Sunday 29 May 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 9 - IMPIAN SEORANG ANAK ]






IMPIAN SEORANG ANAK








Dalam peperiksaan akhir, Hasan Al-Banna mendapat tempat pertama di Maktab Perguruan Damanhur, dan dapat tempat kelima terbaik dari maktab-maktab perguruan seluruh Mesir. Kejayaan itu bukan sahaja menggembirakan hati Hasan Al-Banna, malah menggembirakan keluarganya dan rakan-rakan dari kalangan ahli Tarekat Hasafiyah. Mereka yakin kejayaan itu adalah anugerah daripada Tuhan atas ketekunannya beribadat. Syeikh Farhat Salim seorang guru yang sangat menyayangi Hasan Al-Banna, menyuruhnya melajutkan pelajaran ke Darul Ulum.

     "Jangan kamu berpuas hati dengan kejayaan sekarang. Saya yakin kamu mampu meraih kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang. Kerana itu kamu perlu melanjutkan pelajaran ke Darul Ulum. Kamu layak memasukinya dan jangan melepaskan peluang ini. Ini adalah peluang sekali seumur hidup. Namun kamu bebas membuat keputusan sama ada mahu menolak ataupun menerimanya," kata Syeikh Farhat Salim lalu menyerahkan borang permohonan masuk ke Darul Ulum kepada Hasan Al-Banna.

     Hasan Al-Banna mengisi borang itu, kemudian diserahkan semula kepada Syeikh Farhat Salim bagi dihantar ke Darul Ulum. Beberapa hari kemudian, Hasan Al-Banna pulang ke Mahmodiyah untuk bersama dengan ayah, ibu, dan adik-beradiknya.

     Berita kejayaan Hasan Al-Banna mendapat tempat pertama di Maktab Perguruan Damanhur dan tempat kelima seluruh Mesir bukan sahaja menggembirakan keluarganya, malah jiran tetangga dan kawan-kawan yang mengenalinya. Kepulangan Hasan Al-Banna disambut dengan gembira. Imam Ahmad Al-Banna mengadakan kenduri kesyukuran.

     "Kami gembira mendapat kawan yang baik seperti kamu. Kamu masih seperti dahulu, tidak berubah walaupun sudah berjaya dalam pelajaran," puji Muhamad Afan Sakri.

     "Apa rancangan kamu selepas ini?" tanya Muhamad Afendi Dimyati pula.

     "Saya mahu melanjutkan pelajaran ke Darul Ulum," jawab Hasan Al-Banna.

     Kemudian Hasan Al-Banna bersama kawan-kawannya menghidupkan semula aktiviti membangunkan orang ramai untuk sembahyang subuh berjemaah di masjid. Seperti biasa, dia berdiri di tebing Sungai Nil bagi mendengar suara azan yang dilaungkan dari masjid-masjid. Itulah saat yang membahagiakannya.

     Sesekali Hasan Al-Banna juga sering diberi peluang melaungkan azan. Waktu yang paling membahagiakannya apabila berdiri di menara masjid melaungkan azan dengan suara yang nyaring.

     Imam Ahmad Al-Banna yang nampak bakat anaknya sebagai pemimpin dan pendakwah memberi peluang kepada Hasan Al-Banna bagi membaca khutbah ketika sembahyang Jumaat. Sekiranya dahulu beliau pernah membaca khutbah di dalam masjid seorang diri, kini dia membaca khutbah di hadapan orang ramai.

     Tidak lama kemudian, Hasan Al-Banna mendapat dua surat tawaran. Pertama dari Pejabat Pelajaran Daerah yang menawarkannya jawatan guru, dan kedua surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Darul Ulum. Dua tawaran itu membuatkan Hasan Al-Banna berfikir panjang sebelum membuat keputusan.

     "Apa tujuan kamu melanjutkan pelajaran di Darul Ulum? Adakah tujuan kamu hendak mendapatkan khazanah ilmu bagi membolehkan kamu menandingi para ulama terkenal? Ataupun kerana hendak bertengkar dengan orang-orang jahil, ataupun kerana mahu mengatasi orang lain supaya kamu dipandang hebat?" Pertanyaan demi pertanyaan itu sering melanda fikiran Hasan Al-Banna.

     Dia sedar, sesiapa yang menuntut ilmu bukan kerana mencari keredhaan Allah dan tidak mengamalkan ilmu itu, dia akan menerima balasan api neraka. Allah akan mengenakan seksaan yang berat kepada para ulama yang memiliki ilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya, dan Allah tidak memberi manfaat ilmunya itu kepada dirinya.

    Akhirnya Hasan Al-Banna membuat keputusan menolak tawaran sebagai guru kerana mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

     "Saya menolak tawaran menjadi guru kerana mahu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi ke Fakulti Darul Ulum," kata Hasan Al-Banna kepada ayah dan ibunya.

     "Mengapa memilih tempat itu?" tanya ibunya Fudhla.

     "Darul Ulum terkenal dengan gelaran 'Al-Azhar kecil'. Di sana penuntut diajar dengan cara ataupun kaedah moden. Antara kursus yang disediakan adalah perguruan, psikologi, falsafah, politik, ilmu kemasyarakatan, matematik, dan ilmu bahasa," jawab Hasan Al-Banna.

     Fudhla akur dengan pilihan anaknya itu. Namun ada sesuatu yang dia runsingkan. "Khabarnya Darul Ulum menerima pelajar yang umur 18 tahun ke atas. Umur kamu belum cukup 18 tahun lagi. Bagaimana sekiranya permohonan kamu ditolak? Pada masa yang sama, kamu sudah menolak jawatan sebagai cikgu."

     Dengan penuh yakin, Hasan Al-Banna menjawab, "Saya yakin Darul Ulum akan terima walaupun umur saya belum sampai 18 tahun."

     Ketika itu Imam Ahmad Al-Banna hanya berdiam diri mendengar perbualan. Beliau seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

     "Wahai ayahku, adakah ayah tidak bersetuju dengan pilihan saya?" tanya Hasan Al-Banna kepada ayahnya.

     Imam Ahmad Al-Banna memandang anaknya lalu berkata, "Ayah bersetuju dan menyokong pilihan kamu itu. Cuma ayah sedang memikirkan sesuatu."

     "Apa yang sedang ayah fikirkan?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Darul Ulum itu berada di Kaherah. Sekiranya kamu diterima masuk ke Darul Ulum, ayah mahu bawa keluarga kita berpindah ke Kaherah," jawab ayahnya.

     Terkejut Hasan Al-Banna mendengar kata-kata ayahnya itu lantas dia bertanya, "Bagaimana dengan kedai dan rumah kita di sini?"

     "Ayah akan jualkan kedai itu untuk dijadikan modal bagi memulakan kehidupan baru di Kaherah," jawab ayahnya.

     "Bagaimana pula dengan rumah kita ini?" tanya Hasan Al-Banna lagi.

     "Rumah ini ayah tidak akan jualkan," jawab ayahnya.

     "Bagaimana pula dengan jawatan imam di masjid?" tanya Hasan Al-Banna lagi.

     Imam Ahmad Al-Banna menerangkan, "Ayah akan serahkan kepada Mohsin. Dia layak menjadi imam setelah lama menjadi bilal."

     Suasana sepi seketika. Imam Ahmad Al-Banna memandang anaknya yang sedang termenung lalu bertanya, "Adakah kamu tidak setuju dengan keputusan ayah?"

     Hasan Al-Banna menggeleng lantas menjawab, "Jika ayah setuju dan menyokong keputusan saya, saya juga setuju dan menyokong keputusan ayah. Namun saya berpendapat, biarlah ayah dan keluarga kita pindah ke Kaherah pada masa yang sesuai."

     Imam Ahmad Al-Banna tidak dapat menangkat maksud kata-kata anaknya itu. Lalu dia bertanya, "Apa maksud kamu pada masa yang sesuai?"

     "Saya belum tentu dapat belajar di Darul Ulum. Apabila sudah berjaya belajar di sana, baru ayah bawa keluarga kita pindah ke sana. Nanti saya cari tempat yang sesuai untuk keluarga kita di Kaherah," jawab Hasan Al-Banna.

     Perlahan-lahan Imam Ahmad Al-Banna mengangguk setuju dengan cadangan anaknya itu. "Baiklah, ayah setuju."

     "Ibu ikut sahaja apa keputusan ayah kamu," kata Fudhla pula.

     Imam Ahmad Al-Banna rasa terharu. Dia memeluk anak sulungnya itu dengan rasa kasih sayang seorang ayah.

     "Sebelum saya diterima masuk ke Darul Ulum, saya perlu menjalani ujian pemeriksaan mata, ujian tulis, dan ujian lisan. Sekiranya lulus semuanya, barulah saya diterima masuk," kata Hasan Al-Banna.

     Dengan penuh yakin, Imam Ahmad Al-Banna berkata, "Ayah yakin kamu boleh lulus dalma ujian pemeriksaan mata, ujian lisan dan ujian bertulis itu."

     "Ibu juga akan mendoakan kejayaanmu," kata Fudhla, ibu Hasan Al-Banna.

     "Bagi menjalani ujian itu, saya perlu pergi ke Kaherah. Banyak perkara yang perlu saya fikirkan," kata Hasan Al-Banna pula.

     "Ayah akan menemani kamu ke Kaherah."

     Hasan Al-Banna menolak tawaran ayahnya itu dengan lembut. Dia berkata, "Saya akan pergi sendirian ke Kaherah. Saya cuma mahu memohon izin dan restu daripada ayah dan ibu."

     Fudhla berasa runsing dengan kehendak anaknya itu. Dia berkata, "Umur kamu masih muda dan belum pernah pergi ke Kaherah. Ibu berasa bimbang."

     Melihat kesungguhan anaknya itu, Imam Ahmad Al-Banna terpaksa akur. "Pada mulanya, ayah mahu ikut kamu pergi ke Kaherah. Tetapi kamu tidak setuju. Tidak mengapalah. Kebetulan ayah ada seorang kawan di Kaherah yang membuka kedai buku. Nanti ayah beri alamat kedainya dan ayah akan menulis surat kepadanya."

     Tiba-tiba wajah Fudhla kelihatan gembira lalu berkata, "Baru saya teringat, ada seorang saudara kita yang menjadi guru di Darul Ulum. Dia tentu boleh menolong anak kita masuk belajar di Darul Ulum."

     "Dalam perkara menuntut ilmu, elok kita terus meminta pertolongan daripada Allah. Sekiranya kita meminta pertolongan daripada makhluk, pasti berakhir dengan kekecewaan," kata Imam Ahmad Al-Banna pula.

     "Apa maksud ayah?" tanya Hasan Al-Banna pula.

     "Ayah masuk Universiti Al Azhar dahulu dengan kelayakan dan usaha sendiri iaitu selepas lulus ujian demi ujian. Ada seorang kawan ayah masuk universiti itu kerana dibantu oleh orang dalam. Dia masuk universiti bukan kerana dia layak, tetapi kerana dibantu dengan tidak mengikut peraturan. Akhirnya dia gagal kerana tidak dapat menerima pelajaran yang diajar kerana dia sememangnya tidak layak. Kerana itu ayah tidak mahu kamu meminta pertolongan kepada manusia untuk masuk ke Darul Ulum," jawab Imam Ahmad Al-Banna. 

     "Bagaimana pula dengan kawan ayah, penjual buku itu?" tanya Hasan Al-Banna pula.

     Imam Ahmad Al-Banna menerangkan maksud kata-katanya, "Tujuan ayah bukan minta dia bantu kamu masuk ke Darul Ulum. Cuma membantu kamu apa yang patut selama berada di Kaherah. Contohnya mencari tempat yang sesuai untuk kamu tinggal dan menunjuk jalan ke Darul Ulum. Pertolongan seperti itu dibolehkan."

     Terukir senyuman di wajah Fudhla apabila mendengar kata-kata suaminya itu. "Baru senang hari saya kerana di Kaherah nanti ada orang, tempat anak kita menumpang."

     "Dahulu kami sama-sama menuntut di Universiti Al Azhar. Dia terus tinggal di Kaherah menjadi penjual buku. Ayah pula pulang ke sini dan mencari rezeki dengan membuka kedai jam," kata Imam Ahmad Al-Banna.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment