Monday 8 February 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 14 - KEMBALI KE BASRAH ]






KEMBALI KE BASRAH




"Betulkah kamu mahu tinggalkan rumah ini?" soal isteri majikannya dengan nada hiba.

     "Ya puan, saya dapat rasakan yang Allah sudah aturkan sesuatu untuk diri saya," jawab Rabiah.

     "Kami berharap sangat sekiranya kamu sudi tinggal di sini, sebagai anak kami," kata majikan lelakinya yang sudah semakin tua itu.

     "Rumah ini sudah menjadi separuh daripada kehidupan saya, mustahil saya boleh lupakan jasa baik kamu berdua. Saat orang lain susah mendapatkan kerja, saya diterima bekerja di sini. Itu adalah rahmat dan rezeki daripada Allah."

     "Tetapi kami zalim kepada kamu," kata majikan Rabiah itu dengan nada kesal.

     "Siapa yang tiada noda dosa, siapa pula yang tidak pernah buat silap. Namun yang penting sekarang, kalian sudah berubah dan bertaubat. Sesungguhnya Allah menyukai dan menyayangi orang yang selalu bertaubat dan orang yang sentiasa menyucikan diri mereka daripada dosa nista."

     "Baiklah, sekiranya begitu hajat kamu. Kami mahu tegaskan yang rumah ini juga rumah kamu. Kamu bebas datang pada bila-bila masa sahaja," kata isteri majikannya.

     "Jadi, apakah perancangan kamu seterusnya wahai Rabiah?" soal majikan lelakinya pula.

     Lama membisu, Rabiah bersuara, "Berkenaan perkara itu, saya serahkan kepada Allah kerana Dia yang selayaknya mengatur hidup saya."

     "Bagaimana kamu mahu menyara hidup? Sungguh kami risau memikirkan hal ini," kata majikan perempuannya.

     "Janganlah kalian risau, sesungguhnya saya mempunyai Allah. Dengan kebebasan yang diberikan oleh kamu berdua, apa lagi yang saya mahukan? Cukuplah dengan nikmat yang maha agung ini," jawab Rabiah.

     "Sekiranya begitu katamu, tiada apa lagi yang boleh kami cadangkan melainkan bertawakal kepada Allah," kata majikan lelaki Rabiah.

     Selepas melangkah keluar daripada rumah bekas majikannya, Rabiah hanya mengikut gerak hati dan kakinya melangkah. Sebenarnya Rabiah tiada tempat tuju yang tetap, namun dia tetap yakin Allah melorongkan kepadanya ruang-ruang rezeki bagi dia meneruskan kehidupan.

     Rabiah terus mengatur langkah dan dia semakin jauh meninggalkan rumah yang pernah menjadi neraka dunia untuk dirinya, kerana masa bagi bersama Kekasihnya yang amat terhad. Dia tidak punya ruang yang cukup mahu bermadu kasih dan melayarkan bahtera cintanya kepada Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

     Ketika Rabiah merayau-rayau tanpa hala tuju, tiba-tiba dia teringat kepada kampung halamannya di Basrah.

     "Ya Allah, aku sudah lama tidak pulang ke kampungku, tiba-tiba timbul rindu yang amat di hati ini. Barangkali kakak-kakakku sedang menungguku dan aku juga sudah lama teringin menziarahi kubur kedua orang tuaku." Rabiah bermonolog seraya berdoa kepada Allah.

     Rabiah berjaya mendapatkan pertolongan kabilah yang mahu ke Basrah. Dia menumpang kabilah itu ke Basrah. Selepas beberapa lama menempuhi perjalanan melalui padang pasir, akhirnya mereka sampai dan Rabiah segera ke rumah keluarganya yang sudah lama ditinggalkan.

     Namun hatinya sedikit hampa apabila mendapati ketiga-tiga kakaknya sudah tiada ada lagi di situ. Pondok ayah mereka juga seakan sudah lama tidak didiami orang.

     Rabiah cuba mendapatkan jiran-jiran dan bertanya tentang kakak-kakaknya, namun jawapan yang diterima hanya menambah kepiluan.

     "Sejak kehilangan adik bongsu mereka, mereka sudah tidak terurus. Mereka dilihat banyak termenung sahaja sebelum pergi dari sini entah ke mana," kata seorang jiran.

     "Setiap hari mereka mencari adik mereka tanpa menghiraukan makan dan minum. Mereka sangat sedih apabila gagal mencari adik bongsu mereka itu," terang jiran yang lain pula.

     "Saya rasa mereka sudah keluar dari Basrah kerana ada orang pernah mendengar yang mereka mahu mencari adik mereka itu di luar Basrah." Jiran yang lain pula menambah.

     Rabiah makan hati, namun tetap ditabahkan hatinya kerana dia sudah berjanji yang rasa sedih, suka, duka dan gembiranya hanya untuk Allah.

     "Mulai hari ini saya mahu tinggal di pondok ayah, tempat kenangan yang tidak pernah terluput dari hati. Tempat saya mengenal erti cinta dan kasih Allah kepada manusia. Terima kasih ayah, kerana memberikan saya didikan ini, sehingga saya menjumpai nikmat dan manisnya dalam setiap ibadat." Rabiah berkata dalam hati.

     Selepas mengemas pondok yang sudah lama ditinggalkan itu secara ala kadar, Rabiah teringat sesuatu.

     "Saya mesti mencari pekerjaan sebagai punca perbelanjaan harian kerana Rasulullah juga bekerja dan bukannya mengharap rezeki yang jatuh dari langit."

     "Namun kerja apa yang boleh saya lakukan?" Lama berfikir, Rabiah masih buntu apakah yang dia boleh lakukan.

     "Sekiranya saya minta kerja dengan orang lain, saya juga seperti saya menjadi hamba. Masa yang ada bagi beribadat kepada Allah juga terbatas."

     "Saya mesti bekerja sendiri, tetapi mahu kerja apa? Saya tiada modal mahu berniaga. Lagipun perniagaan dimonopoli oleh kaum lelaki. Selain itu berniaga juga mencuri waktuku bagi bermunajat kepada Allah." Rabiah terus-menerus berfikir.

     "Apa yang penting bagi saya adalah rezeki yang diperoleh itu halal, tiada syubhah walau sebesar zarah sekalipun. Selain itu, suasana di pasar yang amat bising dan bingit penuh dengan godaan kepada maksiat. Ramai juga peniaga yang tidak mengamalkan perniagaan cara Islam yang betul. Sekiranya saya bekerja dengan mereka, saya juga sebahagian daripada mereka," hujah Rabiah kepada dirinya sendiri.

     Ketika itu Basrah amat dipengaruhi oleh aliran sufi yang semakin berkembang. Salah seorang ulama yang berjaya mendapat perhatian penduduk Basrah adalah Syeikh Hasan bin Abi Hasan.

     Rabiah sedikit pelik apabila tiba ke Basrah kerana mendapati hampir kebanyakan orang Basrah berpakaian seperti orang zuhud. Ini seolah-olah menunjukkan mereka itu adalah pengikut tarekat sufi yang tegar kerana mereka dilihat tidak sesuai dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan kota Basrah itu sendiri.

     Rabiah mendapatkan seorang makcik lalu bertanya, "Apa yang sudah terjadi kepada penduduk Basrah?"

     Mak cik itu menjawab tenang, "Apa yang kamu fikirkan? Kamu pelik melihat penampilan kami yang sederhana di kota yang mewah ini?"

     Rabiah menceritakan apa yang berlaku kepada dirinya. Makcik itu kemudiannya berkata, "Sekiranya begitu, kamu bergabunglah dengan kumpulan-kumpulan zikir yang ada, dengan tunjuk ajar daripada Syeikh Hasan bin Abi Hasan."

     "Di manakah golongan sufi dan soleh ini menjalankan aktiviti mereka?" tanya Rabiah semakin teruja. Jauhari jua mengenal manikam. Pucuk dicita ulam mendatang.

     Begitulah keadaan Rabiah yang teruja mahu bergabung bersama mereka yang sehati sejiwa dengannya. Memuja dan memuji Allah saban waktu tanpa lelah dan penat, kerana tempat berehat bagi manusia adalah di dalam kubur kelak.

     Mak sik itu menjawab sambil menunjuk ke arah hujung kota. "Mereka mempunyai markas khas untuk tujuan itu. Markas itu sentiasa dipenuhi oleh orang ramai yang datang bagi menyertai majlis zikir. Ada juga yang terus tinggal di situ kerana mereka mendapat rezeki tanpa diminta. Ramai orang kaya yang sudi bersedekah bagi menyara makan minum mereka."

     Rabiah semakin berminat mahu mengetahui. "Apakah ada kaum wanita di sana?"

     "Ada, namun jumlahnya tidak ramai dan jarang-jarang kelihatan kerana kebanyakan yang berada di situ adalah lelaki."

     Rabiah terdiam kerana dia sedar ada halangan di situ.




N / F : DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

1 comment: