Thursday 5 April 2018

NABI IDRIS A.S.






NABI IDRIS A.S.








TIDAK banyak keterangan didapati tentang kisah Nabi Idris A.S., di dalam Al-Quran mahupun dalam kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab sejarah nabi-nabi. Di dalam Al-Quran hanya terdapat dua ayat tentang Nabi Idris A.S., iaitu dalam surah Maryam ayat 56 dan 57:

Ertinya:

"Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka) kisah Idris (yang tersebut) di dalam Al-Quran, sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi." (Surah Maryam: 56-57)

     Nabi Idris adalah keturunan keenam dari Nabi Adam, putera dari Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam A.S. dan dia adalah keturunan pertanam yang dikurniakan kenabian menjadi Nabi setelah Adam dan Syith.

     Nabi Idris A.S. menurut sebahagian riwayat bermukim di Mesir, di mana dia berdakwah untuk agama Allah SWT mengajarkan tauhid dan beribadah menyembah Allah SWT serta memberi beberapa pedoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamatkan diri dari seksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Ia hidup sampai usia 82 tahun.

     Di antara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah:

1. Kesabaran yang disertakan dengan keimanan kepada Allah SWT membawa kemenangan.

2. Orang yang bahagia, ialah orang yang berwaspada dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal solehnya.

3. Bila kamu memohon sesuatu kepada Allah SWT dan berdoa, maka ikhlaskanlah niatmu, demikian pula puasa dan solatmu.

4. Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan jangan menuntut sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa.

5. Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan puji kepada Allah SWT.

6. Janganlah iri hati kepada orang-orang yang baik nasibnya, kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kebaikan nasibnya itu.

7. Barangsiapa melampaui kesederhanaan tidak sesuatu pun akan memuaskannya.

8. Tanpa membahagi-bahagikan nikmat yang diperolehnya, seorang tidak dapat bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat-nikmat yang diperolehinya itu.

     Dalam hubungan dengan firman Allah SWT bahawa Nabi Idris A.S. diangkat ke martabat tinggi, Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahawa Nabi Idris A.S. wafat tatkala berada di langit keempat, dibawa oleh seorang Malaikat, Wallahu a'lam bissawab.




"Allah berfirman: "Keluarlah dari syurga itu sebagai makhluk terhina lagi terusir! Sesungguhnya barangsiapa di kalangan mereka ada yang mengikutimu, pasti Aku akan isikan neraka Jahannam dengan kamu semuanya."
(Surah Al-A'raf: 18)







N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.



No comments:

Post a Comment