Thursday 31 March 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 29 - MALIK BIN DINAR ]






MALIK BIN DINAR




Malik bin Dinar adalah ulama besar Basrah yang mempunyai hubungan yang rapat dengan para pedagang dan orang kaya Basrah. Pada suatu ketika Malik bin Dinar didatangi oleh kumpulan orang kaya dengan satu tujuan.

     Apabila mendapati Malik bin Dinar ada di rumahnya, mereka beramai-ramai menziarahi Malik bin Dinar. Selain daripada datang berziarah, mereka juga mahu membincangkan hasrat mereka.

     Salah seorang pedagang yang paling anggun dan layak menjadi ketua bersuara, "Wahai guru, kami ini antara orang kaya yang dikurniakan rezeki yang melimpah ruah oleh Allah. Kami semua bersepakat mahu menginfakkan sedikit harta kami ke jalan Allah."

     Mendengar kata-kata mereka itu, Malik bin Dinar tersenyum lebat. Dadanya lapang dan lantas berkata, "Maha suci Allah, sesungguh selepas Abu Bakar, Umar dan Usman. Ternyata masih ada lagi hartawan yang dermawan persis mereka semua. Mereka adalah saudara-saudara yang berada di hadapan saya."

     Hadirin yang hadir semuanya berbesar hati.

     "Namun, kami ada kemusykilan."

     "Apakah maksud kamu?"

     "Tuan guru adalah orang yang kami paling percaya."

     "Alhamdulillah, semoga Allah juga mempercayai saya."

     "Kami khuatir sekiranya orang yang kami mahu infakkan harta kami itu tidak sudi menerima pemberian kami."

     "Mengapa begitu? Masakan mungkin ada orang yang memerlukan tidak mahu apa yang diperlukannya."

     "Ini kerana, walaupun dirinya memerlukan namun dia tetap tidak mahukannya."

     "Maksud kamu?"

     "Rabiatul Adawiyah."

     "Benar firasat saya."

     Kelihatan Malik bin Dinar berat bagi meneruskan perbincangan itu kerana sudah tahu sikap Rabiah apabila dihadapkan dengan perkara dunia.

     "Kami hanya mahu menyedekahkan harta kami ini kepada Rabiah."

     "Benar, tuan guru." Hampir serentak pula sahutan kawan pedagang kaya itu.

     Malik bin Dinar susah hati, ditelan mati emak diluah mati bapa. Apakah dia sanggup dimaki dan dimarahi oleh Rabiah? DIa tidak mahu menjadi seperti Abdul Wahid bin Zaid yang menghancurkan hubungannya dengan Rabiah kerana melamar Rabiah.

     "Aku tidak sanggup berpisah dengan perbincangan dan majlis ibadah bersama Rabiah. Aku khuatir sekiranya aku sampaikan hajat mereka ini, Rabiah marah dan terus bermasam muka dengan aku." Malik bin Dinar bermonolog dalam hati.

     Namun selepas berkira-kira dengan mendalam, Malik bin Dinar bersetuju dengan berat hati. Walaupun tahu, mustahil bagi menjinakkan Rabiah dengan sumbangan duniawi seperti itu.

     Malik bin Dinar pun menuju ke rumah Rabiah seperti biasa bagi sama-sama bermunajat kepada Allah. Sepanjang perjalanan, Malik bin Dinar dirundung perasaan kurang enak sehingga tumpuannya pada zikir kepada Allah terganggu.

     Apabila berada di rumah Rabiah, Malik bin Dinar mengatur langkah dan menyusun rencana supaya apa yang mahu disampaikannya kelak tidak merosakkan suasana ibadah mereka pada hari itu.

     Malik bin Dinar sengaja datang awal pada hari itu. Selepas mendapatkan Rabiah dan berbasi-basi dengannya, Malik memberanikan diri menyampaikan hasrat pedagang-pedagang tadi.

     "Wahai Rabiah, anak kepada Ismail al-Adawiy." Malik bin Dinar terhenti seketika.

     Sambil matanya tepat memandang Malik bin Dinar, Rabiah dapat mengesan perasaan yang berbolak-balik dalam diri ulama besar itu.

     "Ya wahai Malik bin Dinar, apakah ada perkara penting yang mahu disampaikan kepada saya?"

     "Ada, dan ia bukan hajat saya melainkan hajat kawan-kawan saya sendiri."

     "Sekiranya begitu, khabarkanlah. Sekiranya ia bukan berkenaan dengan perkahwinan, tentu sahaja saya berminat mahu mendengar."

     "Saya ada bercerita berkenaan apa yang terjadi tempoh hari dan nyata mereka sudi membantu kamu, jadi bagaimana?"

     Rabiah hanya mendiamkan dirinya. Ini mengundang resah Malik bin Dinar.

     Dengan nada sederhana kemudiannya dia berkata, "Bukankah saya sudah jelaskan kepada kamu dahulu. Jadi rasanya sudah tentu sudah faham apakah jawapan saya kali ini."

     Jawapan itu membuatkan Malik bin Dinar tidak berani lagi mahu bertanya berkenaan hal itu.

     Beberapa hari yang lepas semasa Malik bin Dinar berada di rumah Rabiah, dia berkata kepada Rabiah, "Wahai Rabiatul Adawiyah, Alhamdulillah sedikit kelebihan yang Allah kurniakan kepada saya adalah kawan yang hartawan lagi dermawan. Sudikah kamu menerima pemberian mereka kerana mereka juga selalu bertanya sekiranya kamu perlukan apa-apa?"

     Namun Rabiah dengan tegas menjawab, "Wahai Malik bin Dinar, kata-kata kamu itu tidak bertepatan dengan pendirian saya dan sememangnya ia adalah ucapan yang tidak betul kepada saya. Allah yang mengurniakan rezeki kepada sahabat-sahabat kamu, dan Dia juga yang memberi rezeki kepada orang miskin seperti saya. Apakah kamu mahu mengatakan yang rezeki Allah itu hanya untuk orang kaya dan tidak kepada orang miskin? Sudah Allah tetapkan yang inilah kadar hidup kita. Apakah tugas kita selain menerimanya dengan reda dan tawakal?"

     Mendengar jawapan itu, Malik bin Dinar menjadi kelu. Semuanya bermula apabila Malik bin Dinar mendapati Rabiah minum air daripada bekas air yang sumbing. Bukan itu sahaja, tikar yang menjadi temannya selama ini juga sudah terlalu usang malah bantal tidurnya adalah setongkol batu.

     Malik bin Dinar yang sangat kasihan kepada Rabiah, balik dan menceritakan keadaan Rabiah kepada sahabat-sahabatnya yang dermawan itu. Namun mereka juga sedar yang Rabiah tidak mahu menerima bantuan daripada orang lain melainkan secara hak daripada Allah.

    Rabiah juga pernah ditawarkan bagi menerima sebuah rumah baru oleh hartawan yang prihatin kepada dirinya. Bukan sahaja rumah yang mahu disediakan, bahkan segala kelengkapan yang serba baru juga bakal menjadi milik Rabiah sekiranya dia mahu.

     "Wahai Rabiah, terimalah pemberian kami ini. Kami mahu kamu beribadah dengan lebih tenang, maka saya akan hadiahkan kamu sebuah rumah yang lebih elok yang dilengkapi dengan segala kelengkapan baru yang cantik."

     "Sesungguhnya saya berasa amat takut andai jiwa ini terpikat kepada keindahan dan kemewahan rumah itu. Saya khuatir ia melalaikan diri saya daripada terus menyibukkan diri bagi beramal kepada Allah dan menghadapi hari kiamat. Tahulah kamu, satu-satunya tujuan saya hidup di dunia ini adalah bagi mengabdikan seluruh jiwa dan raga dengan beribadah kepada Allah."




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment