Saturday 6 February 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 13 - KEMERDEKAAN ]






KEMERDEKAAN




Hari demi hari berlalu, majikan Rabiah semakin tertekan memikirkan peristiwa yang mereka alami sebelum ini. Akhirnya pada suatu hari mereka bersepakat mahu berhadapan dengan Rabiah dan menceritakan apa yang terbuku di hati mereka. Sebenarnya Rabiah juga perasan perubahan majikannya itu.

     Bahkan majikan lelaki Rabiah itu kelihatan semakin susut berat badannya, mungkin kurang tidur kerana dihantui dosa-dosa lampaunya kepada Allah, dan sikap kejamnya kepada Rabiah sebelum ini.

     Suatu hari dia berkata kepada isterinya, "Nampaknya, sudah sampai waktu kita menceritakan apa yang terbungkam dalam sanubari kita ini kepada Rabiah. Saya tidak mampu lagi menahan derita ini."

     Isterinya yang berada di situ turut berkata, "Saya pun merasakan begitu, tetapi pastikah yang Rabiah mengampunkan kita apabila mengenangkan apa yang dilaluinya selama ini di rumah kita?"

     Si suami menjawab, "Lagikan Tuhan maha luas pengampunannya, lagikan rasul sangat pemaaf orangnya, dengan izin Allah, Rabiah pasti maafkan kita."

     "Baiklah sekiranya begitu."

     "Saya sebenarnya berharap dia terus tinggal bersama kita. Naluri kebapaan saya menginginkan dia tetap di sini kerana selama ini dia yang menguruskan hampir semua kerja di rumah ini. Seorang anak kandung, belum tentu semulia dirinya."

     Isteri lelaki itu juga bersetuju sambil berkata, "Dia sudah sedia maklum apa keperluan dan kehendak kita, malah sebelum diminta pun sudah dia sediakan. Sesungguhnya kita amat bertuah sekiranya Rabiah itu adalah anak kita."

     "Kita sudah banyak membuat dosa. Oleh itu mari kita bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Semoga Allah sudi mengampunkan kita. Kemudian kita mohon maaf daripada Rabiah."

     Sedang mereka menghadap makan malam yang disediakan oleh Rabiah, masing-masing diam membisu. Rabiah terus membuat kerjanya seperti biasa. Cuma bezanya kali ini, tiada pekik hina daripada majikannya. Mereka hanya memerhatikan Rabiah yang sedang menyediakan makan malam itu.

     Majikan perempuan Rabiah bersuara lembut, "Rabiah, ambilkan satu pinggan lagi."

     "Baik, puan." Arahan majikannya segera dituruti.

     Selepas meletakkan pinggan, Rabiah terus berpaling menuju ke dapur. Dia adalah hamba di situ, masih banyak kerja yang perlu disiapkan di dapur. 

     Tiba-tiba tangan Rabiah dirangkul oleh isteri majikannya. Rabiah berdebar. Dengan lembut dan senyuman, majikannya berkata, "Duduklah di sini, makan bersama kami. Selama kamu di sini, tidak pernah sekalipun kamu makan bersama kami."

     "Tidak mengapa, saya sudah biasa makan di dapur," jawab Rabiah lembut.

     Majikan lelaki Rabiah pula bersuara, "Makanlah bersama kami, anggaplah ini arahan daripada kami."

     Mendengar kata-kata majikannya itu, Rabiah pun mengalah. Mereka bertiga makan sehingga selesai namun yang peliknya satu perkataan pun tidak terungkap. Masing-masing melayan gentar rasa hati sendiri.

     Usai sahaja makan, majikan Rabiah terus ke ruang tamu utama.

     "Rabiah, nanti kamu ke ruang tamu kerana ada perkara yang mahu saya sampaikan," kata majikan lelaki Rabiah.

     "Baiklah tuan, saya ke ruang tamu selepas kerja-kerja ini selesai."

     Apabila selesai kerja-kerja di dapur. Rabiah segera menuju ke ruang tamu bagi menghadap kedua-dua majikannya. Hatinya kurang senang kerana dipanggil begitu, dia perlu bersedia dengan sebarang herdikan dan kemarahan.

     Sambil menarik tangan Rabiah, majikan perempuannya berkata, "Sila, duduk di atas bersama kami."

     "Terima kasih, puan. Apakah yang berlaku?" Rabiah memberanikan diri mengajukan soalan.

     Kedua-dua mereka tunduk, diam dan berfikir panjang. Majikan lelakinya memulakan bicara sambil matanya tetap pada Rabiah.

     "Sudah berapa lama kamu tinggal di sini?"

     "Hampir 10 tahun," jawab Rabiah ringkas.

     "Kamu gembira di sini?" tanya isterinya pula.

     Rabiah diam sejenak, kemudian bersuara, "Tiada kegembiraan pada saya melainkan tempat di mana saya boleh berzikir dan bermunajat kepada Allah tanpa gangguan."

     Fahamlah kedua-dua majikan Rabiah dan mereka saling berpandangan. Majikan lelaki Rabiah kemudian berkata, "Begini, kami dapati kamu adalah pekerja yang baik dan setia. Malah kamu juga rajin beribadat dan sentiasa bermunajat kepada Allah."

     Majikan lelaki Rabiah tidak mampu meneruskan kata-katanya. Air mata yang bertakung pada kedua-dua kelopak matanya mula tumpah. "Kami sedar selama ini kami banyak membuat kezaliman ke atas dirimu. Oleh itu kami mahu meminta maaf kepada kamu dan kami juga sudah bertaubat kepada Allah."

     Kedengaran juga suara tangis isteri majikannya itu. Dia lantas mendapatkan Rabiah lalu memeluknya.

     "Benar Rabiah, kami memohon ampun kepadamu. Adakah kamu sudi mengampunkan kami?"

     Dengan senyuman Rabiah menjawab, "Allah dan rasul amat kasih kepada mereka yang mengampunkan orang yang pernah melakukan kezaliman. Rasulullah juga memaafkan penduduk Mekah semasa peristiwa pembukaan Mekah walaupun ramai di kalangan mereka adalah musuh kepada Rasulullah sebelum peristiwa itu."

     "Alhamdulillah, syukur kami ke hadrat Allah," ujar majikan perempuan Rabiah.

     Majikan lelaki Rabiah kemudiannya berkata lembut, "Ketahuilah olehmu Rabiah, mulai saat ini, saya memerdekakan kamu daripada menjadi hamba saya dan kamu bebas memilih sama ada tetap tinggal di sini sebagai anak angkat kami ataupun ke destinasi yang baru."

     Rabiah terkesima dan kagum pada kebesaran Allah. "Subhanallah...." Hanya ucapan itu yang terpacul daripada mulut Rabiah. Dia terpegun lalu menatap muka kedua-dua majikannya itu. Ternyata tiada lagi taut rakus dan zalim, digantikan dengan raut wajah ketenangan dan pengharapan.

     Sedarlah Rabiah yang majikannya itu bukan bercanda, ia adalah kenyataan dan hasil daripada penantian Rabiah selama ini. Kini dia merasakan setiap salur nadi tubuhnya mengalirkan kebahagiaan.

     "Subhanallah! Saya sudah merdeka."

     "Alhamdulillah! Saya sudah merdeka."

     "Allahuakbar! Saya sudah merdeka."

     Bergema laungan tasbih, tahmid dan takbir dalam dirinya. Air mata syukur laju menelusuri kedua-dua pipinya yang cengkung itu.

     Rabiah segera mahu mengkhabarkan kepada kekasih hatinya berkenaan berita gembira itu walaupun dia tahu perkara itu terjadi juga atas kehendak kekasih hatinya.

     'Kini aku bebas berdampingan dengan-Mu ya Allah. Terima kasih atas nikmat ini. Aku berjanji tidak mensia-siakan kemerdekaan ini,' ujar Rabiah dalam hati.

     Rabiah kemudiannya memandang kedua-dua bekas majikannya itu lantas berkata, "Tuan dan puan adalah milik Allah, begitu juga dengan saya. Maka berjanjilah untuk tidak menderhakai-Nya lagi."

     Bekas majikan lelakinya itu hanya berdiam diri, air mata membasahi wajahnya. Isterinya juga begitu. Mereka kemudian menceritakan apa yang dilihat di bilik Rabiah beberapa hari lepas.

     "Tiada yang esa melainkan Allah, apa yang kamu lihat itu tidak lain hanyalah cebisan daripada kekuasaan Allah. Allah bahkan mampu membuat perkara yang lebih dasyat daripada itu. Lupakah kita sejarah kaum A'ad dan kaum Samud? Bagaimana Firaun dan Namrud yang gagah perkasa lagi kaya harta akhirnya jatuh tersungkur kerana keingkaran dan kesombongan mereka. Bersyukurlah kepada Allah yang memberi rahmat kepada kalian, kerana terpilih oleh Allah dengan diberikan hidayah ke kalbu kalian."

     Mereka berdua tekun mendengar, kemudian bertanya pula, "Bagaimana sekiranya kamu tinggal sahaja di sini? Kami sudah anggap kamu sebagai anak kami. Bahkan harta yang ada ini pun tiada pewaris."

     "Tidak mengapalah, sudah cukup kalian menjaga saya selama ini. Izinkan saya berdikari melurus haluan diri. Saya punya harapan dan matlamat sendiri. Terima kasih sekali lagi atas makan minum yang kalian berikan kepada saya selama ini."

     "Sekiranya begitu katamu, kami tidak mampu menghalang. Kamu adalah orang yang merdeka. Namun sekiranya kamu perlukan kami, pintu rumah kami terbuka selama-lamanya untuk kamu."

     Rabiah mengangguk faham lalu meminta diri bagi bersiap dan mengambil apa yang patut. Hari itu juga dia mahu menggunakan kemerdekaan yang baru diperolehnya.

     Hatinya berbunga-bunga, tidak putus-putus ucapan syukur dilafazkan, sehingga dia lupa yang dia sekarang hanya sebatang kara dan tidak punya sesiapa lagi. Hala tujunya juga kabur.

     Selepas melangkah keluar daripada rumah itu, dia hanya mengikut jejak langkah kakinya sendiri. "Ke mana tuju? Saudaraku bertiga juga hilang entah ke mana, saya sudah tidak punya tempat bergantung melainkan Allah."

     Lama berfikir dia akhirnya dia mendapat ilham. "Saya akan kembali ke Basrah...."




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment