Friday 6 March 2015

AMINAH [ BAB 9 - KELUARGA DAGANG ]




KELUARGA DAGANG


"Ayuh!" Terdengar teriakan daripada ketua rombongan yang akan keluar berdagang.

     Penduduk yang lain tidak mengikuti rombongan ini tertanya-tanya sesama mereka. Kilab, salah seorang pemuda Quraisy yang menganggur sedang santai bersama beberapa rakannya bertanya, "Ke manakah rombongan kali ini akan pergi?"

     Sahabatnya Aswad, segera menjawab sejurus meneguk segelas air, "Dengar khabar mereka mahu ke Syam."

     Kilab bertanya lagi, "Bagaimana dengan barang dagangan, apa yang dibawa?"

     "Seperti biasa, wangi-wangian, rempah ratus, kain baru dari Yaman, barang-barang terbaru dari India dan Habsyah termasuk Kurma Hajar milik kita yang lazat dan menjadi kesukaan bangsa lain."

     Kilab kelihatan termenung, kemudian berfalsafah, "Kita ini lahirnya di padang pasir gurun yang panas membahang... perang dan dagang adalah darah daging kita. Namun kita banyak membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Nampaknya sudah tiba saat kita berubah supaya kita tidak terus ketinggalan."

     Antara kawan-kawan Kilab, ada yang tersenyum sinis dan ada yang serius mendengar.

     Kata mereka yang sinis secara berbisik, "Sudah banyak kali saya dengar kata-kata ini, namun masih juga tidak terlaksana, bukan tidak mahu dan tidak mampu, tetapi diri kita disibukkan dengan perempuan, arak, dan judi. Selagi mana kita masih menjadi peminat tegar tiga perkara itu, kita tidak akan berjaya."

     Lelaki di sebelahnya menjawab, "Mungkin kali ini benar, lagipun Kilab amat menghormati dan kagum kepada Abdullah. Dia sentiasa berusaha mahu mencontohi Abdullah, anak Abdul Mutalib."

     "Mungkinkah juga kerana kecewa kerana tidak dapat memiliki Aminah?"

     "Jangan kata begitu, nanti didengar Kilab, tidak elok."

     Sumber utama pendapatan penduduk Mekah adalah daripada hasil perniagaan. Namun mereka tiada barangan buatan sendiri melainkan ternakan seperti unta dan kambing. Tanam-tanaman pula jauh ke pedalaman, itu pun hanya tamar yang dapat ditanam.

     Kedudukan Mekah yang strategik menjadi tempat persinggahan semua rombongan yang merentasi padang pasir Semenanjung Arab. Mereka singgah di sana bagi mendapatkan bekalan air dan bertukar-tukar barangan sekaligus berjual beli. Selain itu ada juga mereka yang datang bagi menziarahi kubur Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ataupun bagi menunaikan haji.

     Di suatu sudut, kelihatan Abdul Mutalib sedang sibuk menguruskan persiapan barang dagangan bersama rombongan ke Syam.

     Sesekali dia berteriak keras, membangkitkan semangat pekerjanya. "Ayuh semua, kita berniaga ke Syam, kota yang penuh kemewahan. Kita pasti mendapat keuntungan yang banyak. Apabila saya untung, kamu semua juga beruntung."

     Para pekerjanya tersenyum mendengar kata-kata tuan mereka yang baik hati itu.

     Tiba-tiba datang seorang pembantunya bertanya, "Tuan, tinggal sehari sahaja lagi sebelum rombongan dagang ini berangkat ke Syam. Tuan belum memilih putera tuan yang manakah mahu mengepalai kami ke sana?"

     Abdul Mutalib diam sejenak, jelas kelihatan keputusan yang bakal dibuat adalah berat, bahkan beliau masih belum memikirkan siapa antara anak-anaknya nanti yang akan dipilih.

     Keadaan semakin memuncak. Kesibukan dan bahang keberangkatan para pedagang kian terasa. 

No comments:

Post a Comment