Thursday 12 March 2015

AMINAH [ BAB 12 - AIR MATANYA BERGENANG ]




AIR MATANYA BERGENANG


Aminah mula sedarkan diri, ada bersamanya saat itu adalah Wuhaib, Halah dan ahli keluarganya yang lain. Abdul Mutalib dan isteri-isteri serta putera-puteranya juga hadir bersama.

     Aminah kehairanan sambil memaksa dirinya bangkit daripada pembaringan. "Mengapa kalian semua berada di sini? Apakah yang sudah berlaku?"

     Kebanyakan yang hadir hanya membisu.

     "Ya, saya teringat sekarang. Di mana Barakah? Di manakah dia? Saya mahu bertanya kepadanya sama ada dia sudah berjumpa dengan Abdullah ataupun belum."

     Barakah mencelah dari lingkungan orang ramai itu. "Saya di sini, puan... saya hanya mampu menampar diri sendiri apabila melihat puan jatuh pengsan sebentar tadi. Maafkan saya, ini semua salah saya."

     Aminah kehairanan. "Apakah salahmu wahai Barakah? Kamu tidak bersalah. Bukankah kamu hanya mahu menyambut tuan kamu di luar kota, apa khabarnya? Mengapa dia belum mahu datang berjumpa dengan isterinya ini?"

     Barakah lantas menangis teresak-esak menahan hiba. Matanya ditundukkan ke bawah kerana tidak sanggup bertentang mata dengan Aminah.

     Beberapa orang wanita masih meriba Aminah sambil berusaha memulihkannya daripada pengsan sebentar tadi. Beberapa orang kelihatan sudah menangis. Wajah masing-masing menggambarkan sedih dan pilu yang amat dalam.

     "Kamu semua masih belum menjawab soalan saya, di manakah suami saya, Abdullah?"

     Suasana tiba-tiba sunyi seketika. Hanya suara esak tangis yang mengapung di ruang udara di dalam rumah Aminah.

     "Mengapa kamu semua membisu? Bagaimana saya boleh tahu sekiranya kamu semua membisu?"

     Titisan air mata pilu meleleh hiba membasahi pipinya.

     Wuhaib datang mendapatkan Aminah. "Wahai puteriku, apakah yang kamu lakukan kepada dirimu? Janganlah kamu menjadi seperti mereka yang kehilangan waras akalnya. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana Abdullah akan pulang dalam masa dua ataupun tiga hari lagi sekiranya tidak pada hari ini."

     Isteri Wuhaib turut menenangkan Aminah. "Aminah, bersabarlah. Sungguh, tiada ubat yang lebih mujarab daripada sabar."

     Aminah masih menangis, air matanya masih membasahi pipinya.

     Abdul Mutalib kemudian menghampiri Aminah lalu berkata lunak, "Wahai Aminah, suamimu adalah anak lelaki kesayanganku. Kamu pula adalah menantuku dan isterinya, kita semua berharap yang Abdullah selamat sahaja. Namun sekarang Abdullah di Yathrib, dia jatuh sakit ketika dalam perjalanan. Urusan kepulangannya terpaksa ditangguhkan bagi menunggu dia sembuh dan gagah seperti sediakala...."

     Belum pun Abdul Mutalib menghabiskan bicaranya, Halah segera meminta, "Abdullah baik-baik sahaja, dia hanya beristirahat beberapa hari supaya penatnya hilang. Janganlah kamu risau, dia berada di bawah lindungan dan jagaan pak cik-pak ciknya yang mengasihinya seperti ayahnya mengasihinya. Dengan izin Tuhan, dia berangkat pulang beberapa hari lagi."

     Kelihatan yang lain mengangguk-angguk setuju.

     Halah lantas merangkul kepada Aminah dan mengesat air mata pada pipi sepupu yang sangat dikasihinya itu dengan lengan jubahnya sambil berkata mulus, "Bangunlah wahai adinda pengantin kami semua, tabahkan dirimu, sungguh Tuhan sedang menguji kita dengan melewatkan apa yang sepatutnya terjadi pada hari ini, itu sahaja...."

     Nyata kata-kata nasihat dan hikmah daripada hadirin termasuk Abdul Mutalib, Wuhaib dan Halah tidak dapat menyeka perasaan hiba Aminah. Saat teringat kepada Abdullah, air matanya terhambur keluar dan hela nafasnya juga tidak menjadi keruan.

     Tiba-tiba Aminah memandang tepat kepada Abdul Mutalib. Bapa mentuanya itu seakan faham bahasa bisu yang digunakan, cukup dengan redup mata yang kehilangan serinya itu.

     Abdul Mutalib menjawab isyarat itu dengan berkata, "Jangan kamu bimbang, wahai puteri kaum Quraisy. Saya sudah mengarahkan al-Harith, saudara kepada Abdullah memacu kuda terbaik kita menuju ke Yathrib bagi mendapatkan perkhabaran daripada Abdullah. Sebentar sahaja lagi Abdullah akan bersama kita."

     Sejurus selesai mengungkap bicara, Abdul Mutalib segera memalingkan mukanya. Ya, Abdul Mutalib tidak mahu Aminah melihat untaian air matanya tumpah. Pemimpin yang agung, dihormati dan dijujung itu, akhirnya tumpah air matanya saat anak kesayangannya sedang sakit, ditambah pula dengan penderitaan menantunya."

     "Syukurlah sekirnya begitu. Sama-samalah kita berdoa kepada Tuhan supaya Abdullah terselamat. Sekiranya tidak...." Kata-kata itu tidak mampu diteruskan, ada sebak yang menjelma dada dalam Aminah, kembali air matanya bergenang lalu tumpah.

     Hadirin yang hadir juga tidak kedekut air mata saat melihat penderitaan dan kasih sayang serta cinta antara putera dan puteri Quraisy itu. Saat kasih seorang ayah, ibu dan ahli kerabat terdekat dicabar. Mereka bersatu dalam hiba.

     "Kami mohon pulang dahulu kerana hari sudah larut malam, semoga kamu menjaga kesihatan diri kamu, anakku."

     Kemudian seorang demi seorang kaum kerabatnya memohon pulang. Sekiranya diikutkan hati, mahu sahaja Aminah meminta mereka menemaninya pada malam itu. Namun, apakan daya, mereka juga punya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan di rumah masing-masing.

     Selepas semuanya usai, Aminah meminta Barakah datang kepadanya. Dia menyoal Barakah, "Wahai Barakah, berterus teranglah kepadaku. Adakah Abdullah akan kembali? Apakah Abdullah masih bernafas dan hidup di atas muka bumi ini? Apakah kamu merasakan dia akan muncul kembali di rumah ini?"

     Barakah kelu, hatinya pilu. Dia tidak mampu menjawab persoalan itu. Dia hanya diam membisu.

     "Mengapa... mengapa kamu tidak mahu berbicara? Adakah kamu tidak kasihan kepada saya? Apakah kamu mahu mengkhianati amanah tuanmu sebelum beliau pergi dahulu?"

     Soalan kali ini membuatkan Barakah tidak mampu menanggung rasa sedihnya lagi. Barakah bangun lalu berlari menuju ke dalam biliknya. Di dalam bilik itu, dia menangis semahu-mahunya.

     Aminah mengelamun, "Kanda, di manakah kanda? Sekiranya saya mempunyai sayap bak helang, segera saya terbang ke ceruk mana pun kanda berada. Kita berjumpa dan duduk bersama. Sekiranya kanda sakit sekalipun, saya berada di sisi kanda. Biarlah saya sebagai isteri kanda menjaga."

     Air matanya tumpah lagi.

     Seisi Mekah berbicara tentang Abdullah, berkenaan kepergian dan kelewatannya. Tidak kurang juga yang mengkritik Abdul Mutalib. "Kami tidak boleh menerima tindakan Abdul Mutalib yang mengarahkan Abdullah ke Syam. Bukankah beliau mempunyai sembilan orang anak lelaki lain?"

     "Ya, sesudah Abdullah hampir sahaja disembelih, terus sahaja diarahkan berdagang ke Syam yang jauh itu. Bukankah pada masa itu Abdullah baru sahaja berkahwin dengan Aminah?"

     "Ini semua kerana tamakkan harta dunia semata-mata."

     "Kita perlu bersangka baik. Mustahil Abdul Mutalib yang sangat berwibawa itu sanggup membuat keputusan yang melulu. Saya pasti beliau ada sebabnya yang tersendiri. Hanya Tuhan yang tahu. Kalian hanya melihat kejadian ini daripada luaran, cerita sebenarnya kita tidak tahu. Apakah kamu semua sudah bertanya kepada Abdul Mutalib sendiri?"

     Kumpulan yang mengkritik itu terdiam membenarkan hujah teman mereka itu.

     Pelbagai lagi tohmahan dan kritikan yang langsung mahupun tidak langsung kedengaran. Ada juga yang berbicara dan kasihan serta simpati kepada Aminah.

     "Sekiranya saya berada di tempat Aminah, saya mungkin sudah gila. Mana mungkin saya hidup tanpa orang yang tersayang."

     "Tidak ada wanita yang paling bahagia di Mekah melainkan Aminah. Tidak ada juga wanita yang paling sedih di Mekah melainkan Aminah."

     "Cinta yang baru berputik kini sudah dicantas pergi. Adakah kesedihan lain yang lebih hebat?"

     Begitulah masa berlalu, masing-masing tidak pernah berhenti berbicara tentang Abdullah di mana-mana sahaja. Aminah pula, tetap di rumahnya menanti kepulangan Abdullah, suaminya yang tercinta. Sehari, seminggu malah sebulan sudah berlalu. Aminah tidak lagi bertanya, dia hanya menunggu sahaja di muka pintu rumahnya. Kadang-kadang pandangannya dilontar jauh ke padang pasir yang panas bergelora itu.

     Menunggu dan terus menunggu... sekiranya dia bertanya, mereka yang berada di sekelilingnya hanya memberikan jawapan yang sama. "Sabarlah, Abdullah pasti kembali...."

     Kini dia hanya banyak membisu. Barakah yang sentiasa menjadi temannya juga tidak banyak mendengar suaranya. Kadang-kadang terdengar suara tangis yang hiba sekali. Kadang-kadang pula dia dilihat termenung selama berjam-jam di suatu tempat pada satu-satu masa.

     Sehinggalah pada suatu pagi yang indah, apabila Aminah bangun daripada tidurnya dan dia berasa hari itu sangat berlainan daripada hari yang lain. Sambil berbaring, dia lantas menarik nafas sedalam-dalamnya sambil matanya terpejam, seakan-akan memusatkan seluruh pemikiran dan jiwanya kepada satu benda, satu ingatan dan satu kesedaran. Dia sedang membina kekuatan yang paling ampuh bagi menempuh kenyataan. Kenyataan dan hakikat yang tidak boleh dirinya elakkan.

     Apabila dia benar-benar sudah bersedia, lantas dia berkata kepada dirinya sendiri, "Wahai Aminah, kini kamu sudah tahu di mana Abdullah, bahkan kamu juga sangat maklum ke manakah jiwa dan jasadnya pergi."

     Kehidupannya diteruskan. Sehinggalah tidak lama selepas itu, Aminah mengalami sedikit gangguan pada bahagian perutnya yang mendatangkan pening kepala dan rasa loya.

     Barakah yang perasan perubahan Aminah segera mendapatkannya dan dipapah masuk ke bilik. "Aduhai Barakah, apakah saya salah makan sehingga pening-pening kepala begini? Perut saya juga sedikit sakit dan tekak pula mual."

     Barakah hanya tersenyum. "Puan berehat dahulu. Saya kembali semua bersama tabib."

     Aminah mengangguk membenarkan.

     Tidak lama kemudian, Barakah kembali bersama tabib lalu pemeriksaan dilakukan.

     "Syukur kepada Tuhan, tahniah wahai puteri kaum Quraisy, kamu bakal menjadi ibu kepada seorang anak."

     "Maksud kamu, saya hamil?"

     "Ya, sudah lebih tiga bulan."

     Aminah mengutus syukur kepada Tuhan, hatinya sungguh bahagia saat itu. Seketika kemudian dia terkenangkan Abdullah, wajahnya menjadi sayu menggambarkan hatinya yang masih sedih. Segera Aminah mengusir perasaan itu.

     Aminah berkata kepada dirinya, "Wahai Aminah, ini adalah amanah daripada Tuhan dan suamimu. Janganlah kamu mempersiakannya. Kasihi dan sayangilah dia, sungguh di sebalik setiap ujian ada bermacam-macam nikmat. Tuhan sudah mengambil pergi Abdullah lantas Tuhan mengurniakan bakal anak kepada Abdullah kepada kamu."

     Seiring itu Barakah melonjak girang, dia segera berlari menuju ke rumah Abdul Mutalib. Sampai sahaja di sana, dia segera mendapatkan Abdul Mutalib, Fatimah dan Halah. Wajahnya berseri-seri, nafasnya tidak teratur kerana semput berlari. Sambil tercungap-cungap dia mengatur tutur.

     Abdul Mutalib dan yang lain pelik dengan kelakuan Barakah itu.

     "Berbahagialah kamu semua." Dia kembali menghembus dan menarik nafas.

     Abdul Mutalib lantas bertanya, "Mengapa? Apakah sebabnya kamu kelam-kabut begini, wahai Barakah? Di mana puan kamu?"

     "Puan baru sahaja didatangi oleh seorang tabib, beliau membuat pemeriksaan kerana sakit perut dan pening kepada. Beliau juga terasa mual dan muntah-muntah."

     Halah terkejut apabila mendapat tahu Aminah didatangi tabib. "Sakit apakah yang menimpa dirinya? Bagaimana pula keadaan Aminah sekarang? Mengapa kamu meninggalkan dirinya sendirian?"

     "Syukur, puan tidak apa-apa dan sihat sahaja. Sekarang beliau sedang berehat di rumah."

     Fatimah kemudian bertanya, "Jadi apakah yang perlu kami bahagiakan? Sebentar tadi kamu seolah-olah datang membawa berita dari syurga sahaja."

     Barakah tersenyum, dia memandang seorang demi seorang lalu berkata, "Ya, berbahagialah kamu semua. Puan sekarang sudah mengandung lebih tiga bulan dan bakal menjadi ibu, tuan dan puan pula bakal menjadi datuk dan nenek!"

     "Apakah benar bicaramu ini, wahai Barakah? Kamu tidak berdusta?"

     "Ya, benar. Tiada untungnya saya berdusta kepada kalian."

     Abdul Mutalib, Fatimah dan Halah menerima berita ini dengan perasaan bercampur baur. Mereka sangat gembira dan pada masa yang sama mereka juga berduka.

     Abdul Mutalib seraya berkata, "Tidak kusangka, Abdullah meninggalkan zuriatnya dengan izin Tuhan. Adakah ini bermakna Tuhan sedang mengasihi kita?"

     Fatimah pula sayu, air mata gembira berbaur hiba bergenang dan meleleh di tepian pipinya. "Kasihan kepadanya yang kehilangan kasih sayang suami pada saat mereka masih baru bernikah, namun Tuhan dengan kuasanya mengurniakan pula bakal zuriat kepadanya. Saya juga khuatir, apakah perlu gembira ataupun sedih. Gembira kerana mendapat cucu, sedih kerana mengenangkan nasib bayi yang tidak berbapa itu."

     Halah tidak mampu berbicara apa-apa. Dia tahu sekiranya dia juga berbicara, dirinya hanyut dalam kesedihan yang amat apabila mengenangkan sepupunya itu.

     Dia lantas meminta izin daripada Abdul Mutalib bagi menziarahi Aminah. "Izinkan saya ke rumah Aminah kerana dia juga tidak sihat. Sekiranya ada saya di sana, banyak yang dapat dibantu."

     "Baiklah, silakan. Sampaikan salam saya kepadanya. Dengan izin Tuhan, saya ke sana menyambut berita gembira ini.

     Halah dan Barakah segera berlalu pergi dan kembali ke rumah Aminah.

     Selepas Aminah mendapat tahu yang dirinya sudah mengandung, tiba-tiba sahaja dia banyak berfikir dan bermonolog sendirian. Banyak perkara yang dihitungnya sehinggalah dia kembali berkata kepada dirinya sendiri.

     "Sekarang ini saya teringat yang saya pernah bermimpi ada cahaya terang yang akan keluar melalui perut ini. Ia berasal daripada tubuh Abdullah dan memasuki diri saya. Nampaknya sudah sampai masanya saya kembali seperti sediakala. Tiada gunanya kesedihan yang tidak berkesudahan. Saya perlu tabah dan bangkit menentang kelemahan diri sendiri."

     Aminah membuktikan kata-katanya. Dia bangkit menjadi cergas dan lincah seperti biasa. Semakin hari, perutnya pula semakin membesar. Dia menjaga bayi dalam kandungannya bak menatang minyak yang penuh. Segalanya dijaga baik termasuk makan dan minum.

     Wanita-wanita Quraisy mula hairan melihat perubahan Aminah.

     "Apakah Aminah mahu berkahwin lagi? Nampaknya dia sudah dapat melupakan Abdullah."

     "Ya, nampaknya dia tidak lagi bersedih seperti sebelumnya. Apakah sudah ada jejaka ataupun duda yang menggantikan tempat Abdullah di hatinya?"

     "Tidak mustahil. Lagipun Aminah masih muda dan cantik. Dia pasti mahu berkahwin lagi."

     "Tidak. Tidak mungkin. Apakah kamu tidak mengenali Aminah? Bukankah kita maklum akan akhlaknya? Dia jadi begitu bukan kerana lupakan Abdullah, bahkan Abdullah menjadi sumbu hidupnya sehingga kini. Dia bangkit semula kerana amanah Abdullah ada di dalam perutnya. Dia mahukan yang terbaik untuk anaknya, zuriat Abdullah!"

     Dengan penjelasan itu, wanita-wanita Quraisy tidak berani lagi berborak dan berbicara tentang Aminah.

     Perut Aminah semakin membesar, seiring itu, dirinya sering teringat kepada arwah suaminya, Abdullah. Sambil membelai-belai perutnya yang sedang membusung itu, dia berbicara dalam hati, 'Wahai kakandaku Abdullah, terima kasih hadiah ini. Masihkah kanda ingat mimpiku dahulu? Benar, saya sudah merasakan kebenarannya, cahaya itu adalah cahaya rahmat. Anak ini adalah rahmat Tuhan. Sehingga kini, saya tidak merasakan gejala-gejala yang dirasai oleh ibu mengandung yang lain. Mereka sakit, senang, pening dan loya, tetapi tidak saya. Ini adalah anugerah.'

     Aminah menyambung, 'Alangkah indahnya, andai pada saat anak ini lahir dan kamu berada di sisi. Menyambut dengan gembira, menerima ucapan tahniah daripada semua penduduk kota Mekah. Kamu pula membesarkannya menjadi lelaki budiman persis kamu yang diminati dan dicemburui oleh gadis dan jejaka kota Mekah yang sebaya dengannya dan memberikannya yang terbaik daripada segenap sudut. Kamu mengajarnya menunggang kuda dan memanah serta bermain pedang. Mungkin juga dia mengikut jejak kamu berdagang ke serata tanah Arab termasuk....'

     Aminah tidak mampu meneruskan kata-kata, dia kelu apabila mengingatkan nama negeri yang menjadi destinasi suaminya dahulu. Aminah lantas merebahkan tubuhnya di atas tilam.

     Tidak semena-mena, suatu keajaiban berlaku.

     "Tuhan! Di manakah tempat ini? Sungguh indah taman ini... bunga-bunganya dan pohon-pohonnya. Sungguh luar biasa pemandangan ini. Di sini bukan kota Mekah, bukan juga di mana-mana tempat di Tanah Arab. Saya yakin, tempat ini tidak karib dengan saya."

     Aminah teruja dan terus meninjau-ninjau dengan girang. Kemudian dia mendengar dan melihat sekawan burung. "Tuhanku, merdu sekali cicipan burung-burung ini. Mereka juga sangat comel dan cantik. Tidak pernah saya lihat di kota Mekah."

     Aminah lebih terkejut dan terkesima seketika tatkala matanya terpandang suatu anak sungai yang mengalir damai, menyusun irama yang sekata, tiada cacatnya.

     Aminah terpesona, segala kesedihan dan dugaan yang menimpanya sebelum ini lenyap begitu sahaja.

     "Lihat sahaja, dedaunan yang bergeseran sesama sendiri. Sepoi-sepoi lenggoknya, bagai menari mengikut rentak irama yang dibunyikan anak sungai, lalangnya juga begitu. Di manakah saya ini? Sekiranya ada yang dapat menjawabnya. Sekiranya ini adalah mimpi, sudah cukup bagi saya."

     Sedang Aminah tenggelam dan keasyikan dan kenyamanan dalam taman anugerah itu, suatu suara menyapa lembut. "Wahai Aminah, puteri kaum Quraisy... mohon kamu bersiap sedia. Kamu bakal melahirkan seorang insan yang paling mulia yang mana dirinya bakal menjadi junjungan agung sehingga ke hujung dunia, sehingga ke hujung masa. Namakan beliau Ahmad, hanya beberapa hari sahaja lagi, bersiaplah... masanya sudah tiba, cahaya terang itu sudah tiba dan kamu bakal melihatnya...."




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment