Friday 27 May 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 8 - HASAN AL-BANNA DAN TAREKAT HASAFIYAH ]






HASAN AL-BANNA DAN TAREKAT HASAFIYAH








Pada suatu malam, Hasan Al-Banna yang ketika itu masih belajar di Maktab Perguruan Damanhur diajak oleh kawan-kawannya pergi ke sebuah majlis kecil, yang menjadi tempat berkumpul ahli-ahli Tarekat Hasafiyah. Di sana dia melihat ramai ulama dan pemuda yang soleh hadir. Mereka memberi layanan yang baik terhadap Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya.

     Selepas sembahyang maghrib, sementara masuknya waktu isyak, mereka berzikir dengan irama yang merdu. Selepas sembahyang isyak, mereka terus berzikir sehingga menjelang tengah malam. Mereka bangun keesokan harinya sebelum subuh.

     Hasan Al-Banna tertarik dengan apa yang dilihat dan didengarnya, menyebabkan beliau sering datang ke majlis kecil itu. Akhirnya terjalin hubungan yang erat antara Hasan Al-Banna dengan ahli Tarekat Hasafiyah. Hasan Al-Banna bersahabat dengan Syeikh Syalbi Ar-Rijal, Syeikh Muhammad Abu Syousyah, dan Syeikh Syed Uthman. Selain itu beliau bersahabat juga dengan pendakwah-pendakwah muda seperti Muhammad Afandi Dimyatee, Sowi Afandi As-Sowi, Abdul Mut'al Afandi Sankal, dan Ustaz Ahmad Sakri.

     Pergaulan rapatnya dengan ahli-ahli Tarekat Hasafiyah itu meninggalkan kesan yang hebat kepada kehidupan Hasan Al-Banna. Beliau semakin tekun beramal ibadat namun tugas sebagai pelajar tidak diabaikannya. Malah menguatkan lagi semangatnya untuk belajar dan beribadat dengan bersungguh-sungguh. Syeikh Hasnain Hasafi mempengaruhi jiwanya dan hatinya berasa sangat gembira apabila mendengar nama itu.

     Selain itu Hasan Al-Banna juga tertarik dengan amalan wirid 'Wazifah ar Ruzooqiyah' yang diamalkan oleh ahli-ahli Tarekat Hasafiyah. Sebelum itu dia meminta pendapat ayahnya, Imam Ahmad Al-Banna mengenai wirid itu. Kata ayahnya, kalimah dalam wirid 'Wazifah Ar-Ruzooqiyyah' itu diambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan tidak terdapat ayat-ayat yang ganjil. Selepas itu barulah Hasan Al-Banna mengamalkannya pada waktu pagi dan petang. Tujuan mengamalkan zikir itu adalah bagi menerangkan hati serta menyucikannya daripada sifat yang keji.

     Sebagai pelajar yang cerdik, Hasan Al-Banna tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu fahaman sebelum mengkajinya terlebih dahulu. Beliau tertarik kerana bekas gurunya yang pertama di Madrasah Al-Rasyad, Syeikh Muhamad Zahran adalah pengikut Tarekat Hasafiyah. Gurunya itu juga sering diundang untuk berceramah di majlis kecil, tempat berkumpulnya ahli-ahli Tarekat Hasafiyah.

     Hasan Al-Bannah mengkaji tokoh yang mengasaskan Tarekat Hasafiyah. Namanya Syeikh Hasnain Al-Hasafi seorang ulama Universiti Al-Azhar yang terkenal sebagai orang yang alim. Beliau mahir dalam Ilmu Fiqh Mazhab Syafie dan Ihya Ulumuddin karangan Imam Ghazali. Bleiau juga seorang ulama yang luas pembacaannya dan terkenal dengan kebijaksanaannya.

     Syeikh Hasnain Al-Hasafi seorang yang tekun beribadat. Beliau sembahyang lima waktu tepat pada waktunya dan banyak masanya dihabiskan dengan berzikir dan membaca Al-Quran. Beliau seorang yang terkenal dengan sifat warak dan bertakwa. Beliau mengerjakan umrah dan haji beberapa kali. Para sahabatnya tidak dapat mencari orang lain yang lebih bertakwa, mematuhi ajaran Allah, menunaikan segala perkara-perkara yang wajib, serta sentiasa memelihara perkara-perkara sunat, selain Syeikh Hasnain Al-Hasafi.

     "Syeikh Hasnain Al-Hasafi seorang yang kuat beribadat. Beliau tidak pernah meninggalkan ibadat sunat apatah lagi ibadat wajib, dan terus melakukannya sehingga akhir hayatnya," kata Syeikh Muhammad Abu Syaousyah.

     "Apa pula pandangan beliau mengenai amalan-amalan bidaah yang banyak terdapat dalam masyarakat kita sekarang?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Syeikh Hasnain Al-Hasafi sangat menentang amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam. Beliau menyuruh pengikutnya beramal dengan amalan-amalan yang berlandaskan Al-Quran dan hadis. Beliau juga menentang perkara bidaah yang cuba menyusup masuk ke dalam amalan-amalan Tarekat Sufi. Syeikh Hasnain Al-Hasafi menyeru manusia melakukan kebaikan serta melarang manusia daripada melakukan kemungkaran. Dalam usahanya menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar, beliau tidak takut kepada sesiapa pun," jawan Syeikh Muhammad Abu Syaousyah.

     Menurut ceritanya, pada suatu hari Syeikh Hasnain Al-Hasafi dijemput untuk bertemu untuk bertemu dengan Perdana Menteri Mesir, Riyadh Basya dan beliau memenuhi undangan itu. Selain Syeikh Hasnain Al-Hasafi, ada beberapa orang ulama lagi yang turut dijemput. Salah seorang daripada mereka menundukkan kepala tanda hormat apabila bertemu dengan Perdana Menteri.

     Syeikh Hasnain Al-Hasafi menegurnya dengan berkata, "Lebih baik terus tegak berdiri kerana Islam tidak membenarkan kita tunduk rukuk selain di hadapan Allah. Janganlah kau mencemar Islam dengan ilmu yang ada padamu, kelak nanti Allah akan mencemarmu di akhirat."

     Tidak lama kemudian, masuk pula seorang lelaki kaya, kawan baik kepada Perdana Menteri dengan cincin emas pada jarinya sambil memegang tongkat yang kepalanya disaluti emas.

     Syeikh Hasnain Al-Hasafi menegur dengan berhemah, "Saudaraku, tidakkah engkau tahu hanya kaum wanita yang diharuskan memakai emas. Adapun kaum lelaki diharamkan memakai emas. Kerana itu lebih baik kau serahkan barang-barang emas yang ada padamu itu kepada kaum wanita dalam keluargamu."

     Kemudian Syeikh Muhammad Abu Syousyah bercerita lagi, "Pada suatu hari Raja Mesir, iaitu Taufiq Pasya, menghadiri satu perhimpunan para ulama. Syeikh Hasnain bertemu Taufiq Pasya, dia pun mengucap 'Assalamualaikum' dengan kuatnya. Tetapi Taufiq Pasya hanya membalas salam itu dengan mengangkat tangan."

     "Jawablah ucapan salam dengan cara yang sama atau dengan cara yang lebih baik lagi. Menurut Islam, tidak harus menjawab salam dengan mengangkat tangan. Jawapan salam perlu diberi dengan sepenuhnya iaitu 'Waalaikumusalam warahmatullahi wa barakatuh'," tegur Syeikh Hasnain Al-Hasafi tanpa berasa takut.

     Raja Mesir Taufiq Pasya tidak marah, malah mengucapkan terima kasih kepada Syeikh Hasnain Al-Hasafi kerana menegur kesilapannya. Beliau juga mahu memberi hadiah, namun ditolaknya dengan baik.

     Diceritakan juga pada suatu hari, Syeikh Hasnain Al-Hasafi pergi ke pejabat jabatan ukur bagi bertemu dengan seorang anak muridnya. Dilihatnya ada patung kecil di atas meja lalu ditanya mengapa patung itu berada di situ. Kata anak muridnya, anak patung itu digunakan untuk kerja mengukur. Syeikh Hasnain Al-Hasnain terus mematahkan patung itu.

     Pada hari yang lain, Syeikh Hasnain Al-Hasafi berkunjung ke rumah kawannya lalu dihidangkan minuman oleh seorang wanita yang tidak menutup aurat. Syeikh Hasnain tidak menyentuh minuman itu. 

     Sejak itu Hasan Al-Banna bergaul rapat dengan ahli Tarekat Hasafiyah. Setiap malam Hasan Al-Banna pergi ke masjid At-Taubah bagi menghadiri syarahan-syarahan agama yang diberikan.

     Di masjid At-Taubah, Hasan Al-Banna berkenalan dengan Syeikh Basiyooni Alatt. Beliau adalah seorang peniaga yang bertakwa dan warak.

     "Syeikh Hasnain Al-Hasafi sudah meninggal dunia. Saya ingin bertemu dengan anaknya Syeikh Abdul Wahab Al-Hasafi. Boleh Tuan membawa saya kepadanya?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Adakah kamu mahu berbaiah kepadanya?" tanya Syeikh Dasiyooni Alatt.

     "Saya belum pernah berbaiah kepada sesiapa," jawab Hasan Al-Banna.

     "Syeikh Abdul Wahab Al-Hasafi akan datang ke Damanhur tidak lama lagi. Nanti saya perkenalkan kamu kepadanya," janji Syeikh Dasiyooni Alatt.

     Beberapa hari kemudian, Hasan Al-Banna dimaklumkan bahawa Syeikh Abdul Wahab akan datang ke Damanhur. Pada malam itu, dia hampir tidak dapat melelapkan mata kerana terlalu gembira.

     Keesokan harinya selepas sembahyang Subuh, Hasan Al-Banna menemui Syeikh Dasiyooni Alatt lalu meminta dibawa berjumpa dengan Syeikh Abdul Wahab Al-Hasafi.

     Syeikh Dasiyooni Alatt mendapatkan Hasan Al-Banna dan memaklumkan sesuatu. Katanya, "Saya tidak lupa janji kita. Tetapi kamu kena bersabar kerana pagi ini Syeikh Abdul Wahab sibuk. Dia boleh berjumpa dengan kamu selepas sembahyang asar di Masjid At-Taubah."

     Sebelum masuk sembahyang zuhur Hasan Al-Banna sudah berada di Masjid At-Taubah. Dia sengaja datang awal kerana tidak sabar mahu berjumpa dengan Syeikh Abdul Wahab. Rupa-rupanya bukan Hasan Al-Banna seorang yang mahu menemuinya, malah ada beratus orang. Mereka turut berkumpul di Masjid At-Taubah sejak sembahyang zuhur.

     Selepas sembahyang zuhur Hasan Al-Banna terus beriktikaf di masjid sehingga waktu asar. Seperti yang dijadualkan, Syeikh Abdul Wahab sampai 20 minit sebelum sembahyang asar. Dia diiringi beratus orang pengikutnya.

     Syeikh Abdul Wahab sendiri yang menjadi imam sembahyang asar di Masjid At-Taubah. Keadaan masjid penuh sesak hingga orang ramai melimpah ke luar. Hasan Al-Banna bernasib baik kerana dapat sembahyang di barisan hadapan bersama Syeikh Dasiyooni Alatt.

     Selepas sembahyang asar, orang ramai bersesak-sesak bagi bertemu dengan Syeikh Abdul Wahab sehingga terpaksa dibuat giliran. Hasan Al-Banna adalah orang pertama yang dapat menemuinya.

     Pada hari Ahad, 4 Ramadan, 1341 Hijrah, selepas solat asar, Hasan Al-Banna menyatakan baiah dengan meletakkan kedua-dua tangannya di atas tangan Syeikh Abdul Wahab Al-Hasafi. Dengan itu rasmilah dia sebagai seorang anggota Tarekat Hasafiyah. Mulai hari itu, Hasan Al-Banna mendapat layanan dan kemudahan yang sama seperti ahli yang lain.

     Selama berada di Damanhur, Hasan Al-Banna boleh bertemu dengan Syeikh Abdul Wahab pada bila-bila masa kerana dia sudah menjadi ahli Tarekat Hasafiyah. Dia rasa beruntung kerana dapat bergaul dengan ulama yang hebat itu. Syeikh Abdul Wahab seorang yang warak dan berakhlak mulia, tidak mengejar pangkat dan kekayaan. Masanya digunakan bagi berdakwah dan beribadat kepada Allah.

     Syeikh Abdul Wahab sering mengingatkan ahli Tarekat Hasafiyah, semasa berdakwah jangan menyentuh masalah-masalah khilaf dan meragukan. Jangan menyebut-nyebut atau meniru percakapan orang-orang Mulhid dan Zindiq.

     "Semasa berdakwah kepada orang awam, hendaklah menyentuh perkara-perkara yang mudah dan berkesan supaya dapat mengarahkan mereka taat kepada Allah. Sekiranya perkara-perkara rumit yang dibincangkan, mungkin mereka tidak memahaminya dan itu boleh membuat mereka ragu terhadap agama mereka sendiri. Lantaran itu kamulah yang menjadi punca salah faham mereka terhadap Islam," pesan Syeikh Abdul Wahab.

     Hasan Al-Banna tidak lupa pesanan itu. Dia berazam mematuhi pesanan gurunya itu. Sebelum Syeikh Abdul Wahab meninggalkan Damanhur, Hasan Al-Banna mengambil kesempatan bagi bertemu dengannya. Dalam pertemuan itu, Syeikh Abdul Wahab merenung wajah Hasan Al-Banna agak lama sehingga menimbulkan rasa hairannya.

     Bimbang dengan maksud renungan itu, Hasan Al-Banna terus bertanya, "Wahai Tuan guru, apakah saya ada berbuat salah?"

     Syeikh Abdul Wahab tersenyum lalu berkata, "Kamu anak yang baik. Semoga Allah sentiasa merahmatimu."

     Kemudian katanya lagi, "Saya dapat lihat tanda-tanda pada wajahmu yang menunjukkan Allah akan membuka hati orang ramai kepada kamu. Orang ramai akan menyertai gerakan kamu dan menjadi pengikut kamu. Sedarlah bahawa Allah akan menyoal kamu mengenai orang-orang yang mendatangi kamu, sama ada kamu menggunakan masa mereka dengan baik ataupun tidak. Jika masa mereka digunakan dengan baik, Allah akan memberi ganjaran baik kepada mereka dan kamu. Andainya masa mereka tidak digunakan dengan baik, kamu akan dihukum."

     "Saya tidak lupa kata-kata Tuan itu. Tuan memberi semangat kepada saya untuk berjuang pada jalan Allah," kata Hasan Al-Banna.

     "Wahai Tuan, ahli Tarekat Hasafiyah bertambah ramai. Alangkah bagus sekiranya kita mempunyai persatuan kebajikan," kata Ahmad Afandi As-Sakri pula.

     Syeikh Abdul Wahab Al-Hasafi kelihatan tertarik lalu memaklumkan beliau memang menunggu seseorang mencadangkan perkara itu. Beliau terus menyuruh Hasan Al-Banna mengusahakannya.

     Tidak lama kemudian, wujud sebuah pertubuhan di Mahmodiyah yang dinamakan 'Persatuan Kebajikan Hasafiyah'. Ahmad Afandi As-Sakri seorang peniaga dilantik menjadi Yang Dipertua dan Hasan Al-Banna menjadi setiausaha.

     Ramai penduduk Mahmodiyah menyambut baik penubuhan itu kerana mereka berusaha menyebarkan dakwah, membentuk akhlak orang ramai, dan membanteras kemungkaran dalam kalangan masyarakat. Selain itu mereka juga berusaha menyekat pengaruh Kristian yang mahu memurtadkan rakyat Mesir.

     Kerana itu penubuhan 'Persatuan Kebajikan Hasafiyah' itu tidak disenangi oleh orang-orang Kristian kerana menghalang penyebaran agama mereka dalam kalangan penduduk Mahmodiyah. Sebelum itu, orang-orang Kristian berusaha menyebarkan agama Kristian dengan cara mengadakan kursus jahitan serta tekat-menekat kepada wanita Islam secara percuma. Mereka juga memberi perlindungan kepada anak-anak yatim dan mengadakan rawatan perubatan secara percuma. Kemudian mereka memujuk supaya masuk Kristian.

     Lebih menyedihkan, penyebar agama Kristian juga mengunjungi rumah orang-orang miskin dengan membawa roti dan air minuman. Apabila tuan rumah bertanya siapa yang memberi makanan dan minuman itu? Mereka menjawab, Jesus yang memberinya dan tuan rumah diminta mengucapkan terima kasih kepada Jesus.

     Kerana itu 'Persatuan Kebajikan Hasafiyah' berusaha habis-habisan bagi menghadapi penyebaran agama Kristian. Usaha mereka yang bersungguh-sungguh itu berjaya menyebabkan orang ramai memberi sokongan dan penghargaan.

     Namun pelbagai usaha dilakukan oleh mereka yang memusuhinya. Antaranya menuduh Tarekat Hasafiyah itu sesat dan Persatuan Kebajikan Hasafiyah itu mendapat dana daripada pihak Kristian.


====================


Walaupun Hasan Al-Banna sibuk dengan kegiatan Tarekat Hasafiyah, namun beliau tidak mengabaikan pelajaran dan tanggungjawabnya sebagai pemimpin pelajar. Biasanya selepas waktu belajar, baru beliau pergi ke masjid di mana tempat berkumpulnya ahli Tarekat Hasafiyah. Di sini beliau menimba ilmu agama, berzikir dan berbincang dengan kawan-kawannya. Selepas solat subuh, Hasan Al-Banna sudah berada di Maktab Perguruan Damanhur dan beliau tidak pernah ponteng kuliah. Sehingga pada suatu hari, Hasan Al-Banna dipanggil ke pejabat bagi bertemu dengan Pengetua Maktab Perguruan Damanhur, Syeikh Dusuki Moosa.

     "Kami mendapat laporan bahawa kamu banyak menghabiskan masa bersama anggota Tarekat Hasafiyah. Namun kami tidak menghalangnya kerana kamu tidak mengabaikan pelajaran dan sentiasa mendapat tempat pertama dalam peperiksaan," kata Pengetua Maktab Perguruan Damanhur, Syeikh Dusuki Moosa.

     "Saya mengucapkan syukur dan terima kasih," kata Hasan Al-Banna.

     "Kerana sibuk dengan pelajaran dan kegiatan Tarekat Hasafiyah, kamu mungkin tidak tahu apa yang sedang berlaku di luar sana. Kamu dipanggil kerana ada kaitan dengannya," kata Pengetua Maktab Perguruan Damanhur Syeikh Dasuki Moosa.

     "Wahai Tuan Pengetua, walaupun saya sibuk, namun sentiasa mengambil tahu apa yang berlaku di luar sana. Seperti yang Tuan tahu, saya bukan terkurung 24 jam di maktab ini. Setiap hari saya keluar bertemu dengan kawan-kawan dan mereka sering bercerita apa yang sedang berlaku di luar sana," kata Hasan Al-Banna pula.

     Pengetua merenung wajah Hasan Al-Banna lalu bertanya, "Boleh cerita apa yang kamu tahu mengenai apa yang sedang berlaku sekarang?"

     "Pejuang kemerdekaan sedang melancarkan mogok, menunjuk perasaan serta bertempur dengan polis," jawab Hasan Al-Banna.

     "Apa pula pandangan kamu?" tanya pengetua lagi.

     Hasan Al-Banna menjawab dengan tegas, "Saya juga tidak mahu tanah air kita dijajah. British perlu berhambus dari sini."

     "Maksud saya mengenai mogok, tunjuk perasaan, dan bertempur dengan polis. Apakah kamu bersetuju perkara itu berlaku?" tanya pengetua lagi.

     "Apa lagi yang dapat dilakukan mereka bagi menyatakan rasa marah terhadap pemerintah yang bersekongkol dengan Inggeris?" tanya Hasan Al-Banna pula.

     "Biar mereka yang melakukannya dan kamu jangan masuk campur," kata pengetua.

     "Pelajar maktab ini mahu bersama pejuang pembebasan tanah air. Mereka akan turut mogok dan menunjuk perasaan. Sekiranya terpaksa, mereka sanggup bertempur dengan pihak polis," kata Hasan Al-Banna pula.

     Pengetua menarik nafas panjang. Dia memberi amaran kepada Hasan Al-Banna, "Undang-undang maktab tidak membenarkan pelajar masuk campur urusan politik negara. Sekiranya terdapat pelajar yang bersama dengan penentang, akan ditangkap dan dibuang dari maktab."

     Hasan Al-Banna terkejut mendengar amaran itu. Lantas dia bertanya, "Jika semua pelajar terlibat, apakah semuanya akan dibuang?"

     "Saya tidak mahu kamu semua terlibat dengan mogok dan tunjuk perasaan. Itu sahaja dan kamu sebagai ketua pelajar mesti melarang mereka terlibat," akhirnya pengetua mengendurkan nada suaranya.

     Ternyata tiada siapa yang dapat menahan kehendak pelajar yang berasa bertanggungjawab terhadap masa depan negara. Hampir semua pelajar maktab keluar dan menyertai mogok dan tunjuk perasaan. Pengetua Maktab Perguruan Damanhur, Syeikh Dusuki Moosa berasa sangat kecewa, namun dia juga tidak dapat berbuat apa-apa.

     Pada suatu hari diadakan mesyuarat di rumah Hajjah Khizrah Syaerah di Damanhur. Hasan Al-Banna turut hadir dalam mesyuarat itu. Tiba-tiba rumah itu diserbu polis. Semua pelajar melarikan diri kerana bimbang ditangkap kecuali Hasan Al-Banna. Dia terus berada di sisi Hajjah Khizrah Syaerah.

     "Kami mendapat laporan rumah ini digunakan puak menentang untuk bermesyuarat. Benarkah?" tanya pegawai polis itu.

     Hajjah Khizrah Syaerah menjawab dengan suara terketar-ketar, "Itu tidak benar kerana mereka tidak pernah datang ke rumah ini."

     "Awak mesti berkata benar ataupun kami bawa ke balai polis!" herdik pegawai polis itu.

     Hajjah Khizrah Syaerah bertambah takut lalu menangis.

     Hasan Al-Banna yang sejak tadi berdiam diri merasakan perlu masuk campur lalu berkata, "Memang benar kami mengadakan perjumpaan di rumah ini. Apakah itu menjadi satu kesalahan?"

     "Jika kamu bermesyuarat untuk menentang pemerintah, itu memang satu kesalahan dan kamu boleh ditangkap," marah pegawai polis itu.

     "Adakah Tuan melihat di dalam rumah ini ada senjata api? Sekiranya ada senjata api, memang benar kami mahu berperang dengan pemerintah. Yang ada di dalam rumah ini cuma buku dan pensel. Di mana munasabahnya Tuan menuduh kami penentang?" kata Hasan Al-Banna.

     Pegawai polis itu diam. Melihat keadaan itu, Hasan Al-Banna pun berkata, "Tugas Tuan-Tuan adalah bagi menjaga keselamatan negara, bukan mengugut dan menangkap rakyat yang tidak bersenjata. Kami adalah saudara Tuan-Tuan, sepatutnya Tuan menyebelahi kami."

     Akhirnya pegawai polis itu mengajak semua anggotanya beredar dari situ. Kemudian Hasan Al-Banna memanggil semua kawannya yang bersembunyi. Mereka memuji keberanian Hasan Al-Banna. 

     "Kita perlu bercakap benar walau dalam keadaan apa sekalipun," kata Hasan Al-Banna.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

     

No comments:

Post a Comment