Wednesday 11 April 2018

NABI HUD A.S. [ BAHAGIAN 1 ]






NABI HUD A.S. [ BAHAGIAN 1 ]








"AAD" adalah nama bapa suatu suku yang hidup di Jazirah Arab di suatu tempat bernama "Al-Ahqaf" terletak di utara Hadramaut antara Yaman dan Oman, dan termasuk suku yang tertua sesudah kaum Nabi Nuh A.S., serta terkenal dengan kekuatan jasmani dalam bentuk tubuh-tubuh yang besar dan perkasa.

     Mereka dikurniakan oleh Allah SWT tanah yang subur dengan sumber-sumber airnya yang mengalir dari segala penjuru, sehingga memudahkan mereka bercucuk tanam untuk bahan makanan mereka dan memperindah tempat-tempat tinggal mereka dengan kebun-kebun bunga yang indah-indah. Berkat kurniaan Tuhan itu hidup mereka menjadi makmur, sejahtera dan bahagia serta dalam watu singkat mereka berkembang biak dan menjadi suku yang terbesar di antara suku-suku yang hidup sekelilingnya.

     Sebagaimana dengan kaum Nabi Nuh A.S., kaum Hud ialah suku Aad ini adalah penghidupan rohaninya tidak mengenal Allah SWT Yang Maha Kuasa Pencipta alam semesta. Mereka membuat patung-patung yang diberi nama "Shamud" dan "Al-Hattar" dan itulah yang disembah sebagai tuhan mereka, yang menurut kepercayaan mereka, dapat memberi kebahagiaan, kebaikan dan keuntungan serta dapat menolak kejahatan, kerugian dan segala musibah. Ajaran dan agama Nabi Idris dan Nabi Nuh sudah tidak berkesan dalam hati, jiwa serta cara hidup mereka sehari-hari. Kenikmatan hidup yang mereka sedang tenggelam di dalamnya berkata tanah yang subur dan penghasilan yang melimpah ruah, menurut anggapan mereka adalah kurniaan dan pemberian kedua berhala Shamud dan Hattar yang mereka sembah. Kerana itu mereka tidak putus-putus sujud kepada kedua berhala itu untuk mensyukurinya, sambil memohon perlindungannya dari segala bahaya dan musibah, berupa penyakit atau kekeringan.

     Sebagai akibat dan buah dari aqidah yang sesat itu, pergaulan hidup mereka kuasai oleh ajaran dan pimpinan Iblis, di mana nilai-nilai moral dan akhlak tidak menjadi dasar pertimbangan atau kelakukan dan tindak-tanduk seseorang, tetapi kebendaan dan kekuatan lahirlah, yang menonjol sehingga timbul kerusuhan dan tindakan sewenang-wenang di dalam masyarakat, di mana yang kuat menindas yang lemah, yang besar memperkosa yang kecil dan yang berkuasa memeras yang di bawahnya.

     Sifat-sifat sombong, bongkak, iri-hati, dengki, hasut dan benci-membenci yang didorong oleh hawa nafsu yang bermaharajalela dan menguasai penghidupan mereka, sehingga tidak memberi tempat kepada sifat-sifat belas kasihan, sayang menyayangi, jujur, amanah dan rendah diri. Demikianlah gambaran masyarakat suku Aad tatkala Allah SWT mengutus Nabi Hud A.S. sebagai nabi dan rasul kepada mereka.


A. Nabi Hud Berdakwah Di Tengah-Tengah Suku Kaumnya


     Sudah menjadi sunnah Allah SWT sejak diturunkannya Adam ke bumi, bahawa dari masa ke masa, jika hamba-hamba-Nya sudah berada dalam kehidupan yang sesat, sudah jauh menyimpang dari ajaran-ajaran agama yang dibawa oleh Nabi-Nabi-Nya, diutuslah seorang nabi atau rasul yang bertugas menyebarkan kembali ajaran-ajaran nabi-nabi yang sebelumnya bagi mengembalikan masyarakat yang sudah tersesat ke jalan yang lurus dan benar dan menyuci bersih jiwa manusia dari segala tahayul dan syirik dengan mengganti dan mengisinya dengan iman, tauhid dan aqidah yang sesuai dengan fitrah.

     Maka kepada suku Aad yang telah dimabukkan oleh kesejahteraan hidup dan kenikmatan duniawi sehingga tidak mengenal Tuhannya yang mengurniakan itu semuanya, diutuslah kepada mereka Nabi Hud A.S., seorang daripada suku mereka sendiri, dari keluarga yang terpandang dan terpengaruh, terkenal sejak kevil lagi dengan kelakuan yang baik, budi pekerti yang luhur dan sangat bijaksana dalam pergaulan dengan kawan-kawannya.

     Nabi Hud memulai dakwahnya dengan menarik perhatian kaumnya suku Aad kepada tanda-tanda wujudnya Allah SWT, yang berupa alam sekeliling mereka dan bahawa Allah SWT lah yang menciptakan mereka dan mengurniakan mereka dengan segala kenikmatan hidup yang berupa tanah yang subur, air yang mengalir serta tubuh-tubuh yang tegap dan kuat, Dialah yang seharusnnya mereka sembah dan bukan patung-patung yang mereka perbuat sendiri.

     Mereka sebagai manusia adalah makhluk Tuhan yang paling mulia yang tidak sepatutnya merendah diri sujud menyembah batu-batu yang pada bila-bila masa sahaja dapat mereka hancurkan sendiri dan memusnahkannya dari pandangan.

     Diterangkan oleh Nabi Hud bahawa dia adalah pesuruh Allah SWT yang diberi tugas untuk membawa mereka ke jalan yang benar, beriman kepada Allah SWT yang menciptakan mereka, menghidupkan dan mematikan mereka, memberi rezeki atau mencabutnya daripada mereka. Dia tidak mengharapkan upah dan menuntut balas jasa atas usahanya di dalam memimpin dan menuntut mereka ke jalan yang benar. Dia hanya menjalankan perintah Allah SWT dan memperingatkan mereka bahawa, jika mereka tetap menutup telinga dan mata terhadap ajakan dan dakwahnya, maka mereka akan ditimpa azab dan dibinasakan oleh Allah SWT sebagaimana yang terjadi atas kaum Nuh yang mati binasa tenggelam dalam air bah, sebagai akibat kebongkakan dan kesombongan mereka menolak ajaran dan dakwah Nabi Nuh dan tetap bertahan dengan pendirian dan kepercayaan mereka kepada berhala dan patung-patung yang mereka sembah dan puja itu.

     Bagi kaum Aad, seruan dan dakwah Nabi Hud itu merupakan perkara baru yang tidak pernah mereka dengar atau pun menduga. Mereka melihat bahawa ajaran yang dibawa oleh Nabi Hud itu akan mengubah sama sekali cara hidup mereka dan membongkar peraturan-peraturan dan adat istiadat yang telah mereka kenal dan warisi dari nenek moyang mereka. Mereka tercengang dan merasa hairan bahawa seorang dari suku mereka sediri telah berani berusaha mengubah tatacara hidup mereka dan menggantikan agama dan kepercayaan mereka dengan sesuatu yang baru yang mereka tidak kenal dan tida dapat dimengertikan dan diteirma oleh akal dan fikiran mereka. Dengan serta-merta ditolaklah oleh mereka dakwah Nabi Hud itu dengan berbagai alasan dan tuduhan-tuduhan kosong terhadap dirinya serta ejekan dan hinaan yang diterimanya dengan kepala dingin dan penuh kesabaran.

     Berkatalah kaum Aad kepada Nabi Hud: "Wahai Hud! Ajaran dan agama apa yang engkau hendak ajarkan kepada kami? Engkau ingin agar kami meninggalkan persembahan kami kepada tuhan-tuhan kami yang berkuasa ini dan menyembah tuhanmu yang tidak dapat kami jangkau dengan pancaindera kami dan tuhan yang menurut katamu tidak bersekutu. Cara persembahan yang kami lakukan ini ialah yang telah kami warisi dari nenek moyang kami dan sekali-kali kami tidak akan meninggalkannya, bahkan sebaliknya engkaulah yang harus kembali kepada aturan nenek-moyangmu dan jangan merosakkan kepercayaan dan agama mereka dengan membawa suatu agama baru yang tidak dikenal oleh mereka dan tentu tidak akan direstuinya."

     Jawab Nabi Hud: "Wahai kaumku! Sesungguhnya Tuhan yang aku serukan kepada kamu untuk menyembahNya, walaupun kamu tidak dapat menjangkau-Nya dengan pancainderamu, namun kamu dapat melihat dan merasakan wujud-Nya dalam diri kamu sendiri sebagai ciptaannya dan dalam alam semesta yang mengelilingimu, beberapa langit dan matahari, bulan dan bintang-bintangnya, bumi dengan gunung-ganang, sungai tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang yang kesemuanya dapat bermanfaat bagi kamu sebagai manusia. Dan menjadikan kamu dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dan bahagia. Tuhan itulah yang mesti kamu sembah dan sewajarnya kamu menundukkan kepalamu kepada-Nya. Tuhan Yang Maha Esa, tiada bersekutu, tidak beranak dan diperanakkan, yang walaupun kamu tidak dapat menjangkaunya dengan pancainderamu, Dia dekat daripada kamu, mengetahui segala gerak-geri dan tingkah-lakumu, mengetahui isi hatimu, denyut jantungmu dan jalan fikiranmu."

     "Tuhan itulah yang harus disembah oleh manusia dengan kepercayaan penuh kepada Keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya dan bukan patung-patung yang kamu perbuat, pahat dan ukir dengan tanganmu sendiri, kemudian kamu sembah sebagai Tuhan, padahal ia suatu barang yang tidak berkuasa, tidak dapat berbuat sesuatu yang menguntungkan atau merugikan kamu. Alangkah bodohnya dan sempitnya fikiranmu jika kamu tetap mempertahankan agamamu yang sesat itu dan agama yang telah diwahyukan kepadaku oleh Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa itu."

     "Wahai Hud!" Kata kaumnya: "Apakah yang menjadikan engkau berpandangan dan berfikiran lain daripada yang sudah menjadi pegangan hidup kami sejak dahulu kala dan menjadikan engkau meninggalkan agama nenek moyangmu sendiri bahkan sehingga engkau tergamak menghina dan merendahkan martabat tuhan-tuhan kami dan memperbodoh kami dan menganggap kami berakal sempit dan berfikiran dangkal? Engkau mengaku bahawa engkau dipilih menjadi rasul pesuruh oleh Tuhanmu untuk membawa agama dan kepercayaan baru kepada kami dan mengajak kami keluar dari jalan yang sesat, menurut pengakuanmu, ke jalan yang lurus dan benar. Kami berasa hairan dan tidak dapat diterima oleh akal kami bahawa engkau telah dipilih menjadi pesuruh Tuhan. Apakah kehebatanmu di atas seorang daripada kami, engkau tidak lebih dan tidak kurang adalah manusia seperti kami juga, makan, minum dan tidur tiada bezanya dengan kami mengapa engkau yang dipilih oleh Tuhanmu? Sungguh engkau menurut anggapan kami seorang pendusta besar atau mungkin engkau berfikiran tidak sihat, terkena kutukan tuhan-tuhan kami yang selalu engkau ejek, hina dan cemuhkan."

     "Wahai kaumku!" Jawab Nabi Hud: "Aku bukanlah seorang pendusta dan fikiranku tetap waras dan sihat, tidak kurang sesuatu apa, dan ketahuilah bahawa patung-patungmu yang kamu pertuhankan itu tidak dapat mendatangkan sesuatu gangguan atau penyakit bagi badanku atau akal fikiranku. Kamu kenal aku, sejak lama aku di tengah-tengah kamu, bahawa aku tidak pernah berdusta atau berkata bohong dan sepanjang pergaulanku dengan kamu, tidak pernah terlihat pada diriku tanda-tanda ketidakwajaran perlakuanku atau tanda-tanda yang meragukan kawasan fikiranku dan kesempurnaan akalku."

     "Aku adalah sebenarnya pesuruh Allah SWT yang diberi amanah untuk menyampaikan wahyu-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang sudah tersesat kemasukan pengaruh ajaran Iblis dan sudah jauh menyimpang dari jalan yang benar yang diajarkan oleh nabi-nabi yang terdahulu, kerana Allah SWT tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya terlalu lama terlantar dalam kesesatan dan hidup dalam kegelapan tanpa diutusnya seorang rasul yang menuntun mereka ke jalan yang benar dan kehidupan yang diredhaiNya. Maka percayalah kamu kepadaku, gunakanlah akal fikiranmu, berimanlah dan bersujudlah kepada Allah SWT, Tuhans eru sekalian alam, Tuhan yang menciptakan kamu, menciptakan langit dan bumi menurunkan hujan bagi menyuburkan tanah ladangmu, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan bagi meneruskan kehidupanmu."

     "Sembahlah Dia dan mohonlah ampun atas segala perbuatan salah dan tindakan sesatmu, agar Dia menambah rezekimu dan kemakmuran hodupmu dan terhindarlah kamu dari azab dunia sebagaimana yang telah dialami oleh kaum Nuh dan kelak azab di akhirat. Ketahuilah bahawa kamu akan dibangkitkan kembali kelak dari kubur dan dimintai pertanggungjawabkan atas segala perbuatanmu di dunia ini dan diberikan ganjaran sesuai dengan amal kamu, yang baik dan soleh mendapat ganjaran baik dan yang hina dan buruk akan diganjar dengan api neraka. Aku hanya menyampaikan risalah Allah SWT kepada kamu dan dengan ini telah memperingatkan kamu akan akibat yang akan menimpa kepada dirimu jika kamu tetap mengingkari kebenaran dakwahku."

     Kaum Aad menjawab: "Kami bertambah yakin dan tidak ragu lagi bahawa engkau telah mendapat kutukan tuhan-tuhan kami sehingga menyebabkan fikiranmu kacau dan akalmu berubah menjadi gila. Engkau telah mengucapkan kata-kata yang tidak masuk akal bahawa jika kita mengikuti agamamu, akan bertambah rezeki dan kemakmuran hidup kami dan bahawa kami akan dibangkitkan kembali dari kubur kami dan menerima ganjaran atas segala perbuatan kami. Adakah mungkin kami dibangkitkan kembali setelah kami mati dan menjadi tulang-belulang. Dan apakah benar azab dan seksaan yang kamu selalu menakut-nakuti kami dan mengancamkannya pada kami? Semua ini kami anggap kosong dan ancaman orang belaka. Ketahuilah bahawa kami tidak akan menyerah kepadamu dan mengikuti ajaranmu, kerana bayangan azab dan seksa yang engkau bayang-bayangkannya kepada kami bahkan kami menentang kepadamu, datangkanlah apa yang engkau janjikan dan ancaman itu, jika engkau betul-betul benar dalam kata-katamu dan bukan seorang pendusta."

     "Baiklah!" Nabi Hud menjawab: "Jika kamu meragukan kebenaran kata-kataku dan tetap berkeras kepala, tidak menghiraukan dakwahku dan meninggalkan persembahanmu kepada berhala-berhala itu, maka tunggulah saat tibanya pembalasan Tuhan, di mana kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari bencananya dan penyesalan pun pada saat itu tidak akan menolongmu. Allah SWT menjadi saksiku bahawa aku telah menyampaikan risalah-Nya dengan sepenuh tenaga kepadamu dan akan tetap berusaha sepanjang hayat dikandung badanku memberi penerangan dan tuntunan kepada jalan yang baik yang telah digariskan oleh Allah SWT bagi hamba-hamba-Nya."

     
B. Pembalasan Allah SWT Ke Atas Kaum Aad


     Pembalasan Tuhan terhadap kaum Aad yang kafir dan tetap membangkang itu diturunkan dalam dua tahap. Tahap pertama berupa kekeringan yang melanda ladang-ladang dan kebun-kebun mereka sehingga menimbulkan kecemasan dan kegelisahan, kalau-kalau mereka tidak akan memperoleh hasil dari ladang-ladang dan kebun-kebun itu sebagaimana biasanya.

     Dalam keadaan demikian, Nabi Hud masih berusaha meyakinkan mereka, bahawa kekeringan itu adalah suatu permulaan seksaan Allah SWT yang dijanjikan dan bahawa Allah SWT, masih memberi kesempatan kepada mereka untuk sedar akan kesesatan dan kekafiran mereka dan kembali beriman kepada Allah SWT dengan meninggalkan penyembahan mereka yang batil kemudian bertaubat dan mohon ampun kepada Allah SWT supaya segera hujan turun kembali dengan lebatnya dan terhindarlah mereka dari bahaya kelaparan dan kebuluran. Akan tetapi mereka tetap belum mahu percaya dan menganggap janji Nabi Hud itu adalah janji yang kosong belaka. Mereka bahkan pergi menghadap berhala-berhala mereka memohon perlindungan dari musibah yang mereka hadapi."

     Tentangan mereka terhadap janji Allah SWT yang diwahyukan kepada Nabi Hud, segera mendapat jawapan dengan datangnya pembalasan tahap kedua yang dimulai dengan melihatnya gumpalan awan dan mega hitam yang tebal di atas mereka yang disambutnya dengan sorak-sorai gembira, kerana mereka mengira bahawa hujan akan segera turun membasahi ladang-ladang dan menyiram kebun-kebun mereka yang sedang mengalami kekeringan.

     Melihat sikap kaum Aad yang sedang bersukaria itu, berkatalah Nabi Hud dengan mengejek: "Mega hitam itu bukanlah mega dan awan rahmat bagi kamu tetapi mega yang akan membawa kehancuranmu sebagai pembalasan Allah SWT yang telah kujanjikan dan kamu ternanti-nanti untuk membuktikan kebenaran kata-kataku yang selalu kamu bantah dan kamu dustakan.

     Sejurus kemudian menjadi kenyataanlah apa yang diramalkan oleh Nabi Hud itu, bahawa bukan hujan yang turun dari awan yang tebal itu, tetapi angin taufan yang dahsyat dan kencang disertai bunyi guruh yang mencemaskan yang telah merosakkan bangunan, rumah dari dasarnya membawa berterbangan semua perabot dan binatang ternakan hak milik harta-benda mereka melempar jauh.

     Keadaan kaum menjadi panik, mereka berlari bertempiaran ke sana ke mati untuk mencari perlindungan. Suami tidak tahu di mana isterinya berada dan ibu juga kehilangan anak-anaknya, sedang rumah-rumah mereka menjadi sama rata dengan tanah. Bencana angin taufan itu berlangsung selama lapan hari tujuh malam, sehingga sempat menyapu bersih kaum Aad yang bongkak itu dan menamatkan riwayatnya dalam keadaan yang menyedihkan itu untuk menjadi pengajaran dan ibrah bagi umat-umat yang akan datang.

     Adapun Nabi Hud dan para sahabatnya yang beriman, telah mendapat perlindungan Allah SWT dari bencana yang menimpa kaumnya itu dan tetap berada dalam keadaan selamat, aman dan tenang sambil melihat keadaan kaumnya yang kacau-bilau mendengar gemuruhnya angin serta bunyi pohon-pohon dan bangun-bangunan yang jatuh serta teriakan dan tangisan orang yang meminta pertolongan dan memohon perlindungan.

     Setelah keadaan cuaca kembali tenang dan tanah "Al-Ahqaf" sudah menjadi sunyi senyap dari kaum Aad, pergilah Nabi Hud meninggalkan tempatnya berhijrah ke Hadramaut, di mana dia tinggal menghabiskan baki hidupnya sampai dia wafat dan dimakamkan di sana, di mana hingga sekarang makamnya yang terletak di atas sebuah bukit di suatu tempat lebih kurang 50 km dari kota Siwun dikunjungi para penziarah yang datang beramai-ramai dari sekitar daerah itu, terutama dalam bulan Sya'ban pada setiap tahun.









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment