Friday 6 April 2018

NABI NUH A.S. [ BAHAGIAN 1 ]






NABI NUH A.S. [ BAHAGIAN 1 ]








     NABI Nuh A.S. adalah nabi keempat sesudah Adam, Syith dan Idris dan keturunan kesembilan dari Nabi Adam. Ayahnya adalah Lamik bin Metusyalih bin Idris.


A. Dakwah Nabi Nuh A.S. Kepada Kaumnya


     Nabi Nuh A.S. menerima wahyu kenabian dari Allah SWT dalam masa "fatrah", iaitu masa kekosongan di antara dua rasul di mana biasanya manusia secara beransur-ansur melupakan ajaran agama yang dibawa oleh nabi yang meninggalkan mereka dan kembali syirik, meninggalkan amal kebajikan, melakukan kemungkaran dan kemaksiatan, di bawah pimpinan Iblis.

     Demikianlah maka kaum Nabi Nuh A.S. tidak luput dari proses tersebut, sehingga ketika Nabi Nuh A.S. datang di tengah-tengah mereka, mereka sedang menyembah berhala, ialah berupa patung-patung yang dibuat oleh tangan mereka sendiri, disembahnya sebagai tuhan-tuhan yang dapat membawa kebaikan dan manfaat serta menolak segala kesengsaraan dan kemalangan. Berhala-berhala yang dipertuhankan dan yang menurut kepercayaan mereka mempunyai kekuatan dan kekuasaan ghaib ke atas manusia itu diberinya nama-nama yang silih berganti menurut kehendak dan selera kebodohan mereka. Kadang-kadang mereka namakan berhala mereka "Wadd" dan "Suwa" kadangkala "Yaghuth" dan bila sudah bosan digantinya nama "Yatuq" dan "Nasr".

     Nabi Nuh A.S. berdakwah kepada kaumnya yang sudah jauh tersesat oleh Iblis itu, mengajak mereka meninggalkan syirik dan penyembahan berhala dan kembali kepada tauhid, menyembah Allah SWT seru sekalian alam, melakukan ajaran-ajaran agama yang diwahyukan kepadanya serta meninggalkan kemungkaran dan kemaksiatan yang diajarkan oleh Syaitan dan Iblis.

     Nabi Nuh A.S. menarik perhatian kaumnya agar melihat alam semesta yang diciptakan oleh Allah SWT berupa langit dengan matahari, bulan dan bintang yang menghiasinya, bumi dengan kekayaan yang memberi kenikmatan hidup bagi manusia, pergantian malam menjadi siang dan siang menjadi malam, yang kesemuanya itu menjadi bukti dan tanda nyata akan adanya keesaan Tuhan yang harus disembah dan bukan berhala-berhala yang mereka buat dengan tangan mereka sendiri.

     Di samping itu Nabi Nuh juga memberitakan kepada mereka bahawa akan ada ganjaran yang akan diterima oleh manusia atas segala amalnya di dunia, iaitu syurga bagi segala amal kebajikan dan neraka bagi segala pelanggaran terhadapa perintah agama yang berupa kemungkaran dan kemaksiatan.

     Nabi Nuh yang dikurniai Allah SWT dengan sifat-sifat yang patut dimiliki oleh seorang nabi, fasih dan tegas dalam kata-katanya, bijaksana dan sabar dalam tindak-tanduknya, melaksanakan tugas risalahnya kepada kaumnya dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan dengan cara yang lemah lembut, mengetuk hati nurani mereka dan kadangkala dengan kata-kata yang tajam dan nada yang kasar bila menghadapi pembesar-pembesar kaumnya yang keras kepala yang enggan menerima hujah dan dalil-dalil yang dikemukan kepada mereka yang tidak dapat mereka membantahnya atau mematahkannya.

     Akan tetapi walaupun Nabi Nuh telah berusaha sekuat tenaganya berdakwah kepada kaumnya dengan segala kebijaksanaan, kecekapan dan kesabaran dan dalam setiap kesempatan, siang mahupun malam, dengan cara berbisik-bisik atau dengan cara terang dan terbuka, ternyata hanya sedikit sekali dari kaumnya yang dapat menerima dakwahnya dan mengikuti ajakannya, yang menurut setengah riwayat, tidak melebihi bilang seratus orang. Mereka itu terdiri dari orang-orang yang fakir miskin dan berkedudukan sosial lemah.

     Sedang orang-orang yang kaya-raya, berkedudukan tinggi dan terpandang dalam masyarakat, yang merupakan pembesar-pembesar dan penguasa-penguasa tetap membangkang, tidak mempercayai Nabi Nuh A.S., mengingkari dakwahnya dan sekali-kali tidak rela melepaskan agama dan kepercayaan mereka terhadap berhala-berhala mereka, bahkan mereka berusaha dengan mengadakan persekongkolan hendak melumpuhkan dan menggagalkan usaha dakwah Nabi Nuh A.S..

     Berkata mereka kepada Nabi Nuh A.S.: "Bukankah engkau hanya seorang daripada kami dan tidak berbeza daripada kami sebagai manusia biasa. Jikalau betul Allah SWT akan mengutus seorang rasul yang membawa perintah-Nya, nescaya Dia akan mengutus seorang malaikat yang patut kami dengarkan kata-katanya dan kami ikuti ajakannya dan bukan seorang manusia biasa seperti engkau yang hanya dapat diikuti oleh orang-orang yang rendah kedudukan sosialnya, seperti para petani, buruh kasar, orang-orang yang miskin, yang bagi kami mereka hanya merupakan sampah masyarakat."

     "Pengikut-pengikutmu itu adalah orang-orang yang tidak mempunyai daya berfikir dan ketajaman otak, mereka mengikutimu secara buta-tuli tanpa memikirkan dan menimbangkan masak-masak benar atau tidaknya dakwah dan ajakanmu itu. Cuba agama yang engkau bawa dan ajaran-ajaran yang engkau sadurkan kepada kami itu betul-betul benar, nescaya kamilah yang lebih dulu mengikutimu dan bukan orang-orang yang mengemis, seperti pengikut-pengikutmu itu."

     "Kami sebagai pemuka-pemuka masyarakat yang pandai berfikir, memiliki kecerdasan otak dan pandangan yang luas dan yang dipandang oleh masyarat sebagai pemimpin-pemimpinya, tidakalh mudah bagi kami untuk menerima ajakanmu dan dakwahmu. Engkau tidak mempunyai kelebihan di atas kami tentang kepandaian, kecerdasan, kekayaan mahupun pengetahuan tentang soal-soal kemasyarakatan dan pergaulan hidup. Kami jauh lebih pandai dan lebih mengetahui daripadamu tentang hal itu semuanya. Anggapan kami terhadap dirimu, tidak lain dan tidak bukan, bahawa engkau adalah pendusta belaka."

     Nuh berkata, menjawab ejekan dan olok-olokan kaumnya: "Adakah kamu menduga bahawa aku dapat memaksa kamu mengikuti ajaranku atau menduga bahawa aku mempunyai kekuasaan untuk menjadikan kamu orang-orang yang beriman, jika kamu tetap menolak ajakanku dan tetap membuta tuli terhadap bukti-bukti kebenaran dakwahku dan tetap mempertahankan pendirianmu yang tersesat yang diilhami oleh kesombongan da kebongkakak kerana kedudukan dan harta-benda yang kamu miliki."

     "Aku hanya seorang manusia yang mendapat amanah dan diberi tugas oleh Allah SWT untuk menyampaikan risalah-Nya kepada kamu. Jika kamu tetap berkeras kepala dan tidak mahu kembali ke jalan yang benar dan menerima agama Allah SWT yang diutuskannya kepadaku, maka terpulanglah kepada Allah SWT untuk menentukan hukuman-Nya dan ganjaran-Nya atas diri kamu. Aku hanya pesuruh dan rasul-Nya yang diperintahkan menyampaikan amanah-Nya kepada hamba-hamba-Nya."

     "Dialah yang berkuasa memberi hidayah kepadamu dan mengampuni dosamu atau menurunkan azab dan seksa-Nya di atas kamu sekalian jika Ia kehendaki. Dialah pula yang berkuasa menurunkan seksa dan azab-Nya di dunia atau menangguhkannya sampai hari kemudian. Dialah Tuhan pencipta alam semesta ini, Maha Kuasa, Maha Mengetahui, Maha Pengasih dan Maha Penyayang."

     Kaum Nuh mengemukakan syarat dengan berkata: "Wahai Nuh! Jika engkau mengkehendaki agar kami mengikutimu dan memberi sokongan dan semangat kepadamu dan kepada agama yang engkau bawa, maka jauhkanlah para pengikutmu yang terdiri dari orang-orang petani, buruh dan hamba-hamba sahaya itu. Usirlah mereka dari pergaulanmu, kerana kami tidak dapat bergaul dengan mereka, duduk berdampingan dengan mereka, mengikuti cara hidup mereka dan bergabung dengan mereka dalam suatu agama yang samaratakan para bangsawan dengan orang awam, samaratakan penguasa dan pembesar dengan buruh-buruhnya dan samaratakan orang kaya yang berkedudukan dengan orang yang miskin dan papa."

     Nabi Nuh menolak syarat kaumnya dan berkata: "Risalah dan agama yang aku bawa adalah untuk semua orang tiada pengecualian, yang pandai mahupun yang bodoh, yang kaya mahupun yang miskin, majikan mahupun buruh, penguasa mahupun rakyat biasa, semuanya mempunyai kedudukan dan tempat yang sama terhadap agama dan hukum Allah SWT."

     "Andai kata aku memenuhi syaratmu dan melulukan keinginanmu untuk menyingkirkan para pengikutku yang setia itu, maka siapakah yang dapat kuharapkan akan meneruskan dakwahku kepada orang ramai dan bagaimana aku sampai hati menjauhkan daripadaku orang-orang yang telah beriman dan menerima dakwahku dengan penuh keyakinan dan keikhlasan di kala kamu menolaknya serta mengingkarinya, orang-orang yang telah membantuku dalam tugasku di kalakamu menghalangi usahaku dan merintangi dakwahku. Dan bagaimanakah aku dapat mempertanggungjawabkan tindakan pengusiranku kepada mereka terhadap Allah SWT bila mereka mengadu bahawa aku telah membalas kesetiaan dan ketaatan mereka dengan sebaliknya hanya semata-mata untuk memenuhi permintaanmu dan tunduk kepada syaratmu yang tidak wajar dan tidak dapat diterima oleh akal dan fikiran yang sihat. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang bodoh dan tidak berfikiran sihat."

     Pada akhirnya, kerana merasa tidak berdaya lagi mengingkari kebenaran kata-kats Nabi Nuh A.S. dan merasa telah kehabisan alasan dan hujah untuk melanjutkan dialog dengan beliau, maka berkatalah mereka: "Wahai Nuh! Kita telah banyak bertikam lidah dan berdebat dan cukup berdialog serta mendengar dakwahmu yang sudah menjemukan. Kami tetap tidak akan mengikutimu dan tidak akan sekali-kali melepaskan kepercayaan dan adat-istiadat kami, sehingga tidak ada gunanya lag engkau mengulagulanginya dakwah dan ajakanmu dan bertegang lidah dengan kami."

     "Datangkanlah apa yang telah engkau janjikan dan ancamkan kepada kami jika engkau benar-benar orang yang menepati janji dan kata-katanya. Kami ingin melihat kebenaran kata-katamu dan ancamanmu dalam kenyataan. Kerana kami masih tetap belum mempercayaimu dan tetap meragukan dakwahmu."


B. Nabi Nuh A.S. Berputus Asa Dari Kaumnya


    Nabi Nuh berada di tengah-tengah kaumnya selama sembilan ratus lima puluh tahun berdakwah menyampaikan risalah Tuhan, mengajak mereka supaya meninggalkan penyembahan berhala dan kembali menyembah dan beribadah kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa, memimpin mereka keluar dari jalan yang sesat dan gelap ke jalan yang benar dan terang, mengajar mereka hukum-hukum syariat dan agama yang diwahyukan oleh Allah SWT kepadanya, mengangkat darjat manusia yang tertindas dan lemah ke tingkat yang sesuai dengan fitrah dan qudratnya dan berusaha menghilangkan sifat-sifat sombong dan bongkak yang melekat pada para pembesar kaumnya dan mendidik agar mereka berkasih sayang, tolong-menolong di antara sesama manusia.

     Akan tetapi dalam waktu yang cukup lama itu, Nabi Nuh tidak berhasil menyedarkan dan menarik kaumnya untuk mengikuti dan menerima dakwahnya beriman, bertauhid dan beribadah kepada Allah SWT kecuali sekelompok kecil pengikut yang tidak mencapai bilangan seratus orang, walaupun dia telah melakukan tugasnya dengan segala daya upayanya dan sekuat tenaganya, dengan penuh kesabaran dan kesusahan menghadapi penghinaan, ejekan dan cercaan makian kaumnya, kerana dia mengharapkan akan datang masanya di mana kaumnya akan sedar diri dan datang mengakui kebenaran dakwahnya.

     Harapan Nabi Nuh akan kesedaran kaumnya itu ternyata makin hari makin berkurang dan bahawa sinar iman dan takwa tidak akan menembus ke dalam hati mereka yang telah tertutup rapat oleh ajaran dan bisikan Iblis. Hal mana menjadi lebih tegas dan nyata dengan diterimanya wahyu oleh Nabi Nuh berupa firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya tidak akan ada seorang daripada kaumnya mengikutimu dan beriman kecuali mereka yang telah mengikutimu dan beriman lebih dahulu, maka janganlah engkau bersedih hati kerana apa yang mereka perbuat."

     Dengan penegasan firman Allah SWT itu, lenyaplah sisa harapan Nabi Nuh dari kaumnya dan habislah kesabarannya. Dia memohon kepada Allah SWT agar menurunkan azab-Nya di atas kaumnya yang keras kepala sambil berseru: "Ya Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorang pun daripada orang-orang kafir itu hidup dan tinggal di atas bumi. Mereka akan berusaha menyesatkan hamba-hamba-Mu, jika Engkau biarkan mereka tinggal, dan mereka tidak akan melahirkan dan menurunkan selain anak-anak yang berbuat maksiat dan anak-anak yang kafir seperti mereka."

     Doa Nabi Nuh dikabulkan oleh Allah SWT dan permohonannya diperkenankan dan kepadanya diperintahkan agar membuat sebuah kapal dan tidak perlu lagi menghiraukan dan mempersoalkan kaumnya, kerana mereka itu akan menerima hukuman Allah SWT dengan mati tenggelam.









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.

No comments:

Post a Comment