Saturday 7 March 2015

AMINAH [ BAB 10 - MERINDU ]




MERINDU


Kini alam semesta sudah cerah, manusia mula bangun dan menggeledah dunia dan isinya, sesetengahnya tidak sedar akan ada dunia yang lain sesudah hari ini. Ramai yang masih alpa.

     Aminah kelihatan sedang termenung, pandangannya dilontarkan nun jauh ke hamparan padang pasir yang sedang menguning kerana sedang bermandi cahaya sang matahari. Dari jauh, pasir-pasir itu kelihatan seperti emas yang tinggi nilainya.

     Namun, fatarmogana itu tidak mampu meredakan galau di hati wanita mulia ini. Hambanya yang sedang menyiapkan sarapan pagi turut perasan perubahan Aminah.

     Si hamba kemudian menyampa lembut, "Puan, mari makan dahulu."

     Aminah yang sedikit terkejut dengan panggilan itu segera mengesat kedua-dua belah matanya yang basah.

     "Kamu makan dahulu, saya makan kemudian. Lagipun saya tidak ada selera sekarang."

     Hamba itu menghampiri Aminah lalu berkata, "Saya faham perasaan yang dialami oleh puan, sekarang. Tetapi, sebelum keberangkatan tuan ke sana, tuan sempat berpesan kepada saya supaya menjaga puan sebaik mungkin. Katanya lagi, dia akan kembali secepat mungkin dari Syam.

     Aminah tersenyum lantas berkata perlahan, "Abdullah memang seorang lelaki yang sejati. Tidak seperti sebahagian pemuda Quraisy yang lain, yang menjadikan isteri mereka sebagai tempat melampiaskan nafsu sahaja. Saya adalah manusia yang paling bertuah kerana memiliki Abdullah sebagai suami."

     Aminah masih teringat kata-kata yang diungkapkan oleh mereka, sehari sebelum keberangkatan Abdullah ke Syam. Sedang mereka rancak berbincang, tiba-tiba terdengar ketukan yang keras dari pintu masuk rumah mereka.

     Abdullah pergi mendapatkan orang itu. "Ya, ada apa?"

     "Tuan, nampaknya semua sudah selesai. Tinggal menunggu kehadiran tuan sebagai ketua khalifah sahaja. Mereka semua sedang menunggu arahan daripada tuan bagi memulakan perjalanan," lapor orang itu.

     Abdullah sekadar mengangguk lemah. "Baiklah, saya ke sana dengan segera."

     Orang yang memberi laporan itu pun beredar. Abdullah masuk ke dalam dan tidak berkata apa-apa, lidahnya kelu.

     Apabila pandangannya bertembung dengan pandangan Aminah, segera Aminah tersenyum seolah-olah mahu mengatakan, "Pergilah suamiku, yakinlah bahawa saya di sini tidak akan apa-apa."

     Abdullah kemudian bersuara perlahan, berat pertuturannya, "Wahai Aminah, masanya sudah tiba. Saya terpaksa meninggalkan kamu sekarang. Dengan izin Tuhan, saya kembali bersatu bersama kamu selepas selesai tugas ini."

     Aminah menyambut dengan senyuman yang paling menawan, yang membuahkan semangat dan kerinduan suaminya kepada dirinya.

     "Saya pasti menunggu saat itu. Saya sambut kamu dengan segala kebahagiaan dan keindahan yang tercipta di muka bumi ini."

     Jawapan Aminah benar-benar membuatkan Abdullah mampu menarik nafas lega.

     Namun hakikatnya, hati nurani isteri yang sangat mencintai suaminya itu gundah gulana, "Sekiranya boleh diminta bagi bersama mereka, nescaya saya ikut. Entah mengapa mereka tidak mengajak saya pergi bersama."

     Hari ini sudah beberapa hari Abdullah meninggalkan dirinya. "Suamiku, tempoh hari senyuman dan kata-kataku hanya bagi menutup perasaan hibaku sendiri. Saya tahu sekiranya saya tidak dapat bersabar atas khabar itu, kamu juga luluh bersama. Saya tidak sanggup suami saya derhaka dan menjadi lemah kerana isterinya."

     "Namun ketahuilah, saya amat merinduimu, hanya sebentar sahaja hangat cinta menjengah antara kita, kini terpaksa pula berjauhan, namun saya reda dengan ujian ini. Saya yakin, Tuhan pasti membalasnya dengan kebaikan yang lebih besar."

     Hamba-hamba perempuan Aminah yang mendengar titipan kata dan doa yang bersulam nestapa itu juga tidak ketinggalan menitiskan air mata.

     "Usahlah bersedih lagi. Kami juga menghormati dan menyayangi tuan. Beliau seorang yang sangat baik. Kami dilayannya dengan saksama tidak persis seorang hamba. Puan sangat bertuah memilikinya. Bersabarlah buat sejenak, beliau pasti kembali membawa kegemilangan," pujuk hambanya.

     Yang seorang lagi menambah, "Ya, kami juga amat sedih atas apa yang berlaku. Sekiranya kami mampu mengubah keputusan Abdul Mutalib, pasti kami lakukan."

     Aminah sedikit tersenyum geli hati mendengar celoteh daripada hamba-hamba perempuannya itu.

     Salah seorang hamba itu bernama Barakah. Sesudah bersama dengan rombongan dagang itu, dia kemudiannya kembali ke Mekah.

     Aminah bertanya kepada Barakah yang baru pulang itu. "Khabarkanlah kepadaku wahai Barakah, apakah kedudukan suamiku sekarang?"

     Barakah segera melaporkan, "Puan seharusnya tidak perlu risaukan tuan. Beliau pemuda Quraisy yang hebat, dirinya dihormati dan kata-katanya dituruti. Bermula saat bertolak dari Mekah sehingga ke perbatasan padang pasir, beliau menunggang kudanya tanpa henti dengan gagahnya."

     Aminah kelihatan teruja, matanya mula berkaca kembali, raut wajahnya yang mulus itu kelihatan sayu. Katanya kepada Barakah, "Teruskan Barakah, teruskan...."

     Barakah segera meneruskan, dia juga tahu yang Aminah sangat merindui suaminya.

     "Tuan adalah orang Arab yang sempurna. Lihat sahaja keperkasaannya yang terserlah sewaktu menunggang kuda, kewibawaannya tatkala berucap, pintar sewaktu mengatur strategi dan berani dengan cabaran yang mendatang, sungguh tuan adalah sebaik-baik pemuda yang pernah dilahirkan oleh bangsa Arab Quraisy."

     "Tuan sempat berpesan kepada saya sebelum kami berpisah. Pesanan ini khusus berkenaan puan. Katanya, 'Wahai Barakah, aku mengamanahkan permaisuriku kepadamu. Jagalah dirinya sebagaimana kamu menjaga dirimu dan sayangilah dia sebagaimana kamu menyayangi dirimu. Sekiranya diizinkan Tuhan aku berjaya dalam misi dagang ini, aku akan bawa pulang hadiah-hadiah yang indah dan bagus untuknya. Kamu juga jangan khuatir kerana bahagianmu juga tidak aku lupakan'."

     Barakah kemudian menyambung lagi, "Tuan saya itu seorang yang ampuh dan berani. Tegas dalam lembut, penyayang dan paling saya dapat rasakan ialah kecintaannya kepada isterinya, hampir tidak ada masa yang tidak terlafaz dengan lafaz 'Aminah'. Saat beliau mahu berpisah dari saya, dia berlalu dengan penuh seribu satu rasa yang bergelojak dalam hatinya kerana riak wajahnya menuturkan segalanya. Mereka berlalu tanpa menoleh sehingga lenyap dalam lautan pasir yang membahang."

     Aminah diam, kelihatan dirinya juga bergelojak seperti saat Abdullah mahu berpisah dengannya. Mungkin apa yang mereka rasakan sekarang adalah sama.

     Ada bisikan dalam kalangan hamba yang sedang menemani Aminah.

     "Kasihan puan kita, baru sahaja berkahwin sudah berpisah."

     "Ya, rasanya tidak patut Abdul Mutalib mengarahkan tuan kita pergi berdagang. Bukankah beliau ada lagi sembilan anak lelakinya itu?"

     Barakah yang turut berada di situ berkata, "Kalian tidak tahu apa yang kalian ucapkan. Semua ini dilakukan demi kebaikan mereka berdua. Memang secara mata kasar kita lihat mereka merana, namun perpisahan yang sementara ini sebenarnya dapat menghangatkan lagi kasih sayang dan kerinduan antara mereka."

     Aminah kemudian mengetapkan kedua-dua kelopak matanya. Hamba-hambanya hanya mampu mendiamkan diri, tidak berani bersuara sekalipun berbisik.

     Kemudian terdengar suara lembut bersuara, ada getar di hujungnya. "Wahai Barakah, sekiranya boleh, kamu ulang kembali apa yang dibicarakan oleh Abdullah."

     Sedang Barakah mahu mengulangi pesanan Abdullah kepadanya, tiba-tiba pintu rumah mereka diketuk.

     Aminah menduga, "Mungkin saudaraku Halah yang datang. Cepat kalian, pergi sambut dengan penuh kebaikan. Orang yang datang itu mungkin Halah, darah dagingku sendiri."

     Aminah juga mengekori hamba-hambanya dari belakang. Pada kesempatan itu, dia mengesat-ngesat air mata yang tertumpah deras sebentar tadi.

     Kemudian terdengar seruan dan sapaan mesra daripada hamba-hamba Aminah kepada tetamu yang datang. "Silakan tuan dan puan, kami sangat mengalu-alukan kedatang kamu semua."

     Aminah sedikit terkejut melihat siapa yang datang lalu dengan girang dia bersuara, "Syukurlah, sudah lama saya tidak bertemu kalian. Silakan duduk ayah, ibu dan Halah, janganlah kalian segan di rumah saya ini. Ia tidak lebih daripada rumah kamu sendiri."

     Kesemua mereka tersenyum lebar melihat kemesraan pengantin baru sekaligus menantu baru mereka itu.

     Halah hanya mampu berkata dalam hatinya, "Kasihan kamu wahai saudaraku, perpisahan ini bagaikan racun yang membunuhmu sedikit demi sedikit. Semoga Abdullah cepat kembali membawakan penawarnya."

     Abdul Mutalib segera bertanya sesudah mendapatkan tempat duduknya. "Wahai Aminah, kamu apa khabar? Ayah dengar kamu sentiasa sakit-sakit kebelakangan ini."

     Ibu mertuanya, Fatimah lantas menyambung, "Ya, kami amat risaukan kamu. Lihat sahaja diri kamu, sudah semakin kurus. Nanti kata orang kami tidak pandai menjaga menantu."

     Aminah tersenyum simpul kerana malu kepada kedua-dua mertuanya itu.

     Halah segera menjawab, seakan mewakili Aminah, dengan nada bergurau. "Mana mungkin tidak kurus sekiranya teringatkan suami tersayang yang berada di perantauan sekarang. Dia asyik terfikir, apakah Abdullah juga merinduinya...."

     Wajah Aminah merona merah. "Tidak, kata Halah itu tidak benar. Saya hanya risaukan Abdullah yang berseorangan di rantauan, itu sahaja."

     "Dia sendiri sudah mengaku yang dia rindukan suaminya yang kacak itu, sehingga terbawa-bawa dalam mimpi."

     Aminah tidak terkata, dia malu namun bahagia dengan usikan Halah itu. Halah juga memang sengaja mengusik Aminah supaya dia tidak bermurung sahaja dan terus menerus dipagut kesedihan.

     Fatimah dan Abdul Mutalib yang memerhatikan gelagat dua orang sepupu itu turut gelak bersama. Mereka berborak dengan lebih rancak. Kemudian perbincangan kembali kepada topik tentang Abdullah. Abdul Mutalib yang banyak tersenyum sepanjang mereka bergurau senda tadi mula bersuara.

     Suasana diam tiba-tiba. Halah dan Fatimah juga terdiam tidak bersuara.

     Abdul Mutalib memulakan bicara, "Wahai anakandaku Aminah, sesungguhnya suamimu pergi bagi mendapatkan kegemilangan. Sudah menjadi resam Arab Quraisy keluar berdagang, menambah kekayaan dan mengenali ramai orang serta membina pengaruh. Janganlah kita risaukan kerana Abdullah adalah puteraku yang terbaik. Dia pasti kembali dengan membawa kekayaan dan kejayaan. Jalan yang Abdullah tempuhi juga sudah selamat dan damai daripada jenayah, setiap inci tanah yang dilalui tidak asing lagi kepada kaum Quraisy dan ahlinya. Mereka memastikan keselamatan kami terjamin sepanjang berada dalam kawasan mereka. Mereka mengawal dan memerhati, kadang-kadang mereka juga ikut serta berdagang dan mengikuti kami ke Syam."

     Abdul Mutalib seakan mengimbau kembali kenangan yang tersimpan dalam benaknya. Dia lantas menyambung bicaranya kepada Aminah, "Wahai Aminah, dengarlah...." Kemudian Abdul Mutalib berpaling ke kanan sambil melirikkan pandangannya ke arah timur. Katanya lagi, "Di jalan inilah Abdullah membesar. Mungkin kamu sudah maklum, Abdul Mutalib ini dilahirkan dan membesar di Yathrib. Kebanyakan daripada bapa saudaranya pula adalah pembesar bani Najjar. Namun kamu tidak tahu yang ayah Abdul Mutalib, Hasyim bin Abdul Manaf disemayamkan di Gaza, sebuah kawasan di Syam. Asalnya dia juga pergi berdagang. Saat dia berangkat dari sini, dirinya masih sihat dan kuat. Apabila di sana, dia mula mengadu sakit, lantas Tuhan mentakdirkan dia menemui ajal di sana. Jenazahnya kemudian ditanam di Gaza yang kemudian dikenali sebagai Gaza Hasyim."

     Seiring dengan putaran memori itu, Abdul Mutalib seakan diselubungi awan mendung yang membawa titisan duka. Corak wajahnya kini berubah, sayu dan lemah. Seakan bukan Abdul Mutalib yang berwibawa, pemimpin kaum Quraisy yang paling disegani saat itu.

     Aminah dan Fatimah hanya membisu, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kata-kata sabar tidak mampu mengubat penderitaan warga padang pasir ini.

     Untaian dan titisan mata mulus tidak mampu diseka lagi, tumpahlah ia membasahi pipi Abdul Mutalib lantas membasahi janggut putihnya. Seketika kemudian, Abdul Mutalib tersedar yang dia sedang menambahkan lagi kesedihan Aminah tanpa disangka.

     Abdul Mutalib menarik lengan jubah dan menyapu kedua-dua kelopak matanya lantas menyambung bicara, "Ayahku, Hasyim... dia mati dalam keadaan tenang kerana berjaya mencapai apa yang dicitakannya dahulu. Maklumkah kamu semua, Hasyim adalah orang yang berusaha dan berjuang dengan air mata, darah, dan harta bagi memastikan terikatnya perjanjian damai antara bangsa-bangsa Arab dan kuasa besar dunia ketika itu? Kesepakatan yang ditulis itu memberi jaminan kepada orang Arab Quraisy supaya dapat berdagang dengan aman dalam wilayah Rom yang diperintah Kaisar. Beliau juga bersetuju mengamankan setiap laluan pedagang Arab daripada lanun. Selain itu, bangsa Arab juga bebas berdagang dan membeli barang dari negara mereka tanpa cukai, begitu juga perjanjian yang beliau meteraikan bersama Kaisar dari Habsyah."

     Abdul Mutalib terdiam seketika seakan cuba mengingati sesuatu. "Wahai Aminah, sekiranya hayat dikandung badanmu panjang, kunjungilah Yathrib walaupun hanya sekali. Tahukah kamu keindahan Yathrib dengan pohon kurmanya yang ranum menjulang tinggi memayungi bumi, buahnya yang manis bak madu lebah, airnya tawar dan dingin lelahan dari bukit-bukau malah udaranya juga jauh lebih sejuk daripada kota Mekah."

     Abdul Mutalib bertukar watak apabila menceritakan perihal Yathrib. Beliau penuh semangat dan ghairah. Tanpa disangka Aminah dan Fatimah, Abdul Mutalib ketawa panjang. Mereka yang tidak tahu sebab Abdul Mutalib gelak juga turut tergelak melihat kelakuan Abdul Mutalib.

     Reda sedikit tawanya, Abdul Mutalib berbicara lagi, "Ibuku yang dipanggil Salmah berasal dari Yathrib. Anehnya, sewaktu beliau dilamar ayahku, beliau menetapkan syarat yang agak ganjil. Syaratnya ialah ayahku perlu memberi kebebasan kepadanya bahkan sekiranya sampai suatu hari dia sudah tidak lagi menyukai ayahku, dia wajib diceraikan."

     Aminah tertarik dengan kenyataan itu dan mahu bertanya, namun pada saat akhir, dia membatalkan hasrat itu. 'Saya perlu menghormati bapa mertuaku, itu adalah kisah silamnya dan kurang manis sekiranya aku bertanya berkenaannya.'

     Tiba-tiba Abdul Mutalib bingkas bangun sambil memberi isyarat dengan mengangguk kepada Fatimah. Fatimah memahami maksud isyarat itu.

     "Baiklah, Aminah. Kami pulang dahulu, esok kami akan menziarahi kamu lagi. Kamu mesti sentiasa dalam keadaan bersedia sepertimana saat kamu menjadi pengantin pada malam pertama. Kamu perlu siap siaga menyambut suamimu, Abdullah yang akan pulang bila-bila masa sahaja dengan selamat dan penuh kegemilangan. Anakku itu sentiasa dalam lindungan Tuhan dengan izin Nya."

     "Baiklah, ayah. Semoga ayah, ibu serta Abdullah sentiasa dilindungi Tuhan. Saya bertuah kerana mempunyai kalian yang sentiasa menyayangi dan mengambil berat keadaan diri saya."

     Selesai berjabat salam dan berpelukan. Abdul Mutalib dan Fatimah pulang ke teratak mereka. Begitulah hari seterusnya, hampir setiap hari rutin yang sama berulang. Sesibuk mana pun Abdul Mutalib, dia tidak pernah meninggalkan kunjungan ke rumah menantu dan isteri kepada anak kesayangannya itu. Aminah pula tidak sunyi dengan kunjungan mereka. Halah, Fatimah, dan isteri-isteri Abdul Mutalib yang lain sentiasa menziarahi puteri kesayangan mereka itu. Selain itu, Wuhaib sekeluarga dan kaum kerabatnya yang lain juga kerap berkunjung.

     Hanya semasa saat Aminah sendirian... mahu melelapkan mata, wajah Abdullah menyusup dan menjelma di ingatan. Perlahan-lahan Aminah tenggelam dalam kemabukan rindu, tampang Abdullah menerawan di depan mata sehingga mendatangkan sayu dan tangis, lantas wanita kesayangan Arab Quraisy ini terlelap dalam sedu-sedan yang merobek jiwa halusnya.




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment