Tuesday 22 March 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 25 - HASSAN AL-BASRI ]






HASSAN AL-BASRI




Selepas banyaknya penolakan peminangan oleh Rabiah pada lelaki yang mahu menjadikannya isteri, kini tiada lagi yang berani masuk meminang. Ini kerana mereka sedar yang tindakan itu hanya sia-sia, malah mengaibkan diri sendiri.

     "Sekiranya lamaran sultan dan raja pun Rabiah tolak, apatah lagi kita," kata seseorang ketika sedang berborak sesama mereka.

     "Bukan itu sahaja, ulama yang sealim dan zuhud seperti Abdul Wahid bin Zaid pun kecundang," tambah rakannya pula.

    "Memang Rabiah seorang wanita yang sangat teguh prinsipnya, seteguh gunung-ganang, setegas matahari yang memancarkan sinar di padang pasir," kata kawannya yang lain pula.

     Pada suatu hari, berlangsung muktamar yang dihadiri oleh ramai ulama yang alim lagi zuhud. Rabiah tidak ketinggalan menyertainya. Semasa dia duduk di suatu sudut, datang seorang ulama besar menyapa dan berbincang dengannya.

     Ulama itu adalah Hasran al-Basri. Selepas melabuhkan diri dan bersila, dia lantas mengajukan persoalan kepada Rabiah. "Wahai Rabiah, adakah kamu akan bernikah?"

     Selepas kata-kata Hasan al-Basri menjengah gegendang telinga Rabiah, dia terkejut. Ada riak kemarahan pada wajahnya. Mungkin kerana tidak menyangka yang bertanya kepadanya adalah Hasan al-Basri, yang juga sudah mengisytiharkan dirinya tidak akan berkahwin.

     Namun Rabiah cepat-cepat sedar yang Hasan al-Basri mungkin mahu mengujinya. Dengan lembut dia menjawab, "Nikah itu menjadi kepentingan bagi orang yang mendambakannya, sedangkan saya tidak punya pilihan lagi kerana pilihan saya, dengan nazar yang dibuat, saya tidak akan berkahwin hingga ke akhir hayat. Saya membuat keputusan mahu menghabiskan masa saya hanya untuk Allah. Saya bertekad mahu hanya bernaung hanya di bawah perintah-Nya."

     Terlukis jelas pada wajah Hasan al-Basri berkenaan kekagumannya pada Rabiah. Hasan al-Basri semakin teruja mahu bertanya.

     "Wahai Rabiah, apakah cara yang kamu lakukan bagi mencapai martabat yang setinggi ini?"

     Belum pun sempat dijawab Rabiah, soalan kedua terus sahaja menyusul.

     "Bagaimanakah pula kamu mampu mencapai makam yang mana setiap tindakanmu adalah ketentuan daripada Allah?"

     Juga tidak sempat dijawab, Hasan al-Basri terus dengan soalan ketiga.

     "Apakah caranya kamu mencapai kedudukan yang menggambarkan yang setiap tindakan dan kelakuanmu adalah berdasarkan bisikan ilham daripada Allah?"

     Rabiah hanya tertunduk bisu. Selepas mendapati Hasan al-Basri sudah menghabiskan persoalannya barulah Rabiah bersuara.

     "Semua persoalan itu akan terjawab apabila kita sebagai hamba Allah berjaya memerangi nafsu malah menaklukinya."

     Hasan al-Basri kagum dan terharu. "Alangkah bertuahnya Rabiah kerana mendapat semua itu, alangkah malangnya lagi kami ini yang masih amat jauh bagi mencapai makam itu."

     Mereka yang mendengar perbincangan itu juga terduduk diam kerana bermuhasabah.

     Kemudian Hasan al-Basri bertanya lagi, kali ini dengan lebih mendalam. "Wahai Rabiah, tahukah kamu apa sebabnya kami semua belum menakluki makam itu?"

     Dengan soalan ini, jelas menunjukkan yang Hasan al-Basri merasakan dirinya jauh di belakang Rabiah. Namun dia tidak malu mengaku.

     Seperti sebelumnya, belum sempat Rabiah menjawab, soalan kedua pula menjengah.

     "Ceritakanlah kisah-kisah saudari semasa ilham menjadi pendorong tindakan saudari?"

     Selepas mendapati Hasan al-Basri sudah bersedia mendengar jawapannya, barulah Rabiah memulakan bicara, "Pernah terjadi, saya sudah ke pasar dengan membawa dua ikat tali yang setiap satunya berharga dua miskal emas. Kedua-dua tali itu saya mahu jual bagi membeli makanan. Hanya satu daripada tali itu yang saya pegang dengan kedua-dua belah tangan, kerana khuatir sekiranya dipegang kedua-duanya, saya pasti tersesat daripada jalan yang lurus."

     Sekali lagi Hasan al-Basri terpana dengan jawapan Rabiah yang begitu mendalam maknanya itu lantas menyebabkan Hasan al-Basri menumpahkan lebih banyak air mata, tanpa dihiraukan hadirin yang berada di sekelilingnya.

     Dalam getar suara dia berkata, "Andai kata di syurga kelak, saya ditakdirkan jauh daripada wajah Allah walaupun hanya sehela nafas nescaya saya menangis sehingga dikasihani."

     Rabiah yang memahami maksud Hasan al-Basri pula menjawab dengan hikmah. "Ingatlah, orang yang zuhud lagi abid sentiasa mengingati Allah dalam suka dan duka, dalam sedar mahupun tidak, dalam ratap dan juga tangis supaya di akhirat kelak ia menjadi bukti bagi mendapatkan balasan yang sudah tersedia."

     Berdasarkan hujah-hujah inilah dikatakan yang Rabiah dan Hasan al-Basri bukanlah manusia biasa, bahkan adalah wali-wali Allah yang terpilih. Adapun nabi ataupun rasul itu semestinnya seorang lelaki, namun wali Allah itu boleh terdiri daripada lelaki ataupun perempuan.

     Pernah juga berlaku kepada Rabiah, seseorang datang bagi berdialog dengannya.

     Selepas dapat bertemu dengan Rabiah, pemuda itu lantas bertanya, "Wahai Rabiatul Adawiyah, apakah sebabnya kamu menghindari pernikahan?"

     Pemuda itu mungkin mahu menguji Rabiah, ataupun mungkin juga ada niat tersirat di hatinya.

     Rabiah menjawab dengan penuh berhikmah kerana dia sedar sekiranya dijawab dengan jawapan yang lemah, pasti dirinya menjadi bualan.

     "Saya akan berkahwin juga."

     "Benarkah?"

     "Benar, sekiranya mereka yang mahu mengahwini saya itu mampu mencari jalan bagi mengeluarkan, menyelamat dan mengubati saya daripada tiga kerisauan dan dukacita yang sedang saya hadapi."

     Pemuda itu kelihatan teruja kerana sangkanya umpan sudah mengena.

     "Sekiranya begitu, khabarkan."

    Rabiah diam seketika sambil matanya terpejam. Dengan perlahan-lahan dia mengangkat mukanya seraya membuka mata dan berkata, "Pertama, saat malaikat maut mencabut nyawa yang tunggal ini, apakah dirinya dapat menjamin saya menghadap Allah dengan keimanan yang sempurna?"

     Pemuda itu terkedu dan mulutnya terkunci rapat. Melihatkan pemuda itu tidak bersuara, Rabiah meneruskan perbicaraannya. "Kedua, sejurus berada di padang mahsyar, dapatkah dirinya memastikan saya menerima buku amalan sepanjang kehidupan dengan tangan kanan?"

     Sekali lagi tiada jawapan daripada pemuda itu. Hanya bunyi tiupan angin di padang pasir sahaja yang menerobos ke gegendang telinga mereka.

     Kemudian Rabiah menyambung lagi kata-katanya. "Yang ketiganya adalah, selepas hisab di padang mahsyar, golongan yang soleh akan dimasukkan ke dalam syurga manakala golongan yang kufur dihumban ke dalam neraka. Apakah dia dapat menjamin saya berada di syurga?"

     Pemuda itu menjawab lemah, "Ternyata hanya kamu dan Allah yang mengerti apa yang kamu lakukan."

     Dia kemudian memalingkan diri bagi berlalu pergi dalam kekecewaan dan hitungan yang berat.

     Kebetulan pada waktu itu ramai hadirin yang berada di rumah Rabiah mendengar perbualan itu. Mereka kemudian berkata kepada Rabiah, "Wahai guru, apakah maksud perbualan tadi? Sesungguhnya kami yang cetek ilmu ini tidak mengerti."

     Rabiah tersenyum lalu berkata, "Sahabat sekalian, hidup saya sentiasa dihiasi rasa takut kepada hal-hal akhirat. Apakah perlunya lagi suami, kerana bersuami itu pasti mengehadkan masa saya dengan Allah. Itulah adalah kerugian yag tidak mampu saya laburkan."




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment