Wednesday 30 March 2016

RABIATUL ADAWIYAH [ BAB 27 - KALAM-KALAM ILMU ]






KALAM-KALAM ILMU




Hidup Rabiah sentiasa dihiasi dengan kisah-kisah indah dan berhikmah. Tinta-tinta dan kalam-kalam ilmu yang terpancar daripada hidup Rabiatul Adawiyah sentiasa didambakan oleh sekalian pencinta Allah. Mereka tidak jemu-jemu berjumpa dengan Rabiah bagi mendengar butiran hikmahnya.

     Ada antara mereka ada yang tidak akan boleh melelapkan mata jika seharian tidak berjumpa dengan Rabiah. Tentunya bukan kerana kegilaan dan kecintaan mereka kepada jasad Rabiah itu, bukan juga kerana rindu yang bersulam nafsu, tetapi mahu memenuhi citarasa hati yang dahagakan iman dan takwa.

     "Saya amat merindukan saat di mana kita semua berada di dalam majlis zikir, tatkala mendengar kalimah-kalimah rindu kepada Allah yang beriringan tiupan serulingnya. Saya seakan-akan merasai secara nyata bahawa Allah sangat dekat dengan kita." Kata seorang lelaki abid yang tua.

     "Alangkah rindunya suasana di majlis itu. Walau kini ramai yang meneruskan majlis seumpama itu, namun ia tentu tidak serupa." Kawannya juga bersetuju.

     "Kini hanya dengan berkunjung ke rumah Rabiah barulah kita dapat mendengar nasihatnya?"

     "Tentu rumah Rabiah tidak pernah sunyi daripada kunjungan orang soleh dan alim yang mahu bertanya dan mencari hakikat melalui pedomannya."

     "Kamu pernah hadir?"

     Lelaki itu mengangguk.

     "Jika begitu saya juga tidak mahu melepaskan peluang ini." Pemuda itu sangat gembira.

     Sebenarnya pemuda itu bukan penduduk Kota Basrah, dia hanya sekali-sekala menghadiri majlis zikir Rabiah. Dia terkilan apabila mengetahui Rabiah tidak lagi mengepalai majlis zikir seperti sebelumnya.

     Mereka berdua pun berjalan menuju ke rumah Rabiah. Sampai di rumah Rabiah mereka melihat ramai orang sedang berasak-asak. Rupa-rupanya sedang berlaku dialog antara Rabiah dengan para hadirin yang terdiri daripada orang soleh Basrah.

     Dialog dimulakan dengan persoalan yang dilontarkan oleh Rabiah kepada kelompok orang soleh Basrah itu. Dia bertanya kepada mereka sambil matanya menyoroti setiap hadirin dengan pandangan mata yang tajam. Tanda dia tidak main-main dalam urusan itu.

     "Wahai hamba Allah, mengapakah kamu menyembah Allah."

     Lelaki soleh itu menjawab tanpa ragu, "Tentunya kerana saya takutkan azab neraka Allah yang maha pedih."

     Soalan yang sama lantas ditujukan kepada lelaki di sebelah tadi.

     Dia menjawab, "Tentunya kerana saya mahu ke syurga Allah yang penuh dengan nikmat abadi itu."

     Selepas mendengar jawapan daripada kedua-dua lelaki soleh itu, Rabiah diam membisu untuk seketika. Selepas menghela nafas panjang, dengan perlahan-lahan dia mengangkat kepalanya dan merenung tajam mereka yang berada di hadapannya.

     Kemudian dia berkata, "Alangkah hinanya seorang hamba itu jika beribadah kepada Allah hanya kerana mahukan syurga dan dijauhkan daripada api neraka."

     Sekalian yang hadir terkedu dengan kenyataan itu. Mereka tidak menyangka jawapan mereka itu dinilai salah malah dipertikaikan sebegitu rupa.

     "Sekiranya ditakdirkan syurga dan neraka itu tidak wujud, adakah kamu akan menyembah Allah?"

     Hening. Tiada yang berani bersuara. Masing-masing hanya berpandangan sesama sendiri.

     Hanya selepas beberapa ketika, salah seorang daripada mereka bersuara, "Wahai Rabiah, jika begitu, apakah pula sebabnya kamu menyembah Allah?"

     "Saya menyembah Allah hanya kerana mengharap keredaannya. Nikmat dan pemberiannya sudah cukup untuk saya menggerakkan diri saya supaya terus beribadah kepada-Nya."

     Begitulah Rabiah, penuh dengan ketegasan dan hikmah. Mereka yang sentiasa bersamanya sentiasa mendapat manfaat daripada kalimat-kalimat yang dituturkannya.

     Mereka yang hadir di dalam majlis itu pun sentiasa bercerita berkenaan kisah itu kepada sesiapa sahaja sehingga kisah itu menjadi sangat masyhur dan dituliskan dalam riwayat yang muktabar.

     Ada juga yang masih mempersoalkan cara Rabiah dapat mencapai makam yang tinggi itu. Ia sering menjadi bualan dan soalan.

     "Bagaimana Rabiah mampu begitu ikhlas dalam ibadahnya sehingga menidakkan kehidupan dunia?"

     "Ini kerana kecintaan dan kerinduannya kepada Allah tidak dirasuki oleh keduniaan yang sia-sia ini."

     "Mungkinkah ada orang yang sebegitu?"

     "Ada."

     "Siapakah dia?"

     "Rabiatul al-Adawiyah."

     Begitulah, biasanya kesudahan dialog atau perbahasan yang berkaitan dengan Rabiah. Mereka akhirnya faham kenapa dia dipanggil Rabiatul Adawiyah.

     Salah satu sifat Rabiah apabila terdengar seruan azan adalah, dia segera mengandaikan kepanasan Basrah sebagai panasnya padang mahsyar.

     "Setiap kali saya terdengar laungan azan, saya seakan-akan terdengar suara panggilan dari mahsyar. Manakala setiap kali musim panas menjelang, seluruh pancaindera saya merasai kepanasan hari akhirat, seakan-akan berada dalam kalangan manusia yang dibangkitkan. Begitulah juga apabila musim sejuk menjengah, keputihan salji membuatkan saya membayangkan penerimaan buku amalan saya."

     Antara persoalan yang dibahaskan oleh para ulama adalah soal keikhlasan. Sufian al-Tsauri, Malik bin Dinar, Hasan al-Basri dan saudara kandung kepada al-Bakhi pernah turut serta dalam perbahasan itu.

     Dalam pertemuan kali itu, Hasan al-Basri memulakan diskusi dengan mengemukakan soalan, "Manusia yang tidak mampu untuk bersabar belum lagi terbukti benarnya dalam pengakuan sebagai seorang Muslim."

     Rabiah berkata, "Itu kerana, ia adalah sebuah tipu daya."

     Saudara al-Bakhil pula berkata, "Manusia yang tidak bersyukur atas cubaan Allah juga belum benar pengakuannya sebagai seorang Muslim."

     Sekali lagi Rabiah berkata, "Tentunya ada yang lebih baik daripada itu."

     Kali ini Malik bin Dinar mengutarakan pendapatnya, "Manusia yang masih belum berasa selesa dengan ujian Allah, ternyata belum benar pengakuannya sebagai seorang Muslim."

     "Ada yang lebih baik daripada itu."

     Ketiga ulama besar itu kelu. Seaka-akan kehabisan akal dalam menyelami makrifat Rabiah. Mereka lemas dalam lautan pencarian. Makna keikhlasan yang dipasungkan oleh mereka ternyata tidak menepati ciri-ciri keikhlasan daripada sudut perspektif Rabiah.

     "Jelaskanlah kepada kami wahai Rabiah, mengikut pandangan kamu apakah maksudnya sebuah keikhlasan itu?"

     "Manusia yang masih ada ingatan berkenaan ujian Allah pada diri mereka, bukanlah seorang Muslim yang baik. Yang terbaik adalah apabila diri mereka ditimpa musibah maka mereka lupa segala-galanya. Bagaikan wanita-wanita Mesir yang terhiris jari-jemari pada saat terpandang Nabi Yusuf."




N / F : DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI SRIKANDI YANG BENAR, OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment