Sunday 20 March 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 24 - PENJERNIHAN ]






PENJERNIHAN




"Dengan izin Allah, kali ini Rabiah pasti terbuka hati bagi menerima saya sebagai suaminya," getus hati Abdul Wahid.

     Selang beberapa hari selepas dia menghantar anak muridnya Abdullah bagi melamar Rabiah gagal, Abdul Wahid bertekad mahu berdepan sendiri dengan wanita sufi itu.

     "Apakah guru yakin?" soal Abdullah, masih dengan keraguan dan kurang keyakinan.

     "Dengan izin Allah, apa yang mustahil? Namun, sekiranya ia terjadi tidak seperti yang kita mahukan, sewajarnya kita reda," jawab Abdul Wahid.

    "Usaha yang patut diutamakan. Adakah kenyataan saya benar?" soal Abdullah pula.

     "Benar, Nabi Muhammad seorang nabi yang mustajab doanya, raja segala wali Allah malah adalah orang yang paling dekat dengan Allah. Tetap dituntut padanya usaha yang gigih dalam menyampaikan dakwah Islam kepada manusia pada zamannya." Abdul Wahid menerangkan.

     "Sekiranya begitu kata guru, saya doakan semoga guru berjaya. Semoga Allah merahmati kita," kata Abdullah kepada gurunya itu.

     Abdul Wahid bergerak menuju ke pondok Rabiah. Di dadanya penuh dengan keyakinan yang Rabiah pasti akur pada hujah-hujahnya nanti. Dia yakin yang Rabiah sudi menjadi isterinya.

     Rabiah yang ketika itu sedang melakukan ibadah sebagai rutinnya, dikejutkan dengan salam daripada seseorang. Rabiah keluar mendapatkan tetamunya.

     Sejurus melihat kelibat Rabiah, Abdul Wahid segera memberi salam dan membentangkan segala rencana yang sudah dipahat dalam mindanya dan ditetapkan dalam hatinya  itu, tanpa sempat Rabiah bersuara.

     "Wahai Rabiah yang mulia, saya tahu saudari juga faham maksud kedatangan saya. Ingin saya katakan yang perkahwinan ini bukan penghalang bagi kita beribadah kepada Allah. Bahkan inilah antara caranya orang seperti kita mendapat semangat dan motivasi supaya lebih kuat dalam munajat dan ibadah kita."

     Rabiah hanya membisu.

     "Percayalah wahai Rabiah, saya ikhlas mahu berkahwin dengan saudari kerana kita ini seluhur dan sejalan. Tiada bezanya antara kita, kita menuju ke jalan dan martabat yang sama. Apakah yang dirisaukan lagi, saya yakin inilah ketetapan Allah kepada kita.

     Melihat Rabiah hanya membatukan diri, Abdul Wahid meneruskan lagi.

     "Saudari bukan tidak kenal kepada Ahmad al-Hawari dan isterinya juga pasangan Ma'azah al-Adawi dan suaminya. Mereka yang akan kita contohi. Tidak pula saya dengar ibadah mereka kepada Allah terganggu dengan perkahwinan itu, bahkan saya melihat mereka semakin kuat beribadat kerana dorongan masing-masing. Saya yakin kita juga boleh begitu."

     Suasana hening. Abdul Wahid menarik nafas dalam, dia puas kerana dapat menghamburkan apa yang terbuku di sanubarinya. Terasa ringan badannya daripada beban-beban itu.

     Rabiah masih diam tanpa reaksi, kepalanya tertunduk. Abdul Wahid menjangkakan yang Rabiah malu dan sedang menyusun kata bagi mengatakan 'ya' kepadanya.

     Rabiah mengangkat mukanya. Abdul Wahid terperanjat kerana melihat biji mata dan kawasan di sekelilingnya merah menyala, seperti saga cahayanya.

     Rabiah kemudiannya bertempik sekuat-kuat hatinya, "Wahai lelaki yang jalang! Nafsumu begitu liar sekali! Adalah baik sekiranya kamu dapatkan perempuan lain bagi melampiaskan nafsu dan syahwat butamu itu! Adakah kamu rasa saya ini sanggup dijadikan alat pemuas nafsumu?"

     Rabiah pun berlalu pergi dengan perasaan geram dan marah. Abdul Wahid ditinggalkan begitu sahaja.

     Abdul Wahid terpana dan badannya menggigil. Dia tidak berani mengangkat mukanya. Dia keliru dan perasaan menyesal menguasai diri. Rasa geram juga menjengah, bercampur baur.

     Tidak lama kemudian, dia pun keluar dari rumah Rabiah. Sepanjang jalan hatinya bergelora, pandangannya kabut, dan mindanya kusut.

     "Mengapa? Mengapa Rabiah boleh berkata begitu? Apakah benar katanya? Adakah aku ini lelaki jalang?" Macam-macam persoalan menjengah kotak mindanya.

     Melihat gurunya yang bermuram durja, Abdullah tahu ini bukan masa yang sesuai mahu ditanya. Kemudian dia terdengar gurunya itu memanggil, "Abdullah, mari ke sini. Ada hal yang saya mahu bicarakan."

     Abdullah segera merapati gurunya.

     "Abdullah, tahukah kamu apa yang berlaku?"

     Abdullah hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu menjawab walaupun mahu sahaja dia mengatakan yang bukankah dia pernah menasihati gurunya supaya jangan diteruskan niat itu.

     "Mengapa kamu tidak menjawab?" Abdul Wahid masih memejam mata dan dirinya disandarkan ke dinding madrasah.

     "Khabarkan sahaja guru, saya sudi mendengarnya." Abdullah cuba memendekkan persoalan.

     "Rabiah mengatakan yang guru ini seorang lelaki jalang. Dia juga mengatakan yang dia tidak bersedia dijadikan tempat melepaskan nafsu. Apakah maksudnya?"

     Abdullah hanya mampu menggeleng kepala.

     "Apakah salah niat guru mahu berkahwin dengannya? Bukankah sebelum ini dengan izin Allah, keseronokan dunia lain dapat guru hindarkan. Perkahwinan itu adalah suruhan agama dan sunah Rasulullah. Mengapakah dia tidak mengerti?"

     "Pada pendapat saya, niat guru mahu berkahwin tidak salah. Yang salahnya adalah wanita pilihan guru itu."

     "Maksudmu?"

     "Saya rasa masalah ini tidak timbul sekiranya perempuan yang guru mahu nikahi itu bukan Rabiah. Rabiah itu rasa cinta dan rindunya kepada Allah beratus kali ganda lebih hebat daripada kita."

     "Bukannya kita ini bukan daripada kelompok yang sama?"

     "Benar guru, namun saya rasa Rabiah berfikir masa yang perlu bagi melayani suami hanya membuang masa kerana dia mahu memanfaatkan setiap detik hanya untuk kekasihnya yang hakiki."

     "Itu bukan suruhan agama."

     "Seharusnya kita menghormati prinsip Rabiah kerana hanya Allah dan dirinya yang lebih mengetahui hakikat itu."

    Abdul Wahid kemudian ditenangkan oleh muridnya, kemudian baru dia menyedari yang keinginan mahu berkahwin dengan Rabiah bukan kerana Allah semata-mata. Sudah timbul niat-niat halus lain sekaligus menyebabkan Allah segera memberi peringatan kepadanya.

     Mungkin sahaja sekiranya Allah temukan jodoh mereka, Abdul Wahid menjadi riak kerana memiliki Rabiah. Mungkin juga sifat kagum pada diri sendiri mengakar lalu menyebabkan dia terjerumus ke lembah yang hina. Kini dia reda dan kembali kepada Allah.

     Orang ramai di Basrah semakin galak membicarakan perihal terbaru itu.

     "Rabiah itu, selepas pinangan sultan ditolaknya mentah-mentah, pinangan guru kita Abdul Wahid juga tidak diterima."

     Kawannya yang seorang lagi segera menambah, "Rabiah itu wajar dimuliakan kerana cintanya hanya kepada Allah."

     Ada pula yang mengiakan, "Tidak wajar sekiranya kita masih meragui keikhlasannya dalam mendatangkan diri pada lingkungan cinta yang hakiki."

     "Dahulu pernah orang berkata yang Rabiah menolak pinangan orang kebanyakan kerana menanti yang hartawan. Ternyata tidak benar dakwaan itu kerana pinangan sultan pun dia tolak."

     "Ada pula yang mendakwa, mungkin dia menunggu golongan cendiakawan, orang soleh, zuhud dan alim yang dikatakan setaraf dengan makamnya. Ternyata Abdul Wahid yang selalu sahaja bersamanya dalam majlis-majlis zikir, majlis ilmu malah tidak kurang hebat amal ibadatnya itu juga, Rabiah tolak hasratnya."

     Kini penduduk Basrah semakin yakin dan menghormati Rabiah kerana prinsipnya itu. Walaupun pandangan mata kasar menampakkan dirinya melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat Islam namun... hanya Rabiah dan Kekasih tautan hatinya sahaja yang mampu menjawab dan menghurai persoalan batiniah itu.




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR,  OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment