Friday 29 January 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 12 - KARAMAH ]






KARAMAH




Walaupun dalam serba kesengsaraan dan kedaifan, Rabiah tetap jua membesar bertunjangkan kecintaan dan pengabdian diri kepada Allah. Dengan zikir dan munajat serba ibadah yang berterusan itu ia memberi Rabiah cas-cas tenaga yang sangat kuat. Pada siangnya Rabiah diperhambakan oleh sepasang suami isteri yang zalim, tetapi malamnya dihiasi dengan perhambaan kepada tuan segala tuan, raja segala raja dan kekasih segala kekasih.

     Itulah sumber kekuatan dan motivasi malah insipirasi Rabiah. Tiada lain di hatinya melainkan Allah.

     Pada suatu malam, tuan kepada Rabiah berasa gelisah dan tidak boleh melelapkan mata. Puas dipejamkan matanya, namun mata yang dipinjamkan oleh Allah itu ingkar kepada tuannya. "Apa yang tidak kena pada diriku? Puas kucuba tidur namun mata ini tidak juga mahu lena, hati ini pula sudah beberapa hari tidak tenteram. Apakah maksudnya ini?"

     Si isteri yang kemudiannya terjaga, menyedari suaminya sedang termenung di hujung katil lalu menyapa, "Mengapa tidak tidur lagi? Ada apa-apa yang mengganggu?"

     Si suami hanya diam, seakan tidak mendengar pertanyaan isterinya itu.

     "Sudahlah, ayuh kita tidur. Hati sudah larut malam."

     "Saya rasa tidak sedap hati."

     Si isteri terkejut mendengar jawapan ringkas suaminya itu, lantas matanya yang separa tertutup tadi tidak semena-mena terbuka luas. "Maksud abang?"

     "Berkenaan hamba kita, Rabiah," jawab si suami itu lagi.

     "Mengapa dengannya?" Si isteri mahukan kepastian sekalipun sudah tahu maksud suaminya itu.

     "Sehari dua ini saya banyak perhatikan dirinya. Selain patuh kepada arahan kita walaupun kita banyak menyeksanya, saya perasan mulutnya sentiasa berkumat-kamit melafazkan zikir. Sejak dia bersama kita di rumah ini, dia tidak pernah meninggalkan solat kecuali sedang uzur."

     "Maksud abang, tekaan saya sebelum ini tepat?"

     "Itu yang menjadi kerisauan kepadaku. Sekiranya benar dirinya adalah wali Allah, nescaya kita sangat bersalah dan perlu memohon maaf di atas kelakuan kita kepadanya."

     Sedang asyik mereka berbincang, tiba-tiba mereka terdengar bunyi yang sangat pelik dari salah satu bilik di dalam rumah mereka.

     "Ada yang mahu merompak rumah kita agaknya," kata si isteri.

     "Bukan, ini bunyi suara orang. Bunyinya seakan-akan sedang meratap, sendu sungguh bunyinya."

     "Bunyi itu seperti datang dari bilik Rabiah."

     "Benar, ayuh kita siasat apa yang sedang berlaku."

     "Abang pergilah seorang diri, saya tidak mahu membuang masa dengan perkara-perkara sebegini."

     Tanpa menghiraukan isterinya, perlahan-lahan lelaki gemuk itu menuju ke bilik Rabiah. Dia mahu mengintai apa yang sedang berlaku di dalam bilik hamba mereka.

     Selepas beberapa lama di situ, majikan lelaki Rabiah kembali ke biliknya dengan keadaan terketar-ketar pada seluruh tubuhnya. Mukanya pucat seperti baru terserempak dengan malaikat maut. Selepas ditenangkan oleh isterinya, barulah dia boleh berkata-kata.

     "Apakah yang  berlaku? Kamu hanya membuatkan saya takut sehingga setengah mati dengan kelakuanmu tadi." Si isteri mula risau melihat perubahan pada suaminya.

     "Rabiah... Rabiah..." Kata-katanya tersekat dan bergetar alur lidahnya bagi mengucapkan kata. Memang benar sekiranya dikatakan dia terpana dengan perkara yang ajaib sebentar tadi.

     "Apakah yang kamu lihat di bilik hamba kita itu?" soal si isteri lembut, tidak mahu terus memberi tekanan kepada suaminya.

     "Semasa ke bilik Rabiah, saya melihat dia sedang sujud." Terhenti seketika, mengumpul tenaga, nafasnya turun naik dan dadanya berombak. Selepas menenangkan diri, dia kembali menyambung, "Rupa-rupanya Rabiah sedang bertahajud kepada Allah."

     "Celakalah kita wahai isteriku!" raung si suami.

     "Apa maksud kamu?" Kaget si isteri melihat aksi suaminya.

     "Tahukah kamu apa yang Rabiah sedang doakan dalam sujudnya tadi? Dengan deraian air mata suci yang mengalir kerana Allah dia berkata, 'Ya Allah, sesungguhnya aku sentiasa mahu berbakti, berkhidmat dan bermunajat hanya kepada-Mu. Dan aku hanya bergembira sekiranya boleh berkhidmat kepada-Mu. Andainya ada kebebasan padaku bagi memilih, sudah pasti pilihannya adalah bermunajat kepada-Mu. Pilihan utamaku hanya di situ dan tidak lewa walaupun sesaat daripada mengingati, merindui dan melayari bahtera cinta-Mu bagi berzikir, bertasbih dan bermunajat kepada-Mu. Tetapi aku hairan mengapa aku kini dalam dakapan nafsu orang yang zalim, jahat dan tiada kenal erti kecintaan dan kasih sayang-Mu. Mengapa ya Allah... mengapa ya rahman... mengapa ya rahim'."

     Ada esak pilu di hujung suara yang mengiringi sendunya, sang perindu mengadu kepada kekasihnya dek kerana masa bersama yang sangat terbatas.

     Mendengar kata-kata suaminya itu, si isteri hampir pengsan. Ada getar yang maha dasyat menyerang dan menusuk sanubarinya. Dia meraung-raung kepedihan dan kejelikan mengenangkan perbuatan mereka kepada Rabiah selama ini.

     "Kita mestilah lakukan sesuatu," kata si isteri.

     "Saya amat menyesal sekarang. Apa sanggup Rabiah ampunkan kesalahan kita selama ini?" Si suami masih berkira-kira.

     "Baik kita cuba dahulu. Walaupun ada kemungkinan Rabiah tidak maafkan kita, paling kurang kita sudah mencuba," tambah si isteri itu lagi. "Lagipun saya yakin, Rabiah itu baik hatinya. Kita sahaja yang melayannya dengan cara yang tidak wajar."

     "Sepatutnya Rabiah itu kita anggap sebagai anak kerana kita juga sudah tua dan tidak mempunyai zuriat. Allah sudah hantar seorang anak sebaik malaikat namun kita sia-siakan. Kita memang buta."

     "Alangkah ruginya kita kerana melihat dia membesar di hadapan kita tanpa sedar kelebihannya dan kita tidak memanfaatkannya."

     "Saya sudah nekad, kita mesti bebaskan Rabiah. Tidak selayaknya dia memperhambakan dirinya kepada kita lagi. Kesilapan terbesar dalam hidup kita adalah memperhambakan Rabiah yang dibeli dengan harga enam dirham sahaja."

     Majikan lelaki Rabiah termenung panjang pada keesokan paginya, tergambar pada wajahnya lukisan resah dan gundah gulana. Apabila isterinya datang, si suami terus berkata, "Sebenarnya masih ada perkara yang saya lihat semalam di bilik Rabiah, namun tidak mampu diungkapkan."

     Si isteri terus memandang suaminya tanpa kelipan mata, bersedia mendengar apa sahaja yang bakal diluahkan oleh suaminya.

     Si suami tetap memakukan pandangannya nun jauh ke tengah padang pasir waktu duha itu, kemudian memulakan bicara, "Sebenarnya saya melihat perkara yang sangat ajaib di bilik Rabiah semalam."

     Dia berhenti sejenak, cuba mengingati dengan jelas apa yang dilihat semalam.

     "Bukankah Rabiah itu kita bekalkan sebuah lampu untuk kegunaannya pada malam hari?" beritahu si suami.

     "Benar," jawab si isteri yang masih tekun menghadap suaminya.

     "Aneh, lampu yang buruk itu mengeluarkan nyalaan yang begitu memukau. Ia seakan-akan hidup dan berinteraksi dengan saya. Lampu itu juga seolah-olah mahu memberitahu yang saya tidak layak berada di situ."

     Dia menyambung lagi, "Api itu tiba-tiba membesar, seolah-olah mahu menerkam dan membaham saya. Saya sangat terkejut sehingga hampir pengsan, namun saya gagahi juga untuk kembali ke bilik."

     Si isteri terpegun mendengar kata-kata suaminya lalu berkata dalam hati, 'Ya Allah, masih adakah cebisan keampunan-Mu untuk kami?'




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment