Saturday 27 February 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 17 - RABIAH DAN ULAMA ]






RABIAH DAN ULAMA




Kekhusyukan para hadirin pada alunan zikir dan bunyian seruling daripada Rabiah memang hebat. Roh para hadirin seakan terpisah daripada tubuh dan terbang melayang mencari kecintaan sejati kepada Rabb. Walaupun mereka berusaha dan terus tenggelam dalam buaian resapan zikir-zikir itu ke kalbu, namun mustahil bagi menatap dan berjumpa cinta yang sejati itu.

     Rahsia cinta itu hanya terzahir apabila tiba waktunya, bukan di dunia ini melainkan di akhirat kelak. Itu pun hanya kepada mereka yang benar-benar terpilih bagi mendapatkannya kerana usaha mereka di dunia.

     Orang Basrah semakin ramai membanjiri majlis zikir Rabiah. Salah seorang yang baru menghadirkan diri terkejut sambil berkata, "Masya-Allah, begitu ramai hamba Allah mahu membasahi diri mereka dengan keasyikan zikir-zikir kepada Allah."

     "Kami hanya terlewat sedikit dan terpaksa menyertainya dari luar," kata seorang lagi.

     Tiba-tiba kawan mereka yang seorang lagi berkata, "Tengok, bukankah itu tuan guru kita yang alim fikahnya, beliau juga tidak ketinggalan dalam majlis zikir ini."

     "Bukan beliau sahaja, malah tuan guru saya yang alim ilmu hadisnya juga turut serta. Mereka semua sangat hormat dan kagum kepada Rabiah." Seorang lagi menyampuk.

     Dari jauh seorang lagi menambah, "Sebelum ini saya sudah terserempak dengan tuan-tuan guru sufi yang muktabar seperti Hasan al-Basri, Sufian al-Thauri, Malik bin Dinar dan ramai lagi. Mereka sebenarnya tidak pernah ketinggalan menyertai majlis zikir Rabiah ini."

     "Nampaknya memang kita bertuah sekiranya berada dalam majlis zikir Rabiah ini. Selain dapat menghadirkan jiwa dan raga kepada Allah, kita juga dapat bertemu malah menangguk tumpahan ilmu daripada ulama-ulama muktabar yang datang." Yang paling muda antara mereka pula menyatakan pendapatnya.

     "Sebenarnya mereka ini adalah guru kepada Rabiah al-Adawiyah, namun kerana kelebihan pada Rabiah serta berkat ketekunan dan kecerahan hatinya. Rabiah kini lebih mendahului guru-gurunya itu daripada sudut ilmu mahupun martabat. Ini juga diakui oleh guru-guru dan ulama-ulama."

     Mereka semua terdiam kagum sambil diiringi dengan zikir dalam hati masing-masing.

     Kesemua mereka berasa sangat bertuah kerana boleh berada dalam majlis zikir itu walaupun sudah terlewat. Mereka lantas menumpukan perhatian kepada majlis yang bakal bermula pada bila-bila masa sahaja lagi.

     Kemudian pengacara membuat pengumuman, "Majlis zikir bakal bermula pada bila-bila masa. Ia diikuti dengan kuliah dan tazkirah ilmu daripada ulama-ulama termasuk Rabiatul Adawiyah sendiri."

     Akhlak dan sifat zuhud dan warak Rabiah begitu menyerlah sehingga ramai ulama yang hadir dari luar Basrah. Semata-mata mahu berjumpa dan berbincang masalah agama dan ilmu dengannya.

     Pengajian untuk para ulama ini biasanya dilakukan khusus kerana dikhuatiri menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat awam.

     Ada antara ulama yang datang dan bertanya berkenaan perkara-perkara batin yang bersangkutan dengan hati.

     "Wahai Rabiah, sesungguhnya kami kagum pada cara kamu memperoleh apa yang ada pada dirimu sekarang."

     Rabiah berkata, "Pindahkan hati kalian daripada nyata dunia kepada batinnya. Sesungguhnya yang nyata ataupun zahir ini banyak tipu dayanya. Hanya dengan mengenali hakiki batiniah sahaja, kita mampu mencapai kedudukan jiwa yang ikhlas dan terus kepada sang Pencipta."

     "Bagaimana pula hal itu boleh terjadi?"

     "Asingkan diri kalian dari dunia ini dan sembunyikan diri kalian sejauhnya. Bukankah dalam sunyi itu ada cahaya, dan dalam cahaya itu ada kebenaran?"

     "Maksudnya kami perlu mengasingkan diri?"

     "Itu sebaiknya," jawab Rabiah pendek. Dia kemudiannya menyambung, "Ambil masa yang kamu tetapkan untuk hal itu. Jangan pula seluruh masamu hanya tertumpu pada hal itu hingga perkara wajib yang lain terabai."

     "Apakah yang lebih besar daripada mencari reda Allah?"

     "Yang kita bincangkan hanya sebahagian sahaja dan ia tidak sempurna tanpa beberapa perkara yang dilakukan terlebih dahulu. Bolehkah kita menyembunyikan diri dan beruzlah sekiranya kewajipan menuntut dan memberi ilmu kepada orang awam belum kita laksanakan? Bagaimana pula dakwah kepada orang bukan Islam yang masih tersesat dalam kegelapan ketika mereka memerlukan suluhan pelita iman?"

     "Maksudnya kami perlu selesaikan dahulu perkara yang menjadi asas kewajipan, baru boleh melakukan apa yang lebih bersifat pencarian untuk diri sendiri."

     Rabiah hanya mendiamkan diri.

     Fahamlah sekalian yang hadir dengan perbincangan Rabiah itu, namun masih ada hadirin yang terpinga-pinga dalam perbincangan itu. Rabiah meminta mereka yang faham itu menjelaskan kembali kepada yang kurang faham itu.

     Pengajian kemudian diteruskan dengan persoalan penyerahan dan kebergantungan pada Allah secara mutlak.

     "Seharusnya manusia itu menggunakan segala panca indera yang dikurniakan Allah bagi mencapai kebenaran yang hakiki, dan mencari serta memahami rahsia di sebaliknya," kata Rabiah.

     "Apakah maksudnya?" tanya seorang hadirin. Dia adalah ulama dari luar Basrah.

     "Setiap yang dikurniakan Allah, punya sebabnya," jawab Rabiah.

     "Pernahkah kita terfikir apakah sebabnya segala kurniaan pancaindera yang ada pada diri kita?" sambung Rabiah lagi.

     "Tentunya digunakan bagi membuat kerja-kerja seperti beribadah, mencari rezeki, bekerja dan sebagainya," jawab hadirin itu.

     "Betul, segala pancaindera ini perlu digunakan hanya bagi mengagungkan Allah dengan melakukan apa yang disuruh-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Semua penggunaan anggota tubuh badan kita semestinya hanya untuk Allah."

     Tambah Rabiah lagi, "Selain menggunakan tulang empat kerat yang dikurniakan ini bagi berusaha. Yang paling utama adalah sifat tawakal dan berserah kepada Allah."

     "Apakah kita dituntut bagi berusaha?"

     "Usaha adalah asasnya. Kita diberi pilihan bagi membuat pilihan yang terbaik untuk diri kita. Bukankah Allah pernah jelaskan yang Dia tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka sendiri yang mengubahnya."

     "Bagaimana pula dengan qadak dan qadar-Nya?"

     "Itulah yang saya maksudkan. Selepas kita berusaha sedaya upaya, akhirnya hasil usaha itu kita wajar serahkan bulat-bulat kepada Allah. Sekiranya usaha yang diusahakan berjaya, ucapkan alhamdulillah dan sekiranya gagal, bersabarlah. Jangan sesekali menyalahkan Allah kerana Allah tahu apa yang terbaik untuk setiap hambanya. Tambahan pula Allah sentiasa bersama orang yang sabar." Rabiah menghuraikan panjang lebar kepada para hadirin.

     "Bagaimana pula kami maksud menjadi sepertimu?"

     "Maksud kalian?"

     "Kehebatan kamu dalam ibadat, ilmu dan amalan adalah luar biasa. Bicarakan rahsianya kepada kami. Walaupun kami ini bergelar ulama dan menjadi rujukan umat, namun hubungan kami dengan Allah adalah terhad, tidak seperti kamu yang begitu dekat dengan Allah hingga merindukan Allah sentiasa.

     Dengan rendah diri, Rabiah menjawab persoalan para ulama yang hadir itu.

     "Jaga adab kalian dengan Allah. Ilmu kalian tidak menjamin adab dan akhlak kalian dengan Allah. Bahkan ilmu itu juga sekiranya digunakan bukan pada tempatnya, hanya membuat kalian terhumban dengan hina ke dalam neraka."

     Para ulama yang hadir terkejut, bahkan ada yang menggeletar kerana gerun, tergoncang jiwa mereka dengan kenyataan Rabiah sebentar tadi.

     "Tunjukkan kami cara yang terbaik bagi beradab dan berakhlak kepada Allah?" Semakin rancak perbincangan mereka, hingga kebanyakan mereka tidak sedar pedang masa terus memotong ruang waktu mereka.

     Rabiah juga terus menjawab dengan sabar dan ikhlas, tanpa berselindung mahupun terbit perasaan riak dengan kurniaan Allah pada dirinya.

     "Khusyuk dan tawaduk yang terbaik adalah semasa solat." Rabiah memulakan.

     "Ya, benar."

     "Jadikan diri kalian tawaduk dan khusyuk seperti dalam solat sepanjang hari, setiap detik dan saat."

     "Maksudnya seolah-olah kami semua dalam keadaan solat sentiasa?"

     "Benar, itulah sebaik-baik adab dan akhlak kepada Allah."

     Semua hadirin dan para ulama terpana. Ada yang menggeleng-geleng kepala kerana kagum. Ada yang hanya menunduk, berasa sungguh kerdil di hadapan seorang wanita yang bernama Rabiah.

     Begitulah keadaannya majlis ilmu dengan para ulama yang setia menunggu dan menantikan butiran mutiara hikmah daripada Rabiah. Bahkan dengan persoalan yang sama pada hari seterusnya juga Rabiah tidak menolak bagi menjawabnya malah dengan jawapan yang lebih lunak lagi berisi. Ia melambangkan ketinggian ilmu, amat serta hikmahnya. 

     Rabiah kemudian berbicara lagi, para hadirin hanya menumpukan telinga mereka pada suara di belakang tabir itu.

     "Carilah akhirat nescaya dunia mengejarmu. Sekiranya hanya dunia yang kamu idamkan, hancurlah dunia dan akhiratmu." Antara peringatan yang kerap didengari para jemaah zikir Rabiah. Walaupun versinya berlainan, namun maksudnya tetap sama.

     Pernah sekali Rabiah ditanya berkenaan wuduk, "Setiap yang satu ada rahsianya yang tersendiri, boleh terangkan berkenaan rahsia wuduk?"

     Rabiah menjawab, "Betul kata saudara." Dia kemudian menyambung, "Secara semboliknya wuduk menunjukkan kita membasuh anggota yang menjadi kegunaan harian. Tanpa sedar ataupun tidak, anggota inilah yang banyak melakukan dosa sama ada dalam kita sedar ataupun tidak. Basuhan wajib lima kali sehari seolah-olah menunjukkan kita membasuh anggota-anggota itu daripada dosa yang dilakukan sepanjang hari."

     "Ada yang lebih penting daripada itu?"

     "Ada."

     "Khabarkanlah."

     "Bersihkanlah hati kalian dengan siraman takwa supaya memperoleh hati yang sentiasa rindu dan cinta kepada Allah lebih daripada segala-galanya. Bukankah kita selalu berikrar pada permulaan solat dalam doa iftitah dengan lafaz, sesungguhnya solatku, ibadahku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam."




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment