat 79 sebagai berikut:

Ertinya:

"Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum Thamud saudara mereka, Saleh. Dia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selainNya. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepada kamu daripada Tuhan kamu. Unta betina Allah ini menjadi tanda bagi kamu, maka biarkanlah ia makan di atas bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apa pun, (yang kerananya) kamu akan ditimpa seksaan yang pedih." Dan kamu semua ingatlah di waktu Tuhan menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad dan memberikan tempat bagi kamu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah, maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu bermaharajalela di atas muka bumi dengan membuat kerosakan. Ketua-ketua yang sombong di kalangan kaumnya berkata kepada orang yang dianggap lemah yang telah beriman di kalangan mereka: "Tahukah kamu bahawa Soleh diutus (menjadi Rasul) oleh Tuhannya?" Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami beriman dengan wahyu yang disampaikannya." Orang yang sombong itu berkata: "Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya." Kemudian mereka menyembelih unta betina itu dan mereka menderhakai terhadap perintah Tuhan. Dan mereka berkata: " Wahai Soleh! Datangkanlah apa yang kamu janjikan itu kepada kami, jika (benar) engkau termasuk orang yang diutus (Allah)." Kerana itu mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka. Maka Soleh meninggalkan mereka seraya berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu amanah Tuhanku dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak menyukai orang yang memberi nasihat." (Al-A'raf: ayat 73-79)

     Surah Hud ayat 61 hingga ayat 68 sebagai berikut:

Ertinya:

"Dan kepada kaum Thamud (Kami utus) saudara mereka, Soleh. Soleh berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan melantik kamu untuk memakmurkannya, kerana itu mohonlah keampunanNya, kemudian bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku sangat dekat (rahmatNya) lagi memperkenankan (doa hambaNya)." Kaum Thamud berkata: "Wahai Soleh! Sesungguhnya engkau sebelum ini adalah seorang di antara yang kami harapkan, apakah engkau melarang kami untuk menyembah apa yang disembah oleh nenek moyang kami? Dan sesungguhnya kami betul-betul dalam keraguan yang menggelisahkan terhadap agama yang kamu serukan kepada kami." Soleh berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku, dan diberiNya aku rahmat (kenabian) daripadaNya, maka siapakah yang akan menolong aku daripada (azab) Allah jika aku menderhakainya? Sebab itu kamu tidak menambah apa pun kepadaku selain daripada kerugian. Wahai kaumku! Inilah unta betina daripada Allah sebagai mukjizat (yang menunjukkan kebenaran) untuk kamu, sebab itu biarkanlah dia makan di bumi Allah dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apa pun yang akan menyebabkan kamu segera ditimpa azab." Lalu mereka membunuh unta itu, maka Soleh berkata: "Bersenang-senanglah kamu sekalian di rumah kamu selama tiga hari, itu adalah janji yang tidak dpaat didustakan." Maka tatkala datang azab Kami, Kami selamatkan Soleh berserta umatnya yang beriman dengan rahmat daripada Kami dan Kami selamatkan mereka daripada kehinaan pada hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Dan satu tempikan suara yang menggempakan bumi menimpa orang yang zalim itu, lalu mereka mati bergelimpangan di rumahnya. Seolah-olah mereka belum pernah tinggal di tempat itu. Ingatlah, sesungguhnya kaum Thamud mengingkari Tuhan mereka. Ingatlah, kebinasaanlah bagi kaum Thamud." (Hud: ayat 61-68)

     Dan surah "Al-Qamar" ayat 23 sehingga ayat 32 sebagai berikut:

Ertinya:

"Kaum Thamud pun telah mendustakan peringatan itu. Maka mereka berkata: "Bagaimana kita akan mengikuti seorang manusia (biasa) di antara kita? Sesungguhnya kalau begitu kita benar-benar telah sesat dan gila." Apakah wahyu itu ditentukan kepadanya di antara kita? Pastilah dia (Nabi Soleh) seorang yang sangat pendusta (dan) sombong." Kelak mereka akan mengetahui siapa yang sebenarnya sangat pendusta (dan) sombong. Sesungguhnya Kami akan mengirimkan unta betina sebagai cubaan bagi mereka, maka tunggulah mereka dan bersabarlah (Nabi Soleh). Dan khabarkanlah kepada mereka bahawa air itu dibahagi di antara mereka (dengan unta betina itu); setiap orang berhak mendapat giliran minum. Maka mereka memanggil kawan mereka, lalu dia menangkap (unta itu) dan memotongnya. Maka betapa dahsyatnya azabku dan peringatanku! Kami kirimkan kepada mereka satu suara yang keras (dahsyat), maka jadilah mereka seperti ranting-ranting kering yang hancur. Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?" (Al-Qamar: ayat 23-32)


G. Pengajaran Dan Ibarah Yang Dapat Dipetik Daripada Kisah Nabi Saleh


     Pengajaran yang menonjol yang dapat dipetik daripada kisah Nabi Saleh ini ialah bahawa dosa dan perbuatan mungkar yang dilakukan oleh sekelompok kecil warga masyarakat boleh memberi kesan negatif yang membinasakan masyarakat itu seluruhnya.

     Lihatlah betapa kaum Thamud menjadi binasa, hancur dan bahkan disapu bersih dari atas bumi, kerana dosa dan pelanggaran perintah Allah yang dilakukan oleh segelintir pembunuh unta Nabi Saleh A.S..

     Di sinilah letak hikmah perintah Allah agar kita melakukan amar makruf nahi mungkar. Kerana dengan melakukan tugas amar makruf nahi mungkar yang menjadi fardu kifayah itu setidak-tidaknya kalau tidak berhasil mencegah kemungkaran yang terjadi di dalam masyarakat dan lingkungan kita, kita telah membebaskan diri dari dosa, yakni menyetujui atau merestui perbuatan mungkar itu.

     Bersikap pasif dan memandang ringan terhadap maksiat kemungkaran yang berlaku di depan mata, dapat diertikan sebagai persetujuan dan peyekutuan terhadap perbuatan mungkar itu.




"Kemudian syaitan (iblis) membisikkan
fikiran jahat kepada keduanya untuk
menampakkan kepada keduanya apa yang 
tertutup daripada mereka, iaitu auratnya
dan iblis berkata: "Tuhan kamu tidak
melarang kamu daripada mendekati pohon
ini, melainkan (kerana Dia tidak suka kamu
berdua menjadi malaikat atau menjadi
orang yang kekal (dalam syurga)."
(Surah Al-A'raf: 20)









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment