Friday 13 May 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 6 - DI ALAM REMAJA ]






DI ALAM REMAJA








Di Madrasah Ar-Rasyad Ad-Diniyyah, Hasan Al-Banna terkenal sebagai seorang pelajar yang cemerlang. Dia dengan mudah dapat mengingati serta menghafal pelajaran yang diajar gurunya.

     Hubungan Hasan Al-Banna dengan gurunya, Syeikh Muhamad Zahran bertambah rapat. Melalui gurunya itu, dia dapat mendalami lagi ilmu Al-Quran serta menambah lagi hafalannya. Dia menjadi pelajar kesayangan gurunya. Pada suatu hari, Hasan Al-Banna dipanggil oleh Syeikh Muhamad Zahran.

     "Saya sudah meletak jawatan sebagai guru di sekolah ini kerana mahu menumpukan sepenuh masa dalam bidang dakwah," kata gurunya Syeikh Muhamad Zahran.

     Hasan Al-Banna terkejut mendengarnya lalu berkata, "Bagaimana pula dengan saya?"

     "Tidak lama lagi madrasah ini akan diambil alih oleh kerajaan. Sudah tentu sukatan mata pelajarannya berubah. Kerana itu saya mencadangkan kamu berpindah ke Madrasah Al-Muallimin Al-Awalliyah di Damanhur. Hanya di sana masih ada kelas menghafal Al-Quran," kata Syeikh Muhamad Zahran.

     "Saya tidak tahu apakah ayah setuju...," kata Hasan Al-Banna pula.

     "Katakan kepada ayah kamu, saya yang mencadangkan. Saya mahu kamu terus menghafal Al-Quran hingga habis 30 juzuk," kata Syeikh Muhamad Zahran.

     "Madrasah Ar-Rasyad Ad-Diniyyah ini Tuan Guru yang mengasaskannya. Mengapa dengan mudah diambil alih oleh kerajaan dan Tuan Guru disingkirkan?" tanya Hasan Al-Banna lagi.

     "Saya tidak disingkirkan tetapi meletak jawatan secara sukarela kerana mahu menumpukan kepada kegiatan dakwah," jawab Syeikh Muhamad Zahran.

     "Tuan guru benarkah Madrasah Ar-Rasyad Ad-Diniyyah ini diambil alih kerajaan?"

     "Saya tidak mahu bermusuhan dengan pihak yang berkuasa. Tambahan pula semua sekolah persendirian diambil alih oleh pihak kerajaan. Mata pelajarannya ditentukan pihak kementerian pelajaran. Kerana itu saya memilih untuk meletak jawatan," jawab Syeikh Muhamad Zahran.

     Pulang ke rumah Hasan Al-Banna terus memaklumkan berita itu kepada ayah dan ibunya. Mereka juga agak terkejut mendengarnya, namun tidak dapat berbuat apa-apa.

     "Saya mahu berpindah belajar di Madrasah Al-Muallimin Al-Awalliyah," kata Hasan Al-Banna kepada ayah dan ibunya.

     "Madrasah Ar-Rasyad Ad-Diniyyah itu dekat dengan rumah kita," kata Imam Ahmad Al-Banna. Dia tidak setuju Hasan Al-Banna berpindah ke sekolah lain.

     "Sekolah itu akan diambil alih oleh pihak kerajaan dan diserahkan kepada kementerian pelajaran. Kerana itu sukatan pelajarannya pasti berubah mengikut sekolah moden yang lain," kata Hasan Al-Banna lagi.

     "Ayah lebih suka kamu bersekolah di situ," begitu kata putus dari Imam Ahmad Al-Banna.

     Hasan Al-Banna tidak mahu membantah keputusan ayahnya dan dia terpaksa akur. Apabila Madrasah Ar-Rasyad Ad-Diniyyah diambil alih oleh kerajaan, maka dihantarnya guru-guru baru untuk mengajar di sekolah itu. Hasan Al-Banna tidak suka dengan cara guru-guru itu mengajar kerana berbeza dengan Syeikh Muhamad Zahran.

     "Saya merayu kepada ayah supaya benarkan saya belajar di Madrasah Al-Muallimin Al-Awalliyah," kata Hasan Al-Banna merayu kepada ayahnya.

     "Ayah mahu kamu menjadi penghafaz Al-Quran. Kerana itu ayah mahu kamu terus belajar di Madrasah Ar-Rasyad Ad-Diniyyah," kata Imam Ahmad Al-Banna.

     "Syeikh Muhamad Zahran tidak lagi mengajar di Madrasah Ar-Rasyad Ad-Diniyyah. Pihak kementerian pelajaran menghantar guru baru. Saya tidak berminat dengan pelajaran yang mereka ajar," kata Hasan Al-Banna pula.

     Imam Ahmad Al-Banna menyatakan kerisauannya, "Jika kamu berpindah ke Madrasah Al-Muallimin Al-Awalliyah, ayah bimbang kamu tidak dapat lagi menghafal Al-Quran. Ayah mahu kamu menjadi seorang hafiz."

     "Saya berjanji akan terus menghafal Al-Quran. Sekarang pun saya sudah berjaya menghafal separuh daripada kandungan Al-Quran," kata Hasan Al-Banna.

     "Sekiranya ayah bersetuju, apakah pihak madrasah itu membenarkan kamu belajar di situ? Setahu ayah, hanya mereka yang berumur 14 tahun ke atas yang diterimanya," kata Imam Ahmad Al-Banna ragu-ragu.

     "Saya yakin mereka boleh terima kerana Syeikh Muhamad Zahran kenal baik dengan pengetua madrasah itu," kata Hasan Al-Banna dengan penuh yakin.

     Imam Ahmad Al-Banna akhirnya bersetuju dengan kehendak Hasan Al-Banna. Begitu juga dengan isterinya Fudhla. Keesokan harinya, Hasan Al-Banna dihantar oleh ayahnya ke Madrasah Al-Muallimin Al-Awalliyah yang terletak agak jauh dari rumah mereka.

     Seperti yang dijangka, pihak Madrasah Al-Muallimin Al-Awalliyah pada mulanya berasa ragu-ragu untuk menerima Hasan Al-Banna belajar di situ kerana umurnya belum mencapai 14 tahun, dan tahap pengajian di situ lebih tinggi daripada Madrasah Ar-Rasyad Ad-Diniyyah.

     "Saya patuh dengan permintaan guru saya, Syeikh Muhamad Zahran yang mahu saya belajar di sekolah ini," kata Hasan Al-Banna.

     "Bagi berlaku adil, pihak kami akan membuat ujian terhadap kamu. Sekiranya berjaya, barulah kamu diterima belajar di sini," kata Mahmood Rusydi, pengetua Madrasah.

     "Saya sudah bersedia," kata Hasan Al-Banna dengan penuh yakin.

     Kemudian pengetua madrasah itu memberi Hasan Al-Banna seratus soalan mengenai hukum fikah dan sejarah Islam. Keputusannya memeranjatnya apabila Hasan Al-Banna dapat menjawab kesemua soalan dengan tepat.

     "Ujian kedua, kamu diminta membaca surah surah daripada Al-Quran yang kamu sudah hafal," pinta pengetua lagi.

     Ketika itu walaupun umurnya baru 13 tahun, Hasan Al-Banna sudah dapat menghafal 15 juzuk Al-Quran. Pengetua dan guru Al-Muallimin Al-Awalliyah berasa kagum dengan kebolehan Hasan Al-Banna lalu beliau diterima belajar di sekolah itu.

     Pengetua madrasah itu menyatakan kekagumannya kepada Imam Ahmad Al-Banna, "Saya hairan bagaimana anak Tuan boleh menjawab semua soalan dengan tepat. Dan yang buat saya berasa amat kagum, apabila dia sudah hafal separuh daripada kandungan Al-Quran."

     Dengan rendah hati, Imam Ahmad Al-Banna menjawab, "Di rumah saya ada perpustakaan yang mengandungi pelbagai jenis buku. Sejak Hasan Al-Banna pandai membaca, dia sudah membaca buku sejarah Islam dan buku fekah. Saya juga mengajarnya menghafaz Al-Quran. Kemudian dia belajar dengan Syeikh Muhamad Zahran di Madrasah Ar-Rasyad Ad-Diniyyah."

     "Syeikh itu ada memberitahu tentang seorang anak muridnya yang mahu berpindah ke sini. Tetapi bagi berlaku adil, saya tetap adakan ujian bagi mengetahui setakat mana kebolehannya," kata Mahmood Rusydi, pengetua Madrasah itu.

     Hasan Al-Banna mendapati pelajar di Madrasah Al-Muallimin Al-Awalliyah tidak berdisiplin, suka bertengkar, dan bergaduh. Keadaan itu amat tidak menyenangkan hatinya. Akhirnya beliau menemui seorang guru bernama Muhammad Afandi. Walaupun guru itu mengajar mata pelajaran matematik, namun beliau seorang yang warak, dan pihak sekolah melantiknya menjadi guru disiplin. Di depan guru itu, Hasan Al-Banna mengemukakan pendapatnya bagi mendisiplinkan pelajar di Madrasah Al-Muallimin Al-Awalliyah.

     Ekoran daripada pertemuan itu, Cikgu Muhammad Afandi menubuhkan persatuan sekolah yang dinamakan 'Jam'iyyatul Akhlak Al-Abadiah'. Tujuannya untuk menjaga adab dan tatatertib pelajar sekolah itu. Beliau sendiri menjadi setiausaha dan meminta penuntut sendiri melantik jawatankuasa kerja. Hasan Al-Banna dilantik menjadi Yang Dipertua.

     Kemudian Cikgu Muhammad Afandi merangka undang-undang persatuan tersebut. Antaranya:

     1.     Pelajar Madrasah Al-Muallimin Al-Awalliyah dilarang bertengkar atau bergaduh. 
            Sesiapa yang menyakiti saudaranya, dia akan didenda satu Milyam. Sesiapa yang 
            memburukkan bapanya sendiri akan didenda dua Milyam. Sesiapa yang kurang
            sopan terhadap ibunya sendiri akan didenda, dua Qursh. Sesiapa yang bertengkar
            dengan sahabatnya sendiri, didenda dua Quraish.

     2.     Sekiranya Yang Dipertua dan ahli-ahli jawatankuasa yang melakukan kesalahan,
             dendanya dua kali ganda lebih daripada ahli biasa. Pelajar yang melanggar 
             undang-undang peraturan tetapi tidak mahu membayar denda akan dipulau oleh 
             anggota yang lain sehingga dia patuh semula. Bayaran denda yang dikumpulkan 
             akan digunakan untuk kebajikan orang ramai.

     3.     Setiap ahli persatuan dikehendaki menasihati sesama mereka supaya berpegang
             teguh pada agama, menunaikan sembahyang pada waktunya, mematuhi perintah
             Allah dan Rasul-Nya, mentaati ibu bapa, dan menghormati orang-orang tua.

     Selepas tiga bulan berlalu, ramai penuntut yang melanggar peraturan itu dan mereka membayar denda yang dikenakan sehingga jumlahnya lebih 200 Qursh.

     Pada suatu hari, seorang pelajar sekolah itu bernama Labib Iskandar berpindah ke sekolah lain kerana mengikut abangnya, seorang doktor yang bertukar tempat bertugas. Hasan Al-Banna mengadakan mesyuarat dan mereka bersetuju, duit yang terkumpul itu digunakan untuk jamuan perpisahan.

     Tidak lama kemudian, pihak sekolah dan pelajar menjadi gempar apabila mayat seorang lelaki yang mati lemas di Sungai Nil terdampar berhampiran pagar sekolah. Lelaki itu adalah seorang yang miskin dan hidup sebatang kara kerana tidak mempunyai keluarga.

     Sekali lagi pihak persatuan mengadakan mesyuarat, dan mereka bersetuju wang yang terkumpul itu digunakan bagi membiayai pengebumian lelaki itu.

     Kegiatan persatuan badan Latihan Akhlak itu menarik perhatian pemimpin Tariqat Hasafiyah. Mereka menemui Hasan Al-Banna lalu menawarkan diri menjadi ahli mereka. Beliau akhirnya mengagumi tokoh utama tariqat itu yang bernama Syeikh Abdul Wahab al Hasafi. Hasan Al-Banna sering menghadiri majlis ilmu yang diadakan di Masjid Al-Tawbah. Bagi meningkatkan kemahirannya berpidato dan menulis, Hasan Al-Banna berjaya menghafal 18,000 bait puisi Arab dan beribu-ribu hadis.

     Walaupun Hasan Al-Banna berpegang kuat pada fahaman sufi, namun beliau tidak setuju cara hidup ahli sufi yang melampau dan berlebihan. Antara yang tidak dipersetujui beliau adalah amalan uzlah atau mengasingkan diri daripada kehidupan bermasyarakat.

     "Uzlah itu perlu sekali-sekala tetapi bukan secara berlebihan sehingga melebihi garisan syariah Islam. Uzlah itu baik tetapi jangan sampai tidak mahu bergaul dengan masyarakat kerana umat Islam hidup bermasyarakat," kata Hasan Al-Banna kepada kawan-kawannya yang mahu beruzlah.

     Hasan Al-Banna juga sangat mementingkan akhlak terutama dalam kalangan pelajar. Kerana itu beliau bersetuju memimpin 'Jami'atul Akhlaqui Adabiyah'.

     Pada suatu hari, semasa dalam perjalanan pergi ke Masjid Al-Tawbah bagi menghadiri majlis zikir, Hasan Al-Banna terdengar suara hilai ketawa dari balik semak di tepi jalan. Apabila dia mengintai, kelihatan sepasang anak muda sedang bercengkerama. Hasan Al-Banna bertempik marah lalu kedua-dua anak muda itu segera beredar dari situ.

     Kejadian itu membuat Hasan Al-Banna berfikir bagaimana cara untuk membendung maksiat seperti itu. Dia mengadakan perbincangan dengan kawan-kawannya, namun tidak mendapat kata putus.

     "Tujuan persatuan latihan akhlak ditubuhkan adalah bagi menjaga disiplin pelajar di luar sana," kata guru mereka yang tidak setuju dengan cadangan Hasan Al-Banna supaya persatuan itu turut memantau masyarakat di luar sekolah.

     Hasan Al-Banna tidak berpuas hati dengan kegiatan kebajikan yang terhad di sekolah sahaja. Dia mahukan kegiatan yang lebih meluas. Kerana itu beliau meluahkan perasaan itu kepada kenalannya, Ustaz Muhammad Ali Budayyar, Ustaz Abdul Rahman Sa'ati, dan Ustaz Sa'id Budayyar. Rupa-rupanya pandangan yang sama turut dirasai oleh tiga kenalannya itu.

     "Kita berempat masih belum mencukupi. Kita perlukan lebih ramai ahli dan penyokong," kata Hasan Al-Banna.

     "Mari kita sama-sama berusaha mendapatkannya," kata Ustaz Muhammad Ali Budayyar yang kelihatan begitu bersemangat.

     Tidak lama kemudian, mereka mendapat sokongan daripada 50 orang lelaki yang mempunyai cita-cita yang sama, iaitu mengajak orang ramai kembali kepada ajaran Islam. Mereka mengadakan perbincangan dan bersepakat menubuhkan satu persatuan Islam yang bernama Jam'iyyatul Man'i Muharramat'.

     "Tempat yang paling berkesan mendidik dan memberi peringatan terhadap orang ramai adalah melalui khutbah Jumaat di masjid. Kerana itu kita pastikan khutbah yang dibaca bersesuaian dengan isu semasa," kata Hasan Al-Banna mencadangkan.

     Ustaz Abdul Rahman Sa'ati mencadangkan, "Saya cadangkan kita sediakan khutbah Jumaat, kemudian diberikan kepada imam untuk dibacakannya."

     "Ada dalam kalangan kita yang berilmu pengetahuan dalam bidang agama, dan ada pula yang pandai menulis. Sekiranya kita bekerjasama, pasti boleh menghasilkan khutbah yang baik," kata Ustaz Said Budayyar pula.

     "Selain itu kita juga memerlukan duit bagi kos mencetak khutbah Jumaat itu. Kerana itu saya cadangkan setiap ahli menderma antara 5 hingga 10 Milyam seminggu," cadang Ustaz Muhammad Ali Budayyar dan mereka bersetuju dengan candangan itu.

     Kemudian dibahagikan tugas dalam kalangan ahli-ahli persatuan mengikut kemahiran masing-masing. Ada antara mereka bertugas menyediakan khutbah Jumaat. Sementara yang lain pula ditugaskan menyemak serta menyuntingnya, dan sebahagian lagi ditugaskan untuk mencetaknya, dan selebihnya ditugaskan menjadi pengedar. Usaha mereka itu mendapat mendapat kerjasama semua imam masjid di Mahmodiyah. Mereka membacakan teks khutbah yang disediakan itu pada setiap hari Jumaat.

     "Hanya mereka yang datang ke masjid dapat mendengar khutbah yang dibacakan. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak datang? Bagaimana kita mahu memberi nasihat kepada mereka?" tanya Ustaz Muhammad Ali Budayyar pula.

     "Saya setuju dengan pandangan itu. Persatuan ini perlu meluaskan kegiatannya dengan melarang orang ramai daripada terlibat dengan amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam. Kita mahu umat Islam mengamalkan cara hidup Islam supaya mereka bahagia di dunia dan akhirat," kata Hasan Al-Banna.

     "Saya setuju cuma persoalannya, apabila kita melihat orang melakukan maksiat, apa tindakan yang akan kita lakukan?" tanya Ustaz Said Budayyar pula.

     Ustaz Abdul Rahman Sa'ati memberi candangan, "Kita tangkap dan hantar ke balai polis."

     Hasan Al-Banna menggeleng lantas berkata, "Cara itu tidak memberi kesan kerana pihak polis pasti melepaskannya kerana perbuatan itu tidak dikira jenayah. Itu akibatnya apabila undang-undang Islam diganti undang-undang barat."

     Ustaz Abdul Rahman Sa'ati terus bertanya, "Jika begitu, apa cadangan kamu?"

     "Agama itu adalah nasihat. Kita beri nasihat kepada mereka yang melakukan maksiat supaya perkara itu tidak berulang lagi," jawab Hasan Al-Banna.

     "Bagaimana kita mahu pastikan mereka tidak melakukannya lagi? Sekiranya mereka melakukan lagi, apa tindakan kita seterunya," tanya Ustaz Murad pula.

     Hasan Al-Banna menjawab, "Tugas kita hanya memberi nasihat. Sekiranya mereka tidak menerimanya bukan salah kita lagi."

     Sekali lagi Ustaz Abdul Rahman Sa'ati bertanya, "Adakah kita sanggup memberi nasihat kepada mereka yang lebih dewasa daripada kita? Adakah mereka mahu mendengar nasihat kita?"

     "Saya cadangkan, kita lakukan secara bijaksana dan rahsia," jawab Hasan Al-Banna.

     "Bagaimanakah caranya?" tanya yang lain pula.

     "Kita memberi nasihat kepada mereka yang melakukan maksiat itu secara rahsia. Caranya itu dengan menulis surat kepada mereka dan kita tidak meletakkan nama penulis dan pengirim surat itu," jawab Hasan Al-Banna.

     Ustaz Murad menyangkal cadangan itu lantas berkata, "Bukankah itu namanya surat layang? Surat itu tidak boleh dipertanggungjawabkan. Penerima surat itu berhak tidak membacanya atau mempercayainya."

     "Kandungan surat itu berupa nasihat yang baik. Semoga mereka insaf selepas membacanya. Tetapi sekiranya mereka tidak membacanya ataupun membuang surat itu, sekurang-kurangnya kita sudah berusaha menasihati mereka," terang Hasan Al-Banna.

     Akhirnya mereka setuju dengan cadangan itu. Sejak itu mereka akan mengirim surat kepada mereka yang didapati melakukan maksiat ataupun melanggar hukum Islam. Surat itu dikirim secara rahsia dan tidak dihebahkan kepada orang ramai. Pada surat itu juga tidak dinyatakan nama pengirimnya. Tujuannya supaya penerima surat itu sedar dan insaf atas kesalahannya.

     "Kita dapat melihat ramai wanita Islam tidak menutup aurat apabila keluar dari rumah. Itu hukumnya haram kerana setiap wanita wajib menutup auratnya," kata Hasan Al-Banna dalam satu mesyuarat dengan ahli persatuannya.

     "Saya cadangkan kita tulis surat dan kirimkan kepada mereka." Ustaz Amran mencadangkan.

     "Siapa yang akan menulis surat itu dan siapa yang sanggup menghantarnya?" tanya Usatz Murad pula.

     Hasan Al-Banna menawarkan diri. "Saya sanggup menulis surat itu."

     "Saya pula sanggup menghantar surat itu kepada penerimanya," kata Ustaz Ismail pula.

     "Bagaimana kamu mahu melakukannya?" tanya Ustaz Murad.

     "Surat itu boleh dihantar melalui pos ataupun saya akan letakkan surat itu di dalam peti surat rumah mereka pada waktu malam," jawab Ustaz Ismail.

     Sejak hari itu, ramai wanita yang keluar dari rumah tidak menutup aurat menerima surat yang menasihati mereka supaya menutup aurat. Ada antara mereka yang insaf lalu menutup aurat mereka. Namun ada juga yang masih berdegil dan tidak mengendahkan surat itu.

     "Saya dapati beberapa orang lelaki kaya dan berpangkat besar memakai cincin emas di jadi mereka. Hukumnya adalah haram. Kita mesti mengirim surat kepada mereka bagi menegur perbuatan itu," kata Hasan Al-Banna.

     Sejak lelaki yang memakai cincin emas, menerima surat yang menasihati mereka supaya tidak lagi memakainya. Ada antara mereka yang insaf lalu tidak lagi memakainya.

     "Tanggungjawab kita juga menegur serta menasihati mereka yang meminum arak. Hantarkan juga surat kepada mereka," kata Hasan Al-Banna.

     Perintah itu segera dituruti. Mereka yang minum arak akan menerima surat yang menegah mereka supaya jangan meminumnya lagi. Selain itu persatuan itu juga menghantar surat kepada penari-penari kelab malam.

     Persatuan itu juga melekatkan poster dengan tulisan 'Allah melihat apa yang kamu buat' pada dinding dan tembok bangunan. Orang ramai tertanya-tanya siapa yang menulis poster itu dan siapa pengirim surat rahsia.

     Mereka yang tidak senang hati dengan pengiriman surat itu berusaha menjejaki siapa pengirimnya. Satu perangkap diatur bagi menjayakan tujuan mereka. Mereka berkumpul di sebuh kedai kopi dan memanggil seorang penyanyi untuk membuat persembahan. Ustaz Ismail ditugaskan menghantar surat kepada tuan punya kedai kopi itu. Semasa Ustaz Ismail mahu menyerahkan kepada tuan kedai kopi itu, dia ditangkap. Bagi menyelamatkan kawan-kawannya, Ustaz Ismail mengaku dia sendiri yang menulis surat itu tanpa bantuan orang lain. Akibatnya Ustaz Ismail dipukul hingga cedera sebelum dilepaskan. Sejak peristiwa itu, Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya terpaksa menghentikan penghantara surat rahsia itu.

     Pada suatu hari, selepas sembahyang subuh dan mengulang kaji pelajarannya, Hasan Al-Banna berjalan kaki di tebing Sungai Nil untuk menyaksikan keindahan alam pada waktu pagi. Sambil kakinya melangkah menyusuri tebing sungai itu, mulutnya berzikir memuji Tuhan.

     Tiba-tiba matanya melihat sebuah kapal yang sedang berlabuh. Pada tiang kapal itu terpaku sebuah patung kayu wanita bogel. Kerana patung itu bersaiz besar, orang ramai dapat melihatnya dari jauh. Hasan Al-Banna beristighfar apabila melihat keadaan itu. Hatinya berasa sakit apabila melihat beberapa orang pemuda melihat patung itu dari dekat. Mereka kedengaran tertawa berdekah-dekah.

     Sebagai pemimpin Persatuan Mencegah Maksiat, Hasan Al-Banna tidak boleh membiarkan perkara itu begitu sahaja. Dia perlu bertindak dengan segera untuk mencegahnya. Selepas agak lama berfikir, akhirnya Hasan Al-Banna pergi ke Balai Polis bagi membuat laporan.

     Dalam laporannya, Hasan Al-Banna meminta pihak polis bertindak dengan menyuruh kapten kapal itu menurunkan patung itu. Sekiranya pihak polis tidak bertindak, orang ramai akan bertindak sendiri.

     "Tidakkah Tuan tahu setiap kali berlaku perkara maksiat di Mahmodiyah ini, akan ada yang menghantar surat menegurnya. Sekiranya Tuan tidak bertindak, saya yakin Tuan juga akan menerima surat itu dan salinannya akan dihantar kepada Ketua Polis Negara Mesir," kata Hasan Al-Banna.

     "Tidak perlu menulis surat kerana saya akan mengatasi perkara ini," kata pegawai polis itu memberi jaminan.

     Kemudian pegawai polis itu menemui kapten kapal, lalu menyuruhnya menurunkan patung yang diikat pada tiang kapal itu. Kemudian anggota polis itu pergi ke sekolah berjumpa dengan pengetua. Keesokan harinya semasa pelajar sedang berkumpul di dalam dewan, pengetua Madrasah Al-Muallimin Al-Awalliyah memuji Hasan Al-Banna di depan pelajar dan guru sekolah itu.

     "Hasan Al-Banna, pelajar sekolah ini telah memberi contoh yang baik. Dia memberikan kerjasama dengan pihak polis bagi mencegah perkara maksiat yang berlaku di tempat kita ini," puji Mahmod Rusydi, Pengetua Madrasah Al-Muallimin Al-Awalliyah.

     Nama Hasan Al-Banna semakin dikenali ramai. Tambahan pula apabila penduduk Mahmodiyah tahu siapa di sebalik penghantaran surat rahsia. Ada yang menganggap Hasan Al-Banna adalah wira kerana berjaya mencegah maksiat di tempat mereka.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.



No comments:

Post a Comment