Saturday 14 May 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 7 - DI MAKTAB PERGURUAN DAMANHUR ]






DI MAKTAB PERGURUAN DAMANHUR








Perbelanjaan membina Terusan Suez menyebabkan Mesir mengalami krisis kewangan yang tenat. Kerana itu Mesir terpaksa menjual sebahagian besar saham Terusan Suez kepada Inggeris. Di samping itu, Mesir juga meminjam wang dari Perancis dan tidak dapat membayar hutangnya. Akibatnya Inggeris dan Perancis campur tangan dalam pemerintahan Mesir.

     Atas desakan Inggeris, pemerintah Mesir mengeluarkan arahan supaya semua sekolah agama di seluruh negara Mesir diambil alih kerajaan, lalu diserahkan kepada kementerian pelajaran. Dengan itu, semua pelajar sekolah agama termasuk mata pelajarannya dipantau oleh pihak kementerian pelajaran.

     "Kerajaan Mesir akan mengambil alih semua sekolah agama dan menyerahkannya kepada kementerian pelajaran. Sukatan pelajaran akan mengikut kehendak kerajaan," beritahu Imam Ahmad Al-Banna kepada isterinya.

     Fudhla yang terkejut mendengar berita itu terus bertanya, "Bagaimana dengan anak kita yang sedang belajar di Al-Muallimin Al-Awalliyah?"

     "Dia cuma ada dua pilihan iaitu memasuki Maahad El-Dini, sebuah pusat pengajian yang berhubung terus dengan Universiti Al-Azhar ataupun memasuki Maktab Perguruan Damanhur bagi mendapat ijazah perguruan. Sekiranya dia belajar di Maahad itu, dia akan menjadi seorang ulama. Sekiranya dia memasuki Maktab Perguruan Damanhur pula, dia akan menjadi seorang guru," jawab Imam Ahmad Al-Banna.

     "Apa pilihan abang?" tanya Fudhla.

     "Hasan Al-Banna yang berhak membuat pilihan. Kita serahkan kepada dia untuk membuat pilihan," jawab Imam Ahmad Al-Banna.

     Hasan Al-Banna memilih untuk memasuki Maktab Perguruan Damanhur. Apabila ditanya mengapa dia memilih bidang itu? Jawabnya, anak bangsanya memerlukan pendidikan bagi menjadi insan yang berilmu pengetahuan.

     "Pada masa sekarang, ulama ditutup mulutnya oleh penjajah British. Mereka tidak berani lagi bersuara bagi menegakkan kebenaran," kata Hasan Al-Banna yang yakin pilihannya tepat.

     Tetapi timbul masalah kerana antara syarat untuk masuk ke Maktab Perguruan Damanhur, mesti berumur 14 tahun sedangkan Hasan Al-Banna ketika itu baru berumur 13 tahun. Syarat kedua perlu hafal seluruh kandungan Al-Quran sedangkan Hasan Al-Banna baru hafal separuh Al-Quran. Syarat yang ketiga pula perlu lulus ujian bertulis. Tetapi, Hasan Al-Banna tetap bertekad mahu masuk ke Maktab Perguruan Damanhur.

     Syeikh Dusuki Moosa, Pengetua Maktab Perguruan Damanhur memaklumkan, "Kamu belum cukup syarat untuk masuk ke Maktab Perguruan Damanhur ini."

     "Pada pendapat Tuan pengetua, antara tiga syarat itu yang mana paling penting?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Semua syarat itu adalah penting, tetapi sekiranya calon gagal ujian bertulis, permohonan mereka pasti ditolak," kata Syeikh Dusuki Moosa Pengetua Maktab Perguruan Damanhur.

     "Saya merayu kepada Tuan, izinkan saya menjalani ujian bertulis. Sekiranya gagal, saya berjanji tidak membuat rayuan lagi," kata Hasan Al-Banna bersungguh-sungguh.

     Pengetua Maktab Perguruan Damnhur itu kelihatan berfikir sejenak, kemudian beliau pun berkata, "Kebetulan pagi esok akan diadakan ujian bertulis kepada 100 orang calon yang memohon masuk maktab perguruan ini. Sekiranya mahu, kamu boleh menyertainya."

     Hasan Al-Banna berasa amat gembira. Pada malam itu, beliau membuat sembahyang sunat hajat serta berdoa supaya berjaya dalam ujian bertulis itu.

     Keesokan harinya, Hasan Al-Banna bersama 100 orang calon yang lain disuruh menjawab 100 soalan secara bertulis. Hasan Al-Banna berasa syukur kerana semua soalan itu dapat dijawabnya dengan tepat.

     Syeikh Dusuki Mossa berasa amat kagum kerana hanya Hasan Al-Banna yang dapat menjawab semua soalan dengan tepat. Pesaing terdekatnya, hanya dapat menjawab 90 soalan dengan tepat.

     Hasan Al-Banna berjumpa dengan pengetua lalu bertanya, "Oleh kerana saya sudah lulus dalam ujian bertulis itu, saya merayu dibenarkan masuk ke maktab perguruan ini."

     "Bagaimana dengan umur kamu?" tanya Syeikh Dusuki Moosa.

     "Cuma dua bulan lagi umur saya genap 14 tahun."

     "Kamu belum hafal seluruh kandungan Al-Quran," Syeikh Dusuki Mossa terus beralasan.

     "Saya berjanji akan menghafalnya dalam masa yang cepat," kata Hasan Al-Banna.

     Syeikh Dusuki Moosa seorang pengetua yang baik dan bertimbang rasa. Dia melihat Hasan Al-Banna seorang pelajar yang luar biasa dan sememangnya layak untuk menjadi seorang guru. Akhirnya Hasan Al-Banna dibenarkan masuk ke Maktab Perguruan Damanhur, dengan syarat dia perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi menghafal Al-Quran.

     Semasa berada di Maktab Perguruan Damanhur, Hasan Al-Banna belajar bersungguh-sungguh dan berazam menjadi calon guru yang cemerlang. Dia masih mendisiplinkan dirinya dengan bangun pada tengah malam untuk sembahyang tahajud, membaca Al-Quran dan berpuasa sunat.

     Semasa di Maktab Perguruan Damanhur, Hasan Al-Banna memakai jubah dan serban termasuk pada waktu kuliah. Dia diberi tugas mencatat kedatangan pelajar. Sesiapa yang tidak hadir kuliah, namanya dihantar kepada pengetua.

     Pada suatu hari beliau masuk ke bilik pengetua bagi menyerahkan senarai pelajar yang tidak hadir kuliah. Kebetulan ketika itu pengarah pelajaran berada di situ. Beliau melihat Hasan Al-Banna yang memakai jubah, serban serta sepatu orang yang mengerjakan haji.

     "Mengapa awak memakai pakaian sebegini?" tanya Syed Raghib, pengarah pelajaran Mesir.

     "Kerana pakaian ini mengikut sunah nabi," jawab Hasan Al-Banna tanpa berasa takut.

     "Adakah kamu mengamalkan sunah-sunah nabi yang lain ataupun hanya sunah seperti ini yang kamu lakukan?" tanya pengarah pelajaran.

     "Sunah-sunah yang lain saya masih tidak mampu amalkan kerana masih lemah. Hanya sunah ini yang mampu saya lakukan," jawab Hasan Al-Banna.

     Pengarah pelajaran itu kelihatan marah lalu berkata, "Kamu telah melanggar peraturan dan tatatertib maktab ini dengan berpakaian seperti ini."

     "Bagaimana boleh tuan menuduh saya melanggar peraturan dan tatatertib maktab, sedangkan tidak ada larangan saya memakai seperti ini. Antara tatatertib maktab adalah mengkehendaki saya hadir ke kelas tepat pada waktunya. Daripada segi ini, saya tidak pernah ponteng kuliah. Tatatertib maktab ini juga mewajibkan para penuntut berakhlak baik. Daripada sudut ini pun semua guru berpuas hati dengan akhlak saya. InsyaAllah. Sekiranya begitu, bagaimana saya boleh dituduh melanggar peraturan tatatertib maktab?" jawab Hasan Al-Banna.

     "Saya tidak suka melihat awak berpakaian seperti ini," kata pengarah pelajaran itu.
  
     Hasan Al-Banna terus menjawab dengan yakin, "Pakaian yang saya pakai ini tidak melanggar hukum agama kita. Saya akan terus memakainya."

     "Jika kamu berdegil, kamu akan dibuang dari maktab ini," gertak pengarah pelajaran.

     Hasan Al-Banna tidak cepat melatah. Dia bertanya, "Adakah termaktub dalam undang-undang maktab ini, boleh membuang pelajar yang berpakaian jubah dan serban? Apakah mereka juga akan diberhentikan kerja? Saya tidak bimbang sekiranya dibuang dari maktab ini. Tetapi maktab ini akan rugi dengan kehilangan seorang pelajar yang berakhlak baik, tidak pernah ponteng kuliah, dan cemerlang dalam pelajaran."

     "Jika begitu apabila kamu menamatkan pengajian di maktab ini nanti, kementerian pelajaran tidak akan melantik kamu sebagai guru atas alasan kamu berpakaian tidak senonoh di hadapan para pelajar," marah pengarah pelajaran.

     "Saya tidak bimbang kerana masa itu belum tiba lagi. Apabila ia tiba, kementerian pelajaran bebas mengambil tindakan dan saya juga bebas membuat keputusan saya. Rezeki saya tidak berada di tangan pengarah pelajaran ataupun di tangan kementerian pelajaran," balas Hasan Al-Banna.

     Pengarah pelajaran itu senyap tidak menjawab. Melihat keadaan itu, pengetua maktab menyuruh Hasan Al-Banna kembali ke kelas. Peristiwa itu habis begitu sahaja kerana selepas itu tidak ada apa-apa tindakan diambil terhadap Hasan Al-Banna.

     Di Maktab Perguruan Damanhur itu ada sebuah masjid. Hasan Al-Banna berusaha mengimarahkan masjid itu dengan mengajak kawan-kawannya solat berjemaah. Hasan Al-Banna bangun sebelum subuh dan menunaikan solat tahajud di masjid itu. Selepas itu beliau membangunkan kawan-kawannya dan mengajak mereka solat berjemaah di masjid. Saat yang paling menggembirakan hati Hasan Al-Banna adalah apabila mengalunkan azan. Suaranya sayup-sayup memecah keheningan pagi mengajak umat Islam sembahyang subuh berjemaah.

     Namun ada sesuatu yang menyentuh hati Hasan Al-Banna. Pensyarah di Maktab Perguruan Damanhur itu terdiri daripada orang Islam. Semua pelajar di situ hafal Al-Quran dan baik pengetahuan agama mereka. Tetapi dalam jadual waktu pelajaran, tetap tidak ada peruntukan waktu untuk sembahyang. Kerap terjadi jadul waktu bertembung dengan waktu solat zuhur dan asar.

     Hasan Al-Banna terpaksa bertegas. Apabila masuk waktu solat zuhur dan asar, beliau meminta izin daripada pensyarah untuk keluar dari kelas bagi menunaikan sembahyang. Beliau juga memohon kebenaran bagi melaungkan azan kerana waktu itu, penuntut lain sedang belajar.

     Ada antara guru dengan senang hati membenarkan permintaan itu, namun ada juga yang tidak setuju dan bertegas dengan jadul waktu yang sudah ditetapkan. Kepada guru-guru yang tidak setuju membenarkan pelajar pergi sembahyang pada awal waktu, Hasan Al-Banna akan berkata, tidak siapa boleh menghalang seseorang yang mahu menyembah Tuhannya. Tidak ada kepatuhan kepada makluk, pada perkara yang melibatkan penderhakaan kepada Allah.

     BIasanya guru itu akhirnya mengalah serta menbenarkan Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya sembahyang berjemaah di masjid.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment