Sunday 8 March 2015

AMINAH [ BAB 11 - KHABAR YANG TERLEWAT ]




KHABAR YANG TERLEWAT


Hari-hari terus berlalu, Aminah dilihat tetap juga termenung dan setia menanti kepulangan Abdullah, suami yang sangat dicintai dan dirinduinya itu. Namun hatinya digagahi jua, memberikan harapan yang besar supaya mereka hidup bahagia apabila Abdullah pulang. Dia juga membayangkan betapa indah sekiranya hari tua mereka dihabiskan bersama-sama anak yang bakal dilahirkannya. Walaupun saat itu dirinya masih belum hamil ataupun menunjukkan tanda hamil, namun Aminah yakin mereka pasti memperoleh anak.

     Tiba-tiba Barakah datang menjengah Aminah. Sudah diberi keizinan masuk, dia melaporkan, "Puan, para wanita Quraisy sudah datang seperti biasanya. Mereka mahu berjumpa dengan puan."

     Sejak beberapa minggu lepas, rumah Aminah menjadi tumpuan para wanita Quraisy yang sudah beristeri mahupun belum. Tujuannya satu, mahu berbicara dan meluahkan perasaan mereka kepada Aminah.

     Dengan hati yang tawar, Aminah berkata, "Jemputlah mereka masuk, Barakah. Katakan kepada mereka yang saya ke ruang tamu sekejap lagi."

     Tidak berapa lama kemudian, Aminah muncul di ruang tamu. Para tetamunnya menyambut dengan senyuman yang penuh pengharapan.

     Salah seorang daripada mereka berkata, "Sungguh kamu ini insan yang mulia, wahai Aminah. Sewaktu saya keluar dari rumah, seribu satu masalah menghinggapi diriku ini. Namun sesaat sahaja melihat wajahmu, entah ke mana semua masalah itu."

     Yang lain tersenyum sambil mengangguk membenarkan kata-kata sahabat mereka itu.

     Seorang lagi menyambung bicara, "Ya, kami tidak menafikan, hanya dengan bersamamu, kami merasai bahagia yang sebenar-benarnya. Segala masalah yang membungkam dalam dada mampu usai begitu sahaja."

     Aminah hanya tersenyum, tiada kata yang terungkap.

     Kemudian seorang wanita yang paling muda antara mereka bersuara, "Paling kami kagumi adalah bagaimana kamu mampu membahagiakan kami sedangkan pada masa yang sama, kamu sendiri masih diseksa rasa rindu kepada suamimu."

     Barakah yang turut berada di situ mohon bersuara, "Cik puan sekalian, sekiranya kesedihan itu kita turuti, kita akan sedih. Namun sekiranya ia diatasi, kita pasti mampu bergembira. Semuanya berlalu seperti hari semalam. Sudah banyak mana masalah yang kita fikirkan bala kepada kita saat lalu, sudah terlepas pergi. Semuanya berlalu bersama masa."

     Hadirin tercengang seketika.

     "Alangkah bagusnya kata-katamu wahai Barakah."

     Sambil tersenyum malu kerana dipuji, Barakah melirik matanya kepada Aminah. "Sudah tentu, tengok sahaja siapa yang menjadi guru saya."

     Mereka pun ketawa bersama kerana terkesan dek telatah dan celoteh hamba Aminah itu. Mereka kemudian menyambung bicara dan perbincangan mereka dengan Aminah. Aminah mendengar, jasadnya ada bersama para wanita Quraisy itu, namun hatinya terbang nun jauh ke Syam, bersatu dengan jasad Abdullah, suami yang tercinta, sehingga waktu tengah hari menjengah.

     Salah seorang daripada wanita itu mencelah ketika perbualan sedang rancak. Katanya, "Nampaknya bayang pokok itu sudah tiada, ini bermakna waktu sekarang sudah tengah hari. Kita perlu pulang sekarang kerana perlu menyiapkan makan minum suami dan anak-anak."

     Sambil mencebik, kawannya yang datang bersama berkata, "Bukankah kamu mempunyai hamba yang boleh disuruh dan diarah? Buat apa susahkan diri sendiri pula?"

     "Sekiranya diikutkan hati, begitulah. Tetapi suamiku lebih suka sekiranya saya masakan makanan untuknya sendiri. Anak-anak juga lebih berselera."

     Aminah menyatakan persetujuaannya dengan tindakan wanita itu.

     Ada lagi yang kurang berpuas hati lantas menyoal, "Apa beza makanan yang disediakan oleh kita dan hamba kita? Bukankah ia juga makanan yang sama?"

     Yang tidak bersetuju mendatangkan hujah, "Suami dan anak-anak yang makan makanan yang dimasak oleh isteri dan ibu mereka, pasti mereka lebih bahagia dan harmoni. Air tangan isteri dan ibu dapat mengikat dan menambahkan roh kasih sayang sesama mereka. Sudah terbukti, antara sebab sesebuah keluarga menjadi porak peranda adalah tiada perhatian daripada suami mahupun isteri. Memasak untuk suami dan anak adalah lambang keprihatinan dan perhatian serta kasih sayang yang jitu."

     Hampir semua bersetuju dengan pendapat itu. Aminah juga membenarkan kata-kata sahabatnya itu.

     "Benar kata-kata kamu itu. Mari kita pulang ke rumah dan sediakan makanan yang enak-enak kepada keluarga kita. Semoga kita menjadi keluarga yang bahagia."

     Wanita-wanita Quraisy pun pulang ke rumah masing-masing selepas mendapat ketenangan dan inspirasi. Tinggal Aminah dan Barakah berdua-duaan, menjalani hidup seperti biasa. Penuh pengharapan dan impian.

     Pada suatu pagi, sesudah bangkit daripada tidur. Aminah berasa sedikit kelainan dalam dirinya sehinggakan dirinya spontan tersenyum bahagia dan wajahnya juga memancarkan sinar ketenangan.

     Barakah yang kemudian hampir ke bilik beradu Aminah sesudah meminta kebenaran juga perasan dan menegur lunak, "Berbahagialah puan, berbahagialah! Hati saya nyaman dan tenang melihat cahaya daripada wajah puan. Apakah gerangan berita ataupun mimpi yang baik bagi dikongsi?"

     Aminah masih tersenyum bahagia. "Wahai Barakah, saya sendiri tidak pasti perasaan apakah ini. Saya tenang dan damai, sehinggakan tubuh badan ini terasa melayang-layang di angkasa."

     Barakah tersenyum. "Puan gembira dan saya juga turut bergembira. Puan adalah segala-galanya untuk saya."

     Mereka berdua tersenyum bahagia. Sekiranya bukan kerana zaman itu perhambaan adalah sesuatu perkara yang halal, sudah pasti Barakah dijadikan Aminah sebagai adik angkatnya. Saat itu pun, walaupun Barakah hanya seorang hamba, layanan Aminah kepadanya tidak tumpah seperti saudara sendiri.

     Tiba-tiba Aminah teringatkan sesuatu. "Wahai Barakah, hari apakah ini, apakah kamu maklum?"

     Belum pun sempat Barakah menjawab, soalan kedua menerpanya lagi, "Sudah berapa lamakah Abdullah merantau berdagang?"

     Segera Barakah menggerak-gerakkan jarinya, bagaikan mengira-ngira, sesekali nampak kerut dahi dan alis matanya hampir bertaut.

     Kemudian dia memberikan jawapan yang amat membahagiakan Aminah.

     "Puan, sebenarnya hari ini genaplah sebulan tuan saya Abdullah di perantauan untuk berdagang. Ini secara langsung memberitahu kita yang tuan akan pulang dalam masa sebulan lagi."

     "Benarkah wahai Barakah? Apa benar kata-katamu itu?"

     "Tidak syak lagi. Pastinya tuan akan kembali dengan harta kekayaan dan kemasyhuran yang melimpah. Saya pula akan dihadiahkan dengan sepasang baju mahal dan cantik sebagaimana yang dijanjikan oleh tuan."

     Barakah berkata dengan gembira dan penuh harapan. Saat itu dia berpusing-pusing dan berlagak seakan-akan sedang mencuba serta menggayakan baju barunya yang dijanjikan Abdullah dahulu.

     Aminah mengusik Barakah, "Bagaimana sekiranya tuanmu pulang tanpa membawa apa-apa untuk kamu? Untuk kita?"

     Barakah faham yang Aminah sekadar mahu menduga. "Puan, saya sudah mengenali tuan lama sebelum puan lagi dan beliau adalah seorang yang benar. Mustahil beliau tidak mengotakan janji-janjinya kepada kita. Lagipun, antara barang yang dibawa balik dari Syam adalah kain-kain yang mahal dan bermutu tinggi. Sekiranya beliau lupa membeli baju itu, kita minta sahaja kain-kain yang dibawa pulang itu secara percuma dan kita tempah baju dengan tukang jahit di kota Mekah ini."

     Aminah tidak dapat menahan ketawa mendengar celoteh Barakah. Sesaat dia berasa bahagia dan terhibur dengan berita dan gambaran daripada Barakah itu.

     Barakah menyambung bicaranya lagi, "Tahukah puan, apabila sudah maklum rombongan tuan sudah hampir, saya akan terus ke luar kota bagi menyambut mereka. Saya adalah orang pertama yang akan berjumpa dan melihat kemewahan yang mereka punggah itu. Selain itu, hadiah kepada saya juga akan segera saya ambil dan pamerkan kepada rakan-rakan yang lain. Pasti bara cemburu mereka menghangat. Saya akan berkata kepada mereka, 'Lihatlah, puan dan tuan saya amat baik hati dan pemurah orangnya. Lihatlah diri kamu semua, apa yang kamu semua dapat daripada tuan kamu?' Bayangkan perasaan mereka saat itu.

     Aminah terus ketawa halus sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, barangkali dia sangat geli hati. Namun pada masa yang sama, beliau masih menjaga adabnya sebagai seorang gadis dan isteri kepada putera kaum Quraisy, Abdullah.

     Tiba-tiba hati Aminah kembali suram apabila nama Abdullah terlintas di mindanya. Barakah yang perasan perubahan itu segera memainkan peranan.

     "Usahlah berdukacita wahai puan yang mulia. Sebaik sahaja genap sebulan dari sekarang, saya memacu kuda menuju ke lapangan padang pasir yang menjadi laluan mereka bagi menunggu rombongan itu sampai. Sebaik sahaja mereka sampai, saya menjadi orang pertama yang akan melihat tuan. Seterusnya saya memacu datang kepada puan bagi mengkhabarkan berita gembira itu."

     "Saya mendoakan apa yang kamu ucapkan menjadi kenyataan, wahai Barakah. Sungguh, penantian ini suatu penyeksaan. Sekiranya mampu dicabut nyawa dan roh ini bagi dilayangkan ke Syam supaya dapat berdampingan Abdullah, nescaya saya tidak teragak-agak melakukannya."

     "Saya pasti tuan juga berperasaan sedemikian. Meskipun jasadnya jauh daripada pandangan mata kasar kita, tetapi yakinlah rohnya tetap wujud di dalam rumah ini."

     Bulan menggantikan matahari dan matahari pula mengambil tempat bulan, silih berganti tanpa henti. Bintang-bintang pula menjadi petunjuk kepada para musafir yang sedang merentas dengan tabah dan gagah di padang pasir. Siangnya panas mengewap, malamnya sejuk membeku.

     Namun urat nadi, darah, kulit, jiwa rasa orang Arab Quraisy adalah berasal daripada situ. Mustahil mereka tidak merasai apa yang mereka dan nenek moyang mereka rasai.

     Hari ini, seperti biasa Aminah dikunjungi oleh wanita-wanita Quraisy yang perlukan buah fikirannya, untaian kata mutiaranya dan menumpang cahaya damai pada wajahnya. Namun hari ini berlainan sekali. Semua yang hadir perasan kelainan yang wujud pada Aminah.

     Salah seorang bertanya lembut, "Wahai Aminah, penyejuk hari kami. Galau apakah yang melanda dirimu? Sungguh kami dapat rasakan kesuraman yang menyelubungimu."

     Aminah hanya terdiam, membisu seribu bahasa. Hanya senyuman pahit dilontarkan sebagai jawapan kepada soalan tadi.

     Seorang lagi cuba memujuk supaya Aminah meluahkan apa yang terbungkam dalam hatinya, "Wahai Aminah, puteri kaum Quraisy, tahukah kamu kegundahan yang melanda dan terlihat pada wajah kamu menyeksa kami semua? Kami mohon kepadamu, ceritakanlah kepada kami supaya bebanan itu terasa sedikit ringan."

     Aminah masih membisu, Barakah juga tidak seceria biasa. Dia juga buntu berhadapan dengan puannya pada hari itu. Dia mula menyedari kelainan diri Aminah sejak pagi tadi. Kini, air mata jernih mula meleleh dari kelopak mata, tidak mampu diseka Aminah lagi. Sekalian yang hadir turut mengalirkan air mata meskipun tidak tahu apakah sebabnya. Yang mereka dapat tebakkan adalah rasa rindu Aminah yang amat, kepada suaminya Abdullah.

     Melihat Aminah menangis, seorang wanita yang sedikit berumur cuba menenangkannya dengan berkata, "Wahai Aminah, mengapa kamu bersedih sedangkan waktu ini adalah waktu yang paling bahagia buat dirimu? Pada saat-saat akhir ini, sepatutnya dirimu bersiap-siap dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Pada bila-bilasa masa sahaja Abdullah, jantung hatimu akan muncul dan saat itu kami tidak akan mengacaumu seperti ini lagi. Berbahagialah wahai puteri bangsa Quraisy dari bani Zuhrah."

     Aminah sedikit terkesan dengan kata-kata kakak itu. Lama dia menyeka nafas lantas memulakan bicara, "Kita semua manusia biasa yang mengharapkan keselamatan, namun sedar ataupun tidak, kita tidak pernah mampu menahan sebarang bencana yang ditakdirkan kepada kita. Saya khuatir dan hati ini sejak akhir-akhir ini sentiasa mendapat firasat, sesuatu yang tidak baik bakal berlaku. Kerana itulah saya hanya berduka dan memendam rasa."

     Mendengar luahan Aminah itu, para hadirin terdiam seketika sebelum seorang demi seorang berbicara menenangkannya.

     "Tidak Aminah, janganlah kamu risau. Sesungguhnya Tuhan melindungi diri kamu dan suamimu, Abdullah. Kamu berdua adalah orang baik yang tidak mungkin ditimpa cela." Salah seorang daripada hadirin cuba menenangkan Aminah.

     "Benar, Tuhan pasti kasihan kepada kamu dan Abdullah. Kamu berdua bukan orang jahat yang membuat onar di muka bumi ini," pujuk yang lain pula.

     "Mungkin itu hanya perasaanmu, syak yang tidak baik adalah daripada syaitan. Janganlah kamu terlalu terikut-ikut dengan perasaan yang tidak enak itu." Hadirin yang lain pula memujuk.

     Begitulah seterusnya, namun semuanya hanya sia-sia. Aminah tetap merasakan ada sesuatu yang tidak baik bakal berlaku. Apakah ia? Dirinya sendiri tidak pasti. Dirinya terus gundah.

     Wanita-wanita Quraisy meminta izin pulang ke rumah kerana mahu bersiap sedia bagi menyambut suami masing-masing yang dijangka sampai keesokan harinya.

     Kini Aminah sendirian melayan rasa gundahnya. Menanti mentari esok dengan penuh debar. Semalaman tidurnya tidak lena kerana terganggu, namun Barakah tetap setia di sisinya kerana kasihan kepadanya.


====================


Suasana kota gegak-gempita dan hiruk-pikuk dek sokongan gembira. Rombongan yang berdagang ke Syam sudah kembali. Dari jauh kelihatan mereka sayup-sayup sedang berjalan perlahan.

     Barakah tergesa-gesa masuk ke dalam rumah dan mendapatkan Aminah dengan wajah yang berseri-seri, "Puan, nampaknya rombongan sudah masuk ke dalam sempadan negeri, saya mohon izin ke sana bagi mendapatkan tuan."

     Aminah juga teruja, walaupun hati dan jiwanya masih berbekas resah dan gelisah. "Baiklah, namun kamu juga perlu berhati-hati. Segera pulang apabila mendapat maklumat tentang tuanmu, Abdullah."

     Barakah mengiyakan dan berlalu pergi. Dia menunggang kuda sepantas mungkin menuju ke arah rombongan yang sedang bergerak perlahan itu.

     Di rumah, Aminah semakin gelisah. "Wahai Tuhanku, mengapakah aku berperasaan begini? Apakah petanda kepada semua ini?"

     Kadang-kadang dia cuba menenteramkan dirinya dengan membayangkan Abdullah pulang sebentar sahaja lagi.

     Lama menanti.

     Hatinya menghitung. "Barakah, mengapa kamu lambat sangat di sana? Apakah yang sedang berlaku, saat aku sendirian, engkau meninggalkanku? Bagaimana pula dengan tuanmu, Abdullah? Adakah dia selamat? Adakah dia sihat dan sebagainya?"

     Masih belum ada yang datang menziarahinya melaporkan khabar semasa. Aminah semakin tertekan dan gelisah, hatinya membentak-bentak. Suasana kota sudah riuh-rendah kerana rombongan sudah sampai dan masuk ke dalam kota Mekah.

     "Abdullah... di mana suamiku, Abdullah?" Aminah sudah bercucuran air mata, galau hatinya sudah tidak mampu diseka-seka lagi.

     Aminah membujuk fikir bagi menyedapkan hatinya. "Mungkin Abdullah sekarang di Kaabah, sedang bertawaf. Mungkin juga di rumah ayahnya, Abdul Mutalib. Mungkin juga dia sedikit terlewat, mungkin juga...."

     Segala jenis kemungkinan melanda benaknya, namun dia akur itu hanya telahan mindanya dan bukan hakikat. Tiba-tiba kedengaran detap bunyi tapak kasut semakin dekat dengan rumah, perasaan risau Aminah memuncak. Dia hampir tidak dapat mengawal emosinya dengan baik. Apabila pintu diketuk beberapa kali, Aminah datang mendapatkan mereka. Pintu dibuka dan Aminah terkejut melihat mereka yang datang adalah....




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment