Tuesday 23 February 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 16 - MAJLIS ZIKIR ]






MAJLIS ZIKIR




Seluruh Basrah riuh dengan cerita berkenaan kemerduan dan keasyikan mereka pada majlis zikir semalam. Tanpa mereka sangka, seorang perempuan maju ke depan sambil memegang sebatang seruling. Tiupan serulinga itu mengusik hati dan sanubari hingga terburai air mata mereka kerana penghayatan yang begitu mendalam.

     Wahab, yang dahulunya sangat mencintai dunia, kini insaf dan mula mendekati majlis-majlis zikir juga berkata, "Belum pernah seumur hidup saya rasa sangat bahagia. Mendengar tiupan seruling dan alunan zikir gadis itu, memberikan rasa manis yang suka digambarkan, seakan kita sangat dekat pada Allah."

     Seorang sahabat menyetujui, sambil memandang wajah Wahab dia berkata, "Benar sekali, maha suci Allah memberi kita peluang bagi mendengar ungkapan-ungkapan indah itu meskipun daripada seorang gadis."

     Yahya adalah yang paling senior daripada sekalian pencinta sufi itu. Dia juga turut berada di situ. "Nyanyian dan bunyian seruling gadis itu seakan menterjemahkan segala suara alam yang tidak difahami kepada kita untuk difahami. Indahnya tidak terkira, para ulama dan guru-guru kita juga berpendapat yang sama."

     "Namun dia seorang gadis. Apakah tidak menjadi canggung sekiranya dia bernasyid di khalayak yang terdiri daripada para lelaki yang ajnabi?" soal Wahab sedikit ragu.

     "Setahu saya, hal ini sudah dibahaskan." Yahya menyambung lagi, "Apa yang penting dia menutup auratnya dengan sempurna malah kita pun tidak terlihat wajahnya kerana dia berada di sebalik hijab yang tidak membenarkan kita menatapnya. Hanya suaranya yang kita dengari."

     "Segalanya bergantung pada niat. Saya yakin gadis itu bernasyid dengan hati yang ikhlas dan suci. Sekiranya tidak, mustahil hati kita ini mampu ditempuh dengan rasa kenikmatan, malah membawa kita ke hadrat Allah dengan sangat rapat dan dekat. Mustahil rasa ini wujud sekiranya orang yang menyampaikannya tidak ikhlas dan hebat pada Allah." Kawan kepada Wahab bersetuju dengan Yahya.

     "Namun siapakah gerangan gadis itu? Sebelum ini tidak ada siapa tahu yang dia adalah penduduk Basrah."

     "Benar, dia baru pulang daripada jalan ujian yang amat panjang kerana diperhamba selepas diculik."

     "Apakah benar kata kamu? Bagaimana pula asal-usulnya?"

     "Saya pasti kerana semua orang di Basrah sudah bercakap-cakap tentang gadis ini. Rupa-rupanya dia adalah anak bongsu kepada Ismail Al-Adawiy yang hilang suatu ketika dahulu."

     "Ya, sekarang saya ingat. Ayahnya pernah menjadi tenaga pengajar al-Quran di Basrah ini."

     "Orangnya juga alim dan zuhud, malah amat warak lagi soleh."

     "Tetapi apakah nama si gadis seruling itu?"

     "Rabiah al-Adawiyah."

     Wahab dan sahabatnya tercengang mendengar nama itu. Begitu sekali nama Rabiah memberi impak kepada penduduk Basrah. Kini majlis zikirnya semakin mendapat sambutan hingga rezekinya sekarang juga mencurah-curah.

     Rabiah juga semakin dikenali malah mendapat perhatian daripada para ulama besar dalam pelbagai bidang yang mahu turut serta dalam majlis zikirnya. Di samping kariernya yang semakin berkembang sebagai seorang penasyid majlis zikir, Rabiah juga membahagikan masanya mendalami ilmu-ilmu lagi seperti ilmu fikah, tauhid dan sebagainya. Kehidupan harian Rabiah dipenuhi dengan amal, iman dan ihsan kepada Allah.

     Wanita-wanita Basrah yang mengikuti majlis zikir Rabiah juga semakin ramai. Mereka menganggap ini adalah rahmat Allah dengan kehadiran Rabiah sebagai pelita yang menerangi kelam malam.

     "Belum pernah saya rasa saya khusyuk sebegini. Hanya selepas mendengar tiupan seruling dan lantunan suara Rabiah, segala rasa kusut dan serabut dunia hilang. Ia bagai diangkat dan dihempaskan sahaja di mana-mana," kata salah seorang daripada mereka.

     "Amat rugi kepada sesiapa yang tidak mahu menyediakan sedikit ruang pun bagi menyertai majlis zikir Rabiah. Mereka pasti menyesal seumur hidup!" Bersemangat sekali wanita ini berkata.

     "Sejak saya menyertai majlis zikir Rabiah bersama kamu semua, tiada lain yang saya rindukan melainkan Allah. Begitu sekali lorongan yang dihasilkan Rabiah. Sesungguhnya Allah memberikan Rabiah kepada kita bagi menyampaikan keindahan ini," kata wanita yang paling muda antara mereka.

     "Saya sangat kagum dengan Rabiah kerana kehidupan hanya kerana Allah. Saya cuba perhatikan rutin hariannya dan saya dapati dia tidak pernah sekalipun berehat ataupun membuat perkara yang di luar daripada lingkungan takwa kepada Allah," kata wanita yang pertama tadi.

     "Dia juga seorang rupawan, bahkan mungkin boleh menjadi jutawan dengan nyanyiannya sekiranya dia mahu," kata wanita yang paling muda itu.

     "Itu bukan menjadi tujuannya. Sekiranya dia mahu, sudah lama dia menjadi hartawan. Untuk Allah sahaja segala amalan yang dibuatnya. Sekiranya dia mahu, bukan sahaja menjadi kaya malah mengahwini lelaki yang paling kaya dan kacak di Basrah ini juga dia mampu." Wanita lain pula menyatakan rasa hatinya.

     "Sekirannya Rabiah mahu menjadi madu saya, juga saya sanggup."

     "Wahai wanita-wanita Basrah sekalian, janganlah kita memandang rendah kepada Rabiah dengan meletakkan yang dia berkeinginan ke arah itu. Sesungguhnya dorongan mahu berkahwin itu adalah kerana nafsu yang dikhuatiri tidak mampu ditundukkan, maka Allah mensyariatkan pernikahan yang halal. Nafsu Rabiah pula sudah hancur dan luluh dimusnahkan kecintana dan kerinduan kepada Allah. Apakah dia perlu bernikah?" Kata-kata itu membuatkan wanita-wanita Basrah itu terdiam.

     "Sepatutnya kita mencontohi dirinya. Walaupun dia amat cantik, namun tidak pernah kita nampak yang dia berbangga dengan kecantikannya itu. Walaupun dia berkebolehan dalam nyanyian, namun bukan kebolehan itu yang mahu ditunjukkan, melainkan mahu berkongsi dan berdakwah dengan menyampaikan keindahan nyanyian dan bunyian zikir-zikir kepada Ilahi. Akhlaknya yang mulia wajar kita ikuti, malah Rabiah juga amat rajin menuntut ilmu agama."

     Di kalangan para ulama pula, nama Rabiah semakin mendapat perhatian kerana kerajinannya dalam beribadah. Kemerduan dan keasyikan zikir apabila berada dalam majlis zikir anjuran Rabiah juga menjadikan para ulama Basrah sentiasa mengunjunginya.

     "Sungguh Allah itu maha sempurna hingga dihantarkan seorang gadis bagi menjadi sumber motivasi kepada saya. Kemerduan dan keasyikan alunan zikir Rabiah, menyedarkan kita yang zikir kepada Allah itu luas rahsianya," kata seorang ulama.

     Seorang ulama fikah yang berada di kalangan para ulama juga bersuara, "Bukan sahaja Rabiah berdakwah dan membawa masyarakat ke arah kecintaan Allah melalui caranya, malah dia sendiri juga tidak jemu-jemu menimba ilmu daripada kita semua."

     Seorang lagi merenung jauh sambil mengusap-usap janggutnya yang sudah mula memutih.

     "Anak sahabat kita ini membuktikan mimpi ayahnya, Ismail al-Adawiy yang pernah didatangi oleh Rasulullah bagi mengkhabarkan perihal kelebihan Rabiah, seperti yang kita lihat pada hari ini."

     Seorang lagi menyambung, "Sayangnya Allah lebih menyayangi Ismail. Sekiranya dia dapat melihat sumbangan anak gadisnya dalam perkembangan agama Islam, tentu dia bahagia. Kita sepatutnya malu kepada Rabiah kerana kita yang dipanggil dan digelar ulama ini pun tidak mampu bagi mencapai kedudukan Rabiah itu."

     "Alangkah bahagia sekiranya semua anak perempuan yang bakal lahir di dunia ini adalah Rabiah. Sekalipun tidak, biarlah anak-anak daripada benih kita menjadi seperti Rabiah."

     Dengan izin Allah, Rabiah bukan sahaja mampu menarik ramai orang supaya lebih mencintai Allah. Dia kini juga tergolong dalam kalangan ulama-ulama Basrah. Kejernihan hati serta ketekunannya menyebabkan ilmu-ilmu yang dipelajari begitu senang difahami.

     Akhirnya ilmu Rabiah dikira setaraf dengan para ulama yang juga adalah gurunya. Malah guru-guru Rabiah ini juga sentiasa merujuk dan berguru kembali kepada Rabiah, terutamanya dalam bidang kesufian.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment