Tuesday 9 February 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 15 - ISTIKHARAH ]






ISTIKHARAH




Rabiah sudah tahu apa yang perlu dia lakukan, sesuai benar dengan jiwa halusnya itu. Cuma yang menjadi isu sekarang, cuma dia seorang sahaja perempuan. Bagi mendapatkan penjernihan berkenaan persoalan itu, Rabiah pergi bersemuka dengan beberapa orang ulama muktabar di Basrah.

     Rabiah lantas pergi menemui Hasan bin Abi Hasan untuk tujuan itu.

     "Bolehkah saya bermain seruling dan bernasyid dalam majlis-majlis zikir? Walhal majlis zikir itu juga dihadiri oleh kaum lelaki yang bukan muhrim saya. Nyata hal ini tidak dilakukan pada zaman Rasulullah, bagaimana keadaannya pada diri saya?" tanya Rabiah kepada Hasan bin Abi Hassan.

     "Benar katamu, pada zaman rasulullah tiada aktiviti seumpama itu, namun kita perlu ingat yang zikir itu sendiri adalah sunah Rasulullah. Mengamalkannya mendapat pahala di sisi Allah," jawab Hasan bin Abi Hassan.

     Rabiah masih tidak berpuas hati, terus sahaja dia mendapatkan hujah-hujah daripada para alim ulama yang lain berkenaan persoalan yang sedang bermain di benaknya itu.

     "Atas sebab apa kamu lakukannya?" tanya salah seorang ulama itu kepada Rabiah.

     "Maksud tuan?"

     "Niatmu?"

     "Tentu sahaja kerana Allah. Bernasyid dan bermain seruling menjadi kemahiran saya. Oleh itu saya terfikir mahu mendendangkannya kepada orang ramai supaya mereka semakin asyik dan cintakan Allah. Bukankah ia sesuatu yang bagus?" Rabiah menjelaskan.

     "Sekiranya begitu niatmu, laksanakanlah, bukankah Rasulullah pernah menyatakan yang setiap amalan itu bergantung pada niat. Namun kamu berwaspada pada fitnah dunia."

     "Maksud tuan?"

     "Saya khuatir timbul fitnah kepada kamu dan Islam kerana kamu adalah seorang perempuan yang dihiasi dengan tarikan fitnah. Takut juga sekiranya ada yang bersamamu dalam majlis bukan kerana kelazatan membasah lidah dan mengkhusyukkan telinga dengan pujian Allah, namun matanya memancarkan panahan-panahan iblis yang dilaknat Allah."

     "Insya-Allah saya jaga diri ini daripada menimbulkan fitnah itu."

     Namun pencarian jawapan pada soalan itu diteruskan sehingga ada yang terang-terang menentang.

     "Bukankah kamu seorang wanita? Suara wanita mana yang halal untuk lelaki ajnabinya?"

     Ada yang mengherdiknya, "Dalil manakah yang kamu gunakan bagi menghalalkan urusan kamu itu? Bukankah membuat amal yang tidak diajar oleh Rasulullah ada bidaah? Adakah kamu tahu apa hukumnya bidaah itu?"

     Ada juga yang berkata, "Mendendangkan lagu-laguan hingga melalaikan adalah haram, namun tidak pula menjadi masalah sekiranya ia merapatkan ukhuwah malah mengkhusyukkan diri kepada Allah. Benarkah orang yang menyampaikan dan orang mendengar nyanyian itu lebih dekat dirinya kepada Allah dan niat mereka hanya kerana Allah?"

     Ada pula yang menyoroti hujah daripada hadis dan sirah, "Bukankah pernah berlaku apabila golongan Habsyi sedang bermain pedang dengan bunyi-bunyian daripada gendang dan sebagainya yang menjadi adat budaya mereka di dalam masjid Nabawi. Saidatina Aisyah merekodkan yang beliau menyaksikan tarian itu di sebalik badan Rasulullah sehingga Rasulullah bertanyakan beliau sudah puas ataupun belum, barulah mereka berhenti menonton."

     Ulama itu menyambung lagi, "Pernah juga pada hari raya, Saidatina Aisyah menjemput dua penyanyi bagi menyanyi pada hari itu di rumahnya. Saidina Abu Bakar yang kemudiannya masuk ke rumah itu bersama Rasulullah terkejut dan memarahi kedua-dua mereka termasuk anaknya, Aisyah. Namun perbuatan Saidina Abu Bakar ditegah oleh Rasulullah dengan menyatakan yang hari ini adalah hari raya, lalu dibiarkan sahaja mereka, namun Rasulullah sendiri tidak mendengar nyanyian itu."

     Tidak cukup di situ sahaja, Rabiah terus mencari jawapan. Ternyata jawapan yang diterima olehnya adalah pelbagai dan bergantung pada siapa yang ditanya. Bermula daripada harus, makruh dan haram, semuanya diberikan bagi memfatwakan aktiviti yang bakal dijalankan oleh Rabiah itu.

     Rabiah merintih dalam hati, "Ya Rasulullah, sekiranya tuan ada di sini ataupun saya yang hidup pada zaman tuan, nescaya hal ini tidak menjadi serumit ini. Saya hanya perlu bertanya kepada diri tuan sahaja. Masalahnya, sekarang ini masih tiada hukum yang jelas dalam bab nyanyian dan muzik ini. Apa yang perlu saya lakukan?"

     Kini timbul pula persoalan baru dalam dirinya, "Adakah boleh dan tidak janggal sekiranya saya bernasyid bagi mengajak diri sendiri dan para pendengar supaya lebih mengingati dan merindukan Allah, namun pada masa yang sama, saya menerima bayaran daripada perbuatan itu?"

     Rabiah semakin gundah gulana. Hatinya sudah tidak tertanggung bagi meletakkan dirinya di kalangan para ahli zikir yang sangat dekat dengan jiwanya. Dalam keadaan yang semakin tertekan, Rabiah membawa diri jauh dari warga Basrah.

     Tujuannya bagi mendapatkan ketenangan dan memohon ilham daripada Allah bagi membuat keputusan di atas masalah yang sedang dihadapinya. Semasa proses pengasingan diri itu, Rabiah memperbanyakkan amalan sunat seperti solat sunat taubat, tahajud, zikir dan munajat kepada Allah, kekasih yang sentiasa dirinduinya.

     Suatu petang, sedang Rabiah merenung jauh ke langit biru, tiba-tiba dia terdengar bunyi-bunyian yang unik, dirinya lantas tertarik pada bunyi-bunyian yang tidak pasti puncanya itu. Bunyinya amat merdu.

     "Bunyi apakah ini? Merdu dan asyik sekali saya mendengarnya."

     Apabila diperiksa, baru Rabiah tahu yang bunyi itu berasal daripada sekawan burung yang sedang hinggap di dahan pokok.

     "Indah sekali bicara kamu, hanya Allah yang tahu apakah maksudnya. Yang pasti kamu semua tentu sedang bertasbih, bertahmid, dan bertakbir kepada Allah."

     Rabiah kemudian disapa oleh angin sepoi-sepoi yang lantas memaksa dahan-dahan dan ranting-ranting pucuk pokok hutan itu bergeseran sesama sendiri. Bunyian yang terhasil amat mengasyikkan Rabiah.

     "Allah, sungguh merdu dan nyaman nyanyian alam ini. Apakah kamu sedang berzikir kepada Tuhan kita, wahai sahabat? Berbicaralah denganku."

     Rabiah kemudian melalui tepian anak sungai yang sangat jernih airnya, malah suasananya juga amat mendamaikan.

     "Begitu sekali zikirmu kepada Allah, berterusan sejak dahulu tanpa henti. Sekiranya dicincang sekalipun, tetapi jua berzikir kepada-Nya tanpa lelah dan letih. Sungguh saya kagum pada alam semesta."

     Selepas mengamati alam semesta ciptaan Allah itu, Rabiah membuat kesimpulan. "Sesungguhnya alam ini sebenarnya sentiasa berzikir mengingati dan memuji Allah dalam bahasa mereka sendiri. Cuma menjadi kelemahan kita sebagai manusia yang tidak faham apa yang diucapkan oleh alam semesta. Insya-Allah selepas beristikharah memohon petunjuk daripada Allah, saya muktamad membuat keputusan."

     Terlintas di hati Rabiah berkenaan satu ayat al-Quran, "Sekarang baru saya ingat yang ada kalam Allah yang membicarakan berkenaan hal alam yang sentiasa berzikir dalam bahasa mereka. Bukankah dalam Surah al-Israk ayat ke-44 ada yang bermaksud, 'Langit yang ketujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya tetapi kamu tidak faham tasbih mereka. Sesungguhnya ia maha penyabar lagi maha pengampun.' Alhamdulillah, akhirnya saya sudah mendapat jawapannya, hanya yang saya perlukan adalah kata putus daripada Allah."

     Kini suatu keyakinan dan tekad muncul daripada lubuk hati Rabiah. Dia yakin hanya Allah yang paling layak menilai sama ada apa yang dilakukan olehnya itu benar ataupun salah.

     "Manusia hanya layak berusaha dan sekiranya usahanya itu tiada ketetapan jelas sama ada daripada al-Quran ataupun hadis berkenaan hukumnya, pastikan perkara itu tidak haram secara mutlak. Selebihnya kita berserah kepada Allah."

     Pada kemuncaknya, Rabiah solat istikharah bagi mendapatkan jawapan mutlak pada keputusannya, walaupun sudah punya keputusan sendiri, namun dia tetap mahu Allah yang tentukan sama ada pilihannya tepat atau tidak.

     "Sekiranya solat ini memberatkan hatiku kepada tidak, saya dengan redanya tidak melaksanakan apa yang sedang dirancang ini. Ini kerana petanda ataupun alamat daripada solat istikharah adalah alamat daripada Allah."

     Dalam solatnya Rabiah menyembahkan doa yang berbunyi, "Tuhan, sudah kudengari segala bunyian ciptaan-Mu, cicip si burung berselang-seli deruan angin, diserikan pula dengan desiran air, siulan lagu burung-burung, pusaran angin serta gegak gugur, petir berdentum menyambar, kini terbukti agungnya maha besar-Mu, sebagai bukti atas keesaan-Mu. Semua itu adalah petunjuk kepada khalifah-Mu, sungguh engkau yang paling perkasa, tiada tandingan mahupun sekutu."




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment